Tafsir Surah Ahzab Ayat 36 – 37 (Pernikahan Rasulullah dan Zainab)

Ayat 36: Sekarang kita masuk kepada kes Zainab binti Jahshy. Allah sekarang memberi maklumat umum dahulu. Iaitu Allah memberi amaran jika tidak taat kepada suruhan Nabi.

وَما كانَ لِمُؤمِنٍ وَلا مُؤمِنَةٍ إِذا قَضَى اللهُ وَرَسولُهُ أَمرًا أَن يَكونَ لَهُمُ الخِيَرَةُ مِن أَمرِهِم ۗ وَمَن يَعصِ اللهَ وَرَسولَهُ فَقَد ضَلَّ ضَلٰلًا مُّبينًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

It is not for a believing man or a believing woman, when Allāh and His Messenger have decided a matter, that they should [thereafter] have any choice about their affair. And whoever disobeys Allāh and His Messenger has certainly strayed into clear error.

(MELAYU)

Dan tidaklah patut bagi laki-laki yang mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan yang mukmin, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan barangsiapa mendurhakai Allah dan Rasul-Nya maka sungguhlah dia telah sesat, sesat yang nyata.

 

وَما كانَ لِمُؤمِنٍ وَلا مُؤمِنَةٍ

Dan tidaklah patut bagi laki-laki yang mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan yang mukmin,

Allah sekarang bercakap tentang apa yang perlu diikuti oleh mukmin dan mukminat selepas ayat sebelum ini yang memberi penekanan kepada kaum lelaki dan juga kaum wanita secara khusus. Ini pula ada tambahan lagi kewajipan kepada mereka.

 

إِذا قَضَى اللهُ وَرَسولُهُ أَمرًا

apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan,

Allah memberitahu kepada kaum lelaki dan juga wanita bahawa apabila Allah dan Rasul telah membuat keputusan,

 

أَن يَكونَ لَهُمُ الخِيَرَةُ مِن أَمرِهِم

(tidak patut) ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. 

Apabila Allah dan Rasul telah beri keputusan, tidak ada lagi ruang untuk orang mukmin membuat keputusan yang lain ataupun menolak keputusan itu. Ayat ini diturunkan apabila Nabi mencadangkan Zaid menikah dengan Zainab.

Asbabun Nuzul: Nabi Muhammad telah mencadangkan supaya Zaid bernikah dengan Zainab dan Allah membenarkan keputusan Nabi Muhammad itu dalam ayat ini. Allah hendak memberitahu bahawa keputusan yang dibuat oleh baginda itu bukan hanya datang daripada Nabi Muhammad sahaja tetapi ianya dipersetujui oleh Allah.

Nabi Muhammad mencadangkan supaya Zainab berkahwin dengan Zaid walaupun Zaid itu asalnya adalah hamba kepada Nabi Muhammad. Sebenarnya Zaid itu dari keturunan bangsawan juga. Ini adalah kerana semasa dia kecil dia telah diculik dan dijadikan sebagai hamba. Dan Nabi pun dah bebaskan Zaid dan telah menjadikan beliau sebagai anak sendiri.

Ini adalah ketika Nabi menjadi wakil meminang Zainab bagi pihak Zaid. Zainab pula dari keturunan Quraisy yang bangsawan tapi dia seorang janda. Beliau adalah seputu Rasulullah kerana dia adalah anak kepada makcik sebelah ayah baginda, iaitu Umaimah bint ‘Abdul Muttalib. Asalnya Zainab dan keluarganya tidak suka dengan perkahwinan itu kerana Zaid itu asalnya adalah seorang hamba. Maka Allah turunkan ayat ini. Allah dah tetapkan kena ikut Nabi baik dari segi agama atau dunia.

Al-Aufi telah meriwayatkan dari ibnu Abbas sehubungan dengan makna firman-Nya: Dan tidaklah patut bagi laki-laki yang mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan yang mukmin. (Al-Ahzab: 36), hingga akhir ayat. Pada mulanya Rasulullah Saw. pergi untuk melamar buat pelayan laki-lakinya yang bernama Zaid ibnu Harisah. Maka baginda masuk ke dalam rumah Zainab binti Jahsy Al-Asadiyyah r.a., dan baginda Saw. langsung melamarnya buat Zaid. Tetapi Zainab binti Jahsy menjawab, “Aku tidak mahu menikah dengannya.” Rasulullah Saw. bersabda, “Tidak, bahkan kamu harus menikah dengannya.” Zainab binti Jahsy berkata, “Wahai Rasulullah, apakah engkau mengatur diriku?” Ketika keduanya sedang berbincang-bincang mengenai hal tersebut, Allah Swt. menurunkan firman-Nya: Dan tidaklah patut bagi laki-laki yang mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan yang mukmin, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan. (Al-Ahzab: 36), hingga akhir ayat. Akhirnya Zainab binti Jahsy bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah engkau rela menikahkan dia denganku?” Rasulullah Saw. menjawab, “Ya.” Zainab berkata, “Kalau demikian, saya tidak akan menentang perintah Rasulullah Saw. Saya rela dinikahkan dengannya.”

Nabi sendiri telah mengeluarkan mahr untuk Zaid sebanyak 10 dinar dan 60 dirham. Maka setelah pernikahan itu berlangsung dan Zaid beberapa kali datang bertemu dengan Nabi Muhammad dan memberitahu bahawa perkahwinan itu tidak menjadi. Bila Zaid kata begitu, maka tentu baginda merasa mungkin baginda telah membuat keputusan yang salah. Maka Allah hendak memberitahu kepada baginda dan juga umat Islam bahawa keputusan itu bukan hanya keputusan dari Muhammad sahaja tetapi dari Allah juga.

Jadi perkahwinan mereka berdua itu tetap juga perlu dilangsungkan kerana Allah hendak menjadikan peristiwa itu sebagai pengajaran yang akan digunakan zaman berzaman sehingga ke hari kiamat. Kejadian ini terjadi pada tahun ke 4 Hijrah.

Ini juga menjadi pengajaran kepada kita. Kerana kadang-kadang ada pasangan yang berkahwin kerana dicadangkan oleh seseorang. Mungkin ianya adalah orang tua pasangan itu ataupun mungkin cadangan daripada orang lain. Tetapi kadang-kadang perkahwinan itu tidak menjadi di mana suami dan isteri itu tidak sesuai dengan sesama mereka. Maka kalau itu terjadi janganlah dipersalahkan orang yang memberi cadangan itu kerana mereka sendiri tidak tahu apa yang akan terjadi. Mereka cuma boleh beri cadangan berdasarkan pemerhatian mereka sahaja. Nabi Muhammad sendiri tidak tahu yang cadangan baginda itu menjadi.

Maka jangan takut untuk memberi cadangan perkahwinan kepada seseorang. Kita boleh sahaja berikan cadangan perkahwinan kepada orang lain asalkan kita yakin yang orang itu sesuai.

Maksudnya kita boleh buat penilaian kita sendiri. Tapi jangan pula kita cadangkan seorang lelaki atau wanita untuk dikahwini jikalau kita sendiri tidak yakin dengan orang itu. Kadang-kadang kita kenal baik dan rapat dengan seorang lelaki tetapi tidak semestinya orang itu sesuai untuk menjadi suami orang lain. Maka kena nilai dengan baik.

Jadi Nabi Muhammad telah membuat cadangan supaya Zaid menikahi Zainab kerana baginda kenal kedua-duanya dan pada fikiran baginda perkahwinan itu sesuai. Tetapi baginda hanya manusia dan baginda tidak tahu perkara ghaib dan kerana itu baginda tidak tahu apa yang akan berlaku selepas itu. Maka baginda tidak boleh dipersalahkan.

 

وَمَن يَعصِ اللهَ وَرَسولَهُ فَقَد ضَلَّ ضَلٰلًا مُّبينًا

Dan barangsiapa mendurhakai Allah dan Rasul-Nya maka sungguhlah dia telah sesat, sesat yang nyata.

Maka kita sebagai umat Islam tidak boleh derhaka kepada Allah dan juga kepada Rasul. Kerana jikalau kita melakukan begitu maka itu adalah kesesatan yang amat nyata.

Walaupun asal ayat ini berkenaan kisah Zaid dan Zainab, tapi ayat ini terpakai zaman berzaman. Apabila arahan telah dikeluarkan oleh Allah dan Rasul, maka kenalah diikuti. Jadi tidak boleh kita nak pakai pendapat yang lain selain dari Qur’an dan sunnah. Kena dulukan Qur’an dan sunnah. Jadi tidak ada sesiapa, samada individu atau kerajaan hendak memilih selain dari Qur’an dan sunnah.

Dalam ayat lain disebutkan melalui firman-Nya:

{فَلا وَرَبِّكَ لَا يُؤْمِنُونَ حَتَّى يُحَكِّمُوكَ فِيمَا شَجَرَ بَيْنَهُمْ ثُمَّ لَا يَجِدُوا فِي أَنْفُسِهِمْ حَرَجًا مِمَّا قَضَيْتَ وَيُسَلِّمُوا تَسْلِيمًا}

Maka demi Tuhanmu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman hingga mereka menjadikan kamu hakim terhadap perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa dalam hati mereka sesuatu keberatan terhadap keputusan yang kamu berikan, dan mereka menerima dengan sepenuhnya. (An-Nisa: 65)


 

Ayat 37: Ayat ini sampai ayat 48 adalah selepas perkahwinan Nabi Muhammad dan Zainab. Baginda telah menikahi Zainab setelah perceraian antara Zainab dan Zaid. Perkahwinan antara mereka berdua tidak ada persetubuhan kerana Zainab tetap tidak suka juga kepada Zaid.

وَإِذ تَقولُ لِلَّذي أَنعَمَ اللهُ عَلَيهِ وَأَنعَمتَ عَلَيهِ أَمسِك عَلَيكَ زَوجَكَ وَاتَّقِ اللهَ وَتُخفي في نَفسِكَ مَا اللهُ مُبديهِ وَتَخشَى النّاسَ وَاللهُ أَحَقُّ أَن تَخشٰهُ ۖ فَلَمّا قَضىٰ زَيدٌ مِّنها وَطَرًا زَوَّجنٰكَها لِكَي لا يَكونَ عَلَى المُؤمِنينَ حَرَجٌ في أَزوٰجِ أَدعِيائِهِم إِذا قَضَوا مِنهُنَّ وَطَرًا ۚ وَكانَ أَمرُ اللهِ مَفعولًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [remember, O Muḥammad], when you said to the one on whom Allāh bestowed favor and you bestowed favor,¹ “Keep your wife and fear Allāh,” while you concealed within yourself that which Allāh is to disclose.² And you feared the people,³ while Allāh has more right that you fear Him. So when Zayd had no longer any need for her, We married her to you in order that there not be upon the believers any discomfort [i.e., guilt] concerning the wives of their claimed [i.e., adopted] sons when they no longer have need of them. And ever is the command [i.e., decree] of Allāh accomplished.

  • Referring to the Prophet’s freed slave, Zayd bin Ḥārithah.
  • i.e., Allāh’s command to the Prophet (ṣ) to marry Zaynab after Zayd divorced her. This was to demonstrate that a man may marry a woman formerly married to his adopted son.
  • i.e., feared their saying that the Prophet (ṣ) had married the (former) wife of his son (which is prohibited by Allāh in the case of a true, begotten son).

(MELAYU)

Dan (ingatlah), ketika kamu berkata kepada orang yang Allah telah melimpahkan nikmat kepadanya dan kamu (juga) telah memberi nikmat kepadanya: “Tahanlah terus isterimu dan bertakwalah kepada Allah”, sedang kamu menyembunyikan di dalam hatimu apa yang Allah akan menyatakannya, dan kamu takut kepada manusia, sedang Allah-lah yang lebih berhak untuk kamu takuti. Maka tatkala Zaid telah mengakhiri keperluan terhadap istrinya (menceraikannya), Kami kawinkan kamu dengan dia supaya tidak ada keberatan bagi orang mukmin untuk (mengawini) isteri-isteri anak-anak angkat mereka, apabila anak-anak angkat itu telah menyelesaikan keperluannya daripada isterinya. Dan adalah ketetapan Allah itu pasti terjadi.

 

وَإِذ تَقولُ لِلَّذي أَنعَمَ اللهُ عَلَيهِ

Dan (ingatlah), ketika engkau berkata kepada orang yang Allah telah melimpahkan nikmat kepadanya 

Ayat ini menyebut kelebihan yang ada pada Zaid. Dia dikatakan sebagai seorang yang telah menerima nikmat daripada Allah, dan apakah dia? Ini kerana beliau dibesarkan di dalam rumah Nabi Muhammad sendiri oleh baginda dan baginda menyayanginya sampaikan baginda memanggilnya sebagai anak. Beliau dibesarkan oleh sebaik-baik manusia. Tidakkah itu satu nikmat yang amat besar?

Mari kita lihat sejarah ringkas Zaid ini: Nama bapa beliau adalah Harithah bin Shurahbil, dari Bani Kalb. Semasa beliau berumur 8 tahun, ibunya membawanya bermusafir untuk menemui keluarganya. Dalam musafir itu, Bani Qain bin Jasr telah merampok kafilah itu dan telah mengambil Zaid dari ibunya. Mereka telah menjual Zaid di Pasar Ukiiz berdekatan Taif. Pembelinya bernama Hakim bin Hizam, anak saudara kepada Siti Khadijah. Hakim telah membawanya ke Mekah dan memberinya kepada Siti Khadijah. Apabila Rasulullah menikahi Siti Khadijah, baginda terpesona dengan sifat Zaid dan Siti Khadijah telah menghadiahkan Zaid kepada baginda. Ketika itu Zaid berumur 15 tahun dan Nabi Muhammad belum lagi menjadi Nabi.

Apabila bapa kandung Zaid dan pakciknya tahu yang Zaid berada di Mekah, maka mereka datang untuk menebusnya dari Rasulullah SAW. Mereka sanggup membayar harga Zaid. Rasulullah memberitahu yang baginda akan panggil Zaid dan biarkan Zaid sendiri buat keputusan. Jikalau Zaid mahu pergi bersama mereka, maka baginda akan bebaskan tanpa mengambil bayaran. Tapi kalau Zaid mahu terus tinggal bersama baginda, maka baginda akan biarkan. Mereka pun bersetuju.

Tetapi apabila Zaid diberikan pilihan itu, Zaid tetap mahu tinggal dengan Nabi dan berkhidmat kepada baginda. Ini kerana beliau telah melihat sendiri akhlak baginda dan tidak mahu meninggalkan baginda. Bapa Zaid dan pakciknya pun bersetuju kerana melihat sendiri Zaid lebih sayangkan Nabi Muhammad.

Nabi Muhammad telah terus membebaskan Zaid dari perhambaan dan mengumumkan di perhimpunan di Kaabah yang Zaid semenjak hari itu adalah anaknya dan akan menerima harta pusakanya nanti. Sejak hari itu, Zaid dikenali sebagai Zaid bin Muhammad. Semua ini terjadi sebelum baginda menjadi Nabi. Apabila baginda diangkat menjadi Nabi, ada empat orang yang terus menerima kenabian baginda tanpa soal: Siti Khadijah, Zaid, Saidina Ali dan Saidina Abu Bakr. Waktu itu Zaid sudah berumur 3o dan telah tinggal selama 15 tahun dengan baginda. Maka beliau kenal sangat dengan Nabi Muhammad.

 

وَأَنعَمتَ عَلَيهِ

dan kamu (juga) telah memberi nikmat kepadanya:

Dan Nabi Muhammad juga telah beri nikmat kepada Zaid kerana telah menganggapnya sebagai anaknya sendiri. Sampaikan Allah kena menegur baginda dengan mengatakan bahawa Zaid itu bukan anaknya yang sebenar. Tapi Nabi Muhammad telah melayan Zaid dengan baik sekali.

Yakni telah memerdekakannya dari perhambaan, sehingga jadilah dia seorang yang terhormat, terkemuka, dan disegani lagi dicintai oleh Nabi Saw. Dia mendapat julukan nama Al-Hibbu (kecintaan Rasulullah Saw.), dan dikatakan kepada anaknya julukan nama Al-Hibbu ibnul Hibbi, yang ertinya orang yang disayangi Rasulullah Saw. putera orang yang disayangi Rasulullah Saw.

Siti Aisyah r.a. pernah mengatakan bahawa tidak sekali-kali Rasulullah Saw. mengirimnya dalam suatu pasukan khusus, melainkan pasti baginda mengangkatnya sebagai ketuanya. Dan seandainya Zaid ibnu Harisah hidup sesudah Nabi Saw., pastilah Nabi Saw. akan mengangkatnya menjadi khalifah. Demikianlah menurut apa yang telah diriwayatkan oleh Imam Ahmad, dari Sa’id ibnu Muhammad Al-Warraq dan Muhammad ibnu Ubaid, dari Wa’il ibnu Daud, dari Abdullah Al-Bahi, dari Siti Aisyah r.a.

 

أَمسِك عَلَيكَ زَوجَكَ

“Tahanlah terus isterimu 

Zainab tinggal bersama Zaid selama satu tahun atau lebih dari setahun, lalu terjadilah pertengkaran di antara keduanya. Apabila perkahwinan Zaid dan Zainab tidak menjadi, maka Zaid telah banyak kali datang berjumpa dengan Rasulullah untuk mengadukan tentang perkara itu dan Baginda tetap menyuruh Zaid saya untuk terus memegang Zainab sebagai isteri.

Ada banyak sebab kenapa baginda tidak membenarkan Zaid menceraikan Zainab. Antaranya kerana baginda memikirkan tentang perasaan Bani Hashim kalau beliau diceraikan. Dan juga tentang kedudukan Zainab sebagai janda dan kalau beliau diceraikan, maka nama baiknya akan tercalar. Kalau itu terjadi, maka mungkin baginda terpaksa mengahwini Zainab sendiri untuk membaiki nama baik Zainab. Dan ini sesuatu yang berat kerana Zaid itu pernah dilihat sebagai anaknya sendiri.

 

وَاتَّقِ اللهَ

dan bertakwalah kepada Allah”, 

Dan Nabi Muhammad memberi nasihat kepada Zaid untuk terus bertaqwa kepada Allah iaitu terus takut kepada hukuman dari Allah.

Maksudnya baginda memberi nasihat supaya Zaid tidak melakukan perkara yang salah. Ini kerana kadang-kadang apabila perkahwinan tidak menjadi, maka ramai yang melakukan perkara yang tidak patut kepada isteri ataupun suaminya. Sebagai contoh ada yang menggunakan kata-kata kesat ataupun menuduh pasangannya itu telah membuat kesalahan.

Dan perkara ini amat penting sampaikan dalam setiap ayat berkenaan perceraian Allah mengingatkan manusia untuk bertakwa kepadaNya. Kerana apabila hati sudah panas dan marah kepada pasangan ramai di antara manusia yang mengeluarkan dan melakukan perkara-perkara yang tidak patut.

Maka nasihat Rasulullah ini kepada Zaid amat penting. Tidaklah bermaksud yang Zaid telah melakukan kesalahan.

 

وَتُخفي في نَفسِكَ مَا اللهُ مُبديهِ

sedang engkau menyembunyikan di dalam hatimu apa yang Allah akan menyatakannya,

Allah memberitahu yang Nabi menyimpan maklumat yang baginda kena nikah dengan Zainab. Allah dah beritahu kepada baginda. Allah telah beritahu yang Zaid dan Zainab akan berkahwin dan kemudian bercerai dan kemudian baginda sendiri akan menikahi Zainab.

Ibnu Abu Hatim mengatakan, telah menceritakan kepada kami ayahku, telah menceritakan kepada kami Ali ibnu Hasyim ibnu Marzuq, telah menceritakan kepada kami Ibnu Uyaynah, dari Ali ibnu Zaid ibnu Jad’an yang menceritakan bahawa Ali ibnul Husain r.a. pernah bertanya kepadaku tentang apa yang telah dikatakan oleh Al-Hasan mengenai firman Allah Swt.: dan kamu menyembunyikan di dalam hatimu apa yang Allah akan menyatakannya. (Al-Ahzab: 37) Maka kuceritakan kepadanya bahawa Al-Hasan mengatakan, tidak demikian, tetapi Allah Swt. telah memberitahukan kepada Nabi-Nya sebelum Nabi Saw. mengahwininya bahawa kelak Zainab akan menjadi salah seorang isterinya. Ketika Zaid datang kepada Nabi Saw. mengadukan sikap Zainab yang membangkang, maka Nabi Saw. bersabda kepada Zaid: Tahanlah terus isterimu dan bertakwalah kepada Allah. Maka Allah Swt. berfirman, “Aku telah memberitahukan kepadamu bahawa Aku akan mengahwinkannya denganmu, dan kamu menyembunyikan di dalam hatimu apa yang Allah akan menyatakannya.” Hal yang sama telah diriwayatkan dari As-Saddi, bahawa Al-Hasan mengatakan hal yang sama.

Allah sendiri yang menikahkan Nabi Muhammad dan Zainab tanpa eddah kerana perkahwinan Zaid dan Zainab tidak ada persetubuhan. Nabi telah tahu perkara ini tapi baginda cuba sembunyikan perkara ini kerana berat bagi baginda. Tapi Allah tetap hendak baginda berkahwin dengan Zainab. Dengan kata lain, Allah menurunkan wahyu kepada Nabi-Nya dan memerintahkan kepadanya agar mengahwini Zainab tanpa wali, tanpa akad, tanpa mahar, dan tanpa saksi manusia, melainkan semuanya ditangani oleh Allah Swt.

Imam Bukhari rahimahullah telah meriwayatkan melalui sahabat Anas r.a. yang menceritakan bahawa sesungguhnya Zainab binti Jahsy r.a. merasa berbangga diri atas isteri-isteri Nabi Saw. yang lainnya dengan mengatakan kepada mereka: Kalian dinikahkan oleh keluarga kalian, sedangkan aku dinikahkan oleh Allah dari atas langit ketujuh.

Dalam tafsir Surat An-Nur ada disebutkan suatu riwayat dari Muhammad ibnu Abdullah ibnu Jahsy yang telah menceritakan bahawa Zainab dan Aisyah saling berbangga diri. Zainab mengatakan, “Akulah wanita yang dikahwinkan melalui wahyu yang diturunkan dari langit.” Sedangkan Aisyah r.a. mengatakan, “Akulah isteri yang pembersihan namanya diturunkan dari langit.” Akhirnya Zainab r.a. mengakui keunggulan Siti Aisyah r.a.

 

وَتَخشَى النّاسَ

dan kamu takut kepada manusia,

Nabi Muhammad berat untuk menyampaikan maklumat itu adalah kerana naluri baginda takut apa yang akan dikatakan oleh masyarakat. Ini sama juga dengan diri kita apabila hendak memberitahu bahawa ada amalan di dalam masyarakat yang salah kerana syirik dan juga bidaah. Takut hendak beritahu ini adalah kerana memang naluri manusia.

Baginda takut apa orang akan kata dan jadi skandal pula. Kerana perkara sebegitu boleh menyebabkan baginda dituduh dan melemahkan umat Islam. Selepas perkahwinan baginda dengan Zainab, golongan Munafik, Yahudi dan juga Musyrik telah menggunakan isu ini untuk merosakkan nama Nabi Muhammad. Dan sampai sekarang pun peribadi Nabi sentiasa sahaja dituduh. Ini kerana ada manusia yang jahat yang hendak merosakkan peribadi Nabi kerana apabila mereka berjaya, maka tentulah ajaran dari baginda juga akan menjadi isu.

Orang akan ambil peluang untuk menolak ajaran Islam dengan kata: “Lihatlah Nabi kamu sendiri pun tidak boleh dipakai. Sanggup kahwin dengan bekas menantu sendiri.” Maka ayat ini diberikan untuk orang Islam supaya jangan terpengaruh dengan tuduhan-tuduhan itu. Ayat ini lebih untuk orang-orang Islam sebenarnya. Kerana kata-kata orang kafir selalunya menyebabkan orang Islam sendiri pun rasa tidak selesa. Kalau ada keyakinan dengan wahyu Allah, orang mukmin tidak ada masalah.

 

وَاللهُ أَحَقُّ أَن تَخشٰهُ

sedang Allah-lah yang lebih berhak untuk kamu takuti. 

Jadi baginda takut yang agama Islam akan mendapat masalah jikalau peribadi baginda diserang. Maka Nabi takut itu bukanlah kerana peribadi sendiri tapi baginda risaukan nama baik Islam.

Maka Allah tegur kepada Nabi supaya jangan takut kepada manusia kerana Allahlah yang lebih patut untuk ditakuti. Maka Allah hendak memberitahu kepada Nabi yang tidak perlu takut dengan kata-kata yang mungkin disampaikan oleh manusia. Baginda hanya kena buat sahaja apa yang Allah suruh. Dan tidaklah Nabi Muhammad menyembunyikan perkara ini.

Ibnu Jarir mengatakan, telah menceritakan kepadaku Ishaq ibnu Syahid, telah menceritakan kepadaku Khalid, dari Daud, dari Amir, dari Aisyah r.a.; dia pernah mengatakan bahawa seandainya Muhammad Saw. menyembunyikan sesuatu dari apa yang diwahyukan kepadanya dari Kitabullah, tentulah baginda menyembunyikannya, yaitu: dan kamu menyembunyikan di dalam hatimu apa yang Allah akan menyatakannya, dan kamu takut kepada manusia, sedangkan Allah-lah yang lebih berhak untuk kamu takuti. (Al-Ahzab: 37)

 

فَلَمّا قَضىٰ زَيدٌ مِّنها وَطَرًا زَوَّجنٰكَها

Maka tatkala Zaid telah mengakhiri keperluan terhadap isterinya (menceraikannya), Kami kahwinkan kamu dengan dia

Ini adalah satu-satunya tempat di mana nama seorang sahabat disebut di dalam Qur’an. Tidak ada nama-nama sahabat lain walaupun nama Abu Bakr atau Aisyah atau Umar disebut. Para sahabat lain disebut secara isyarat sahaja dalam Qur’an.

Ini adalah kerana situasi ini adalah unik dan kerana itu nama Zaid disebut. Kerana perkara ini tidak akan terjadi lagi dan bermaksud ia tidak boleh dilihat secara umum kerana kes ini hanya berlaku pada Zaid sahaja. Sedangkan kalau kes-kes yang melibatkan sahabat-sahabat yang lain, kes itu boleh diaplikasi kepada kes lain zaman berzaman. Sebab itu nama mereka tidak disebut secara spesifik.

Kalimah وَطَرًا bermaksud ‘berkongsi katil’. Ertinya keperluan dan hajat. Ia merujuk kepada perhubungan seks di antara suami dan isteri. Allah boleh sahaja mengatakan setelah Zaid ‘menceraikan’ isterinya. Tetapi Allah tidak berkata begitu kerana Allah hendak menekankan tentang masalah yang terjadi di antara suami isteri itu bermula apabila tidak ada perhubungan badan lagi.

Perhubungan kelamin amat penting dalam perkahwinan. Dalam ayat sebelum ini kita telah diajar yang wanita tidak boleh menunjukkan kecantikannya di luar. Dan sepatutnya wanita menujukkan kecantikannya di dalam rumah kepada suaminya. Suaminya sepatutnya terpersona dengan kecantikan isterinya sahaja. Suami sepatutnya ‘geram’ kepada isterinya sahaja.

Tetapi apabila keadaan dunia sekarang terbalik di mana wanita begitu mudah menunjukkan kecantikannya di luar, maka ada kemungkinan suami sudah tidak ada keinginan lagi kepada isterinya kerana dia melihat ada lagi yang lebih baik di luar. Maka perhubungan kelamin sudah jadi hambar. Maka suami isteri tidak rapat lagi.

Ini adalah peperangan yang selalu berlaku di dalam hati dan juga fikiran kita semua. Kadang-kadang kita menang dan kadang-kadang kita kalah di mana kita melihat juga kepada wanita lain.

Kerana itulah Islam amat menjaga perkara ini dan melarang wanita untuk menunjukkan kecantikannya di luar. Kerana ada yang boleh menahan nafsunya dan ada yang tidak boleh menahan nafsunya dan mereka bukan sahaja melihat tetapi mereka akan buat yang lebih lagi. Boleh fahamlah ya tanpa perlu dijelaskan lagi.

Maka jagalah penampilan diri kita samada di luar atau di dalam rumah. Kerana itulah ayat-ayat tentang wanita duduk di rumah dan menjaga aurat dan penampilan mereka amat penting sekali.

Jadi sekarang kembali kepada perbincangan awal iaitu tentang perhubungan di atas katil. Suami isteri kenalah melakukan sesuatu supaya perkara itu berterusan. Janganlah semasa mula berkahwin sahaja perkara ini dijaga tetapi lama kelamaan ia tidak dijaga lagi.

Selalunya isteri yang ada masalah ini. Sampaikan susah untuk suami memuaskan nafsunya dengan isteri kerana isterinya itu sibuk atau tidak menjaga dirinya. Mungkin mereka malas nak mandi junub di pagi hari kerana rambut mereka basah dan sebagainya. Akhirnya mereka selalu dingin terhadap ajakan suaminya. Padahal hubungan seks itu penting sangat. Suami akan tenang fikirannya kalau perkara itu dipenuhi.

Maka isteri kena hias dirinya. Kena bertanding dengan wanita lain. Tambahan pula zaman sekarang apabila wanita terbuka sangat di luar.

Sekarang kita kembali kepada kisah Nabi Muhammad dan Saidatina Zainab.

 

لِكَي لا يَكونَ عَلَى المُؤمِنينَ حَرَجٌ في أَزوٰجِ أَدعِيائِهِم

supaya tidak ada keberatan bagi orang mukmin untuk (mengawini) isteri-isteri anak-anak angkat mereka,

Allah mahu Nabi Muhammad berkahwin dengan bekas isteri anak angkatnya supaya masyarakat tidak berat hati untuk berbuat demikian. Allah hendak mengajar hukum bahawa anak angkat bukan anak sebenar. Dan kalau anak angkat bukan anak sebenar, maka isteri anak angkat bukanlah menantu sebenar.

Dan berkahwin dengan janda anak angkat memang menjadi sosial taboo masa itu dan kena diperbetulkan. Maka perkara besar ini tidak boleh tidak, mestilah dilakukan oleh Nabi Muhammad sendiri. Kerana ia kena diberi contoh oleh baginda, barulah manusia lain tidak ada masalah untuk mengikutinya. Kerana kalau baginda cakap sahaja, tidak cukup. Baginda kena buat sendiri.

 

إِذا قَضَوا مِنهُنَّ وَطَرًا

apabila anak-anak angkat itu telah menyelesaikan keperluannya daripada isterinya.

Maka seorang ayah angkat boleh berkahwin dengan janda anak angkatnya selepas tiada lagi hubungan antara anak angkat dan jandanya itu. Iaitu setelah mereka bercerai.

Maka ini juga memberi isyarat yang berkahwin dengan pasangan muda tidak ada masalah dalam masyarakat. Kerana tentulah janda anak angkat itu kita boleh anggap sebagai muda, bukan? Ini tidak ada masalah. Orang kita sahaja yang nampak pelik apabila ini berlaku dalam masyarakat. Benda yang pelik tidak semestinya salah.

Jadi ini adalah kisah yang kita dapat dari pembelajaran tafsir Qur’an dan kisah yang sahih. Akan tetapi kita kena tahu bahawa terdapat juga kisah-kisah yang tidak benar tentang peristiwa ini. Dan kisah-kisah itu juga malangnya ada terdapat di dalam kitab-kitab tafsir yang juga dikenali ramai. Maka kita kena sentuh juga.

Ada kitab tafsir yang mengeluarkan cerita yang Nabi pernah melawat rumah Zaid selepas perkahwinannya dengan Zainab. Waktu itu Zaid tidak ada tapi Zainab ada dan dikatakan Rasulullah ternampak Zainab tanpa tudung. Dikatakan juga yang baginda tertarik dengan kecantikan Zainab sampai terkeluar kalimah ‘subhanallah’ dari mulut baginda (memberi isyarat ketakjuban baginda kepada Saidatina Zainab).

Apabila Zaid pulang, Zainab memberitahu kejadian itu kepada Zaid. Dan kerana Zaid sangka Nabi sudah tertarik dengan Zainab, maka dia rela menceraikan Zainab supaya baginda boleh berkahwin dengannya.

Ini adalah kisah dari pihak yang tidak bertanggungjawab yang hendak memburukkan Nabi. Kononnya Nabi ini jenis lihat perempuan cantik sahaja terus jadi tidak tentu arah. Maka ini menghina kedudukan baginda. Tidak patut sekali kali kita ada perasaan begini terhadap Rasul kita.

Adakah berkemungkinan Nabi Muhammad boleh tertarik dengan Zainab sekarang sedangkan Zainab itu adalah sepupu baginda. Baginda sudah kenal Zainab dari kecil lagi dan tentu sudah pernah lihat Zainab tanpa tudung pun kerana ayat hijab belum keluar lagi. Maka bukanlah Nabi Muhammad baru terperasan cantiknya Zainab hanya selepas beliau berkahwin dengan Zaid. Baginda bukannya tidak kenal Zainab dari dulu lagi.

Bukanlah jiwa Nabi seperti yang mereka katakan. Nabi Muhammad seorang yang jujur hatinya. Apabila dikatakan baginda sembunyikan sesuatu, bukanlah maksudnya baginda ‘sembunyikan’ keinginan baginda kepada Zainab. Yang baginda sembunyikan adalah pemberitahuan Allah yang baginda akan berkahwin dengan Zainab.

 

وَكانَ أَمرُ اللهِ مَفعولًا

Dan adalah ketetapan Allah itu pasti terjadi.

Walaupun baginda tidak selesa yang baginda kena berkahwin dengan Saidatina Zainab, tapi kehendak Allah pasti akan terjadi. Nabi Muhammad sendiri pun tidak boleh nak halang kehendak Allah. Maka terjadilah apa yang Allah takdirkan akan terjadi.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 8 Disember 2017


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 033: Ahzab. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s