Tafsir Surah Furqan Ayat 1 – 5 (Allah sahaja Pemberi Berkat)

Pengenalan:

Surah Furqan ini adalah Surah Makkiyah. Ulama kemudian membahagikan surah-surah Makkiyah kepada tiga bahagian: Peringkat awal, pertengahan dan akhir. Dan Surah Furqan ini diturunkan di waktu pertengahan Makkiyah. Maknanya, sudah beberapa tahun baginda berdakwah secara terbuka tapi belum lagi dekat untuk berhijrah.

Surah Furqan ini sampailah ke Surah Saba’ mempunyai satu dakwa sahaja iaitu tentang ‘tauhid di dalam berkat’. Allah sahaja yang mempunyai keberkatan dan Allah sahaja yang boleh beri berkat kepada manusia. Dan perkata ini memang ada masalah salah fahaman dalam masyarakat.

Di dalam Surah Furqan ini disebut sebanyak tiga kali ‘maha berkat Allah Taala’. Maknanya Allah sahaja yang mempunyai Qudrat dan Ilmu tentang keberkatan dan Dia lah sahaja yang memberi berkat kepada makhluk. Maka jikalau kita mahu berkat, maka kita kena minta dari Allah sahaja. Maka tidak ada keberkatan pada batang tubuh manusia melainkan batang tubuh Nabi Muhammad sahaja.

Cuma memang ada keberkatan pada amal-amal hamba dan bukannya pada tubuh mereka. Ini semua memerlukan dalil.

Banyak Allah turunkan surah berkenaan berkat kerana perkara ini menyebabkan banyak kesesatan dikalangan manusia sampai mereka melakukan syirik kerana mengharapkan berkat dari individu tertentu.  Kerana itu kita lihat agama lain letak wang, air, buahan dan sebagainya di tempat pujaan mereka dan kalau kita tanya mereka kenapa mereka buat begitu, mereka akan jawap: ‘kerana nak berkat’ (Blessing).  Maka takkan agama kita macam agama Hindu pula bila ada kalangan orang jahil pergi ambil berkat dengan tok guru?

Untuk dapat berkat, kena minta sendiri kepada Allah dan tidak harapkan dari orang lain. Orang yang banyak berkat adalah mereka yang banyak buat amalan baik.

Surah ini terbahagi kepada dua bahagian:

Ayat 1 – 9: bahagian pertama.

Ayat 10 – akhir surah adalah bahagian kedua.

Dakwa Surah ini ada dalam ayat 1 dan diulangi dua kali dalam surah ini.


 

Ayat 1: dakwa surah dan dalil aqli.

تَبارَكَ الَّذي نَزَّلَ الفُرقانَ عَلىٰ عَبدِهِ لِيَكونَ لِلعٰلَمينَ نَذيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Al-Furqān: The Criterion, which is another name for the Qur’ān and means “that which distinguishes truth from falsehood and right from wrong.”

Blessed is He who sent down the Criterion upon His Servant that he may be to the worlds a warner –

(MELAYU)

Maha berkat Allah yang telah menurunkan Al Furqaan (Al Quran) kepada hamba-Nya, agar dia menjadi pemberi peringatan kepada seluruh alam,

 

تَبارَكَ الَّذي نَزَّلَ الفُرقانَ عَلىٰ عَبدِهِ

Maha berkat Allah yang telah menurunkan Al Furqaan (Al Qur’an) kepada hamba-Nya,

Allah memuji DiriNya sendiri di dalam ayat ini. Kerana Dia yang menurunkan Qur’an ini kepada manusia. Maka kena ingat balik yang Qur’an ini bukan dari sesiapa tapi dari Allah – maka kenalah beri perhatian sepenuhnya kepada Qur’an ini. Kena belajar tafsir untuk memahaminya. Kerana kalau ia penting, tentulah kita nak tahu apakah yang hendak disampaikan, bukan? Kalau orang penting bagi surat kepada kita, tentu kita baca dan nak faham apakah maksudnya bukan? Bagaimana pula kalau Allah yang sampaikan kepada kita? Tidakkah kita teringin nak tahu apakah yang Allah hendak beritahu kita? Tidak pentingkah apa yang Allah hendak beritahu dalam Qur’an ini?

Kalau ianya penting, kenapalah ramai antara kalangan masyarakat kita yang buat tidak tahu sahaja dengan apa yang disampaikan dalam Qur’an ini? Kenapa ramai yang tidak belajar tafsir Qur’an dengan mendalam?

Kalimat عَلىٰ عَبدِهِ (ke atas hambaNya) merujuk kepada Nabi Muhammad SAW. Ianya adalah satu pujian kepada baginda kerana baginda berada di kedudukan ‘Hamba Allah’. Kerana hamba kepada Allah, bukan hamba kepada manusia. Kalau dinisbahkan kepada manusia, memang hamba itu hina; tapi kalau dinisbahkan kepada Allah, maka itu adalah satu pujian. Ini sebagaimana telah disebutkan dalam salah satu keadaannya yang paling mulia, iaitu ketika baginda di-Isra-kan, melalui firman-Nya:

{سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلا}

Mahasuci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam. (Al-Isra: 1)

Allah memuji DiriNya dengan menggunakan kalimah تَبارَكَ. Ia adalah dalam wazan tafa’ala dari lafaz al-barakah, bermaksud keberkahan yang tetap, kukuh, lagi kekal. Maksudnya Allah sahaja yang mempunyai berkat dan pemberi berkat. Selain dari Allah adalah penerima berkat sahaja. Maknanya kalau hendak berkat, kena minta dari Allah, bukan ambil dari Nabi, wali dan malaikat dan juga bukan dari guru, ustaz, benda-benda yang tidak ada dalil. Oleh itu, jangan tabarruk dengan perkara yang tidak ada dalil. Sebagai contoh, ada pihak yang tabarruk dengan capal Nabi, replika capal Nabi dan gambarajah capal Nabi. Ini adalah kerja bodoh.

Kalimah ‘Furqan’ dari kalimah ف ر ق yang bermaksud ‘pembeza’, ‘pembahagi. Oleh itu al-Furqan bermaksud pembeza antara hak dan batil. Dengan kita menggunakan Qur’an, maka kita boleh bezakan manakah ajaran yang benar dan ajaran yang salah. Kerana itu kita amat pentingkan pembelajaran tafsir Qur’an, kerana ianya dapat membezakan ajaran yang benar dan salah.

Ini dapat menyelesaikan masalah kekeliruan dalam masyarakat. Banyak sekali ustaz yang mengajar dan nampaknya macam berlainan maklumat yang diberikan. Maka, untuk kita kenalpasti mana yang benar dan mana yang tidak, kita gunakan neraca Qur’an lah. Kalau apa yang mereka ajar itu bertepatan dengan ayat-ayat Qur’an, maka benarlah mereka. Tapi kalau berlawanan, maka tahulah kita bahawa mereka itu mengajar salah.

Dalam ayat ini, kalimah penurunan Qur’an yang digunakan dalam ayat ini adalah dalam wazan نَزَّلَ, Kalimah نَزَّلَ adalah kata-kerja yang menunjukkan pengertian menurunkan secara berulang-ulang dan banyak. Sama dengan pengertian yang terdapat di dalam firman-Nya:

{وَالْكِتَابِ الَّذِي نزلَ عَلَى رَسُولِهِ وَالْكِتَابِ الَّذِي أَنزلَ مِنْ قَبْلُ}

dan kepada kitab yang Allah turunkan kepada Rasul-Nya, serta kitab yang Allah turunkan sebelumnya. (An-Nisa: 4)

Kalau Al-Qur’an disebutkan dengan نَزَّلَ yang menunjukkan makna turun secara berulang-ulang dengan ulangan yang banyak, sedangkan kitab-kitab terdahulu disebutkan dengan نَزَلَ sahaja tanpa syaddah. Ini kerana kitab-kitab terdahulu diturunkan sekaligus, sedangkan Al-Qur’an diturunkan secara beransur-ansur, terpisah-pisah, hukum demi hukum dan surah demi surah. Hal ini lebih berkesan dan lebih mendapat perhatian dari orang yang Al-Qur’an diturunkan kepada mereka (Rasulullah dan para sahabat). Seperti yang disebutkan oleh firman Allah Swt. dalam pertengahan surah ini, iaitu:

{وَقَالَ الَّذِينَ كَفَرُوا لَوْلا نزلَ عَلَيْهِ الْقُرْآنُ جُمْلَةً وَاحِدَةً كَذَلِكَ لِنُثَبِّتَ بِهِ فُؤَادَكَ وَرَتَّلْنَاهُ تَرْتِيلا. وَلا يَأْتُونَكَ بِمَثَلٍ إِلا جِئْنَاكَ بِالْحَقِّ وَأَحْسَنَ تَفْسِيرًا}

Berkatalah orang-orang yang kafir, ” Mengapa Al-Qur’an itu tidak diturunkan kepadanya sekali turun saja?” Demikianlah supaya Kami perkuat hatimu dengannya dan Kami membacakannya kelompok demi kelompok. Tidaklah orang-orang kafir itu datang kepadamu (membawa) sesuatu yang ganjil, melainkan Kami datang kepadamu suatu yang benar dan yang paling baik penjelasannya. (Al-Furqan: 32-33)

 

لِيَكونَ لِلعٰلَمينَ نَذيرًا

agar dia menjadi pemberi peringatan kepada seluruh alam,

Tujuan Qur’an ini adalah sebagai peringatan kepada seluruh manusia dan jin. Dengan Qur’an inilah Rasulullah beri peringatan kepada manusia. Ini mengajar kita, dakwah kita pun kenalah guna Qur’an. Ianya adalah ilmu yang semua umat Islam kena ada. Sebelum belajar ilmu-ilmu lain, kena mahir dengan Qur’an. Seperti kita telah sebut di atas, ianya dapat membezakan mana yang benar dan tidak. Kalau tidak tahu Qur’an, itulah sebabnya ramai yang keliru dengan agama. Kerana mereka tidak ada ‘kayu ukur’.

Kalimah نَذيرًا diletak di hujung dan lain daripada susunan yang biasa kerana hendak memberi maksud takjub kerana Nabi Muhammad adalah Rasul kepada seluruh dunia dan ini ini bukan kebiasaan para rasul. Allah awalkan kalimah لِلعٰلَمينَ sebagai penekanan yang Nabi Muhammad SAW adalah Rasul kepada seluruh alam. Kalau Rasul-rasul yang lain, mereka diutus untuk kaum mereka sahaja.

Sabda baginda:

“أُعْطِيتُ خمسًا لم يُعْطَهُنَّ أَحَدٌ مِنَ الْأَنْبِيَاءِ قَبْلِي”

Sesungguhnya aku dianugerahi lima perkara yang belum pernah diberikan kepada seorang pun dari kalangan para nabi sebelumku.

Yang antara lain disebutkan:

“كَانَ النَّبِيُّ يُبْعَثُ إِلَى قَوْمِهِ خَاصَّةً، وَبُعِثْتُ إِلَى النَّاسِ عَامَّةً”

Dahulu seorang nabi diutus hanya kepada kaumnya saja, sedangkan aku diutus kepada seluruh umat manusia.

Jadi tugas baginda adalah menyampaikan ajaran Qur’an ini kepada seluruh alam. Tapi seperti yang kita tahu, Nabi Muhammad tidak dapat berdakwah kepada seluruh umat manusia pun. Baginda tinggal di Madinah dan tidak mengembara jauh. Baginda juga berdakwah selama 23 tahun sahaja dan baginda telah wafat. Maka ramailah manusia yang tidak dapat bertemu dan menerima ajaran Qur’an dari baginda, bukan?

Maka ini memberi isyarat kepada kita bahawa kita hendaklah membawa cahaya yang telah disebut di dalam sudah Nur sebelum ini ke seluruh alam; dan ini bermaksud jikalau kita tidak berdakwah maka ayat ini tidak dapat di sempurnakan. Maka kita kena teruskan kerja baginda dan sampaikan Qur’an ini kepada manusia sejagat dengan apa cara yang kita boleh lakukan. Maka saya tulis blog ini sebagai usaha saya untuk menyampaikan ajaran Qur’an ini kepada manusia yang membacanya. Semoga anda juga sampaikan kepada orang lain juga. Kerana senang sahaja nak sampaikan, bukan?

Jadi apabila kita baca ayat-ayat yang sebegini, ia bukan hanya sebagai pujian kepada Rasulullah sahaja tetapi ia mengandungi tanggungjawab kepada kita untuk menyampaikan mesej Qur’an ini. Tahulah kita yang kita kena sampaikan Qur’an ini kepada manusia. Tapi kalau kita sendiri tidak belajar, bagaimana kita nak sampaikan? Maka kita kena mulakan dengan belajar dahulu dan sedikit demi sedikit kita sampaikan kepada kenalan dan keluarga kita.


 

Ayat 2: Dalil Aqli. Dalam ayat sebelum ini telah disebut yang menurunkan Qur’an ini adalah yang Maha Berkat, yang menurunkan Qur’an. Tidak disebut siapa, tapi kita tahu yang ianya adalah Allah SWT. Sekarang Allah terus memperkenalkan sifatNya. Masih lagi tidak disebut NamaNya.

الَّذي لَهُ مُلكُ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ وَلَم يَتَّخِذ وَلَدًا وَلَم يَكُن لَّهُ شَريكٌ فِي المُلكِ وَخَلَقَ كُلَّ شَيءٍ فَقَدَّرَهُ تَقديرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He to whom belongs the dominion of the heavens and the earth and who has not taken a son and has not had a partner in dominion and has created each thing and determined it with [precise] determination.

(MELAYU)

yang kepunyaan-Nya-lah kerajaan langit dan bumi, dan Dia tidak mempunyai anak, dan tidak ada sekutu bagi-Nya dalam kekuasaan(Nya), dan Dia telah menciptakan segala sesuatu, dan Dia menetapkan ukuran-ukurannya dengan serapi-rapinya.

 

الَّذي لَهُ مُلكُ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ

yang kepunyaan-Nya-lah kerajaan langit dan bumi,

Allah sahaja yang memiliki langit dan bumi. Maka kerana itu memanglah Dia sahaja layak untuk mempunyai berkat dan Dialah yang layak menentukan siapakah yang patut dapat berkat, bukan?

 

وَلَم يَتَّخِذ وَلَدًا

dan Dia tidak mempunyai anak, 

Allah tidak pernah melantik mana-mana makhluk ciptaanNya naik taraf sebagai anaknya sendiri. Banyak agama yang sesat yang mengatakan Allah telah mengambil anak. Sebagai contoh, Nasrani mengatakan Nabi Isa Anak Tuhan; Yahudi pula kata Nabi Uzair pula Anak Tuhan. Ini adalah ajaran yang salah dan sesat.

Yang sebenarnya, mereka maksudnya ‘anak’ itu adalah ‘anak angkat’. Kerana mereka pun tahu Allah itu bukan jenis manusia. Maka mereka sendiri yang pandai-pandai lantik sesetengah Rasul itu sebagai Anak Allah padahal Allah tidak pernah kata begitu, dan para Rasul itu pun tidak pernah juga kata begitu.

Mereka lantik para Rasul itu sebagai ‘anak angkat’ kerana mereka hendak ambil berkat dari para Rasul itu. Seolah-olah Allah telah turunkan kuasa beri berkat kepada para Rasul itu. Maka teruslah mereka ambil berkat dari para Rasul itu padahal ini tidak benar. Tapi Allah tidak pernah turunkan kuasa beri berkat kepada sesiapa pun termasuklah kepada para Rasul pun.

Dan juga mereka berdoa kepada Rasul-rasul itu dengan menjadikan para Rasul itu sebagai ‘wasilah’ untuk menyampaikan doa mereka.

Maka, kalau masyarakat Islam pun beriktikad yang Nabi Muhammad pun boleh menjadi wasilah untuk menyampaikan doa kita kepada Allah, maka iktikad mereka sama sahaja dengan iktikad Nasrani dan Yahudi – sama-sama sesat dalam bab ini. Memang bahaya bab Tawasul ini dan kerana itu kita banyak tekankan dalam penulisan ini.

 

وَلَم يَكُن لَّهُ شَريكٌ فِي المُلكِ

dan tidak ada sekutu bagi-Nya dalam kekuasaan(Nya), 

Tidak ada sesiapa yang berkongsi di dalam kerajaan Allah Ta’ala dan membantuNya untuk menguruskan alam ini. Pertamanya, Allah maha berkuasa maka tidak memerlukan pertolongan sesiapa pun untuk mengurus alam ini.

Keduanya, Allah tidak pernah turunkan kuasa kepada sesiapa pun untuk mengurus alam ini. Kalau ada yang mengatakan sedemikian, maka itu adalah fahaman syirik, iaitu Shirk fi Tasarruf (syirik dalam pengurusan). Maka beginilah yang telah difahami oleh banyak manusia termasuklah masyarakat Islam negara kita pun. Ada kesalahan fahaman dalam perkara ini dan mereka tak sangka yang ianya adalah fahaman syirik. Inilah salah faham manusia bab wali dan kita telah jelaskan di tempat lain.

 

وَخَلَقَ كُلَّ شَيءٍ

dan Dia telah menciptakan segala sesuatu, 

Tidaklah ada selain Allah yang mencipta gunung atau ada yang mencipta langit melainkan semua itu dicipta oleh Allah SWT sahaja. Allah sahaja yang ada kuasa mencipta. Maka kerana itu, hanya Allah sahaja ilah dan hanya Allah sahaja Tuhan. Kalau ada ilah-ilah lain, maka mereka itu pun sepatutnya bolehlah mencipta sesuatu. Tapi kita pun tahu bahawa tiada ada sesiapa pun lagi yang boleh mencipta. Hanya Allah sahaja al-Khaaliq.

 

فَقَدَّرَهُ تَقديرًا

dan Dia menetapkan ukuran-ukurannya dengan serapi-rapinya.

Dan kuasa taqdir milik Allah sahaja. Allah yang menentukan segala-galanya yang terjadi dan akan terjadi. Allah uruskan dengan tepat dan Allah tentukan ikut keperluan yang diperlukan oleh manusia. Maka kita kenalah percaya kepada qada’ dan qadar dan jangan mempersoalkan apakah yang Allah lakukan terhadap kita. Terimalah yang kita ini hanya manusia sahaja dan tidak lebih dari itu. Kita tertakluk kepada kehendak Allah. Kalau kita dapat terima perkara ini, maka senanglah hati kita dan tenanglah kita menjalani kehidupan ini.


 

Ayat 3: Ayat zajrun. Allah kutuk fahaman manusia yang mengambil ilah-ilah lain selain dariNya.

وَاتَّخَذوا مِن دونِهِ ءآلِهَةً لّا يَخلُقونَ شَيئًا وَهُم يُخلَقونَ وَلا يَملِكونَ لِأَنفُسِهِم ضَرًّا وَلا نَفعًا وَلا يَملِكونَ مَوتًا وَلا حَيَوٰةً وَلا نُشورًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But they have taken besides Him gods which create nothing, while they are created, and possess not for themselves any harm or benefit and possess not [power to cause] death or life or resurrection.

(MELAYU)

Kemudian mereka mengambil tuhan-tuhan selain daripada-Nya (untuk disembah), yang tuhan-tuhan itu tidak menciptakan apapun, bahkan mereka sendiri diciptakan dan tidak kuasa untuk (menolak) sesuatu kemudharatan dari dirinya dan tidak (pula untuk mengambil) suatu kemanfaatan pun dan (juga) tidak kuasa mematikan, menghidupkan dan tidak (pula) membangkitkan.

 

وَاتَّخَذوا مِن دونِهِ ءآلِهَةً

Kemudian mereka mengambil ilah-ilah selain daripada-Nya

Tapi banyak manusia yang mengambil ilah-ilah selain dari Allah. Mereka jadikan ilah-ilah itu sebagai tempat pengharapan mereka, tempat taat mereka dan sebagainya. Tapi ajaran Nabi adalah la ilaaha ilallah. Maka Musyrikin Mekah telah menentang ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad itu. Mereka bukan tidak kenal Allah dan mereka juga terima yang Allah adalah Tuhan yang Mencipta, tapi dalam masa yang sama, mereka hendak juga menyembah ilah-ilah selain Allah.

Semua umat Islam tahu tentang perkara ini. Tapi adakah mereka faham maksud ilah itu? Kerana tidak faham maksud ilah itulah yang menyebabkan banyak kekeliruan dalam masyarat kita. Mereka rasa golongan kafir itu sahaja yang menjadikan tuhan-tuhan mereka sebagai ilah. Tapi sebenarnya, ramai dari kalangan masyarakat kita yang menjadikan Nabi, wali dan malaikat sebagai ilah. Ramai yang tidak sedar yang mereka sedang menyembah ilah selain Allah. Mereka itu solat dan puasa, bayar zakat dan pakai nama Islam, tapi mereka mengamalkan syirik. Ini adalah kerana tidak faham Qur’an sahaja.

 

لّا يَخلُقونَ شَيئًا وَهُم يُخلَقونَ

yang ilah-ilah itu tidak menciptakan apapun, bahkan mereka sendiri diciptakan

Kenapa lagi nak ambil ilah selain Allah? Adakah ilah-ilah itu dapat mencipta? Allah kata mereka nak cipta nyamuk pun tidak boleh. Maka mereka buang masa dan sia-sia sahaja nak sembah dan puja kepada ilah-ilah selain Allah. Ilah-ilah selain Allah yang disembah manusia itu bukan sahaja tidak dapat mencipta, malah mereka sendiri dicipta oleh Allah. Ini termasuklah roh-roh Nabi, wali dan malaikat yang dijadikan ilah oleh kebanyakan manusia.

 

وَلا يَملِكونَ لِأَنفُسِهِم ضَرًّا وَلا نَفعًا

dan tidak kuasa untuk (menolak) sesuatu kemudharatan dari dirinya dan tidak (pula untuk mengambil) suatu kemanfaatan pun

Bukan sahaja ilah-ilah selain Allah itu tidak ada kuasa mencipta, malah mereka itu tidak ada kuasa untuk memberi mudharat ataupun manfaat pun. Mereka tidak dapat nak halang mudharat yang dikenakan oleh Allah kepada diri mereka kalau Allah mahu dan mereka juga tidak dapat nak beri manfaat kepada sesiapa pun. Kerana yang beri mudharat dan manfaat adalah Allah. Jadi:

  • Ilah selain Allah tidak dapat beri mudharat dan halang mudharat.
  • Ilah selain Allah juga tidak dapat beri manfaat dan halang manfaat yang Allah hendak beri kepada sesiapa pun.

 

وَلا يَملِكونَ مَوتًا وَلا حَيَوٰةً وَلا نُشورًا

dan (juga) tidak kuasa mematikan, menghidupkan dan tidak (pula) membangkitkan.

Dan ilah-ilah palsu selain Allah tidak dapat beri kehidupan dan juga nak ambil kehidupan dari makhluk. Kuasa menghidupkan dan mematikan adalah milik mutlak Allah taala.

Maka kenapa nak cari ilah selain Allah? Kenapa nak berharap kepada ilah selain Allah? Itu adalah perkara yang sia-sia sahaja.


 

Ayat 4: Ayat syikayah. Allah ceritakan hujah bathil penolak wahyu.

وَقالَ الَّذينَ كَفَروا إِن هٰذا إِلّا إِفكٌ افتَرَىٰهُ وَأَعانَهُ عَلَيهِ قَومٌ ءآخَرونَ ۖ فَقَد جاءوا ظُلمًا وَزورًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And those who disbelieve say, “This [Qur’ān] is not except a falsehood he invented, and another people assisted him in it.” But they have committed an injustice and a lie.

(MELAYU)

Dan orang-orang kafir berkata: “Al Qu’ran ini tidak lain hanyalah kebohongan yang diada-adakan oleh Muhammad dan dia dibantu oleh kaum yang lain”; maka sesungguhnya mereka telah berbuat suatu kezaliman dan dusta yang besar.

 

وَقالَ الَّذينَ كَفَروا إِن هٰذا إِلّا إِفكٌ

Dan orang-orang kafir berkata: “Al Qu’ran ini tidak lain hanyalah kebohongan 

Ini adalah tohmahan daripada penentang Qur’an dari dahulu sampai sekarang. Mereka mengatakan Qur’an ini adalah pembohongan sahaja. Mereka kata Nabi Muhammad reka sahaja Qur’an itu, bukan dari Allah. Musyrikin Mekah kata begitu dan sampai sekarang golongan kafir pun kata begitu juga.

Ada antara mereka yang kata memang Qur’an ini hebat, maka Nabi Muhammad mereka kata seorang yang hebat. Mereka tetap juga kata yang Qur’an itu adalah penulisan dari Nabi Muhammad, bukan dari Allah.

 

افتَرَىٰهُ وَأَعانَهُ عَلَيهِ قَومٌ ءآخَرونَ

yang diada-adakan oleh Muhammad dan dia dibantu oleh kaum yang lain”; 

Mereka juga memberi idea dengan mengatakan yang Nabi Muhammad telah mendapat bantuan yang besar daripada golongan lain. Ini adalah satu tuduhan yang lemah kerana kalau kita tanya balik siapakah yang bantu Nabi, maka tentu mereka tidak dapat menjawabnya. Ini bermakna ia hanyalah tuduhan kosong sahaja untuk mengatakan yang Nabi Muhammad reka Quran ini dengan bantuan orang lain. Kerana mereka rasa ianya hebat sangat, takkan baginda boleh buat sendiri. Tapi siapa yang tolong baginda?

 

فَقَد جاءوا ظُلمًا وَزورًا

maka sesungguhnya mereka telah berbuat suatu kezaliman dan dusta yang besar.

Kalimah جاءوا digunakan apabila perlakuan dosa itu amat besar. Ia bermaksud ‘datang’ dan mereka datang bawa dosa yang amat besar.

وَزورًا adalah penipuan yang menggunakan propaganda untuk menjauhkan manusia daripada kebenaran. Mereka bukan sahaja sesat sendiri, tapi mereka juga ajak orang lain sesat dengan beri idea-idea untuk menyesatkan orang lain supaya sama pendapat dengan mereka.


 

Ayat 5: Ayat syikayah lagi.

وَقالوا أَسٰطيرُ الأَوَّلينَ اكتَتَبَها فَهِيَ تُملىٰ عَلَيهِ بُكرَةً وَأَصيلًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And they say, “Legends of the former peoples which he has written down, and they are dictated to him morning and afternoon.”

(MELAYU)

Dan mereka berkata: “Dongengan-dongengan orang-orang dahulu, dimintanya supaya dituliskan, maka dibacakanlah dongengan itu kepadanya setiap pagi dan petang”.

 

وَقالوا أَسٰطيرُ الأَوَّلينَ

Dan mereka berkata: “Dongengan-dongengan orang-orang dahulu, 

Kemudian ada yang mengatakan pula yang Qur’an itu adalah cerita-cerita dongeng dahulu kala yang tidak boleh dipercayai. Macam kita lah sekarang, kalau kita kata kisah dongeng, ia sesuatu yang tidak boleh dipercayai. Maka mereka seolah-olah hairan, kenapakah manusia banyak yang terpersona dengannya….?

 

اكتَتَبَها

dimintanya supaya dituliskan,

Mereka tambah lagi dengan idea lain yang tiada asas: mereka kata ada orang yang menuliskannya untuk baginda. Iaitu mereka kata Rasulullah upah seseorang untuk menulis Qur’an untuk baginda.

Atau baginda upah orang untuk salin dari kitab-kitab yang dahulu dan katanya ia dari Allah.

فَهِيَ تُملىٰ عَلَيهِ بُكرَةً وَأَصيلًا

maka dibacakanlah dongengan itu kepadanya setiap pagi dan petang”.

Mereka kata ada orang yang membacakan Qur’an itu untuk baginda pagi dan petang. Makananya, mereka kata baginda suruh orang tuliskan, kemudian bacakan kepada baginda supaya baginda boleh hafal dan kemudian baginda ceritakan balik kepada orang lain.

Mereka kata orang yang menulis itu tidak tulis penuh, tapi sedikit demi sedikit dan kerana itu baginda beri sedikit demi sedikit sahaja, mengambil masa 23 tahun.

Sebenarnya memang Qur’an itu telah tertulis pun; iaitu ditulis oleh Allah dan memang ada yang membacakannya kepada baginda iaitu Jibrail. Kita tidak tolak sepenuhnya hujah mereka itu. Jadi tohmahan mereka ini sebenarnya tidaklah jauh lari dari kebenaran. Cuma kita tidaklah kata manusia yang tulis dan bacakan kepada baginda – kita kata: Allah yang tuliskan dan dibacakan kepada baginda oleh Jibrail.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 025: Furqan. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s