Tafsir Surah Qasas Ayat 1 – 5 (Pecah dan perintah)

Pengenalan:

Kita kena faham bahawa Bani Israil itu sudah kenal Allah dan kebanyakan daripada mereka sudah dikira sebagai Muslim sebelum Nabi Musa datang pun. Mereka sudah kenal Allah, cuma ada kesilapan dalam fahaman mereka. Macam orang kitalah juga, ada yang nama Islam tapi fahaman agama mereka tidak kemas.

Jadi Nabi Musa berhadapan dengan Bani Israil yang sebegitu. Dalam masa yang sama, baginda kena dakwah juga kepada Bangsa Qibti yang diketuai oleh Firaun. Sebagaimana Nabi Muhammad juga ada dua fasa di dalam kehidupan dakwah baginda (Mekah dan Madinah) maka begitu juga dengan Nabi Musa iaitu dibahagikan period: sebelum menyeberangi Laut dan period selepas itu.

Jadi cara Nabi Musa berdakwah kepada kaum Bani Israil adalah seperti Qur’an Madaniyyah dan cara baginda berdakwah bangsa Qibti dan Firaun itu seperti Qur’an Makkiyah. Kerana dengan Bani Israil baginda bercakap kepada orang yang telah Muslim dan kepada Firaun baginda bercakap kepada kaum yang belum masuk Islam lagi.

Dan Nabi Musa menghadapi dua jenis manusia semasa baginda di Mesir iaitu kita boleh katakan satu puak Musyrikin dan satu lagi buat munafik. Maka dengan kisah Nabi Musa ini banyak yang dapat dipelajari oleh Nabi Muhammad dan para sahabat.

Jadi di dalam surah ini mengandungi kedua-dua perkara itu dimana di bahagian awal surah disebut bagaimana baginda berurusan dengan puak Muslim dan ada dari kalangan mereka yang munafik. Jadi Allah menceritakan ayat-ayat ini untuk memberi isyarat kepada Rasulullah tentang apa yang baginda akan lalui nanti di Madinah.

Surah ini adalah di dalam kumpulan surah yang menceritakan tentang ‘syirik di dalam berkat’. Setelah kita tahu bahawa berkat itu hanya milik Allah, maka hendaklah kita berani untuk menyampaikannya kepada manusia.

Surah ini banyak mengandungi kisah Nabi Musa dan ada dua perkara penting yang hendak disampaikan: iaitu pertama, keberanian untuk menyampaikan tentang tauhid kepada manusia.

Dan perkara kedua adalah kesanggupan untuk menanggung segala kesusahan di dalam menyampaikan tentang tauhid. Di dalam menyampaikan akidah yang benar ini memang Allah telah sediakan ujian dan dugaan kepada penyampainya. Maka penyebar tauhid kena:

1. Berani
2. Sabar

Jadi kita akan belajar bagaimana Nabi Musa berani untuk menyampaikan akidah tauhid kepada manusia termasuk kepada Firaun sendiri dan kita akan belajar bagaimana baginda menghadapi kesusahan sejak daripada kecil lagi dan bersabar dengan kesusahan itu.

Oleh itu, surah ini juga mengandungi ayat-ayat yang memberi semangat dan tasliah kepada penyebar tauhid.


 

Ayat 1:

طسم

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Al-Qaṣaṣ: The Narrative (or Story).

Ṭā, Seen, Meem.

(MELAYU)

Thaa Siin Miim

 

Huruf Muqattaah dan kita telah jelaskan dalam tafsir ayat-ayat Muqattaah yang lain. Secara ringkasnya, kita tidak tahu maksudnya kerana Allah tidak memberitahu maksudnya kepada kita. Nabi Muhammad pun tidak pernah sampaikan apakah maksudnya kepada para sahabat maka kerana itu kita pilih untuk tidak tafsirkan maksudnya kerana memang kita tidak tahu.


 

Ayat 2:

تِلكَ ءآياتُ الكِتٰبِ المُبينِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

These are verses of the clear Book.

(MELAYU)

Ini adalah ayat-ayat Kitab (Al Quran) yang nyata (dari Allah).

 

Allah memuji Qur’an dengan mengatakan ianya adalah kitab yang jelas nyata. Apa yang disampaikan di dalam Qur’an ini adalah jelas kepada mereka yang belajar. Yang tidak jelas adalah kerana tidak belajar sahaja.

Apabila ayat awal surah ini bermula dengan kalimah المُبينِ maka ini memberi isyarat yang surah ini mengandungi Dalil Naqli. Akan ada banyak kisah-kisah yang akan menjadi pengajaran kepada kita semua.

Semua yang akan disampaikan itu menjadi tanda kepada kebenaran. Maka untuk mendapat kebenaran, kenalah belajar Qur’an iaitu dengan belajar tafsir kerana tanpa belajar tafsir, kita tidak akan dapat mengetahui apakah yang hendak disampaikan. Maka janganlah ‘baca’ sahaja Qur’an itu tanpa memahami apakah yang hendak disampaikan di dalamnya. Cukup-cukuplah baca Qur’an sahaja tanpa memahaminya. Bukan kita larang baca, tapi bacalah dengan kefahaman.


 

Ayat 3:

نَتلو عَلَيكَ مِن نَّبَإِ موسىٰ وَفِرعَونَ بِالحَقِّ لِقَومٍ يُؤمِنونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

We recite to you from the news of Moses and Pharaoh in truth for a people who believe.

(MELAYU)

Kami membacakan kepadamu sebahagian dari kisah Musa dan Fir’aun dengan benar untuk orang-orang yang beriman.

 

نَتلو عَلَيكَ مِن نَّبَإِ موسىٰ وَفِرعَونَ بِالحَقِّ

Kami membacakan kepadamu sebagian dari kisah Musa dan Fir’aun dengan benar

Allah memberitahu yang Dia mengajar kisah Nabi Musa dan Firaun ini kerana ada sesuatu yang penting hendak disampaikan. Ianya bukan sahaja kisah yang benar tetapi ada pengajaran yang hendaklah diambil oleh Rasulullah dan orang Islam.

Kisah-kisah yang akan disampaikan di dalam surah ini mengandungi kebenaran (haq) dan ia adalah kisah yang benar-benar telah berlaku.

Surah ini mengandungi pengajaran kepada mereka yang mahu beriman termasuklah kepada Bani Israil. Kalau mereka dengar kisah-kisah di dalam surah ini sudah cukup untuk menggerakkan mereka untuk beriman.

 

لِقَومٍ يُؤمِنونَ

untuk orang-orang yang beriman.

Bukan sahaja Bani Israil yang akan beriman setelah membaca surah ini tetapi ramai dari kalangan orang Mekah yang akan beriman juga tetapi kadang-kadang mereka tidak sanggup untuk menjadi Muslim. Ini adalah kerana ada masalah dalam diri mereka.


 

Ayat 4:

إِنَّ فِرعَونَ عَلا فِي الأَرضِ وَجَعَلَ أَهلَها شِيَعًا يَستَضعِفُ طائِفَةً مِّنهُم يُذَبِّحُ أَبناءَهُم وَيَستَحيي نِساءَهُم ۚ إِنَّهُ كانَ مِنَ المُفسِدينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, Pharaoh exalted himself in the land and made its people into factions, oppressing a sector among them, slaughtering their [newborn] sons and keeping their females alive. Indeed, he was of the corrupters.

(MELAYU)

Sesungguhnya Fir’aun telah berbuat sewenang-wenang di muka bumi dan menjadikan penduduknya berpecah belah, dengan menindas segolongan dari mereka, menyembelih anak laki-laki mereka dan membiarkan hidup anak-anak perempuan mereka. Sesungguhnya Fir’aun termasuk orang-orang yang berbuat kerosakan.

 

إِنَّ فِرعَونَ عَلا فِي الأَرضِ

Sesungguhnya Fir’aun telah berbuat sewenang-wenang di muka bumi

Dia mempunyai ketinggian dan sifat sombong di bumi Mesir itu. Kerana dia lama berkuasa dan kuasanya meluas di Mesir itu. Jadi dia ada perasaan yang dia boleh buat apa-apa sahaja. Sampaikan dia sendiri rasa yang dia itu ‘tuhan’.

 

وَجَعَلَ أَهلَها شِيَعًا

dan menjadikan penduduknya berpecah belah, 

Dia telah memecahkan rakyatnya kepada kumpulan dan puak-puak. شِيَعًا adalah kumpulan yang bersama kerana idealogi yang sama dan mereka membezakan kumpulan mereka dengan kumpulan-kumpulan yang lain.

Begitulah yang dilakukan oleh Firaun. Hasilnya rakyatnya tidak melihat diri mereka sebagai satu masyarakat yang besar tetapi berpecah. Firaun memastikan yang rakyatnya berpecah-pecah mengikut kelas tertentu dan kelas yang di atas tidak akan bercampur gaul dengan kelas yang bawah. Ini penting dalam pemerintahan Firaun kerana jikalau rakyatnya bersatu, maka susah untuk dia memerintah mereka. Jadi apabila dia menggunakan konsep ‘pecah dan perintah’, maka rakyat tidak dapat bersatu untuk menentangnya. Kerana jikalau ada banyak kumpulan, maka setiap kumpulan itu lemah tetapi jikalau kumpulan itu semuanya bersatu maka mereka akan menjadi kuat.

Begitulah juga yang terjadi kepada Bani Israil kerana mereka berpecah kepada 12 kumpulan dan kerana itu mereka jadi lemah sampai mereka boleh dikalahkan dengan mudah. Jadi walaupun golongan Bani Israil itu semuanya adalah golongan hamba, satu agama dan satu bangsa, tetapi mereka berpecah kepada kumpulan-kumpulan hinggakan mereka tidak bersatu dan tidak menjadi kuat.

Begitu juga yang terjadi kepada kaum muslimin yang dijajah dan dipecahkan kepada negara-negara tertentu sampailah sekarang umat Islam tidak dapat bersatu padu. Ada sahaja perbezaan yang ditekankan antara satu kumpulan dengan kumpulan yang lain? Sampai bila nak bersatu? Padahal semua ada Tuhan yang satu, tapi yang dipandang hanya perbezaan sahaja.

Begitulah yang terjadi sekarang ini apabila umat Islam membeza-bezakan diri mereka antara satu sama lain daripada segi bangsa pemahaman, asal usul, fikrah, amalan turun temurun, mazhab dan sebagainya. Jadi apabila kita umat Islam sekarang berpecah, ia bukan hanya kerana percaturan musuh-musuh Islam tetapi kita sendiri yang bodoh dan tidak nampak perkara ini dan tidak belajar tafsir Qur’an. Kerana kalau kita hendak bersatu, kita semua kena pegang Qur’an yang satu. Biar semua faham Qur’an ini maka senanglah nak bersatu, bukan? Begitulah yang terjadi antara Aus dan Khazraj dulu – asalnya berpecah tapi kerana iman kepada Qur’an, mereka bersatu.

Malangnya, kita suka sangat hendak menyesatkan orang lain dan apabila bertemu dengan orang lain maka yang dicari adalah apakah perbezaan antara kita dan dia, dan bukannya mencari apakah persamaan antara kita dan dia. Maka senang sahaja musuh Islam nak kalahkan kita.

Begitulah yang terjadi kepada Bani Israil, tak payah tunggu Firaun pecahkan mereka kerana mereka sendiri boleh tolong pecahkan umat mereka sendiri. Kalau kita tidak belajar dari kisah Firaun dan Bani Israil ini, maka sampai bila-bilalah kita akan lemah sahaja dan diperkotak katikkan oleh musuh.

 

يَستَضعِفُ طائِفَةً مِّنهُم

dengan menindas segolongan dari mereka,

Firaun telah menjadikan sesetengah daripada puak-puak itu jadi lemah dan tidak dapat berdiri sendiri. Maka senanglah dia nak buat apa-apa sahaja. Senanglah Firaun nak tindas sesiapa sahaja dari Bani Israil itu.

 

يُذَبِّحُ أَبناءَهُم وَيَستَحيي نِساءَهُم

menyembelih anak laki-laki mereka dan membiarkan hidup anak-anak perempuan mereka. 

Firaun menjadikan Bani Israil itu sangat lemah sampaikan apabila dibunuh anak-anak mereka pun, mereka tidak dapat berbuat apa-apa. Tak berani nak buat apa-apa. Bayangkan anak-anak lelaki mereka dibunuh di depan mata mereka tetapi mereka tidak dapat berbuat apa-apa melainkan mereka menangis sahaja. Dari bahasa yang digunakan bermaksud berkali-kali Firaun melakukan perkara itu (bukan sekali pada tahun Nabi Musa sahaja) dan dalam riwayat ada yang disebut Firaun membunuh anak lelaki ini selang setahun. Kenapa pula selang setahun, kenapa tak bunuh terus sahaja?

Para ulama menyebutkan bahawa setelah Firaun banyak membunuh bayi laki-laki kaum Bani Israil, maka orang-orang Qibti (Mesir) merasa khuwatir akan kebinasaan bangsa Bani Israil, yang akibatnya mereka sendirilah yang kena buat pekerjaan-pekerjaan berat yang selama itu ditangani oleh kaum Bani Israil. Kerana itu, mereka berkata kepada Firaun, “Sesungguhnya jika keadaan ini terus berlangsung, pastilah orang dewasa laki-laki mereka mati, sedangkan yang tertinggal hanyalah kaum wanita mereka sahaja, dan kaum wanita mereka tidak mungkin dapat menggantikan pekerjaan-pekerjaan berat yang ditangani oleh kaum lelaki mereka, dan akibatnya pekerjaan-pekerjaan berat itu sudah dipastikan akan ditangani seluruhnya oleh kami.” Maka Fir’aun memutuskan untuk membunuhi anak-anak lelaki kaum Bani Israil selama satu tahun dan membiarkan mereka satu tahun (agar kaum lelaki Bani Israil tidak musnah).

Orang-orang Qibti (Egypt) menerima berita tersebut dari kaum Bani Israil melalui apa yang mereka baca dan pelajari dari perkataan Nabi Ibrahim a.s. Yaitu di saat Nabi Ibrahim datang ke negeri Mesir, lalu terjadilah permasalahan antara baginda dan rajanya yang angkara murka, kerana Raja Mesir itu menangkap Siti Sarah (isteri Ibrahim) untuk dijadikan sebagai gundiknya. Akan tetapi, Allah memelihara Sarah dari gangguan si raja yang zalim itu berkat kekuasaan dan pengaruh-Nya.

Kemudian Nabi Ibrahim a.s. menyampaikan berita gembira, bahawa kelak akan dilahirkan dari keturunannya seorang pemuda yang menjadi penyebab kehancuran negeri Mesir di tangannya. Lalu orang-orang Qibti menceritakan hal tersebut kepada raja mereka, Firaun. Maka Firaun ambil dari kisah itu dengan memberikan arahan kepada semua bawahannya agar membunuh setiap bayi lelaki yang lahir di kalangan kaum Bani Israil.

Anak-anak perempuan pula tidak dibunuh. Dan ini bukanlah kerana kesian kepada mereka tetapi kerana anak-anak perempuan itu boleh dijadikan sebagai hamba seks mereka. Dan kalau anak perempuan, tidaklah ada bahaya ada pemberontakan dari mereka kerana orang perempuan memang tidak memberontak pun.

 

إِنَّهُ كانَ مِنَ المُفسِدينَ

Sesungguhnya Fir’aun termasuk orang-orang yang berbuat kerosakan.

Dan telah jelas Firaun itu membuat kerosakan di bumi Mesir. Tapi Bani Israil yang ramai-ramai itu tidak berani nak buat apa-apa pun. Kenapa? Kerana mereka telah dilemahkan. Kenapa mereka lemah? Kerana mereka sendiri berpecah.


 

Ayat 5:

وَنُريدُ أَن نَّمُنَّ عَلَى الَّذينَ استُضعِفوا فِي الأَرضِ وَنَجعَلَهُم أَئِمَّةً وَنَجعَلَهُمُ الوٰرِثينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We wanted to confer favor upon those who were oppressed in the land and make them leaders and make them inheritors

(MELAYU)

Dan Kami hendak memberi kurnia kepada orang-orang yang tertindas di bumi (Mesir) itu dan hendak menjadikan mereka pemimpin dan menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi (bumi),

 

وَنُريدُ أَن نَّمُنَّ عَلَى الَّذينَ استُضعِفوا فِي الأَرضِ

Dan Kami hendak memberi kurnia kepada orang-orang yang tertindas di bumi (Mesir) itu

Kisah Firaun sebelum ini adalah dalam masa lampau tetapi kalimah نُريدُ (Kami mahu) ini di dalam present tense. Jadi kisah ini bukan hanya berlaku pada masa Firaun sahaja tetapi ianya berterusan berlaku zaman berzaman termasuklah zaman sekarang. Jadi ayat ini bermaksud Allah hendak memberi balasan yang baik kepada mereka yang dilemahkan semasa mereka hidup di dunia.

Ada dua makna yang kita boleh ambil daripada ayat ini:

Yang pertama, Allah nak beritahu yang Dia boleh beri balasan itu di akhirat kelak dimana mereka itu lemah di dunia tetapi mereka akan mendapat balasan di syurga nanti.

Tetapi ia juga boleh memberi maksud yang Allah beri kekuatan kepada mereka semasa mereka di dunia lagi. Mungkin asalnya mereka kaum yang lemah tetapi Allah boleh saja beri kekuatan kepada mereka semasa mereka di dunia lagi. Mungkin asalnya mereka adalah kaum yang lemah dan tertindas, tetapi Allah boleh ubah keadaan mereka dengan jadikan mereka pula kaum yang memerintah.

Tapi mereka kenalah beriman dahulu. Begitulah yang terjadi kepada Bani Israil – selepas mereka beriman, mereka mendapat kekuatan dan menjadi pemimpin di dunia. Tapi apabila mereka meninggalkan agama, mereka kembali lemah dan dijatuhkan dari kedudukan mereka.

 

وَنَجعَلَهُم أَئِمَّةً

dan hendak menjadikan mereka pemimpin

Allah mahu menjadikan mereka sebagai pemimpin. Apabila Bani Israil kembali beriman dan mengamalkan agama Islam dengan benar, maka mereka telah dijadikan pemimpin di dunia.

 

وَنَجعَلَهُمُ الوٰرِثينَ

dan menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi (bumi),

Allah mahu mereka mewarisi dan warisi itu kenalah berlaku apabila diambil daripada yang telah mati. Maka ini memberi isyarat yang Firaun akan meninggalkan harta bendanya kepada Bani Israil yang dihambakannya itu.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 028: Qasas. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s