Tafsir Surah Qasas Ayat 10 – 13 (Musa kembali kepada ibunya)

Ayat 10: Kalau kita bayangkan kisah Nabi Musa ini sebagai satu filem, sekarang kamera beralih balik kepada ibu Nabi Musa yang kesedihan kerana kehilangan anaknya. Dalam masa yang sama, Asiah pula kegembiraan kerana mendapat anak.

وَأَصبَحَ فُؤادُ أُمِّ موسىٰ فٰرِغًا ۖ إِن كادَت لَتُبدي بِهِ لَولا أَن رَّبَطنا عَلىٰ قَلبِها لِتَكونَ مِنَ المُؤمِنينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And the heart of Moses’ mother became empty [of all else]. She was about to disclose [the matter concerning] him had We not bound fast her heart that she would be of the believers.

(MELAYU)

Dan menjadi kosonglah hati ibu Musa. Sesungguhnya hampir saja dia menyatakan rahsia tentang Musa, seandainya tidak Kami teguhkan hatinya, supaya dia termasuk orang-orang yang percaya (kepada janji Allah).

 

وَأَصبَحَ فُؤادُ أُمِّ موسىٰ فٰرِغًا

Dan menjadi kosonglah hati ibu Musa.

Hati ibu Nabi Musa menjadi kosong sekosong-kosongnya kerana kehilangan anak yang disayanginya. Tak ingat benda lain, asyik gelisah tentang Musa sahaja. Buat apa pun dah tak kena. Nama ibu Nabi Musa ini dikatakan Aminah.

 

إِن كادَت لَتُبدي بِهِ لَولا أَن رَّبَطنا عَلىٰ قَلبِها

Sesungguhnya hampir saja dia menyatakan rahsia tentang Musa, seandainya tidak Kami teguhkan hatinya,

Kalau ikutkan hatinya maka tentu dia akan terus melihat kepada anaknya semasa anaknya itu sedang hanyut di dalam sungai dan mungkin dia akan terjun dan mengambil kembali anaknya itu.

Atau dia cakap bahawa yang di istana Firaun itu anak dialah.

Tetapi Allah telah teguhkan hatinya. Mula Allah gunakan kalimah فُؤادُ dalam potongan yang awal, dan dalam potongan ini, hati menjadi قَلبِ iaitu hati yang biasa sahaja. Kalau فُؤادُ bermaksud hati juga, tapi hati yang bergelora dengan perasaan.

 

لِتَكونَ مِنَ المُؤمِنينَ

supaya dia termasuk orang-orang yang percaya (kepada janji Allah).

Dengan kesabaran itu ibu Nabi Musa menjadi mukminah. Allah berfirman yang dia menjadi seorang mukminah kerana itulah balasan yang Allah berikan kepadanya kerana dia telah melalui satu trauma dan dia bersabar dengannya. Itulah sebaik-baik hadiah yang Allah berikan kepada manusia iaitu iman. Setelah melalui ujian kesabaran, maka dia mendapat balasan.

Jadi akhirnya Nabi Musa ada dua orang ibu yang hebat yang memberi penjagaan dan ajaran kepadanya. Seorang ibu daripada bangsa qibti dan satu lagi ibu daripada Bani Israil. Dan kedua-dua ibu itu adalah wanita yang hebat. Kerana itulah yang menjadi guru awal kepada beliau dan menjadikan baginda seorang yang hebat juga.


 

Ayat 11:

وَقالَت لِأُختِهِ قُصّيهِ ۖ فَبَصُرَت بِهِ عَن جُنُبٍ وَهُم لا يَشعُرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And she said to his sister, “Follow him”; so she watched him from a distance while they perceived not.

(MELAYU)

Dan berkatalah ibu Musa kepada saudara Musa yang perempuan: “Ikutilah dia” Maka melihat olehnya Musa dari jauh, sedang mereka tidak mengetahuinya,

 

وَقالَت لِأُختِهِ قُصّيهِ

Dan berkatalah ibu Musa kepada saudara Musa yang perempuan: “Ikutilah dia”

Ibu Nabi Musa suruh kakak Nabi Musa untuk pergi ikut dan tengok ke mana perginya peti yang mengandungi Nabi Musa itu. Nama kakak itu dikatakan sebagai Maryam binti Imran.

Pendek sahaja arahan ibu Nabi Musa itu. Pepatah Arab ada mengatakan lebih kurang begini: “Berikan arahan kepada orang yang bijak dan jangan beri maklumat yang terlalu banyak”; tidak perlu cakap banyak kalau orang yang dipilih itu dah bijak kerana mereka sudah pandai dan kalau kita beritahu detail perkara yang perlu dilakukan itu adalah penghinaan kepada intelek mereka. Macam kita nak suruh ambil barang dalam bilik kita kepada anak-anak kita. Kalau kita pilih yang dah tua, kita boleh suruh dia “ambilkan buku abah yang abah selalu baca tu….”. Tapi kalau kita suruh kepada anak yang kecil, sudahlah kita kena beri arahan lebih: “buku warna merah dalam laci sebelah atas, bukan buku yang warna biru….” dan seterusnya.

Jadi ibu Nabi Musa memberikan arahan pendek sahaja kepada kakak Nabi Musa itu untuk memerhatikan apa yang terjadi kerana kakaknya itu seorang yang bijak. Jadi surah ini memang banyak mengandungi kisah wanita-wanita yang hebat – ibu Nabi Musa, Asiah, kakak Nabi Musa.

 

فَبَصُرَت بِهِ عَن جُنُبٍ

Maka dia melihat Musa dari jauh, 

Jadi kakak Nabi Musa itu hanya memerhatikan daripada tepi sahaja. Dia tengok daripada jauh sahaja supaya dia tidak dilihat oleh orang ramai (orang Qibti atau para tentera). Dan tentunya dia kena ikut perjalanan peti itu dalam jarak yang jauh kerana istana Firaun bukannya dekat dengan kampung mereka.

 

وَهُم لا يَشعُرونَ

sedang mereka tidak mengetahuinya,

Dia tengok dengan ekor matanya sahaja dan tidaklah merenung kepada peti itu sampaikan tidak ada orang yang perasan tentang kotak itu. Mungkin dia buat macam dia jalan-jalan kutip bunga dan sebagainya. Tidaklah dia merenung tanpa kelip kepada peti itu. Jadi kita boleh tahu daripada maklumat ini yang kakak Nabi Musa itu adalah seorang yang bijak.


 

Ayat 12:

۞ وَحَرَّمنا عَلَيهِ المَراضِعَ مِن قَبلُ فَقالَت هَل أَدُلُّكُم عَلىٰ أَهلِ بَيتٍ يَكفُلونَهُ لَكُم وَهُم لَهُ نٰصِحونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We had prevented from him [all] wet nurses before,¹ so she said, “Shall I direct you to a household that will be responsible for him for you while they are to him [for his upbringing] sincere?”

  • Prior to that, Moses had refused to nurse from any other woman.

(MELAYU)

dan Kami cegah Musa dari menyusu kepada perempuan-perempuan yang mahu menyusui(nya) sebelum itu; maka berkatalah saudara Musa: “Mahukah kamu aku tunjukkan kepadamu ahlul bait yang akan memeliharanya untukmu dan mereka dapat berlaku baik kepadanya?”.

 

وَحَرَّمنا عَلَيهِ المَراضِعَ مِن قَبلُ

dan Kami cegah Musa dari menyusu kepada perempuan-perempuan yang mahu menyusui(nya) sebelum itu;

Apabila Asiah ibu angkat Nabi Musa telah dapat Nabi Musa maka tentunya dia cuba untuk upah banyak wanita untuk cuba menyusukan Nabi Musa. Tetapi Nabi Musa tidak mahu menyusu dengan mereka kerana Allah tidak benarkan.

Ini adalah kerana Nabi Musa sudah pernah dibiasakan dengan susu ibunya dan kerana itulah Allah telah ilhamkan kepada ibunya untuk susukan Nabi Musa sebelum membalingnya ke dalam sungai. Maka Nabi Musa hanya mahu susu ibunya kerana dia telah rasa susu ibunya itu.

Maka tentulah Nabi Musa kelaparan dan Asiah berterusan mencari perempuan yang boleh menyusukan baginda tetapi tidak ada yang berjaya maka tentulah telah dihantar orang untuk mencari siapa lagi yang boleh menyusukannya. Dan waktu itulah kakak Nabi Musa tahu tentang perkara itu. Maka dia telah dapat idea bagaimana hendak mengembalikan adiknya itu ke rumahnya.

 

فَقالَت هَل أَدُلُّكُم عَلىٰ أَهلِ بَيتٍ يَكفُلونَهُ لَكُم

maka berkatalah saudara Musa: “Mahukah kamu aku tunjukkan kepadamu ahlul bait yang akan memeliharanya untukmu

Kakaknya dengan bijak sekali memberi cadangan untuk pergi ke satu rumah yang boleh menjaga Nabi Musa tetapi dia tidaklah sampai memberitahu yang itu adalah rumah ibu Nabi Musa sendiri. Dia pun tidak beritahu yang itu adalah rumahnya sendiri.

 

وَهُم لَهُ نٰصِحونَ

dan mereka dapat berlaku baik kepadanya?”.

Dan kakak itu memberitahu yang keluarga itu baik dan mereka akan menjaga Nabi Musa itu dengan baik. Maknanya dia siap promosi lagi emaknya itu.

Ibnu Abbas mengatakan bahawa setelah saudara perempuan Musa mengatakan hal itu kepada mereka, maka mereka menangkapnya kerana merasa curiga terhadapnya, lalu mereka menanyainya, “Apakah yang menyebabkan kamu mengetahui bahawa ahli bait itu pasti akan menyayangi bayi ini dan memperlakukannya dengan kasih sayang?”

Kakak perempuan Musa menjawab, “Perlakuan baik mereka terhadap bayi ini dan kasih sayang mereka kepadanya ialah kerana mereka menginginkan agar raja gembira, juga mengharapkan imbalan jasa darinya.” Berkat alasannya itu saudara perempuan Musa dilepaskan oleh mereka. Setelah ia mengatakan alasannya itu, selamatlah dia dari gangguan mereka, lalu mereka pergi bersamanya ke rumahnya. Setelah sampai di rumahnya mereka masuk dengan membawa Musa kepada ibunya. Ibu Musa menyerahkan teteknya kepada Musa, dan Musa langsung menghisapnya, yang mana hal tersebut membuat mereka sangat gembira.

Kemudian dikirimlah seorang pembawa berita gembira kepada isteri Fir’aun, lalu isteri Fir’aun memanggil ibu Musa untuk mengadap kepadanya. Setelah ibu Musa sampai di istana isteri Raja Fir’aun, maka dia diperlakukan dengan baik dan dihormati serta diberinya hadiah yang berlimpah, sedangkan isteri Fir’aun tidak mengetahui bahawa sebenarnya dia adalah ibu bayi itu yang sesungguhnya. Yang diketahui oleh isteri Fir’aun hanyalah Musa sesuai dengan teteknya.

Kemudian Asiah isteri Fir’aun meminta kepada Aminah ibu Musa untuk tinggal di istana sambil menyusui bayi itu, tetapi ibu Musa menolak dengan alasan bahawa sesungguhnya dia mempunyai suami dan banyak anak, dia tidak mampu tinggal di istana meninggalkan mereka. Tetapi jika isteri Fir’aun menyetujui, dia mahu menyusuinya di rumahnya sendiri. Akhirnya isteri Fir’aun menyetujui usulnya dan memberinya perbelanjaan, pakaian, hubungan yang akrab, perlakuan yang baik, dan hadiah yang berlimpah.

Pada akhirnya ibu Musa pulang ke rumahnya dengan membawa anaknya dengan hati yang puas lagi disukai. Ternyata Allah telah menggantinya dengan rasa aman yang pada sebelumnya dia selalu dicekam oleh rasa takut, dan Allah memberinya kemuliaan dan kedudukan serta rezeki yang mengalir secara berlimpah.

Akhirnya nanti keluarga Nabi Musa akan menjadi rapat dengan istana kerana mereka menjaga menjadi pekerja istana dan kerana itulah juga nanti Nabi Harun selamat dan mereka tidak dibunuh.


 

Ayat 13:

فَرَدَدنٰهُ إِلىٰ أُمِّهِ كَي تَقَرَّ عَينُها وَلا تَحزَنَ وَلِتَعلَمَ أَنَّ وَعدَ اللهِ حَقٌّ وَلٰكِنَّ أَكثَرَهُم لا يَعلَمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So We restored him to his mother that she might be content and not grieve and that she would know that the promise of Allāh is true. But most of them [i.e., the people] do not know.

(MELAYU)

Maka kami kembalikan Musa kepada ibunya, supaya senang hatinya dan tidak berduka cita dan supaya dia mengetahui bahawa janji Allah itu adalah benar, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahuinya.

 

فَرَدَدنٰهُ إِلىٰ أُمِّهِ كَي تَقَرَّ عَينُها وَلا تَحزَنَ

Maka kami kembalikan Musa kepada ibunya, supaya senang hatinya dan tidak berduka cita

Maka dengan cara menjadi ibu susuan itulah Nabi Musa telah dikembalikan kepada ibunya untuk menyusuinya dan dengan ini Allah telah memenuhi janjinya untuk mengembalikan Nabi Musa kepada ibunya. Sudahlah dapat kembali anaknya, dapat pula upah dari istana sebagai pekerja istana yang tentunya agak lumayan juga.

Maka hilanglah kesedihan ibu Nabi Musa kerana dia telah mendapat anaknya kembali. Maka lihatlah perancangan Allah Taala yang suruh ibunya menyusu anaknya itu supaya Nabi Musa telah diprogram dengan susu ibunya. Dan apabila dia tidak mahu minum susu orang lain lagi maka akhirnya hanya susunya sahaja yang diterima dan dapatlah dia menimang anaknya kembali. Semua ini tentunya berlaku dengan cepat kerana jika tidak diberi susu kepada Nabi Musa tentulah dia akan mati. Maka mungkin dalam masa sehari sahaja ibu Nabi Musa telah mendapat anaknya kembali.

Begitulah cara kita bergantung kepada Allah dimana kita hanya minta apa yang kita hendak dan terpulang kepada Allah bagaimana dia merancang untuk memberikan perkara itu kepada kita. Sebagai contoh kita mungkin berdoa untuk dimurahkan rezeki tetapi mungkin tiba-tiba kita dibuang kerja dan kita sudah takut, tetapi mungkin Allah hendak kita dapat kerja yang lain ataupun dapat idea untuk buat perniagaan yang lebih menguntungkan kita. Percayalah kepada jalan yang Allah telah tetapkan.

Dengan pulangnya bayi itu kepadanya kembali maka tenanglah dan sejuklah mata ibu Nabi Musa. Dan bukan saja dia kegembiraan tetapi Asiah juga gembira kerana dia mendapat bayi, dan bayinya itu telah dapat menyusu.

 

وَلِتَعلَمَ أَنَّ وَعدَ اللهِ حَقٌّ

dan supaya dia mengetahui bahawa janji Allah itu adalah benar, 

Dan yakinlah ibu Nabi Musa dengan janji Allah untuk mengembalikan anaknya itu dan dia bukan saja percaya tetapi yakin kerana dia nampak sendiri bagaimana janji Allah itu dipenuhi. Kalau sebelum itu dia dapat ilham sahaja.

Dan apabila dia dapat lihat sendiri bagaimana janji Allah dipenuhi maka tentulah dia menjadi seorang yang imannya amat-amat tinggi dan apabila seorang ibu itu mempunyai iman yang tinggi maka dia dapat mendidik Nabi Musa dengan iman yang hebat.

 

وَلٰكِنَّ أَكثَرَهُم لا يَعلَمونَ

tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahuinya.

Kebanyakan manusia tidak yakin dengan janji Allah kerana mereka tidak dapat melihat kebenaran. Dan kerana itu ramai yang resah gelisah dengan apa-apa yang terjadi kepada dirinya kerana dia tidak nampak perancangan Allah.

Ayat ini juga bermaksud yang orang-orang di istana itu tidak dapat kesan bahawa Nabi Musa itu adalah anak wanita yang menyusukannya itu. Ada yang tahu tetapi kebanyakannya tidak tahu. Mungkin ada daripada pekerja-pekerja istana itu yang dapat kesan kerana mereka lihat bagaimana rapatnya bayi itu dengan wanita itu; dan juga mereka teringat yang perempuan muda itulah yang memberi cadangan untuk minta wanita itu yang menyusukan. Tetapi nampaknya walaupun mereka tahu mereka tidak mahu bocorkan rahsia itu kepada Firaun.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 028: Qasas. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s