Tafsir Surah Qasas Ayat 75 – 77 (Kisah Qarun)

Ayat 75:

وَنَزَعنا مِن كُلِّ أُمَّةٍ شَهيدًا فَقُلنا هاتوا بُرهٰنَكُم فَعَلِموا أَنَّ الحَقَّ ِلِلهِ وَضَلَّ عَنهُم مّا كانوا يَفتَرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We will extract from every nation a witness and say, “Produce your proof,” and they will know that the truth belongs to Allāh, and lost from them is that which they used to invent.

(MELAYU)

Dan Kami datangkan dari tiap-tiap umat seorang saksi, lalu Kami berkata “Tunjukkanlah bukti kebenaranmu”, maka tahulah mereka bahawasanya yang hak itu kepunyaan Allah dan lenyaplah dari mereka apa yang dahulunya mereka ada-adakan.

 

وَنَزَعنا مِن كُلِّ أُمَّةٍ شَهيدًا

Dan Kami datangkan dari tiap-tiap umat seorang saksi,

Dan pada hari akhirat nanti Allah akan tarik daripada setiap umat itu, saksi-saksi mereka.

 

فَقُلنا هاتوا بُرهٰنَكُم

lalu Kami berkata “Tunjukkanlah bukti kebenaranmu”, 

Dan akan diminta kepada mereka bukti-bukti daripada amalan-amalan mereka. Saksi-saksi ini mungkin pada golongan ini yang menjadi ikutan mereka.

Juga boleh bermaksud para rasul yang akan ditarik keluar dan kemudian mereka memberikan bukti yang mereka telah menyampaikan ajaran yang benar semasa mereka bersama hidup dengan kaum mereka. Mereka dah sampaikan tapi umat mereka yang degil tidak mahu terima. Menurut Mujahid, yang dimaksud dengan saksi dalam ayat ini adalah rasul.

Dan selepas para Rasul mereka telah mengaku yang mereka telah sampaikan, maka akan ditanya kembali kepada umat mereka untuk mengeluarkan bukti-bukti dari mereka pula. Akan ditanya kepada mereka yang melakukan syirik itu kenapa mereka tidak ikut ajaran para rasul mereka. Adakah mereka ada bukti lain yang menyebabkan mereka menolak ajakan dakwah Rasul mereka. Kalau ada, keluarkan sekarang! Buktikan yang ada ilah-ilah lain selain Allah; buktikan Allah suruh adakah wasilah untuk menyampaikan doa; buktikan boleh sembah selain Allah; dan macam-macam lagi.

 

فَعَلِموا أَنَّ الحَقَّ ِلِلهِ

maka tahulah mereka bahawasanya yang hak itu kepunyaan Allah 

Waktu itu sedarlah mereka bahawa kebenaran itu ada pada Allah. Kerana mereka memang tidak ada alasan lagi kenapa mereka buat amalan syirik mereka.

Semasa di dunia, bolehlah mereka beri bermacam-macam hujah bathil untuk membenarkan amalan mereka. Tetapi nanti di akhirat mereka tahu lah yang alasan mereka itu tidak laku lagi.

 

وَضَلَّ عَنهُم مّا كانوا يَفتَرونَ

dan lenyaplah dari mereka apa yang dahulunya mereka ada-adakan.

Apa-apa sahaja amalan rekaan yang mereka lakukan dan roh-roh sembahan mereka itu tidak dapat menyelamatkan mereka. Mereka sangka dengan seru dan sedekah Fatihah kepada Nabi, wali dan malaikat itu, mereka akan dibantu di akhirat. Tapi itu adalah sia-sia sahaja.


 

Ayat 76: Takhwif duniawi. Allah buka kisah baru iaitu Qarun dan bagaimana nanti dia dimusnahkan.

۞ إِنَّ قٰرونَ كانَ مِن قَومِ موسىٰ فَبَغىٰ عَلَيهِم ۖ وَءآتَينٰهُ مِنَ الكُنوزِ ما إِنَّ مَفاتِحَهُ لَتَنوءُ بِالعُصبَةِ أُولِي القُوَّةِ إِذ قالَ لَهُ قَومُهُ لا تَفرَح ۖ إِنَّ اللهَ لا يُحِبُّ الفَرِحينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, Qārūn was from the people of Moses, but he tyrannized them. And We gave him of treasures whose keys would burden a band of strong men; thereupon his people said to him, “Do not exult. Indeed, Allāh does not like the exultant.

(MELAYU)

Sesungguhnya Qarun adalah termasuk kaum Musa, maka dia berlaku aniaya terhadap mereka, dan Kami telah menganugerahkan kepadanya perbendaharaan harta yang kunci-kuncinya sungguh berat dipikul oleh sejumlah orang yang kuat-kuat. (Ingatlah) ketika kaumnya berkata kepadanya: “Janganlah kamu terlalu bangga; sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang terlalu membanggakan diri”.

 

إِنَّ قٰرونَ كانَ مِن قَومِ موسىٰ

Sesungguhnya Qarun adalah termasuk kaum Musa,

Sekarang kita menghampiri kepada penutup surah ini dan Allah kembalikan kepada kisah Bani Israil yang berkenaan dengan Nabi Musa kembali. Awal surah ini bermula dengan kisah Nabi Musa dan apabila menghampiri hujung surah ini, kembali kepada kisah berkenaan baginda.

Sekarang Allah membuka kisah Qarun dan memberitahu kepada kita bahawa dia adalah salah seorang daripada Bani Israil. Mungkin ini maklumat baru bagi kebanyakan dari kita. Kerana kita semua tahu sedikit kisah Qarun tapi rupa-rupanya dia dari Bani Israil.

Walaupun dia dari Bani Israil tapi dia dikira sebagai musuh dalaman kepada Bani Israil.  Musuh ada dua jenis: luaran dan juga musuh dalaman. Musuh dalaman lebih bahaya lagi daripada musuh luaran kerana mereka itu di sekeliling kita dan tahu kelemahan kita. Dan kita kadangkala tidak tahu yang mereka itu sebenarnya musuh kerana mereka menyembunyikan sifat benci mereka itu.

Dia bukan sahaja dari Bani Israil malah dia sebenarnya sepupu Nabi Musa. Maknanya dia ada sangkut paut juga dengan baginda. Ibnu Juraij mengatakan bahawa dia adalah Qarun ibnu Yas-hub ibnu Qahis, sedangkan Musa adalah Ibnu Imran ibnu Qahis. Tetapi kerana dia cinta dunia maka dia menjadi orang munafik. Qarun dijuluki Al-Munawwir kerana suaranya yang bagus ketika membaca kitab Taurat, tetapi dia adalah musuh Allah lagi munafik, sebagaimana sikap munafiknya Samiri. Keserakahan dirinyalah yang menjerumuskannya ke dalam kebinasaan kerana hartanya yang terlalu banyak.”

Dia tidak mahu keluarkan zakat maka dia terus berada di pihak Firaun. Kerana Firaun tidak minta keluarkan zakat. Maka dia telah menzalimi kaumnya itu kerana tidak mengeluarkan zakat. Sepatutnya dia keluarkan zakat itu diberikan kepada kaumnya yang miskin itu, tapi dia biarkan sahaja mereka. Maka, kalau kita tidak keluarkan zakat kepada masyarakat, maka kita sudah menzalimi orang yang berhak mendapatnya.

Ada lagi satu perkara yang mengejutkan. Maklumat ini mengejutkan kerana dia daripada Bani Israil tetapi dia seorang yang kaya raya (buka kaya sahaja) tetapi kaumnya itu adalah kaum hamba sahaja, jadi kenapa dia boleh jadi begitu? Kenapa dia boleh kaya raya?

Ini kerana apabila Firaun melemahkan kaum Bani Israil dan memecahkan mereka ikut kumpulan-kumpulan dan kelas-kelas tertentu, maka Firaun memerlukan orang daripada bangsa itu yang menjadi mata-matanya dan balacinya. Dan orang yang dijadikan sebagai balaci itu akan diberikan dengan segala bentuk kekayaan supaya tetap taat kepadanya.

Dan kita jangan lupa yang Bani Israil itu adalah Muslim waktu itu dan walaupun mereka itu Muslim, tetapi macam zaman sekarang juga ada orang-orang Muslim yang rosak dan korup.

Dan masalahnya orang-orang yang korup moral ini menjadi sangat kaya dan orang-orang yang lemah akalnya akan melihat orang-orang kaya ini dan mereka bercita-cita untuk menjadi seperti mereka juga. Inilah bahayanya.

Maka Allah bukan hendak menceritakan tentang seorang individu bernama Qarun sahaja, tetapi dia ini adalah satu jenis individu yang sentiasa ada di dalam setiap masyarakat. Maka kita kena tahu bahayanya orang-orang jenis ini supaya kita tidak terpengaruh dengan mereka. Supaya kita dapat menyelamatkan ahli keluarga kita dan kawan-kawan kita dari terpengaruh dengan-orang orang seperti ini.

 

فَبَغىٰ عَلَيهِم

maka dia berlaku aniaya terhadap mereka, 

Walaupun Qarun itu daripada Bani Israil tetapi dia telah menjadi pembelot kepada mereka. Dia yang menjadi talibarut Firaun dan melaporkan tentang mereka.

Dan seperti yang telah disebut, dia berlaku aniaya dengan kaumnya itu dengan tidak mengeluarkan zakat kepada mereka.

 

وَءآتَينٰهُ مِنَ الكُنوزِ

dan Kami telah menganugerahkan kepadanya perbendaharaan harta

Allah beritahu yang Dia lah yang telah memberikan kekayaan yang besar kepada Qarun. Qarun sangka dia dapat daripada Firaun tetapi Allah menekankan yang sebenarnya Dia lah yang membenarkan perkara itu terjadi.  Semua ini dalam perancangan Allah. Allah memang telah taqdirkan yang Qarun menjadi kaya raya.

Zaman itu harta memang dalam bentuk benda seperti ketulan emas dan dia kenalah simpan hartanya itu di tempat yang selamat seperti gudang. Dan dia bukan hanya ada satu tempat simpan emas sahaja tetapi dia ada banyak (sebab itu digunakan kalimah الكُنوزِ – jamak bagi ٌكَنز harta) yang menunjukkan dia ini sangat-sangat kaya. Jadi Qarun ini memang seorang yang sangat kaya kerana kunci gudang -gudang itupun sudah berat.

 

ما إِنَّ مَفاتِحَهُ لَتَنوءُ بِالعُصبَةِ أُولِي القُوَّةِ

yang kunci-kuncinya sungguh berat dipikul oleh sejumlah orang yang kuat-kuat.

Kalimah تَنوءُ bermaksud mengangkat sesuatu yang berat sampaikan hampir tidak boleh angkat kerana berat sangat. Siapa yang hampir tak boleh angkat? بِالعُصبَةِ أُولِي القُوَّةِ (sekumpulan lelaki yang gagah). Ini adalah kerana tempat simpan duit atau harta itu mestilah menggunakan pintu yang besar dan tebal dan kunci itu adalah penghalang seperti kayu yang besar yang susah untuk diangkat. Boleh dipanggil ‘palang’.

Jadi bukannya kunci macam zaman sekarang. Ramai yang sangka gudang dia banyak sangat sampaikan bila dikumpulkan segala kuncinya pun dah berat dah. Tapi ramai sangka yang kunci itu kecil-kecil macam zaman sekarang.

Maknanya dia perlu mengupah segolongan lelaki yang gagah-gagah hanya untuk mengangkat palang-palang dari gudangnya itu. Maknanya kalau bersungguh-sungguh dia buat keselamatan gudang itu bermakna harta yang disimpan di dalamnya adalah harta harta yang sangat berharga.

 

إِذ قالَ لَهُ قَومُهُ لا تَفرَح

ketika kaumnya berkata kepadanya: “Janganlah kamu terlalu bangga; 

Ada yang dari kaumnya menasihatinya supaya jangan gembira sangat atau dalam erti kata lain, jangan menunjuk-nunjuk kekayaannya itu. Ini kerana Qarun menunjuk-nunjuk kekayaan yang dia ada itu kepada semua orang dan berbangga dengan kekayaannya. Menurut Syahr ibnu Hausyab, Qarun menjulurkan kainnya sepanjang satu jengkal kerana kesombongan dan keangkuhan terhadap kaumnya sendiri.

Dan sudah tentu dia tidak boleh menunjuk kekayaannya kepada bangsa Qibti kerana mereka melihatnya sebagai hamba, jadi dia menunjuk-nunjuk hartanya kepada Bani Israil sahaja.

 

إِنَّ اللهَ لا يُحِبُّ الفَرِحينَ

sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang terlalu membanggakan diri”.

Allah tidak suka kepada orang yang terlalu suka dengan harta yang dia ada dan menunjuk-nunjuk harta itu kepada manusia. Kalau zaman sekarang, sampai ada rancangan televisyen dimana orang-orang kaya seperti artis dan ahli sukan menunjukkan ‘istana’ atau villa yang mereka ada dengan segala kelengkapan dalam rumah mereka. Ini tidak patut sama sekali. Kerana kebanyakan dari manusia tidak ada kekayaan begitu.


 

Ayat 77: Sambungan nasihat dari ahli kaum Qarun itu.

وَابتَغِ فيما ءآتٰكَ اللهُ الدّارَ الآخِرَةَ ۖ وَلا تَنسَ نَصيبَكَ مِنَ الدُّنيا ۖ وَأَحسِن كَما أَحسَنَ اللهُ إِلَيكَ ۖ وَلا تَبغِ الفَسادَ فِي الأَرضِ ۖ إِنَّ اللهَ لا يُحِبُّ المُفسِدينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But seek, through that which Allāh has given you, the home of the Hereafter; and [yet], do not forget your share of the world. And do good as Allāh has done good to you. And desire not corruption in the land. Indeed, Allāh does not like corrupters.”

(MELAYU)

Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di (muka) bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerosakan.

 

وَابتَغِ فيما ءآتٰكَ اللهُ الدّارَ الآخِرَةَ

Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat,

Dan penasihat itu menasihati Qarun untuk mencari balasan akhirat. Dan tentunya waktu itu ia perlu dilakukan dengan membantu Nabi Musa menjalankan dakwah baginda kerana tentu Nabi Musa memerlukan bantuan kewangan.

Ini mengingatkan kepada kita yang orang-orang kaya ada kelebihan pada mereka dimana mereka dapat melakukan kebaikan yang banyak dengan infak harta mereka. Dan itulah yang sepatutnya dilakukan oleh Qarun. Harta yang dia ada terlalu banyak sampaikan dia tidak boleh menghabiskannya semasa hidupnya, tetapi dia hanya simpan sahaja dan ditunjuk kepada orang sahaja.

Maka orang-orang kaya di atas dunia ini kena memikirkan lebih lagi tentang akhirat kerana mereka tidak perlu nak fikir tentang hal dunia sangat kerana mereka sudah kaya. Makan pakai mereka sudah cukup. Apabila Allah telah mudahkan kita dengan beri kekayaan sampai kita tidak perlu nak memikirkan tentang makanan dan tempat tinggal, maka tumpukanlah perhatian kepada akhirat pula. Kerana mereka sudah tidak payah nak sibuk-sibuk bekerja.

Tapi malangnya kebanyakan daripada manusia apabila sudah kaya, maka mereka sibuk memikirkan bagaimana untuk menjadi lebih kaya lagi. Yang mereka sibukkan akal mereka adalah bagaimana hendak menambah kekayaan mereka lagi? Kalau sudah ada sejuta, bagaimana nak dapatkan dua juta, dan seterusnya.

 

وَلا تَنسَ نَصيبَكَ مِنَ الدُّنيا

dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi 

Dan bukanlah nak kata kita kena tinggalkan dunia terus sampai jadi rahib pula. Bukan tidak boleh ada kereta dan ada rumah yang besar, itu tidak ada masalah tetapi janganlah dunia ini yang difikir-fikirkan sentiasa.

Juga bermaksud jangan lupa tanggungjawab di dunia kepada ahli keluarga yang lain. Apabila kita kaya, maka orang sudah mula memandang kita. Kita kena menjadi contoh yang baik kepada manusia. Jangan kita jadi contoh buruk pula.

Sebagai contoh, kalau kita kaya, maka orang teringin nak jadi kaya seperti kita. Tapi kalau kita dapatkan kekayaan kita dengan cara yang salah, ada kemungkinan orang tidak kisah baik atau buruk lagi, asalkan dapat jadi seperti kita. Jadi itu bermakna kita dah jadi contoh buruk bagi manusia yang lain.

 

وَأَحسِن كَما أَحسَنَ اللهُ إِلَيكَ

dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu, 

Penasihat itu kata Qarun kena beri contoh yang baik. Orang memang akan ikut kita kalau kita kaya atau terkenal, tapi biarlah mereka nak ikut kita jadi baik, bukan nak ikut kita sebab kita buat benda buruk. Buat baiklah kerana Allah telah baik kepada kita. Sebagaimana Allah telah tolong kita, maka kenalah kita tolong orang lain pula.

 

وَلا تَبغِ الفَسادَ فِي الأَرضِ

dan janganlah kamu berbuat kerosakan di (muka) bumi. 

Jangan buat kerosakan di muka bumi. Antara cara berbuat kerosakan itu adalah dengan tidak mengeluarkan zakat. Kerana ada bahagian orang lain dalam harta kita itu. Kalau kita tidak keluarkan, maka mereka tidak dapat dan itu adalah kerosakan dan juga kezaliman.

Juga jangan gunakan harta itu untuk keburukan. Memang apabila sudah ada banyak harta dan duit, boleh buat banyak perkara seperti berjudi dan sebagainya tapi jangan lakukan. Kerosakan di dunia ini terjadi kerana orang orang kayalah yang buat pusat-pusat maksiat, pusat-pusat judi, pusat pusat hiburan dan sebagainya kerana orang miskin tak buat benda ini. Segala benda yang merosakkan akhlak itu diadakah untuk memuaskan kehendak nafsu orang-orang yang kaya lah.

 

إِنَّ اللهَ لا يُحِبُّ المُفسِدينَ

Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerosakan.

Allah tidak suka dan Allah akan balas keburukan itu. Allah samada boleh balas semasa di akhirat atau Allah boleh balas semasa di dunia lagi. Kita akan belajar bagaimana nanti Qarun sudah dapat azab itu semasa di dunia lagi.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 028: Qasas. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s