Tafsir Surah Thur Ayat 22 – 31 (Ahli syurga bersembang)

Ayat 22: Sambungan kisah nikmat dalam syurga. Allah mahu kita bayangkan supaya ada semangat untuk masuk ke dalam syurga.  

وَأَمدَدنٰهُم بِفٰكِهَةٍ وَلَحمٍ مِّمّا يَشتَهونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We will provide them with fruit and meat from whatever they desire.

(MELAYU)

Dan Kami beri mereka tambahan dengan buah-buahan dan daging dari segala jenis yang mereka ingini.

 

Mereka akan diberikan dengan apa saja makanan yang mereka mahu. Ditambah-tambah lagi. Memang berlebih-lebih dari keperluan. Kalau di dunia, mungkin ada makanan yang tidak cukup. Di dalam ayat ini disebut buah-buahan dan daging. Daging yang diberikan itu tentulah lebih hebat dari daging yang kita biasa makan sekarang. Malah, mungkin ianya bukan dari binatang. Kerana telah disebut yang susu yang di syurga itu bukanlah dari binatang dan madu itu bukanlah dari lebah. Allah boleh sahaja jadikan daging tanpa ambil dari binatang.

‘Buah-buahan’ disebut dahulu sebelum disebut daging; dan ada yang melakukan kajian bahawa buah-buahan itu seeloknya dimakan dahulu sebelum makan benda-benda yang lain. Ini adalah kerana buahan senang reput dalam perut dan kalau kita makan makanan lain, dan kemudian buah-buahan pula di atasnya, maka ia akan reput dan tidak diserap dalam perut. Malangnya, orang kita selalunya makan buah selepas makan benda lain dan ini terbalik dari yang sepatutnya.


 

Ayat 23:

يَتَنٰزَعونَ فيها كَأسًا لّا لَغوٌ فيها وَلا تَأثيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They will exchange with one another a cup [of wine] wherein [results] no ill speech or commission of sin.

(MELAYU)

Di dalam syurga mereka saling berebut piala (gelas) yang isinya tidak (menimbulkan) kata-kata yang tidak berfaedah dan tiada pula perbuatan dosa.

 

يَتَنٰزَعونَ فيها كَأسًا

Di dalam syurga mereka saling berebut piala

Piala itu adalah bekas minuman. Digunakan pahala untuk memudahkan ahli syurga minum kerana boleh pegang dari mana-mana bahagian pun. Benda sekecil itu pun dimudahkan untuk ahli syurga.

Ahli syurga akan berebut dan menarik piala dari ahli syurga yang lain. Kenapa sampai menarik bekas minuman orang lain pula? Ini bukanlah menunjukkan yang ada di syurga berebut-rebut seolah-olah tidak cukup minuman pula, pula tetapi mereka bermain-main seperti kita dengan anak kita. Kadang-kadang mereka ada barangan mereka yang mereka suka apabila kita cuba mengambil dari mereka. Mereka akan berlari-lari dan kita pun kejar-kejar mereka. Sesiapa yang ada anak akan tahu perkara ini. Jadi ayat ini hendak menunjukkan bagaimana mesranya ahli syurga sesama mereka.

 

لّا لَغوٌ فيها وَلا تَأثيمٌ

yang isinya tidak (menimbulkan) kata-kata yang tidak berfaedah dan tiada pula perbuatan dosa.

Walaupun mereka berebut-rebut dan ganggu mengganggu sesama sendiri, tetapi ia bukanlah perkara dosa. Kerana ianya adalah untuk kemesraan sesama mereka.

Minuman arak di syurga tidaklah menjadikan orang yang meminumnya jadi mabuk. Dan bila tidak mabuk, tidaklah cakap perkara sia-sia dan lagha, atau perkara yang menyakitkan hati. Kalau arak di dunia, tentu menyebabkan peminumnya mabuk dan mulalah cakap benda-benda mengarut, bukan? Untuk itu Allah Swt. berfirman:

{بَيْضَاءَ لَذَّةٍ لِلشَّارِبِينَ لَا فِيهَا غَوْلٌ وَلا هُمْ عَنْهَا يُنزفُونَ}

(Warnanya) putih bersih, sedap rasanya bagi orang-orang yang minum. Tidak ada dalam khamr itu alkohol dan mereka tiada mabuk kerananya. (Ash-Shaffat: 46-47)

Kalimah تَأثيمٌ bermaksud sesuatu yang boleh menyebabkan dosa dan itu pun tiada di syurga. Kadang-kadang apabila kita bermain-main di dunia, akhirnya boleh membawa kepada kesedihan kerana mungkin ada barang yang pecah dan sebagainya.

Atau ia bermaksud yang mereka berebut-rebut minum itu adalah air arak dan arak itu tidak memabukkan mereka dan tidak menyebabkan dosa. Tiada dosa lagi di syurga. Kerana kalau minum arak, akal dah mereng, maka akan cakap tipu, cakap benda-benda yang salah dan sebagainya.

{لَا يُصَدَّعُونَ عَنْهَا وَلا يُنزفُونَ}

mereka tidak pening kerananya dan tidak pula mabuk. (Al-Waqi’ah: 19)


 

Ayat 24:

۞ وَيَطوفُ عَلَيهِم غِلمانٌ لَّهُم كَأَنَّهُم لُؤلُؤٌ مَّكنونٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

There will circulate among them [servant] boys [especially] for them, as if they were pearls well-protected.

(MELAYU)

Dan berkeliling di sekitar mereka anak-anak muda untuk (melayani) mereka, seakan-akan mereka itu mutiara yang tersimpan.

 

وَيَطوفُ عَلَيهِم غِلمانٌ لَّهُم

Dan berkeliling di sekitar mereka anak-anak muda untuk (melayani) mereka,

Yang dimaksudkan adalah kanak-kanak pelayan di dalam syurga. Ini adalah untuk menyempurnakan nikmat kerana apabila ada para pelayan, maka itu lebih menambahkan kehebatan keadaan di dalam syurga itu. Kerana memang semua sudah dimudahkan pun di syurga, tidak perlu nak susah payah ambil makanan. Sebagai contoh, kalau nak buah, buah itu yang akan datang sendiri kepada kita. Tapi bila ada pelayan, ia lebih menambah kehebatan lagi.

 

كَأَنَّهُم لُؤلُؤٌ مَّكنونٌ

seakan-akan mereka itu mutiara yang tersimpan.

Maksudnya kanak-kanak pelayan itu dalam pakaian yang kemas. Macam restoran mahal di dunia sekarang, pelayan restauran itu pakai pakaian yang kemas. Kita pun selesa dan rasa kedai itu kemas dan kita akan tahu yang dapur pun kemas. Kalau pelayan pun pakai pakaian tak kemas, itu memberi isyarat yang kedai dan dapur kedai itu tidak bersih.

Jadi kalau kita perlu ke restauran dan hotel yang ada pelayan yang begini, maka kita tentu teringat akan ayat ini nanti.


 

Ayat 25:

وَأَقبَلَ بَعضُهُم عَلىٰ بَعضٍ يَتَساءَلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And they will approach one another, inquiring of each other.

(MELAYU)

Dan sebahagian mereka menghadap kepada sebahagian yang lain saling tanya-menanya.

 

Ahli syurga akan berjumpa sesama mereka dan bertanyaan di syurga. Tidaklah mereka duduk bersendirian sahaja. Maka masih ada lagi elemen sosial, masih ada lepak-lepak bersama kenalan dan kawan lama.

Macam-macam perkara yang mereka akan sembangkan. Allah Ta’ala akan aturkan suasana di dalam syurga itu di mana ahli-ahli syurga akan berjumpa dan bertanya khabar dan bercerita tentang pengalaman mereka semasa di dunia dulu. Mereka juga akan bandingkan apa yang mereka dapat dalam syurga. Dan bercerita tentang segala nikmat-nikmat yang mereka sedang dapat dan bagaimana bersyukurnya mereka.


 

Ayat 26: Allah naqalkan sebahagian dari kata-kata semasa mereka bertemu itu.

قالوا إِنّا كُنّا قَبلُ في أَهلِنا مُشفِقينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They will say, “Indeed, we were previously among our people fearful [of displeasing Allāh].

(MELAYU)

Mereka berkata: “Sesungguhnya kami dahulu, sewaktu berada di tengah-tengah keluarga kami merasa takut (akan diazab)”.

 

Dulu semasa mereka di dunia, mereka dalam keadaan takut. Takut buat dosa, takut buat salah. Risau macam mana nak jaga keluarga supaya dalam keadaan iman dan terkawal dari anasir-anasir luar yang tidak elok. Mereka risau tentang makanan mana yang halal dan baik untuk kesihatan. Mereka kena memikirkan di sekolah mana nak hantar anak-anak mereka. Dengan siapa anak mereka berkawan. Ringkasnya, mereka risau macam mana nak jaga ahli keluarga mereka dari korup agama.

Selalunya manusia buat dosa kerana nak puaskan keluarga dan anak-anak. Kerana nak beri kesenangan kepada anak contohnya, mereka sanggup menipu dalam perniagaan, terima rasuah, luangkan terlalu banyak masa dengan mereka sampaikan tidak melakukan amalan agama, tidak belajar agama dan sebagainya. Maka, ahli syurga tidaklah terleka dengan keluarga dan anak-anak mereka. Mereka meluangkan masa dengan keluarga mereka, tapi tidaklah keluarga mereka melekakan mereka.

Ataupun mereka menceritakan yang mereka dapat masuk ke dalam syurga itu kerana semasa mereka di dunia dengan ahli-ahli keluarga mereka, amat takut kepada Allah dan kerana itu mereka dapat masuk syurga. Kerana takut kepada Allah, maka mereka jaga amalan mereka dan iman mereka.


 

Ayat 27: Kesannya:

فَمَنَّ اللهُ عَلَينا وَوَقٰنا عَذابَ السَّمومِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So Allāh conferred favor upon us and protected us from the punishment of the Scorching Fire.

(MELAYU)

Maka Allah memberikan kurnia kepada kita dan memelihara kita dari bahang azab neraka.

 

فَمَنَّ اللهُ عَلَينا

Maka Allah memberikan kurnia kepada kita

Oleh kerana iman dan amalan mereka semasa di dunia, dengan takut kepada Allah dan takut kepada azab, maka Allah telah beri kurnia syurga itu kepada mereka.

 

وَوَقٰنا عَذابَ السَّمومِ

dan memelihara kita dari bahang azab neraka.

Dan mereka dibebaskan dari api neraka. Dan bukan api sahaja, tapi diselamatkan dari السَّمومِ (hawa panas). Hawa atau bahang dari api neraka itu pun dah tak tahan dah. Dari bahang itu pun Allah selamatkan mereka.

Kalau bahang pun dah panas dan tidak tahan, kenapa ada juga orang Islam yang boleh kata: “tapi, kalau orang Islam masuk neraka pun, tak lama kan? Akhirnya akan masuk syurga, kan?” Begitu jahilnya mereka. Mereka sangka masuk neraka itu macam masuk penjara duniakah?


 

Ayat 28: Apa lagi benda benar yang ahli syurga telah lakukan?

إِنّا كُنّا مِن قَبلُ نَدعوهُ ۖ إِنَّهُ هُوَ البَرُّ الرَّحيمُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, we used to supplicate Him before. Indeed, it is He who is the Beneficent, the Merciful.”

(MELAYU)

Sesungguhnya kita dahulu menyeru-Nya. Sesungguhnya Dialah yang melimpahkan kebaikan lagi Maha Penyayang.

 

إِنّا كُنّا مِن قَبلُ نَدعوهُ

Sesungguhnya kita dahulu menyeru-Nya.

Semasa mereka hidup di dunia, mereka selalu doa kepada Allah. Yang penting, mereka hanya seru kepada Allah sahaja dan tidak seru kepada Nabi, wali dan malaikat atau jin. Inilah ajaran tauhid.

Inilah yang penting sekali. Jangan sesekali jadikan ilah lain selain Allah. Jangan berdoa kepada selain Allah, walaupun dalam bentuk tawasul. Ini penting kerana ramai yang tidak faham tentang tawasul ini. Mereka sangka Nabi dan wali yang sudah mati itu boleh sampaikan doa mereka kepada Allah. Kerana itu ada ajaran tawasul kepada Nabi dan wali yang telah mati.

 

إِنَّهُ هُوَ البَرُّ الرَّحيمُ

Sesungguhnya Dialah yang melimpahkan kebaikan lagi Maha Penyayang.

Allah lah sumber kebaikan. Dari sini datang kalimah birr (kebaikan). Ianya dari ب ر ر yang bermaksud tanah kerana tanah adalah stabil. Jadi kalimah البَرُّ bermaksud kebaikan yang banyak dari Allah. Allah sangat baik kerana melimpahkan begitu banyak nikmat dan kebaikan kepada kita.

Dan Allah Maha Mengasihani kepada orang mukmin dan yang menjadi ahli syurga kerana apabila Allah masukkan seseorang itu ke dalam syurga, maka Allah tidak akan beri dia rasa sedikit pun kesusahan.

Maka mereka memuji-muji Allah yang telah beri kebaikan kepada mereka.


 

Ayat 29: Oleh kerana manusia samada akan masuk ke dalam syurga ataupun ke dalam neraka, maka hendaklah diberi peringatan kepada manusia semasa mereka masih di dunia lagi. Kerana kalau masuk alam akhirat, sudah terlambat.

فَذَكِّر فَما أَنتَ بِنِعمَتِ رَبِّكَ بِكاهِنٍ وَلا مَجنونٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So remind, [O Muḥammad], for you are not, by the favor of your Lord, a soothsayer or a madman.

(MELAYU)

Maka tetaplah memberi peringatan, dan kamu disebabkan nikmat Tuhanmu bukanlah seorang tukang tenung dan bukan pula seorang gila.

 

فَذَكِّر

Maka tetaplah memberi peringatan,

Nabi Muhammad memang telah beri peringatan dan ayat ini adalah suruhan kepada baginda untuk terus beri peringatan kepada manusia.

Dan kita sebagai meneruskan usaha baginda, kenalah beri peringatan kepada manusia. Cari peluang untuk ingatkan tentang tauhid, tentang kebenaran kepada manusia. Sentiasa akal kita mencari-cari peluang untuk ingatkan manusia. Mungkin kita sedang makan dan minum dengan mereka, maka cari peluang untuk selitkan tentang ajaran agama kepada mereka.

 

فَما أَنتَ بِنِعمَتِ رَبِّكَ بِكاهِنٍ وَلا مَجنونٍ

dan tidaklah kamu, disebabkan nikmat Tuhanmu, seorang tukang tenung dan bukan pula seorang gila.

Allah menegaskan yang Nabi Muhammad bukan kaahin. Kaahin adalah tukang tenung nasib dan juga bomoh. Nabi bukanlah seorang bomoh dan baginda tidak boleh baca fikiran dan nasib manusia. Kerana itu baginda tidak tahu siapa yang mahu terima dan siapa yang tidak mahu terima dakwah baginda. Maka baginda terus sahaja dakwah kepada umat baginda.

Juga bermaksud tempelak Allah kepada musyrikin Mekah yang menolak baginda. Mereka kata baginda itu samada kaahin atau orang gila. Mereka tuduh baginda dapat maklumat agama itu dari jin sahaja, bukannya dari Allah. Mereka cakap begitu supaya orang lain tidak dengar apa yang baginda hendak sampaikan.

Zaman itu memang ada orang yang kerja jadi Kaahin. Mereka ini tukang tilik, tukang tenun, bomoh. Memang terkenal dan mereka ini cari makan dengan mengaku yang mereka tahu maklumat dari alam ghaib. Mereka mengaku mereka boleh berkomunikasi dengan jin. Maka mereka akan pergi ke sesuatu tempat dan iklankan khidmat mereka. Ramailah yang datang dan jumpa mereka tanya macam-macam perkara.

Mereka nak tuduh Nabi pun salah seorang Kaahin sahaja. Tapi ini tidak dapat diterima oleh mereka yang pakai akal mereka. Kerana amat berbeza perawakan kaahin-kaahin itu dan Nabi Muhammad. Kalimah-kalimah yang digunakan juga tidak sama dan pakaian pun tidak sama.

Dan mereka juga tuduh baginda orang gila. Sampai sekarang pun ada golongan orientalis yang kata baginda keluarkan Qur’an itu apabila baginda kena epilepsi! Mereka nak kata baginda tidak sedarkan diri dan cakap benda-benda mengarut! Adakah Qur’an yang hebat ini mereka kata keluar dari akal yang gila? Tidak sama sekali. Ianya adalah nikmat dan rahmat dari Allah. Maka Allah tutup tuduhan karut mereka itu dalam ayat ini.


 

Ayat 30: Ayat syikayah. Allah sebut apa yang mereka kata sesama mereka. Tadi mereka kata baginda kaahin dan juga gila. Sekarang lihat pula tuduhan mereka yang lain.

أَم يَقولونَ شاعِرٌ نَّتَرَبَّصُ بِهِ رَيبَ المَنونِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Or do they say [of you], “A poet for whom we await a misfortune of time”?¹

  • i.e., some accident or inevitable death.

(MELAYU)

Bahkan mereka mengatakan: “Dia adalah seorang penyair yang kami tunggu-tunggu kecelakaan menimpanya”.

 

أَم يَقولونَ شاعِرٌ

Atau mereka mengatakan: “Dia adalah seorang penyair 

Salah satu lagi tuduhan mereka terhadap Nabi Muhammad adalah baginda seorang penyair. Kerana apabila baginda membacakan Qur’an, mereka kata baginda buat syair. Ini tidak benar sama sekali kerana Qur’an itu jauh lebih hebat dari syair.

 

نَّتَرَبَّصُ بِهِ رَيبَ المَنونِ

yang kami tunggu-tunggu kecelakaan menimpanya”.

Maka mereka menunggu apa yang akan terjadi kepada baginda kerana kadang-kadang penyair ada yang popular dan lama-lama mereka hilang pengaruhnya. Kalimah المَنونِ adalah masa. Mann juga adalah pemberian. Kerana itu kadang-kadang masa memberi kebaikan dan menggembirakan kita.

Mereka menunggu-nunggu  akan musibah yang mereka kira akan menghancurkan Nabi. Atau lama kelamaan, baginda akan hilang popularitinya dan orang akan buat tidak kisah. Macam penyair zaman dulu dan penyanyi dan artis zaman sekarang. Selalunya sekejap sahaja mereka terkenal; bila datang penyanyi dan artis baru, hilanglah fenomena hebat mereka, bukan?

Atau mereka nak kata, oleh kerana baginda kata berhala-berhala dan sembahan mereka itu tidak benar, maka tidak lama lagi akan ditimpa musibah dek kerana kutuk berhala-berhala mereka itu. Mereka nak kata, nanti berhala dan ilah-ilah mereka itu akan hancurkan baginda lah.

Jadi ayat ini menunjukkan yang surah ini adalah surah awal Mekah di mana musyrikin Mekah tidak tahu apa yang mereka hendak katakan tentang Nabi Muhammad dan mereka tidak tahu bagaimana mereka hendak menghadapi baginda dan mereka hendak tengok saja dahulu. Mereka waktu itu tidak berapa risau sangat kerana mereka sangka populariti baginda itu tidaklah kekal lama.


 

Ayat 31: Ini jawapan kepada mereka. Allah ajar bagaimana nak jawap.

قُل تَرَبَّصوا فَإِنّي مَعَكُم مِّنَ المُتَرَبِّصينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Say, “Wait, for indeed I am, with you, among the waiters.”

(MELAYU)

Katakanlah: “Tunggulah, maka sesungguhnya akupun termasuk orang yang menunggu bersama kamu”.

 

قُل تَرَبَّصوا

Katakanlah: “Tunggulah

Maka tunggulah. Tengok apa yang akan jadi nanti.

Kadang-kadang apabila ada orang yang hendak berubah ke arah kebaikan daripada perangai teruk mereka, maka ada orang-orang yang kata: “alaahhh, itu sekejap sahaja sahaja tu. Nanti dia akan berubah dah balik.”

 

فَإِنّي مَعَكُم مِّنَ المُتَرَبِّصينَ

maka sesungguhnya akupun termasuk orang yang menunggu bersama kamu”.

Maka kita katakan kepada mereka yang tidak yakin dengan kita itu yang kita akan tetap berpegang dengan agama ini. Kalau tidak percaya sama-samalah kita tunggu. Kau tunggu, aku pun nak tunggu juga. Mari sama-sama kita tunggu.

Mari tunggu dan lihat siapakah yang akan menang nanti dan siapa yang akan kena azab.

Allahu a’lam. Sambungan ke ayat yang seterusnya.


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 052: Thur. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s