Tafsir Surah an-Nur Ayat 32 – 33 (Layanan kepada hamba abdi)

Ayat 32: Ini adalah hukum yang keempat.  Dianjurkan lelaki untuk mengahwini wanita yang bersendirian, lebih-lebih lagi yang sudah pernah berkahwin (janda).

وَأَنكِحُوا الأَيٰمىٰ مِنكُم وَالصّٰلِحينَ مِن عِبادِكُم وَإِمائِكُم ۚ إِن يَكونوا فُقَراءَ يُغنِهِمُ اللهُ مِن فَضلِهِ ۗ وَاللهُ وٰسِعٌ عَليمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And marry the unmarried among you and the righteous among your male slaves and female slaves. If they should be poor, Allāh will enrich them from His bounty, and Allāh is all-Encompassing and Knowing.

(MELAYU)

Dan kahwinkanlah orang-orang yang sendirian diantara kamu, dan orang-orang yang layak (berkawin) dari hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan hamba-hamba sahayamu yang perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memampukan mereka dengan kurnia-Nya. Dan Allah Maha luas (pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui.

 

وَأَنكِحُوا الأَيٰمىٰ مِنكُم

Dan kahwinkanlah orang-orang yang sendirian diantara kamu,

Al-Ayama adalah bentuk jamak dari ayyimun. Kata ini dapat ditujukan kepada lelaki dan wanita yang tidak punya pasangan hidup, samada dia pernah kahwin ataupun belum. Demikianlah menurut pendapat Al-Jauhari yang dia nukil dari ahli lughah (bahasa). Dikatakan rajulun ayyimun dan imra-tun ayyimun, artinya lelaki yang tidak beristeri dan wanita yang tidak bersuami.

Jangan biarkan wanita dan lelaki bersendirian lama-lama. Kalau ada anak dara yang sudah cukup umur, carikan lelaki yang sesuai untuk mereka. Dan kalau ada anak teruna, suruh mereka kahwin dengan segera. Masalah kalau dah dewasa tapi tidak kahwin lagi. Ini kerana hormon lelaki dan perempuan akan menyebabkan keinginan menggelojak kepada hubungan kelamin. Kalau ia tidak dipenuhi, maka ada masalah pula nanti.

Dan begitu juga dengan janda. Pastikan janda kahwin semula. Mereka juga ada keinginan dan kalau mereka dibiarkan sahaja keseorangan, pun boleh ada masalah nanti. Kerana mereka sudah merasa hubungan kelamin dan mereka masih memerlukannya. Kerana itulah kadang-kadang para isteri takut kalau suami mereka rapat dengan janda.

Tidak ada kekurangan kalau kahwin dengan janda. Memang mereka pernah bercerai tapi itu bukan masalah. Orang kita sahaja yang jadikan perceraian ini sebagai stigma sedangkan ia bukan haram dan kadang tak dapat dielak. Mungkin pasangan itu dahulu tidak sesuai. Maka kena cari padanan yang lain untuk mereka. Tapi ramai kita pandang serong pada mereka.

Maka permudahkanlah urusan perkahwinan orang lelaki dan perempuan ini. Malangnya masyarakat kita ada mentaliti menyusahkan urusan kahwin. Kalau ada anak-anak muda yang hendak berkahwin, mereka akan halang. Disuruhnya budak-budak itu bekerja lama sikit, berkawan dulu lelaki dan perempuan, pergi dating dulu supaya kenal, buat itu dan ini dahulu. Ini adalah suruhan yang bodoh diberikan oleh ibubapa yang jahil.

Ayat ini merupakan perintah untuk kahwin. Segolongan ulama berpendapat bahawa setiap orang yang mampu kahwin diwajibkan melakukannya. Mereka berpegang kepada makna lahiriah hadis Nabi Saw. yang berbunyi:

“يَا مَعْشَرَ الشَّبَابِ، مَنِ اسْتَطَاعَ مِنْكُمُ الْبَاءَةَ فَلْيَتَزَوَّجْ، فَإِنَّهُ أَغَضُّ لِلْبَصَرِ، وَأَحْصَنُ لِلْفَرْجِ، وَمَنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَعَلَيْهِ بِالصَّوْمِ فَإِنَّهُ لَهُ وِجَاءٌ”

Hai para pemuda, barang siapa di antara kalian yang mampu menanggung biaya perkahwinan, maka hendaklah ia kahwin. Kerana sesungguhnya kahwin itu lebih menundukkan pandangan mata dan lebih memelihara kemaluan. Dan barang siapa yang tidak mampu, hendaklah ia berpuasa, kerana sesungguhnya puasa itu dapat dijadikan peredam (berahi) baginya. Hadis diketengahkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim di dalam kitab sahihnya masing-masing melalui hadis Ibnu Mas’ud.

 

وَالصّٰلِحينَ مِن عِبادِكُم وَإِمائِكُم

dan orang-orang yang layak (berkawin) dari hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan hamba-hamba sahayamu yang perempuan. 

Kahwinkan juga hamba-hamba yang ada keinginan untuk berkahwin. Mereka pun ada keinginan juga.

 

إِن يَكونوا فُقَراءَ يُغنِهِمُ اللهُ مِن فَضلِهِ

Jika mereka miskin, Allah akan memampukan mereka dengan kurnia-Nya. 

Mungkin mereka susah dan rasanya macam susah untuk melansungkan perkahwinan. Allah beritahu, jangan risau. Mereka mungkin hidup susah apabila bersendirian tetapi Allah berjanji yang apabila mereka berkahwin, Allah akan cukupkan untuk mereka daripada segi keperluan mereka. Janji kahwin sahaja dahulu.

Telah diriwayatkan dari Al-Lais, dari Muhammad ibnu Ajian, dari Sa’id Al-Maqbari, dari Abu Hurairah r.a. yang berkata bahwa Rasulullah saw. pernah bersabda:

“ثَلَاثَةٌ حَقٌّ عَلَى اللَّهِ عَوْنهم: النَّاكِحُ يُرِيدُ الْعَفَافَ، والمكاتَب يُرِيدُ الْأَدَاءَ، وَالْغَازِي فِي سَبِيلِ اللهِ”

Ada tiga macam orang yang berhak memperoleh pertolongan dari Allah, yaitu orang yang nikah kerana menghendaki kesucian, budak mukaatab yang bertekad melunasinya, dan orang yang berperang di jalan Allah. Hadis riwayat imam Ahmad, Imam Turmuzi, Imam Nasai, dan Imam Ibnu Majah.

 

وَاللهُ وٰسِعٌ عَليمٌ

Dan Allah Maha luas (pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui.

Allah maha mengetahui siapa yang patut diberi dengan limpahan kurnia. Allah tahu apa yang manusia perlukan.

Nabi Saw. pernah mengahwinkan lelaki yang tidak mempunyai apa-apa selain sehelai kain sarung yang dipakainya dan tidak mampu membayar maskawin cincin dari besi sekalipun. Tetapi walaupun demikian, baginda Saw. mengahwinkannya dengan seorang wanita dan menjadikan maskahwinnya bahawa dia harus mengajari isterinya Al-Qur’an yang telah dihafalnya. Kebiasaannya, berkat kemurahan dari Allah Swt. dan belas kasih-Nya, pada akhirnya Allah memberinya rezeki yang dapat mencukupi kehidupan dia dan istrinya.


 

Ayat 33:

وَليَستَعفِفِ الَّذينَ لا يَجِدونَ نِكاحًا حَتّىٰ يُغنِيَهُمُ اللهُ مِن فَضلِهِ ۗ وَالَّذينَ يَبتَغونَ الكِتٰبَ مِمّا مَلَكَت أَيمٰنُكُم فَكاتِبوهُم إِن عَلِمتُم فيهِم خَيرًا ۖ وَءآتوهُم مِّن مّالِ اللهِ الَّذي ءآتٰكُم ۚ وَلا تُكرِهوا فَتَيٰتِكُم عَلَى البِغاءِ إِن أَرَدنَ تَحَصُّنًا لِّتَبتَغوا عَرَضَ الحَيَوٰةِ الدُّنيا ۚ وَمَن يُكرِههُنَّ فَإِنَّ اللهَ مِن بَعدِ إِكرٰهِهِنَّ غَفورٌ رَّحيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But let them who find not [the means for] marriage abstain [from sexual relations] until Allāh enriches them from His bounty. And those who seek a contract [for eventual emancipation] from among whom your right hands possess¹ – then make a contract with them if you know there is within them goodness and give them from the wealth of Allāh which He has given you. And do not compel your slave girls to prostitution, if they desire chastity, to seek [thereby] the temporary interests of worldly life. And if someone should compel them, then indeed, Allāh is [to them], after their compulsion, Forgiving and Merciful.

  • i.e., those slaves who desire to purchase their freedom from their owners for a price agreed upon by both.

(MELAYU)

Dan orang-orang yang tidak mampu kahwin hendaklah menjaga kesucian (diri)nya, sehingga Allah memampukan mereka dengan kurunia-Nya. Dan hamba-hamba yang kamu miliki yang memginginkan perjanjian, hendaklah kamu buat perjanjian dengan mereka, jika kamu mengetahui ada kebaikan pada mereka, dan berikanlah kepada mereka sebahagian dari harta Allah yang dikurniakan-Nya kepadamu. Dan janganlah kamu paksa hamba-hamba wanitamu untuk melakukan pelacuran, sedang mereka sendiri mengingini kesucian, kerana kamu hendak mencari keuntungan duniawi. Dan barangsiapa yang memaksa mereka, maka sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang (kepada mereka) sesudah mereka dipaksa itu.

 

وَليَستَعفِفِ الَّذينَ لا يَجِدونَ نِكاحًا

Dan orang-orang yang tidak mampu kahwin hendaklah menjaga kesucian (diri)nya, 

Untuk mereka yang tidak ada kemampuan lagi untuk bernikah, maka mereka kena jaga kesucian diri mereka dari melakukan pernizaan. Kalimah وَليَستَعفِفِ bermaksud cuba jaga diri dengan elak dari benda-benda bahaya yang boleh menjerumuskan mereka ke lembah perzinaan. Ini adalah kerana syaitan akan cuba untuk menyebabkan manusia jatuh ke dalam kehinaan.

 

حَتّىٰ يُغنِيَهُمُ اللهُ مِن فَضلِهِ

sehingga Allah memampukan mereka dengan kurunia-Nya.

Jagalah kesucian diri mereka sehingga Allah bantu mereka dengan berikan kemampuan untuk mereka. Tawakallah kepada Allah kerana Allah akan bantu mereka nanti.

Maka kerana itu mereka kena jaga pandangan mata mereka. Kalau seorang lelaki yang ada isteri, kalau dia ternampak wanita yang meransangnya, bolehlah dia balik ke rumah untuk melampiaskan syahwatnya kepada isterinya. Tapi kalau seorang lelaki bujang, kenalah dia tahan dirinya. Bersabarlah sehingga Allah beri kemudahan untuk berkahwin.

 

وَالَّذينَ يَبتَغونَ الكِتٰبَ مِمّا مَلَكَت أَيمٰنُكُم فَكاتِبوهُم

Dan hamba-hamba yang kamu miliki yang memginginkan perjanjian, hendaklah kamu buat perjanjian dengan mereka, 

Ini pula hukum berkenaan hamba yang ada keinginan untuk bebaskan diri mereka dari belenggu perhambaan. Islam mengajar tuan hamba untuk memberi peluang itu kepada mereka. Bukanlah Islam yang memulakan perhambaan tapi Islam mewarisi perhambaan yang telah ada turun temurun. Tapi agama Islam memberi banyak peluang untuk pembebasan hamba.

Salah satunya, hamba dibenarkan untuk berbincangan dengan tuan mereka untuk perancangan membebaskan mereka pada satu masa tertentu. Mereka itu dipanggil mukaatabah. Mereka boleh buat perjanjian dengan tuan mereka, kalau mereka boleh bayar sekian-sekian banyak, maka tuannya itu berjanji untuk membebaskan mereka. Dalam ertikata lain, mereka boleh ‘beli’ kebebasan mereka.

 

إِن عَلِمتُم فيهِم خَيرًا

jika kamu mengetahui ada kebaikan pada mereka, 

Allah suruh tuan hamba untuk beri peluang itu kalau nampak ada kebaikan untuk mereka. Kena lihat juga kerana golongan yang hamba ini tiada tamadun. Mereka telah lama dalam perhambaan dan fikiran mereka tidak seperti fikiran orang yang lahir dari kemerdekaan. Mereka telah lama bergantung kepada tuan mereka dan mungkin mereka tidak dapat berdikari kalau mereka diberi kebebasan pun. Mungkin mereka akan buat kerosakan kalau mereka tidak bertuan lagi. Jadi kena tengok samada mereka tidak buat kacau dalam masyarakat. Kerana ada yang tak sedia lagi. Maka tuan hamba itu kena nilai sendiri.

 

وَءآتوهُم مِّن مّالِ اللهِ الَّذي ءآتٰكُم

dan berikanlah kepada mereka sebahagian dari harta Allah yang dikurniakan-Nya kepadamu.

Untuk mereka bayar tuan mereka, maka mereka tentunya memerlukan kewangan. Maka Allah ajar untuk tuan itu beri bahagian dari kerja-kerja mereka. Mungkin tuannya itu berniaga dan dalam perniagaan itu, hamba itu membantu. Maka bolehlah untuk tuan itu berikan upah kepada hamba itu untuk dia kumpul harta untuk bebaskan diri mereka. Mudahkanlah bagi mereka untuk berusaha membebaskan diri mereka.

Allah ingatkan yang rezeki itu dari Dia juga. Maka pakat-pakat tolong hamba itu untuk membebaskan diri mereka.

 

وَلا تُكرِهوا فَتَيٰتِكُم عَلَى البِغاءِ إِن أَرَدنَ تَحَصُّنًا

Dan janganlah kamu paksa hamba-hamba wanitamu untuk melakukan pelacuran, sedang mereka sendiri mengingini kesucian,

Jangan ambil peluang atas hamba perempuan yang kamu ada dengan menjadikan hamba perempuan itu sebagai pelacur. Dulu perkara ini biasa dilakukan dimana tuan hamba itu jagi ‘bapa ayam’ dengan memperniagakan tubuh hamba perempuan itu. Mereka buat duit dengan cara itu. Lebih-lebih lagi apabila mereka hendak menjaga kesucian mereka. Kerana mereka tidak mahu melakukan perkara itu, maka kamu telah menyalahguna mereka untuk kepentingan kamu sahaja.

 

لِّتَبتَغوا عَرَضَ الحَيَوٰةِ الدُّنيا

kerana kamu hendak mencari keuntungan duniawi.

Allah larang manusia mendapatkan keuntungan dengan cara pelacuran hamba itu. Perbuatan itu menggalakkan pelacuran bermaharajalela.

Sebelum ini telah disebut untuk mengahwinkan hamba-hamba. Ini kerana kalau tidak izinkan wanita hamba yang sudah cukup umur itu berkahwin, maka itu pun boleh menyebabkan terjadinya perzinaan. Kerana dia pun berhajat kepada lelaki kerana dia pun manusia biasa juga. Oleh kerana itu, kalau tidak dikahwinkan, mereka itu akan terima sahaja mana-mana lelaki yang hendak berjinak dengan mereka dan itu sudah menjadi seperti pelacur.

 

وَمَن يُكرِههُنَّ فَإِنَّ اللهَ مِن بَعدِ إِكرٰهِهِنَّ غَفورٌ رَّحيمٌ

maka sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang (kepada mereka) sesudah mereka dipaksa itu.

Ada hamba wanita yang tidak ada pilihan apabila mereka dipaksa menjadi pelacur. Mereka tidak mahu, tapi kerana mereka hamba yang lemah, mereka terpaksa ikut. Kepada mereka ini, tidak ada dosa atas mereka kerana Allah tahu yang mereka terpaksa menurut perintah tuan mereka.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 024: an-Nur. Bookmark the permalink.

One Response to Tafsir Surah an-Nur Ayat 32 – 33 (Layanan kepada hamba abdi)

  1. Pingback: Tafsir Surah an-Nur Ayat 32 – 33 (Layanan kepada hamba abdi)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s