Tafsir Surah Ankabut Ayat 46 – 48 (Rasulullah tidak boleh menulis membaca)

Ayat 46: Dan sekarang masuk tentang ayat-ayat berkenaan dengan ahli kitab kerana Nabi Muhammad dan para sahabat tidak lama lagi akan berhijrah dari Mekah dan mereka akan bertemu dengan ahli-ahli kitab di Madinah.

Juga Allah menyebut tentang perdebatan dalam ayat ini. Perdebatan itu boleh tetapi dengan orang yang mampu berdebat, bukannya antara orang yang alim dengan orang jahil. Kerana debat itu memerlukan pengeluaran bukti dan dalil untuk mengeluarkan keputusan yang tepat. Jadi kalau berdebat dengan orang yang jahil, bagaimana pula?

Ianya hanya buang masa sahaja kerana orang jahil bukan boleh keluarkan hujah dan dalil pun. Maka mereka akan berhujah dengan akal dan emosi mereka sahaja.

۞ وَلا تُجٰدِلوا أَهلَ الكِتٰبِ إِلّا بِالَّتي هِيَ أَحسَنُ إِلَّا الَّذينَ ظَلَموا مِنهُم ۖ وَقولوا آمَنّا بِالَّذي أُنزِلَ إِلَينا وَأُنزِلَ إِلَيكُم وَإِلٰهُنا وَإِلٰهُكُم واحِدٌ وَنَحنُ لَهُ مُسلِمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And do not argue with the People of the Scripture except in a way that is best, except for those who commit injustice among them, and say, “We believe in that which has been revealed to us and revealed to you. And our God and your God is one; and we are Muslims [in submission] to Him.”

(MELAYU)

Dan janganlah kamu berdebat denganAhli Kitab, melainkan dengan cara yang paling baik, kecuali dengan orang-orang zalim di antara mereka, dan katakanlah: “Kami telah beriman kepada (kitab-kitab) yang diturunkan kepada kami dan yang diturunkan kepadamu; Tuhan kami dan Tuhanmu adalah satu; dan kami hanya kepada-Nya berserah diri”.

 

وَلا تُجٰدِلوا أَهلَ الكِتٰبِ إِلّا بِالَّتي هِيَ أَحسَنُ

Dan janganlah kamu berdebat dengan Ahli Kitab, melainkan dengan cara yang lebih baik,

Oleh kerana Nabi dan sahabat akan bertemu dengan ahli kitab nanti, maka Allah beri pesanan kepada mereka dahulu. Jangan berdebat dengan ahli-ahli kitab itu melainkan dengan cara yang lebih baik.

Waktu itu pun memang sudah ada para sahabat yang berhijrah ke Habashah. Dan Habashah waktu itu adalah dibawah jajahan rakyat yang beragama Kristian. Maka kepada mereka juga, Allah telah berikan cara untuk bergaul dengan mereka dan berdakwah kepada mereka.

Allah sebut cara yang ‘lebih baik’, dan bukan cara ‘yang terbaik’ kerana kita tidak mampu untuk melakukan yang terbaik. Hanya Allah sahaja yang mampu beri hujah terbaik seperti yang Dia gunakan dalam Qur’an ini. Kita hanya boleh buat setakat yang kita mampu sahaja. Apakah maksud yang lebih baik?

Maknanya kita gunakan cara hujah yang mula dengan tidak hina mereka ataupun menggunakan kata-kata yang kasar. Kalau mereka kutuk kita pun, kita janganlah kutuk kitab mereka. Kena banyak bawa bersabar.

Kita kena gunakan bahasa yang lembut dan bahasa yang jelas dan dengan bahasa yang baik. Kerana kita hendak mengeluarkan kebenaran, bukannya hendak menang sahaja. Jangan berlawan dengan mereka, seperti ahli gusti yang hendak mengalahkan lawan dengan cara kekuatan sahaja. Tapi kenalah dengan cara lembut dan berhemah.

Walaupun dalam ayat ini disebut tentang Ahli Kitab, tapi secara umumnya, dengan orang lain pun begitu juga. Kena juga gunakan cara yang lembut dalam dakwah dan terutama sekali dalam debat. Allah telah berfirman dalam Fussilat:34

وَلا تَستَوِي الحَسَنَةُ وَلَا السَّيِّئَةُ ۚ ادفَع بِالَّتي هِيَ أَحسَنُ فَإِذَا الَّذي بَينَكَ وَبَينَهُ عَداوَةٌ كَأَنَّهُ وَلِيٌّ حَميمٌ

Dan tidaklah sama kebaikan dan kejahatan. Tolaklah (kejahatan itu) dengan cara yang lebih baik, maka tiba-tiba orang yang antaramu dan antara dia ada permusuhan seolah-olah telah menjadi teman yang sangat setia.

Kerana tidak faham tentang adab debat inilah yang menyebabkan ramai sakit hati. Kerana ada yang berdebat bukan hendak cari kebenaran tapi nak menang sahaja. Maka ada yang gunakan hujah yang tidak benar dan ada yang menggunakan bahasa kesat apabila mereka tiada hujah. Mereka kadangkala ada gunakan sindiran dan perli untuk sakitkan hati lawan debat nya. Ini buruk sekali.

Qatadah dan lain-lainnya yang bukan hanya seorang mengatakan, bahwa ayat ini di-mansukh oleh ayatus saif {ayat pedang), maka tiada lagi perdebatan dengan mereka. Sesungguhnya jalan keluarnya hanyalah masuk Islam, atau membayar jizyah atau pedang (perang).

Ulama yang lain mengatakan, ayat ini tetap muhkam bagi orang yang hendak menyedarkan mereka agar mahu masuk Islam, maka seseorang dituntut agar menggunakan cara yang lebih baik agar beroleh keberhasilan, sebagaimana yang disebutkan dalam firman-Nya:

{ادْعُ إِلَى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ}

Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik. (An-Nahl: 125), hingga akhir ayat

Dan firman Allah Swt. ketika mengutus Musa dan Harun kepada Fir’aun:

{فَقُولا لَهُ قَوْلا لَيِّنًا لَعَلَّهُ يَتَذَكَّرُ أَوْ يَخْشَى}

Maka berbicaralah kamu berdua kepadanya dengan kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan ia ingat atau takut. (Taha: 44)

Pendapat ini dipilih oleh Ibnu Jarir, dia meriwayatkannya dari Ibnu Zaid.

 

إِلَّا الَّذينَ ظَلَموا مِنهُم

kecuali dengan orang-orang zalim di antara mereka,

Maka boleh berdebat dengan ahli kitab tapi kena pandai pilih. Jangan debat kalau bertemu dengan orang-orang yang zalim di antara mereka, di mana kita tidak perlu berdebat dengan mereka pun.

Mereka yang zalim itu tinggalkan sahaja. Mereka buta hati, tidak dapat melihat bukti yang jelas dan ingkar serta sombong. Maka bilamana sudah sampai pada tingkatan tersebut, cara berdebat tidak dapat dipakai lagi, melainkan melalui jalan keras, dan mereka harus diperangi agar menjadi sedar. Jangan orang luar lihat orang Islam ini lembut dan lemah pula. Kita memang lembut tidak ganggu orang, tapi kalau zalim, kita boleh bertindak keras terhadap mereka. Jangan bagi orang pijak-pijak pula orang Islam.

Jabir telah mengatakah bahawa kita diperintahkan oleh Allah agar memukul orang yang menentang Kitabullah dengan pedang.
Mujahid mengatakan sehubungan dengan makna firman-Nya: kecuali dengan orang-orang zalim di antara mereka. (Al-‘Ankabut: 46) Yakni Ahlul Harb dan orang-orang dari kalangan Ahli Kitab yang tidak mau membayar jizyah.

Buang masa untuk berhujah dengan mereka. Tetapi jikalau yang datang dengan kita itu orang yang boleh untuk kita bercakap dengan cara baik dengan mereka, maka bolehlah kita berhujah dengan mereka menggunakan kebijaksanaan.

 

وَقولوا آمَنّا بِالَّذي أُنزِلَ إِلَينا وَأُنزِلَ إِلَيكُم

dan katakanlah: “Kami telah beriman kepada (kitab-kitab) yang diturunkan kepada kami dan yang diturunkan kepadamu; 

Dan Allah ajar apakah perkara pertama yang kita perlu cakap kepada mereka. Allah ajar bagaimanakah yang dikatakan cara ‘yang baik’ itu.

Beritahu kepada mereka yang kita beriman dengan wahyu yang diturunkan kepada kita dan juga dengan wahyu yang diturunkan kepada mereka.

Maknanya tunjukkan yang kita terima juga wahyu yang mereka ada iaitu Taurat dan Injil itu. Bukannya kita tidak terima langsung. Manakan kita tidak terima sedangkan ia juga wahyu dari Allah jua.

 

وَإِلٰهُنا وَإِلٰهُكُم واحِدٌ

Tuhan kami dan Tuhanmu adalah satu;

Dan beritahu juga kepada mereka yang Tuhan yang kita sembah dan Tuhan yang mereka sembah itu sebenarnya satu sahaja. Tuhan yang sama juga yang kita sembah. Bukannya ada Tuhan yang lain pula.

Ini mengajar kita supaya apabila kita dakwah kepada mereka atau kepada orang lain pun, hendaklah kita bermula dari perkara yang kita sama dengan mereka. Jangan mulakan terus sebut apa yang kita beza dengan mereka. Itu akan menyebabkan mereka terus rasa jauh dari kita. Tapi kalau kita mulakan dengan persamaan, maka ini akan menyebabkan mereka lebih terbuka dengan apa yang kita nak cakap selepas itu.

 

وَنَحنُ لَهُ مُسلِمونَ

dan kami hanya kepada-Nya berserah diri”.

Dan kita telah memilih untuk menyerahkan diri kita bulat-bulat kepada Allah iaitu Tuhan yang satu itu.

Di dalam surah yang sebelum ini telah disebut bagaimana ada yang takut untuk masuk Islam kerana mereka takut mereka ditinggalkan oleh kaum-kaum mereka atau kena halau oleh kaum mereka, tetapi kita kena ingatkan kepada mereka bahawa kita bukan menyerahkan diri kita kepada manusia tetapi kita menyerahkan diri kita kepada Allah SWT.

Kita bukan beragama Islam kerana bangsa kita atau kerana keluarga kita, tetapi kerana Allah dan ini penting kerana ada manusia yang hanya nama sahaja Islam tetapi mereka tidak mengamalkan Islam dengan sebenarnya dan mereka hanya duduk dalam Islam kerana keluarga mereka sahaja. Ini bukanlah menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah.


 

Ayat 47: Targhib (ajakan) kepada kitab.

وَكَذٰلِكَ أَنزَلنا إِلَيكَ الكِتٰبَ ۚ فَالَّذينَ ءآتَيناهُمُ الكِتٰبَ يُؤمِنونَ بِهِ ۖ وَمِن هٰؤُلاءِ مَن يُؤمِنُ بِهِ ۚ وَما يَجحَدُ بِئآيٰتِنا إِلَّا الكٰفِرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And thus We have sent down to you the Book [i.e., the Qur’ān]. And those to whom We [previously] gave the Scripture believe in it. And among these [people of Makkah] are those who believe in it. And none reject Our verses except the disbelievers.

(MELAYU)

Dan demikian (pulalah) Kami turunkan kepadamu Al Kitab (Al Quran). Maka orang-orang yang telah Kami berikan kepada mereka Al Kitab (Taurat) mereka beriman kepadanya (Al Quran); dan di antara mereka (orang-orang kafir Mekah) ada yang beriman kepadanya. Dan tiadalah yang mengingkari ayat-ayat kami selain orang-orang kafir.

 

وَكَذٰلِكَ أَنزَلنا إِلَيكَ الكِتٰبَ

Dan demikian (pulalah) Kami turunkan kepadamu Al Kitab (Al Quran).

Bagi kesempurnaan inilah Allah turunkan kitab wahyu yang sempurna. Untuk menyempurnakan agama, maka Allah turunkan kitab wahyu.

Atau, ia boleh bermaksud: sebagaimana kitab-kitab wahyu telah diturunkan kepada para Rasul sebelum Nabi Muhammad, maka kitab wahyu (Qur’an) juga diturunkan kepada baginda.

Jadi Qur’an mengiktiraf kitab-kitab wahyu sebelum Qur’an. Bukanlah kena tolak kitab-kitab dahulu untuk kita beriman dengan Qur’an. Qur’an boleh diimani sambil mengimani kitab-kitab yang lain.

 

فَالَّذينَ ءآتَيناهُمُ الكِتٰبَ يُؤمِنونَ بِهِ

Maka orang-orang yang telah Kami berikan kepada mereka Al Kitab (Taurat) mereka beriman kepadanya (Al Quran);

Ini adalah Dalil Naqli. Allah memberitahu bahawa ada ahli-ahli kitab yang apabila mereka membaca Qur’an, maka mereka kenal kebenaran yang ada di dalamnya dan mereka telah beriman dengan Qur’an. Yakni orang-orang yang mengambilnya, lalu membacanya dengan bacaan yang sebenarnya. Oleh itu, bukanlah semua ahli kitab terima Qur’an itu, tapi mereka buka hati mereka kepada kebenaran sahaja.

Mereka terdiri dari para cendekiawan dan ulama Ahli Kitab, seperti Abdullah ibnu Salam dan Salman Al-Farisi serta lain-lainnya yang semisal mereka. Ini kerana mereka nampak kebenaran yang ada di dalamnya sama dengan apa yang ada dalam kitab wahyu mereka sendiri.

 

وَمِن هٰؤُلاءِ مَن يُؤمِنُ بِهِ

dan di antara mereka, ada yang beriman kepadanya. 

Dan ini pula merujuk kepada golongan semasa ayat Qur’an ini diturunkan. Kerana memang ada dari golongan orang Mekah itu walaupun mereka tidak ada kitab wahyu, tetapi mereka tetap beriman dengan Qur’an. Jadi untuk terima wahyu Qur’an ini bukan semestinya kena ada kitab wahyu sebelum itu, asalkan ada keinginan kepada kebenaran.

 

وَما يَجحَدُ بِئآيٰتِنا إِلَّا الكٰفِرونَ

Dan tiadalah yang mengingkari ayat-ayat kami selain orang-orang kafir.

Ini adalah Ayat Zajrun. Ada yang beriman dan ada juga yang menentang wahyu.

Kalimah jahada bermaksud berdebat dengan sesuatu yang orang itu sendiri tahu yang apa yang mereka lawan itu adalah benar tetapi kerana degil dan perangai buruk, tetap juga mahu berdebat dan menolak.

Allah kata yang mereka jenis seperti ini adalah orang yang ‘kufur’. Jadi kita boleh lihat dalam ayat ini dan juga banyak ayat-ayat yang lain, yang ‘orang kafir’ itu adalah orang yang menentang Islam dan bukannya mereka itu semua orang bukan Islam. Ini adalah kerana ada orang bukan Islam yang tidak menentang pun.

Dan dalam masa yang sama, kalau seseorang itu beragama Islam, tapi dalam masa yang sama dia menentang dakwah, menentang ayat-ayat Qur’an dan juga sunnah, maka mereka pun sebenarnya adalah ‘kufur’ walaupun nama mereka orang Islam. Maka kita kena berhati-hati kerana takut nama kita muslim di mata manusia tapi kafir di mata Allah.


 

Ayat 48: Berbagai tohmahan dikeluarkan oleh para penentang wahyu. Antaranya musyrikin Mekah kata wahyu Qur’an itu bukan dari Allah. Maka ini adalah jawapan kepada tuduhan-tuduhan yang mengatakan Nabi Muhammad reka sendiri Qur’an itu.

وَما كُنتَ تَتلو مِن قَبلِهِ مِن كِتٰبٍ وَلا تَخُطُّهُ بِيَمينِكَ ۖ إِذًا لَّارتابَ المُبطِلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And you did not recite before it any scripture, nor did you inscribe one with your right hand. Then [i.e., otherwise] the falsifiers would have had [cause for] doubt.

(MELAYU)

Dan kamu tidak pernah membacakan sebelumnya (Al Quran) sesuatu Kitabpun dan kamu tidak (pernah) menulis suatu Kitab dengan tangan kananmu; andaikata (kamu pernah membaca dan menulis), benar-benar ragulah orang yang mengingkari(mu).

 

وَما كُنتَ تَتلو مِن قَبلِهِ مِن كِتٰبٍ

Dan kamu tidak pernah membacakan sebelumnya (Al Quran) sesuatu Kitab pun

Allah memberitahu yang Nabi Muhammad tidak pernah membacakan mana-mana kitab sebelum baginda bacakan Qur’an itu kepada manusia, kerana baginda sendiri tidak boleh membaca. Maka mana mungkin baginda cedok dari mana-mana sumber lain dan jadikan sebagai Qur’an pula? Memang hujah itu tidak masuk akal.

 

وَلا تَخُطُّهُ بِيَمينِكَ

dan kamu tidak (pernah) menulis suatu Kitab dengan tangan kananmu; 

Dan Allah memberitahu yang Nabi Muhammad tidaklah pernah menyalin kitab-kitab lain dengan tangan kanannya kerana baginda tidak mampu nak menulis pun. Maknanya Nabi sebelum jadi Rasulullah, tidak tahu membaca dan menulis. Digunakan ‘tangan kanan’ dalam ayat ini kerana selalunya manusia menulis dengan tangan kanan.

Sebagai tambahan, ada juga pendapat yang mengatakan, selepas baginda jadi Rasul, baginda boleh membaca dan menulis. Ini adalah atas mukjizat. Iaitu selepas baginda dapat wahyu di Gua Hira’ selepas itu baginda terus boleh membaca dan menulis. Ini memerlukan perbincangan yang khusus lagi. Kerana ada khilaf yang besar tentang perkara ini.

Ada yang menggunakan ayat ini sebagai dalil yang Nabi Muhammad tidak tahu membaca dan menulis sampai bila-bila. Tapi bagi mereka yang mengatakan Nabi Muhammad boleh membaca dan menulis selepas itu, mereka mengatakan yang ayat ini menyatakan yang Nabi Muhammad tidak boleh membaca dan menulis ‘sebelum’ itu, bukannya sampai bila-bila.

 

إِذًا لَّارتابَ المُبطِلونَ

andaikata begitu, benar-benar ragulah orang yang mengingkari(mu).

Oleh kerana Nabi Muhammad itu seorang yang tidak boleh membaca dan menulis, maka tidaklah boleh golongan yang menolak baginda mengatakan yang baginda menulis sendiri Qur’an itu kerana mereka sendiri tahu yang Nabi Muhammad tidak boleh membaca dan menulis.

Nabi Muhammad tinggal bersama mereka dari baginda kecil lagi. Segala perbuatan dan sifat baginda mereka kenal, bukan? Mereka pun tahu baginda sama seperti kebanyakan bangsa Arab yang lain, tidak tahu menulis dan membaca.

Oleh kerana itu hujah itu telah ditolak oleh Allah dengan menjadikan Nabi Muhammad tidak boleh membaca dan menulis dari dulu. Maka tidak mungkin sama sekali segala maklumat yang begitu punya hebat dalam Qur’an itu baginda dapati dari sumber lain, melainkan ianya pasti dari Allah SWT sahaja.

Kerana jikalau baginda tahu menulis dari dulu lagi, maka tentulah lebih ragu-ragu lagi orang yang menolak Qur’an. Mereka akan gunakan alasan: “mesti Muhammad yang tulis sendiri Qur’an itu.”

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 029: Ankabut. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s