Tafsir Surah Furqan Ayat 72 – 77 (Keluarga yang menyejukkan mata)

Ayat 72: Ini pula adalah sifat ke enam Hamba Allah yang baik yang kita kena ikut sifat mereka ini.

وَالَّذينَ لا يَشهَدونَ الزّورَ وَإِذا مَرّوا بِاللَّغوِ مَرّوا كِرامًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [they are] those who do not testify to falsehood, and when they pass near ill speech, they pass by with dignity.

(MELAYU)

Dan orang-orang yang tidak memberikan persaksian palsu, dan apabila mereka bertemu dengan (orang-orang) yang mengerjakan perbuatan-perbuatan yang tidak berfaedah, mereka lalui (saja) dengan menjaga kehormatan dirinya.

 

وَالَّذينَ لا يَشهَدونَ الزّورَ

Dan orang-orang yang tidak memberikan persaksian palsu,

Dan mereka tentunya tidak akan bersaksi palsu. Kerana saksi ini adalah elemen penting di dalam penghakiman dan keputusan qadi (hakim) berdasarkan kepada persaksian dari mereka yang melihat. Jadi kalau saksi beri persaksian palsu, maka keputusan itu akan jadi salah dan akan menyebabkan ada orang yang dizalimi. Ini amat buruk sekali kerana kita tidak boleh zalimi sesiapa pun.

Dan satu lagi mereka tidak mahu terlibat jikalau ada orang yang bersaksi palsu. Mereka tidak akan tengok dan biarkan perkara itu berlaku. Kalau mereka tahu, mereka akan tegakkan keadilan. Mereka akan mempertahankan orang yang telah dizalimi. Maknanya jikalau kita lihat kezaliman berlaku dan kita tidak melakukan buat apa-apa, maka kita pun ada masalah juga dengan Allah.

 

وَإِذا مَرّوا بِاللَّغوِ مَرّوا كِرامًا

dan apabila mereka bertemu dengan (orang-orang) yang mengerjakan perbuatan-perbuatan yang tidak berfaedah, mereka lalui (saja) dengan menjaga kehormatan dirinya.

Dan jikalau mereka lalu atau bertemu dengan kumpulan yang sedang melakukan perkara-perkara yang lagha (buang masa dan tidak berfaedah) maka mereka akan meninggalkan golongan itu. Mereka lalu ke tempat itu pun dengan tidak sengaja kerana mereka tidak buat benda-benda itu. Kalau mereka tahu tempat itu tempat orang buat lagha, mereka pun tidak pergi ke tempat itu dari asal lagi.

Maka ini adalah orang yang tersilap sampai ke tempat itu. Kalau begitu, dia akan berundur keluar dan meninggalkan mereka. Tapi tidaklah dia keluar dengan menghina mereka ataupun menyakitkan hati mereka tetapi dia akan keluar dengan cara yang mulia. Iaitu orang yang menjaga dirinya dari duduk bersama dengan orang-orang yang lalai leka itu. Kerana kalau duduk-duduk dengan mereka pun, takut jadi macam mereka juga.

Dan sudah tentunya dia tidak bercampur gaul dan terlibat dengan orang yang sedang melakukan perkara seperti itu kerana itu akan menjatuhkan kemuliaan dirinya. Oleh itu, kita kalau pendakwah dan juga ustaz yang mengajar, cuba jangan duduk selalu dengan mereka yang seperti itu. Takut nanti orang boleh tuduh pula yang kita ini jenis macam mereka.

Tapi kadang-kadang kita nak dakwah orang-orang sebegitu, kenalah duduk dengan mereka, bukan? Maka itu dibenarkan kerana ada sebab kita duduk dengan mereka. Tapi jangan terminat pula buat apa benda yang puak-puak lagha itu buat.


 

Ayat 73: Ini sifat ke tujuh. Ini pula apabila mereka diberi peringatan.

وَالَّذينَ إِذا ذُكِّروا بِئآيٰتِ رَبِّهِم لَم يَخِرّوا عَلَيها صُمًّا وَعُميانًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And those who, when reminded of the verses of their Lord, do not fall upon them deaf and blind.

(MELAYU)

Dan orang-orang yang apabila diberi peringatan dengan ayat-ayat Tuhan mereka, mereka tidaklah menghadapinya sebagai orang-orang yang tuli dan buta.

 

وَالَّذينَ إِذا ذُكِّروا بِئآيٰتِ رَبِّهِم

Dan orang-orang yang apabila diberi peringatan dengan ayat-ayat Tuhan mereka,

Ini adalah jika mereka dibacakan dengan ayat ayat Qur’an dan diterangkan maksud ayat-ayat Qur’an itu. Mereka tidaklah tolak terhadap ayat itu maksudnya mereka memberi perhatian dan tidaklah buat sambil lewa saja. Mereka akan fokus kepada penerangan yang diberikan.

 

لَم يَخِرّوا عَلَيها صُمًّا وَعُميانًا

mereka tidaklah menghadapinya sebagai orang-orang yang tuli dan buta.

Dan mereka tidaklah buta dengan pemahaman Qur’an itu. Maksudnya selepas mereka mendengar dan memahami penjelasan daripada ayat ayat Qur’an itu, maka pandangan mereka tentang alam dan kehidupan ini berubah sesuai dengan ayat-ayat yang dibacakan kepada mereka. Ini seperti disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya:

{الَّذِينَ إِذَا ذُكِرَ اللهُ وَجِلَتْ قُلُوبُهُمْ وَإِذَا تُلِيَتْ عَلَيْهِمْ آيَاتُهُ زَادَتْهُمْ إِيمَانًا وَعَلَى رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ}

mereka yang apabila disebut nama Allah, gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, bertambahlah iman mereka (kerananya) dan kepada Tuhanlah mereka bertawakal. (Al-Anfal: 2)

Mungkin sebelum itu mereka tidak faham kerana mereka tidak belajar lagi, tapi mereka sanggup untuk dengar dan beri perhatian. Begitulah, di negara kita ini, masih lagi pengajaran tafsir Qur’an tidak banyak dilakukan. Dan memang kebanyakan manusia tidak mahir dengan tafsir Qur’an dan tidak tahu pun apa yang mereka baca. Ramai yang sangka, kalau mereka ‘baca’ Qur’an setiap hari, itu dah baik dah. Tapi berkali-kali kita sebutkan bahawa baca sahaja tidak cukup, kena faham apa yang dibaca.

Ada kalangan orang kita yang apabila dibacakan ayat-ayat Qur’an dan diterangkan tafsirnya, mereka terkesan, sampai ada yang menangis. Kemudian mereka akan terus belajar supaya faham ayat-ayat yang lain lagi. Hasilnya mereka jadi orang yang menyebarkan pula ayat-ayat Qur’an dan tafsirnya kepada manusia.

Tapi ada yang buat tak kisah sahaja. Mereka dengar, tapi mereka tidak beri perhatian dan macam masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri. Ada juga yang membantah tanpa ilmu dan ada juga yang tolak tidak, terima pun tidak. Memang manusia ada jenis-jenisnya. Mereka yang buat tidak kisah dan terkesan dengan wahyu ini adalah jenis orang kafir atau orang munafik. Seperti yang disebutkan oleh firman-Nya dalam ayat yang lain:

{وَإِذَا مَا أُنزلَتْ سُورَةٌ فَمِنْهُمْ مَنْ يَقُولُ أَيُّكُمْ زَادَتْهُ هَذِهِ إِيمَانًا فَأَمَّا الَّذِينَ آمَنُوا فَزَادَتْهُمْ إِيمَانًا وَهُمْ يَسْتَبْشِرُونَ. وَأَمَّا الَّذِينَ فِي قُلُوبِهِمْ مَرَضٌ فَزَادَتْهُمْ رِجْسًا إِلَى رِجْسِهِمْ}

Dan apabila diturunkan suatu surat, maka di antara mereka (orang-orang munafik) ada yang berkata, “Siapakah di antara kalian yang bertambah imannya dengan (turunnya) surat ini?” Adapun orang-orang yang beriman, maka surat ini menambah imannya, sedangkan mereka merasa gembira. Dan adapun orang-orang yang di dalam hati mereka ada penyakit, maka dengan surat itu bertambah kekafiran mereka di samping kekafirannya (yang telah ada). (At-Taubah:124-125)


 

Ayat 74: Ini pula adalah sifat ke lapan dan terakhir. Ini adalah doa yang amat molek untuk diamalkan.

وَالَّذينَ يَقولونَ رَبَّنا هَب لَنا مِن أَزوٰجِنا وَذُرِّيّٰتِنا قُرَّةَ أَعيُنٍ وَاجعَلنا لِلمُتَّقينَ إِمامًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And those who say, “Our Lord, grant us from among our wives and offspring comfort to our eyes¹ and make us a leader [i.e., example] for the righteous.”

  • i.e., a source of happiness due to their righteousness.

(MELAYU)

Dan orang orang yang berkata: “Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa.

 

وَالَّذينَ يَقولونَ رَبَّنا هَب لَنا مِن أَزوٰجِنا وَذُرِّيّٰتِنا قُرَّةَ أَعيُنٍ

Dan orang orang yang berkata: “Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang mata (kami),

Mereka juga orang yang mahu mendapat kebaikan dan pahala dengan keluarga mereka dan keturunan mereka. Mereka nak jadikan ahli keluarga mereka sebagai penyebab mereka dapat pahala. Bukan nak sikit-sikit, tapi banyak yang mereka minta. Jadi ini doa minta darjat yang tinggi.

Mereka minta Allah beri ketenangan kepada mereka melalui keluarga mereka. Iaitu membebaskan mereka daripada keresahan apabila berada di luar rumah dengan melihat segala kebodohan, ketidakadilan dan segala kefasikan yang berada di luar rumah. Mereka minta supaya apabila mereka balik ke rumah mereka, mereka dapat melihat ahli keluarga mereka yang menyenangkan hati mereka sampai menyebabkan mereka mengeluarkan air mata kegembiraan. Maksudnya sejuklah mata mereka melihat ahli keluarga mereka yang menyenangkan hati mereka dan membanggakan mereka.

Dan kegembiraan yang tinggi adalah apabila melihat anak-anak kita suka kepada agama, suka untuk mengerjakan ibadah seperti solat dan suka untuk membaca Qur’an tanpa dipaksa. Alangkah indahnya kalau lihat anak-anak kita buka Qur’an senyap-senyap dan baca tanpa disuruh?

Ini adalah doa yang dikeluarkan oleh hati orang yang baik. Kerana orang agama ini pentingkan agama. Maka kalau mereka lihat anak isteri mereka pun suka kepada agama, maka gembiralah hati mereka. Bukan hal dunia yang mereka tengokkan dan dambakan, tapi mereka suka kalau agama isteri dan anak-anak mereka baik.

Mempunyai keturunan yang baik adalah satu perkara yang amat-amat menguntungkan. Kerana itulah disebutkan di dalam Sahih Muslim melalui hadis Abu Hurairah r.a. yang telah mengatakan bahawa Rasulullah Saw. pernah bersabda:

“إِذَا مَاتَ ابْنُ آدَمَ انْقَطَعَ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثٍ: وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ، أَوْ عَلَمٍ يَنْتَفِعُ بِهِ مَنْ بَعْدَهُ، أَوْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ”

Apabila anak Adam meninggal dunia, terputuslah amalnya kecuali tiga perkara, yaitu anak saleh yang mendoakan (orang tua)nya, atau ilmu yang bermanfaat sesudah dia tiada, atau sedekah jariyah.

 

وَاجعَلنا لِلمُتَّقينَ إِمامًا

dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa.

Ayat ini memberitahu bahawa setiap keluarga itu adalah satu unit dan ketua keluarga itu adalah imam kepada keluarga itu. Dan dia ada tanggungjawab terhadap ahli keluarganya dan dia akan ditanya dengan tugas-tugas yang telah dilakukannya atau tidak dilakukan.

Jadi, menjaga keluarga dan memberi tarbiyah kepada mereka adalah satu kerja yang memerlukan usaha bersungguh-sungguh daripada kita terutama sekali pada zaman teknologi sekarang dimana senang sangat nak dapat informasi yang salah dan teruk.  Sampaikan kita kena berlawan dengan maklumat yang sampai kepada anak-anak kita. Kalau kita tidak prihatin, entah apalah maklumat yang mereka dapat. Maka kita kena selalu luangkan masa dengan mereka dan tanya apakah pandangan mereka tentang dunia, tentang agama dan sebagainya. Kerana kalau tidak, entah mereka sudah ada pandangan yang salah tentang agama.

Satu lagi tafsir untuk potongan akhir ayat doa ini adalah mengandungi muqaddar. Iaitu ia bermaksud: “jadikanlah kami orang-orang yang layak menjadi ikutan”. Maknanya dah jadi baik sampaikan boleh dijadikan ikutan (imam) kepada orang lain. Kerana imam itu duduk di depan dan menjadi ikutan kepada makmum di belakang, bukan?

Orang orang yang berdoa seperti ini maka tentu sekali mereka akan mendapat. Asalkan tahu makna apakah yang kita minta. Jangan kita sebut sahaja tapi tidak tahu apa yang kita minta. Kerana doa ini masyhur, tapi adakah mereka yang membacanya faham apa yang dibaca? Maka janganlah kita jadi seperti mereka. Belajarlah maksud doa-doa yang kita selalu baca. Supaya kalau kita baca dalam faham, maka kita lebih tawajjuh dan lebih ikhlas lagi dalam doa kita. Dan kalau kita ikhlas dalam doa, Allah akan makbulkan.


 

Ayat 75: Sudah habis diterangkan senarai sifat-sifat ibaadur Rahman itu. Sekarang diberikan khulasah kepada sifat-sifat itu.

أُولٰئِكَ يُجزَونَ الغُرفَةَ بِما صَبَروا وَيُلَقَّونَ فيها تَحِيَّةً وَسَلٰمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Those will be awarded the Chamber¹ for what they patiently endured, and they will be received therein with greetings and [words of] peace,

  • The most elevated portion of Paradise.

(MELAYU)

Mereka itulah orang yang dibalasi dengan martabat yang tinggi (dalam syurga) kerana kesabaran mereka dan mereka disambut dengan penghormatan dan ucapan selamat di dalamnya,

 

أُولٰئِكَ يُجزَونَ الغُرفَةَ بِما صَبَروا

Mereka itulah orang yang dibalasi dengan martabat yang tinggi (dalam syurga) kerana kesabaran mereka

Mereka yang dapat mempraktikan sifat-sifat yang disebut di atas itulah yang akan diberikan dengan bilik yang luas dan selesa di syurga kelak. Dari segi terjemahan yang digunakan, الغُرفَةَ itu bukan bilik biasa sahaja, tetapi maksudnya adalah bilik yang istimewa sepertimana di dalam hotel ada bilik-bilik yang istimewa (presidential suite, penthouse dan sebagainya).

Mereka diberikan dengan balasan yang hebat itu kerana sabarnya mereka di dalam menghayati agama. Ini adalah kerana dalam dunia ini kena selalu sabar. Ada banyak dugaan dalam kehidupan ini. Orang yang sabar akan mendapat balasannya kelak di akhirat. Dan bukan dalam kehidupan sahaja kena sabar, dalam beragama juga kena sabar. Nak buat ibadat kena sabar, nak belajar pun kena sabar dan nak dakwah pun kena sabar. Kerana apabila kita ajak orang, tentu ada yang menentang dan mereka akan tuduh dan serang kita, maka ini pun memerlukan kesabaran, malah kesabaran yang lebih tinggi lagi dari biasa.

 

وَيُلَقَّونَ فيها تَحِيَّةً وَسَلٰمًا

dan mereka disambut dengan penghormatan dan ucapan selamat di dalamnya,

Maksudnya, di dalam syurga mereka disambut oleh para malaikat yang berebutan menyambut kedatangan mereka dengan mengucapkan penghormatan dan selamat. Mereka memperoleh penghormatan serta pengagungan, dan keselamatan terlimpahkan kepada mereka semua dan kepada para malaikat yang menyambut mereka. Sesungguhnya para malaikat masuk menemui mereka dari setiap pintu syurga seraya mengucapkan, “Keselamatan atas kalian kerana kesabaran kalian. Maka syurga adalah sebaik-baik tempat tinggal di akhirat.”

Mereka akan disambut di mana-mana sahaja mereka pergi nanti dalam syurga dengan ucapan yang baik dan salam. Ada dua kalimah disebut dalam ayat ini – tahiyyah dan salam. Tahiyyah adalah ucapan sambutan. Ini kerana sebelum Islam, kalimah sambutan yang diberikan sesama orang Arab adalah mendoakan hayat berpanjangan sesama mereka. Dari kalimah hayyah itu, dijadikan kata sambutan sebagai ‘tahiyyat. Tapi selepas Islam datang, maka ucapan panjang hayat itu telah diganti dengan ucapan salam. Maka dalam ayat ini, disebut kalimah yang digunakan sebelum Islam dan selepas Islam.

Dan di syurga nanti, ahli syurga akan dapat berjalan-jalan berjumpa dengan orang yang baik-baik di sana yang mungkin semasa di dunia dulu orang tidak kenal mereka. Tetapi mereka itulah orang yang telah berkorban untuk agama. Maka alangkah menariknya kalau kita dapat jumpa orang yang mula sampaikan agama ini ke negara kita, tok nenek kita yang mula-mula masuk Islam dan sebagainya. Tentu menarik sekali dan kita boleh bersembang dengan mereka dan bertukar-tukar pengalaman.


 

Ayat 76:

خٰلِدينَ فيها ۚ حَسُنَت مُستَقَرًّا وَمُقامًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Abiding eternally therein. Good is the settlement and residence.

(MELAYU)

mereka kekal di dalamnya. Syurga itu sebaik-baik tempat menetap dan tempat kediaman.

 

خٰلِدينَ فيها

mereka kekal di dalamnya.

Ahli syurga akan kekal selama-lamnya di dalam syurga. Mereka tidak akan keluar. Kalau duduk dalam neraka, ada juga yang boleh keluar darinya. Tapi kalau duduk dalam syurga, memang akan kekal. Kekal menikmati segala nikmat di dalamnya yang bertambah-tambah mengikut masa. Tidak berkurangan, malah bertambah.

Ini juga adalah nikmat kerana tahu yang kita akan kekal di dalamnya. Kalau tak kekal, tentu akan berkurangan rasa nikmat itu. Macam kita dapat duduk di hotel paling mewah di dunia, memang menarik duduk sementara di situ tapi kita tahu dalam hati kita, yang kita duduk sekejap sahaja dan dalam beberapa hari akan keluar juga dari bilik itu. Tapi kalau kita tahu yang kita akan kekal di dalamnya, bagaimana? Tentu kita rasa selesa dan tenang sahaja. Dan kerana itulah, hampir semua manusia mahukan rumahnya sendiri, tidak suka menumpang atau menyewa kerana memang perasaan manusia mahukan tempat tinggal yang tetap.

 

حَسُنَت مُستَقَرًّا وَمُقامًا

Syurga itu sebaik-baik tempat menetap dan tempat kediaman.

Apakah yang dimaksudkan dengan  مُستَقَرًّا yang bermaksud tempat tinggal sementara? Bukankah kita telah katakan yang mereka yang duduk di syurga akan kekal? Jangan takut. Ini juga satu nikmat iaitu apabila ahli syurga itu telah tinggal di istananya dan kemudian Allah beritahu yang dia akan berpindah ke istana yang lebih baik lagi. Ini kerana Allah akan meningkatkan lagi kelebihan yang diberikan kepada ahli syurga. Jadi ini adalah berita baik, bukan?

Juga bermaksud jikalau kita berada di tingkatan rendah dalam syurga dan ada ahli keluarga kita yang duduk di tingkat atas, maka kita boleh dinaikkan taraf ke atas. Ini juga berita baik. Kerana itulah anak-anak dan keluarga kita adalah ‘saham’ kita. Kerana kalau mereka dapat masuk ke tingkatan tinggi dalam syurga, mereka boleh minta untuk naikkan kita ke atas.


 

Ayat 77: Takhwif Ukhrawi. Ada sesetengah orang yang rasa mereka itu istimewa di sisi Allah.

قُل ما يَعبَؤُ بِكُم رَبّي لَولا دُعاؤُكُم ۖ فَقَد كَذَّبتُم فَسَوفَ يَكونُ لِزامًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Say, “What would my Lord care for you if not for your supplication?”¹ For you [disbelievers] have denied, so it [i.e., your denial] is going to be adherent.²

  • i.e., faith and worship. An alternative meaning is “What would my Lord do with you…”
  • It will remain with them, causing punishment to be required and imperative upon them.

(MELAYU)

Katakanlah (kepada orang-orang musyrik): “Tuhanku tidak mengendahkan kamu, melainkan kalau ada ibadatmu. (Tetapi bagaimana kamu beribadat kepada-Nya), padahal kamu sungguh telah mendustakan-Nya? Kerana itu kelak (azab) pasti (menimpamu)”.

 

قُل ما يَعبَؤُ بِكُم رَبّي لَولا دُعاؤُكُم

Katakanlah (kepada orang-orang musyrik): “Tuhanku tidak mengendahkan kamu, melainkan kalau ada ibadatmu.

Beritahu kepada mereka yang degil itu, yang Allah sebenarnya tidak mengendahkan mereka pun. Mereka sahaja berlagak yang mereka itu makhluk istimewa tapi sebenarnya Allah tak kisah dan tak pandang mereka pun. Ini ditujukan asalnya kepada musyrikin Mekah yang sangka mereka itu hebat kerana mereka mendapat segala nikmat termasuk kedudukan sebagai penjaga Kaabah. Jadi mereka sangka mereka itu insan pilihan Allah, dan mereka sangka Allah sayang kepada mereka dan mereka akan selamat sahaja. Tetapi Allah memberitahu bahawa Allah tidak mengendahkan sesiapa pun yang tidak berdoa kepadaNya.

Mereka sangka mereka sudah benar dan apabila mereka berlawan dengan Nabi Muhammad, mereka sangka mereka sebenarnya menentang kaum yang murtad dari agama Ibrahim. Mereka sangka merekalah yang mengamalkan agama Nabi Ibrahim dan Nabi Muhammad dan para sahabat itu sesat belaka. Ini sama sahaja dengan golongan manusia muslim sekarang yang mengamalkan amalan bidaah tapi mereka sangka mereka itu yang mengamalkan agama Islam yang sebenarnya. Dan mereka kata puak yang hendak mengamalkan Sunnah pula yang sesat sampaikan kata kita ini golongan Wahabi dan sebagainya.

Jadi jangan sangka yang kalau ada kelebihan di dunia, itu sebagai pertanda yang kamu selamat. Belum tentu lagi. Jangan sangka juga yang kalau kamu banyak amalan, kamu sudah selamat. Ini kerana Allah tidak kisah kepada makhluk yang tidak menyembahNya sebagaimana yang sepatutnya. Jadi kena doa kepada Allah dengan cara yang betul. Jangan gunakan cara yang salah seperti musyrikin Mekah itu. Kerana cara doa mereka adalah cara doa yang salah – mereka mengamalkan tawasul kepada roh-roh Nabi, wali dan malaikat dan ini adalah cara yang syirik. Ini adalah tafsiran yang pertama.

Tafsiran yang kedua: ~Kalaulah tidak kerana doa kamu, Allah tentu sudah azab kamu~. Musyrikin Mekah itu masih selamat kerana mereka ada juga berdoa terus kepada Allah. Dalam banyak-banyak doa mereka dengan cara syirik, ada juga yang mereka doa terus kepada Allah sebagaimana yang sepatutnya. Maknanya, orang Mekah itu ada juga yang istighfar kepada Allah. Maknanya doa mereka memberi kesan juga kepada Allah. Kalau Allah tidak endahkan mereka, tentu mereka sudah lama kena hancur dah.

 

فَقَد كَذَّبتُم فَسَوفَ يَكونُ لِزامًا

padahal kamu sungguh telah mendustakan-Nya? Kerana itu kelak (azab) pasti (menimpamu)”.

Allah tegur mereka kerana mereka berterusan menolak. Kalau tak ubah perangai mereka dan mula menerima, mereka boleh terus ditetapkan dalam keadaan mereka dan Allah boleh tutup terus hati mereka dari terima hidayah.

Walaupun mereka telah menolak dan menentang Rasulullah, tapi Allah tidak terus menghukum manusia jikalau mereka melakukan kesalahan. Ini adalah kerana Allah masih lagi memberi peluang kepada manusia untuk mengubah perangai mereka. Akan tetapi jikalau mereka tetap dalam perangai itu, lama kelamaan Allah tarik peluang itu dengan tidak hiraukan mereka langsung dah. Maksudnya kalau begitu, Allah telah tutup pintu hidayah dari mereka.

Puak musyrikin Mekah itu telah diberi peluang oleh Allah untuk terima dakwah daripada Nabi Muhammad selama 13 tahun. Tetapi apabila mereka tetap tidak mahu mendengar dan menerima ajakan tauhid, maka Allah telah buat keputusan untuk tutup hati mereka. Ini dinamakan Khatmul Qalbi (penutupan hati) kerana mereka terus menerus menolak dan menentang.

Tetapi bukankah kaum Nabi Nuh diberi masa selama 950 tahun baru Allah buat keputusan untuk menghancurkan mereka? Kenapa dengan musyrikin Mekah ini mereka hanya diberi lebih kurang 13 tahun sahaja? Ini sebenarnya menunjukkan kehebatan Qur’an kerana apa yang disampaikan di dalam Qur’an itu walaupun dalam masa yang singkat selama lebih kurang 13 tahun sahaja tetapi ianya sudah bersamaan dengan 950 tahun jika tanpa Qur’an. Maka kalau dengan 13 tahun dengan Qur’an pun mereka tidak mahu terima, maknanya kalau dengan 950 tahun pun, mereka takkan terima juga. Maka tidak perlu nak tunggu 950 tahun untuk tutup hati mereka.

Allahu a’lam. Sekian tamat tafsir Surah Furqan. Semoga Allah beri kefahaman kepada kita semua dan taufik untuk mengamalkan suruhan Allah dalam surah ini. Sambung ke surah yang seterusnya, Surah Asy-Shu’araa.


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 025: Furqan. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s