Tafsir Surah Luqman Ayat 24 – 28 (Kalimat Allah)

Ayat 24: Jangan endahkan mereka yang menentang dakwah tauhid itu.

نُمَتِّعُهُم قَليلًا ثُمَّ نَضطَرُّهُم إِلىٰ عَذابٍ غَليظٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

We grant them enjoyment for a little; then We will force them to a massive punishment.

(MELAYU)

Kami biarkan mereka bersenang-senang sebentar, kemudian Kami paksa mereka (masuk) ke dalam seksa yang keras.

 

نُمَتِّعُهُم قَليلًا

Kami biarkan mereka bersenang-senang sebentar,

Allah boleh sahaja beri kemudahan dan kesenangan kepada mereka yang engkar. Allah boleh bagi kekayaan dunia kepada mereka kerana kekayaan dunia itu tidak ada apa-apa nilai pun sebenarnya. Macam-macam mereka dapat.

Kesenangan itu sementara sahaja iaitu semasa hidup di dunia sahaja. Ini kerana Allah nak buai mereka dalam kesesatan mereka. Biar mereka rasa leka dengan dunia yang sekejap dan sedikit itu. Ini kerana mereka sendiri sudah pilih jalan yang salah maka mereka akan tipu sahaja.

 

ثُمَّ نَضطَرُّهُم إِلىٰ عَذابٍ غَليظٍ

kemudian Kami paksa mereka (masuk) ke dalam seksa yang keras.

Kesenangan yang mereka dapat itu sedikit dan sekejap sahaja. Semasa hidup di dunia sahaja. Dan dunia ini bukan lama pun. Tak lama lagi matilah mereka.

Nanti mereka akan ditarik dengan kasar ke dalam azab neraka. Mereka akan dipaksa dengan keras. Mereka akan ditarik macam tuan lembu tarik lembu yang degil.

Dan nanti mereka akan dikenakan dengan azab yang amat pedih.


 

Ayat 25: Ayat Dalil Aqli Iktirafi. Mereka yang menentang itu kerana degil, bukannya kerana tidak kenal Allah.

وَلَئِن سَأَلتَهُم مَّن خَلَقَ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ لَيَقولُنَّ اللهُ ۚ قُلِ الحَمدُ ِللهِ ۚ بَل أَكثَرُهُم لا يَعلَمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And if you asked them, “Who created the heavens and earth?” they would surely say, “Allāh.” Say, “[All] praise is [due] to Allāh”; but most of them do not know.

(MELAYU)

Dan sesungguhnya jika kamu tanyakan kepada mereka: “Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?” Tentu mereka akan menjawab: “Allah”. Katakanlah: “Segala puji bagi Allah”; tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.

 

وَلَئِن سَأَلتَهُم مَّن خَلَقَ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ لَيَقولُنَّ اللهُ

Dan sesungguhnya jika kamu tanyakan kepada mereka: “Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?” Tentu mereka akan menjawab: “Allah”.

Bajyak ayat-ayat sebegini di dalam Qur’an. Allah hendak memberitahu akidah musyrikin Mekah itu. Bukan semua akidah mereka salah. Ada yang benar dan Allah iktiraf akidah mereka.

Mereka itu kenal Allah, bukannya tak kenal. Maka Tauhid Rububiyyah mereka memang ada. Mereka tahu yang Allah lah Tuhan dan Allah lah menjadikan alam ini.

Ramai juga umat Islam kita yang tak tahu perkara ini. Mereka sangka musyrikin Mekah tentulah tidak sembah Allah. Ini kerana mereka tak baca Qur’an dan tidak tahu sirah Nabi.

Masalah dengan musyrikin Mekah itu, mereka sembah dan seru kepada ilah lain selain Allah. Itulah sebabnya mereka dikenal sebagai ‘Musyrikin Mekah’.

Maka kalau orang kita sembah Allah tapi dalam masa yang sama seru juga roh-roh Nabi, wali dan malaikat, maka mereka juga ada akidah musyrik. Samalah sahaja akidah mereka dengan musyrikin Mekah itu.

 

قُلِ الحَمدُ ِللهِ

Katakanlah: “Segala puji bagi Allah”;

Kalimah الحمد bermaksud ‘pujian yang khas’ yang sepatutnya hanya diberikan kepada allah sahaja. Ini kita telah jelaskan dalam tafsir Surah Fatihah.

Oleh kerana musyrikin Mekah percaya adalah ilah lain selain Allah, maka mereka gunakan kalimah الحمد kepada selain Allah juga. Ini adalah salah dan Allah tekankan bahawa kalimah pujian الحمد hanya untuk Allah sahaja, tidak boleh diberikan kepada mana-mana ilah lain kerana ilah hanya Allah sahaja.

Maka kena faham kalimah Alhamdulillah ini. Ramai dari kalangan Muslim kita tak tahu maksudnya. Mereka tidak sedar kepentingan alhamdulillah. Oleh kerana itu, mereka puji selain Allah secara berlebihan. Sebagai contoh, kita boleh lihat bagaimana golongan Habib dari Yaman itu mengajar dan mengamalkan pujian berlebihan terhadap Nabi Muhammad SAW. Ini adalah salah sama sekali.

 

بَل أَكثَرُهُم لا يَعلَمونَ

tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.

Selama ini musyrikin Mekah berikan pujian kepada berhala-berhala mereka dan ilah-ilah mereka selain Allah. Maka Allah tekankan bahawa segala pujian yang khusus itu hanyalah untuk Allah.

Maka orang kita pun kena betulkan balik fahaman tentang pujian kepada selain Allah. Jangan puji entiti lain secara berlebihan.

Kalau sudah terima Allah sebagai Tuhan yang mencipta alam ini seperti yang diketahui oleh musyrikkn Mekah, maka kenalah terima yang Dia sahaja yang layak disembah dan dipuja.

Ini kerana Allah sahaja yang menguruskan alam ini. Tidaklah Allah jadikan alam ini dan berikan pula tugas mengurusnya kepada Nabi, wali dan malaikat. Tetap Allah juga yang mengurus alam ini. Pemahaman inilah yang ramai tidak tahu termasuk kebanyakan dari masyarakat Islam pun. Ini kerana mereka jahil wahyu.

Jadi ini mengajar kita yang Allah lah yang buat segalanya dan kemudian mengurus alam ini. Maka macam mana ada fahaman sesat yang kata wali itu jaga kawasan ini dan wali itu jaga kawasan itu? Fahaman itu hanya diterima oleh mereka yang jahil wahyu sahaja.


 

Ayat 26: Dalil aqli.

للهِ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ ۚ إِنَّ اللهَ هُوَ الغَنِيُّ الحَميدُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

To Allāh belongs whatever is in the heavens and earth. Indeed, Allāh is the Free of need, the Praiseworthy.

(MELAYU)

Kepunyaan Allah-lah apa yang di langit dan yang di bumi. Sesungguhnya Allah Dialah Yang Maha Kaya lagi Maha Terpuji.

 

للهِ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ

Kepunyaan Allah-lah apa yang di langit dan yang di bumi.

Allah suruh ajak manusia kepada ajaran tauhid dan masuk Islam sepenuhnya. Tapi kalau mereka tak mahu masuk Islam, Allah tak perlukan mereka kerana segala yang ada di langit dan di bumi milik Allah sepenuhnya.

Allah bukan sahaja memiliki alam ini, tapi Allah jugalah yang mengurusnya.

 

إِنَّ اللهَ هُوَ الغَنِيُّ الحَميدُ

Sesungguhnya Allah Dialah Yang Maha Kaya lagi Maha Terpuji.

Allah Maha Kaya maksudnya Allah tidak perlu penyembahan dari makhluk. Allah tetap mulia walaupun tidak ada makhluk yang memujaNya.

Dan Allah tidak perlukan pujian dari makhluk. Kalau manusia tak sebut alhamdulillah pun Allah memang sudah terpuji. Maka kalau kita ucap Alhamdulillah, ianya adalah kebaikan untuk manusia sahaja.

Mungkin ada yang terfikir, kenapakah Allah nak sangat manusia puji Dia. Jawapannya adalah kerana memang Allah layak dipuji dan memang patut kita puji Dia.

Tak sama dengan manusia kerana kalau ada manusia suka dipuji, itu perangai yang buruk. Pujian untuk Allah sebenarnya.


 

Ayat 27: Dalil aqli. Untuk memberitahu ilmu Allah yang sempurna.

وَلَو أَنَّما فِي الأَرضِ مِن شَجَرَةٍ أَقلٰمٌ وَالبَحرُ يَمُدُّهُ مِن بَعدِهِ سَبعَةُ أَبحُرٍ مّا نَفِدَت كَلِمٰتُ اللهِ ۗ إِنَّ اللهَ عَزيزٌ حَكيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And if whatever trees upon the earth were pens and the sea [was ink], replenished thereafter by seven [more] seas, the words1 of Allāh would not be exhausted. Indeed, Allāh is Exalted in Might and Wise.

(MELAYU)

Dan seandainya pohon-pohon di bumi menjadi pena dan laut (menjadi tinta), ditambahkan kepadanya tujuh laut (lagi) sesudah (kering)nya, nescaya tidak akan habis-habisnya (dituliskan) kalimat Allah. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

 

وَلَو أَنَّما فِي الأَرضِ مِن شَجَرَةٍ أَقلٰمٌ وَالبَحرُ

Dan seandainya pohon-pohon di bumi menjadi pena dan laut (menjadi tinta), 

Bayangkan semua pokok dalam alam ini berapa banyak agaknya? Kemudian bayangkan berapa banyak pen boleh dijadikan dari satu pokok. Kemudian darab dengan entah berapa banyak pokok dalam dunia ini pula? Dapat tak bayangkan? Kita pun tidak dapat bayangkan tapi kita pasti yang ianya amat, amat banyak, bukan?

Bila ada pen ia memerlukan dakwat, bukan? Bayangkan dakwat itu diambil dari keseluruhan laut yang ada pada alam ini. Maknanya ambil air dari tujuh lautan.

 

يَمُدُّهُ مِن بَعدِهِ سَبعَةُ أَبحُرٍ

ditambahkan kepadanya tujuh laut (lagi) sesudah (kering)nya,

Kemudian tujuh lautan ditambah sebagai dakwat lagi. Sesungguhnya penyebutan ‘tujuh lautan’ hanyalah mengandung makna mubalagah (ekstrim), bukan dimaksudkan pembatasan, bukan pula menunjukkan pengertian bahawa ada tujuh lautan di dunia ini sebagaimana yang dikatakan oleh orang-orang yang menukil dari berita israiliyat yang tidak dapat dibenarkan dan tidak pula didustakan. Bahkan pengertian ini sama dengan apa yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya:

{قُلْ لَوْ كَانَ الْبَحْرُ مِدَادًا لِكَلِمَاتِ رَبِّي لَنَفِدَ الْبَحْرُ قَبْلَ أَنْ تَنْفَدَ كَلِمَاتُ رَبِّي وَلَوْ جِئْنَا بِمِثْلِهِ مَدَدًا}

Katakanlah, “Kalau sekiranya lautan menjadi tinta untuk (menulis) kalimah-kalimah Tuhanku, sungguh habislah lautan itu sebelum habis (ditulis) kalimah-kalimah Tuhanku, meskipun Kami datangkan tambahan yang semisal.” (Al-Kahfi: 109)

 

مّا نَفِدَت كَلِمٰتُ اللهِ

nescaya tidak akan habis-habisnya (dituliskan) kalimat Allah. 

Apa gunanya pen dari pokok kayu dan dakwat dari lautan itu? Gunakan semua itu untuk tulis kalimat Allah.

Kalau semua itu digunakan untuk menulis ‘kalimah Allah’, pun masih tidak cukup untuk menulisnya.

Apakah pula ‘kalimah Allah’ itu? Maksudnya puji-pujian kepada Allah merangkumi segala sifatNya dan segala perbuatanNya. Kerana segala perbuatanNya itu menjadi sebab untuk memujiNya. Maka tentulah tidak cukup air laut 14 lautan pun untuk menulisnya.

Ar-Rabi’ ibnu Anas mengatakan, sesungguhnya perumpamaan ilmu semua hamba Allah dibandingkan dengan ilmu Allah sama dengan setitis air dibandingkan dengan semua lautan yang ada. Allah Swt. telah menurunkan firman-Nya berkenaan dengan hal ini, yaitu: Dan seandainya pohon-pohon di bumi menjadi pena. (Luqman: 27), hingga akhir ayat. Yakni seandainya laut dijadikan sebagai tinta untuk mencatat kalimah-kalimah Allah dan semua pepohonan dijadikan sebagai penanya, nescaya semua pena itu akan patah dan semua air laut akan kering kehabisan; sedangkan kalimah-kalimah Allah masih tetap utuh, tiada sesuatu pun yang dapat membatasinya. Kerana sesungguhnya seseorang tidak akan mampu memperkirakan batasannya dan tiada seorang pun yang dapat memuji-Nya sesuai dengan apa yang selayaknya bagi Dia, melainkan hanya Dia sendirilah yang mengetahui pujian itu sebagaimana Dia memuji diri-Nya sendiri. Sesungguhnya pujian Tuhan kami adalah seperti apa yang difirmankan-Nya, dan berada di luar jangkauan apa yang kita katakan.

 

إِنَّ اللهَ عَزيزٌ حَكيمٌ

Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

Tidak ada yang dapat melawan kuasa Allah. Allah boleh buat apa sahaja dan tidak ada yang dapat menandingi dan menghalang apa yang Allah hendak lakukan. Bukan sahaja nak halang, nak mempersoalkan pun tidak boleh.

Dan segala perbuatan Allah Maha Terpuji kerana Dia melakukannya dalam kebijaksanaanNya. Semua yang dilakukan adalah tepat dan sepatutnya terjadi. Tidak pernah Allah tersilap melakukan apa-apa. Semua yang terjadi adalah dalam perancangan Allah yang Maha Bijaksana.


 

Ayat 28: Dari ayat yang menceritakan banyak (pen dan air laut) sekarang menyebut tentang satu pula.

مّا خَلقُكُم وَلا بَعثُكُم إِلّا كَنَفسٍ وٰحِدَةٍ ۗ إِنَّ اللهَ سَميعٌ بَصيرٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Your creation and your resurrection will not be but as that of a single soul.¹ Indeed, Allāh is Hearing and Seeing.

  • The re-creation and resurrection of one or of all is accomplished with equal ease by Allāh (subḥānahu wa ta‘ālā).

(MELAYU)

Tidaklah Allah menciptakan dan membangkitkan kamu (dari dalam kubur) itu melainkan hanyalah seperti (menciptakan dan membangkitkan) satu jiwa saja. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.

 

مّا خَلقُكُم وَلا بَعثُكُم إِلّا كَنَفسٍ وٰحِدَةٍ

Tidaklah Allah menciptakan dan membangkitkan kamu (dari dalam kubur) itu melainkan hanyalah seperti (menciptakan dan membangkitkan) satu jiwa saja. 

Allah jadikan kita, matikan dan kemudian bangkitkan kita selepas akhirat bermula, mudah sahaja. Allah beritahu kita yang ia tidak ubah macam Dia menjadikan Nabi Adam sahaja.

Maka jangan kita meragui kuasa Allah untuk membangkitkan semua makhluk di akhirat kelak. Memang musyrikin Mekah tidak dapat terima kebangkitan semula kerana pada mereka ianya susah sangat. Tapi Allah nak tekankan yang ianya senang sahaja bagi Allah. Memanglah manusia tidak akan mampu nak buat, tapi Allah bukannya makhluk. Kuasa Allah tidak terbatas dan tidak ada halangan langsung. Buat satu jiwa ataupun buat semua jiwa, sama sahaja bagi Allah.

Tak sama dengan kita. Kalau kita buat satu benda dengan buat sepuluh benda, tidak sama. Kita lebih senang kalau buat satu sahaja dan kalau kena buat sepuluh benda yang sama, ianya akan jadi lebih susah untuk kita. Tapi konsep yang sama tidak boleh dipakai untuk Allah kerana kuasa Allah tidak terbatas dan tidak terhad. Seperti yang Allah telah sebut dalam ayat yang lain:

{إِنَّمَا أَمْرُهُ إِذَا أَرَادَ شَيْئًا أَنْ يَقُولَ لَهُ كُنْ فَيَكُونُ}

Sesungguhnya perintah-Nya apabila Dia menghendaki sesuatu hanyalah berkata kepadanya, “Jadilah!” Maka terjadilah ia. (Yaasin: 82)

{وَمَا أَمْرُنَا إِلا وَاحِدَةٌ كَلَمْحٍ بِالْبَصَرِ}
Dan perintah Kami hanyalah satu perkataan seperti kejapan mata. (Al-Qamar: 50)
{فَإِنَّمَا هِيَ زَجْرَةٌ وَاحِدَةٌ فَإِذَا هُمْ بِالسَّاهِرَةِ}
Sesungguhnya pengembalian itu hanyalah dengan satu kali tiupan saja, maka dengan serta merta mereka hidup kembali di permukaan bumi. (An-Nazi’at: 13-14)

 

إِنَّ اللهَ سَميعٌ بَصيرٌ

Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.

Antara saat kita dilahirkan dan saat kita dibangkitkan nanti, Allah sentiasa mendengar dan melihat semua yang kita lalui dan lakukan. Malah Allah mendengar dan melihat semua perkara. Semuanya itu bagi Allah sama saja seperti mendengar dan melihat satu jiwa. Kalau kita bersembang dengan seorang kawan senang sahaja, tapi bila dah sampai lima orang pun dah jadi lain macam. Memang tak dapat nak tumpukan perhatian.

Begitu pula Kekuasaan Allah atas makhluk, sama halnya dengan kekuasaan Allah atas satu jiwa, yakni mudah sekali hal itu bagi-Nya.

Ini diberitahu asalnya kepada musyrikin Mekah kerana mereka ada pemahaman yang salah tentang Allah. Sampaikan mereka sangka kalau mereka bercakap dengan perlahan, Allah tidak denar apa yag mereka cakap.

Untuk kita, kita kena yakin yang apa sahaja yang kita lakukan dan katakan, Allah sentiasa sahaja melihat dan mendengar. Maka kita kena berhati-hati dengan apa yang kita lakukan dan katakan. Kita selalu lupa sampaikan kita tidak kisah pun melakukan dosa sepanjang hari. Seolah-olah Allah tidak tahu apa yang kita sedang lakukan.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 13 November 2017


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 031: Luqman. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s