Tafsir Surah Luqman Ayat 20 – 23 (Jangan taqlid kepada tok nenek)

Ayat 20: Dalil aqli

أَلَم تَرَوا أَنَّ اللهَ سَخَّرَ لَكُم مّا فِي السَّمٰوٰتِ وَما فِي الأَرضِ وَأَسبَغَ عَلَيكُم نِعَمَهُ ظٰهِرَةً وَباطِنَةً ۗ وَمِنَ النّاسِ مَن يُجٰدِلُ فِي اللهِ بِغَيرِ عِلمٍ وَلا هُدًى وَلا كِتٰبٍ مُّنيرٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Do you not see that Allāh has made subject to you whatever is in the heavens and whatever is in the earth and amply bestowed upon you His favors, [both] apparent and unapparent? But of the people is he who disputes about Allāh without knowledge or guidance or an enlightening Book [from Him].

(MELAYU)

Tidakkah kamu perhatikan sesungguhnya Allah telah menundukkan untuk (kepentingan)mu apa yang di langit dan apa yang di bumi dan menyempurnakan untukmu nikmat-Nya lahir dan batin. Dan di antara manusia ada yang membantah tentang (keesaan) Allah tanpa ilmu pengetahuan atau petunjuk dan tanpa Kitab yang memberi penerangan.

 

أَلَم تَرَوا أَنَّ اللهَ سَخَّرَ لَكُم مّا فِي السَّمٰوٰتِ وَما فِي الأَرضِ

Tidakkah kamu perhatikan sesungguhnya Allah telah menundukkan untuk (kepentingan)mu apa yang di langit dan apa yang di bumi 

Allah suruh kita menggunakan mata dan akal kita untuk memikirkan tentang alam ini. Semua yang ada di dalam dunia ini untuk manusia. Manusia adalah khalifah dan apabila jadi khalifah, maka ada kelebihan yang diberikan kepada manusia.

Alam rendahkan diri kepada Allah. Maka antara arahan Allah adalah menjadikan segala di dunia ini untuk kita gunakan dengan cara yang baik. Kita boleh makan makanan seperti tumbuh-tumbuhan dan binatang ternak. Dan kita boleh duduk di atas bumi dan tinggal di mana sahaja kita mahu. Asalkan jangan ambil tanah orang lain pula.

Allah rendahkan alam ini dengan dua cara:

  • Kita boleh gunakan dengan cara apa yang kita hendak seperti air, angin, tanah, tumbuh-tumbuhan.
  • Allah uruskan alam itu untuk keperluan kita seperti matahari dan bulan. Sebab kita tidak boleh kawal bulan dan matahari tapi ianya tetap berguna untuk kita. Allah Swt. mengingatkan kepada makhluk-Nya akan semua nikmat yang telah Dia limpahkan kepada mereka, bahwa Dia telah menundukkan bagi mereka semua bintang yang di langit sebagai penerangan buat mereka di malam hari dan di siang harinya. Dia telah menciptakan pula bagi mereka awan, hujan, salju serta embun yang ada di langit, dan Dia jadikan langit bagi mereka sebagai atap yang terpelihara.

Semua ini adalah jasa dari Allah. Semua alam ini di dalam takluk Allah. Maka Allah yang jadikan kita boleh guna alam ini untuk kegunaan kita.

 

وَأَسبَغَ عَلَيكُم نِعَمَهُ ظٰهِرَةً وَباطِنَةً

dan menyempurnakan untukmu nikmat-Nya lahir dan batin. 

Allah telah beri nikmat yang banyak secara sempurna kepada kita. Memang tidak akan terkira kalau kita nak kira. Maka kenanglah nikmat Allah ke atas kita.

Bila kita kenang, maka sepatutnya kita akan taat kepada segala arahan Allah dan hanya sembah dan seru Allah sahaja.

Ada nikmat yang kita tahu dan nampak tetapi ada banyak lagi nikmat yang Allah berikan tetapi kita tidak sedar.

Satu lagi tafsir zahir dan batin:

  • Zahir  bermaksud apa sahaja yang di luar tubuh kita. Macam kita dapat harta, dapat makanan dan air hujan.
  • Batin pula yang bermaksud di dalam hati kita seperti jiwa dan juga akal. Juga termasuk darah, angin, kesihatan dan segalanya. Tidak semestinya kita nampak. Kita diberi dengan kelebihan yang lebih banyak kalau dibandingkan dengan makhluk lain.

Maka kena syukur bila Allah telah berikan segala nikmat itu kepada kita.

 

وَمِنَ النّاسِ مَن يُجٰدِلُ فِي اللهِ بِغَيرِ عِلمٍ

Dan di antara manusia ada yang membantah tentang (keesaan) Allah tanpa ilmu pengetahuan

Dan ada manusia yang berbantah-bantah tentang Allah. Maksudnya tentang tauhid tanpa berdasarkan ilmu. Kerana kita kena kenal Allah dan kena kenal Allah dalam rangka tauhid.

Jiddal ini apabila berdebat dengan keras dan tidak patut dilakukan. Iaitu mereka yang berdebat bukan untuk mencari kebenaran tetapi sengaja untuk berdebat. Mereka pun sengajalah keluarkan soalan-soalan seperti: “Allah buat apa sekarang?”, “Allah ada di mana?”, “Allah sahaja ilah atau ada ilah-ilah yang lain?”, dan macam-macam lagi soalan yang dikeluarkan untuk berdebat sahaja.

Ada orang yang suka berdebat dan melihat orang marah dan tidak perlu kita melayan mereka. Kadang-kadang kita pun geram juga dan hendak membalas tetapi itu sebenarnya buang masa dan buat mereka gembira kerana kita layan mereka. Sedangkan mereka itu bukan bercakap tentang Allah dan tentang agama dengan ilmu tetapi mereka cakap ikut perasaan mereka sahaja.

Maka kita kena pandai memilih suasana yang aman dan tenang untuk bercakap tentang agama dan bukannya dalam keadaan cakap-cakap kosong untuk mengisi masa lapang sahaja.

Lihatlah di awal surah ini bagaimana Luqman memilih masa yang sesuai untuk bercakap tentang agama kepada anaknya. Maka kita pun begitu juga kena pandai mencari masa yang sesuai untuk dakwah dan mengajar.

 

وَلا هُدًى وَلا كِتٰبٍ مُّنيرٍ

atau petunjuk dan tanpa Kitab yang memberi penerangan.

Tidak ada dalil aqli atau dalil Naqli ataupun dalil wahyu yang mereka bawakan.

Ini penting kerana apabila kita berdakwah maka kita menggunakan ayat-ayat Qur’an. Dan jikalau kita sedang membacakan ayat Qur’an tetapi ada orang yang melawan maka mereka pula yang berdosa. Kerana apabila ayat Qur’an dibacakan maka manusia sebenarnya kena dengar dan senyap. Kalau ada menolak, memang masalah untuk mereka kerana mereka bukan tolak kita, tapi tolak ayat Qur’an dan maknanya menolak Allah!

Memang kadang-kadang mereka itu tidak ada akal tetapi kita tidak mahu menjerumuskan mereka lebih dalam lagi ke dalam dosa. Kerana kita kena ingat yang malaikat sedang menulis apa yang mereka katakan. Kalau mereka melawan sahaja ayat Qur’an, maka malaikat akan terus tulis kesalahan mereka itu. Dan kita takut kalau Allah terus tutup mata hati mereka (khatmul qalbi).


 

Ayat 21: Dalam kisah Luqman telah disebut bagaimana seorang ayah mengajar agama dengan cara yang baik kepada anaknya. Tetapi sekarang di dalam ayat ini Allah menyebut tentang golongan manusia yang hanya ikut sahaja apa yang dilakukan oleh tok nenek mereka tanpa berfikir.

وَإِذا قيلَ لَهُمُ اتَّبِعوا ما أَنزَلَ اللهُ قالوا بَل نَتَّبِعُ ما وَجَدنا عَلَيهِ ءآباءَنا ۚ أَوَلَو كانَ الشَّيطٰنُ يَدعوهُم إِلىٰ عَذابِ السَّعيرِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when it is said to them, “Follow what Allāh has revealed,” they say, “Rather, we will follow that upon which we found our fathers.” Even if Satan was inviting them to the punishment of the Blaze?

(MELAYU)

Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Ikutilah apa yang diturunkan Allah”. Mereka menjawab: “(Tidak), tapi kami (hanya) mengikuti apa yang kami dapati bapa-bapa kami mengerjakannya”. Dan apakah mereka (akan mengikuti bapa-bapa mereka) walaupun syaitan itu menyeru mereka ke dalam siksa api yang menyala-nyala (neraka)?

 

وَإِذا قيلَ لَهُمُ اتَّبِعوا ما أَنزَلَ اللهُ

Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Ikutilah apa yang diturunkan Allah”.

Mulanya Allah ajar supaya manusia ikut ajaran wahyu yang telah disampaikan olehNya kerana Dia adalah Tuhan. Memang apa yang diturunkanNya dalam bentuk wahyu adalah untuk diikuti oleh makhluk jin dan manusia.

Ia juga adalah peringatan kepada kita juga. Kenalah belajar wahyu Qur’an dan juga wahyu Hadis.

 

قالوا بَل نَتَّبِعُ ما وَجَدنا عَلَيهِ ءآباءَنا

Mereka menjawab: “(Tidak), tapi kami (hanya) mengikuti apa yang kami dapati bapa-bapa kami mengerjakannya”. 

Tapi ada juga yang buat tidak kisah kepada wahyu tapi nak juga pakai ajaran dan amalan tok nenek.

Ayah seperti Luqman itu memang ada ilmu dan hikmah tetapi bukanlah semua ibu bapa kita ada hikmah sebegitu. Kena bandingkan ajaran dan amalan mereka dengan sunnah.

Maka kerana itu amalan tok nenek kita tidak semestinya semua benar dan hendaklah diperiksa dengan dalil dan nas.

Tapi malangnya ada manusia yang terima sahaja ajaran yang disampaikan oleh tok nenek tanpa mereka memikirkan sama ada ianya benar ataupun tidak.

 

أَوَلَو كانَ الشَّيطٰنُ يَدعوهُم إِلىٰ عَذابِ السَّعيرِ

Dan apakah mereka (akan mengikuti bapa-bapa mereka) walaupun syaitan itu menyeru mereka ke dalam siksa api yang menyala-nyala (neraka)?

Maka Allah tegur mereka di dalam ayat ini adakah mereka hendak ikut juga ajaran tok nenek itu walaupun mereka itu telah ditipu oleh syaitan? Dan penipuan syaitan itu tidak lain dan tidak bukan mengajak kepada neraka. Adakah kamu mahu ikut juga amalan nenek moyang kamu walaupun jalan itu sesat? Tentu tidak, bukan?

Dalam ayat lain Allah Swt. berfirman menjawab mereka:

{أَوَلَوْ كَانَ آبَاؤُهُمْ لَا يَعْقِلُونَ شَيْئًا وَلا يَهْتَدُونَ}

(Apakah mereka akan mengikuti juga), walaupun nenek moyang mereka itu tidak mengetahui sesuatu apa pun, dan tidak mendapat petunjuk? (Al-Baqarah: 170)


 

Ayat 22: Ayat tabshir. Selepas Allah menceritakan orang yang engkar, sekarang Allah menyebut tentang orang yang selamat. Inilah yang kita kena ikut.

۞ وَمَن يُسلِم وَجهَهُ إِلَى اللهِ وَهُوَ مُحسِنٌ فَقَدِ استَمسَكَ بِالعُروَةِ الوُثقىٰ ۗ وَإِلَى اللهِ عٰقِبَةُ الأُمورِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And whoever submits his face [i.e., self] to Allāh while he is a doer of good – then he has grasped the most trustworthy handhold. And to Allāh will be the outcome of [all] matters.

(MELAYU)

Dan barangsiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah, sedang dia orang yang berbuat kebaikan, maka sesungguhnya dia telah berpegang kepada buhul tali yang kokoh. Dan hanya kepada Allah-lah kesudahan segala urusan.

 

وَمَن يُسلِم وَجهَهُ إِلَى اللهِ

Dan barangsiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah,

Iaitu mereka yang sanggup menyerahkan jiwaraga mereka kepada Allah s.w.t. Mereka juga sanggup taat kepada keseluruhan arahan dari Allah. Maksud serah itu adalah mereka akan melakukannya tanpa soal.

 

وَهُوَ مُحسِنٌ

sedang dia orang yang berbuat kebaikan, 

Mereka juga orang berbuat kebaikan dan sentiasa membaiki diri mereka. Mereka taat dengan arahan dan ajaran dari Allah dan RasulNya.

 

فَقَدِ استَمسَكَ بِالعُروَةِ الوُثقىٰ

maka sesungguhnya dia telah berpegang kepada buhul tali yang kokoh.

Mereka itu seperti pegang sauh di lautan yang bergelora. Ertinya, sesungguhnya dia telah mengambil janji yang kuat dari Allah bahawa Dia tidak akan mengazabnya.

Ini adalah isyarat kepada tali akidah. Mereka akan selamat di dunia dan akhirat. Mereka akan diselamatkan dari disesatkan oleh syaitan yang sentiasa sahaja hendak memasukkan manusia ke dalam neraka.

 

وَإِلَى اللهِ عٰقِبَةُ الأُمورِ

Dan hanya kepada Allah-lah kesudahan segala urusan.

Amal akan dihantar kepada Allah untuk dinilai.

Juga bermaksud yang Allah mengurus segala perkara. Maka kenalah minta tolong kepada Allah.


 

Ayat 23: Ayat tasliah dan takhwif ukhrawi.

وَمَن كَفَرَ فَلا يَحزُنكَ كُفرُهُ ۚ إِلَينا مَرجِعُهُم فَنُنَبِّئُهُم بِما عَمِلوا ۚ إِنَّ اللهَ عَليمٌ بِذاتِ الصُّدورِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And whoever has disbelieved – let not his disbelief grieve you. To Us is their return, and We will inform them of what they did. Indeed, Allāh is Knowing of that within the breasts.

(MELAYU)

Dan barangsiapa kafir maka kekafirannya itu janganlah menyedihkanmu. Hanya kepada Kami-lah mereka kembali, lalu Kami beritakan kepada mereka apa yang telah mereka kerjakan. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala isi dada.

 

وَمَن كَفَرَ فَلا يَحزُنكَ كُفرُهُ

Dan barangsiapa kafir maka kekafirannya itu janganlah menyedihkanmu.

Nabi Muhammad telah banyak melakukan dakwah kepada umat baginda. Tapi ada sahaja yang menolak dan tidak mahu beriman. Maka tentulah baginda rasa sedih sangat kerana baginda prihatin kepada mereka. Nabi nak selamatkan semua orang terutama sekali kerana mereka itu adalah kaum baginda.

Maka Allah beri tasliah kepada baginda supaya jangan baginda bersedih kalau mereka tetap kufur walaupun telah diberi ajaran dan dakwah kepada mereka. Ini adalah kerana mereka jadi kufur itu adalah atas diri mereka sendiri. Baginda tidak dipersalahkan kerana baginda telah menjalankan tugas baginda dengan baik sekali.

Begitu juga dengan kita yang menjalankan dakwah. Kalau kita sudah dakwah dan manusia tidak beriman, maka itu bukan salah kita tapi salah mereka.

 

إِلَينا مَرجِعُهُم فَنُنَبِّئُهُم بِما عَمِلوا

Hanya kepada Kami-lah mereka kembali, lalu Kami beritakan kepada mereka apa yang telah mereka kerjakan. 

Jangan risau tentang mereka kerana mereka itu akan dikembalikan kepada Allah dan Allah akan beritahu segala perbuatan mereka untuk dibalas. Serahkan sahaja kepada Allah, kita tidak perlu risau tentang nasib mereka. Tahulah Allah nak buat apa dengan mereka.

 

إِنَّ اللهَ عَليمٌ بِذاتِ الصُّدورِ

Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala isi dada.

Allah tahu apa yang ada dalam dada mereka, kenapa mereka tidak beriman dan sebagainya. Allah akan beri keputusan yang tetap.

Allah juga tahu keikhlasan kita dalam menyampaikan ajaran agama. Kalau kita tidak ikhlas pun Allah tahu juga.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 10 November 2017


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 031: Luqman. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s