Tafsir Surah Luqman Ayat 32 – 34 (Bapa dan anak tidak dapat membantu)

Ayat 32: Dalam ayat sebelum ini telah disebut tentang kapal dan pergerakan kapal di lautan itu adalah satu nikmat. Sekarang disebutkan keadaan di lautan itu dan kesan kepada manusia.

وَإِذا غَشِيَهُم مَّوجٌ كَالظُّلَلِ دَعَوُا اللهَ مُخلِصينَ لَهُ الدّينَ فَلَمّا نَجّٰهُم إِلَى البَرِّ فَمِنهُم مُّقتَصِدٌ ۚ وَما يَجحَدُ بِئايٰتِنا إِلّا كُلُّ خَتّارٍ كَفورٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when waves come over them like canopies, they supplicate to Allāh, sincere to Him in religion [i.e., faith]. But when He delivers them to the land, there are [some] of them who are moderate [in faith]. And none rejects Our signs except everyone treacherous and ungrateful.

(MELAYU)

Dan apabila mereka dilamun ombak yang besar seperti gunung, mereka menyeru Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya maka tatkala Allah menyelamatkan mereka sampai di daratan, lalu sebagian mereka tetap menempuh jalan yang lurus. Dan tidak ada yang mengingkari ayat-ayat Kami selain orang-orang yang tidak setia lagi engkar.

 

وَإِذا غَشِيَهُم مَّوجٌ كَالظُّلَلِ

Dan apabila mereka dilamun ombak yang besar seperti gunung,

Apabila di lautan, kebiasaannya akan mengalami lambungan ombak yang kadangkala amat menakutkan. Ada masa laut tenang sahaja dan ada masa ianya bergelora.

 

دَعَوُا اللهَ مُخلِصينَ لَهُ الدّينَ

mereka menyeru Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya

Waktu ombak lautan menutupi mereka waktu itu, mereka berdoa terus kepada Allah. Ini kerana mereka amat takut sekali dan mereka sedar tidak ada yang dapat menyelamatkan mereka melainkan Allah. Maka mereka doa terus kepada Allah.

Tidak sempat dah nak minta perantara (wasilah) untuk sampaikan doa mereka. Mereka terus potong broker mereka dalam doa. Mungkin waktu itu mereka baru sedar yang tidak perlu broker dalam doa dan lebih cepat dan lebih makbul kalu terus sahaja doa kepada Allah.

 

فَلَمّا نَجّٰهُم إِلَى البَرِّ فَمِنهُم مُّقتَصِدٌ

maka tatkala Allah menyelamatkan mereka sampai di daratan, lalu sebagian mereka tetap menempuh jalan pertengahan.

Dan apabila Allah selamatkan mereka, mereka kembali kepada keadaan biasa. Mereka melakukan iqtisad. Dan kalimah ini agak susah untuk ditafsirkan kerana ada tiga makna yang kita boleh ambil darinya.

Pertamnya, ia boleh bermaksud jalan pertengahan kerana kalimah مُّقتَصِدٌ dari ق ص د yang antara lain bermaksud ‘pertengahan’.

Sekarang Allah sebut lain daripada ayat-ayat sebelum ini kerana kalau dulu Allah sebut apabila mereka kembali ke daratan mereka akan kembali kepada ‘syirik’. Ini seperti yang disebut dalam ayat yang lain yang hampir sama sahaja:

{فَلَمَّا نَجَّاهُمْ إِلَى الْبَرِّ إِذَا هُمْ يُشْرِكُونَ}

maka tatkala Allah menyelamatkan mereka sampai ke darat, tiba-tiba mereka (kembali) mempersekutukan (Allah). (Al-‘Ankabut: 65)

Tetapi di dalam ayat Surah Luqman ini, Allah mengatakan mereka itu kembali normal (pertengahan). Mereka buat biasa-biasa sahaja walaupun sebelum itu mereka telah melalui satu kejadian yang sepatutnya mengesankan mereka di lautan.

Maknanya orang itu menjadi seperti biasa balik padahal dia baru sahaja melalui kejadian yang menakutkan di mana dia hampir mati di lautan dulu. Waktu itu mereka dah sedar yang mereka kena doa terus kepada Allah. Akan tetapi Allah merungut tentang mereka dalam ayat ini kerana mereka kembali kepada keadaan biasa mereka sebelum itu.

Sepatutnya kejadian seperti itu mengubah mereka dan menjadikan mereka orang yang lebih baik tetapi mereka kembali jadi biasa sahaja. Mereka tidak ambil pengajaran dari kejadian yang mereka telah lalui di lautan itu. Sepatutnya akidah tauhid mereka menjadi kuat dan mereka faham kena doa terus kepada Allah.

Bukan semua berfahaman begitu kerana Allah berfirman فَمِنهُم (sebahagian dari mereka) sahaja kerana sebahagian daripada manusia itu yang kembali jadi syirik.

Tafsir kedua, iqtisad juga boleh bermaksud ‘jalan yang lurus’. Kalau ini yang dimaksudkan, maka mereka itu berterusan dalam tauhid. Kesan pengalaman mereka di lautan itu telah menjadikan mereka sedar diri dan sedar tauhid.

Oleh itu, kita boleh pakai kedua maksud itu: iaitu ada yang jadi baik dan ada yang kekal dalam sifat lama mereka (syirik).

 

وَما يَجحَدُ بِئايٰتِنا إِلّا كُلُّ خَتّارٍ كَفورٍ

Dan tidak ada yang mengingkari ayat-ayat Kami selain orang-orang yang tidak setia lagi engkar.

Begitulah ada manusia yang engkar kepada wahyu Allah. Allah menceritakan tentang manusia yang sudah mengalami pengalaman di lautan pun boleh tidak faham tauhid dalam doa. Maka kalau kalangan kita yang jauh dari wahyu pun tentulah begitu juga.

Allah kata mereka ini خَتّارٍ (tidak setia). Malah kalimah خَتّارٍ digunakan untuk manusia yang tidak setia dan tikam belakang. Maksudnya mereka itu tidak tetap dengan apa yang telah dilalui. Mereka dah lalui pengalaman yang sepatutnya meningkatkan iman mereka tapi mereka tidak ambil peluang. Seolah-olah mereka patah ke belakang dan tikam belakang fahaman tauhid itu. Sepatutnya mereka sokong fahaman tauhid, tapi mereka serang pula fahaman tauhid.

Kalau orang yang tidak percaya Tuhan, kadang-kadang mereka terseru juga nama Tuhan. Tapi apabila mereka kembali ke daratan, mereka tidak mengaku. Mereka kata semasa mereka seru Tuhan di lautan itu, mereka dalam keadaan keliru. Dan mereka kata, bukanlah Tuhan yang selamatkan mereka, tapi pelampung, kapal laut, atau benda-benda (tapi bukan Allah).

Dan kalau musyrik pula, mereka akan kata yang selamatkan mereka adalah wali ini dan wali itu. Padahal semasa mereka dilambung ombak itu, yang mereka seru adalah Allah sendiri. Tapi bila selamat, mereka kata ilah lain pula yang selamatkan mereka. Maka mereka pergilah ke kuburan wali itu dan mereka sedekah bunga atau sembelih kambing atau apa-apa sahaja sembahan syirik mereka itu.

Dan kerana mereka menentang fahaman tauhid, maka mereka dikatakan sebagai kufur. Kufur itu maksudnya kufur dengan nikmat yang Allah telah berikan kepadanya. Mereka kufur dengan fakta yang Allah lah yang telah selamatkan mereka. Tapi mereka tidak mengaku.

Maka mereka yang jenis seperti ini, senang sahaja untuk terus berpegang dengan akidah syirik atau fahaman atheist mereka.


 

Ayat 33:

يٰأَيُّهَا النّاسُ اتَّقوا رَبَّكُم وَاخشَوا يَومًا لّا يَجزي والِدٌ عَن وَلَدِهِ وَلا مَولودٌ هُوَ جازٍ عَن والِدِهِ شَيئًا ۚ إِنَّ وَعدَ اللهِ حَقٌّ ۖ فَلا تَغُرَّنَّكُمُ الحَيَوٰةُ الدُّنيا وَلا يَغُرَّنَّكُم بِاللهِ الغَرورُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O mankind, fear your Lord and fear a Day when no father will avail his son, nor will a son avail his father at all. Indeed, the promise of Allāh is truth, so let not the worldly life delude you and be not deceived about Allāh by the Deceiver [i.e., Satan].

(MELAYU)

Hai manusia, bertakwalah kepada Tuhanmu dan takutilah suatu hari yang (pada hari itu) seorang bapa tidak dapat menolong anaknya dan seorang anak tidak dapat (pula) menolong bapanya sedikitpun. Sesungguhnya janji Allah adalah benar, maka janganlah sekali-kali kehidupan dunia memperdayakan kamu, dan jangan (pula) penipu (syaitan) memperdayakan kamu dalam (mentaati) Allah.

 

يٰأَيُّهَا النّاسُ اتَّقوا رَبَّكُم

Hai manusia, bertakwalah kepada Tuhanmu

Allah mengingatkan manusia untuk bertaqwa kepadaNya. Taqwa itu maksudnya taat kepada perintah Allah dan meninggalkan segala laranganNya.

Dan ketaatan yang utama adalah tauhid dimana kenalah berdoa kepada Allah dan tidak menggunakan perantaraan yang tidak ada di dalam syarak. Antaranya menggunakan Nabi, wali, malaikat dan jin dalam doa.

 

وَاخشَوا يَومًا لّا يَجزي والِدٌ عَن وَلَدِهِ

dan takutilah suatu hari yang (pada hari itu) seorang bapa tidak dapat menolong anaknya

Memang kena bertaqwa untuk selamat di akhirat. Kerana apabila di akhirat nanti, kalau tidak bertaqwa, maka ayah pun tidak dapat menyelamatkan anaknya sendiri.

Hubungan ayah dan anak itu amat rapat dan lebih lagi dari antara guru dan anak murid. Tapi ayah yang sayang anaknya itu pun takkan sanggup nak serahkan dirinya untuk ganti anaknya kalau anaknya itu ditakdirkan masuk neraka. Maka kalau ayah pun tidak sanggup, maka agaknya ada lagikah yang sanggup? Tentu tidak ada. Kerana keadaan dan azab di akhirat itu amat menakutkan sampai tidak akan ada yang sanggup mengganti sesiapa pun.

Surah ini berakhir dengan cerita ayah dan anak kembali seperti permulaan surah ini. Allah menekankan bahawa ayah tidak boleh bantu anaknya. Seorang ayah memang sayang kepada anaknya tetapi walaupun begitu dia tidak dapat tolong anaknya di akhirat nanti.

Dan ini mengingatkan kita kepada ayat 15 surah ini dimana telah dikatakan anak tidak boleh ikut akidah ayahnya yang syirik. Kerana memang rugi kalau ikut, kerana ayahnya itu pun tidak dapat nak bela anaknya kalau anaknya itu ikut. Memang rugi serugi-ruginya kalau ikut. Memang tidak selamat.

Maka ayah kena berusaha untuk menyelamatkan anaknya dengan mengajar agama kepada anaknya. Kena ajar semasa dari kecil lagi supaya anak itu mendapat pemahaman yang benar tentang agama. Jangan hanya serahkan kepada sekolah sahaja. Kerana anak-anak akan lihat perlakuan ibubapanya dan bukan sahaja guru-guru di sekolah. Perlakuan IbuBapa amat memberi kesan kepada pemikiran anak-anak.

 

وَلا مَولودٌ هُوَ جازٍ عَن والِدِهِ شَيئًا

dan seorang anak tidak dapat (pula) menolong bapanya sedikitpun. 

Sebagaimana bapa tidak dapat menyelamatkan anaknya, anaknya juga tidak dapat menyelamatkan ibubapanya. Anak pun tidak sanggup menjadi galang ganti ayahnya di dalam neraka kalau ayahnya kena masuk neraka. Betapa sayang macam mana pun seorang anak kepada ayahnya, dia tidak akan sanggup nak tolong dan ganti ayahnya.

Jangan kata nak ganti tempat di neraka, nak mempertahankan ayahnya pun nanti dia tidak akan sanggup.

 

إِنَّ وَعدَ اللهِ حَقٌّ

Sesungguhnya janji Allah adalah benar,

Janji Allah untuk menjadikan Kiamat dan kemudian medirikan akhirat untuk beri balasan baik kepada mereka yang baik dan balasan buruk kepada mereka yang kufur itu, amat benar. Allah pasti akan jalankan.

 

فَلا تَغُرَّنَّكُمُ الحَيَوٰةُ الدُّنيا

maka janganlah sekali-kali kehidupan dunia memperdayakan kamu,

Jangan benarkan keindahan dunia menipu kamu. Jangan kamu leka dengan tipu daya dunia.

Kalimah ghurur bermaksud sesuatu yang ambil kesempatan kepada mereka yang lalai leka. Kalau leka dengan dunia, maka syaitan akan ambil kesempatan untuk menyesatkan manusia.

Apakah yang disebut di awal-awal surah ini? Tentang hiburan, bukan? Dan kebanyakan manusia, mereka ditipu berkenaan hiburan kerana itulah sahaja dalam kehidupan mereka. Mereka tertunggu-tunggu bila filem ini dan itu nak keluar, bila game ini dan itu nak keluar, apa rekod baru yang ada di pasaran dan sebagainya.

Memang mereka buang masa sungguh. Mereka tidak sedar yang apa yang mereka tunggu-tunggu itu adalah sampah sahaja. Buat tambah dosa sahaja. Ini kita cakap tentang mereka yang menerima hiburan itu. Bagaimana pula mereka yang terlibat dalam industri hiburan itu sendiri? Tentulah lagi teruk, bukan?

Memang buang masa dan tidak produktif langsung kalau kehidupan kita dibuang dengan mengkonsumasi hiburan sahaja. Dan bila dah habis tengok hiburan yang ada, mereka baca dan cari pula kisah kehidupan artis, mereka buat apa sekarang, apa rancangan artis itu tahun depan dan sebagainya. Maka mereka itu seolah-olah jadi hamba kepada hiburan.

Buang masa sahaja kalau kita terpesona dengan hiburan keduniaan. Bandingkan hiburan yang diberikan oleh Qur’an dengan hiburan oleh filem dan juga lagu tidak sama kerana filem sekali dua saja sudah cukup tetapi Qur’an itu berkali-kali kita baca ianya tetap memberi hiburan kepada kita. Sudahlah beri hiburan halwa telinga, ia memberi rahmat dan pengajaran pula kepada kita.

Zaman dahulu pun ada buang masa juga. Akan tetapi zaman sekarang lebih teruk lagi kerana lebih mudah untuk dapatkan bahan hiburan. Petik sahaja dan keluar rancangan TV dan lebih teruk lagi, sekarang ianya ada dalam poket kita sahaja (handphone)!

Maka apakah yang dapat mengubah fikiran anak-anak muda itu kalau bukan ibubapanya yang memberi pendidikan awal kepada anak dengan mengingatkan mereka tentang bahayanya hiburan dan pentingnya agama. Dan janganlah ibubapa itu pula yang menjadi punca anak-anak suka kepada hiburan pula kerana mereka melihat ibu dan ayah mereka pun begitu. Kerana kadang-kadang anak-anak itu rasa tidak bersalah untuk membuang masa dengan hiburan kerana mereka tahu ibubapa mereka juga buat perkara yang sama.

Dalam surah Ankabut sebelum ini telah disebut bagaimana ada orang yang menanggung dosa orang-orang yang mengikut mereka. Dan sekarang dalam ayat ini, Allah memberi isyarat bahawa jikalau kita memberi contoh yang buruk kepada anak-anak kita, maka kita pun akan menanggung dosa-dosa mereka juga.

Maka ini sepatutnya menyedarkan kita betapa pentingnya kita memberi pendidikan agama yang benar kepada anak cucu kita.

Ramailah yang terpesona dengan tipuan syaitan. Mereka macam dicucuk hidung dan sebenarnya hidung mereka dicucuk oleh syaitan. Syaitan membisikkan dalam hati pengikut itu: “jangan lepaskan peluang semasa hidup di dunia, hidup hanya sekali sahaja… “. Maka tertipulah kebanyakan manusia dengan bisikan ini.

Ramai yang terpesona dengan kehidupan dan kesenangan dunia sampaikan mereka terlupa yang mereka akan mati juga akhirnya. Mereka rancang nak buat itu dan ini, nak pergi ke sana dan sini, nak makan itu dan ini. Tapi mereka lupa, entah mereka ada lagi esok atau tidak? Maka mereka tidak buat persediaan untuk menghadapi akhirat. Mereka tidak sediakan pahala yang banyak. Kerana ramai manusia terlupalah, banyak sekali ayat-ayat dalam Qur’an yang mengingatkan kepada kematian. Sampaikan mungkin tidak ada satu mukasurat pun yang tidak ada peringatan kepada kematian.

Ada yang mengejar kesenangan keduniaan kerana pada mereka, kalau mereka senang hidup di dunia, itu adalah tanda bahawa Tuhan sayang mereka. Dan kalau Tuhan sayang, tentulah selamat di akhirat. Kerana itu ada orang-orang yang kaya yang rasa mereka itu istimewa dan mereka akan selamat di akhirat kelak. Ini adalah fahaman yang salah dan banyak disebut dalam Qur’an tentang salah faham ini.

Jangan tertipu kerana kerana kesenangan di dunia bukanlah menjadi tanda yang Allah sayang. Kesusahan hidup di dunia dan juga kesenangan itu hanyalah sebagai dugaan hidup di dunia sahaja. Ia tidak sekali-kali menjadi tanda yang Allah sayang dan tentunya tidak menjadi tanda yang seseorang itu akan selamat di akhirat.

 

وَلا يَغُرَّنَّكُم بِاللهِ الغَرورُ

dan jangan (pula) penipu memperdayakan kamu berkenaan Allah.

Kalimah الغَرورُ bermaksud ‘pelalai’ atau ‘penipu’ dan ia boleh jadi apa-apa sahaja. Ia boleh jadi syaitan, manusia, kumpulan manusia, nafsu manusia atau perkara-perkara lain. Ini adalah kerana tidak disebutkan dengan tepat dan jelas. Dan kelebihan ini adalah ia lebih merangkumi ruang lingkup yang lebih luat. Tidaklah terhad kepada satu-satu sumber sahaja. Kerana ada orang senang tertipu dengan seseorang, ada yang senang tertipu dengan kumpulan yang ramai dan macam-macam lagi.

Tapi ianya selalu diterjemahkan sebagai syaitan kerana memang tugas syaitan adalah untuk menipu dan melekakan manusia. Jangan biarkan syaitan mengambil peluang atas kelalaian kita.

Apabila dikatakan يَغُرَّنَّكُم بِاللهِ (menipu berkenaan Allah), ia boleh menjadi macam-macam perkara. Tidak terkira banyaknya. Ada yang ditipu bahawa Allah tidak ada; ada manusia yang ditipu sampai mereka percaya Allah ada ‘anak’, ‘anak angkat’ atau wakil-wakil Allah atas alam ini. Antaranya mereka ditipu sampai mereka percaya Allah wakilkan pemerintahan alami ini kepada sesetengah roh Nabi, wali dan malaikat. Ada yang ditipu: kalau nak mendekatkan diri dengan Allah, kena dekatkan diri dengan wali-wali itu. Kerana itu ramai yang buat amal ibadat dan seruan kepada ahli kubur seperti yang dilakukan oleh golongan Habib itu.

Ada juga yang ditipu dengan sifat-sifat Allah. Mereka beri pemahaman yang salah. Antaranya ada yang ditipu sampai mereka Allah itu bersifat Rahman sentiasa, sampaikan semua kesalahan kita akan diampunkan kerana (kerana Allah sangat pemaaf). Maka mereka itu senang hati sahaja buat dosa dan mereka sangka Allah pasti akan maafkan mereka!

Ada yang ditipu dengan qada’ dan qadar. Oleh itu mereka rasa yang mereka telah dijadikan sekian dan sekian, maka tidaklah mereka bersalah. Sebagai contoh, ada golongan gay dan lesbian yang kata, mereka jadi begitu kerana Allah yang jadikan mereka begitu – maka tentulah mereka tidak salah…. alangkah jahilnya fahaman mereka itu!

Antaranya syaitan menipu dengan membisikkan kepada kita yang jikalau kita sedang melakukan kesalahan maka kita boleh minta maaf. Syaitan kata: “Takpe, buat dulu… nanti boleh minta maaf…”

Ada yang ditipu tentang sifat Pemaaf Allah. Mulanya mereka bisikkan supaya manusia itu buat dosa, kemudian syaitan suruh orang itu tangguhkan taubat. Syaitan akan bisikkan: “Nanti kalau kau taubat, nanti kau akan buat dosa lagi… jadi biar kau buat dulu apa kau nak buat, nanti kau taubatlah bila dah tak larat nak buat lagi…bila dah tua nanti, taubatlah….”.

Syaitan bisikkan kepada manusia yang jahil yang bertaubat berkali-kali itu adalah salah dan memalukan. Syaitan kata: “Tak malu ke asyik minta ampun sahaja. Dah banyak kali ni, Allah pun tidak akan ampunakan kamu dah.” Sedangkan memang benar boleh minta maaf kepada Allah walaupun banyak kali (asalkan ikhlas) tetapi syaitan akan tipu manusia. Akhirnya manusia itu tidak bertaubat sampai mereka mereka mati tanpa bertaubat.

Begitulah syaitan menipu tentang Allah kepada manusia yang jahil. Mereka boleh tertipu kerana mereka jauh dari wahyu. Sedangkan kalau mereka tahu wahyu, maka mereka akan kenal Allah seperti yang sepatutnya.


 

Ayat 34: Dalil aqli.

إِنَّ اللهَ عِندَهُ عِلمُ السّاعَةِ وَيُنَزِّلُ الغَيثَ وَيَعلَمُ ما فِي الأَرحامِ ۖ وَما تَدري نَفسٌ مّاذا تَكسِبُ غَدًا ۖ وَما تَدري نَفسٌ بِأَيِّ أَرضٍ تَموتُ ۚ إِنَّ اللهَ عَليمٌ خَبيرٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, Allāh [alone] has knowledge of the Hour and sends down the rain and knows what is in the wombs.1 And no soul perceives what it will earn tomorrow, and no soul perceives in what land it will die. Indeed, Allāh is Knowing and Acquainted.

  • i.e., every aspect of the fetus’ present and future existence.

(MELAYU)

Sesungguhnya Allah, hanya pada sisi-Nya sajalah pengetahuan tentang Hari Kiamat; dan Dialah Yang menurunkan hujan, dan mengetahui apa yang ada dalam rahim. Dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui (dengan pasti) apa yang akan diusahakannya esok. Dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui di bumi mana dia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.

 

إِنَّ اللهَ عِندَهُ عِلمُ السّاعَةِ

Sesungguhnya Allah, hanya pada sisi-Nya sajalah pengetahuan tentang Hari Kiamat;

Hanya Allah sahaja yang tahu bilakah Kiamat akan terjadi. Ayat ini mengajar kita yang kita sebenarnya tidak ada masa. Kita jangan buang masa dengan berhibur dan terpesona dengan dunia sahaja.

Hanya Allah sahaja yang mengetahui bilakah akan terjadinya hari kiamat dan tidak ada selain Allah yang tahu. Malah Jibrail dan Nabi Muhammad pun tidak tahu. Ianya boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja, esok atau lusa jika Allah mahu dan kita tidak boleh kata belum keluar semua lagi tanda Kiamat. Memang Allah berikan pengetahuan tentang tanda-tanda Kiamat, tapi kalau Allah buat keputusan untuk jadikan Kiamat itu awal, siapa kita untuk mempersoal Allah?

Ayat ini adalah jawapan kepada soalan orang kafir tentang bilakah Kiamat itu akan berlaku. Banyak sekali disentuh dalam Qur’an tentang perkara ini dan inilah jawapan yang Allah berikan kepada soalan mereka itu. Kadangkala Allah berikan soalan mereka tapi kadangkala Allah tidak sertakan soalan mereka itu.

Jawapan yang penting adalah manusia tidak akan tahu bilakah hari Kiamat itu. Kemudian Allah beri hujah: takkanlah manusia boleh tahu perkara ghaib, sedangkan perkara dalam kehidupan mereka sendiri pun mereka tidak tahu?

 

وَيُنَزِّلُ الغَيثَ

dan Dialah Yang menurunkan hujan, 

Pertamanya Allah ingatkan manusia yang hujan pun manusia tidak tahu bilakah ianya akan berlaku. Manusia amat memerlukan sumber air dari hujan itu tapi mereka boleh tunggu sahaja hujan itu turun. Kerana Allah yang menentukan bilakah hujan itu akan turun. Dan Allah juga yang menurunkan hujan sebanyak mana yang diperlukan oleh makhluk.

Maka ilmu tentang hujan juga dalam ilmu Allah taala. Tiada yang dapat menurunkan hujan melainkan Allah taala sahaja. Allah sahaja yang tahu berapa banyak hujan akan turun, ke manakah hujan itu akan mengalir, disimpan di mana dan apakah yang akan dilakukan oleh air hujan itu. Manusia mungkin boleh buat agakan sahaja berdasarkan kajian mereka, tapi itu pun tidak tepat. Maklumat yang tepat hanya dengan Allah taala sahaja.

Selagi belum sampai hari Kiamat, maka Allah tetap memberikan hujan yang boleh menumbuhkan tanaman di atas muka bumi. Ini kerana selagi Allah tidak buat keputusan untuk mematikan semua makhluk sekaligus, maka keperluan untuk hidup akan diberikan olehNya.

 

وَيَعلَمُ ما فِي الأَرحامِ

dan mengetahui apa yang ada dalam rahim. 

Bagaimana kamu nak tahu bilakah Hari Kiamat itu akan berlaku sedangkan anak kamu sendiri pun kamu tidak tahu bagaimana keadaanya di dalam ibunya? Sedangkan anak itu kamu amat sayang dan berharap sungguh untuk berjumpa dengannya. Tapi kamu tidak boleh buat apa, cuma tunggu sahaja. Kamu tidak tahu samada ia besar mana, lelaki atau perempuan, sihat atau tidak, akan jadi pandai atau tidak, akan jadi orang beriman atau tidak. Hanya menunggu sahaja dan berharap sahaja.

Keadaan bayi itu dalam tangan Allah. Allah yang berikan sebagai hadiah kepada kita. Sebagaimana hujan menjadikan bumi ini hamil dengan tanaman dan rezeki, maka manusia juga ada yang hamil dengan rezeki anak.

Selagi belum sampai hari kiamat itu maka ada rezeki yang Allah berikan samada dengan cara hujan dan juga dengan cara wanita mengandung.

 

وَما تَدري نَفسٌ مّاذا تَكسِبُ غَدًا

Dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui (dengan pasti) apa yang akan diusahakannya esok.

Bagaimana kamu nak tahu bilakah hari Kiamat itu sedangkan esok apa yagn terjadi pun kamu tidak tahu. Tidak ada manusia yang tahu apa yang akan terjadi esok dan kerana itu kadang-kadang dengan satu panggilan telefon saja hidup kita bertukar atau dengan satu kejadian sahaja, kita menjadi orang yang lain dan banyak lagi yang kita tidak sangka-sangkakan berlaku.

Kita tidak tahu apa yang kita akan lakukan esok. Mungkin kita ada merancang apa yang kita hendak lakukan esok tetapi kita tidak pasti sama ada kita boleh melakukannya atau tidak. Jadi oleh kerana kita tidak tahu apa yang kita akan dapat esok, maka kita jangan berlengah lagi untuk melakukan usaha untuk mendapatkan pahala.  Kena ambil peluang masa yang kita ada untuk melakukan sebanyak mungkin amalan yang dapat memberikan pada sebagai bekal kita di akhirat kelak.

 

وَما تَدري نَفسٌ بِأَيِّ أَرضٍ تَموتُ

Dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui di bumi mana dia akan mati. 

Bagaimana kamu mampu untuk mengetahui bilakah akan terjadinya hari Kiamat itu sedangkan manusia tidak tahu di tanah mana dia akan mati nanti. Mungkin dia mati di tandas rumahnya atau di tempat kerja atau di hospital atau di dalam perjalanan ke tempat-tempat lain.

Mungkin kita beriya-iya untuk melakukan pelancongan kepada negara luar tanpa kita sangka yang kita sebenarnya menuju ke tanah yang kita akan mati.  Tanah itu menunggu sahaja kita untuk sampai kepadanya. Di dalam sebuah hadis disebutkan:

“إِذَا أَرَادَ اللَّهُ قبض عبد بأرض، جعل له إليها حاجة”

Apabila Allah hendak mencabut nyawa seorang hamba di suatu negeri, maka Allah menggerakkan hamba yang bersangkutan ke negeri itu untuk suatu keperluan.

Jadi  ayat ini mengingatkan kita kepada kematian. Tetapi selalunya kita tidak ingat kepada mati apabila kita sedang menikmati kehidupan. Akan tetapi kita pun selalu terdengar bagaimana ramai manusia yang sedang bercakap atau berjalan atau tengah buat kerja tiba-tiba mati begitu sahaja tanpa apa-apa sebab.  Ini adalah kerana ajal dan maut di dalam keputusan Allah.

 

إِنَّ اللهَ عَليمٌ خَبيرٌ

Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.

Jadi ayat ini menyebut lima perkara ghaib yang hanya sahaja yang tahu. Dan pengetahuan tentang perkara itu Allah tidak berikan kepada sesiapa pun. Kita kena berharap dan bergantung kepada keputusan Allah sebagaimana kita hanya serahkan sahaja kepada Allah bilakah Dia hendak melakukan hari Kiamat itu.

Ayat ini semakna dengan apa yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya:

{وَعِنْدَهُ مَفَاتِحُ الْغَيْبِ لَا يَعْلَمُهَا إِلا هُوَ}

Dan pada sisi Allah-lah kunci-kunci semua yang ghaib, tak ada yang mengetahuinya kecuali Dia sendiri. (Al-An’am: 59), hingga akhir ayat.

Kelima-lima perkara ini disebutkan di dalam sunnah dengan istilah “kunci-kunci keghaiban”.

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا وَكِيع، حَدَّثَنَا سُفْيَانُ، عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ دِينَارٍ، عَنِ ابْنِ عُمَرَ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَفَاتِيحُ الْغَيْبِ خَمْسٌ لَا يَعْلَمُهُنَّ إِلَّا اللَّهُ: {إِنَّ اللَّهَ عِنْدَهُ عِلْمُ السَّاعَةِ وَيُنزلُ الْغَيْثَ وَيَعْلَمُ مَا فِي الأرْحَامِ وَمَا تَدْرِي نَفْسٌ مَاذَا تَكْسِبُ غَدًا وَمَا تَدْرِي نَفْسٌ بِأَيِّ أَرْضٍ تَمُوتُ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ}

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Waki’, telah menceritakan kepada kami Sufyan, dari Abdullah ibnu Dinar, dari Ibnu Umar yang telah menceritakan bahawa Rasulullah Saw. pernah bersabda: Kunci-kunci semua yang ghaib itu ada lima, tiada seorang pun yang mengetahuinya kecuali hanya Allah. Yaitu sesungguhnya Allah, hanya di sisi-Nyalah pengetahuan tentang hari Kiamat; Dialah yang menurunkan hujan; Dia mengetahui apa yang ada di dalam rahim; tiada seorang pun yang mengetahui apa yang akan diusahakannya esok; dan tiada seorang pun yang mengetahui di bumi manakah dia akan mati; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal. Hadis diketengahkan oleh Imam Bukhari secara tunggal. Dia meriwayatkannya di dalam Kitabul Istisqa, bagian dari kitab sahihnya, melalui Muhammad ibnu Yusuf Al-Faryabi, dari Sufyan ibnu Sa’id As-Sauri dengan sanad yang sama.

Sebagai tambahan maklumat, tidaklah lima perkara ini sahaja yang Allah tahu, tapi banyak lagi perkara-perkara yang Allah sahaja tahu. Tapi Allah beri contoh lima perkara ini kerana ianya adalah perkara yang rapat dengan kita. Perkara ghaib yang Allah sahaja tahu itu tidak terhad dan kita pun tidak terkira banyaknya.

Allah Maha Mengetahui sama ada perkara itu halus ataupun kasar. Allah tahu yang luar dan yang di dalam. Ilmu Allah sempurna tidak macam kita yang tahu sikit-sikit sahaja. Allah tahu apa yang kita lakukan dan Allah tahu apa yang ada dalam hati kita. Semua di dalam ilmu Allah taala.

Allahu a’lam. Sekian tafsir Surah Luqman ini. Sambung ke surah seterusnya, Surah Sajdah.

Tarikh: 17 November 2017


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 031: Luqman. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s