Tafsir Surah Naml Ayat 1 – 7 (Nabi Musa nampak api)

Pengenalan 

Beza antara surah ini dan surah sebelum ini adalah surah ini mengandungi berita-berita baik dan surah sebelum ini mengandungi banyak sekali ancaman.

Surah ini terbahagi kepada dua bahagian:

Bahagian pertama dari ayat 1 hingga ayat 66. Allah adakan beberapa kisah di dalam bahagian pertama ini. Kisah yang pertama adalah kisah Nabi Sulaiman untuk sabitkan ilmu Allah yang sempurna.

Kisah Nabi Luth dan Nabi Saleh adalah untuk mensabitkan qudrat Allah yang sempurna.

Bahagian kedua surah ini dari ayat 67 hingga akhir. Allah berikan dalil-dalil dan kesimpulan surah ini.

Dakwa surah ini ialah: Hanya Allah sahaja yang mempunyai berkat yang sempurna dan kudrat yang sempurna. Juga Allah sahaja yang mempunyai ilmu yang sempurna.


 

Ayat 1:

طس ۚ تِلكَ ءآيٰتُ القُرءآنِ وَكِتابٍ مُّبينٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

An-Naml: The Ants.

Ṭā, Seen.1 These are the verses of the Qur’ān [i.e., recitation] and a clear Book

  • See footnote to 2:1.

(MELAYU)

Thaa Siin (Surat) ini adalah ayat-ayat Al Quran, dan (ayat-ayat) Kitab yang menjelaskan,

 

طس

Thaa Siin

Ayat muqatta’ah. Penerangan tentangnya telah banyak disebut dalam ayat-ayat yang lain.

 

تِلكَ ءآيٰتُ القُرءآنِ

ini adalah ayat-ayat Al Quran,

Allah menarik perhatian hamba kepada Qur’an yang mulia ini.

 

وَكِتابٍ مُّبينٍ

dan Kitab yang menjelaskan,

Huruf و  dalam kalimah وَكِتابٍ dinamakan ‘waw bayaniah’. Ianya sambungan kepada potongan ayat sebelum ini untuk menjelaskan lagi. Kalau dalam bahasa kita, ia digunakan begini: ie. Allah hendak memberitahu bahawa Qur’an ini memberi penjelasan. Jadi Allah ada gunakan kalimah Qur’an dan juga kalimah ‘kitab’ di dalam ayat ini dan apakah perbezaan antara keduanya?

Qur’an adalah sesuatu yang dibaca dengan kuat dan tidak semestinya ada dalam bentuk buku. Ini berbeza dengan kalimah ’tilawah’ kerana tilawah bermaksud kita membaca sesuatu yang ada di hadapan kita. Jadi Qur’an itu bermaksud sesuatu yang dibaca dengan nyata dan juga bermaksud ianya diperdengarkan kepada orang lain. Beginilah yang dialami oleh umat Islam yang awal kerana asalnya mereka mendengar Qur’an itu dan bukannya mereka membaca dari mushaf atau kitab.

Sedangkan kalimah kita  bermaksud ‘sesuatu yang ditulis’. Jadi ada kepentingan yang hendak disampaikan apabila kedua-dua kalimah ini digunakan di dalam ayat ini. Oleh itu kita tahu bahawa Qur’an itu dibacakan kepada orang ramai. Akan tetapi dari manakah ia datang? Allah beritahu yang ianya datang daripada kitab di lauh mahfuz. Jadi lafaz ‘kitab’ yang dimaksudkan adalah kitab di Lauh Mahfuz.

Dan ia juga bermaksud kisah yang ada di dalam Quran ini juga ada terdapat di dalam kitab-kitab yang dahulu.

Dan apabila digunakan kalimah ‘mubeen’ ia bermaksud dalil-dalil yang ada di dalam surah ini adalah Dalil Naqli. Itu sebab ada banyak kisah-kisah dalam surah ini.


 

Ayat 2: Apakah sifat Qur’an itu.

هُدًى وَبُشرىٰ لِلمُؤمِنينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

As guidance and good tidings for the believers

(MELAYU)

untuk menjadi petunjuk dan berita gembira untuk orang-orang yang beriman,

 

Qur’an ini mengandungi petunjuk yang boleh memimpin manusia dalam kehidupan dunia hingga membawa ke akhirat. Ianya bukan untuk kepentingan dunia sahaja tapi dunia dan akhirat. Maka kenalah kita belajar untuk memahaminya setakat yang kita mampu.

Dan akan diberikan berita gembira kepada mereka yang sanggup mengambil pengajaran dan peringatan yang ada di dalam Qur’an ini.

Kalau surah sebelum ini mengandungi banyak ancaman dan penakutan di dalamnya tetapi di awal surah ini menyebut tentang berita gembira dan ini memberi isyarat yang surah ini banyak mengandungi berita-berita yang menggembirakan. Begitulah Allah akan seimbangkan antara peringatan dan juga ancaman.

Qur’an ini diberikan untuk semua manusia tetapi mereka yang dapat mengambil pengajaran darinya adalah orang-orang mukmin sahaja. Maka kalau tak belajar tafsir Qur’an, tak termasuk golongan mukmin lah. Maka kenalah belajar.


 

Ayat 3: Siapakah yang akan mendapat berita gembira itu? Apakah sifat orang-orang mukmin itu?

الَّذينَ يُقيمونَ الصَّلوٰةَ وَيُؤتونَ الزَّكوٰةَ وَهُم بِالآخِرَةِ هُم يوقِنونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Who establish prayer and give zakāh, and of the Hereafter they are certain [in faith].

(MELAYU)

(yaitu) orang-orang yang mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan mereka yakin akan adanya negeri akhirat.

 

الَّذينَ يُقيمونَ الصَّلوٰةَ

orang-orang yang mendirikan sembahyang

Sifat pertama orang mukmin itu mereka akan menjaga solat mereka. Banyak ayat-ayat tentang kepentingan solat telah disebut.

Bukan ibadat solat sahaja yang mereka jaga tapi banyak lagi ibadat lain. Disebut solat sebagai mewakili ibadat-ibadat yang lain.

 

وَيُؤتونَ الزَّكوٰةَ

dan menunaikan zakat

Dan keduanya mereka mengeluarkan zakat. Ini mewakili ibadat yang berkenaan hubungan dengan makhluk yang lain. Kalau solat berkenaan ibadat antara Allah dan hamba, maka zakat mewakili ibadat antara hamba dan hamba Allah yang lain.

 

بِالآخِرَةِ هُم يوقِنونَ

dan mereka yakin akan adanya negeri akhirat.

Dan mereka beriman sungguh dengan akhirat. Mereka yakin ada kiamat dan kebangkitan semula. Mereka takut kepada hari itu dan kerana itu mereka jaga amalan mereka dan mereka buat persediaan untuk menghadapinya.

Inilah amalan dan perbuatan golongan-golongan yang layak menerima berita gembira yang akan disebutkan di dalam surah ini.

Dengan akhirat, kita kena ‘yakin’. Ada beza antara ‘iman’dan ‘yakin’. Iman itu percaya sahaja tetapi yakin bermaksud kepercayaan yang telah dipastikan dengan bukti. Dan apabila Allah menyebut tentang hari akhirat, Allah gunakan kalimah ‘yakin’ dan bukannya menggunakan kalimah ‘iman’. Jadi Allah sebut sifat mereka tentang akhirat bagaimana mereka itu benar-benar yakin dan bukan setakat beriman sahaja yang akhirat itu benar benar akan terjadi.

Manusia memerlukan motivasi untuk melakukan sesuatu dan syurga dan neraka itu adalah motivasi yang diberikan kepada manusia untuk melakukan kebaikan dunia ini.

Mungkin ada manusia yang kata mereka itu memang telah baik dan tidak memerlukan motivasi sebegitu. Oleh kerana itu ada yang tidak suka dengan fahaman yang kalau kita buat baik akan dibalas dengan syurga dan kalau buat jahat akan dibalas dengan neraka kerana mereka kata mereka sudah ada iman yang tinggi. Seperti kata orang sufi: syurga dan neraka ini adalah seperti gula-gula dan kayu untuk menakutkan manusia untuk melakukan sesuatu dan meninggalkan sesuatu; dan jikalau telah dewasa takkan memerlukan gula-gula lagi? Jadi mereka kata kalau beribadat kerana mahu syurga dan takut neraka, ibadat itu tidak ikhlas. Benarkah begitu?

Dari satu segi hujah yang mereka berikan itu ada kebenarannya kerana orang yang ada iman yang tinggi tidak memerlukan perkara-perkara sebegitu. Seperti mana juga dalam dunia ini ada orang yang tidak akan langgar lampu merah kerana mereka tahu yang itu adalah perkara yang tidak patut dilakukan.

Akan tetapi bolehkah kita menolak dan menghilangkan undang-undang dunia seperti lampu merah dan sebagainya dengan berharap yang semua manusia ada iman yang tinggi itu? Kalau itulah yang kita lakukan maka akan rosaklah dunia ini kerana ramai manusia yang tidak ada moral yang tinggi pun.

Dan dalam masa yang sama memang ada manusia yang mempunyai akhlak dan moral yang tinggi yang tidak memerlukan undang-undang untuk memastikan mereka melakukan perkara yang baik. Dan di dalam hal keagamaan ada manusia Muslim dan mukmin yang melakukan ibadah mereka hanya kerana mencari redha Allah Ta’ala sahaja dan bukan kerana mahukan Syurga dan takutkan neraka.

Maka kita kena sedar yang ada dua peringkat manusia di dalam dunia ini iaitu ada yang memerlukan motivasi dan ancaman buruk kepada mereka barulah mereka akan buat kebaikan dan meninggalkan keburukan; dan dalam masa yang sama ada manusia yang tidak memerlukan semua itu. Jadi ada manusia yang maqamnya tinggi dan ada yang maqamnya rendah lagi. Dan Qur’an ini bukan untuk satu golongan sahaja tetapi ianya diberikan kepada kedua-dua golongan itu.

Maka janganlah tinggalkan langsung syurga dan mereka. Ada manusia yang imannya memerlukan peningkatan lagi dan mereka masih pada peringkat rendah lagi. Maka kepada mereka kena ditakutkan dengan neraka dan diberi motivasi dengan syurga. Kena mulakan dari bawah, bukan? Takkan tiba-tiba sudah peringkat atas?


 

Ayat 4: Ayat zajrun dan takhwif ukhrawi.

إِنَّ الَّذينَ لا يُؤمِنونَ بِالآخِرَةِ زَيَّنّا لَهُم أَعمٰلَهُم فَهُم يَعمَهونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, for those who do not believe in the Hereafter, We have made pleasing to them their deeds, so they wander blindly.

(MELAYU)

Sesungguhnya orang-orang yang tidak beriman kepada negeri akhirat, Kami jadikan mereka memandang indah perbuatan-perbuatan mereka, maka mereka bergelimang (dalam kesesatan).

 

إِنَّ الَّذينَ لا يُؤمِنونَ بِالآخِرَةِ

Sesungguhnya orang-orang yang tidak beriman kepada negeri akhirat,

Keimanan dan keyakinan kepada Hari Akhirat adalah amat penting. Kalau ada iman kepada akhirat ada, maka amal yang dilakukan ada ‘roh’. Amalan yang dilakukan lebih bermakna.

Tapi kalau tidak beriman dan yakin adanya hari akhirat, maka manusia akan buat apa sahaja yang mereka hendak. Kerana mereka tidak takut balasan akhirat itu.

Malangnya ramai yang percaya dengan Hadi akhirat. Kalau orang kafir dan bukan Muslim, ada yang tidak percaya langsung kepada Kiamat dan Hari Akhirat. Malangnya, yang Muslim pun ramai yang tidak yakin. Kerana amalan dan perbuatan mereka tidak menggambarkan yang mereka takut dengan akhirat. Kalau ditegur, ada yang kata: “yang engkau sibuk ni kenapa? Kubur kan lain-lain?”

 

زَيَّنّا لَهُم أَعمٰلَهُم

Kami jadikan mereka memandang indah perbuatan-perbuatan mereka,

Begitu pentingnya kepercayaan tentang akhirat ini kerana jikalau tidak percaya kepada akhirat maka manusia akan rosak kerana mereka tidak nampak yang amalan mereka itu buruk kerana ianya dipersembahkan kepada mereka nampak seperti baik sahaja. Allah yang akan memperlihatkan kepada mereka yang amalan-amalan mereka itu dipandang baik tetapi sebenarnya tidak baik. Ini adalah kerana mereka sendiri tidak ada hubungan dengan akhirat.

 

فَهُم يَعمَهونَ

maka mereka bergelimang 

Mereka seolah-olah jalan meraba-raba kerana telah buta hati mereka. Mereka sudah tidak boleh membezakan mana yang baik dan mana yang buruk walaupun mata mereka celik. Kerana mata fizikal mereka celik, tapi mata hati mereka tidak celik.


 

Ayat 5:

أُولٰئِكَ الَّذينَ لَهُم سوءُ العَذابِ وَهُم فِي الآخِرَةِ هُمُ الأَخسَرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Those are the ones for whom there will be the worst of punishment, and in the Hereafter they are the greatest losers.

(MELAYU)

Mereka itulah orang-orang yang mendapat (di dunia) azab yang buruk dan mereka di akhirat adalah orang-orang yang paling merugi.

 

أُولٰئِكَ الَّذينَ لَهُم سوءُ العَذابِ

Mereka itulah orang-orang yang mendapat (di dunia) azab yang buruk

Mereka akan mendapat azab yang buruk di alam barzah.

 

وَهُم فِي الآخِرَةِ هُمُ الأَخسَرونَ

dan mereka di akhirat adalah orang-orang yang paling merugi.

Dan ini pula apabila di akhirat kelak. Mereka ini menjadi orang yang paling-paling rugi. Kerana mereka akan berada di dalam azab yang kekal abadi.


 

Ayat 6: Ayat tasliyah

وَإِنَّكَ لَتُلَقَّى القُرءآنَ مِن لَّدُن حَكيمٍ عَليمٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And indeed, [O Muḥammad], you receive the Qur’ān from one Wise and Knowing.

(MELAYU)

Dan sesungguhnya kamu benar-benar diberi Al Quran dari sisi (Allah) Yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui.

 

Nabi mendapat Qur’an dengan cara talaqqi iaitu baginda menerima Qur’an dari Jibrail. Dari Allah disampaikan kepada Jibrail dan disampaikan kepada Nabi Muhammad.

Talaqqi bermaksud belajar dalam masa yang lama. Asalnya bermaksud ‘jumpa’. Bermaksud pembelajaran yang konsisten. Kerana itu talaqqi maksudnya belajar dengan guru dan menadah kitab di hadapan guru. Pembelajaran ini mengambil masa yang lama kerana kena tekun. Dan inilah cara terbaik. Sedaya upaya kita kena dapatkan pembelajaran dengan cara ini. Ada keberkatan kalau belajar di hadapan guru. Pembacaan seperti yang kita lakukan ini sebagai penambah sahaja, bukanlah sebagai ganti kepada pembelajaran talaqqi itu.

Talaqqi dalam ayat ini juga bermaksud selalu bertemu dengan ayat Qur’an itu. Iaitu dengan selalu membacanya. Apabila selalu membaca dan menekuni Qur’an, maka akhirnya ia akan masuk ke dalam hati manusia itu. Kerana itu kita tekankan kena selalu baca Qur’an setiap hari.

Ayat ini juga bermaksud yang Nabi Muhammad mendapat pengajaran Qur’an itu daripada Allah sendiri.

Lihat bagaimana Allah susun ayat ini dengan menyebut حَكيمٍ sebelum عَليمٍ sedangkan di dalam kebanyakan ayat-ayat yang lain, Allah akan sebut عَليمٍ dulu baru sebab حَكيمٍ. Ini adalah kerana Allah hendak menekankan bahawa kita hendaklah banyak melihat kebijaksanaan Allah di dalam surah ini. Kerana kadang-kadang ada perkara yang Allah akan sebut di dalam surah ini yang kita tidak dapat faham guna akal kita dan kita kena serahkan perkara itu kepada kebijaksanaan Allah iaitu Allah lakukan kerana Allah Maha Bijaksana.


 

Ayat 7: Allah ingatkan kepada Nabi Muhammad yang bukan baginda sahaja yang mula-mula menerima pengajaran wahyu daripada Allah, tetapi ada lagi Rasul-rasul yang lain. Dan sekarang Allah mengingatkan tentang pengajaran kepada Nabi Musa.

Jadi ini adalah kisah yang pertama dalam surah ini. Kisah yang pertama ini berkenaan dengan kesempurnaan ilmu Ilahi.

إِذ قالَ موسىٰ لِأَهلِهِ إِنّي ءآنَستُ نارًا سَآتيكُم مِّنها بِخَبَرٍ أَو ءآتِيكُم بِشِهابٍ قَبَسٍ لَّعَلَّكُم تَصطَلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Mention] when Moses said to his family, “Indeed, I have perceived a fire. I will bring you from there information or will bring you a burning torch that you may warm yourselves.”

(MELAYU)

(Ingatlah) ketika Musa berkata kepada keluarganya: “Sesungguhnya aku melihat api. Aku kelak akan membawa kepadamu khabar daripadanya, atau aku membawa kepadamu suluh api supaya kamu dapat berdiang”.

 

إِذ قالَ موسىٰ لِأَهلِهِ

(Ingatlah) ketika Musa berkata kepada keluarganya:

Ini adalah perancangan Allah bagaimana Dia hendak memberi ilmu wahyu kepada Nabi Musa dimana baginda dikeluarkan daripada Negeri Mesir dan melalui kehidupan di tempat lain (Madyan). Dan kemudian baginda bermusafir keluar meninggalkan Madyan dan waktu itulah baginda diberikan wahyu. Kejadian ini berlaku di Bukit Thur. Waktu itu baginda sedang bermusafir dengan keluarganya meninggalkan Madyan dan mereka sesat di dalam perjalanan.

Ini semua di dalam perancangan Allah. Allah boleh sahaja memberi wahyu itu semasa baginda tinggal bersama dengan Firaun atau semasa di Madyan, tetapi Allah tidak pilih begitu tetapi memilihkan cara lain. Kita tidak pasti kenapa kerana semua ini adalah di dalam kebijaksanaan Allah. Tahulah Allah buat kerja Dia. Ada perkara kita dapat fikirkan hikmahnya dan ada perkara kita terima sahaja.

Kisah ini telah pernah disebut di dalam surah Taha dan Allah memberi maklumat baru di dalam surah ini. Kalau kita ligat filem pun, kadang-kadang kisah yang sama diulang di waktu lain dengan diberikan maklumat baru. Maka kita kena tambah segala maklumat-maklumat itu untuk menjadikan satu maklumat yang lengkap.

 

إِنّي ءآنَستُ نارًا

“Sesungguhnya aku melihat api. 

Kalimah ءاني bermaksud cuba mencapai konklusi kepada sesuatu dengan tanda-tanda yang ada. Jadi mungkin Nabi Musa nampak seperti ada kesan-kesan api di kejauhan. Jadi baginda buat konklusi ada api atau ada orang.

Dalam surah Taha, bahasa yang digunakan adalah لعلّ – mungkin. Tapi ada kepastian dalam bahasa yang baginda gunakan dalam ayat ini. Oleh kerana itu ini memberi isyarat yang baginda hendak memberi keyakinan kepada ahli keluarga baginda dalam keadaan waktu itu.

Kali pertama baginda menyebut di dalam surah Taha itu baginda tidak berapa yakin dan dalam surah ini baginda menyebut dengan cara yakin untuk memberi keyakinan kepada mereka. Kerana mungkin setelah sekian lama ahli keluarganya sudah mula rasa risau dan takut. Jadi tidaklah ada percanggahan dalam dua surah itu kerana baginda menyebut dua kali.

 

سَآتيكُم مِّنها بِخَبَرٍ

Aku kelak akan membawa kepadamu khabar daripadanya, 

Baginda hendak pergi kepada tempat yang nampak api itu kerana mungkin ada orang orang lain yang berada di situ. Kerana baginda hendak mendapatkan maklumat tentang jalan-jalan yang patut mereka lalui selepas itu.

 

أَو ءآتِيكُم بِشِهابٍ قَبَسٍ لَّعَلَّكُم تَصطَلونَ

atau aku membawa kepadamu suluh api supaya kamu dapat berdiang”.

Atau sekurang-kurangnya baginda akan bawakan kayu yang ada api kepada ahli keluarganya itu.

Mudah-mudahan dengan api itu mereka boleh memanaskan badan. Kerana mereka waktu itu di malam hari dan dalam kesejukan. Mereka amat memerlukan api waktu itu.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 027: Naml. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s