Tafsir Surah Rum Ayat 6 – 9 (Hanya pandai hal dunia)

Ayat 6:

وَعدَ اللهِ ۖ لا يُخلِفُ اللهُ وَعدَهُ وَلٰكِنَّ أَكثَرَ النّاسِ لا يَعلَمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[It is] the promise of Allāh. Allāh does not fail in His promise, but most of the people do not know.

(MELAYU)

(Sebagai) janji yang sebenarnya dari Allah. Allah tidak akan menyalahi janji-Nya, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.

 

وَعدَ اللهِ

(Sebagai) janji yang sebenarnya dari Allah.

Janji Allah untuk beri kemenangan kepada umat Islam. Juga janji Allah untuk memberi kemenangan kepada Rum.

 

لا يُخلِفُ اللهُ وَعدَهُ

Allah tidak akan menyalahi janji-Nya,

Ingatlah yang Allah tidak pernah memungkiri janjiNya. Ia pasti akan berlaku.

 

وَلٰكِنَّ أَكثَرَ النّاسِ لا يَعلَمونَ

tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.

Kebanyakan manusia hanya nampak kejadian yang zahir sahaja dan mereka tidak nampak kesannya selepas itu. Ini adalah kerana ia termasuk di dalam perkara-perkara ghaib dan manusia tidak ada yang tahu perkara ghaib melainkan yang disampaikan oleh Allah.

Sudahlah mereka tidak tahu perkara ghaib, mereka jauh pula dari wahyu. Maka kerana itu mereka tidak mengetahui. Mereka terus jahil dan terus ditipu oleh dunia.


 

Ayat 7: Ayat zajrun. Allah menegur sifat manusia yang terlalu mementingkan dunia sahaja.

يَعلَمونَ ظٰهِرًا مِّنَ الحَيَوٰةِ الدُّنيا وَهُم عَنِ الآخِرَةِ هُم غٰفِلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They know what is apparent of the worldly life, but they, of the Hereafter, are unaware.

(MELAYU)

Mereka hanya mengetahui yang lahir (saja) dari kehidupan dunia; sedang mereka tentang (kehidupan) akhirat adalah lalai.

 

يَعلَمونَ ظٰهِرًا مِّنَ الحَيَوٰةِ الدُّنيا

Mereka hanya mengetahui yang zahir (saja) dari kehidupan dunia;

Manusia hanya nampak perkara yang zahir sahaja dan mereka tidak tahu tentang akhirat. Mereka tidak ambil tahu maklumat-maklumat akhirat yang ada dalam wahyu ilahi.

Beginilah sifat orang kafir yang hanya lihat pada zahir sahaja. Mereka sangka senjata mereka cukup, maka mereka sangka tentu mereka akan menang dalam perang. Mereka tidak lihat pun pertolongan Allah. Ini kerana mereka memang tidak percaya dengan Allah dengan sebenarnya.

 

وَهُم عَنِ الآخِرَةِ هُم غٰفِلونَ

sedang mereka tentang (kehidupan) akhirat adalah lalai.

Dan kerana kebanyakan manusia tidak nampak akhirat itu lagi maka mereka lalai tentang akhirat dan tidak membuat persediaan kepada akhirat kerana mereka hanya nampak dunia yang zahir ini sahaja. Dan kerana itu mereka mengejar-ngejar kelebihan yang mereka nampak pada dunia. Mereka tidak nampak bahawa perbuatan kita di dunia ini memberi kesan kepada nasib kita di akhirat kelak.

Kerana melebihkan dunialah manusia tidak mementingkan ilmu agama. Kalau bab ilmu dunia mereka akan belajar sampai ke universiti, tapi bab agama mereka belajar sambil lewa sahaja. Maka kerana itu ramai yang jahil. Inilah sifat kebanyakan orang Melayu kita dalam hal agama. Mereka semuanya serahkan sahaja kepada para ustaz. Mereka sendiri tidak ambil inisiatif untuk belajar agama.

Al-Hasan Al-Basri mengatakan, “Demi Allah, kecintaan seseorang dari mereka kepada dunianya benar-benar mencapai batas yang tak terperikan, sehingga ketika dia sedang membolak-balikkan mata wang dirham di atas kukunya, dia dapat menceritakan kepadamu tentang berat kandungan logamnya, padahal dia masih belum dapat melakukan solat dengan baik.”


 

Ayat 8: Dalil aqli.

أَوَلَم يَتَفَكَّروا في أَنفُسِهِم ۗ مّا خَلَقَ اللهُ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ وَما بَينَهُما إِلّا بِالحَقِّ وَأَجَلٍ مُّسَمًّى ۗ وَإِنَّ كَثيرًا مِّنَ النّاسِ بِلِقاءِ رَبِّهِم لَكٰفِرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Do they not contemplate within themselves?¹ Allāh has not created the heavens and the earth and what is between them except in truth and for a specified term. And indeed, many of the people, in the meeting with their Lord, are disbelievers.

  • An additional meaning is “Do they not contemplate concerning themselves.”

(MELAYU)

Dan mengapa mereka tidak memikirkan tentang (kejadian) diri mereka? Allah tidak menjadikan langit dan bumi dan apa yang ada diantara keduanya melainkan dengan (tujuan) yang benar dan waktu yang ditentukan. Dan sesungguhnya kebanyakan di antara manusia benar-benar engkar akan pertemuan dengan Tuhannya.

 

أَوَلَم يَتَفَكَّروا في أَنفُسِهِم

Dan mengapa mereka tidak memikirkan tentang (kejadian) diri mereka?

Allah bertanya dan suruh manusia memikirkan tentang kejadian diri mereka sendiri. Begitu hebat sekali kejadian biologi kita ini. Sangat hebat sampaikan banyak lagi yang diketahui oleh para saintis.

Satu lagi maksud: kenapa mereka tidak memikirkan dalam diri mereka sendiri? Iaitu menggunakan akal untuk memikirkan. Memikirkan apa? Memikirkan tentang alam ini.

 

مّا خَلَقَ اللهُ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ وَما بَينَهُما إِلّا بِالحَقِّ

Allah tidak menjadikan langit dan bumi dan apa yang ada diantara keduanya melainkan dengan (tujuan) yang benar

Allah menjadikan alam ini dengan ada tujuannya dan bukanlah Allah jadikan alam ini sia-sia sahaja. Allah menjadikan alam ini untuk menzahirkan al-haq iaitu Dialah Tuhan, Dilah Maha Pencipta. Maka kenalah seru dan sembah kepadaNya sahaja.

Semua yang terjadi ada tujuannya. Dan kemenangan Parsi ke atas Rum dan kemenangan Rum ke atas Parsi pun bukanlah kejadian yang biasa tetapi ada sebab dan kesan yang Allah hendak jadikan di dalam dunia ini dengan kekalahan dan kemenangan itu.

Antara pendapat yang dikeluarkan oleh ulama tafsir adalah: Allah jadikan kemenangan dan kekalahan Rum dan Parsi itu semata-mata supaya Allah keluarkan ayat ini dan ayat ini lebih penting dari kemenangan dan kekalahan mereka itu dan ayat ini yang kekal sampai ke hari kiamat. Kerajaan Rum dan Parsi memang tidak kekal tapi ayat-ayat Qur’an ini yang kekal, bukan?

 

وَأَجَلٍ مُّسَمًّى

dan waktu yang ditentukan.

Semuanya ada ajalnya masing-masing. Dan kita pun boleh lihat kerajaan Rum dan Parsi itu memang sudah tidak ada lagi. Maknanya telah sampai ajalnya.

Tidaklah Allah jadikan alam ini melainkan dengan ada sebab dan bukan itu sahaja, semua makhluk itu ada ajalnya sendiri. Manusia ada ajal dan kerajaan juga ada ajalnya. Dan semua nanti akan musnah pada ajal terbesar. Itulah hari kiamat.

Dan hari kiamat itu ada banyak nama dan kerana itu ia dipanggil مُّسَمًّى (yang telah diberi nama). Ianya dikenali dengan banyak nama.

 

وَإِنَّ كَثيرًا مِّنَ النّاسِ بِلِقاءِ رَبِّهِم لَكٰفِرونَ

Dan sesungguhnya kebanyakan di antara manusia benar-benar engkar akan pertemuan dengan Tuhannya.

Akan tetapi kebanyakan manusia tidak percaya kepada perjumpaan kembali dengan Allah SWT. Oleh kerana itu mereka leka dengan kehidupan mereka di dunia. Mereka buat ikut suka mereka sahaja. Mereka tidak buat persediaan untuk akhirat.


 

Ayat 9: Takhwif duniawi. Allah nak beri manusia takut supaya manusia beringat.

أَوَلَم يَسيروا فِي الأَرضِ فَيَنظُروا كَيفَ كانَ عٰقِبَةُ الَّذينَ مِن قَبلِهِم ۚ كانوا أَشَدَّ مِنهُم قُوَّةً وَأَثارُوا الأَرضَ وَعَمَروها أَكثَرَ مِمّا عَمَروها وَجاءَتهُم رُسُلُهُم بِالبَيِّنٰتِ ۖ فَما كانَ اللهُ لِيَظلِمَهُم وَلٰكِن كانوا أَنفُسَهُم يَظلِمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Have they not traveled through the earth and observed how was the end of those before them? They were greater than them in power, and they plowed [or excavated] the earth and built it up more than they [i.e., the Makkans] have built it up, and their messengers came to them with clear evidences. And Allāh would not ever have wronged them, but they were wronging themselves.

(MELAYU)

Dan apakah mereka tidak mengadakan perjalanan di muka bumi dan memperhatikan bagaimana akibat (yang diderita) oleh orang-orang sebelum mereka? Orang-orang itu adalah lebih kuat dari mereka (sendiri) dan telah mengolah bumi (tanah) serta memakmurkannya lebih banyak dari apa yang telah mereka makmurkan. Dan telah datang kepada mereka rasul-rasul mereka dengan membawa bukti-bukti yang nyata. Maka Allah sekali-kali tidak berlaku zalim kepada mereka, akan tetapi merekalah yang berlaku zalim kepada diri sendiri.

 

أَوَلَم يَسيروا فِي الأَرضِ

Dan apakah mereka tidak mengadakan perjalanan di muka bumi

Kalau masih berdegil juga, kenapa tidak berjalan tengok alam ini. Tengok peninggalan kaum-kaum yang dahulu.

 

فَيَنظُروا كَيفَ كانَ عٰقِبَةُ الَّذينَ مِن قَبلِهِم

dan memperhatikan bagaimana akibat (yang diderita) oleh orang-orang sebelum mereka?

Tidakkah musyrikin Mekah itu berjalan di muka bumi dan melihat kesan-kesan peninggalan kaum-kaum yang terdahulu dari mereka yang telah dimusnahkan?

Contohnya tempat kaum Aad dan Tsamud, Sodom, Mesir dan sebagainya? Mereka itu semua sudah tidak ada kerana dimusnahkan oleh Allah kerana kedegilan mereka menerima akidah tauhid.

 

كانوا أَشَدَّ مِنهُم قُوَّةً

Orang-orang itu lebih kuat dari mereka 

Kaum-kaum yang telah dimusnahkan itu lebih kuat daripada Arab Mekah lagi. Mereka itu gagah tubuh badannya. Arab Mekah sangka mereka kuat, tapi umat terdahulu lagi kuat.

 

وَأَثارُوا الأَرضَ

dan telah mengolah bumi

Kalimah athara bermaksud mengorek tanah dan menanam; dan ini bermaksud orang yang terdahulu itu lebih banyak bercucuk tanam daripada penduduk Mekah dan pada zaman itu kebanyakan daripada pendapatan adalah daripada hasil pertanian. Maka kaum-kaum dulu itu lebih kaya daripada penduduk Mekah.

Orang Mekah tidak kaya mana. Tanah mereka tidak subur dan kerana itu makanan pun harap dari tempat lain. Jadi jangan berlagak sangat.

 

وَعَمَروها أَكثَرَ مِمّا عَمَروها

serta memakmurkannya lebih banyak dari apa yang telah mereka makmurkan. 

Amara bermaksud pembinaan yang diadakan di atas tanah dan ini bermaksud kaum-kaum terdahulu itu lebih banyak membuat binaan dan monumen kalau dibandingkan dengan penduduk Mekah yang boleh dikatakan tidak ada apa-apa. Mereka cuma ada Kaabah sahaja. Rumah-rumah mereka dari tanah liat sahaja dan tidak ada binaan-binaan lain pun.

Jadi Allah nak perli kepada musyrikin Mekah itu – mereka tidak ada apa pun kalau dibandingkan dengan umat dahulu. Tapi umat dahulu walaupun lagi hebat dari Arab Mekah, tetapi dihancurkan. Jadi kalau Arab Mekah yang lebih rendah itu, apa Allah nak tahan dari dimusnahkan kah? Tidak sama sekali. Kalau Allah nak musnahkan, senang sahaja.

Kenapa umat-umat yang terdahulu itu Allah musnahkan?

 

وَجاءَتهُم رُسُلُهُم بِالبَيِّنٰتِ

Dan telah datang kepada mereka rasul-rasul mereka dengan membawa bukti-bukti yang nyata. 

Kaum-kaum terdahulu itu juga telah didatangi oleh para rasul mereka dan mereka juga telah menolak para rasul itu sebagaimana yang dilakukan oleh musyrikin Mekah.

Maka kerana kedegilan mereka itu, Allah musnahkan mereka. Dan kesannya Arab Mekah boleh lihat di sekeliling mereka. Maka Allah nak tanya: mereka nak jadi macam kaum yang telah dimusnahkan itu kah?

 

فَما كانَ اللهُ لِيَظلِمَهُم

Maka Allah sekali-kali tidak berlaku zalim kepada mereka,

Walaupun Allah telah memusnahkan manusia dan tamadun, tetapi tidaklah Allah menzalimi mereka. Allah tidak pernah zalim dan dan tidak akan zalim. Jadi, kenapa mereka dimusnahkan?

 

وَلٰكِن كانوا أَنفُسَهُم يَظلِمونَ

akan tetapi merekalah yang berlaku zalim kepada diri sendiri.

Mereka dikenakan dengan azab dan kehancuran itu kerana mereka sendiri yang telah berbuat kezaliman. Mereka duduk di atas bumi Allah tetapi tidak menyembah Allah sahaja. Maka tidak salah lah Allah apabila menghancurkan mereka. Mereka memang layak dihancurkan. Dan begitu juga Arab Mekah dan juga sesiapa sahaja yang engkar kepada Allah, Allah boleh hancurkan dan kalau hancurkan, Allah tidak zalim langsung.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 14 Oktober 2017


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Ibn Kathir

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 030: Rum. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s