Tafsir Surah Luqman Ayat 16 – 19 (Amalan kalau anak degil)

Ayat 16: Sekarang ayat kembali kepada pelajaran atau ‘kursus’ yang perlu diberikan oleh ibubapa. Apa lagi nasihat yang diberikan oleh Luqman kepada anaknya? Allah menaqalkan apa yang disampaikan oleh Luqman ini kerana hendak mengingatkan bangsa Arab Mekah bahawa apa yang disampaikan oleh Nabi Muhammad itu bukanlah ajaran baru.

يٰبُنَيَّ إِنَّها إِن تَكُ مِثقالَ حَبَّةٍ مِّن خَردَلٍ فَتَكُن في صَخرَةٍ أَو فِي السَّمٰوٰتِ أَو فِي الأَرضِ يَأتِ بِهَا اللهُ ۚ إِنَّ اللهَ لَطيفٌ خَبيرٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[And Luqmān said], “O my son, indeed if it [i.e., a wrong] should be the weight of a mustard seed and should be within a rock or [anywhere] in the heavens or in the earth, Allāh will bring it forth. Indeed, Allāh is Subtle and Acquainted.

(MELAYU)

(Luqman berkata): “Hai anakku, sesungguhnya jika ada (sesuatu perbuatan) seberat biji sawi, dan berada dalam batu atau di langit atau di dalam bumi, nescaya Allah akan mendatangkannya (membalasinya). Sesungguhnya Allah Maha Halus lagi Maha Mengetahui.

 

يٰبُنَيَّ

(Luqman berkata): “Hai anakku,

Kena beri nasihat kepada anak itu dengan memanggilnya dengan panggilan yang baik dan menunjkkkan kita sayang kepadanya. Dan kena puji dia dengan menunjukkan yang kita bangga dengan dia.

 

إِنَّها إِن تَكُ مِثقالَ حَبَّةٍ مِّن خَردَلٍ

sesungguhnya jika ada seberat biji sawi, 

Sekarang bayangkan kalau ada ada satu objek yang amat kecil, sekecil biji sawi. Ianya adalah sesuatu yang kita susah nak nampak pun.

 

فَتَكُن في صَخرَةٍ

dan berada dalam batu

Dan bayangkan kalau sebiji sawi itu berada di dalam batu yang besar. Bayangkan tentu susah dan mustahil untuk kita mencari biji sawi itu kerana sudahlah ia kecil, dan kena cari pada semua batu di dunia ini. Kerana kita tak tahu batu yang mana satu, bukan? Sebab hanya disebut batu sahaja.

 

أَو فِي السَّمٰوٰتِ أَو فِي الأَرضِ

atau di langit atau di dalam bumi,

Batu itu pula boleh jadi di mana-mana dalam bumi ataupun di langit. Mana nak cari? Kita hanya dapat cari pun kalau batu itu di bumi sahaja.

Kalau pun kita tahu mana kawasan batu itu, untuk menjadi biji sawi itu di dalam batu itu, maka kita kena hancurkan semua batu di kawasan itu.

Dan batu itu sehancur-hancurnya kerana nak keluarkan biji sawi itu, bukan? Kerana kalau pecah dua sahaja, entah ia ada di dalam bahagian yang mana kita tak tahu. Bukan senang nak pecahkan batu, bukan?

 

يَأتِ بِهَا اللهُ

nescaya Allah akan mendatangkannya

Tetapi ilmu Allah itu amat luas sampaikan Allah boleh cari dan keluarkan biji sawi itu.

Maka Luqman hendak mengingatkan kepada anaknya itu yang jikalau Allah boleh keluarkan biji sawi itu yang mustahil kita boleh cari, maka adakah kamu sangka yang Allah tidak tahu apa yang kamu lakukan dan apa yang ada di dalam hatimu?

Allah tahu segala apa yang kita telah lakukan, sekecil mana pun. Dan Allah akan tetap balas perbuatan yang baik atau perbuatan buruk, walau sekecil mana pun. Apabila sampai masanya nanti, Allah tetap akan keluarkan.

 

إِنَّ اللهَ لَطيفٌ خَبيرٌ

Sesungguhnya Allah Maha Halus lagi Maha Mengetahui.

Kalimah لَطيفٌ ini susah untuk dijelaskan. Bayangkan seorang lelaki yang gagah dan besar dan suruh dia memegang benda yang halus dan pecahkan supaya tidak rosak maka tentu susah baginya kerana dia tidak dapat mengawal kekuatannya. Jadi untuk mengeluarkan sesuatu bukan hanya memerlukan kekuatan tetapi juga memerlukan kehalusan. Allah bukan sahaja gagah tapi Allah boleh menguruskan benda-benda yang halus juga.

Dan kalimah خَبيرٌ bermaksud Allah tahu benda-benda yang halus dan juga dalam hati manusia. Sebagai contoh Dia tahu kerlipan mata kita yang melihat kepada benda yang kita tidak patut lihat. Kadang-kadang  mata kita nakal dan tengok lelaki dan wanita ajnabi, bukan?

Ayat ini juga berkenaan sifat sombong dan takabbur. Telah ada teguran dari Nabi tentang perkara ini:

قَالَ عَلْقَمَةُ، عَنِ ابْنِ مَسْعُودٍ -رَفَعَهُ -: “لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ حَبَّةٍ مِنْ كِبْر، وَلَا يُدْخِلُ النَّارَ مَنْ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ حَبَّةٍ مِنْ إِيمَانٍ”

Alqamah telah meriwayatkan dari Ibnu Mas’ud yang me-rafa‘-kan hadis berikut: Tidak dapat masuk syurga seseorang yang di dalam hatinya terdapat sifat takabur seberat biji sawi, dan tidak dapat masuk neraka seseorang yang di dalam hatinya terdapat iman seberat biji sawi.


 

Ayat 17: Jadi Luqman sudah kenalkan Allah kepada anaknya itu. Selepas faham tauhid maka beliau ajar ibadat pula. Maka ini mengajar kita bahawa apabila mengajarkan anak-anak, kena ajar tauhid dahulu. Begitu juga kita dalam dakwah kepada orang dan ajar kepada orang – kena beri faham tauhid dulu.

يٰبُنَيَّ أَقِمِ الصَّلَوٰةَ وَأمُر بِالمَعروفِ وَانهَ عَنِ المُنكَرِ وَاصبِر عَلىٰ ما أَصابَكَ ۖ إِنَّ ذٰلِكَ مِن عَزمِ الأُمورِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O my son, establish prayer, enjoin what is right, forbid what is wrong, and be patient over what befalls you. Indeed, [all] that is of the matters [requiring] resolve.¹

  • For the reason that they are enjoined by Allāh.

(MELAYU)

Hai anakku, dirikanlah solat dan suruhlah (manusia) mengerjakan yang baik dan cegahlah (mereka) dari perbuatan yang mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu. Sesungguhnya yang demikian itu termasuk hal-hal yang diwajibkan (oleh Allah).

 

يٰبُنَيَّ أَقِمِ الصَّلَوٰةَ

Hai anakku, dirikanlah solat

Solat ibadat yang paling penting. Kena jaga solat dalam apa keadaan pun. Dengan mendirikan solat, maka pertalian dengan Allah akan terjaga dan mengawal dari melakukan dosa.

 

وَأمُر بِالمَعروفِ

dan suruhlah (manusia) mengerjakan yang baik

Suruh manusia buat baik. Maknanya kena ajak manusia untuk menghidupkan amalan agama dan cara hidup yang baik.

Dan perkara yang paling besar kena ajak manusia adalah kepada tauhid dan perkara paling besar yang kita kena halang manusia adalah syirik. Maka kena jalankan tugas dakwah. Kita bukan nak selamatkan diri kita sahaja tapi orang lain juga.

 

وَانهَ عَنِ المُنكَرِ

dan cegahlah (mereka) dari perbuatan yang mungkar

Halang dari perkata salah. Kalau lalu depan mata kita, maka kita kena tegur. Tak boleh senyap sahaja.

Malangnya ramai orang buat senyap sahaja. Kerana mereka takut nanti orang lain akan bermasam muka pula kalau ditegur. Tapi kalau kota tidak tegur, bagaimana orang itu nak tahu bahawa apa yang dilakukannya itu adalah salah? Maka tegurlah, kalau dia tak mahu ikut, bukan urusan kita.

Solat akan jadikan kita berani nak cakap benda ni. Kerana kita tahu yang apa yang kita lakukan ini adalah arahan dari Allah dan kita telah ada hubungan yang baik dengan Allah. Malu kita nak mengadap Allah kalau kita tak jalankan suruhanNya.

 

وَاصبِر عَلىٰ ما أَصابَكَ

dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu.

Dan memang apabila kita bercakap perkara yang benar dan teguh kepada orang, maka ada yang akan marah kita.  Ataupun mereka mungkin lakukan sesuatu yang tidak baik kepada kita. Allah dah beritahu awal-awal lagi, maka jangan terkejut kalau ada orang yang akan tolak kita. Maka Allah beritahu kepada kita untuk sabar. Biarlah apa yang mereka nak kata dan nak buat kepada kita.

Maka kita kena sedar yang perkara ini memang akan berlaku dan kita kena bersedia dan persediaan itu akan menjadikan kita sabar.

Lagi satu maksud sabar adalah sabar dalam melakukan ketaatan. Kerana kadangkala hendak menegakkan kehendak Allah memang payah. Nak solat payah, nak puasa payah, nak baca Qur’an pun payah. Kerana ada sahaja halangan, bukan? Maka kena buat dan kena sabar.

Dan untuk dapat sabar kita kena bersyukur dengan apa yang ada kerana kadang-kadang kita mahukan sesuatu tetapi ia tidak ada, bukan? Maka kita tumpukan perhatian kita kepada benda yang kita ada maka dapatlah kita bersabar.

 

إِنَّ ذٰلِكَ مِن عَزمِ الأُمورِ

Sesungguhnya yang demikian itu termasuk hal-hal yang diwajibkan

Kalimat عَزمِ الأُمورِ bermaksud perkara yang kita wajib jaga. Maka kita kena jalankan suruhan Allah walau dalam keadaan mana pun. Jangan jadikan perkara kecil sebagai alasan untuk tidak melakukan.

Ia juga bermaksud yang ianya adalah sesuatu yang berat, maka kita memerlukan orang yang tabah untuk melakukannya.


 

Ayat 18: Sebelum ini telah disebut ada perasaan syukur, kena ada rendah diri. Maka Allah sebut tentang akhlak pula dalam ayat ini.

Sebelum ini telah disebut tentang tauhid dan kemudian tentang ibadat fiqah dan sekarang tentang akhlak pula.

وَلا تُصَعِّر خَدَّكَ لِلنّاسِ وَلا تَمشِ فِي الأَرضِ مَرَحًا ۖ إِنَّ اللهَ لا يُحِبُّ كُلَّ مُختالٍ فَخورٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And do not turn your cheek [in contempt] toward people¹ and do not walk through the earth exultantly. Indeed, Allāh does not like everyone self-deluded and boastful.

  • Rather, respect them by directing your face and attention to them.

(MELAYU)

Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia (kerana sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri.

 

وَلا تُصَعِّر خَدَّكَ لِلنّاسِ

Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia

Maksud تُصَعِّر خَدَّ dari segi bahasa adalah memalingkan muka. Ia juga digunakan untuk unta yang ada penyakit terteleng kepalanya. Ia juga bermaksud ‘buat muka’ seperti mencemik dan sebagainya. Kita tidak perlu cakap, dengan muka sahaja orang boleh tahu apa yang kita nak katakan. Orang tahu yang tindakan itu adalah tanda sombong.

Dalam ayat ini Allah tidak kata pun ‘jangan bercakap buruk’ kepada manusia tetapi Allah kata jangan buat muka pun kepada manusia. Kadang-kadang ada orang buat muka dan bila kita tegur mereka, mereka kata dia tidak cakap apa-apa pun. Memanglah mereka tidak lafazkan apa-apa tapi sebenarnya mereka dah sampaikan dah apa yang dalam hati mereka.

Maknanya dengan muka sahaja sudah menunjukkan sikap kita yang sombong atau marah kepada orang lain. Maka kita kena jaga air muka kita. Jangan tunjukkan ketidaksukaan dan kesombongan kita.

 

وَلا تَمشِ فِي الأَرضِ مَرَحًا

dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. 

Jangan berjalan di atas muka bumi ini dengan berlagak. Kadangkala kita boleh kenal orang yang berlagak dengan cara jalan mereka sahaja.

 

إِنَّ اللهَ لا يُحِبُّ كُلَّ مُختالٍ فَخورٍ

Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri.

Kalimah مُختالٍ dari خ ي ل dan khail bermaksud kuda yang cantik yang berjalan dengan berlagak dan bayangkan pertunjukan kuda di mana kuda itu buat aksi. Ia memberi isyarat seseorang yang bangga dengan dirinya sendiri dan rasa hebat. Itu adalah khayal sahaja, tidak benar pun. Kerana kita tidak ada apa-apa melainkan Allah sahaja yang beri kepada kita. Maka jangan bayangkan diri kita dalam keadaan yang memang kita tidak dapat capai pun.

Kalimah فَخورٍ pula bermaksud berlagak sangat. Iaitu seorang yang sangat angkuh. Mereka bukan sahaja rasa diri mereka hebat, tapi mereka akan cakap dengan orang lain. Mereka akan meninggikan diri mereka dan merendahkan orang lain dengan kata-kata mereka. Cara cakap pun orang dah tahu.

Allah kata Allah tak suka orang yang sebegini. Kalau Allah tak suka, maka memang ada masalah kepada diri kita.

Bukan sahaja Allah tak suka, kita pun tak suka dengan orang yang sebegitu, bukan? Maka jangan kita lakukan. Bayangkan, kalau kita pun tidak suka, tentu orang lain pun tidak suka kalau kita buat begitu, bukan?


 

Ayat 19: Lalu apa yang kita kena bertindak?

وَاقصِد في مَشيِكَ وَاغضُض مِن صَوتِكَ ۚ إِنَّ أَنكَرَ الأَصوٰتِ لَصَوتُ الحَميرِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And be moderate in your pace and lower your voice; indeed, the most disagreeable of sounds is the voice of donkeys.”

(MELAYU)

Dan sederhanalah kamu dalam berjalan dan lunakkanlah suaramu. Sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai.

 

وَاقصِد في مَشيِكَ

Dan sederhanalah kamu dalam berjalan

Kalau ayat sebelum ini tentang air muka, sekarang tentang cara berjalan pula. Cara berjalan pun Allah ajar. Kalimah وَاقصِد dari ق ص د yang bermaksud sederhana. Maka berjalanlah dengan sederhana.

Maknanya jalan dengan normal sahaja tanpa berlagak dan tanpa jalan dengan lembik. Tidaklah perlu nak jalan dengan lembik-lembik pula. Tak perlu nak berlakon. Saidina Umar, kalau dia nampak ada orang Islam yang berjalan lembik sahaja, dia akan tempik dan marah kerana mereka itu memalukan Islam. Seolah-olah Islam ini lemah sahaja.

Ini bukanlah tentang kelajuan berjalan. Kerana kadang-kadang kita nak jalan laju kerana kita nak cepat dan kadang-kadang kita boleh sahaja jalan perlahan kerana kita tidak ada apa yang hendak dikejar. Jadi ayat ini bukan tentang kelajuan berjalan tetap sikap kita semasa sedang berjalan itu.

 

وَاغضُض مِن صَوتِكَ

dan rendahkanlah suaramu.

Dan rendahkan suara kita apabila bercakap dengan orang. Jangan nak garang dengan manusia tidak tentu fasal. Kita kena berhati-hati dalam percakapan kita. Tidak salah kalau kita bercakap dengan lembut. Kerana kalau kita dengan seorang sahabat sahaja, takkan kita nak cakap dengan kuat. Dan kalau kita di khalayak ramai, tentu kita kena cakap dengan kuat supaya orang lain dengar. Jadi ini bukan tentang volume suara kita, tapi cara kita bercakap.

Dalam ayat sebelum ini telah disebut tentang menjalankan amar ma’ruf nahi mungkar. Maka kena jaga suara kita di dalam bercakap walaupun semasa kita sedang menjalankan amar ma’ruf nahi mungkar. Kadang-kadang ada orang yang setelah kita beri nasihat maka dia melawan kita, maka walaupun dalam keadaan itu kita tetap kena sabar dan jaga suara kita supaya jangan tinggi dan jangan menghina orang itu.

Ini juga adalah salah satu dari cara hikmah dalam berdakwah. Kita nak orang dengar cakap kita, maka kenalah kita cakap dengan baik. Kalau kita cakap benda yang betul pun, tapi dengan cara yang salah, maka orang pun susah nak terima kerana keburukan akhlak kita.

Malangnya kadang-kadang apabila kita beri nasihat dan orang melawan, ada yang meninggikan suara ataupun menghina orang itu kembali. Maka musnahlah usaha dakwah itu. Orang pun sudah malas nak dengar kata-kata kita lagi.

 

إِنَّ أَنكَرَ الأَصوٰتِ لَصَوتُ الحَميرِ

Sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai.

Kedai selalu digunakan di dalam banyak masyarakat sebagai lambang kebodohan. Kerana itu jikalau seseorang itu meninggikan suaranya, itu bermaksud orang itu bodoh dan tidak memahami ajaran-ajaran agama seperti yang telah disebut sebelum ini.

Ayat 12-19 ini elok dibaca kepada anak yang degil. Baca dan terjemah sekali. Mudah-mudahan mereka dapat terima pengajaran ini. Bukannya kita baca dan tiup pada kepala mereka. Itu cara yang salah dan kita tidak bersetuju dengannya. Yang kita kena buat adalah kita beri pengajaran kepada mereka. Bacakan berkali-kali kepada mereka.

Kalau besar kena ajar kepada mereka tafsir ayat-ayat ini supaya mereka faham. Mereka kena tahu yang taat dan berbuat baik kepada ibubapa ini adalah arahan dari Allah.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 10 November 2017


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 031: Luqman. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s