Tafsir Surah Fatir Ayat 14 – 18 (Ahli keluarga tidak dapat membantu)

Ayat 14: Dalam ayat sebelum ini Allah telah menyebut yang diseru selain dari Allah itu tidak memiliki apa-apa. Dan sekarang Allah tambah hujah untuk menunjukkan betapa sia-sianya perbuatan manusia yang menyeru selain dari Allah itu.

إِن تَدعوهُم لا يَسمَعوا دُعاءَكُم وَلَو سَمِعوا مَا استَجابوا لَكُم ۖ وَيَومَ القِيٰمَةِ يَكفُرونَ بِشِركِكُم ۚ وَلا يُنَبِّئُكَ مِثلُ خَبيرٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

If you invoke them, they do not hear your supplication; and if they heard, they would not respond to you. And on the Day of Resurrection they will deny your association.¹ And none can inform you like [one] Acquainted [with all matters].

  • Of them with Allāh or your worship of them.

(MELAYU)

Jika kamu menyeru mereka, mereka tiada mendengar seruanmu; dan kalau mereka mendengar, mereka tidak dapat memperkenankan permintaanmu. Dan di hari kiamat mereka akan mengingkari kemusyirikanmu dan tidak ada yang dapat memberi keterangan kepadamu sebagai yang diberikan oleh Yang Maha Mengetahui.

 

إِن تَدعوهُم لا يَسمَعوا دُعاءَكُم

Jika kamu menyeru mereka, mereka tiada mendengar seruanmu;

Allah memberitahu dengan jelas dalam ayat ini, roh-roh selain dari Allah itu tidak dapat mendengar seruan manusia kepada mereka. Ramai manusia yang menyeru kepada roh-roh Nabi, wali dan malaikat.

Ada yang seru kepada Nabi Muhammad, Nabi Khidr, Nabi Sulaiman, Nabi itu dan ini. Ada yang menyeru kepada Syaikh Abdul Qadir Jalani, Wali-wali Songo, Habib Noh dan wali-wali lain (yang tidak tahu pun status mereka sebagai wali itu pasti atau tidak). Ada juga yang seru para malaikat terutama malaikat yang besar-besar itu untuk beri bantuan kepada mereka.

Allah beritahu yang mereka itu tidak dengar pun seruan manusia kepada mereka kerana mereka di dalam alam yang lain. Bukan kerja mereka untuk mendengar seruan manusia. Mereka in sha Allah adalah orang yang baik-baik (kerana status wali kita tidak tahu) dan kerja mereka sudah habis setelah mereka meninggal dunia. Mereka sekarang tinggal (semoga mereka itu orang-orang yang baik-baik) di akhirat menikmati balasan dari Allah atas kerja dan amalan mereka semasa di dunia.

 

وَلَو سَمِعوا مَا استَجابوا لَكُم

dan kalau mereka mendengar, mereka tidak dapat memperkenankan permintaanmu.

Dan kalaulah mereka boleh mendengar, mereka bukan sahaja tidak menjawab pun. Ini kerana mereka di alam yang lain. Mereka tidak dapat buat apa – bukan sahaja hendak jawap, cuba hendak jawab pun tidak boleh. Kerana kalimah استَجابوا yang digunakan adalah wazan yang menunjukkan percubaan.

Itu pun kalau mereka dengar kerana telah disebut sebelum ini yang mereka tidak dapat dengar pun. Tapi kalaulah kita bayangkan mereka boleh dengar, mereka nak cuba jawap pun tidak boleh.

Maka amatlah sia-sia perbuatan manusia yang menyeru selain Allah. Termasuk yang melakukan perbuatan sia-sia ini adalah masyarakat Islam kita yang jauh dari wahyu. Mereka tidak periksa amalan seru menyeru yang diajar oleh guru-guru mereka yang sesat itu. Apabila diberi amalan seru menyeru Nabi, wali dan malaikat itu, para pengikut mereka sangka itu adalah amalan yang benar dan baik untuk dilakukan.

Kerana mereka ikut sahaja apa yang diajar oleh guru mereka. Ini adalah perbuatan yang jauh dari kebenaran. Apa-apa sahaja amalan yang diberikan, hendaklah dibandingkan dengan Qur’an dan Sunnah dari Nabi. Jangan pakai terima sahaja.

 

وَيَومَ القِيٰمَةِ يَكفُرونَ بِشِركِكُم

Dan di hari kiamat mereka akan mengingkari kemusyirikanmu

Mereka yang menyeru itu tentu berharap roh-roh Nabi, wali dan malaikat itu akan ingat dulu mereka dah selalu seru, selalu beri salam, selalu sedekah Fatihah dan amalan-amalan yang lain seperti tawaf kubur mereka, bersihkan kubur mereka, letak bunga dan sebagainya lagi amalan-amalan sesat yang sedang dilakukan oleh orang-orang kita.

Yang disembah itu akan berlepas diri dari apa yang dilakukan oleh golongan penyembah itu. Sebagaimana yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya:

{وَمَنْ أَضَلُّ مِمَّنْ يَدْعُو مِنْ دُونِ اللهِ مَنْ لَا يَسْتَجِيبُ لَهُ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ وَهُمْ عَنْ دُعَائِهِمْ غَافِلُونَ وَإِذَا حُشِرَ النَّاسُ كَانُوا لَهُمْ أَعْدَاءً وَكَانُوا بِعِبَادَتِهِمْ كَافِرِينَ}

Dan siapakah yang lebih sesat daripada orang yang menyembah sembahan-sembahan selain Allah yang tiada dapat memperkenankan (doa)nya sampai hari kiamat dan mereka lalai dari (memperhatikan) doa mereka. Dan apabila mereka dikumpulkan (pada hari kiamat), niscaya sembahan-sembahan itu menjadi musuh mereka dan mengingkari pemujaan-pemujaan mereka. (Al-Ahqaf: 5-6)

Kita tidak perlulah nak sebut tentang amalan orang kafir sebab itu memang sudah amalan sesat mereka yang jauh dari Islam. Yang kita nak sentuh sekarang adalah orang Islam yang tidak sepatutnya melakukan amalan-amalan sebegitu. Tapi ramai yang melakukan amalan ini di serata dunia termasuklah di negara kita Malaysia ini. Ada yang seru roh-roh Nabi, wali dan malaikat di rumah sahaja dan ada yang sampai pergi ke kubur mereka untuk seru terus di kubur dan buat amalan-amalan syirik di sana. Ini adalah kerana mereka itu jauh dari wahyu.

Apabila usaha telah dilakukan, maka tentulah penyeru-penyeru itu berharap supaya yang diseru akan ingat mereka, akan beri balasan, akan bantu beri berkat dan syafaat di akhirat kelak, bukan? Dah buat kerja, takkan tidak mahu upahnya dan balasannya, bukan? Mereka sudah ada satu pengharapan dari roh-roh Nabi, wali dan malaikat itu. Allah akan temukan antara yang menyeru dan diseru di akhirat kelak. Allah akan tanya samada yang diseru itu pernah suruh atau redha mereka diseru?

Allah beritahu yang mereka yang diseru itu akan menolak amalan seruan kepada mereka. Mereka yang diseru tidak pernah suruh diseru pun dan tidak redha diri mereka diseru. Maka sia-sialah apa yang dilakukan oleh penyeru-penyeru itu.

 

وَلا يُنَبِّئُكَ مِثلُ خَبيرٍ

dan tidak ada yang dapat memberi keterangan kepadamu sebagai yang diberikan oleh Yang Maha Mengetahui.

Yang tahu itu maksudnya Allah dan hanya Allah sahaja yang boleh beritahu tentang semua perkara ini kerana Dia sahaja yang tahu apa yang akan berlaku nanti di akhirat.

Allah juga tahu bahawa Nabi, wali dan malaikat itu tidak ada kuasa untuk membantu orang-orang yang menyeru mereka. Kita sebagai manusia boleh bagi hujah sahaja, tapi yang tahu sebenar-benar tahu adalah Allah Taala. Maka Allah sekarang sedang beritahu kepada kita dan hendaklah kita mengambil pengajaran dari apa yang disampaikan ini.


 

Ayat 15: Dalil aqli.

۞ يٰأَيُّهَا النّاسُ أَنتُمُ الفُقَراءُ إِلَى اللهِ ۖ وَاللهُ هُوَ الغَنِيُّ الحَميدُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O mankind, you are those in need of Allāh, while Allāh is the Free of need, the Praiseworthy.

(MELAYU)

Hai manusia, kamulah yang berkehendak kepada Allah; dan Allah Dialah Yang Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) lagi Maha Terpuji.

 

يٰأَيُّهَا النّاسُ

Hai manusia,

Khitab ayat ini kepada semua manusia. Tapi bukan semua manusia baca Qur’an ini, bukan? Maka kita lah yang kena sampaikan kepada mereka. Kalau bukan kita yang sampaikan, maka siapa lagi?

 

أَنتُمُ الفُقَراءُ إِلَى اللهِ

kamulah yang berkehendak kepada Allah; 

Kalimah الفُقَراءُ boleh bermaksud ‘bankrap’. Maksudnya kita tidak ada apa-apa dan sentiasa memerlukan Allah. Apa-apa sahaja yang kita ada telah diberi oleh Allah kerana kita tidak ada apa-apa langsung. Dan apa-apa sahaja yang kita akan dapat nanti pun dari Allah juga. Tiada siapa yang boleh beri rezeki melainkan Allah sahaja.

Allah langsung tidak memerlukan kita atau ibadat kita. Kalau semua makhluk tidak beribadat kepada Allah, tidaklah kemulian Allah berkurangan. Tidaklah Allah jadi lemah. Ada agama seperti agama Yunani yang beranggapan yang jikalau mereka tidak menyembah patung-patung berhala tuhan mereka, maka tuhan mereka menjadi lemah. Maka mereka sangka tuhan mereka memerlukan sembahan dari mereka untuk terus jadi kuat.

Allah tidak memerlukan sebegitu, termasuklah ibadat kita. Segala ibadat yang Allah suruh kita buat itu adalah untuk kebaikan diri kita, bukannya ia memberi kebaikan bagi Allah.

 

وَاللهُ هُوَ الغَنِيُّ الحَميدُ

dan Allah Dialah Yang Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) lagi Maha Terpuji.

Yang tidak memerlukan apa-apa dan sesiapa sahaja hanyalah Allah.

Dan Dia yang Maha Terpuji dan tidak perlu sesiapa pun untuk memujiNya. Kalau tiada sesiapa yang memujiNya pun, Allah tetap terpuji.


 

Ayat 16: Contoh kayanya Allah. Pertamanya kena ingat yang maksud ‘kaya’ adalah tidak memerlukan sesiapa.

إِن يَشَأ يُذهِبكُم وَيَأتِ بِخَلقٍ جَديدٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

If He wills, He can do away with you and bring forth a new creation.

(MELAYU)

Jika Dia menghendaki, Dia boleh memusnahkan kamu dan mendatangkan makhluk yang baru (untuk menggantikan kamu).

 

إِن يَشَأ يُذهِبكُم

Jika Dia menghendaki, Dia boleh memusnahkan kamu

Kita kena sedar diri yang kita tidak bernilai dan kerana itu Allah boleh sahaja musnahkan kita. Mudah sahaja bagi Allah untuk buat begitu. Allah tidak rugi apa-apa pun kalau kita tiada. Bukannya Allah perlukan kita pun.

 

وَيَأتِ بِخَلقٍ جَديدٍ

dan mendatangkan makhluk yang baru

Allah boleh sahaja jadikan makhluk yang lain ganti kita. Dalam surah lain disebut makhluk itu lebih baik dari kita.


 

Ayat 17: 

وَما ذٰلِكَ عَلَى اللهِ بِعَزيزٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And that is for Allāh not difficult.

(MELAYU)

Dan yang demikian itu sekali-kali tidak sulit bagi Allah.

 

Mudah sahaja bagi Allah nak ganti kita. Maka kenalah sedar kedudukan kita sebagai hamba Allah. Kena sedar yang Allah itu adalah Tuhan dan kita kena taat sepenuhnya kepadaNya.


 

Ayat 18: Takhwif ukhrawi

وَلا تَزِرُ وازِرَةٌ وِزرَ أُخرىٰ ۚ وَإِن تَدعُ مُثقَلَةٌ إِلىٰ حِملِها لا يُحمَل مِنهُ شَيءٌ وَلَو كانَ ذا قُربىٰ ۗ إِنَّما تُنذِرُ الَّذينَ يَخشَونَ رَبَّهُم بِالغَيبِ وَأَقامُوا الصَّلَوٰةَ ۚ وَمَن تَزَكّىٰ فَإِنَّما يَتَزَكّىٰ لِنَفسِهِ ۚ وَإِلَى اللهِ المَصيرُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And no bearer of burdens will bear the burden of another. And if a heavily laden soul calls [another] to [carry some of] its load, nothing of it will be carried, even if he should be a close relative. You can only warn those who fear their Lord unseen and have established prayer. And whoever purifies himself only purifies himself for [the benefit of] his soul. And to Allāh is the [final] destination.

(MELAYU)

Dan orang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain. Dan jika seseorang yang berat dosanya memanggil (orang lain) untuk memikul dosanya itu tiadalah akan dipikulkan untuknya sedikitpun meskipun (yang dipanggilnya itu) kaum kerabatnya. Sesungguhnya yang dapat kamu beri peringatan hanya orang-orang yang takut kepada azab Tuhannya (sekalipun) mereka tidak melihat-Nya dan mereka mendirikan sembahyang. Dan barangsiapa yang mensucikan dirinya, sesungguhnya dia mensucikan diri untuk kebaikan dirinya sendiri. Dan kepada Allahlah kembali(mu).

 

وَلا تَزِرُ وازِرَةٌ وِزرَ أُخرىٰ

Dan orang yang menanggung tidak akan memikul dosa orang lain.

Kita tidak boleh nak sandarkan dia kepada orang lain. Mereka pun ada dosa masing-masing. Memang tidak mampu nak ambil dan pikul dosa orang lain pula.

Ini penting diketahui kerana ada Musyrikin Mekah yang mengajak para sahabat yang telah beriman untuk kembali kepada agama syirik. Mereka kata jangan takut, kerana mereka akan tanggung dosa sahabat-sahabat itu kalau benar perbuatan mereka itu berdosa. Maka ini adalah fahaman yang sesat.

Begitu jugalah pada zaman sekarang ada manusia yang sangka guru-guru tarekat mereka akan tanggung dosa mereka. Ini tidak mungkin sama sekali.

 

وَإِن تَدعُ مُثقَلَةٌ إِلىٰ حِملِها

Dan jika seseorang yang berat dosanya memanggil (orang lain) untuk memikul dosanya itu

Kalau di dunia, bolehlah minta tolong orang selesaikan masalah kita, tolong kita itu dan ini. Bolehkah begitu kalau di akhirat kelak? Mungkin ada yang sangka begitu.

 

لا يُحمَل مِنهُ شَيءٌ

tiadalah akan dipikulkan untuknya sedikitpun 

Allah beritahu dengan jelas yang memang tidak akan ada yang akan tanggung. Tak boleh nak bawa langsung sedikit pun. Sekarang kalau di dunia bolehlah nak tolong angkat barang. Tapi nanti di akhirat, manusia akan lari dari manusia yang lain. Seperti disebut dalam ayat yang lain:

{يَوْمَ يَفِرُّ الْمَرْءُ مِنْ أَخِيهِ وَأُمِّهِ وَأَبِيهِ وَصَاحِبَتِهِ وَبَنِيهِ لِكُلِّ امْرِئٍ مِنْهُمْ يَوْمَئِذٍ شَأْنٌ يُغْنِيهِ}

Pada hari ketika manusia lari dari saudaranya, dari ibu dan bapanya, dari isteri dan anak-anaknya. Setiap orang dari mereka pada hari itu mempunyai urusan yang cukup menyibukkannya. (‘Abasa: 34-37)

 

وَلَو كانَ ذا قُربىٰ

meskipun (yang dipanggilnya itu) kaum kerabatnya. 

Jangan kata orang lain, keluarga sendiri pun tak boleh nak tolong. Selalunya keluargalah yang sanggup tolong kita macam-macam. Mereka sanggup berkorban untuk tolong. Ibubapa tentu nak tolong anak. Anak pun tentu bersedia nak tolong ibubapa dia. Tapi ini tidak akan terjadi di akhirat. Ini seperti disebut dalam ayat yang lain:

{لَا يَجْزِي وَالِدٌ عَنْ وَلَدِهِ وَلا مَوْلُودٌ هُوَ جَازٍ عَنْ وَالِدِهِ شَيْئًا}

seorang bapa tidak dapat menolong anaknya dan seorang anak tidak dapat (pula) menolong bapanya sedikit pun. (Luqman: 33)

 

إِنَّما تُنذِرُ الَّذينَ يَخشَونَ رَبَّهُم بِالغَيبِ

hanya orang-orang yang takut kepada azab Tuhannya (sekalipun) mereka tidak melihat-Nya 

Allah telah beri peringatan yang banyak melalui RasulNya. Ada yang terima dan ada yang tidak terima. Allah hendak memberitahu yang faedah peringatan yang diberikan itu hanya boleh diterima oleh mereka yang ada perasaan takut kepada Allah sahaja.

Mereka itu takut kepada Allah walaupun mereka tidak nampak Allah (ghaib). Tidak kira mereka di mana, samada di hadapan manusia atau tidak, mereka akan jaga perbuatan mereka kerana mereka yang Allah sentiasa melihat. Kalau kita dapat sematkan perasaan ini, maka agama tentulah akan terjaga.

 

وَأَقامُوا الصَّلَوٰةَ

dan mereka mendirikan solat.

Dan yang dapat menerima peringatan itu adalah mereka yang mengerjakan solat. Allah sebut solat kerana ini adalah ibadah yang paling utama. Ianya dapat mendekatkan diri kita kepada Allah.

Dan yang menariknya, solat adalah latihan kepada kita untuk sedar Allah sedar memerhatikan kita. Kerana dalam solat kita kena khusyuk dan kena sedar yang segala gerak geri kita sedang diperhatikan. Selalu dalam solat fikiran kita menerawang, bukan? Maka kita kena sedar yang kita sedang mengadap Allah dan kena bawa kembali fikiran kita kepada solat.

Ini dapat dilakukan kalau kita dapat faham apakah yang kita sedang sebut dalam solat itu. Maka kenalah belajar kalimah-kalimah dalam solat itu. Jangan sebut sahaja, tapi sebutlah dengan pemahaman.

Dan ini adalah latihan. Apabila kita sudah dapat sematkan perasaan Allah sedang memerhatikan kita dalam solat, maka lama kelamaan kita kena bawa perasaan itu di luar solat. Kerana Allah bukan hanya melihat kita di dalam solat sahaja, tapi di mana-mana sahaja. Maka latihan dalam solat, untuk dibawa ke luar solat juga.

 

وَمَن تَزَكّىٰ فَإِنَّما يَتَزَكّىٰ لِنَفسِهِ

Dan barangsiapa yang mensucikan dirinya, sesungguhnya dia mensucikan diri untuk kebaikan dirinya sendiri.

Yang dimaksudkan adalah membersihkan jiwa dari sifat syirik. Kerana kalau ada fahaman dan amalan syirik, maka segala ibadat, segala amalan kita di dunia ini sia-sia sahaja kerana tidak ada pahala yang akan melekat. Dan nanti akan dimasukkan ke dalam neraka kekal sampai bila-bila. Maka kena belajar apakah tauhid dan apakah syirik.

Mereka yang membersihkan jiwa mereka itu dari syirik akan mendapat kelebihan untuk diri mereka sendiri dan bukan untuk orang lain.

 

وَإِلَى اللهِ المَصيرُ

Dan kepada Allahlah kembali(mu).

Mereka yang dapat solat dan membersihkan jiwa itu adalah mereka yang sedar yang mereka nanti selepas mati akan mengadap Allah. Mereka takut nanti akan disoal tentang kesalahan dan akidah mereka. Maka mereka prihatin dengan agama dan berterusan belajar agama dan memperbaiki amalan mereka. Kerana mereka tahu yang kehidupan mereka bukan di dunia sahaja dan akan mati nanti. Dan mati nanti kena mengadap Allah, bukan?

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 17 Januari 2018


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Posted in Surah 035: Fatir | Leave a comment

Tafsir Surah Fatir Ayat 12 – 13 (Selain Allah tidak memiliki)

Ayat 12: Dalil Aqli di mana Allah suruh lihat kepada alam laut.

وَما يَستَوِي البَحرانِ هٰذا عَذبٌ فُراتٌ سائِغٌ شَرابُهُ وَهٰذا مِلحٌ أُجاجٌ ۖ وَمِن كُلٍّ تَأكُلونَ لَحمًا طَرِيًّا وَتَستَخرِجونَ حِليَةً تَلبَسونَها ۖ وَتَرَى الفُلكَ فيهِ مَواخِرَ لِتَبتَغوا مِن فَضلِهِ وَلَعَلَّكُم تَشكُرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And not alike are the two seas [i.e., bodies of water]. One is fresh and sweet, palatable for drinking, and one is salty and bitter. And from each you eat tender meat and extract ornaments which you wear, and you see the ships plowing through [them] that you might seek of His bounty; and perhaps you will be grateful.

(MELAYU)

Dan tiada sama (antara) dua laut; yang ini tawar, segar, sedap diminum dan yang lain masin lagi pahit. Dan dari masing-masing laut itu kamu dapat memakan daging yang segar dan kamu dapat mengeluarkan perhiasan yang dapat kamu memakainya, dan pada masing-masingnya kamu lihat kapal-kapal berlayar membelah laut supaya kamu dapat mencari kurunia-Nya dan supaya kamu bersyukur.

 

وَما يَستَوِي البَحرانِ

Dan tiada sama (antara) dua laut;

Allah memberitahu dua jenis laut tidak sama rasanya. Walaupun dua-dua adalah laut, tapi tidaklah rasanya sama keduanya. Ia memberi isyarat yang kehidupan kita pun tidak sama semasa kita di dalam perut dan selepas kita keluar.

Dan juga tidak sama kehidupan dunia dan kehidupan di akhirat. Takkan sama kerana dimensi dan berbeza. Oleh itu, apabila ada dalil mengatakan Nabi dan wali itu hidup selepas mereka mati, maksudnya mereka hidup dalam dunia mereka dengan cara mereka. Bukanlah mereka hidup macam sekarang, boleh dengar permintaan kita dan boleh tolong kita pula kalau kita berdoa kepada mereka.

Sepertimana janin dalam perut itu pun hidup juga, tapi bolehkah dia dengar apa kita cakap kepada dia? Bolehlah dia nak tolong kita? Bolehkah dia nak sampaikan apa-apa maklumat kepada kita? Tentu tidak, bukan? Kerana dunia yang berbeza.

 

هٰذا عَذبٌ فُراتٌ سائِغٌ شَرابُهُ

yang ini tawar, segar, sedap diminum 

Ada air laut yang rasanya tawar dan sedap diminum dan kita boleh minum dan minum lagi dan ia senang saja turun ke dalam tekak kita. Ada yang mengatakan ini merujuk kepada air sungai.

 

وَهٰذا مِلحٌ أُجاجٌ

dan yang lain masin lagi pahit.

Dan ada pula air laut yang kita tidak boleh minum kerana masin sangat. Dan kalau kita minum juga, ia tidak baik kepada kesihantan dan ia tidak menghilangkan dahaga kita tapi menambah dahaga kita pula.

 

وَمِن كُلٍّ تَأكُلونَ لَحمًا طَرِيًّا

Dan dari masing-masing laut itu kamu dapat memakan daging yang segar, 

Dari air sungai dan air laut ada binatang seperti ikan yang kita dapat tangkap dan makan dagingnya. Dua-dua air itu ada ikan tapi tak sama ikan sungai dan ikan laut. Ada orang suka ikan laut dan ada orang suka ikan sungai. Kerana rasa kedua-duanya tidak sama. Allah jadikan kehidupan mereka berlainan. Ikan sungai tidak dapat hidup dalam laut dan ikan laut tidak dapat hidup dalam sungai.

 

وَتَستَخرِجونَ حِليَةً تَلبَسونَها

dan kamu dapat mengeluarkan perhiasan yang dapat kamu memakainya,

Dan dari dua laut itu juga Allah adakan perhiasan seperti mutiara yang manusia boleh kutip. Ini menjadi perhiasan dan boleh menjadi sumber pendapatan kepada manusia yang bekerja mencarinya.

 

وَتَرَى الفُلكَ فيهِ مَواخِرَ لِتَبتَغوا مِن فَضلِهِ

dan kamu lihat kapal-kapal berlayar membelah di dalamnya supaya kamu dapat mencari kurunia-Nya

Allah beri ilham kepada manusia untuk membina kapal dan dengan kapal itu manusia boleh bermusafir di lautan dan di sungai. Perahu akan belah sungai dan bawa muatan ke kapal yang lebih besar untuk dibawa ke tempat yang lebih jauh. Dengan cara itu manusia boleh mencari rezeki iaitu melalui perdagangan antarabangsa.

Kita masih lagi gunakan kenderaan laut untuk bawa barang-barang kita. Maka jangan kita kata yang ayat-ayat sebegini tidak dipakai lagi zaman sekarang. Kerana kita masih gunakan lagi pengangkutan laut. Ini adalah kerana walaupun ada kapalterbang yang boleh bawa muatan dengan lebih cepat, tapi cara itu adalah mahal. Kerana itu untuk tujuan kos, pembekalan barangan dari satu negara ke negara yang lain selalunya akan guna kapal laut.

 

وَلَعَلَّكُم تَشكُرونَ

dan supaya kamu bersyukur.

Tujuan Allah berikan kepandaian kepada kita untuk membina kapal dan mengawal kapal itu untuk berlayar di lautan dan kemudian dapat mencari rezeki adalah supaya kita dapat bersyukur. Maka hendaklah kita kenang jasa Allah ini dan sentiasa bersyukur dengan nikmat kebolehan dan rezeki yang Dia telah berikan kepada kita.

Dan kita kena faham maksud bersyukur kepada Allah. Syukur itu bukan sahaja ucap Alhamdulillah sahaja. Tapi sesungguhnya kita menunjukkan syukur itu dengan taat kepada arahan Allah – melakukan yang Dia suruh dan meninggalkan mana yang Allah suruh tinggalkan. Maka kalau mulut berzikir alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah tapi arahanNya tidak ditaati, itu bukan syukur yang sempurna.


 

Ayat 13: Dalil Aqli lagi dimana Allah suruh kita lihat alam yang kita dapat lihat setiap hari ini.

يولِجُ اللَّيلَ فِي النَّهارِ وَيولِجُ النَّهارَ فِي اللَّيلِ وَسَخَّرَ الشَّمسَ وَالقَمَرَ كُلٌّ يَجري لِأَجَلٍ مُّسَمًّى ۚ ذٰلِكُمُ اللهُ رَبُّكُم لَهُ المُلكُ ۚ وَالَّذينَ تَدعونَ مِن دونِهِ ما يَملِكونَ مِن قِطميرٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He causes the night to enter the day, and He causes the day to enter the night and has subjected the sun and the moon – each running [its course] for a specified term. That is Allāh, your Lord; to Him belongs sovereignty. And those whom you invoke other than Him do not possess [as much as] the membrane of a date seed.

(MELAYU)

Dia memasukkan malam ke dalam siang dan memasukkan siang ke dalam malam dan menundukkan matahari dan bulan, masing-masing berjalan menurut waktu yang ditentukan. Yang (berbuat) demikian itulah Allah Tuhanmu, kepunyaan-Nya-lah kerajaan. Dan orang-orang yang kamu seru (sembah) selain Allah tiada mempunyai apa-apa walaupun setipis kulit tamar.

 

يولِجُ اللَّيلَ فِي النَّهارِ

Dia memasukkan malam ke dalam siang

Maksudnya Allah menukar siang menjadi malam. Cahaya matahari semakin berkurangan di waktu petang dan lama-lama cahaya semakin hilang dan hari menjadi gelap.

Atau Allah menjadikan siang lebih panjang di sesetengah negara.

 

وَيولِجُ النَّهارَ فِي اللَّيلِ

dan memasukkan siang ke dalam malam

Allah menukar malam menjadi siang. Apabila sudah masuk subuh, maka cahaya matahari semakin keluar dan semakin beransur-ansur hari menjadi cerah.

Atau Allah menjadikan malam lebih panjang di sesetengah negara.

 

وَسَخَّرَ الشَّمسَ وَالقَمَرَ

dan Dia menundukkan matahari dan bulan,

Matahari dan bulan adalah dua makhluk Allah yang besar. Kita pun dapat lihat betapa hebatnya matahari dan bulan itu. Tapi walaupun keduanya besar, tapi ia dibawah takluk Allah. Kedua-duanya taat dengan arahan Allah. Setiap hari matahari akan tanya kepada Allah samada dia akan keluar atau tidak pada pagi itu. Maka apabila Allah benarkan, barulah ia keluar.

 

كُلٌّ يَجري لِأَجَلٍ مُّسَمًّى

masing-masing berjalan menurut waktu yang ditentukan. 

Matahari dan bulan taat dan bergerak mengikut ketetapan Allah. Tidak pernah bulan mendahului matahari dan tidak pernah matahari mendahului bulan walaupun ia lebih besar dari bulan. Ada ketetapan Allah yang mereka ikuti dan tidak pernah lagi mereka tidak taat. Mereka terus bergerak tapi tidaklah sampai bila-bila. Apabila sampai masa Kiamat, maka matahari dan bulan akan hancur dan musnah.

Maka Allah hendak perli kita: matahari dan bulan yang besar itu pun taat kepadaNya, maka kenapa kamu wahai manusia dan jin tidak taat? Kenapa kamu masih nak melakukan dosa? Kenapa kamu masih nak seru dan sembah selain Allah?

 

ذٰلِكُمُ اللهُ رَبُّكُم لَهُ المُلكُ

Yang (berbuat) demikian itulah Allah Tuhanmu, kepunyaan-Nya-lah kerajaan. 

Yang boleh mengurus dan menundukkan alam itu hanyalah Allah sahaja. Maka hendaklah sembah dan seru kepada Allah sahaja kerana selain Allah tidak ada kuasa ini.

Ada satu perbincangan yang kita mahu letakkan di sini. Sebenarnya tidak ada pun ayat di dalam Qur’an yang berhujah untuk membenarkan kewujudan Tuhan. Ini adalah kerana sudah maklum termasuk semua manusia sudah tahu yang Allah itu memang ada pun. Tidak kira samada orang muslim atau pun kafir. Yang kata Tuhan tidak ada itu adalah mereka yang menolak fitrah mereka sahaja.

Jadi Allah tidak sebut pun tentang kewujudanNya dalam Qur’an kerana fitrah manusia semua sudah kenal Allah dan ayat-ayat Qur’an hanya mengingatkan kepada perkara itu sahaja.

Dan orang kafir itu tidak kenal Allah kerana mereka menanam/menutup perasaan kenal Allah itu dalam-dalam diri mereka. Itulah maksud كفر iaitu menanam dan kemudian kambus bagi tidak nampak. Mereka tanam pengetahuan mereka tentang Allah jauh dalam diri mereka sampai sudah tak nampak lagi.

Jadi semua manusia memang sudah kenal Allah. Dan kalau disebut tentang ‘ragu-ragu’ di dalam Qur’an, ianya hanya menyebut tentang keraguan kepada wahyu dan bukannya kepada kewujudan Tuhan. Kerana manusia memang dah kenal Allah dah.

Kerana itu untuk mengingatkan manusia kepada Allah, maka Allah suruh lihat kepada alam dan fikirkan siapakah yang melakukannya. Kerana kalau benar-benar kita lihat kepada alam ini dan buka fikiran kita maka tentu keputusan yang kita dapat adalah memang benar Allah wujud. Jadi ayat-ayat itu sebagai peringatan sahaja, tidaklah disebut di mana-mana yang Allah ‘wujud’.

 

وَالَّذينَ تَدعونَ مِن دونِهِ ما يَملِكونَ مِن قِطميرٍ

Dan orang-orang yang kamu seru (sembah) selain Allah tiada mempunyai apa-apa walaupun setipis kulit tamar.

Malangnya manusia ramai yang tidak tahu tentang Allah. Yang sepatutnya mereka kenali adalah Allah dalam bentuk tunggal, dalam bentuk ‘tauhid’. Tapi ramai yang jauh dari fahaman ini dan mereka seru selain Allah seperti Nabi, wali, malaikat dan jin. Ini adalah manusia yang berfahaman syirik.

Maka Allah hendak memberitahu yang mereka seru dan sembah selain Allah itu tidak ada apa-apa pun walau kulit pada biji kurma. Ianya nipis sangat dan tidak ada nilai langsung, tapi itu pun mereka tidak ada. Sedangkan Allah memiliki langit dan bumi dan menguasai dan mengurus alam ini. Maka tidak patut kalau Allah diketepikan dan sembah selain Allah pula.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 16 Januari 2018


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Posted in Surah 035: Fatir | Leave a comment

Tafsir Surah Fatir Ayat 9 – 11 (Jangkahayat Manusia)

Ayat 9: Dalil Aqli. Allah suruh kita lihat alam lagi. Musyrikin Mekah tidak percaya yang Hari Kebangkitan akan berlaku. Kerana mereka tidak dapat bayangkan bagaimana orang yang sudah mati, terutama sekali yang sudah lama mati bertahun-tahun akan dapat hidup kembali. Maka Allah beri perumpamaan bagaimana tanah yang mati pun Allah boleh hidupkan.

وَاللهُ الَّذي أَرسَلَ الرِّيٰحَ فَتُثيرُ سَحابًا فَسُقنٰهُ إِلىٰ بَلَدٍ مَّيِّتٍ فَأَحيَينا بِهِ الأَرضَ بَعدَ مَوتِها ۚ كَذٰلِكَ النُّشورُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And it is Allāh who sends the winds, and they stir the clouds, and We drive them to a dead land and give life thereby to the earth after its lifelessness. Thus is the resurrection.

(MELAYU)

Dan Allah, Dialah Yang mengirimkan angin; lalu angin itu menggerakkan awan, maka Kami halau awan itu ke suatu negeri yang mati lalu Kami hidupkan bumi setelah matinya dengan hujan itu. Demikianlah kebangkitan itu.

 

وَاللهُ الَّذي أَرسَلَ الرِّيٰحَ

Dan Allah, Dialah Yang mengirimkan angin;

Allah yang menguasai angin yang bertiup dan Dia lepaskan angin itu mengikut kehendakNya. Setiap kali kita rasa tiupan angin, tahulah kita yang itu adalah kerja Allah Taala.

 

فَتُثيرُ سَحابًا

lalu angin itu menggerakkan awan,

Dan dengan angin itu Allah arahkan untuk menggerakkan awan ke tempat yang Allah kehendaki.

 

فَسُقنٰهُ إِلىٰ بَلَدٍ مَّيِّتٍ

maka Kami halau awan itu ke suatu negeri yang mati 

Allah bawa angin itu ke kawasan yang tidak ada kehidupan. Ini adalah kerana air sudah lama tidak turun ke situ dan tanaman pun mati. Bila tanaman mati, maka binatang pun tidak hidup di situ. Maka kita lihat seolah-olah tanah itu ‘mati’.

 

فَأَحيَينا بِهِ الأَرضَ بَعدَ مَوتِها

lalu Kami hidupkan bumi setelah matinya dengan hujan itu.

Maka untuk menghidupkan tanah yang gersang itu, Allah suruh angin bawakan awan, dan awan itu membawa dan menurunkan air hujan ke atasnya.

 

كَذٰلِكَ النُّشورُ

Demikianlah kebangkitan itu.

Dengan adanya air hujan itu, maka tanaman dapat hidup dan binatang pun mula datang. Kita kemudian akan lihat tanah itu ‘hidup’ semula. Begitulah mudahnya Allah hidupkan tanah dan tanaman. Pengajaran di sini adalah kalau mudah sahaja Allah hidupkan tanah, maka mudahlah juga Allah hidupkan balik makhluk di akhirat kelak. Tidak perlu dihairankan dan difikirkan macam mana Allah akan hidupkan balik kita nanti. Yang pasti kita akan hidup setelah mati apabila sampai masanya.

Telah disebutkan sebuah hadis melalui riwayat Abu Razin yang menyebutkan bahawa dia bertanya kepada Rasulullah Saw., “Wahai Rasulullah, bagaimanakah Allah menghidupkan kembali orang-orang yang telah mati? Dan bukti apakah pada makhluk-Nya yang menunjukkan ke arah itu ?” Rasulullah Saw. menjawab:

“يَا أَبَا رَزِينٍ، أَمَا مَرَرْتَ بِوَادِي قَوْمِكَ محْلا ثُمَّ مَرَرْتَ بِهِ يَهْتَزُّ خَضِرًا؟ ” قُلْتُ: بَلَى. قَالَ: “فَكَذَلِكَ يُحْيِي اللهُ الْمَوْتَى”.

“Hai Abu Razin, tidakkah engkau pernah melewati lembah kaummu yang sedang dalam keadaan tandus (kekeringan)- lalu kamu melewatinya (di lain waktu) dalam keadaan subur lagi hijau?” Abu Razin berkata, “Benar.” Nabi Saw. bersabda, “Maka seperti itulah Allah menghidupkan kembali orang-orang mati.”


 

Ayat 10:

مَن كانَ يُريدُ العِزَّةَ فَلِلَّهِ العِزَّةُ جَميعًا ۚ إِلَيهِ يَصعَدُ الكَلِمُ الطَّيِّبُ وَالعَمَلُ الصّٰلِحُ يَرفَعُهُ ۚ وَالَّذينَ يَمكُرونَ السَّيِّئَاتِ لَهُم عَذابٌ شَديدٌ ۖ وَمَكرُ أُولٰئِكَ هُوَ يَبورُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Whoever desires honor [through power] – then to Allāh belongs all honor. To Him ascends good speech, and righteous work raises it.¹ But they who plot evil deeds will have a severe punishment, and the plotting of those – it will perish.

  • For acceptance by Allāh, meaning that righteous deeds are confirmation and proof of what is uttered by the tongue.

(MELAYU)

Barangsiapa yang menghendaki kemuliaan, maka bagi Allah-lah kemuliaan itu semuanya. Kepada-Nya-lah naik perkataan-perkataan yang baik dan amal yang soleh menaikkannya. Dan orang-orang yang merencanakan kejahatan bagi mereka azab yang keras. Dan rencana jahat mereka akan hancur.

 

مَن كانَ يُريدُ العِزَّةَ فَلِلَّهِ العِزَّةُ جَميعًا

Barangsiapa yang menghendaki kemuliaan, maka milik Allah-lah kemuliaan itu semuanya.

Sesiapa yang mahukan kemulian, maka kemuliaan milik Allah. Kita sendiri tidak ada kemuliaan. Kalau ada kemulian pada kita, itu adalah pemberian dari Allah Taala. Jangan dicari kemulian dengan usaha, kerana perkara ini bukan boleh dicari dan diminta. Tapi ianya adalah pemberian dari Allah kalau kita layak.

Dan apa yang Allah beri, Allah boleh tarik balik. Kerana segala kemuliaan itu milik Allah, bukan? Kalau Allah berikan pun kepada makhluk, ia hanya pinjaman sahaja. Dan Allah boleh tarik balik. Berapa banyak orang mulia yang dihinakan oleh Allah Taala dengan mudah sahaja?

Musyrikin Mekah menentang Nabi Muhammad dan ajaran Tauhid baginda kerana mereka rasa kalau Nabi berjaya, maka kedudukan dan kemuliaan mereka sebagai Penjaga Kaabah akan pudar dan tidak ada lagi. Jadi mereka sebenarnya takut hilang kemuliaan mereka.

Mujahid pula mengatakan, Musyrikin Mekah itu hendakkan kemuliaan dengan menyembah berhala-berhala mereka. Mereka sangka mereka boleh dapat kemuliaan dengan cara itu dan kerana itulah mereka minta kepada berhala-berhala dan sembahan mereka yang lain.

Allah beritahu dalam ayat ini yang kemuliaan itu dari Allah. Allah boleh beri dan Allah boleh tarik. Kemuliaan yang mereka ada itu adalah sangkaan mereka sahaja, seolah-olah itu adalah hak mereka. Sedangkan itu adalah pemberian dari Allah. Kemuliaan mereka itu bukanlah kemuliaan yang sebenar.

{وَِللهِ الْعِزَّةُ وَلِرَسُولِهِ وَلِلْمُؤْمِنِينَ وَلَكِنَّ الْمُنَافِقِينَ لَا يَعْلَمُونَ}

Padahal kekuatan itu hanyalah bagi Allah, bagi Rasul-Nya, dan bagi orang-orang mukmin, tetapi orang-orang munafik itu tiada mengetahui. (Al-Munafiqun: 8)

Oleh kerana kemulian itu dari Allah, maka Allah nak beritahu yang kalau kamu taat kepada Allah, maka Allah akan beri kemuliaan yang sebenar. Dan kalau kamu tidak taat, maka kemuliaan yang kamu sangka kamu ada itu pun akan ditarik dan dihilangkan.

 

إِلَيهِ يَصعَدُ الكَلِمُ الطَّيِّبُ

Kepada-Nya-lah naik perkataan yang baik

Sekarang Allah beritahu bagaimana cara yang sebenar untuk mendapatkan kemuliaan. Iaitu dengan berkata yang baik. Apabila kita berkata sesuatu yang baik seperti mengajar agama ataupun memberi nasihat kepada orang lain atau pun membaca doa, membaca Qur’an, maka ianya akan diangkat kepada Allah oleh malaikat. Ianya akan menjadi pahala buat kita.

Telah diriwayatkan secara marfu’ oleh Imam Ahmad satu hadis:

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا ابْنُ نُمَيْر، حَدَّثَنَا مُوسَى -يَعْنِي: ابْنَ مُسْلِمٍ الطَّحَّانَ -عَنْ عَوْنِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ، عَنْ أَبِيهِ -أَوْ: عَنْ أَخِيهِ -عَنِ النُّعْمَانِ بْنِ بَشِيرٍ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “الَّذِينَ يَذْكُرُونَ مِنْ جَلَالِ اللَّهِ، مِنْ تَسْبِيحِهِ وَتَكْبِيرِهِ وَتَحْمِيدِهِ وَتَهْلِيلِهِ، يَتَعَاطَفْنَ حَوْلَ الْعَرْشِ، لَهُنَّ دَوِيٌّ كَدَوِيِّ النَّحْلِ، يُذَكِّرُونَ بِصَاحِبِهِنَّ أَلَا يُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَلَّا يَزَالَ لَهُ عِنْدَ اللَّهِ شَيْءٌ يُذْكَرُ بِهِ؟ “.

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Ibnu Namir, telah menceritakan kepada kami Musa ibnu Muslim At-Tahhan, dari Aun ibnu Abdullah, dari ayahnya atau dari saudaranya, dari An-Nu’man ibnu Basyir r.a. yang mengatakan bahawa Rasulullah Saw. pernah bersabda: Orang-orang yang berzikir menyebut nama Allah Yang Mahaagung, bertasbih, bertakbir, bertahmid, dan bertahlil. Maka terdengarlah di sekitar Arasy gema suara menyambutnya sebagaimana suara lebah menuturkan orang yang mengucapkannya (dan memohon belas kasihan dan ampunan bagi pelakunya). Tidakkah seseorang di antara kalian suka bila ada sesuatu dari amalnya yang terus-menerus disebutkan di sisi Allah?

‘Kalimah yang baik’ itu juga ditafsirkan sebagai Kalimah Tauhid iaitu la ilaaha illallah. Jadi untuk mendapat kemuliaan adalah berpegang dengan kalimah tauhid itu. Percaya kepada kalimah tauhid itu dan kemudian sampaikan kepada manusia.

Tetapi kalimah يَصعَدُ yang digunakan itu merujuk kepada pendakian seperti menaiki dan mendaki bukit. Maka tentunya ia susah dan juga mengambil masa yang lama.

 

وَالعَمَلُ الصّٰلِحُ يَرفَعُهُ

dan amal yang soleh menaikkannya. 

Maka Allah kata yang dapat memberikan kelajuan kepada kenaikan kata-kata baik itu adalah jika diikuti dengan amalan yang baik. Bukannya cakap sahaja tapi perlulah ditunjukkan dengan amalan pula. Kalau bercakap sahaja, orang Munafik pun boleh cakap.

Iyas ibnu Mu’awiyyah Al-Qadi mengatakan bahawa seandainya tidak ada amal saleh, maka tiada zikrullah yang dinaikkan. Al-Hasan dan Qatadah mengatakan bahawa perkataan tidak diterima kecuali bila diikuti dengan amal saleh.

Atau, seperti kita telah sebut, satu lagi tafsir maksud ‘kalimah terbaik’ itu adalah kalimah tauhid. Dan mereka yang ada fahaman tauhid sahaja yang amalan mereka akan naik kepada Allah. Kalau amal baik tapi akidah seorang itu masih lagi syirik, maka tidak akan dapat pahala kerana amalan itu tidak naik pun. Ianya tidak naik kepada Allah untuk menerima pahala kerana tak cukup syarat. Amalan itu tidak akan naik dan akan jadi sia-sia sahaja.

Maka ayat ini menjadi hujah bahawa iman dan amal itu adalah perkara yang bersangkutan. Kalau beriman sahaja tapi tidak diteruskan dengan perbuatan yang baik, maka itu adalah sia-sia. Sebagai contoh, kalau seseorang itu mengucapkan tahlil (la ilaaha illallah) tapi perbuatannya perbuatan syirik seperti tawasul kepada Nabi, wali dan malaikat, maka ini adalah tidak betul dan tidak sah tahlilnya itu.

Maka malanglah orang yang beramal banyak, tapi akidah dia tidak benar lagi. Dia rajin beribadat, tapi dia tidak faham tauhid kerana dia tidak belajar. Dia ada lagi fahaman syirik dan amalan syirik kerana dia tidak tahu yang dia sedang melakukan syirik. Tidaklah dia sengaja mahu buat syirik, tapi kerana jahil itulah yang menyebabkan dia melakukannya. Kerana fahaman dan amalan syirik itu diajar dan dibisikkan oleh jin syaitan. Kerana apabila dia tidak ada kayu pengukur wahyu, maka dia tidak tahu samada ajaran bisikan syaitan itu benar atau tidak, maka dia amalkan.

 

وَالَّذينَ يَمكُرونَ السَّيِّئَاتِ لَهُم عَذابٌ شَديدٌ

Dan orang-orang yang merencanakan kejahatan bagi mereka azab yang keras.

Takhwif ukhrawi. Ada orang yang cuba hendak menjatuhkan dakwah tauhid. Mereka menggunakan berbagai cara dan mereka merancang bagaimana dakwah tauhid boleh dihalang. Rancangan jahat mereka itu menjadi kebinasaan untuk mereka. Mereka akan dibalas dengan rancangan jahat mereka.

Maka, kalau sesiapa terlibat dalam rancangan dan usaha untuk menghalang dakwah tauhid seperti pembelajaran dan pengajian tafsir Qur’an dari diajar, buat propaganda palsu dengan ustaz-ustaz Sunnah, hasut AJK Masjid dari halang guru tafsir mengajar, tangkap guru yang mengajar Hadis dan sebagainya, maka bersedialah untuk menerima balasan di akhirat kelak.

 

وَمَكرُ أُولٰئِكَ هُوَ يَبورُ

Dan rencana jahat mereka akan hancur.

Rancangan mereka itu tidak akan berjaya. Allah tetap akan tegakkan KalamNya di dunia. Maka kita kena yakin dengan janji Allah yang akan menghancurkan rancangan manusia yang mahu menjatuhkan agama Allah.

Orang yang ada keinginan kepada kebenaran dan buka akal dan hatinya kepada kebenaran tidak akan menerima hujah dan rancangan mereka itu. Mereka akan nampak yang itu semua adalah rancangan untuk menjatuhkan kebenaran sahaja dan mereka tidak akan terima.

Sudahlah rancangan jahat mereka itu tidak akan berjaya, malah mereka akan kena azab pula.


 

Ayat 11: Dalil Aqli. Allah suruh lihat kepada diri kita pula. Tadi Allah suruh lihat kepada alam.

وَاللهُ خَلَقَكُم مِّن تُرابٍ ثُمَّ مِن نُّطفَةٍ ثُمَّ جَعَلَكُم أَزوٰجًا ۚ وَما تَحمِلُ مِن أُنثىٰ وَلا تَضَعُ إِلّا بِعِلمِهِ ۚ وَما يُعَمَّرُ مِن مُّعَمَّرٍ وَلا يُنقَصُ مِن عُمُرِهِ إِلّا في كِتٰبٍ ۚ إِنَّ ذٰلِكَ عَلَى اللهِ يَسيرٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And Allāh created you from dust, then from a sperm-drop; then He made you mates. And no female conceives nor does she give birth except with His knowledge. And no aged person is granted [additional] life nor is his lifespan lessened but that it is in a register. Indeed, that for Allāh is easy.

(MELAYU)

Dan Allah menciptakan kamu dari tanah kemudian dari air mani, kemudian Dia menjadikan kamu berpasangan (laki-laki dan perempuan). Dan tidak ada seorang perempuanpun mengandung dan tidak (pula) melahirkan melainkan dengan sepengetahuan-Nya. Dan sekali-kali tidak dipanjangkan umur seorang yang berumur panjang dan tidak pula dikurangi umurnya, melainkan (sudah ditetapkan) dalam Kitab (Lauh Mahfuzh). Sesungguhnya yang demikian itu bagi Allah adalah mudah.

 

وَاللهُ خَلَقَكُم مِّن تُرابٍ

Dan Allah menciptakan kamu dari tanah

Asal dari tanah itu adalah Nabi Adam kerana kita tidak dijadikan dari tanah. Allah hendak memberitahu bahawa kejadian kita asalnya dari tanah sahaja.

 

ثُمَّ مِن نُّطفَةٍ

kemudian dari air mani,

Kemudian anak cucu keturunan Nabi Adam dijadikan dari air mani pula. Iaitu dari sperma yang ada dalam air mani itu. Allah hendak mengingatkan kita tentang qudratNya menjadikan kita.

 

ثُمَّ جَعَلَكُم أَزوٰجًا

kemudian Dia menjadikan kamu berpasangan

Allah tidak biarkan kita keseorangan sahaja dimana Allah berikan pasangan hidup untuk kita. Dengan pasangan itu, ia memberi ketenangan kepada jiwa kita dan menggembirakan hidup kita supaya jadi lebih bermakna. Ditambah pula dengan kelahiran anak-anak yang akan lebih menambah kegembiraan hidup. Semua ini Allah yang berikan kepada kita.

 

وَما تَحمِلُ مِن أُنثىٰ وَلا تَضَعُ إِلّا بِعِلمِهِ

Dan tidak ada seorang perempuan pun mengandung dan tidak (pula) melahirkan melainkan dengan sepengetahuan-Nya. 

Ini sekarang tentang ilmu Allah. Apabila ada pasangan hidup, maka akan ada persetubuhan dan isteri akan mengandung. Semasa anak dalam kandungan wanita itu, yang tahu keadaan anak itu adalah Allah sahaja. Doktor pun tidak ada maklumat lengkap tentang kandungan itu. Juga di dalam firman Allah Swt. yang tafsirnya telah disebutkan, yaitu:

{اللَّهُ يَعْلَمُ مَا تَحْمِلُ كُلُّ أُنْثَى وَمَا تَغِيضُ الأرْحَامُ [وَمَا تَزْدَادُ وَكُلُّ شَيْءٍ عِنْدَهُ بِمِقْدَارٍ. عَالِمُ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ الْكَبِيرُ] الْمُتَعَالِ}

Allah mengetahui apa yang dikandung oleh setiap perempuan, dan kandungan rahim yang kurang sempurna dan yang bertambah. Dan segala sesuatu pada sisi-Nya ada ukurannya. Yang mengetahui semua yang ghaib dan yang nampak; Yang Mahabesar lagi Mahatinggi. (Ar-Ra’d: 8-9)

Dan bila anak itu akan lahir, bagaimana keadaan dia pun hanya Allah sahaja yang ada maklumat.

 

وَما يُعَمَّرُ مِن مُّعَمَّرٍ

Dan sekali-kali tidak dipanjangkan umur seorang yang berumur panjang

Ada orang yang Allah panjangkan umur dia. Umur kita tentunya ditentukan oleh Allah sahaja. Tapi walaupun Allah telah tetapkan, ada kemungkinan Allah boleh panjangkan lagi.

قَالَ النَّسَائِيُّ عِنْدَ تَفْسِيرِ هَذِهِ الْآيَةِ الْكَرِيمَةِ: حَدَّثَنَا أَحْمَدُ بْنُ يَحْيَى بْنِ أَبِي زَيْدِ بْنِ سُلَيْمَانَ، سَمِعْتُ ابْنَ وَهْبٍ يَقُولُ: حَدَّثَنِي يُونُسَ، عَنِ ابْنِ شِهَابٍ، عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ، رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، قَالَ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: “مَنْ سرَّه أَنْ يُبْسَط لَهُ فِي رِزْقُهُ، ويُنْسَأ لَهُ فِي أَجَلِهِ فَلْيَصِلْ رَحِمَه”.

Imam Nasai dalam tafsir ayat ini mengatakan, telah menceritakan kepada kami Ahmad ibnu Yahya ibnu Abu Zaid ibnu Sulaiman yang mengatakan bahawa dia pernah mendengar Ibnu Wahb mengatakan, telah menceritakan kepadanya Yunus, dari Ibnu Syihab, dari Anas ibnu Malik r.a. yang mengatakan bahawa Rasulullah Saw. pernah bersabda: Barang siapa yang ingin agar rezekinya diluaskan dan usianya diperpanjang, hendaklah dia menghubungkan tali persaudaraannya.

Imam Bukhari, Imam Muslim, dan Imam Abu Daud telah meriwayatkan­nya melalui hadis Yunus ibnu Zaid Al-Aili dengan sanad yang sama.

 

وَلا يُنقَصُ مِن عُمُرِهِ إِلّا في كِتٰبٍ

dan tidak pula dikurangi umurnya, melainkan (sudah ditetapkan) dalam Kitab 

Ada yang panjang umur dan ada yang pendek umurnya.

Seolah-olah Allah memberitahu yang manusia ada jangka hayat yang semua rasa itulah umur kebanyakan orang (umur standard) dan kadang-kadang Allah lebihkan umur sesetengah manusia dan kadang-kadang Allah kurangkan daripada umur itu. Maknanya ada yang mati muda.

Allah telah menentukan jangka hayat seseorang itu dan telah ditulis dalam kitabNya. Inilah Ilmu Ilahi.

Maka pendapat yang mengatakan jangkahayat manusia sekarang semakin tinggi kalau dibandingkan dengan zaman dahulu adalah pendapat yang bahaya. Mereka seolah-olah mengatakan yang manusia ada kuasa pula untuk meningkatkan jangkahayat manusia. Ini adalah fahaman yang syirik kerana manusia tidak mampu nak ambil kuasa Allah Taala. Mana mereka tahu yang pakar sains telah berjaya ‘meningkatkan’ jangkahayat manusia? Mereka sebenarnya tidak meningkatkan apa-apa kerana memang itu kehendak Allah. Bukanlah Allah hendak menjadikan seseorang itu hidup 50 tahun sahaja, tapi sains dapat pula meningkatkannya jadi 60 tahun pula.

Kita kena faham bahawa apa yang terjadi adalah dengan kehendak Allah. Kalau kemajuan sains meningkat, itu adalah kehendak Allah. Allah telah tentukan yang kemajuan sains dapat menjaga kesihatan manusia dan kerana itu manusia dapat hidup lama. Maknanya, ia tetap dalam kuasa Allah Taala juga. Manusia tidak dapat melakukan apa-apa pun tanpa kehendakNYa.

 

إِنَّ ذٰلِكَ عَلَى اللهِ يَسيرٌ

Sesungguhnya yang demikian itu bagi Allah adalah mudah.

Memanjangkan dan memendekkan umur manusia itu mudah sahaja bagi Allah. Kita sahaja yang berusaha nak memanjangkan umur kita tapi ramai yang tidak berjaya. Kerana bukan kita yang tentukan.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 15 Januari 2018


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Posted in Surah 035: Fatir | Leave a comment

Tafsir Surah Fatir Ayat 4 – 8 (Salah faham tentang Allah)

Ayat 4: Ayat tasliah kepada Nabi.

وَإِن يُكَذِّبوكَ فَقَد كُذِّبَت رُسُلٌ مِّن قَبلِكَ ۚ وَإِلَى اللهِ تُرجَعُ الأُمورُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And if they deny you, [O Muḥammad] – already were messengers denied before you. And to Allāh are returned [all] matters.

(MELAYU)

Dan jika mereka mendustakan kamu (sesudah kamu beri peringatan) maka sungguh telah didustakan pula rasul-rasul sebelum kamu. Dan hanya kepada Allahlah dikembalikan segala urusan.

 

وَإِن يُكَذِّبوكَ فَقَد كُذِّبَت رُسُلٌ مِّن قَبلِكَ

Dan jika mereka mendustakan kamu maka sungguh telah didustakan pula rasul-rasul sebelum kamu.

Allah nak beritahu kepada Rasulullah: Jangan bersedih wahai Nabi. Baginda amat sedih dan terkilan apabila dakwah tauhid baginda ditolak. Bukan sahaja ajaran baginda ditolak malah baginda sendiri dihina dan dituduh macam-macam.

Dan Allah hendak memberitahu baginda supaya jangan pelik. Dulu pun para Nabi dah didustakan. Bukanlah baginda yang pertama ditolak. Maka kalau begitu tidaklah perlu bersedih sangat. Inilah tasliah. Kerana apabila kita tahu orang lain pun kena juga, maka berkuranglah sikit rasa sakit hati kita, bukan?

Maka ayat tasliah ini juga untuk kita. Janganlah sedih dan patah hati bila ditolak oleh manusia apabila kita dakwah kepada mereka. Ini biasa sahaja kerana para pejuang tauhid dari dulu memang ditolak oleh manusia. Bukan semua boleh terima.

 

وَإِلَى اللهِ تُرجَعُ الأُمورُ

Dan hanya kepada Allahlah dikembalikan segala urusan.

Akhirnya semua keputusan pulang kepada Allah. Kalau mereka kata Nabi menipu, maka keputusan mereka tidak ada nilai. Keputusan Allah lah yang penting dan muktamad. Semua kita akan kembali ke akhirat dan Allah akan buat keputusan. Selepas keputusan dibuat, maka semua akan dibalas di atas setiap perbuatan kita. Termasuk akan diberikan balasan kepada orang-orang yang menentang itu.


 

Ayat 5: Takhwif ukhrawi.

يٰأَيُّهَا النّاسُ إِنَّ وَعدَ اللهِ حَقٌّ ۖ فَلا تَغُرَّنَّكُمُ الحَيَوٰةُ الدُّنيا ۖ وَلا يَغُرَّنَّكُم بِاللهِ الغَرورُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O mankind, indeed the promise of Allāh is truth, so let not the worldly life delude you and be not deceived about Allāh by the Deceiver [i.e., Satan].

(MELAYU)

Hai manusia, sesungguhnya janji Allah adalah benar, maka sekali-kali janganlah kehidupan dunia memperdayakan kamu dan sekali-kali janganlah syaitan yang pandai menipu, memperdayakan kamu tentang Allah.

 

يٰأَيُّهَا النّاسُ إِنَّ وَعدَ اللهِ حَقٌّ

Hai manusia, sesungguhnya janji Allah adalah benar,

Apa sahaja yang Allah sebut dalam Qur’an akan terjadi. Bukanlah ini semua perkara main-main. Janji yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah tentang neraka dimana telah disentuh dalam ayat sebelum ini. Allah akan memasukkan penentang tauhid dan pelaku dosa ke dalam neraka dan ini adalah pasti.

 

فَلا تَغُرَّنَّكُمُ الحَيَوٰةُ الدُّنيا

maka sekali-kali janganlah kehidupan dunia memperdayakan kamu 

Maka jangan kamu dilalaikan dengan kehidupan dunia. Jangan terpedaya dengan keindahan dunia yang nampak sahaja indah ini. Ia nampak sahaja indah, tapi sebenarnya tidak.

Tidak dapat dinafikan, kehidupan di dunia dan segala perhiasannya memang mampu untuk melalaikan manusia. Ada yang sibuk dengan kerja, ada yang sibuk dengan fesyen, ada yang sibuk dengan hiburan, ada yang sibuk dengan sukan, ada yang sibuk dengan politik, dan macam-macam lagi.

Ada yang cuma mahu bersuka ria sahaja tanpa memikirkan tentang kehidupan mereka yang akhirnya akan berakhir dengan kematian dan akan mengadap Allah dan akan dipertanggungjawapkan dengan segala perbuatan dan amalan. Maka kenalah berhati-hati dan berjaga dengan setiap amalan kita. Jangan kita buat tidak tahu sahaja. Kena sentiasa ingat yang kita akan bertemu dengan Allah.

Maka terlalai dengan dunia adalah satu kesalahan dan kesilapan ini dialami oleh semua orang walaupun oleh orang Islam juga. Jangan sangka yang kita sudah muslim, kita sudah selamat. Kalau kita muslim pun tapi tidak menjalankan kehidupan seperti yang dikehendaki oleh Allah, maka kita pun akan masalah besar nanti.

Walaupun peringatan ini sudah diberikan kepada keseluruhan manusia tetapi kita orang Islam yang sedang membaca Qur’an ini pun kena beri perhatian. Kita pun tidak terselamat kalau tidak berhati-hati. Maka kerana itu Allah banyak sekali ingatkan manusia dengan bahayanya dunia.

Untuk mudak menolak dunia yang menarik ini, maka kita kena yakin sangat dengan janji Allah di akhirat. Kalau kita yakin dengan janji balasan yang baik di akhirat kelak, maka kita mudah untuk tinggalkan keindahan dunia yang kurang kalau dibandingkan dengan syurga. Kerana itu banyak yang Allah beritahu kita tentang kehebatan balasan di syurga nanti supaya datang keyakinan kita kepada janji itu.

Dunia bukanlah semuanya buruk. Tapi kalau terus terpesona sampai terlupa buat persediaan untuk akhirat, maka ini sudah menjadi satu kesilapan yang besar.

 

وَلا يَغُرَّنَّكُم بِاللهِ الغَرورُ

dan sekali-kali janganlah syaitan memperdayakan kamu tentang Allah.

Kalimah الغَرورُ dari غ ر ر yang bermaksud tipu dan perdaya. Apabila ditambah dengan ال maka ia adalah isim dan merujuk kepada sesuatu yang spesifik. Yang dimaksudkan adalah syaitan. Syaitan akan berusaha untuk menipu dan memperdayakan manusia.

Banyak cara syaitan akan menipu dan menggunakan helah. Maka kita kena faham bagaimana cara mereka ‘membelit’ manusia. Ini memerlukan pembelajaran dalam ‘Talbis Iblis’. Ada kitab tentang perkara ini perlu dipelajari oleh kita. Kerana di dalam kitab itu diajar bagaimanakah cara iblis menipu manusia.

Antaranya syaitan akan gunakan senjata yang dinamakan ‘taswif’. Ianya melengahkan manusia dari beribadat dan menuntut ilmu. Ada manusia yang sudah tahu kepentingan ibadah dan ilmu, tapi syaitan bisikkan hal-hal lain yang menghalangnya dari terus melakukan kebaikan seperti belajar, beribadat dan amal-amal kebaikan yang lain. Hal kerja, anak dan keluarga, malah apa sahaja kesibukan yang berbagai-bagai akan dijadikan alasan oleh syaitan untuk tidak melakukan kebaikan.

Ramai tertipu bukan kerana tak tahu kepentingan agama tapi kerana kena taswif. Maka kita kena pandai bahagi masa untuk ibadah dan menambah ilmu agama. Bukannya tunggu masa lapang kerana masa lapang memang tidak akan ada. Maka kita kena susun jadual kita dan jangan abaikan masa untuk belajar dan memperbaiki diri kita.

Kena juga faham bahawa syaitan itu memang pandai menipu manusia. Kepada orang kafir ada cara penipuannya, dan kepada orang musyrik ada cara penipuannya, dan kepada orang Islam pun ada cara penipuan juga. Memang tidak akan dapat dielak dari diganggu dan cubaan hasutan dari syaitan itu. Yang penting kena ada ilmu untuk menolak bisikan mereka.

Sebagai contoh, kepada orang Islam, syaitan akan bisikkan ke dalam hati mereka supaya mereka rasa mereka itu sudah selamat sebab mereka sudah Muslim, sudah mengucap syahadah, solat tak tinggal, sesekali berderma dan sebagainya. Maka mereka tidak benar-benar mengamalkan Islam seperti yang sepatutnya dikehendaki oleh Allah dan disampaikan dalam Qur’an dan sunnah. Maka mereka tidak mendalami ilmu agama dan banyak lagi perkara halal dan haram yang mereka tidak endahkan. Ini kerana mereka sudah rasa selamat dan seolah-olah pasti masuk syurga.

Maka syaitan akan bisik kepada mereka dengan berkata mereka tidak ada masalah sebenarnya kalau mereka buat dosa sedikit-sedikit maka itu tidak akan memasukkan mereka ke dalam neraka pun. Dan kerana itu ada orang yang sangka walaupun mereka buat dosa tetapi apabila mereka pergi mengerjakan umrah maka mereka akan membersihkan dosa-dosa mereka.

Atau kepada orang yang jual arak ataupun mengamalkan perniagaan yang melibatkan riba, tetapi mereka rasa mereka akan selamat apabila mereka beri derma kepada masjid ataupun persatuan agama Islam. Ia seolah-olah ‘cuci’ dosa mereka dan tiket mereka ke syurga telah pasti.

Satu lagi penipuan yang mereka guna adalah dengan mengatakan yang Tuhan itu Maha Penyayang dan Maha Pengampun. Dan kalau Allah Maha Penyayang, takkan Allah nak masukkan orang Islam ke dalam neraka pula? Lihat bagaimana Syaitan akan beri pemahaman yang salah ini seolah-olah jikalau orang Islam sahaja maka orang itu terus selamat. Maka orang Islam tidak takut buat dosa dan macam-macam lagi.

Kerana itu di dalam ayat ini Allah sebut syaitan akan menipu manusia ‘tentang Allah’. Iaitu syaitan akan membisikkan fahaman yang tidak benar tentang Allah seperti yang kita telah sebutkan tadi.

Dan ada yang ditipu dengan syaitan yang mengatakan Allah telah beri ‘kelebihan’ tertentu kepada mereka untuk mereka gunakan ke arah kebaikan. Kerana itu ada pelakon, penyanyi ataupun pemuzik yang ada kelebihan dalam seni sampai mereka boleh melakukan perkara-perkara itu dan mereka sangka yang Allah menjadikan kelebihan itu ada pada mereka untuk mereka menjalankan ‘kerja Allah’.

Maka mereka menjadi pelakon, pemuzik dan juga penyanyi dan digunakan cara itu untuk dakwah, kononnya. Padahal itu adalah cara dakwah yang salah dan menyanyi dan bermain muzik adalah haram di dalam Islam.

Dan mereka membawa perawakan yang baik di mana mereka menyanyi untuk mendapatkan wang dan digunakan wang itu untuk derma kepada mangsa-mangsa bencana alam dan sebagainya. Maka mereka rasa mereka dah buat sesuatu yang baik. Ini juga adalah satu penipuan di dalam agama. Syaitan telah menipu dan mengelabui mata mereka sampai mereka nampak perbuatan mereka itu baik dalam agama. Padahal ianya tidak sama sekali.


 

Ayat 6:

إِنَّ الشَّيطٰنَ لَكُم عَدُوٌّ فَاتَّخِذوهُ عَدُوًّا ۚ إِنَّما يَدعو حِزبَهُ لِيَكونوا مِن أَصحٰبِ السَّعيرِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, Satan is an enemy to you; so take him as an enemy. He only invites his party to be among the companions of the Blaze.

(MELAYU)

Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh bagimu, maka anggaplah ia musuh(mu), kerana sesungguhnya syaitan-syaitan itu hanya mengajak golongannya supaya mereka menjadi penghuni neraka yang menyala-nyala

 

إِنَّ الشَّيطٰنَ لَكُم عَدُوٌّ

Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh bagimu,

Yakinlah syaitan itu benar-benar musuh kita. Dia memang musuh yang nyata pun dan ramai pun sudah tahu tentang perkara ini. Tapi ramai yang leka kerana syaitan itu tidak nyata pada pandangan mata fizikal kita. Walaupun syaitan tidak nyata di mata kita, tapi dia telah ikrar akan menyesatkan anak Adam. Maka itu tanda dia musuh nyata.

Ini disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya:

{وَإِذْ قُلْنَا لِلْمَلائِكَةِ اسْجُدُوا لآدَمَ فَسَجَدُوا إِلا إِبْلِيسَ كَانَ مِنَ الْجِنِّ فَفَسَقَ عَنْ أَمْرِ رَبِّهِ أَفَتَتَّخِذُونَهُ وَذُرِّيَّتَهُ أَوْلِيَاءَ مِنْ دُونِي وَهُمْ لَكُمْ عَدُوٌّ بِئْسَ لِلظَّالِمِينَ بَدَلا}

Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada para malaikat, “Sujudlah kamu kepada Adam, “maka sujudlah mereka kecuali iblis. Dia adalah dari golongan jin, maka ia mendurhakai perintah Tuhannya. Patutkah kamu mengambil dia dan turunan-turunannya sebagai pemimpin selain dari-Ku, sedangkan mereka adalah musuhmu. Amat buruklah iblis itu sebagai pengganti (Allah) bagi orang-orang yang zalim. (Al-Kahfi: 50)

 

فَاتَّخِذوهُ عَدُوًّا

maka anggaplah ia musuh,

Jangan ada sangsi yang dia itu musuh kita. Maka bila ada musuh, maka kenalah kenal musuh kita macam mana. Dan kena kaji cara dia menipu kita supaya kita boleh elak penipuannya. Kalau kita tidak tahu, maka kita akan sentiasa kena tipulah jawabnya.

 

إِنَّما يَدعو حِزبَهُ لِيَكونوا مِن أَصحٰبِ السَّعيرِ

kerana sesungguhnya syaitan-syaitan itu hanya mengajak golongannya supaya mereka menjadi penghuni neraka yang menyala-nyala

Sesiapa yang mendengar dan mengikut bisikan syaitan itu adalah termasuk di dalam ‘parti’ syaitan. Iaitu menjadi geng mereka dalam neraka. Maka kerana itu mereka dengar sahaja bisikan dan arahan dari syaitan.

Tujuan syaitan adalah untuk memasukkan semua anak Adam ke dalam neraka bersama dengan mereka. Mereka nak tarik sebanyak mungkin dari anak Adam. Maka semoga kita tidak termasuk dalam golongan mereka. Maka kenalah tahu bagaimana mereka menipu supaya kita boleh elak dari terjerumus ke dalam penipuan mereka itu.


 

Ayat 7:

الَّذينَ كَفَروا لَهُم عَذابٌ شَديدٌ ۖ وَالَّذينَ ءآمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ لَهُم مَّغفِرَةٌ وَأَجرٌ كَبيرٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Those who disbelieve will have a severe punishment, and those who believe and do righteous deeds will have forgiveness and great reward.

(MELAYU)

Orang-orang yang kafir bagi mereka azab yang keras. Dan orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh bagi mereka ampunan dan pahala yang besar.

 

الَّذينَ كَفَروا لَهُم عَذابٌ شَديدٌ

Orang-orang yang kafir bagi mereka azab yang keras.

Takhwif ukhrawi. Allah beritahu sebagai ancaman yang orang yang engkar dengan kebenaran akan dikenakan dengan azab yang keras. Mereka tidak akan sanggup untuk menerima azab itu. Dan kalau kesalahan yang mereka lakukan itu adalah kesalahan dalam tauhid dan syirik, maka mereka akan kekal dalam neraka.

 

وَالَّذينَ ءآمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ لَهُم مَّغفِرَةٌ وَأَجرٌ كَبيرٌ

Dan orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh bagi mereka ampunan dan pahala yang besar.

Sekarang ayat tabshir ukhrawi pula. Ini diberikan kepada mereka yang beriman sempurna (tidak mengamalkan syirik) dan kuat akidahnya.

Mereka juga tidak beriman sahaja, tapi mereka tunjuk iman mereka itu dengan perbuatan. Iaitu mereka melakukan amal kebaikan. Dan amalan kebaikan itu mestilah amal yang ‘soleh’. Amal yang soleh adalah amal ibadat yang ada contoh dan dalil dari ajaran Nabi dan perbuatan sahabat.

Kepada mereka, Allah janjikan keampunan yang besar. Maknanya Allah boleh ampunkan semua sekali dosa-dosa mereka yang banyak. Dan ini amat penting kerana sebagai manusia, yang kita takut adalah kalau dosa kita dikira satu persatu. Kerana tentu ia sangat banyak. Maka janji pengampunan dari Allah ini sangat mahal. Kerana kalau sudah dibersihkan dosa, maka tentu orang itu akan dimasukkan ke dalam syurga. Kita berharap semoga Allah tidak mengira dosa kita satu persatu. Kita harap Allah akan buat pengiraan yang ringan sahaja dan lepaskan kita dan tidak hukum kita di atas dosa-dosa kita yang banyak itu.

Apabila dalam syurga, maka yang pasti orang itu sudah selamat. Sekarang nak tengok kedudukan dalam syurga pula kerana di dalam syurga ada tingkatan-tingkatan (dipanggil darjat). Yang paling tinggi adalah Tingkatan Firdaus. Semakin banyak pahala ahli syurga itu, semakin tinggi kedudukan dan darjatnya dalam syurga. Maka kepada mereka yang banyak melakukan ibadat, maka kedudukan mereka akan tinggi dalam syurga.

Habis Ruku’ 1 dari 5 ruku’ dalam surah ini.


 

Ayat 8: Zajrun.

أَفَمَن زُيِّنَ لَهُ سوءُ عَمَلِهِ فَرَءآهُ حَسَنًا ۖ فَإِنَّ اللهَ يُضِلُّ مَن يَشاءُ وَيَهدي مَن يَشاءُ ۖ فَلا تَذهَب نَفسُكَ عَلَيهِم حَسَرٰتٍ ۚ إِنَّ اللهَ عَليمٌ بِما يَصنَعونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then is one to whom the evil of his deed has been made attractive so he considers it good [like one rightly guided]? For indeed, Allāh sends astray whom He wills and guides whom He wills. So do not let yourself perish over them in regret. Indeed, Allāh is Knowing of what they do.

(MELAYU)

Maka apakah orang yang dijadikan menganggap baik pekerjaannya yang buruk lalu dia meyakini pekerjaan itu baik, (sama dengan orang yang tidak ditipu oleh syaitan)? Maka sesungguhnya Allah menyesatkan siapa yang dikehendaki-Nya dan menunjuki siapa yang dikehendaki-Nya; maka janganlah dirimu binasa kerana kesedihan terhadap mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat.

 

أَفَمَن زُيِّنَ لَهُ سوءُ عَمَلِهِ فَرَءآهُ حَسَنًا

Maka apakah orang yang dijadikan menganggap baik pekerjaannya yang buruk lalu dia meyakini pekerjaan itu baik, 

Adakah sama antara seorang yang buat amalan buruk tapi dia nampak baik amalannya itu? Bandingkan dengan seorang yang memang Allah berikan fahaman agama sampai dia nampak mana benar dan mana salah? Adakah sama? Tentu tidak.

Syaitan pandai menjadikan manusia itu nampak baik sahaja perbuatan buruk mereka. Perkara ini banyak disebut di dalam Qur’an. Perbuatan itu sebenarnya buruk, tetapi syaitan telah mengelabui mata mereka sampaikan mereka nampak dan sangka yang apa yang mereka buat itu adalah baik.

Sebagai contoh, ada golongan homoseksual yang melakukan demonstrasi di khalayak ramai kononnya untuk memberi kebebasan kepada manusia untuk memilih cara hidup mereka. Kononnya ini adalah kebebasan individu. Begitu juga dengan pergerakan kebebasan wanita.

Dan kerja penipuan manusia ini sekarang lebih mudah dilakukan kerana media boleh digunakan oleh manusia yang jahat untuk menipu manusia. Fahaman salah amat senang disebar sekarang.

Sebagai contoh peperangan yang melibatkan kononnya pembebasan rakyat-rakyat yang ditindas. Maka negara Amerika menghantar tentera mereka ke negara itu kononnya untuk membebaskan mereka. Mereka pandai pakai propaganda kerana media massa dikawal oleh mereka.

Yang ditunjuk di dalam media nanti adalah gambar kanak-kanak yang suka bermain dengan tentera-tentera Amerika itu. Tetapi tidak ditunjukkan bagaimana banyaknya kematian yang terlibat yang tidak patut berlaku tetapi berlaku kerana campur tangan orang luar (Amerik). Dan tidak ditunjukkan kemusnahan dan pihak-pihak lain yang menentang kedatangan anasir luar dari Amerika itu.

Begitu juga kadang-kadang ada peperangan di antara sesama Islam dan kedua-dua pihak memanggil peperangan itu sebagai ‘jihad fisabilillah’. Tetapi sebenarnya ia adalah peperangan yang memusnahkan kedua-dua negara Islam dan orang-orang Islam. Dan peperangan itu bukan untuk kebaikan agama islam pun. Tetapi syaitan menipu dengan menggunakan nama ‘jihad’ untuk menipu orang-orang yang bodoh.

Di dalam Islam ada golongan-golongan yang melakukan perkara yang syirik dan juga bidaah tetapi mereka ditampilkan oleh syaitan sebagai melakukan perkara yang kononnya Islamik. Ini termasuk golongan Habib dan juga ahli agama yang menggunakan topik agama Islam untuk menipu manusia.

Maka kerana mereka telah ditipu, mereka nampak perbuatan mereka itu baik dan mereka teruskan. Mereka tidak rasa bersalah pun, malah mereka rasa merekalah golongan yang terpimpin.

 

فَإِنَّ اللهَ يُضِلُّ مَن يَشاءُ وَيَهدي مَن يَشاءُ

Maka sesungguhnya Allah menyesatkan siapa yang dikehendaki-Nya dan menunjuki siapa yang dikehendaki-Nya; 

Kepada mereka yang mahu jadi kafir, maka Allah boleh benarkan. Allah biarkan sahaja mereka buat apa yang mereka mahu semasa mereka di dunia. Allah rekodkan sahaja apa yang mereka lakukan dan nanti Allah akan balas dengan sekeras-kerasnya.

Kalau tidak mahu beriman dengan ajaran yang sebenarnya, dan apabila dinasihati mereka tetapi menolak, maka Allah boleh buat keputusan untuk tutup hati mereka dari terima iman. Bukanlah Allah buat keputusan dari awal lagi tetapi apabila mereka terus menerus menentang. Bagi mereka yang Allah telah tutup pintu hati mereka itu, maka tidak ada harapan bagi mereka untuk beriman sampai bila-bila.

Allah hendak memberitahu Nabi yang ada insan yang Allah telah buat keputusan tidak akan beri iman kepada mereka. Maka janganlah baginda rasa terkilan kerana mereka tidak beriman walaupun setelah baginda beri dakwah dalam berbagai jenis cara. Memang bukan salah baginda kalau mereka tetap tidak mahu beriman kerana memang Allah telah buat keputusan untuk menyesatkan mereka. Maka jangan fikirkan hal mereka lagi. Baik baginda beri penumpuan kepada mereka yang masih lagi ada harapan.

 

فَلا تَذهَب نَفسُكَ عَلَيهِم حَسَرٰتٍ

maka janganlah dirimu binasa kerana kesedihan terhadap mereka. 

Allah pujuk Nabi supaya jangan sedih sangat dengan golongan-golongan yang teruk itu. Memang ianya perkara yang menyedihkan sampai tidak boleh buat apa-apa. Memang tentu kita bersedih tapi jangan sampai perasaan jadi lemah.

Atau jangan nak buat bising sahaja kepada media dan buat sesuatu yang tidak memberi kebaikan. Ramai orang yang sebegitu, tahu komplen sahaja sana dan sini. Ingatlah yang Nabi tidak duduk senyap sahaja. Baginda terus jalankan kerja dakwah dan mengajak kepada kebaikan dan agama yang lurus. Biarkan mereka nak buat apa pun, janji kita tetap teruskan dengan usaha dakwah kita. Serahkan sahaja hal mereka kepada Allah dan tak payah pusing kepala memikirkan mereka.

 

إِنَّ اللهَ عَليمٌ بِما يَصنَعونَ

Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat.

Sesungguhnya Allah menyesatkan orang yang sesat dan memberi petunjuk orang yang mendapat petunjuk hanyalah karena pengetahuan­Nya yang sempurna dan hujah-Nya yang tiada taranya.

Allah tahu apa sahaja yang mereka lakukan untuk dibalas. Kalau mereka telah buat dosa, mereka tidak akan terlepas. Allah sentiasa sahaja rekod apa yang mereka lakukan. Maka tidak perlu pusing tentang mereka, dan serahkan sahaja kepada Allah. Allah pasti akan balas.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 13 Januari 2018


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Posted in Surah 035: Fatir | Leave a comment

Tafsir Surah Fatir Ayat 1 – 3 (Malaikat ada sayap)

Pengenalan:

Nama Surah ini diambil dari salah satu daripada nama Allah (al-Fatir). Ia dari ف ط ر yang bermaksud menjadikan sesuatu dan kemudian membentuknya menjadi cantik dan sempurna.

Surah ini tentang Tauhid dalam doa dan ibadat. Surah ini menekankan yang Allah sahaja layak diseru dan dipuja. Kalau dibandingkan dengan Surah Saba’ ia tentang tauhid dalam syafaat.


Ayat 1: Dakwa Surah.

الحَمدُ ِللهِ فاطِرِ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ جاعِلِ المَلائِكَةِ رُسُلًا أُولي أَجنِحَةٍ مَّثنىٰ وَثُلٰثَ وَرُباعَ ۚ يَزيدُ فِي الخَلقِ ما يَشاءُ ۚ إِنَّ اللهَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Fāṭir: The Creator, Originator (of creation), or He who brings (it) into existence from nothing. Also called al-Malā’ikah (The Angels).

[All] praise is [due] to Allāh, Creator of the heavens and the earth, [who] made the angels messengers having wings, two or three or four. He increases in creation what He wills. Indeed, Allāh is over all things competent.

(MELAYU)

Segala puji bagi Allah Pencipta langit dan bumi, Yang menjadikan malaikat sebagai utusan-utusan (untuk mengurus berbagai macam urusan) yang mempunyai sayap, masing-masing (ada yang) dua, tiga dan empat. Allah menambahkan pada ciptaan-Nya apa yang dikehendaki-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.

 

الحَمدُ ِللهِ فاطِرِ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ

Segala puji bagi Allah Pencipta langit dan bumi,

Pujian khas hanya bagi Allah. Musyrikin Mekah juga gunakan kalimah الحمد untuk Allah akan tetapi dalam masa yang sama, mereka juga gunakan kalimah ini ditujukan kepada berhala yang mereka puja. Ini tidak betul dan perbuatan syirik. Maka Allah betulkan fahaman salah mereka itu dalam ayat ini.

Dalil aqli: Kenapa pujian khas itu hanya kepada Allah sahaja? Kerana Allah yang menjadikan langit dan bumi.

Allah yang cipta langit dan bumi. Maka kerana itu Dia sahaja yang layak dipuja dan disembah. Musyrikin Mekah juga tahu yang Allah sahaja yang mencipta alam ini tetapi Allah tegur mereka. Kenapa sembah dan puja selain Allah kalau begitu? Memang tidak kena dengan fahaman mereka.

Bab penciptaan alam mereka sudah betul dah. Tapi berlawanan pula dengan amalan mereka.

Sufyan As-Sauri telah meriwayatkan dari Ibrahin ibnu Muhajir, dari Mujahid, dari Ibnu Abbas r.a. yang mengatakan bahawa dia masih belum mengerti makna Fathirus samawati wal ardi sebelum ada dua orang Badwi yang datang kepadanya mempersengketakan sebuah sumur. Maka salah seorangnya berkata kepada yang lain (seterunya), “Akulah yang mulai membuatnya,” dengan ungkapan ‘ana fatartuha.’

 

جاعِلِ المَلائِكَةِ رُسُلًا

Yang menjadikan malaikat sebagai utusan-utusan 

Dan bukan sahaja Allah jadikan alam, tapi termasuk juga segala di dalamnya. Maka Allah beritahu yang Dia juga yang jadikan malaikat. Tugas malaikat adalah sebagai ‘Rasul’ Allah. Maka bukan para Nabi dari kalangan manusia sahaja yang jadi Rasul, tapi para malaikat juga.

Samada mereka menjadi Rasul untuk menyampaikan wahyu kepada Allah, atau menjadi utusan Allah menjalankan arahanNya di dalam alam ini. Allah tidak perlu malaikat untuk menjalankan urusan dalam alam ini tapi Allah hendak menunjukkan kekuasaanNya.

Malaikat adalah salah dari pujaan Musyrikin Mekah. Allah sebut yang dia yang jadikan mereka. Maka kenapa mereka nak puja malaikat sedangkan malaikat itu pun Allah yang jadikan? Kalau mereka dijadikan juga, maka tidak patut mereka disembah dan dipuja. Mereka tidak ada kuasa untuk membuat keputusan mereka sendiri. Dan mereka tidak ada kuasa apa-apa pun melainkan apa yang Allah berikan tugas kepada mereka. Merema memang melakukan sesuatu, tapi semua itu sebagai menjalankan arahan Allah sahaja, tidak lebih dari itu. Mereka tidak buat keputusan sendiri.

Ada banyak jenis malaikat. Setiap malaikat ada tugas masing-masing. Semua berkhidmat kepada Allah dan taat kepada Allah. Mereka hanya jalankan arahan Allah sahaja.

 

أُولي أَجنِحَةٍ مَّثنىٰ وَثُلٰثَ وَرُباعَ

yang mempunyai sayap, masing-masing (ada yang) dua, tiga dan empat.

Dari ayat ini kita tahu yang malaikat adalah makhluk yang Allah jadikan bersayap. Allah yang tentukan bilangan sayap mereka. Kita tidak tahu bagaimana rupa sayap mereka itu, jadi tidak dapat kita bayangkan. Jangan kita terikut-ikut pula dengan fahaman manusia yang ada melukis malaikat dengan sayap yang kecil di belajang mereka. Ini tidak boleh dipertanggungjawabkan kerana kita tidak pernah nampak malaikat.

Kemungkinan bilangan sayap itu diberikan ikut keperluan mereka dalam menjalankan tugas mereka. Ada yang kena terbang jauh dan Allah beri sayap lebih. Walaupun disebut dua, tiga atau empat sahaja sayap dalam ayat ini, tapi kita dapat tahu dari hadis yang ada malaikat yang ada lebih dari itu. Sebagai contoh, Malaikat Jibrail ada banyak sampai 600 sayap. Dan satu sayapnya itu menutupi ufuk langit. Maka bagaimanalah kita nak bayangkan? Kalau satu, dua tiga sayap masih boleh bayangkan lagi, tapi bagaimana Allah susun sampai 600 sayap? Jadi tidak perlu dibayangkan. Kita cuma terima sahaja yang penciptaan Allah itu amat hebat sampaikan kita tidak dapat nak bayangkan.

 

يَزيدُ فِي الخَلقِ ما يَشاءُ

Allah menambahkan pada ciptaan-Nya apa yang dikehendaki-Nya.

Allah boleh tambah apa yang Dia hendak. Allah boleh tambah bilangan sayap malaikat itu ikut kehendakb Dia. Atau dalam mana-mana penciptaan pun. Dia yang tetapkan.

 

إِنَّ اللهَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.

Allah boleh tetapkan dan buat apa sahaja kerana Dia maha berkuasa. Maka memang patut hanya Dia sahaja disembah dan dipuja.


 

Ayat 2: Dalil aqli.

مّا يَفتَحِ اللهُ لِلنّاسِ مِن رَّحمَةٍ فَلا مُمسِكَ لَها ۖ وَما يُمسِك فَلا مُرسِلَ لَهُ مِن بَعدِهِ ۚ وَهُوَ العَزيزُ الحَكيمُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Whatever Allāh grants to people of mercy – none can withhold it; and whatever He withholds – none can release it thereafter. And He is the Exalted in Might, the Wise.

(MELAYU)

Apa saja yang Allah anugerahkan kepada manusia berupa rahmat, maka tidak ada seorangpun yang dapat menahannya; dan apa saja yang ditahan oleh Allah maka tidak seorangpun yang sanggup melepaskannya sesudah itu. Dan Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

 

مّا يَفتَحِ اللهُ لِلنّاسِ مِن رَّحمَةٍ فَلا مُمسِكَ لَها

Apa saja yang Allah anugerahkan kepada manusia berupa rahmat, maka tidak ada seorang pun yang dapat menahannya;

Kuasa Allah juga tidak dapat dihalang. Kalau Allah buat keputusan untuk beri rahmat ataupun kelebihan kepada seseorang maka tidak akan ada sesiapa yang boleh menahannya. Walaupun satu dunia cuba menahannya.

Dan Allah menekankan di sini dan banyak lagi ayat yang segala nikmat itu ‘dari’ Allah, bukan dari selain Allah. Maka kalau mereka sangka yang ada malaikat yang boleh beri mereka sesuatu, maka itu adalah salah faham yang jauh dari kebenaran. Mereka telah tertipu. Maka kalau ada yang puja malaikat kerana hendak rezeki, anak dan sebagainya, itu adalah syirik.

Malangnya ramai dari kalangan manusia yang meminta kepada selain dari Allah. Mereka bina kuil untuk memuja selain Allah. Mereka minta kepada sembahan-sembahan mereka itu yang tidak ada kuasa. Mereka telah minta kepada tempat yang salah. Mereka telah melakukan sesuatu yang amat memalukan.

 

وَما يُمسِك فَلا مُرسِلَ لَهُ مِن بَعدِهِ

dan apa saja yang ditahan oleh Allah maka tidak seorangpun yang sanggup melepaskannya sesudah itu.

Dan sebaliknya jikalau Allah menahan rahmatNya daripada sampai kepada seseorang maka tidak ada sesiapa pun yang boleh memaksa supaya rahmat itu disampaikan juga.

Ada mufassir mengatakan ayat ini berkenaan dengan wahyu. Maksudnya apabila Allah buat keputusan untuk menurunkan wahyu maka tidak ada sesiapa yang boleh menahannya. Dan apabila Allah telah tutup penurunan wahyu maka tidak ada siapa yang dapat mengeluarkannya lagi.

 

وَهُوَ العَزيزُ الحَكيمُ

Dan Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

Tidak ada sesiapa yang boleh paksa dan halang Allah kerana Dia bersifat al-Aziz. Ia bermaksud Allah maha gagah perkasa dan tidak dapat dikalahkan dari melakukan kehendakNya.

Dan Allah juga bersifat al-hakeem. Allah maha bijaksana dan Allah tahu bagaimana nak turunkan rahmat. Dan Allah tahu siapa yang patut dapat rahmat dan siapa yang tidak patut. Bukan kerja kita nak persoalkan ketetapan Allah. Kita tidak dapat tahu apakah kebaikan pada perbuatan Allah itu kerana kita tidak bijaksana.


 

Ayat 3: Targhib kepada tauhid.

يٰأَيُّهَا النّاسُ اذكُروا نِعمَتَ اللهِ عَلَيكُم ۚ هَل مِن خٰلِقٍ غَيرُ اللهِ يَرزُقُكُم مِّنَ السَّماءِ وَالأَرضِ ۚ لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ ۖ فَأَنّىٰ تُؤفَكونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O mankind, remember the favor of Allāh upon you. Is there any creator other than Allāh who provides for you from the heaven and earth? There is no deity except Him, so how are you deluded?

(MELAYU)

Hai manusia, ingatlah akan nikmat Allah kepadamu. Adakah pencipta selain Allah yang dapat memberikan rezeki kepada kamu dari langit dan bumi? Tidak ada ilah selain Dia; maka mengapakah kamu berpaling (dari ketauhidan)?

 

يٰأَيُّهَا النّاسُ اذكُروا نِعمَتَ اللهِ عَلَيكُم

Hai manusia, ingatlah akan nikmat Allah kepadamu. 

Dalam ayat tadi Allah sudah sebut tentang nikmat. Kita kena ingat yang nikmat semua datang dari Allah. Amat banyak nikmat Allah kepada kita samada dari segi kehidupan atau dari segi keagamaan. Takkan mampu kita nak mengiranya.

Maka kena seru Allah sahaja. Tinggalkan seru kepada selain Allah kerana selain Allah tidak ada memberikan nikmat apa pun.

 

هَل مِن خالِقٍ غَيرُ اللهِ يَرزُقُكُم مِّنَ السَّماءِ وَالأَرضِ

Adakah pencipta selain Allah yang dapat memberikan rezeki kepada kamu dari langit dan bumi? 

Tiada kuasa lain yang boleh mencipta seperti telah disebut di awal tadi. Maka begitulah juga tiada yang boleh beri rezeki. Allah tanya sebagai soalan retorik sahaja. Adakah selain Allah yang boleh beri rezeki? Tentulah tidak ada. Kalau duduk fikirkan pun kita akan terima perkara ini.

 

لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ

Tidak ada ilah selain Dia; 

Maka tiada ilah selain Allah. Ilah itu banyak maksudnya. Antaranya ia bermaksud tempat pengharapan kita. Hanya Allah sahaja tempat bergantung kerana Dia sahaja yang boleh beri rezeki.

Maksud ilah juga adalah ‘Tuhan yang layak disembah dan diseru’. Maka kalau Allah sahaja sahaja yang boleh berikan rezeki, maka sembah dan seru Allah lah sahaja. Jangan sembah dan seru selain Allah.

 

فَأَنّىٰ تُؤفَكونَ

maka mengapakah kamu berpaling?

Apa yang kita baru baca tadi adalah perkara asas sahaja dan senang difahami, bukan? Tapi anehnya ramai yang tidak faham. Maka Allah beri lagi soalan retorik: Macam mana lagi kamu boleh terpesong dari akidah tauhid? Macam mana kamu boleh sembah dan seru selain Allah? Macam mana kamu boleh tidak faham hujah yang mudah ini?

Masyarakat kita ramai yang mengaku beragama Islam tapi ramai juga yang ada fahaman syirik. Mereka sangka mereka berpegang kepada amalan tauhid tapi tidak sebenarnya. Ini adalah kerana mereka tidak belajar wahyu. Maka jawapan kenapa manusia terpesong adalah kerana jahil wahyu.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 11 Januari 2018


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Posted in Surah 035: Fatir | Leave a comment