Tafsir Surah Naml Ayat 45 – 49 (Komplot untuk bunuh Nabi Saleh)

Ayat 45: Sekarang kita masuk kepada kisah yang baru. Ini adalah kisah yang ketiga. Kisah ini sebagai dalil Dakwa yang Allah sahaja yang mengurus dan mentadbir segala-galanya.

وَلَقَد أَرسَلنا إِلىٰ ثَمودَ أَخاهُم صٰلِحًا أَنِ اعبُدُوا اللهَ فَإِذا هُم فَريقانِ يَختَصِمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We had certainly sent to Thamūd their brother Ṣāliḥ, [saying], “Worship Allāh,” and at once they were two parties conflicting.

(MELAYU)

Dan sesungguhnya Kami telah mengutus kepada (kaum) Tsamud saudara mereka Saleh (yang berseru): “Sembahlah Allah”. Tetapi tiba-tiba mereka (jadi) dua golongan yang bermusuhan.

وَلَقَد أَرسَلنا إِلىٰ ثَمودَ أَخاهُم صٰلِحًا

Dan sesungguhnya Kami telah mengutus kepada (kaum) Tsamud saudara mereka Saleh

Sekarang kita masuk kepada kisah Nabi Saleh a.s dan kaumnya, Tsamud. Banyak kisah ini disebut dalam Qur’an.

أَنِ اعبُدُوا اللهَ

(yang berseru): “Sembahlah Allah”. 

Nabi Saleh seperti juga Rasul-rasul yang lain, termasuk Nabi Muhammad, mengajak dan mengajar kaumnya tentang tauhid. Maka Allah hendak beritahu yang ajaran Nabi Muhammad SAW itu sama dengan ajaran Rasul dan Nabi sebelum baginda. Jadi tidak ada apa yang hendak dihairankan.

Begitu juga dengan kita yang mementingkan akhirat. Hendaklah kita menyampaikan ajaran tauhid kepada masyarakat. Tauhid perlu kemas dahulu sebelum perkara-perkara lain. Kalau bab feqah kemas, tapi kalau tauhid tidak kemas, tidak bermakna juga kerana kalau ada masalah dengan akidah, akan menyebabkan seseorang itu kekal dalam neraka. Segala amal ibadatnya walau banyak mana pun, tidak dapat menyelamatkannya.

فَإِذا هُم فَريقانِ يَختَصِمونَ

Tetapi tiba-tiba mereka (jadi) dua golongan yang bermusuhan.

Apabila Nabi Saleh sampaikan ajaran tauhid, umat baginda berpecah dua: ada yang terima dan ada yang tidak. Mujahid mengatakan bahawa ada yang mukmin dan ada yang kafir, sama dengan apa yang disebutkan oleh firman-Nya:

{قَالَ الْمَلأ الَّذِينَ اسْتَكْبَرُوا مِنْ قَوْمِهِ لِلَّذِينَ اسْتُضْعِفُوا لِمَنْ آمَنَ مِنْهُمْ أَتَعْلَمُونَ أَنَّ صَالِحًا مُرْسَلٌ مِنْ رَبِّهِ قَالُوا إِنَّا بِمَا أُرْسِلَ بِهِ مُؤْمِنُونَ قَالَ الَّذِينَ اسْتَكْبَرُوا إِنَّا بِالَّذِي آمَنْتُمْ بِهِ كَافِرُونَ}

Pemuka-pemuka yang menyombongkan diri di antara kaumnya berkata kepada orang-orang yang dianggap lemah yang telah beriman di antara mereka, “Tahukah kalian bahawa Saleh diutus (menjadi rasul) oleh Tuhannya?” Mereka menjawab, “Sesungguh­nya kami beriman kepada wahyu, yang Saleh diutus untuk menyampaikannya.” Orang-orang yang menyombongkan diri berkata, “Sesungguhnya kami adalah orang yang tidak percaya kepada apa yang kalian imani.” (Al-A’raf: 75-76)

Selalu Allah kaitkan apa-apa kisah yang ada di dalam Qur’an ini kepada kisah Musyrikin Mekah semasa zaman Nabi Muhammad itu. Kaum Tsamud berpecah kepada dua golongan yang beriman dan tidak beriman seperti juga kaum musyrikin Mekah itu.

Dan kena kaitkan dengan keadaan kita sekarang juga – kerana Allah sebutkan dalam Qur’an bukanlah kerana nak cerita sahaja, tapi nak beri nasihat kepada kita; dan Allah nak tunjukkan bahawa memang manusia sama sahaja dari dulu sampai sekarang. Kerana itulah apabila kita cuba nak ajak manusia kepada tauhid, ada manusia yang terima dan ada yang tidak terima. Ini biasalah, tidak perlu dihairankan lagi. Semoga kita dan ahli keluarga kita termasuk orang yang boleh terima tauhid yang benar. Walaupun ianya berlainan dengan amalan masyarakat setempat, asalkan ianya benar, kita akan terima sahaja.


 

Ayat 46: Ini teguran Nabi Saleh kepada kaumnya yang menolak ajakan tauhid itu.

قالَ يٰقَومِ لِمَ تَستَعجِلونَ بِالسَّيِّئَةِ قَبلَ الحَسَنَةِ ۖ لَولا تَستَغفِرونَ اللهَ لَعَلَّكُم تُرحَمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He said, “O my people, why are you impatient for evil before [i.e., instead of] good?1 Why do you not seek forgiveness of Allāh that you may receive mercy?”

  • By challenging Ṣāliḥ to bring on the promised punishment rather than asking for mercy from Allāh.

(MELAYU)

Dia berkata: “Hai kaumku mengapa kamu minta disegerakan keburukan sebelum (kamu minta) kebaikan? Hendaklah kamu meminta ampun kepada Allah, agar kamu mendapat rahmat”.

قالَ يٰقَومِ لِمَ تَستَعجِلونَ بِالسَّيِّئَةِ قَبلَ الحَسَنَةِ

Dia berkata: “Hai kaumku mengapa kamu minta disegerakan keburukan sebelum (kamu minta) kebaikan?

Nabi Saleh menegur mereka kerana mereka tidak percaya dengan azab yang ditakutkan kepada mereka. Dan yang lebih teruk lagi, mereka kata kalau ada azab itu, berilah azab itu sekarang. Kerana itulah Nabi Saleh menegur mereka: kerana nak minta azab itu dipercepatkan pula? Ini permintaan yang teruk sekali.

Sepatutnya manusia minta rahmat dari Allah; tapi mereka minta azab pula.

 

لَولا تَستَغفِرونَ اللهَ لَعَلَّكُم تُرحَمونَ

Hendaklah kamu meminta ampun kepada Allah, agar kamu mendapat rahmat”.

Nabi Saleh nasihat mereka: Kenapa kamu tidak istighfar sahaja kepada Allah dan minta ampun atas kesalahan mereka kerana itu lebih baik bagi kamu. Janganlah pula kurang ajar dan minta keburukan untuk diri mereka sendiri pula.


 

Ayat 47: Kaumnya tuduh kata baginda bawa sial pula.

قالُوا اطَّيَّرنا بِكَ وَبِمَن مَّعَكَ ۚ قالَ طٰئِرُكُم عِندَ اللهِ ۖ بَل أَنتُم قَومٌ تُفتَنونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They said, “We consider you a bad omen, you and those with you.” He said, “Your omen [i.e., fate] is with Allāh. Rather, you are a people being tested.”1

  • Or “being tempted [by Satan].”

(MELAYU)

Mereka menjawab: “Kami mendapat nasib yang malang, disebabkan kamu dan orang-orang yang besertamu”. Saleh berkata: “Nasibmu ada pada sisi Allah, (bukan kami yang menjadi sebab), tetapi kamu kaum yang diuji”.

قالُوا اطَّيَّرنا بِكَ وَبِمَن مَّعَكَ

Mereka menjawab: “Kami mendapat nasib yang malang, disebabkan kamu dan orang-orang yang besertamu”. 

Sekali lagi burung disebut di dalam surah ini di mana burung ini pada zaman dahulu dikaitkan dengan sial. Mereka kata Nabi Saleh dan orang-orang yang beriman dengannya itu bawa sial kepada tempat mereka itu. Ini kerana mereka telah berpecah dan mereka telah dikenakan dengan musibah seperti kemarau dan tanaman tidak subur dan sebagainya.

Ini terjadi kerana memang Allah selalu mengenakan musibah kepada sesuatu kaum itu apabila Rasul datang untuk merendahkan ego mereka supaya mereka senang untuk menerima ajaran wahyu. Kerana apabila manusia dalam kesenangan dan kemewahan, mereka lupa kepada Tuhan kerana mereka rasa semua cukup dan tidak memerlukan apa-apa lagi.

Tetapi mereka mengaitkan apa yang terjadi itu sebagai sial yang dibawa oleh Nabi Saleh dan mereka yang beriman. Mereka tidak mahu salahkan diri mereka tapi mereka nak salahkan orang lain pula. Dan yang senang mereka tuduh adalah Nabi Saleh kerana mereka benci dengan apa yang dibawa oleh baginda. Ini biasa sahaja kerana ada kaum lain yang berfikir macam itu juga seperti firman Allah Swt. yang menceritakan tentang penduduk suatu kota ketika kedatangan utusan-utusan Allah:

{قَالُوا إِنَّا تَطَيَّرْنَا بِكُمْ لَئِنْ لَمْ تَنْتَهُوا لَنَرْجُمَنَّكُمْ وَلَيَمَسَّنَّكُمْ مِنَّا عَذَابٌ أَلِيمٌ. قَالُوا طَائِرُكُمْ مَعَكُمْ}

Mereka menjawab, “Sesungguhnya kami bernasib malang kerana kalian, sesungguhnya jika kalian tidak berhenti (menyeru kami), niscaya kami akan merejam kalian dan kalian pasti akan mendapat seksa yang pedih dari kami.” Utusan-utusan itu menjawab, “Kemalangan kalian itu adalah kerana kalian sendiri.” (Yaasin: 18-­19), hingga akhir ayat.

 

قالَ طٰئِرُكُم عِندَ اللهِ

Saleh berkata: “Nasibmu ada pada sisi Allah,

Nabi Saleh beritahu yang musibah yang dikenakan kepada mereka itu adalah kerana mereka menolak tauhid. Ianya adalah takdir dari Allah. Allah tahu apa yang ada pada mereka dan apa yang mereka lakukan. Maka Allah kenakan mereka dengan musibah yang patut mereka kena.

Begitu jugalah dengan kita. Kalau kita ada buat salah, Allah akan ingatkan kita dengan beri musibah dan bala yang sedikit supaya kita ingat balik apa kesalahan yang kita lakukan.

 

بَل أَنتُم قَومٌ تُفتَنونَ

tetapi kamu kaum yang diuji”.

Nabi Saleh ingatkan yang mereka itu sedang diuji. Maksud diuji dengan syaitan yang sedang menipu mereka. Dan memang itulah ujian dari Allah juga kerana kalau dapat lepas ujian itu, barulah layak masuk syurga. Takkan nak masuk syurga, tapi tidak ada ujian. Dan salah satu ujian adalah melepasi bisikan dan hasutan syaitan.


 

Ayat 48:

وَكانَ فِي المَدينَةِ تِسعَةُ رَهطٍ يُفسِدونَ فِي الأَرضِ وَلا يُصلِحونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And there were in the city nine family heads causing corruption in the land and not amending [its affairs].

(MELAYU)

Dan adalah di kota itu sembilan orang laki-laki yang membuat kerosakan di muka bumi, dan mereka tidak berbuat kebaikan.

وَكانَ فِي المَدينَةِ تِسعَةُ رَهطٍ

Dan adalah di kota itu sembilan orang laki-laki

Di dalam negeri itu sudah ada sembilan golongan yang melakukan kerosakan. Ini jenis keluarga besar yang berkuasa di kota itu. Mereka yang menjadi golongan berkuasa dan terkenal di situ. Mereka itu yang banyak harta, mengawal apa yang terjadi di kota itu. Kiranya, golongan bangsawan di sana.

Begitu juga di Mekah pada waktu itu ada beberapa puak yang kuat. Maka Allah hendak memberi isyarat kepada apa yang dialami oleh Nabi Muhammad dan para sahabat. Ada puak-puak di Mekah itu yang tidak puas hati dengan apa yang disampaikan oleh Nabi Muhammad. Maka merekalah yang banyak menentang baginda dan kerana itu dari puak yang kuat, maka kata-kata mereka itu dipegang oleh kebanyakan Arab Mekah. Mereka tentunya tidak berani nak melawan kehendak kaum yang kuat. Hanya mereka yang kuat iman sahaja yang sanggup. Tapi yang banyaknya tidak berani nak melawan.

 

يُفسِدونَ فِي الأَرضِ وَلا يُصلِحونَ

yang membuat kerosakan di muka bumi, dan mereka tidak berbuat kebaikan.

Sembilan golongan keluarga yang besar itu tidak ada usaha untuk beri kebaikan dalam beriman kepada Allah. Mereka itu buat kerosakan dalam masyarakat sahaja. Ini hendak menceritakan yang mereka itu bukanlah golongan yang baik. Ini golongan yang buat onar sahaja.

Al-Aufi telah meriwayatkan dari Ibnu Abbas, bahawa merekalah orang-orang yang menyembelih unta mukjizat. Setelah menyembelih unta itu mereka berkata sesama mereka, “Sungguh kita akan menyerang Saleh beserta keluarganya di malam hari ini, lalu kita bunuh mereka. Sesudah itu kita katakan kepada ahli waris mereka bahawa kita tidak mengetahui apa-apa tentang kejadian tersebut, dan kita sama sekali tidak terlibat di dalamnya.” Akhirnya Allah membinasakan mereka semuanya sebelum niat mereka tercapai.


 

Ayat 49: Allah menceritakan rancangan jahat 9 keluarga itu.

قالوا تَقاسَموا بِاللهِ لَنُبَيِّتَنَّهُ وَأَهلَهُ ثُمَّ لَنَقولَنَّ لِوَلِيِّهِ ما شَهِدنا مَهلِكَ أَهلِهِ وَإِنّا لَصٰدِقونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They said, “Take a mutual oath by Allāh that we will kill him by night, he and his family. Then we will say to his executor,1 ‘We did not witness the destruction of his family, and indeed, we are truthful.’ ”

  • i.e., the one responsible for executing his will and avenging his blood.

(MELAYU)

Mereka berkata: “Bersumpahlah kamu dengan nama Allah, bahawa kita sungguh-sungguh akan menyerangnya dengan tiba-tiba beserta keluarganya di malam hari, kemudian kita katakan kepada warisnya (bahawa) kita tidak menyaksikan kematian keluarganya itu, dan sesungguhnya kita adalah orang-orang yang benar”.

قالوا تَقاسَموا بِاللهِ لَنُبَيِّتَنَّهُ وَأَهلَهُ

Mereka berkata: “Bersumpahlah kamu dengan nama Allah, bahawa kita sungguh-sungguh akan menyerangnya dengan tiba-tiba beserta keluarganya di malam hari,

Mereka bersumpah sesama mereka. Lihatlah yang mereka itu bersumpah dengan nama Allah. Maka kita tahulah yang mereka itu kenal Allah. Tapi kenal Allah tidak semestinya tidak melakukan syirik dan keburukan dalam dunia. Kerana tidak faham tauhid, orang yang kenal Allah pun boleh buat syirik juga.

Semua sembilan kumpulan ataupun keluarga itu berjanji untuk bekerjasama memusnahkan dakwah Nabi Saleh. Mereka tentunya dah macam-macam cara mereka nak jatuhkan Nabi Saleh dan dakwah baginda – tohmah, kutuk, seksa pengikut dan sebagainya. Tapi kerana tidak berjaya, maka mereka bercadang untuk buat rancangan yang paling jahat sekali – bunuh sahaja Nabi Saleh dan keluarga baginda.

Mereka telah lama berniat untuk membunuh Nabi Saleh tetapi jikalau satu kumpulan sahaja yang bunuh, maka ahli keluarga Saleh boleh balas dendam. Oleh itu, mereka buat keputusan nak bunuh ahli keluarga Saleh semua sekali kerana apabila mereka datang hendak membunuh tentu ahli keluarga itu ada juga dan mereka boleh menjadi saksi maka mereka juga kena dibunuh. Dan supaya tidak ada tindakan balas dari keluarga Saleh kerana semuanya telah dibunuh.

Rancangan mereka ini sama sahaja seperti yang dirancangkan oleh puak-puak penentang Nabi Muhammad di Mekah dahulu. Allah beritahu dengan beri isyarat kepada Nabi Muhammad di dalam ayat ini bagaimanakah rancangan yang hendak dilakukan oleh musyrikin itu.

Puak-puak Arab Mekah telah bergabung dan berbincang untuk bunuh baginda. Di Arab Mekah, sistem puak adalah amat tinggi sekali. Kalau ada ahli suku dibunuh, maka ahli suku yang lain akan ambil tindakan balas. Maka mereka buat rancangan untuk bergabung – biar semua puak ada bahagian dalam membunuh Nabi Muhammad. Setiap puak akan hantar seorang wakil – supaya semuanya bersekokongkol. Oleh itu, kalau puak Bani Hashim (puak Nabi Muhammad) hendak balas dendam, takkan mereka nak serang semua puak-puak Arab yang banyak itu? Tentu mereka tidak mampu.

 

ثُمَّ لَنَقولَنَّ لِوَلِيِّهِ ما شَهِدنا مَهلِكَ أَهلِهِ

kemudian kita katakan kepada warisnya (bahawa) kita tidak menyaksikan kematian keluarganya itu, 

Dan apabila mereka ditanya tentang pembunuhan Nabi Salah itu oleh ahli-ahli puak Nabi Saleh, mereka berjanji akan kata mereka tidak tahu menahu tentang hal itu. Kalimah مَهلِكَ adalah isim dzarf. Maknanya mereka hendak kata yang mereka tidak tahu tentang tempat dan masa pembunuhan Nabi Saleh itu. Mereka nak kata mereka tidak akan mengaku mereka terlibat.

Dan perkara ini masih lagi dilakukan pada zaman sekarang di mana ada rancangan rahsia dari kerajaan-kerajaan (covert operation) dan mereka tidak mengaku yang mereka terlibat. Mereka akan hantar pasukan untuk bunuh seseorang tapi pasukan itu bukanlah pasukan rasmi (bukan tentera negara) jadi mereka boleh kata: “kami tidak terlibat”. Jadi Allah cerita perangai manusia zaman berzaman. Allah nak beritahu yang perbuatan ini adalah perbuatan terkutuk.

 

وَإِنّا لَصٰدِقونَ

dan sesungguhnya kita adalah orang-orang yang benar”.

Mereka akan bersungguh-sungguh kata yang mereka adalah orang yang baik-baik belaka. Mereka nak tipu manusia, tapi adakah mereka juga sangka yang mereka boleh tipu Allah?

Muhammad ibnu Ishaq mengatakan bahawa kesembilan orang itu setelah menyembelih unta Nabi Saleh berkata, “Marilah kita pergi untuk membunuh Saleh. Jika dia benar (seorang nabi), bererti kita men­dahuluinya sebelum kita tertimpa azab. Dan jika dia dusta, berarti kita susulkan dia bersama untanya.” Lalu mereka mendatanginya di malam hari di rumah keluarganya. Tetapi sebelum niat mereka tercapai, para malaikat menghujani mereka dengan batu. Setelah teman-teman mereka merasakan bahwa teman mereka yang sembilan orang itu datang terlambat kepada mereka maka mereka mendatangi rumah Nabi Saleh, ternyata mereka menjumpai kesembilan orang itu telah mati dalam keadaan kepalanya pecah semuanya kerana tertimpa batu-batuan. Lalu mereka berkata kepada Saleh, “Kamu telah membunuh mereka.”

Ketika mereka hendak menyerang Saleh, maka keluarga Saleh a.s. bangkit menghalang-halangi mereka dengan menyandang senjata lengkap untuk membelanya. Lalu mereka berkata kepada kaumnya, “Demi Allah, kalian jangan membunuhnya, dia telah menjanjikan kepada kalian bahawa azab akan datang menimpa kalian dalam tiga hari ini. Jika dia benar, bererti Tuhan sangat murka terhadap kalian. Dan jika dia dusta, maka terserah kalian apa yang hendak kalian lakukan terhadapnya.” Maka pada malam itu juga mereka pulang ke rumah masing-masing.

Abdur Rahman ibnu Abu Hatim mengatakan bahawa setelah mereka menyembelih unta itu, Nabi Saleh berkata kepada mereka: Bersukarialah kalian di rumah kalian selama tiga hari, itu adalah janji yang tidak dapat didustakan. (Hud: 65) Mereka mengatakan, “Saleh menduga bahawa dia akan selesai dari kita tiga hari kemudian, padahal kita akan menyelesaikannya beserta keluarganya sebelum tiga hari.”

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 027: Naml. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s