Tafsir Surah Ahzab Ayat 27 – 30 (Kisah isteri Rasulullah minta bantuan)

Ayat 27: Kemenangan besar kepada umat Islam.

وَأَورَثَكُم أَرضَهُم وَدِيٰرَهُم وَأَموٰلَهُم وَأَرضًا لَّم تَطَئوها ۚ وَكانَ اللهُ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And He caused you to inherit their land and their homes and their properties and a land which you have not trodden.¹ And ever is Allāh, over all things, competent.

  • i.e., that taken in subsequent conquests.

(MELAYU)

Dan Dia mewariskan kepada kamu tanah-tanah, rumah-rumah dan harta benda mereka, dan tanah yang belum kamu pijak. Dan adalah Allah Maha Kuasa terhadap segala sesuatu.

 

وَأَورَثَكُم أَرضَهُم وَدِيٰرَهُم وَأَموٰلَهُم

Dan Dia mewariskan kepada kamu tanah-tanah, rumah-rumah dan harta benda mereka,

Selain dari dapat tawanan perang sebagai hamba, Allah telah memberikan tanah yang banyak milik asal puak Bani Quraizah itu kepada umat Islam. Ini termasuk dengan rumah-rumah mereka dan juga harta-harta kekayaan mereka yang telah dikumpul sekian lama.

Bayangkan Bani Quraizah itu telah mengumpul harta mereka berabad lamanya tapi umat Islam mengautnya dalam masa beberapa hari sahaja. Maka ini adalah rezeki yang amat besar.

 

وَأَرضًا لَّم تَطَئوها

dan tanah yang belum kamu pijak.

Dan bukan itu sahaja kejayaan yang diberikan. Allah beritahu yang Dia akan memberi tanah-tanah yang tidak pernah dilalui oleh umat Islam pun lagi. Iaitu kawasan yang umat Islam pun tidak pernah sangka yang mereka akan dapat menguasainya. Apakah kawasan yang dimaksudkan?

Untuk memahaminya, mari kita lihat kembali kepada Perang Ahzab. Kesan dari Perang Ahzab itu berpanjangan. Nama Quraish Mekah sudah menjadi sangat buruk kerana kekalahan itu. Bayangkan mereka telah kalah di dalam peperangan Badr dan di dalam Perang Uhud mereka tidak dapat memusnahkan umat Islam. Dan sekarang untuk kali yang ketiganya mereka cuba lagi untuk menyerang sekali lagi umat Islam di Madinah tapi masih gagal.

Dan kali ini mereka telah meminta pertolongan puak-puak Arab yang lain. Quraisy Mekah yang hendak memusnahkan umat Islam dan puak-puak yang lain itu hanya bersekutu dan menolong Quraisy Mekah kerana Quraisy Mekah mengajak mereka dan meyakinkan mereka yang kali ini mereka pasti menang.

Tetapi akhirnya mereka tidak berjaya juga. Maka tentu golongan yang lain sudah tidak percaya lagi kepada Quraisy Mekah. Tambahan pula kerana Quraisy Mekah itu telah menggunakan harta dan tenaga mereka tetapi tidak ada pulangan langsung. Selama ini Arab Mekah mendapat hormat daripada puak-puak dan golongan sekeliling kerana mereka itu penjaga Kaabah. Tetapi sekarang mereka sudah tidak dipercayai lagi.

Perang Ahzab ini berlaku pada tahun kelima Hijrah. Dan pada tahun berikutnya iaitu pada tahun keenam Hijrah, Nabi Muhammad dengan 2,000 para sahabat telah membuat keputusan untuk mengerjakan umrah di Mekah.

Bayangkan setahun yang lepas Quraisy Mekah telah mengepung Madinah dan pada tahun keenam Nabi Muhammad dan para sahabatnya hendak masuk ke dalam Mekah iaitu tempat musuh yang menyerang mereka pada tahun sebelumnya. Kisah ini disebut di dalam Surah Fath.

Dipendekkan cerita telah berlaku perjanjian Hudaibiyah di antara umat Islam dan Quraisy Mekah. Ini lebih menjatuhkan nama Quraisy Mekah kerana sekarang puak-puak di sekeliling sudah nampak yang umat Islam adalah satu kerajaan. Kerana apabila Quraisy Mekah mengadakan perjanjian gencatan senjata dengan umat Islam Madinah, ini menunjukkan yang Quraisy Mekah sendiri telah mengiktiraf kerajaan Islam.

Dan semasa gencatan senjata itu Nabi Muhammad telah mengadakan perjanjian dengan puak-puak Arab di sekitar Tanah Arab untuk bersama dengan umat Islam. Dan ramai puak-puak di sekitar telah mengadakan perjanjian dengan umat Islam yang bermaksud mereka berada d pihak umat Islam.

Dan kerana gencatan senjata itu, maka umat Islam dapat menyerang Khaibar iaitu puak Yahudi di situ. Khaibar duduknya tidak jauh dari Kota Madinah. Sebelum itu Nabi tidak dapat menyerang mereka kerana mereka berkawan dengan Arab Mekah. Dan kerana gencatan senjata sudah ada, maka Khaibar tidak boleh dibantu oleh Mekah.

Khaibar kaya dengan harta. Jadi tanah yang tidak pernah dilalui oleh umat Islam dan tidak disangka boleh dikuasai itu adalah Tanah Khaibar.

Ada juga yang berpandangan yang dimaksudkan tanah yang tidak pernah dipijak itu adalah kerajaan Rom dan Parsi. Ini diambil dari kisah semasa Nabi pecahkan batu semasa menggali parit khandak itu. Semasa memecahkan batu itu, Nabi telah ditunjukkan yang Islam akan dapat mengalahkan dan menakluki dua kerajaan besar itu. Dan Rom dan Parsi telah jatuh ke tangan umat Islam pada zaman pemerintahan Khalifah Uthman. Satu lagi pendapat mengatakan yang dimaksudkan adalah Mekah.

 

وَكانَ اللهُ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرًا

Dan adalah Allah Maha Kuasa terhadap segala sesuatu.

Allah boleh lakukan apa sahaja. Kalah dan menang manusia dalam peperangan dan pemerintahan adalah dalam percaturan Allah. Allah boleh beri kemenangan dan Allah boleh beri kekalahan. Kadangkala kemenangan dan kekalahan itu tidak disangka-sangka oleh manusia. Penganalisa politik paling hebat pun tidak dapat menjangkakannya.

Dan sekarang sudah habis ayat Qur’an yang berkenaan Perang Ahzab.


 

Ayat 28: Sekarang kita akan masuk kepada perbincangan perkahwinan dan hubungan suami isteri yang mungkin boleh menjadi topik sensitif kepada sesetengah orang. Tapi perkara ini tetap kena disampaikan kepada manusia.

Sebelum ini telah disebut bagaimana Nabi Muhammad itu adalah sebagai contoh tauladan untuk kita ikuti. Maka kita kena tahu bagaimana baginda menangani ahli keluarga baginda.

Seperti yang kita tahu, Nabi Muhammad itu bukan sahaja seorang Rasul tetapi juga seorang ketua negara, ketua perang, seorang suami, seorang bapa, seorang sahabat dan banyak lagi topi yang baginda pakai. Dalam semua topi yang baginda pakai itu baginda menjadi contoh yang terbaik untuk kita ikuti.

Kita boleh katakan, hanya satu contoh sahaja yang baginda tidak boleh menjadi ikutan kerana baginda tidak mampu melakukannya iaitu menjadi contoh seorang wanita kerana baginda seorang lelaki.

Tetapi contoh tauladan kepada wanita dari wanita kena juga ada dan itu dipenuhi oleh para isteri baginda. Jadi di dalam surah yang menyebut tentang Nabi  jadi contoh, maka disebut tentang kehidupan para isteri baginda juga. Maka para wanita Islam kena ambil contoh dari para isteri baginda.

يٰأَيُّهَا النَّبِيُّ قُل لِّأَزوٰجِكَ إِن كُنتُنَّ تُرِدنَ الحَيَوٰةَ الدُّنيا وَزينَتَها فَتَعالَينَ أُمَتِّعكُنَّ وَأُسَرِّحكُنَّ سَراحًا جَميلًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O Prophet, say to your wives, “If you should desire the worldly life and its adornment, then come, I will provide for you and give you a gracious release.

(MELAYU)

Hai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu: “Jika kamu sekalian mengingini kehidupan dunia dan perhiasannya, maka marilah supaya kuberikan kepadamu kesenangan dan aku ceraikan kamu dengan cara yang baik.

 

يٰأَيُّهَا النَّبِيُّ

Hai Nabi,

Dalam ayat ini Allah menggelar dan memanggil Nabi Muhammad dengan gelaran ‘Nabi’ dan bukan ‘Rasulullah’. Mesti ada sebabnya kenapa Allah menggunakan kalimah itu di dalam ayat ini.

‘Rasul’ adalah seorang yang menyampaikan ‘risalah’ kepada manusia. ‘Nabi’ pula adalah seorang yang menyampaikan naba’ iaitu ‘berita besar’ kepada manusia. Jadi apabila Allah memulakan ayat ini dengan menggunakan panggilan ‘Nabi’ kepada baginda, maka ia memberi isyarat bahawa maklumat yang disampaikan ini adalah besar.

Allah boleh sahaja terus bercakap kepada para isteri baginda tetapi Allah memuliakan baginda dengan memanggil dan menyeru Nabi Muhammad.

 

قُل لِّأَزوٰجِكَ إِن كُنتُنَّ تُرِدنَ الحَيَوٰةَ الدُّنيا وَزينَتَها

katakanlah kepada isteri-isterimu: “Jika kamu sekalian mengingini kehidupan dunia dan perhiasannya,

Kita kena tahu latar belakang ayat ini sebelum kita meneruskan tafsirnya.

Waktu ini selepas habisnya Perang Ahzab dan Nabi Muhammad dan para sahabat telah menakluk dan mengambil harta yang banyak dari Bani Quraizah. Semasa permulaan Perang Ahzab itu nabi dan para sahabat di dalam keadaan yang miskin sangat sampaikan mereka tidak ada makanan langsung untuk dimakan sampaikan Nabi Muhammad telah mengikat pinggang baginda dengan batu untuk mengurangkan sakit lapar.

Tetapi keadaan telah berubah dengan mendadak sekali di mana sekarang harta telah menjadi banyak. Harta rampasan itu memang banyak dan ianya telah dibahagikan kepada para sahabat yang terlibat di dalam perang.

Isteri-isteri Nabi iaitu ibu-ibu kita perasan yang mereka tidak mendapat bahagian langsung daripada harta-harta itu. Maka mereka telah berbincang sesama mereka dan mereka telah membuat keputusan untuk menghantar wakil kepada Rasulullah untuk meminta supaya ‘bajet’ dapur  mereka ditambah.

Seperti kita mungkin tahu, rumah para isteri Nabi bukannya mewah dan selalu dapur di rumah mereka tidak berasap pun. Maka oleh itu, permintaan mereka itu bukanlah terlebih dan tidak patut kerana mereka bukannya minta perhiasan ataupun harta, tetapi yang mereka minta adalah keperluan rumah sahaja.

Dan susah untuk kita menyalahkan mereka kerana di sekitar Madinah waktu itu keadaan sudah menjadi sedikit mewah kalau dibandingkan dengan sebelum itu. Ramai para sahabat dah dapat harta rampasan dan semua sedang dalam kesenangan sikit.

Tetapi kita kena sedar yang kayu ukur yang dikenakan kepada Nabi Muhammad tidak sama dengan orang biasa. Kalau kita menjaga perkara yang wajib dan buat lebih sikit daripada yang wajib iaitu dengan buat amalan-amalan sunat, maka itu pun sudah bagus. Sebagai contoh jikalau kita dapat melakukan solat tahajud setiap malam, ini adalah satu kelebihan yang amat besar kepada kita. Tetapi kepada Nabi Muhammad, ianya adalah sesuatu yang wajib.

Jadi jikalau kayu ukur kepada Nabi Muhammad itu tinggi, maka begitu juga kayu ukur yang diletakkan kepada para isteri baginda kerana mereka itu menjadi kayu ukur dan juga contoh kepada wanita-wanita Islam.

Jadi apabila mereka pun terkesan dengan kekayaan yang telah dinikmati oleh umat Islam pada waktu itu, maka baginda telah terasa hati dengan mereka. Sampaikan baginda dikatakan telah ila’ para isterinya. Iaitu baginda telah mengasingkan diri baginda dari mereka selama sebulan. Sampaikan Umar risau baginda ceraikan para isteri baginda kerana anaknya salah seorang isteri baginda.

Maksima masa yang dibenarkan untuk ila’ hanya selama 4 bulan 10 sahaja. Tapi baginda hanya melakukannya selama sebulan sahaja.

Dan sekarang Allah memberikan satu ayat berkenaan para isteri baginda dan ayat ini adalah ayat yang agak berat. Sampaikan Allah surah Nabi cakap kepada mereka: Jikalau mereka mahukan dunia dan segala perhiasannya.

Tetapi seperti yang kita sebut sebelum ini para isteri baginda itu bukannya minta baju, bag tangan cantik atau perhiasan dunia; mereka tidak minta rumah besar ataupun istana tetapi yang mereka minta hanyalah keperluan rumah saja.

Jadi bukanlah salah apa yang mereka lakukan itu sebenarnya, akan tetapi kerana kayu ukur yang ditetapkan ke atas mereka itu amat tinggi kerana mereka bersama dengan Nabi Muhammad, maka perkara itu pun tidak sesuai untuk mereka. Kerana mereka kena bersama dengan Nabi mengorbankan diri untuk agama. Mereka bukan orang biasa.

 

فَتَعالَينَ أُمَتِّعكُنَّ

maka marilah supaya kuberikan kepadamu kesenangan

Baginda disuruh untuk memberitahu kepada mereka yang jikalau mereka hendakkan perkara keduniaan, maka Nabi Muhammad dan Allah boleh beri kepada mereka dengan sebanyak-banyaknya. Allah bukan tidak boleh berikan kepada mereka.

Maknanya mereka boleh dapat apa yang mereka minta itu malah lebih lagi boleh diberikan kepada mereka, tetapi mereka tidak boleh lagi hidup bersama dengan Nabi Muhammad.

Nabi dan para isteri baginda perlu mendalami satu kehidupan yang penuh cabaran dan juga pengorbanan yang lebih dari orang lain. Seperti yang kita tahu, Nabi Muhammad tidaklah menolak langsung dunia ini kerana Nabi pernah berkata yang baginda suka kepada minyak wangi dan juga wanita.

Tetapi kerana baginda di dalam satu misi dakwah dan ianya adalah suatu kerja yang berat, maka semua perkara-perkara lain menjadi perkara yang kedua sahaja. Dan baginda tidak ada masa untuk memikirkan tentang dunia dan berehat dengan keindahan dunia.

Dan baginda kena berkorban dengan pengorbanan yang paling tinggi sekali kerana baginda menjadi contoh kepada para sahabat dan umat Islam yang lain. Tidak ada manusia yang lebih berkorban daripada baginda dan semua pengorbanan orang lain adalah kurang daripada baginda.

Dan jikalau pengorbanan baginda itu dikurangkan kerana ada kekayaan sedikit, maka itu tentu menjadikan orang-orang di bawah baginda juga akan mengurangkan pergorbanan mereka. Sebagai contoh, Katakanlah baginda berkorban 70%, maka tentu sahabat berkorban 50% sahaja. Kalau baginda berkorban sebanyak 50%, para sahabat berkorban sebanyak 30% sahaja, bukan? Maka kerana itu baginda kena letak kayu ukur yang tinggi.

Dan para isteri Nabi pula menjadi contoh ikutan kepada wanita-wanita Islam seluruhnya, maka mereka juga kena melakukan pengorbanan yang besar.

Kita kena sedar bagaimana kebanyakan manusia berfikir. Mereka akan menjadikan orang-orang yang mereka rasa lebih beragama daripada mereka sebagai hujah. Sebagai contoh, jikalau ada orang bertanya tentang televisyen yang besar di rumah, maka mereka akan berkata: “Ala…. Tok imam pun pakai TV besar juga, jadi tidak salahlah kalau pakai TV besar!”

Maknanya, manusia akan bandingkan dengan ‘orang agama’. Jadi mereka akan menggunakan alasan-alasan sebegitu untuk membenarkan perbuatan mereka. Maka Nabi Muhammad tidak boleh memberi contoh yang buruk kepada manusia. Kalau baginda dan keluarga baginda ambil kesempatan sahaja, maka ia akan memberi kesan kepada umat manusia seluruhnya. Maka nanti ahli politik tak rasa bersalah kalau guna duit rakyat. Nanti senang pula mereka berkata: “Nabi pun dulukan kepentingan keluarga baginda, jadi apa salahnya kami pun nak ambil sikit duit kerajaan?”

Satu elemen lagi yang kita perlu tahu adalah orang-orang munafik sentiasa mencari peluang untuk menjatuhkan kedudukan Nabi Muhammad. Mereka perhati sahaja apa yang berlaku di dalam keluarga baginda dan jikalau mereka nampak baginda ada mengambil harta rampasan itu dan diberikan kepada isteri-isteri baginda, maka tentu mereka akan kata baginda telah menyalahgunakan harta itu untuk menjadikan keluarga baginda kaya.

Mereka bukan kisah pun yang tambahan itu hanya untuk keperluan dapur di rumah sahaja kerana mereka pasti akan pusing cerita sampai ianya nampak seperti baginda telah buat salah. Maka Nabi Muhammad tidak boleh benarkan ini boleh berlaku. Baginda kena amat berhati-hati.

Allah tahu yang mereka itu mempunyai ‘lidah-lidah besi’ yang mereka akan gunakan untuk menjatuhkan Islam. Mereka akan gunakan kedudukan Rasulullah sebagai penyebabnya. Maka Allah beri nasihat kepada Rasulullah untuk mengawal perkara ini dan jangan memberikan peluang kepada puak-puak munafik untuk ambil kesempatan.

 

وَأُسَرِّحكُنَّ سَراحًا جَميلًا

dan aku ceraikan kamu dengan cara yang baik.

Kalimah سرح asalnya bermaksud membiarkan binatang ternak makan rumput di padang. Kalimah سرّح (dengan tambahan syaddah) pula bermaksud ‘membiarkan’ dan ia bermakna dalam ayat ini ‘menceraikan’ mereka. Iaitu biarkan mereka hidup sendiri tanpa baginda.

Maksud سَراحًا جَميلً  perceraian itu boleh menjadi perceraian yang baik sahaja di mana tidaklah mereka itu dikira sebagai berdosa ataupun bukan Muslim lagi.

Baginda boleh ceraikan mereka dengan cara baik iaitu pulangkan mereka ke keluarga mereka. Cuma mereka tidak boleh lagi bersama dengan Rasulullah dan bersama-sama dengan baginda di akhirat kelak. Mereka boleh berkahwin dengan orang lain yang boleh memberikan kesenangan hidup dunia kepada mereka.


 

Ayat 29:

وَإِن كُنتُنَّ تُرِدنَ اللهَ وَرَسولَهُ وَالدّارَ الآخِرَةَ فَإِنَّ اللهَ أَعَدَّ لِلمُحسِنٰتِ مِنكُنَّ أَجرًا عَظيمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But if you should desire Allāh and His Messenger and the home of the Hereafter – then indeed, Allāh has prepared for the doers of good among you a great reward.”

(MELAYU)

Dan jika kamu sekalian menghendaki (keridhaan) Allah dan Rasulnya-Nya serta (kesenangan) di negeri akhirat, maka sesungguhnya Allah menyediakan bagi siapa yang berbuat baik diantaramu pahala yang besar.

 

وَإِن كُنتُنَّ تُرِدنَ اللهَ وَرَسولَهُ وَالدّارَ الآخِرَةَ

Dan jika kamu sekalian menghendaki Allah dan Rasulnya-Nya serta negeri akhirat,

Akan tetapi jikalau mereka mahu kepada redha Allah dan redha Rasulullah dan sanggup untuk bersama dengan baginda, maka Allah akan membantu mereka.

Dan jika mereka ada keinginan untuk memiliki kedudukan yang tinggi di akhirat kelak, maka mereka kenalah berkorban.

 

فَإِنَّ اللهَ أَعَدَّ لِلمُحسِنٰتِ مِنكُنَّ أَجرًا عَظيمًا

maka sesungguhnya Allah menyediakan bagi siapa yang berbuat baik diantaramu pahala yang besar.

Yang boleh mula sekali menyahut seruan Allah ini adalah Aisyah dan kemudian diikuti oleh isteri-isteri baginda yang lain. Nabi panggil mereka dan suruh mereka fikir. Ini dinamakan ‘takhyir’ iaitu beri peluang kepada isteri untuk buat keputusan samada kekal bersama atau berpisah. Aisyah terus buat keputusan dan kemudian telah berjumpa dengan para isteri baginda yang lain.

قَالَ الْبُخَارِيُّ: حَدَّثَنَا أَبُو الْيَمَانِ، أَخْبَرَنَا شُعَيْبٌ، عَنِ الزُّهْرِيِّ، قَالَ: أَخْبَرَنِي أَبُو سَلَمَةَ بْنُ عَبْدِ الرَّحْمَنِ، أَنَّ عَائِشَةَ، رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا، زَوْجَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَخْبَرَتْهُ: أن رسول الله صلى الله عليه وسلم جَاءَهَا حِينَ أَمَرَهُ اللَّهُ أَنْ يُخَيِّرَ أَزْوَاجَهُ، فَبَدَأَ بِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: “إِنِّي ذَاكِرٌ لَكِ أَمْرًا، فَلَا عَلَيْكِ أَنْ لَا تَسْتَعْجِلِي حَتَّى تَسْتَأْمِرِي أَبَوَيْكِ”، وَقَدْ عَلمَ أَنَّ أَبَوَيَّ لَمْ يَكُونَا يَأْمُرَانِي بِفِرَاقِهِ. قَالَتْ: ثُمَّ قَالَ: “وَإِنَّ اللَّهَ قَالَ: {يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ قُلْ لِأَزْوَاجِكَ} إِلَى تَمَامِ الْآيَتَيْنِ، فَقُلْتُ لَهُ: فَفِي أَيِّ هَذَا أَسْتَأْمِرُ أَبَوَيَّ؟ فَإِنِّي أُرِيدُ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَالدَّارَ الْآخِرَةَ

Imam Bukhari mengatakan, telah menceritakan kepada kami Abul Yaman, telah menceritakan kepada kami Syu’aib, dari Az-Zuhri yang mengatakan, telah menceritakan kepadaku Abu Salamah ibnu Abdur Rahman, bahawa Siti Aisyah r.a. isteri Nabi Saw. pernah menceritakan kepadanya bahawa Rasulullah Saw. datang kepadanya ketika Allah Swt. memerintahkan kepadanya agar memberitahukan hal ini kepada isteri-isterinya. Isteri yang mula-mula didatangi Rasulullah Saw. adalah dia sendiri, Rasulullah Saw. bersabda: Sesungguhnya aku akan menuturkan kepadamu suatu urusan, maka janganlah engkau tergesa-gesa mengambil keputusan sebelum meminta pendapat dari kedua ibu bapamu. Rasulullah Saw. telah mengetahui bahawa kedua orang tuaku (Aisyah) belum pernah memerintahkan kepadaku untuk berpisah dari baginda Saw. Kemudian Nabi Saw. bersabda bahawa Allah Swt. telah menurunkan firman-Nya: Hai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu. (Al-Ahzab: 28), hingga akhir kedua ayat berikutnya. Maka aku menjawab, “Apakah kerana urusan itu aku diperintahkan untuk meminta saranan kepada kedua orang tuaku? Sesungguhnya aku hanya menginginkan Allah dan Rasul-Nya serta negeri akhirat.”

Hal yang sama telah diriwayatkan oleh Imam Bukhari secara ta’liq melalui Al-Lais, telah menceritakan kepadaku Yunus, dari Az-Zuhri, dari Abu Salamah, dari Aisyah r.a. Lalu disebutkan hadis yang semisal, tetapi dalam riwayat ini ditambahkan bahawa setelah itu semua isteri Nabi Saw. melakukan hal yang sama seperti apa yang dilakukan oleh Aisyah.

Ketika ayat ini diturunkan, isteri baginda ada empat orang: Aisyah, Saudah, Hafsah dan Umm Salamah. Ikrimah pula mengatakan bahawa pada waktu itu Nabi Saw. mempunyai sembilan orang isteri. Lima orang isteri dari kalangan kabilah Quraisy, yaitu Aisyah, Hafsah, Ummu Habibah, Saudah, dan Ummu Salamah. Selain itu adalah Safiyyah binti Huyay An-Nadriyyah, Maimunah bintil Haris Al-Hilaliyah, Zainab binti Jahsy Al-Asadiyah, dan Juwairiyah bintil Haris Al-Mustaliqiyah. Semoga Allah melimpahkan redha-Nya kepada mereka dan membuat mereka semua rida dengan pahala-Nya.

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Abu Amir alias Abdul Malik ibnu Amr, telah menceritakan kepada kami Zakaria ibnu Ishaq, dari Abuz Zubair, dari Jabir r.a. yang menceritakan bahawa sahabat Abu Bakar r.a. datang dan meminta izin untuk menemui Rasulullah Saw. Pada saat itu orang-orang berada di depan pintu rumah baginda Saw. sedang duduk-duduk menunggu. Sedangkan Nabi Saw. sedang duduk di dalam rumahnya, baginda tidak mengizinkan Abu Bakar untuk masuk. Kemudian datanglah Umar r.a. dan meminta izin untuk masuk, tetapi dia pun tidak diizinkan masuk. Tidak lama kemudian Abu Bakar dan Umar diberi izin untuk masuk, lalu keduanya masuk. Saat itu Nabi Saw. sedang duduk, sedangkan semua isterinya berada di sekelilingnya, baginda Saw. hanya diam saja. Umar berkata dalam hatinya bahawa dia akan berbicara kepada Nabi Saw. suatu pembicaraan yang mudah-mudahan akan membuat baginda dapat tersenyum. Maka Umar berkata, “Wahai Rasulullah, seandainya anak perempuan Zaid (yakni isteri dia sendiri) meminta nafkah kepadaku, pastilah aku akan menamparnya.” Maka Nabi Saw. tersenyum sehingga gigi serinya kelihatan, lalu bersabda: Kebetulan mereka pun yang ada di sekelilingku ini meminta nafkah kepadaku. Maka Abu Bakar r.a. bangkit menuju tempat Aisyah dengan maksud akan memukulnya. Umar bangkit pula menuju tempat Hafsah dengan maksud yang sama. Lalu keduanya berkata, “Kamu berdua meminta kepada Nabi Saw. nafkah yang tidak ada padanya?” Tetapi Nabi Saw. melarang keduanya. Dan semua isteri baginda Saw. berkata, “Demi Allah, kami tidak akan lagi meminta kepada Rasulullah Saw. sesudah pertemuan ini sesuatu yang tidak ada padanya.” Dan Allah menurunkan ayat khiyar, lalu baginda Saw. memulainya dari Aisyah r.a. Baginda bersabda, “Sesungguhnya aku akan menceritakan kepadamu suatu urusan yang aku tidak suka bila engkau tergesa-gesa mengambil keputusan tentangnya sebelum engkau meminta saran dari kedua orang tuamu.” Siti Aisyah r.a. bertanya, “Urusan apakah itu?” Maka Nabi Saw. membacakan kepadanya firman Allah Swt.: Hai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu. (Al-Ahzab: 28), hingga akhir ayat. Aisyah r.a. berkata, “Apakah berkenaan dengan engkau aku harus meminta saran kepada kedua orang tuaku? Tidak, bahkan aku tetap memilih Allah Swt. dan Rasul-Nya. Dan aku meminta, sudilah engkau tidak menceritakan kepada isterimu yang lain tentang pilihanku ini.” Maka Rasulullah Saw. menjawab: Sesungguhnya Allah tidak mengutusku sebagai orang yang kejam, melainkan Dia mengutusku sebagai pengajar lagi pemberi kemudahan. Tiada seorang wanita pun dari mereka yang menanyakan kepadaku tentang pilihanmu melainkan aku akan menceritakan kepadanya tentang pilihanmu itu.

Para ulama berselisih pendapat tentang kebolehan orang lain mengahwini bekas isteri Nabi Saw. sekiranya Nabi Saw. menceraikan mereka ketika itu. Ada dua pendapat mengenai masalah ini. Pendapat yang paling sahih mengatakan boleh, seandainya talak itu benar-benar terjadi, demi terlaksananya perceraian yang dimaksud. Hanya Allah-lah Yang Maha Mengetahui.


 

Ayat 30: Allah Swt. berfirman menasihati isteri-isteri Nabi Saw. yang telah memilih Allah dan Rasul-Nya serta pahala di negeri akhirat, selanjutnya mereka tetap menjadi isteri Rasulullah Saw. Maka sangatlah sesuai bila diceritakan kepada mereka ketentuan hukumNya dan keistimewaan mereka yang melebihi wanita-wanita lainnya.

يٰنِساءَ النَّبِيِّ مَن يَأتِ مِنكُنَّ بِفٰحِشَةٍ مُبَيِّنَةٍ يُضٰعَف لَهَا العَذابُ ضِعفَينِ ۚ وَكانَ ذٰلِكَ عَلَى اللهِ يَسيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O wives of the Prophet, whoever of you should commit a clear immorality – for her the punishment would be doubled two fold, and ever is that, for Allāh, easy.

(MELAYU)

Hai isteri-isteri Nabi, siapa-siapa di antaramu yang mengerjakan perbuatan keji yang nyata, nescaya akan dilipat-gandakan siksaan kepada mereka dua kali lipat. Dan adalah yang demikian itu mudah bagi Allah.

 

يٰنِساءَ النَّبِيِّ

Hai isteri-isteri Nabi, 

Dan sekarang Allah melakukan satu perkara yang tidak pernah dilakukan terhadap orang lain. Allah bercakap terus kepada isteri-isteri Nabi.

 

مَن يَأتِ مِنكُنَّ بِفٰحِشَةٍ مُبَيِّنَةٍ

siapa-siapa di antaramu yang mengerjakan perbuatan keji yang nyata,

Allah memberi peringatan yang keras kepada mereka yang jika mereka melakukan perbuatan keji yang jelas, maka mereka akan mendapat balasan yang amat buruk sekali.

Ada pendapat yang mengatakan perbuatan keji yang dimaksudkan di dalam ayat ini adalah melakukan sesuatu yang menyebabkan Nabi bersedih.

Tentulah para isteri Nabi tidak mahu melakukan perkara ini tetapi Allah memberi peringatan yang keras dahulu supaya mengingatkan mereka kepada balasan yang teruk yang akan dikenakan kepada mereka jikalau mereka melakukannya. Bukannya bila Allah berfirman begini, menunjukkan mereka ada niat nak buat begitu pula.

Menurut Ibnu Abbas, pengertian perbuatan keji ini ditakwilkan dengan makna membangkang dan berakhlak buruk. Dan atas dasar hipotesis apa pun, maka ungkapan ayat ini hanyalah semata-mata andaian, dan makna andaian itu tidak berarti pasti terjadi. Pengertiannya sama dengan firman Allah Swt. dalam ayat yang lain, yaitu:

{وَلَقَدْ أُوحِيَ إِلَيْكَ وَإِلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكَ لَئِنْ أَشْرَكْتَ لَيَحْبَطَنَّ عَمَلُكَ}

Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu dan kepada (nabi-nabi) yang sebelummu, “Jika kamu mempersekutukan (Tuhan), niscaya akan hapuslah amalanmu. (Az-Zumar: 65)

Tentulah Nabi Muhammad tidak akan melakukan syirik kepada Allah, maka ini adalah andaian juga.

 

يُضٰعَف لَهَا العَذابُ ضِعفَينِ

nescaya akan dilipat-gandakan siksaan kepada mereka dua kali lipat.

Jikalau mereka melakukan perbuatan keji, maka balasan dosa kepada mereka adalah dua kali ganda kalau dibandingkan dengan orang lain. Malik telah meriwayatkan dari Zaid ibnu Aslam sehubungan dengan makna firman-Nya: niscaya akan dilipatgandakan siksaan kepada mereka dua kali lipat. (Al-Ahzab: 30) Yakni siksaan di dunia dan akhirat.

Maka mereka kena jaga sungguh-sungguh perbuatan mereka. Kena lebih berhati-hati kalau dibandingkan dengan orang lain.

Kenapa pula mereka digandakan dosa? Ini adalah kerana mereka itu menjadi kayu ukur dan juga contoh kepada para wanita yang lain. Kerana mereka isteri Nabi, maka mereka ada tanggungjawab khas. Mereka bukan macam manusia yang lain.

Dan ada juga yang mengatakan mereka digandakan dosa kerana mereka rapat dengan Nabi dan sepatutnya mereka lebih tahu tentang agama. Maksudnya kalau dah tahu syariat, tapi masih juga buat dosa keji, maka itu memang sudah teruk dan layak kalau dikenakan dosa berganda. Kerana bukan tidak tahu kesalahan tapi sengaja melawan dan tidak mengendahkan.

 

وَكانَ ذٰلِكَ عَلَى اللهِ يَسيرًا

Dan adalah yang demikian itu mudah bagi Allah.

Mudah sahaja bagi Allah untuk memberi dosa dan beri azab kepada mereka. Jangan sangka yang kerana mereka itu isteri Rasul, maka mereka akan selamat begitu sahaja. Kedudukan sebagai isteri seorang Rasulullah memang ada kelebihannya, tapi tidaklah menyelamatkan mereka kalau mereka ada buat dosa.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 4 Disember 2017

AKHIR JUZ 21


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 033: Ahzab. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s