Tafsir Surah Asy-Shu’araa Ayat 218 – 227 (Teguran kepada para penyanyi)

Ayat 218: Ayat sebelum ini menyuruh kita bertawakal kepada Allah. Kenapa kena tawakal kepada Allah? Apakah sifat Allah itu?

الَّذي يَرٰىكَ حينَ تَقومُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Who sees you when you arise¹

  • From your bed at night for prayer while you are alone.

(MELAYU)

Yang melihat kamu ketika kamu berdiri (untuk sembahyang),

 

Allah melihat Nabi Muhammad dan juga kita ketika kita bangun solat malam. Ayat ini memberi isyarat kepada kebaikan mengerjakan solat malam kerana Allah nampak baginda yang mengerjakan solat malam walaupun orang lain tidak nampak. Maka jalankanlah solat malam ini dengan ikhlas. Bukan kerana nak manusia melihat kita, tapi yang penting Allah yang lihat kita.


 

Ayat 219:

وَتَقَلُّبَكَ فِي السّٰجِدينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And your movement among those who prostrate.¹

  • i.e., among those who pray with you in congregation.

(MELAYU)

dan (melihat pula) perubahan gerak badanmu di antara orang-orang yang sujud.

 

Apabila Nabi dah qiyamullail, baginda akan berjalan di malam hari untuk tengok para sahabat baginda. Kerana baginda suka untuk tengok mereka mengerjakan solat malam. Baginda suka kerana baginda nak mereka berkembang. Maka perbuatan baginda itu Allah kata Dia tahu.

Juga bermaksud baginda boleh nampak kelebihan nampak para sahabat yang solat di belakang baginda dalam solat jemaah. Kerana itu ada hadis yang baginda tegur para sahabat selepas solat jikalau mereka melakukan kesilapan atau kesalahan dalam solat. Hal ini telah disebutkan oleh sebuah hadis sahih yang mengatakan:

“سَوّوا صُفُوفَكُمْ؛ فَإِنِّي أَرَاكُمْ مِنْ وَرَاءِ ظَهْرِي”

Luruskanlah saf kalian, kerana sesungguhnya aku dapat melihat kalian dari arah belakangku.


 

Ayat 220:

إِنَّهُ هُوَ السَّميعُ العَليمُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, He is the Hearing, the Knowing.

(MELAYU)

Sesungguhnya Dia adalah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

 

Allah maha mengetahui segala perkara. Bukan sahaja perbuatan Nabi, perbuatan sahabat sahaja, tapi segala-galanya. Ini seperti disebut dalam ayat yang lain:

{وَمَا تَكُونُ فِي شَأْنٍ وَمَا تَتْلُو مِنْهُ مِنْ قُرْآنٍ وَلا تَعْمَلُونَ مِنْ عَمَلٍ إِلا كُنَّا عَلَيْكُمْ شُهُودًا إِذْ تُفِيضُونَ فِيهِ}

Kamu tidak berada dalam suatu keadaan dan tidak membaca suatu ayat dari Al-Qur’an dan kalian tidak mengerjakan suatu pekerjaan, melainkan Kami menjadi saksi atas kalian di waktu kalian melakukannya. (Yunus: 61), hingga akhir ayat.


 

Ayat 221: Sekarang disebut pula bagaimana orang-orang yang didatangi dengan syaitan untuk bisik kepada mereka.

هَل أُنَبِّئُكُم عَلىٰ مَن تَنَزَّلُ الشَّيٰطينُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Shall I inform you upon whom the devils descend?

(MELAYU)

Apakah akan Aku beritakan kepadamu, kepada siapa syaitan-syaitan itu turun?

 

Syaitan-syaitan itu ada juga turun kepada kawan-kawan mereka dari kalangan manusia. Iaitu yang puja mereka dan ambil maklumat dari mereka. Sesungguhnya syaitan tidak mempunyai keinginan terhadap hal-hal yang seperti Al-Qur’an. Kerana sesungguhnya syaitan-syaitan itu hanya membisikkan kedustaannya kepada orang-orang yang sealiran dan sependapat dengan mereka dari kalangan tukang-tukang tenung (ramal) yang pendusta.


 

Ayat 222:

تَنَزَّلُ عَلىٰ كُلِّ أَفّاكٍ أَثيمٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They descend upon every sinful liar.

(MELAYU)

Mereka turun kepada tiap-tiap pendusta lagi yang banyak dosa,

 

Para syaitan itu akan pergi kepada mereka yang banyak melakukan dosa. Dan syaitan akan terus menipu mereka.

أَفّاكٍ bermaksud mereka yang melakukan syirik.

أَثيمٍ bermaksud mereka yang buat salah dari segi amal.

Mereka yang buat syirik dan buat dosa itu akan didatangi oleh syaitan untuk mendekati mereka. Maksudnya, pendusta dalam ucapannya lagi banyak dosanya, yakni durhaka dalam semua perbuatannya. Orang-orang seperti itulah yang selalu didatangi oleh syaitan, yaitu para tukang tenung dan orang-orang yang semisal dengan mereka, tukang dusta lagi pendurhaka. Mereka sealiran dengan syaitan, kerana syaitan juga tukang dusta lagi pendurhaka.


 

Ayat 223:

يُلقونَ السَّمعَ وَأَكثَرُهُم كٰذِبونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They pass on what is heard,¹ and most of them are liars.

  • This was before they were prevented, as described in 72:89.

(MELAYU)

mereka menghadapkan pendengaran (kepada syaitan) itu, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang pendusta.

 

Syaitan-syaitan itu akan membisikkan kepada manusia. Memang ada bisikan syaitan kepada manusia. Jadi kalau dengar bisikan syaitan memang bahaya.

Syaitan itu ada juga yang mendapat berita daripada langit maka mereka akan memberitahu kepada para tilik nasib dan menipu mereka. Mereka ini dinamakan kaahin. Dan mereka pula akan menyampaikan apa yang mereka dapat dari syaitan itu kepada manusia lain pula.

Yakni syaitan-syaitan itu mencuri-curi dengar dari berita langit, dan satu kalimat yang mereka dengar tentang ilmu ghaib, lalu mereka menambah dengan seratus kedustaan. Setelah itu mereka sampaikan kepada pendukung-pendukung mereka dari kalangan manusia. Selanjut­nya manusia yang kedatangan syaitan itu akan menceritakan berita tersebut kepada orang lain, dan banyak orang yang percaya kepada berita yang dicuri dari langit ini mengingat sesuai dengan kenyataannya. Di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari:

مِنْ حَدِيثِ الزُّهْرِيِّ: أَخْبَرَنِي يَحْيَى بْنُ عُروَةَ بْنِ الزُّبَيْرِ، أَنَّهُ سَمِعَ عُرْوَةَ بْنَ الزُّبَيْرِ يَقُولُ: قَالَتْ عَائِشَةُ، رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا: سَأَلَ نَاسٌ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنِ الْكُهَّانِ، فَقَالَ: “إِنَّهُمْ لَيْسُوا بِشَيْءٍ”. قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، فَإِنَّهُمْ يُحَدِّثُونَ بِالشَّيْءِ يَكُونُ حَقًّا؟ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “تِلْكَ الْكَلِمَةُ مِنَ الْحَقِّ يَخْطِفُهَا الْجِنِّيُّ، فَيُقَرقرِها فِي أُذُنِ وَلَيِّهِ كقَرْقَرة الدَّجَاجَةِ، فَيَخْلِطُونَ مَعَهَا أَكْثَرَ مِنْ مَائِةِ كَذِبَةٍ”

melalui Az-Zuhri disebutkan, telah menceritakan kepadaku Yahya ibnu Urwah ibnuz Zubair; dia pernah mendengar Urwah ibnuz Zubair menceritakan hadis berikut, bahawa Siti Aisyah pernah menceritakan bahawa ada segolongan orang bertanya kepada Nabi Saw. tentang ahli tenung, maka baginda Saw. menjawab, “Sesungguhnya para tukang tenung itu tidak benar sama sekali.” Mereka bertanya, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya mereka menceritakan sesuatu yang sesuai dengan kejadiannya yang terkemudian.” Nabi Saw. menjawab: Itu berasal dari berita yang benar yang dicuri oleh jin, lalu ia bisikkan ke telinga kekasihnya bagaikan suara kokokan ayam jantan, dan ia mencampuradukkannya dengan seratus kali dusta lebih.


 

Ayat 224: Sekarang disebut kalimah syu’araa iaitu nama surah ini.

وَالشُّعَراءُ يَتَّبِعُهُمُ الغاوونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And the poets – [only] the deviators follow them;

(MELAYU)

Dan penyair-penyair itu diikuti oleh orang-orang yang sesat.

 

Surah ini seperti juga surah-surah pendek yang lain, memang sedap dibaca dan didengar dan ada mirip kepada syair. Kerana ia pendek dan ada ritma.

Ini adalah nama surah ini dimana Allah menyebut tentang para penyair. Para penyair itu adalah orang yang dihormati dan dijadikan sebagai tempat rujukan orang-orang Mekah pada zaman itu. Mereka juga menjadi penghibur kepada masyarakat Mekah waktu itu. Kalau zaman sekarang, mereka itulah artis. Mereka juga adalah orang-orang yang terpelajar dan golongan elit kepada masyarakat itu. Jadi para penyair ini berpengaruh dan merekalah yang menguasai fikiran masyarakat Arab waktu itu.

Ada tafsir yang menyebut ‘penyair’ yang dimaksudkan adalah golongan penyanyi. Mereka akan diikuti oleh golongan yang sesat dan lemah akalnya.

Para penyair itu memerlukan orang yang mendengar kata-kata dan syair mereka kerana mereka memerlukan wang daripada mereka. Oleh itu mereka memerlukan ramai yang mendengar mereka kerana semakin ramai yang mendengar, maka semakin banyaklah upah yang mereka dapat. Kalau tidak ramai penonton, maka para penyair itu tidak akan terus untuk bersyair di khalayak itu dan mereka akan cari tempat lain. Buang masa mereka sahaja untuk terus berdendang di situ, bukan?

Allah hendak membandingkan para penyair itu dengan Rasulullah; kerana Rasulullah tidak banyak yang mahu mendengar apa yang baginda mahu sampaikan, tetapi baginda tetap juga berdakwah kepada manusia. Tidaklah macam penyair itu yang kalau tidak ada yang mendengar, mereka akan terus angkat kaki. Tidaklah patut Nabi Muhammad dikatakan sebagai penyair pula. Ini jelas dalam ayat yang lain:

{وَمَا عَلَّمْنَاهُ الشِّعْرَ وَمَا يَنْبَغِي لَهُ إِنْ هُوَ إِلا ذِكْرٌ وَقُرْآنٌ مُبِينٌ}

Dan Kami tidak mengajarkan syair kepadanya (Muhammad) dan bersyair itu tidaklah layak baginya; Al-Qur’an itu tidak lain hanyalah pelajaran dan kitab yang memberi penerangan. (Yaasin: 69)

Dan yang kedua, Allah hendak membandingkan Rasulullah dengan para penyair kerana Rasulullah tidak mengharapkan kepada upah seperti para penyair itu; dan di dalam ayat-ayat sebelum ini telah disebut banyak kali bagaimana para Rasul itu tidak mengharap upah daripada umat mereka dalam menyampaikan ajaran wahyu. Lalu bagaimana pula ada hujah dan tuduhan yang mengatakan Rasulullah itu seorang penyair sedangkan baginda tidak mengharap kepada dua perkara itu (penonton dan upah)?

Dan firman Allah Swt yang lain:

{إِنَّهُ لَقَوْلُ رَسُولٍ كَرِيمٍ. وَمَا هُوَ بِقَوْلِ شَاعِرٍ قَلِيلا مَا تُؤْمِنُونَ. وَلا بِقَوْلِ كَاهِنٍ قَلِيلا مَا تَذَكَّرُونَ. تَنزيلٌ مِنْ رَبِّ الْعَالَمِينَ}

Sesungguhnya Al-Qur’an itu adalah benar-benar wahyu (Allah yang diturunkan kepada) Rasul yang mulia, dan Al-Qur’an itu bukanlah perkataan seorang penyair. Sedikit sekali kalian beriman kepadanya. Dan bukan pula perkataan tukang tenung. Sedikit sekali kalian mengambil pelajaran darinya. Ia adalah wahyu yang diturunkan dari Tuhan semesta alam. (Al-Haqqah:40-43)

Jadi ayat ini menolak hujah tuduhan yang mengatakan Rasulullah hendak menguasai minda mereka dan hendak mendapatkan wang upah dari mereka sahaja, kerana baginda memang tidak minta pun dua perkara ini.

Dan para penyair di zaman Mekah itu diikuti oleh mereka yang sesat dan jikalau zaman sekarang ini kita kena bandingkan dengan orang-orang yang di dalam industri hiburan. Ini kerana mereka ini menjadi idola dan menjadi ikutan kepada manusia yang lemah akalnya. Kalau kita tengok bagaimana terkinja-kinjanya manusia apabila melihat para artis dan penyanyi itu memang amat menyedihkan sekali. Kita pun tahu mereka itu bukanlah orang agama, bukan orang yang pentingkan akhirat, bukan?

Jadi Allah hendak memberitahu dalam surah ini tentang para pengikut penyair itu dan para pemuja para artis kerana mereka itu orang yang teruk. Mereka itu tidak ada tujuan hidup dan fikiran mereka dipenuhi dengan kisah -kisah para artis dan cita-cita mereka hanyalah untuk bertemu dengan artis kesayangan mereka itu. Kalau jumpa para artis itu di khalayak ramai, ada yang pengsan pun ada. Selalunya mereka akan terjerit-jerti, bukan?


 

Ayat 225: Apakah yang dilakukan oleh para penyair itu?

أَلَم تَرَ أَنَّهُم في كُلِّ وادٍ يَهيمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Do you not see that in every valley they roam¹

  • Speaking lies indiscriminately and praising and disparaging others according to whim.

(MELAYU)

Tidakkah kamu melihat bahawasanya mereka mengembara di tiap-tiap lembah,

 

Sekarang Allah memberitakan tentang para penyair dan pengikut mereka. Apa yang mereka lakukan untuk mendapat penonton dan upah?

Mereka akan pergi ke merata tempat. ‘Lembah’ itu bermaksud setiap perhimpunan. Bila ada tempat orang ramai, di situlah mereka akan pergi.

Dan kalimah يَهيمونَ dari ه ي م  yang bermaksud berjalan tanpa arah tujuan, pening kerana dahaga dan juga boleh dikatakan mabuk. Ini memberi isyarat yang para penyair itu mereka mabuk dalam khayalan mereka.

Mereka pergi ke merata-rata tempat untuk mencari penonton. Dan mereka akan berusaha untuk menarik minat penonton dan jika persembahan mereka tidak mendapat sambutan, maka mereka akan ubah persembahan mereka; kerana yang penting mereka kena dapatkan minat sebanyak mungkin masyarakat. Maka mereka akan ikut selera masyarakat.

Dan kadangkala apabila mereka rasa yang nama mereka sudah mula tenggelam maka mereka akan lakukan perkara yang bodoh untuk mendapat publisiti. Tidak kisahlah samada ianya adalah publisiti murahan seperti botakkan kepaaa mereka dan sebagainya. Asalkan nama mereka naik balik dan orang baca tentang mereka. Mereka sanggup buat perkara-perkara bodoh asalkan mereka mendapat tempat di dada akhbar dan media.

Kenapa disebut ‘lembah’ dalam ayat ini? Kerana lembah itu berada di bawah dan di dalam ayat ini ia memberi isyarat bagaimana mereka itu sanggup merendahkan dan memalukan diri mereka asalkan mereka mendapat tempat fikiran masyarakat.

Dan lembah adalah tempat yang bahaya kerana kita tidak tahu apa yang ada di dalam lembah itu, maka Allah memberi isyarat bagaimana mereka sanggup membahayakan diri mereka. Asalkan dapat makan, agama tolak ke tepi dahulu.

Para penyair zaman itu juga boleh bermaksud para pemikir yang memberi komen sesuatu perkara supaya diikuti oleh masyarakat. Kalau zaman sekarang mereka ini adalah ahli falsafah yang sekejap mengatakan tentang ini dan sekejap lagi mengatakan tentang itu. Apabila digunakan terma ‘lembah’ maka Allah hendak memberi isyarat bagaimana mereka itu boleh tenggelam di dalam pemikiran mereka yang tanpa kawalan itu sampai mereka mencapai fahaman yang salah dan membahayakan. Kerana mereka fikir pakai akal sahaja dan tidak dipandu oleh wahyu.

Allah menyebut tentang penyair ini supaya kita juga bandingkan dengan sifat Rasulullah s.a.w.  Para penyair itu sentiasa mengubah persembahan mereka dan fikiran mereka kerana mereka hendak menjadi ikutan kerana kalau benda yang sama sahaja, maka masyarakat akan bosan. Tapi lihatlah dengan para Rasul itu yang sentiasa saja memperkatakan perkara yang sama dari mula sampai akhir tidak berubah-ubah. Bukan sahaja seorang Rasul itu tidak berubah kata-kata tetapi para rasul zaman berzaman juga tidak berubah kata-kata mereka kerana sama sahaja ajaran tauhid keapda setiap Rasul.

Kerana itu kalau kita lihat ayat dari surah ini Allah mengulang-ulang persamaan setiap Rasul itu untuk menekankan bahawa para Rasul tidak berubah ajaran mereka dan tidak sama seperti para penyair.

Para Rasul sama sekali tidak sama seperti para penyair yang hendak menghiburkan masyarakat sahaja kerana para Rasul bukanlah tugas mereka untuk menghiburkan masyarakat tetapi tugas mereka adalah untuk memberi ajaran dan peringatan kepada manusia.

Begitu juga para ustaz dan ulama adalah untuk mengajar masyarakat. Bukannya bawa kisah-kisah para wali, kisah dongeng, kisah lawak, kisah karut marut. Malangnya ramai ustaz yang sebegini. Mereka hidup kerana ramai manusia macam itu – terhibur dan senang tertipu dengan kisah-kisah.


 

Ayat 226:

وَأَنَّهُم يَقولونَ ما لا يَفعَلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And that they say what they do not do? –

(MELAYU)

dan bahawasanya mereka suka mengatakan apa yang mereka sendiri tidak mengerjakan(nya)?

 

Dan para penyair itu sentiasa sahaja bercakap dan melakukan perkara yang berlainan dengan apa yang mereka kata.

Mereka cuma bersyair dan menyanyikan perkara-perkara yang mereka sendiri tidak lakukan. Begitulah kalau kita lihat lirik-lirik lagu para penyanyi sekarang memang karut sahaja – aku tunggu di pintu syurga… aku renangi lautan api… aku berikan engkau bulan… dan macam-macam lagi.


 

Ayat 227: Ini pula adalah pengecualian kepada para penyair.

إِلَّا الَّذينَ ءآمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ وَذَكَرُوا اللهَ كَثيرًا وَانتَصَروا مِن بَعدِ ما ظُلِموا ۗ وَسَيَعلَمُ الَّذينَ ظَلَموا أَيَّ مُنقَلَبٍ يَنقَلِبونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Except those [poets] who believe and do righteous deeds and remember Allāh often and defend [the Muslims]¹ after they were wronged. And those who have wronged are going to know to what [kind of] return they will be returned.

  • By replying through poetry to the attacks of hostile poets.

(MELAYU)

kecuali orang-orang (penyair-penyair) yang beriman dan beramal saleh dan banyak menyebut Allah dan mendapat kemenangan sesudah menderita kezaliman. Dan orang-orang yang zalim itu kelak akan mengetahui ke tempat mana mereka akan kembali.

 

إِلَّا الَّذينَ ءآمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ

kecuali orang-orang (penyair-penyair) yang beriman dan beramal saleh

Tetapi bukanlah semua penyair itu sesat dan kufur belaka. Ada dikalangan mereka yang beriman dan beramal soleh. Dan mereka ini adalah orang-orang yang tua yang terpelajar dalam masyarakat. Mereka ini adalah para pemikir. Kita telah belajar dalam Surah Taha bagaimana para ahli sihir menerima ajaran Nabi Musa. Kerana ahli-ahli sihir itu tahu yang mukjizat yang Nabi Musa lakukan itu bukanlah sihir tapi mujizat. Maka mereka telah beriman dengan rela. Maka para penyair zaman Nabi itu adalah mereka yang sedar bahawa ayat-ayat Qur’an yang dibacakan oleh Rasulullah itu bukanlah syair kerana mereka kenal apakah syair itu. Ayat-ayat Qur’an yang Nabi baca itu adalah Kalam Allah dan mereka dari awal lagi sudah kenal.

قَالَ مُحَمَّدُ بْنُ إِسْحَاقَ، عَنْ يَزِيدَ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ قُسَيْط، عَنْ أَبِي الْحَسَنِ سَالِمٍ البَرّاد -مَوْلَى تَمِيمٍ الدَّارِيِّ -قَالَ: لَمَّا نَزَلَتْ: {وَالشُّعَرَاءُ يَتَّبِعُهُمُ الْغَاوُونَ} ، جَاءَ حسان بن ثابت، وعبد الله بن رَوَاحة، وَكَعْبُ بْنُ مَالِكٍ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَهُمْ يَبْكُونَ فَقَالُوا: قَدْ عَلِمَ اللَّهُ حِينَ أَنْزَلَ هَذِهِ الْآيَةَ أَنَّا شُعَرَاءُ. فَتَلَا النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: {إِلا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ} قَالَ: “أَنْتُمْ”، {وَذَكَرُوا اللَّهَ كَثِيرًا} قَالَ: “أَنْتُمْ”، {وَانْتَصَرُوا مِنْ بَعْدِ مَا ظُلِمُوا} قَالَ: “أَنْتُمْ”.

Muhammad ibnu Ishaq telah meriwayatkan dari Yazid ibnu Abdullah ibnu Qasit, dari Abul Hasan Salim Al-Barrad ibnu Abdullah maula Tamim Ad-Dari yang telah menceritakan bahwa ketika ayat ini diturunkan, yaitu firman Allah Swt.: Dan penyair-penyair itu diikuti oleh orang-orang yang sesat. (Asy-Syu’ara’:224) datanglah Hassan ibnu Sabit, Abdullah ibnu Rawwahah dan Ka’b ibnu Malik kepada Rasulullah Saw. seraya menangis, lalu mereka berkata, “Allah telah mengetahui ketika menurunkan ayat ini, bahawa kami adalah para penyair.” Maka Nabi Saw. membaca ayat ini, yaitu firman-Nya: kecuali orang-orang (penyair-penyair) yang beriman dan beramal saleh. (Asy-Syu’ara’: 227) Nabi Saw. bersabda, “Seperti kalian ini.dan banyak menyebut Allah. (Asy-Syu’ara’: 227) Nabi Saw. bersabda, “Seperti kalian ini.” dan mendapat kemenangan sesudah menderita kezaliman. (Asy-Syu’ara’: 227) Nabi Saw. bersabda, “Seperti kalian ini.” Diriwayatkan oleh Ibnu Abu Hatim dan Ibnu Jarir dari Ibnu Ishaq.

 

وَذَكَرُوا اللهَ كَثيرًا

dan banyak mengingati Allah

Oleh itu jikalau mereka jujur maka mereka akan beriman dan apabila mereka beriman maka mereka menjadi orang yang kuat imannya. Mereka akan menjadi orang yang sentiasa ingat kepada Allah.

Menurut suatu pendapat, makna yang dimaksud ialah banyak menyebut nama Allah dalam pembicaraan mereka. Menurut pendapat yang lainnya lagi, menyebut nama Allah dalam syair mereka; kedua pendapat itu benar, kerana semuanya dapat menghapuskan dosa-dosa mereka yang telah lalu.

 

وَانتَصَروا مِن بَعدِ ما ظُلِموا

dan mendapat kemenangan sesudah menderita kezaliman. 

Dan Allah memberitahu yang mereka itu akan membantu diri mereka apabila mereka dizalimi. Maksudnya mereka akan membalas kezaliman yang dikenakan kepada mereka. Surah ini memang Surah Makkiyyah dan waktu itu tidak dibenarkan untuk balas kezaliman yang dikenakan kepada orang mukmin; jadi ayat ini bermaksud memberi isyarat yang orang-orang Islam akan dapat membalas kezaliman itu apabila mereka di Madinah nanti.

Ia juga bermaksud yang Nabi Muhammad ada para penyair baginda yang membalas syair-syair yang memburukkan baginda. Ibnu Abbas mengatakan, bahawa mereka menjawab syair orang-orang kafir yang menghina kaum muslim dengan syair mereka. Hal yang sama telah dikatakan oleh Mujahid dan Qatadah serta lain-lainnya yang bukan hanya seorang. Di dalam sebuah hadis sahih disebutkan bahawa Rasulullah Saw. bersabda kepada Hassan ibnu Sabit:

“اهْجُهُمْ -أَوْ قَالَ: هَاجِهِمْ -وَجِبْرِيلُ مَعَكَ”

Balaslah mereka —atau— seranglah syair mereka, dan Jibril akan membantumu.

 

وَسَيَعلَمُ الَّذينَ ظَلَموا أَيَّ مُنقَلَبٍ يَنقَلِبونَ

Dan orang-orang yang zalim itu kelak akan mengetahui ke tempat mana mereka akan kembali.

Allah memberi ancaman yang orang zalim itu akan tahu dan melihat sendiri apakah balasan yang akan dikenakan terhadap mereka nanti. Mereka yang sesat itu akan tahu di manakah tempat tetap mereka.

Allahu a’lam. Tamat tafsir Surah Asy-Shu’araa ini. Sambung ke surah seterusnya, Surah an-Naml.


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 026: Shu'araa. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s