Tafsir Surah Ankabut Ayat 19 – 23 (Dalil kebangkitan semula)

Ayat 19: Ayat ini sampai ayat 23 adalah jumlah mu’taridah. Allah menyelitkan kisah lain di dalam kisah Nabi Ibrahim untuk memberi pengajaran kepada Musyrikin Mekah dan manusia umumnya.

Ini adalah Dalil Aqli i’tirafi kepada kebangkitan semula selepas mati. Musyrikin Mekah tahu bahawa Allah itu Pencipta alam ini, bukannya mereka tidak tahu. Maka kalau mereka sudah tahu yang Allah boleh mencipta alam ini dari asalnya, kenapa mereka tidak terima sahaja yang Allah boleh jadikan semula alam ini semula setelah dihancurkan?

أَوَلَم يَرَوا كَيفَ يُبدِئُ اللهُ الخَلقَ ثُمَّ يُعيدُهُ ۚ إِنَّ ذٰلِكَ عَلَى اللهِ يَسيرٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Have they not considered how Allāh begins creation and then repeats it? Indeed that, for Allāh, is easy.

(MELAYU)

Dan apakah mereka tidak memperhatikan bagaimana Allah menciptakan (manusia) dari permulaannya, kemudian mengulanginya (kembali). Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.

 

أَوَلَم يَرَوا كَيفَ يُبدِئُ اللهُ الخَلقَ ثُمَّ يُعيدُهُ

Dan apakah mereka tidak memperhatikan bagaimana Allah menciptakan (manusia) dari permulaannya, kemudian mengulanginya (kembali).

Maksudnya Allah yang mula-mula mencipta makhluk itu dan Dia akan menjadikannya semula. Allah menciptakan makhluk tanpa contoh dari makhluk yang lain. Macam kita mencipta, kita akan ubahsuai dari benda-benda yang telah ada. Tapi dalam Allah mencipta, Allah tidak gunakan contoh apa-apa pun.

Dan apabila Allah yang mula-mula mencipta, tentulah Allah boleh menjadikannya semula. Dan dari segi logik, apabila Allah yang mula-mula menjadikan, tentulah mudah sahaja bagi Allah untuk menjadikannya semula. Macam kita, kalau dah pernah berucap, dan kalau nak kena berucap untuk kali yang kedua, tentu ucapan kali kedua itu lebih mudah lagi kerana kita dah pernah buat.

 

إِنَّ ذٰلِكَ عَلَى اللهِ يَسيرٌ

Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.

Tapi untuk menjadikan makhluk dari asal, atau untuk menjadikannya (menghidupkan kembali) apabila akhirat bermula, mudah sahaja bagi Allah. Qudrat Allah tidak ada batasan. Apabila Allah hendak menjadikan sesuatu, Allah hanya sebut ‘kun’ (jadilah), ‘fayakun’ (maka jadilah). Bukan macam kita, kalau nak jadikan sesuatu, banyak usaha yang kita kena buat.

Ini penting untuk difahami kerana ada manusia seperti musyrikin Mekah yang tidak dapat terima yang Allah mampu untuk menghidupkan semua makhluk yang telah mati. Ini adalah kerana akal mereka tahu yang mereka tidak mampu untuk melakukannya. Tapi ini salah kerana mereka membandingkan dengan diri mereka. Sepatutnya mereka kena tahu yang Qudrat Allah tidak sama dengan qudrat mereka. Jadi Allah menegaskan yang penciptaan dan penciptaan semula itu mudah sahaja bagi Allah.


 

Ayat 20: Kalau tidak mahu juga beriman.

قُل سيروا فِي الأَرضِ فَانظُروا كَيفَ بَدَأَ الخَلقَ ۚ ثُمَّ اللهُ يُنشِئُ النَّشأَةَ الآخِرَةَ ۚ إِنَّ اللهَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Say, [O Muḥammad], “Travel through the land and observe how He began creation. Then Allāh will produce the final creation [i.e., development]. Indeed Allāh, over all things, is competent.”

(MELAYU)

Katakanlah: “Berjalanlah di (muka) bumi, maka perhatikanlah bagaimana Allah menciptakan dari permulaannya, kemudian Allah menjadikannya sekali lagi. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.

 

قُل سيروا فِي الأَرضِ فَانظُروا كَيفَ بَدَأَ الخَلقَ

Katakanlah: “Berjalanlah di (muka) bumi, maka perhatikanlah bagaimana Allah menciptakan dari permulaannya,

Seolah-olah kita disuruh untuk melihat bagaimana kejadian alam ini mula-mula terjadi. Maka jangan takut buat kajian. Dan kajian dari saintis setakat yang kita tahu adalah Big Bang Theory. Perkara ini masih lagi dalam kajian ahli sains.

Atau, kalau kita mudahkan maknanya, permulaan penciptaan adalah berkenaan segala benda dalam alam ini yang mulanya dicipta oleh Allah taala. Kalau mula-mula Dia yang cipta, tentu Dia boleh cipta lagi, bukan?

 

ثُمَّ اللهُ يُنشِئُ النَّشأَةَ الآخِرَةَ

kemudian Allah menjadikannya sekali lagi. 

Dan Allah terus mencipta kejadian-kejadian baru. Dan kerana itu kita dapat lihat ada makhluk yang musnah dan ada makhluk yang menggantikannya seperti pokok, binatang dan lain-lain lagi. Apabila mati makhluk, ada lagi makhluk lain yang lahir.

Dan kita juga boleh lihat ada sahaja spesis-spesis baru yang dijadikan oleh Allah. Ada spesis baru yang tidak dalam senarai saintis kerana ada sahaja penemuan-penemuan baru dalam alam ini. Memang tidak habis kaji lagi alam ini sebenarnya.

 

إِنَّ اللهَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.

Semua penciptaan itu dilakukan oleh Allah. Allah memang mampu untuk menjadi apa sahaja mengikut kehendakNya. Janganlah kita hadkan kuasa Allah. Kuasa Allah amat luas tanpa had.


 

Ayat 21: Jadi Kiamat itu pasti. Dan apabila ada kehidupan semula di akhirat, maka bermaksud ada balasan. Kita bukannya dihidupkan semula untuk menjalani kehidupan sekali lagi seperti kehidupan di dunia.

يُعَذِّبُ مَن يَشاءُ وَيَرحَمُ مَن يَشاءُ ۖ وَإِلَيهِ تُقلَبونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He punishes whom He wills and has mercy upon whom He wills, and to Him you will be returned.

(MELAYU)

Allah mengazab siapa yang dikehendaki-Nya, dan memberi rahmat kepada siapa yang dikehendaki-Nya, dan hanya kepada-Nya-lah kamu akan dikembalikan.

 

يُعَذِّبُ مَن يَشاءُ وَيَرحَمُ مَن يَشاءُ

Allah mengazab siapa yang dikehendaki-Nya, dan memberi rahmat kepada siapa yang dikehendaki-Nya,

Keputusan di akhirat kelak adalah dalam Tangan Allah. Allah lah nanti yang akan menentukan siapakah yang layak diberi azab di akhirat dan siapakah nanti yang layak diberi nikmat di syurga. Memang Allah akan adakah mahkamah di akhirat kelak, tapi Allah sudah tahu apakah keputusannya. Allah adakan mahkamah pengadilan itu untuk puaskan hati manusia sahaja kerana mereka ada peluang untuk berhujah. Tapi keputusan terakhir adalah pada Allah.

Disebut dalam satu hadis:

“إِنَّ اللهَ لَوْ عَذَّبَ أَهْلَ سَمَاوَاتِهِ وَأَهْلَ أَرْضِهِ، لَعَذَّبَهُمْ وَهُوَ غَيْرُ ظَالِمٍ لَهُمْ”

Sesungguhnya Allah itu seandainya Dia mengazab semua penduduk langit-Nya dan semua penduduk bumi-Nya, Dia benar-benar akan mengazab mereka, sedangkan Dia tidak berbuat aniaya terhadap mereka.

 

وَإِلَيهِ تُقلَبونَ

dan hanya kepada-Nya-lah kamu akan dikembalikan.

Kalimah tuqlab bermaksud berpusing. Maksudnya kita semua akan berpusing kepada Allah. Maksudnya kita semua akan dikembalikan. Kita tidak akan pergi ke mana-mana lagi. Kita semua sudah pasti akan mati. Dan Allah telah sebutkan yang kita akan dihidupkan semula. Apabila dihidupkan semula, sekarang Allah beritahu kita ke mana; iaitu bertemu denganNya.

Maka kita kena fikirkan, apa yang kita akan bawa mengadap Allah nanti? Adakah kita nak bawa pahala yang banyak atau dosa yang banyak? Fikir-fikirkanlah.


 

Ayat 22: Bolehlah kita melarikan diri dari azab Allah kalau Allah telah tetapkan?

وَما أَنتُم بِمُعجِزينَ فِي الأَرضِ وَلا فِي السَّماءِ ۖ وَما لَكُم مِّن دونِ اللهِ مِن وَلِيٍّ وَلا نَصيرٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And you will not cause failure [to Allāh] upon the earth or in the heaven. And you have not other than Allāh any protector or any helper.

(MELAYU)

Dan kamu sekali-kali tidak dapat melepaskan diri (dari azab Allah) di bumi dan tidak (pula) di langit dan sekali-kali tiadalah bagimu pelindung dan penolong selain Allah.

 

وَما أَنتُم بِمُعجِزينَ فِي الأَرضِ وَلا فِي السَّماءِ

Dan kamu sekali-kali tidak dapat melepaskan diri (dari azab Allah) di bumi dan tidak (pula) di langit 

Apabila Allah sudah buat keputusan, memang ia akan kena kepada kita. Kalimah i’jaz bermaksud ‘mengalahkan’. Maksudnya kita tidak dapat mengalahkan kehendak Allah, tidak dapat melarikan diri atau melepaskan diri. Tidak kira samada di dunia semasa hidup ini, ataupun di akhirat kelak apabila kita dihidupkan kembali. Allah berfirman tentang ini dalam ar-Rahman:33

يا مَعشَرَ الجِنِّ وَالإِنسِ إِنِ استَطَعتُم أَن تَنفُذوا مِن أَقطارِ السَّماواتِ وَالأَرضِ فَانفُذوا ۚ لا تَنفُذونَ إِلّا بِسُلطانٍ

Hai jama’ah jin dan manusia, jika kamu mampu menembus (melintasi) penjuru langit dan bumi, maka lintasilah, kamu tidak dapat menembusnya kecuali dengan kekuatan.

Allah hendak beritahu yang walaupun waktu itu musyrikin Mekah rasa mereka kuat, tetapi mereka tidak berkuasa untuk menundukkan sesiapa pun, lebih-lebih lagi Allah.

 

وَما لَكُم مِّن دونِ اللهِ مِن وَلِيٍّ وَلا نَصيرٍ

dan sekali-kali tiadalah bagimu pelindung dan penolong selain Allah.

Dan apabila Allah sudah buat keputusan untuk kenakan azab, maka tidak ada sesiapa yang boleh tolong.

Tiada siapa yang boleh jadi wali – maksudnya tidak ada sesiapa pun yang dapat melindungi mereka dari kena azab.

Tiada siapa yang boleh tolong – maksudnya apabila dah kena dengan azab itu, tidak ada sesiapa pun yang boleh keluarkan mereka dari azab itu.

Maknanya, sebelum kena tak dapat tolong, selepas kena pun tidak dapat tolong. Musyrikin Mekah dan orang yang sangka mereka rapat dengan Nabi, wali dan malaikat sangka yang mereka akan ditolong di akhirat kelak. Ini kerana mereka selalu buat ibadat kepada roh-roh itu, beri salam malam-malam, sedekah Fatihah, selalu sebut nama mereka, selalu lawat kubur mereka dan sebagainya. Tapi Allah nak beritahu, tidak ada sesiapa pun yang mampu untuk menyelamatkan mereka. Bukan sahaja tidak mampu, tidak akan ada sesiapa pun yang mahu membantu mereka. Tidak ada sesiapa yang teringin nak jadi peguam untuk mereka.


 

Ayat 23: Allah akan azab sesiapa yang dikehendakiNya iaitu mereka yang kufur kepadaNya.

وَالَّذينَ كَفَروا بِئايٰتِ اللهِ وَلِقائِهِ أُولٰئِكَ يَئِسوا مِن رَّحمَتي وَأُولٰئِكَ لَهُم عَذابٌ أَليمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And the ones who disbelieve in the signs of Allāh and the meeting with Him – those have despaired of My mercy, and they will have a painful punishment.

(MELAYU)

Dan orang-orang yang kafir terhadap ayat-ayat Allah dan pertemuan dengan Dia, mereka putus asa dari rahmat-Ku, dan mereka itu mendapat azab yang pedih.

 

وَالَّذينَ كَفَروا بِئايٰتِ اللهِ وَلِقائِهِ

Dan orang-orang yang kafir terhadap ayat-ayat Allah dan pertemuan dengan Dia,

Mereka tidak percaya kepada tanda-tanda yang Allah berikan. Apabila wahyu disampaikan kepada mereka, mereka buat tidak tahu sahaja. Kafir bermaksud ‘tutup’ bermaksud mereka tutup ayat-ayat wahyu Allah dari diri mereka. Mereka buat tidak tahu.

Dan kemudian mereka tidak percaya perjumpaan dengan Allah. Mereka rasa mereka hidup di dunia sahaja dan apabila mati, mati terus begitu sahaja.

 

أُولٰئِكَ يَئِسوا مِن رَّحمَتي

mereka putus asa dari rahmat-Ku, 

Mereka itu tidak ada harapan untuk mendapat rahmat (kebaikan) dari Allah. Ini adalah kerana mereka kufur tidak percaya kepada perjumpaan dengan Allah di akhirat. Maka mereka tidak buat persediaan. Dan bila mereka tidak buat persediaan, mereka itu tidak akan ada harapan untuk dapat Rahmat.

Mereka juga tidak berharap kepada Allah. Mereka tidak percaya adanya Tuhan. Ini adalah kerana apabila mereka memperkatakan tentang dunia, mereka kata tidak ada Tuhan. Kerana mereka gunakan logik akal –  “ada banyak ketidakadilan dan sengsara dalam dunia ini, mana mungkin Tuhan ada?” Mereka kata: “di mana Tuhan? Kenapa Tuhan tidak tolong?”. Mereka menggunakan logik akal sahaja, melihat alam ini dengan mata mereka sahaja. Mereka tidak terima bahawa Allah itu Maha Bijaksana. Mereka tidak mahu menerima hakikat bahawa apa yang terjadi dalam alam ini terjadi kerana kebijaksanaan Allah. Memang nampak macam tidak adil, tapi Allah ada rancanganNya. Dan rancanganNya kadang-kadang kita tidak nampak, kerana akal kita lemah.

 

وَأُولٰئِكَ لَهُم عَذابٌ أَليمٌ

dan mereka itu mendapat azab yang pedih.

Dan akhirnya mereka yang tidak percaya perjumpaan dengan Allah atau kewujudan Allah sendiri, mereka akan menerima azab yang pedih. Mereka akan menjadi orang yang amat rugi. Ini adalah kerana mereka degil untuk menerima kebenaran dan tidak mahu menggunakan akal mereka untuk memikirkan.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 029: Ankabut. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s