Tafsir Surah Qasas Ayat 6 – 9 (Musa dibawa ke istana)

Ayat 6:

وَنُمَكِّنَ لَهُم فِي الأَرضِ وَنُرِيَ فِرعَونَ وَهٰمٰنَ وَجُنودَهُما مِنهُم مّا كانوا يَحذَرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And establish them in the land and show Pharaoh and [his minister] Hāmān and their soldiers through them¹ that which they had feared.

  • By means of those whom they had oppressed and enslaved.

(MELAYU)

dan akan Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi dan akan Kami perlihatkan kepada Fir’aun dan Haman beserta tenteranya apa yang selalu mereka khuwatirkan dari mereka itu.

 

وَنُمَكِّنَ لَهُم فِي الأَرضِ

dan akan Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi

Maksudnya meletakkan mereka di satu tempat dan memberi kekuasaan kepada mereka di tempat itu. Waktu Nabi Musa di Mesir, kedudukan Bani Israil amat lemah sampai dijadikan sebagai hamba, tapi mereka kemudian telah diberikan dengan kedudukan dalam dunia.

 

وَنُرِيَ فِرعَونَ وَهٰمٰنَ وَجُنودَهُما مِنهُم مّا كانوا يَحذَرونَ

dan akan Kami perlihatkan kepada Fir’aun dan Haman beserta tenteranya apa yang selalu mereka khuwatirkan dari mereka itu.

Dan Allah hendak menunjukkan kepada Firaun, Haman dan tentera mereka perkara yang mereka takutkan dari dulu lagi. Yang mereka takut dulu adalah kekuatan rakyat Bani Israil itu. Selama itu mereka telah memerintah golongan hamba Bani Israil itu secara ‘pecah dan perintah’ supaya mereka tidak dapat bersatu untuk mengalahkan golongan bangsa Qibti. Walaupun mereka telah melemahkan dan mengancam Bani Israil itu tetapi sentiasa sahaja mereka takut kalau-kalau puak itu memberontak. Kerana itu Firaun telah mengarahkan untuk membunuh anak-anak lelaki kerana jikalau golongan itu ada ramai anak-anak muda maka mereka itulah yang nanti akan memberontak, dan mereka akan hilang kuasa.

Yang mereka takuti itu akhirnya terjadi. Yang mereka takuti itu benar-benar terjadi. Ini seperti yang disebutkan dalam firman-Nya dalam ayat yang lain, yaitu:

{وَأَوْرَثْنَا الْقَوْمَ الَّذِينَ كَانُوا يُسْتَضْعَفُونَ مَشَارِقَ الأرْضِ وَمَغَارِبَهَا الَّتِي بَارَكْنَا فِيهَا وَتَمَّتْ كَلِمَةُ رَبِّكَ الْحُسْنَى عَلَى بَنِي إِسْرَائِيلَ بِمَا صَبَرُوا وَدَمَّرْنَا مَا كَانَ يَصْنَعُ فِرْعَوْنُ وَقَوْمُهُ وَمَا كَانُوا يَعْرِشُونَ}

dan Kami pusakakan kepada kaum yang telah ditindas itu, negeri-negeri bahagian timur bumi dan bahagian baratnya yang telah Kami beri berkah padanya. Dan telah sempurnalah Perkataan Tuhanmu yang baik (sebagai janji) untuk Bani Israil disebabkan kesabaran mereka. dan Kami hancurkan apa yang telah dibuat Fir’aun dan kaumnya dan apa yang telah dibangun mereka. (Al-A’raf: 137)

Yang menarik dalam ayat ini kerana disebut Haman; dan menariknya adalah kerana nama itu tidak ada dalam sejarah Yahudi. Salah satu kajian yang mereka lakukan untuk menolak Qur’an, mereka kata ada kesalahan fakta di dalam Qur’an kerana ada enam kali disebut nama Haman dalam Qur’an sedangkan mereka kata nama itu tidak ada dalam sejarah mereka. Yang ada nama Haman itu disebut berkenaan kisah Nabi Ibrahim dalam kisah ‘Tower of Babel’ dan itu di tempat yang lain dan zaman yang lain. Jadi pengkaji yang menentang Qur’an mengatakan Nabi Muhammad terkeliru dah tercampur faktanya kerana bukannya Firaun yang suruh Haman buat menara tinggi, tetapi kisah itu berkenaan Raja Namrud pada zaman Nabi Ibrahim. Mereka kata kalau yang tahu tentang sejarah Bani Israil tentulah mereka sendiri.

Kalau anda biasa dengar nama Maurice Bucaille, seorang yang berminat dengan sejarah-sejarah yang disebut di dalam Qur’an. Dan dia telah bertanya kepada pihak yang telah melakukan kajian terhadap sejarah lama Mesir dan beliau bertanya kepada mereka: adakah nama Haman ini terdapat di dalam sejarah lama Mesir? Yang ditanya itu kehairanan dan bertanya dari manakah beliau mendapat nama itu. Apabila diberitahu yang ianya ada di dalam Qur’an, maka orang itu lagi terperanjat kerana Qur’an itu datangnya berzaman-zaman selepas sejarah itu dan tidak ada kemungkinan yang ianya ada di dalam sejarah bangsa Arab, kerana mereka pun baru sahaja dapat menterjemahkan tulisan-tulisan Mesir kuno. Jadi ianya adalah maklumat baru, tidak mungkin ada dalam sejarah Arab. Tapi mereka buat lagi kajian terhadap tulisan-tulisan yang mereka kumpul. Dan memang apabila dilakukan kajian lebih mendalam, terdapat nama Haman itu sebagai menteri yang melakukan ‘binaan batuan’. Kalau dalam negara sekarang, macam Menteri Kerjaraya. Ma sha Allah! Kebenaran Qur’an telah dibuktikan dengan maklumat moden!

Ayat 5 dan 6 surah ini adalah isyarat kepada Nabi Muhammad dan para sahabat yang sedang ditindas di Mekah pada waktu surah ini diturunkan. Waktu itu mereka memang lemah tetapi Allah hendak memberitahu yang Allah boleh tukar orang yang lemah mendapat kedudukan di atas. Allah nak teguhkan kedudukan umat Islam nanti dan ini telah berlaku bermula dari Pembukaan Mekah.

Firaun dan tenteranya telah dihancurkan di luar negeri Mesir dan kemudian negeri itu diambil alih oleh Bani Israil akhirnya, tetapi kepada negeri Mekah hanya sebahagian sahaja penentang Rasulullah yang dimatikan di luar Mekah (semasa Perang Badr dan Uhud) tetapi kebanyakan dari penghuni Mekah tetap tinggal di Mekah. Dan apabila Pembukaan Mekah, hampir semua mereka akan beriman.


 

Ayat 7: Allah patah balik penceritaan kisah ini kepada permulaan kisah bagaimana Nabi Musa dilahirkan. Kalau dalam filem ini dipanggil flash back. Sebelum filem sekarang buat begitu, Qur’an sendiri dah mula buat dah.

وَأَوحَينا إِلىٰ أُمِّ موسىٰ أَن أَرضِعيهِ ۖ فَإِذا خِفتِ عَلَيهِ فَأَلقيهِ فِي اليَمِّ وَلا تَخافي وَلا تَحزَني ۖ إِنّا رادُّوهُ إِلَيكِ وَجاعِلوهُ مِنَ المُرسَلينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We inspired to the mother of Moses, “Suckle him; but when you fear for him, cast him into the river and do not fear and do not grieve. Indeed, We will return him to you and will make him [one] of the messengers.”

(MELAYU)

Dan kami ilhamkan kepada ibu Musa; “Susuilah dia, dan apabila kamu khuwatir terhadapnya maka jatuhkanlah dia ke sungai (Nil). Dan janganlah kamu khawatir dan janganlah (pula) bersedih hati, kerana sesungguhnya Kami akan mengembalikannya kepadamu, dan menjadikannya (salah seorang) dari para rasul.

 

وَأَوحَينا إِلىٰ أُمِّ موسىٰ أَن أَرضِعيهِ

Dan kami ilhamkan kepada ibu Musa; “Susuilah dia,

Seperti yang kita telah sebut sebelum ini, Firaun mengeluarkan arahan untuk selang setahun bunuh anak lelaki Bani Israil. Harun a.s. (abang Nabi Musa a.s.) dilahirkan pada tahun mereka membiarkan hidup bayi laki-laki yang lahir di tahun itu, sedangkan Nabi Musa dilahirkan di tahun mereka membunuhi semua bayi laki-laki yang lahir di tahun itu. Fir’aun menugaskan orang-orang tertentu (mungkin tentera) untuk mengawasi hal tersebut, juga menugaskan bidan-bidan yang memeriksa semua wanita Bani Israil. Barang siapa yang terlihat oleh mereka sedang hamil, maka mereka mencatat namanya. Apabila telah tiba masa kelahirannya, tidak boleh ada yang membidaninya kecuali wanita dari bangsa Qibti. Dan jika wanita yang dimaksud melahirkan bayi perempuan, maka mereka membiarkannya, lalu mereka berlalu meninggalkannya. Tetapi jika yang dilahirkannya adalah bayi laki-laki, maka para algojo mereka masuk dengan membawa pisau yang sangat tajam, lalu menyembelihnya. Semoga Allah melaknat mereka.

Ketika ibu Nabi Musa mengandungnya, tidak tampak padanya pertanda kehamilan yang biasa dialami oleh wanita lainnya. Kerana itu, mata-mata perempuan Firaun tidak mengetahuinya. Tetapi setelah dia mengetahui bahawa bayi yang dilahirkannya adalah laki-laki, terasa sempitlah dadanya dan hatinya dicengkam rasa takut yang sangat akan keselamatan bayinya, sedangkan dia sangat mencintainya. Disebutkan bahawa Nabi Musa ketika masih bayi, tiada seorang pun yang melihatnya melainkan pastilah orang itu akan mencintainya; dan orang yang ditakdirkan bahagia adalah orang yang mencintainya, juga mencintai syariat yang dibawanya. Allah Swt. telah berfirman:

{وَأَلْقَيْتُ عَلَيْكَ مَحَبَّةً مِنِّي}

Dan Aku telah melimpahkan kepadamu kasih sayang yang datang dari-Ku. (Taha: 39)

Cuba kita bayangkan kisah ini, iaitu ketika tentera-tentera Firaun sedang mencari anak-anak lelaki yang baru lahir untuk dibunuh, dan Nabi Musa waktu itu seorang bayi dan tentunya baginda sedang menangis dengan kuat. Maka Allah berikan ilham kepada ibunya untuk menyusui baginda supaya dia senyap.

Dalam ayat ini digunakan kalimah ‘wahyu’, tetapi kerana ibu Nabi Musa bukanlah seorang Nabi, maka yang dimaksudkan adalah ‘ilham’.

 

فَإِذا خِفتِ عَلَيهِ فَأَلقيهِ فِي اليَمِّ

dan apabila kamu khuwatir terhadapnya maka jatuhkanlah dia ke sungai (Nil).

Diilhamkan kepada ibu Nabi Musa yang jikalau dia sudah takut tentang keselamatan anaknya itu, maka hendaklah dia membalingnya ke dalam sungai. Kita katakan ‘baling’ kerana kalimah فَأَلقيهِ memang bermaksud ‘baling’. Bukan letak dengan baik-baik kerana waktu itu tentera Firaun sedang menggeledah semua rumah dan jikalau beliau tidak membuang Nabi Musa dengan segera ke dalam sungai, maka tentulah tentera akan sempat nampak dan akan bunuh anaknya itu. Tak sempat ibu Nabi Musa nak letak dengan baik-baik.

Mengikut satu kisah lain, rumah ibu Musa berada di tepi Sungai Nil. Maka dia membuat sebuah peti dan dipersiapkannya sebagai persediaan, lalu dia menyusui bayinya dengan tenang. Apabila masuk ke dalam rumahnya seseorang yang dia tidak percaya, maka dia pergi dan menaruh bayinya di dalam peti itu, lalu ia hanyutkan ke Sungai Nil, tetapi peti itu diikatnya dengan tali yang berhubungan dengannya, tidak lepas. Tapi pada hari itu, kerana terburu-buru, dia tidak mengikatknya dengan tali. Allahu a’lam.

Bayangkan keadaan itu, sudahlah dibuang ke dalam sungai, entah apalah lagi yang ada di dalam sungai itu seperti buaya atau apa-apa sahaja. Tidak dapat dibayangkan bagaimana seorang ibu yang amat sayangkan anaknya terpaksa membuang anaknya ke dalam sungai itu. Tidak mungkin seorang ibu yang normal akan sanggup melakukannya dan kerana itulah Allah beri ilham kepadanya untuk melakukan perkara itu kerana kalau dia yang fikirkan sendiri tentulah dia tidak sanggup untuk melakukannya. Kalau suaminya sendiri paksa dia untuk baling anaknya ke dalam sungai itu pun dia tentu tidak akan sanggup. Tapi apabila Allah beri ilham, maka dia sanggup untuk melakukannya.

Seperti kita katakan, ini juga adalah dalam bentuk wahyu tetapi ini bukanlah jenis wahyu yang diberikan kepada para Nabi, tetapi ianya adalah dalam bentuk ilham dimana mereka yang diberi ilham itu akan terpanggil untuk melakukannya dan mereka akan taat kepadanya.

 

وَلا تَخافي وَلا تَحزَني

Dan janganlah kamu khawatir dan janganlah (pula) bersedih hati, 

Tapi walaupun dia telah membaling anaknya ke dalam sungai itu, masih ada kemungkinan yang hatinya masih lagi gundah gulana sampaikan mungkin mata dia akan memandang sahaja kepada anaknya yang telah dibuang ke dalam sungai itu. Dan kalau tentera datang ke rumahnya dan tanya jika dia ada anak, dan dalam masa yang sama ekor matanya mengikut anaknya yang sudah di dalam sungai, maka tentulah tentera akan tahu apa yang berlaku dan mereka akan pergi tangkap Nabi Musa di sungai itu dan membunuhnya juga.

Maka Allah beri ilham kepada ibu Nabi Musa supaya jangan takut dan tidak bersedih. Supaya hatinya dan matanya tetap tidak melihat kepada anaknya di dalam sungai itu. Biarkan sahaja anaknya itu pergi buat masa ini.

Jadi, ‘jangan takut’ itu bermakna jangan takut yang anaknya itu akan mati.

Dan ‘jangan sedih’ itu bermakna jangan sedih kerana kehilangan anaknya itu.

 

إِنّا رادُّوهُ إِلَيكِ

kerana sesungguhnya Kami akan mengembalikannya kepadamu, 

Dan Allah memberitahu satu lagi perkara iaitu Allah ilhamkan kepada ibu Nabi Musa itu yang anaknya itu akan dikembalikan kepadanya. Jadi tidaklah sedih kalau begitu. Dalam hatinya dia yakin yang anaknya itu akan kembali kepadanya. Maka barulah dia dapat terima apa yang terjadi.

 

وَجاعِلوهُ مِنَ المُرسَلينَ

dan menjadikannya (salah seorang) dari para rasul.

Dan Allah mengatakan yang anaknya itu akan menjadi salah seorang daripada para rasul. Kena ingat yang Bani Israil ada banyak Rasul dan Nabi dari kalangan mereka, jadi mereka tahu kedudukan para Rasul itu mulia. Maka tentulah dia senang hati kalau anaknya itu nanti jadi Rasul.

Juga ia boleh bermaksud yang anaknya itu akan dihantar kepadanya kerana maksud ر س ل asalnya bermaksud ‘diutus’, ‘dihantar’. Maka dia yakin sangat yang anaknya itu akan diutuskan kembali kepadanya sebagaimana Nabi Ya’kub juga yakin yang Nabi Yusuf akan dikembalikan kepadanya. Begitulah, memang ada persamaan kisah ibu Nabi Musa ini dan kisah Nabi Ya’kub di dalam Surah Yusuf. Kalau kita lihat kepada Surah Yusuf, ada disebut kisah bagaimana Nabi Ya’kub tidak percaya yang anaknya Yusuf telah dibunuh oleh serigala dan baginda selalu berharap akan dipertemukan kembali dengan anaknya.

Jadi ibu Nabi Musa yakin anaknya itu akan kembali. Mungkin apabila ada orang tanya apa jadi dengan anaknya, dia jawap anaknya akan dikembalikan nanti. Mungkin kaumnya tak percaya sebagaimana orang pun tidak percaya apabila Nabi Ya’kub kata anaknya itu masih hidup.

Kedua-dua anak itu (Nabi Musa dan Nabi Yusuf) dimasukkan ke dalam air; satu ke dalam air sungai dan satu lagi ke dalam air telaga, bukan? Satu anak diletakkan di istana (Firaun) dan anak yang satu lagi juga akhirnya berakhir di istana. Jadi sejarah berulang kembali dalam kisah Nabi Yusuf dan Nabi Musa itu.


 

Ayat 8: Sekarang kisah keadaan Nabi Musa selepas baginda dihanyutkan.

فَالتَقَطَهُ آلُ فِرعَونَ لِيَكونَ لَهُم عَدُوًّا وَحَزَنًا ۗ إِنَّ فِرعَونَ وَهٰمٰنَ وَجُنودَهُما كانوا خٰطِئينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And the family of Pharaoh picked him up [out of the river] so that he would become to them an enemy and a [cause of] grief. Indeed, Pharaoh and Hāmān and their soldiers were deliberate sinners.

(MELAYU)

Maka dipungutlah dia oleh keluarga Fir’aun yang akibatnya dia menjadi musuh dan kesedihan bagi mereka. Sesungguhnya Fir’aun dan Haman beserta tentaranya adalah orang-orang yang bersalah.

 

فَالتَقَطَهُ آلُ فِرعَونَ

Maka dipungutlah dia oleh keluarga Fir’aun

Kalimah لقطة bermaksud mengutip sesuatu dari jalanan yang kita tidak tahu apakah ianya sebenarnya. Macam budak-budak kalau nampak sesuatu di jalanan, mereka akan berminat nak ambil dan nak tahu apakah yang diambil itu. Dan dalam feqah, ada hukum tentang ‘luqathah’ itu barang temuan di jalanan. Kena umumkan barang berharga yang dijumpa selama setahun.

Maka, setelah Nabi Musa dihanyutkan, Allah takdirkan yang baginda dihanyutkan ke pergigian air yang berdekatan dengan istana Firaun sendiri. Begitulah yang Allah telah susun supaya memang ahli keluarga Firaun sendiri yang ambil dan akan jaga baginda. Allah nak Nabi Musa tinggal dan dibesarkan di istana Firaun sendiri.

 

لِيَكونَ لَهُم عَدُوًّا وَحَزَنًا

yang akibatnya dia menjadi musuh dan kesedihan bagi mereka. 

Nabi Musa akan dibesarkan di istana Firaun dan dibawah jagaan Firaun sendiri supaya akhirnya Nabi Musa nanti akan menjadi musuh kepada Firaun dan pengikutnya dan menjadi sumber kesedihan bagi mereka. Allah dah siap bagitahu apa yang akan terjadi kelak. Allah jadikan sumber kehancuran mereka betul-betul di depan hidung mereka.

 

إِنَّ فِرعَونَ وَهٰمٰنَ وَجُنودَهُما كانوا خٰطِئينَ

Sesungguhnya Fir’aun dan Haman beserta tentaranya adalah orang-orang yang silap.

Allah memberitahu yang Firaun, Haman dan juga tentera-tenteranya telah membuat kesilapan dengan membenarkan bayi ini hidup. Ini kerana apabila bayi itu diangkat dari sungai itu, mereka memang sudah nampak yang kulit bayi itu berlainan daripada kulit bangsa mereka. Maka tentunya ini adalah keturunan Bani Israil. Sepatutnya mereka telah buat keputusan untuk terus membunuh bayi itu kerana itulah yang mereka sedang lakukan kepada bayi-bayi lelaki Bani Israil. Tapi kerana mereka tidak bunuh Nabi Musa dari bayi lagi, mereka telah buat kesilapan yang besar. Dan itu adalah dalam perancangan Allah juga.


 

Ayat 9: Kenapa Firaun dan tenteranya tidak membunuh terus Nabi Musa semasa kecil itu?

وَقالَتِ امرَأَتُ فِرعَونَ قُرَّتُ عَينٍ لّي وَلَكَ ۖ لا تَقتُلوهُ عَسىٰ أَن يَنفَعَنا أَو نَتَّخِذَهُ وَلَدًا وَهُم لا يَشعُرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And the wife of Pharaoh said, “[He will be] a comfort of the eye [i.e., pleasure] for me and for you. Do not kill him; perhaps he may benefit us, or we may adopt him as a son.” And they perceived not.¹

  • What would be the result of that.

(MELAYU)

Dan berkatalah isteri Fir’aun: “(Dia) adalah penyejuk mata hati bagiku dan bagimu. Janganlah kamu membunuhnya, mudah-mudahan ia bermanfaat kepada kita atau kita ambil ia menjadi anak”, sedang mereka tiada menyedari.

 

وَقالَتِ امرَأَتُ فِرعَونَ قُرَّتُ عَينٍ لّي وَلَكَ

Dan berkatalah isteri Fir’aun: “(Dia) adalah penyejuk mata hati bagiku dan bagimu.

Apabila peti yang mengandungi Nabi Musa sampai ke istana Firaun, peti itu telah diberikan kepada Asiah binti Muzahim, isteri Firaun. Setelah isteri Firaun membuka peti itu, ternyata di dalamnya terdapat seorang bayi laki-laki yang sangat tampan, lucu serta bercahaya, dan Allah menjatuhkan rasa cinta ke dalam hati isteri Firaun terhadap Musa saat memandangnya. Demikian itu merupakan kehendak Allah yang telah menakdirkan isteri Firaun sebagai orang yang bahagia dan menakdirkan suaminya sebagai orang yang celaka.

Apabila Firaun diberitahu yang ada anak daripada keturunan Bani Israil telah dijumpai, maka dia terus suruh untuk dibunuh. Tetapi apabila Asiah mengetahui tentang perkara ini maka dia hendak menyimpan anak itu dan dia telah berjumpa dengan Firaun untuk menjaganya.

Asiah berhujah untuk menyelamatkan bayi itu. Asiah kata dia tidak dapat melarikan pandangan daripada bayi itu kerana comel sangat. Dan walaupun dia mungkin takut juga dengan Firaun tetapi kerana cinta yang teramat sangat kepada Nabi Musa dia telah sanggup untuk meminta kebenaran daripada Firaun untuk terus menjaga bayi itu.

Dan bukan sahaja Asiah terpersona dengan bayi itu tetapi sebenarnya Firaun juga apabila melihat bayi itu, hatinya tertambat. Seganas-ganas Firaun pun boleh terpesona dengan keindahan Nabi Musa. Ini kerana Allah yang meletakkan kecintaan kepada Nabi Musa itu seperti yang disebut di dalam surah Taha. Yang melihat baginda akan tertambat hati – Allah boleh buat jadi begitu kepada manusia. Jadi walaupun dia telah membunuh entah beribu banyak bayi tetapi bayi yang ini dia jatuh cinta.

Kalau dibandingkan dengan Nabi Yusuf, baginda mempersonakan orang lain apabila umurnya sudah dewasa tetapi kepada Nabi Musa ini diberikan manusia terpersona dengannya semasa dia bayi lagi. Tetapi kedua-dua mereka memang mempersonakan manusia. Ini kelebihan yang Allah berikan kepada mereka.

 

لا تَقتُلوهُ عَسىٰ أَن يَنفَعَنا

Janganlah kamu membunuhnya, mudah-mudahan ia bermanfaat kepada kita

Maka Asiah minta jangan bunuh bayi itu. Asiah merayu kepada Firaun dan juga tentera Firaun. Kita kena ingat yang Firaun sanggup bunuh semua bayi Bani Israil itu hanya disebabkan kerana mimpi (dia mimpi kerajaannya akan diambil oleh lelaki Bani Israil). Tapi kerana isterinya minta jangan bunuh, dia ikut. Maknanya dia sayang juga isterinya itu. Begitulah Allah jadikan suara wanita menghalang mereka. Patutnya Musa inilah yang dia kena bunuh tetapi kerana isterinya minta jangan bunuh, dia tidak jadi bunuh.

Asiah kata jangan bunuh bayi itu kerana mungkin bayi itu bermanfaat buat mereka. Entah boleh dijadikan sebagai pembantu, sebagai penenang hati dan sebagainya. Kita tidak pasti kerana manfaat itu boleh jadi macam-macam. Mungkin dia boleh dijadikan boleh berkhidmat dengan kerajaan Mesir.

Dan memang Nabi Musa bermanfaat kepada Asiah kerana beliau beriman dengan Nabi Musa nanti dan kerana itu beliau dimasukkan ke dalam syurga.

 

أَو نَتَّخِذَهُ وَلَدًا

atau kita ambil ia menjadi anak”, 

Asiah kata mereka, mereka boleh sahaja ambil bayi itu sebagai anak angkat mereka. Kerana dia tidak ada anak bersama Firaun.

Lihatlah bagaimana kalimah yang sama telah disebut oleh Menteri Kewangan kepada isterinya Zulaikha apabila dia membawa balik Nabi Yusuf ke rumahnya. Sila lihat Yusuf:21

وَقالَ الَّذِي اشتَراهُ مِن مِصرَ لِامرَأَتِهِ أَكرِمي مَثواهُ عَسىٰ أَن يَنفَعَنا أَو نَتَّخِذَهُ وَلَدًا

Dan orang Mesir yang membelinya berkata kepada isterinya: “Berikanlah kepadanya tempat (dan layanan) yang baik, boleh jadi dia bermanfaat kepada kita atau kita ambil dia sebagai anak”.

Jadi kita boleh lihat bagaimana memang ada pertalian yang rapat antara kisah ini dan juga kisah Nabi Yusuf. Ayat-ayat yang digunakan dalam surah Yusuf dan surah ini pun ada yang sama.

Atau kalau dia sudah jadi anak angkat kita takkan dia nak gulingkan kerajaan Mesir pula? Begitulah hujah dari Asiah untuk menyelamatkan bayi itu dari dibunuh. Maka dengan hujah-hujah itu, Firaun telah buat keputusan untuk tidak membunuh bayi itu.

 

وَهُم لا يَشعُرونَ

sedang mereka tiada menyedari.

Semua mereka tidak sedar yang diselamatkan dari dibunuh itulah yang nanti akan menggulingkan kerajaan mereka nanti. Lihatlah bagaimana Allah perangkap mereka dengar suara seorang wanita sahaja.

Jadi beginilah kisah bagaimana Nabi Musa akhirnya tinggal di istana. Nanti Nabi Musa akan dikembalikan ke rumah ibunya sendiri dan rumah itu akan selamat kerana tentera-tentera tidak boleh membunuh Nabi Musa kerana telah mendapat perlindungan rasmi dari Firaun sendiri.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 028: Qasas. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s