Tafsir Surah an-Nur Ayat 21 – 23 (Sumpah Abu Bakr)

Ayat 21:

۞ يا أَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا لا تَتَّبِعوا خُطُوٰتِ الشَّيطٰنِ ۚ وَمَن يَتَّبِع خُطُوٰتِ الشَّيطٰنِ فَإِنَّهُ يَأمُرُ بِالفَحشاءِ وَالمُنكَرِ ۚ وَلَولا فَضلُ اللهِ عَلَيكُم وَرَحمَتُهُ ما زَكىٰ مِنكُم مِّن أَحَدٍ أَبَدًا وَلٰكِنَّ اللهَ يُزَكّي مَن يَشاءُ ۗ وَاللهُ سَميعٌ عَليمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O you who have believed, do not follow the footsteps of Satan. And whoever follows the footsteps of Satan – indeed, he enjoins immorality and wrongdoing. And if not for the favor of Allāh upon you and His mercy, not one of you would have been pure, ever, but Allāh purifies whom He wills, and Allāh is Hearing and Knowing.

(MELAYU)

Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. Barangsiapa yang mengikuti langkah-langkah syaitan, maka sesungguhnya syaitan itu menyuruh mengerjakan perbuatan yang keji dan yang mungkar. Sekiranya tidaklah kerana kurnia Allah dan rahmat-Nya kepada kamu sekalian, niscaya tidak seorangpun dari kamu bersih (dari perbuatan-perbuatan keji dan mungkar itu) selama-lamanya, tetapi Allah membersihkan sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

 

يا أَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا لا تَتَّبِعوا خُطُوٰتِ الشَّيطٰنِ

Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. 

Jangan ikut jejak langkah syaitan. Jangan buat tohmah macam yang dilakukan oleh syaiatan. Kerja syaitan memang untuk menghebohkan perkara-perkara yang keji di kalangan manusia. Merekalah yang menghasut untuk mengatakan perkara yang buruk tentang orang yang beriman.

 

وَمَن يَتَّبِع خُطُوٰتِ الشَّيطٰنِ فَإِنَّهُ يَأمُرُ بِالفَحشاءِ وَالمُنكَرِ

Barangsiapa yang mengikuti langkah-langkah syaitan, maka sesungguhnya syaitan itu menyuruh mengerjakan perbuatan yang keji dan yang mungkar. 

Syaitan memang tidak ada suruh buat benda baik melainkan segala yang dia suruh itu adalah benda buruk sahaja. Syaitan sentiasa bisikkan perkara yang buruk maka jangan ikut arahan syaitan itu. Kalau kita  mula dengar bisikan syaitan, lama-lama kita akan dikawalnya. Mula-mula syaitan hanya boleh pujak dan mengajak sahaja; tapi kalau selalu sangat ikut, syaitan dah dapat kuasa untuk memberi ‘arahan’ pula kepada kita. Itu sudah teruk kalau syaitan sampai sudah boleh bagi arahan dah. Waktu itulah manusia seolah-olah tidak dapat kawal diri dia lagi. Kalau kita tanya dia kenapa dia buat perkara yang salah, dia akan jawap: “aku terpaksa buat, tak dapat halang diri aku”. Itu maknanya dah terus sangat dah. Dia sudah dalam kawalan syaitan.

المُنكَرِ adalah jenis kesalahan yang tak pernah didengari sebelum itu. Maka ianya adalah benda pelik. Kalau seseorang itu mula buat الفَحشاءِ, ada kemungkinan dia akan mula perkara buruk yang orang tak pernah buat pun. Ini adalah kerana syaitan akan beri idea-idea baru kepada mereka yang ikut bisikan syaitan. Kerana itu kadangkala kita dengar perbuatan manusia yang pelik-pelik. Kita pun kata: “hebat betul, dulu tidak ada pun orang buat begini….”.

 

وَلَولا فَضلُ اللهِ عَلَيكُم وَرَحمَتُهُ ما زَكىٰ مِنكُم مِّن أَحَدٍ أَبَدًا

Sekiranya tidaklah kerana kurnia Allah dan rahmat-Nya kepada kamu sekalian, niscaya tidak seorangpun dari kamu bersih (dari perbuatan-perbuatan keji dan mungkar itu) selama-lamanya,

Allah ulang lagi kalimah وَلَولا فَضلُ اللهِ عَلَيكُم وَرَحمَتُهُ seperti dalam ayat 16 dan 20. Tapi kali ini Allah sebut dengan kesannya sedangkan dalam ayat 16 dan 20 itu Allah biarkan tergantung sahaja.

Allah beritahu Dia sebenarnya tolong kita. Kerana kalau bukan kerana kurnia dan rahmatNya, tentu tidak ada sesiapa yang boleh lawan syaitan. Kalau Allah tak bantu, semua manusia ikut syaitanlah jawapnya. Tapi Allah bantu dengan beri kekuatan kepada kita untuk menolaknya.

Allah bantu dengan beri iman kepada kita kerana kalau tanpa iman, tentu akan gagal untuk jaga kemaluan. Allah juga bantu dengan beri taufik kepada kita untuk melawan bisikan syaitan. Dan untuk dapat iman dan taufik ini, kenalah ada usaha dan doa. Mintalah taufik kepada Allah dan tingkatkan iman kita dengan melakukan ibadat terutamanya dengan solat. Kerana solat tolak fahsya dan munkar seperti disebut dalam ayat lain.

إِنَّ الصَّلَاةَ تَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاء وَالْمُنكَرِ

Sesungguhnya salat itu mencegah dari (perbuatan-perbuatan) keji dan munkar.

 

وَلٰكِنَّ اللهَ يُزَكّي مَن يَشاءُ

tetapi Allah membersihkan sesiapa yang dikehendaki-Nya. 

Allah bersihkan dosa sesiapa yang Dia kehendaki – Allah yang pilih. Yang dimaksudkan adalah Allah beri taufiq yang mengetuk pintu hati seseorang itu untuk bertaubat. Dan kerana itu jikalau ada keinginan untuk bertaubat dalam hati kita, ketahuilah kita bahawa itu adalah taufiq daripada Allah. Kalau Allah yang telah ketuk pintu hati kita untuk bertaubat, maksudnya Allah sudah sedia untuk terima taubat kita.

Maka kalau tengah berjalan dan tengah bawa kereta, tiba-tiba teringat dosa kita, maka teruslah bertaubat waktu itu kerana Allah sedang beri peringatan kepada kita untuk bertaubat.

 

وَاللهُ سَميعٌ عَليمٌ

Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

Allah Maha Mendengar taubat yang diucapkan oleh mulut seseorang itu dan Allah Maha Mengetahui ikhlas atau tidak hati seseorang itu dalam bertaubat. Kerana mulut boleh mengucap istighfar, tetapi kita tidak tahu sama ada dalam hati seseorang itu memang ada keinginan untuk membersihkan dirinya atau tidak. Kita tidak tahu, tapi Allah tahu.


 

Ayat 22: Ayat ini berkenaan Abu Bakr, ayah kepada Aisyah yang dituduh telah melakukan zina itu

وَلا يَأتَلِ أُولُو الفَضلِ مِنكُم وَالسَّعَةِ أَن يُؤتوا أُولِي القُربىٰ وَالمَسٰكينَ وَالمُهٰجِرينَ في سَبيلِ اللهِ ۖ وَليَعفوا وَليَصفَحوا ۗ أَلا تُحِبّونَ أَن يَغفِرَ اللهُ لَكُم ۗ وَاللهُ غَفورٌ رَّحيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And let not those of virtue among you and wealth swear not to give [aid] to their relatives and the needy and the emigrants for the cause of Allāh, and let them pardon and overlook. Would you not like that Allāh should forgive you? And Allāh is Forgiving and Merciful.

(MELAYU)

Dan janganlah orang-orang yang mempunyai kelebihan dan kelapangan di antara kamu bersumpah bahawa mereka (tidak) akan memberi (bantuan) kepada kaum kerabat(nya), orang-orang yang miskin dan orang-orang yang berhijrah pada jalan Allah, dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada. Apakah kamu tidak ingin bahawa Allah mengampunimu? Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang,

 

وَلا يَأتَلِ أُولُو الفَضلِ مِنكُم وَالسَّعَةِ

Dan janganlah orang-orang yang mempunyai kelebihan dan kelapangan di antara kamu bersumpah

Allah tegur Abu Bakr dalam ayat ini. Kalimah يَأتَلِ dari أ ل و yang bermaksud bersumpah untuk tidak melakukan sesuatu. Beliau telah bersumpah untuk tidak menolong seseorang. Apakah kisahnya? Tapi sebelum itu kita kena selami hati Abu Bakr.

Tentu dia sedih bila anak dia kena tuduh. Tambah pula dia adalah seorang yang ada iman yang amat tinggi. Kalau dia tidak ada iman, mungkin dia tak kisah pun. Dan yang dituduh itu anaknya sendiri dan tambahan pula isteri kepada Rasulullah. Jadi tentulah dia amat terkesan dengan tohmahan itu.

Abu Bakr adalah seorang yang kaya dan amat pemurah. Kerana itu beliau dikatakan dalam ayat ini sebagai seorang yang mempunyai ‘kelebihan dan keluasan’. Ini merujuk kepada kekayaan yang Allah telah berikan kepadanya

‘Keluasan’ yang dimaksudkan ini tidak semestinya hanya menyebut tentang keluasan di dalam harta sahaja. Tetapi kepada Abu Bakar ini beliau mempunyai berbagai-bagai kelebihan dan keluasan dari segi ilmu, kesabaran, hati yang baik dan macam-macam lagi dan kerana itu beliau selalu dipuji di dalam Qur’an dan juga di dalam hadis Nabi.

Beliau adalah orang kedua yang disebut di dalam Qur’an semasa baginda di dalam gua bersama Abu Bakar (semasa lari berhijrah ke Mekah dan waktu itu mereka dikejar) dan ini adalah tepat kerana Abu Bakar juga adalah orang yang kedua beriman selepas Rasulullah.

 

أَن يُؤتوا أُولِي القُربىٰ وَالمَسٰكينَ وَالمُهٰجِرينَ في سَبيلِ اللهِ

bahawa mereka (tidak) akan memberi (bantuan) kepada kaum kerabat(nya), orang-orang yang miskin dan orang-orang yang berhijrah pada jalan Allah,

Maka tentulah beliau amat marah kepada mereka yang menyampaikan kisah palsu ini. Kalau anak kita kena tuduh pun kita akan marah juga.

Ada tiga golongan yang disebut di dalam ayat ini iaitu ‘kaum kerabat’, orang yang ‘miskin’ dan ‘Muhajirin’. Dan walaupun nampak seperti menyebut tiga golongan tetapi dari Asbabun Nuzul ayat ini ia menceritakan tentang orang yang sama kerana dia mempunyai ketiga-tiga sifat ini.

Walaupun dia telah mengatakan sesuatu yang tidak baik terhadap anak Abu Bakar tetapi Allah memberitahu yang dia adalah seorang Muhajirin dan kerana itu adalah satu kriteria yang besar maka Allah mengingatkan kepada Abu Bakar untuk buka hati beliau untuk memaafkan orang itu.

Yang dimaksudkan adalah seorang mukmin yang bernama Mistah. Beliau sebenarnya adalah sepupu Abu Bakr pun. Dan Abu Bakr selalu menolongnya dan Mistah banyak bergantung kepada Abu Bakr dalam kehidupannya.

Walaupun Mistah ini seorang Muslim (bukan munafik) tapi dia ada juga bercakap tentang tuduhan ini dan memperbesarkan perkara ini dengan menyampaikannya kepada orang lain. Maka tentulah Abu Bakr marah dengan perbuatannya itu.

Tapi lihatlah, walaupun Abu Bakr memang marah, dia tidak hendak mencederakan Mistah itu (kalau kita, mungkin dah lakukan sesuatu yang seumpamana itu). Abu Bakr cuma buat keputusan untuk tidak lagi tolong Mistah selepas itu. Kalau difikirkan, ini adalah seringan-ringan tindakan yang boleh dikenakan. Dan kita boleh faham perkara ini kerana memang Abu Bakr seorang yang berhati lembut.

Tetapi Allah menegur Abu Bakar di dalam ayat ini supaya jangan bersumpah untuk tidak membantu orang lain.

Tambahan pula kerana Mistah itu telah bertaubat dan telah dirotan sebanyak 80 kali.

 

وَليَعفوا وَليَصفَحوا

dan hendaklah mereka memaafkan dan lupakanlah.

Afuw bermaksud memaafkan seseorang tanpa mengenakan hukuman kepada orang itu. Sebenarnya Abu Bakar tidak menghukum Mistah kerana beliau cuma tidak mahu menolongnya sahaja selepas dan itu bukanlah hukuman dalam erti kata yang sebenarnya. Tetapi kerana ketinggian budi Abu Bakar itu maka Allah memberi isyarat bahawa dengan tidak membantu pun sudah dikira satu hukuman dari Abu Bakar.

Afuw bermaksud memaafkan tetapi tidak bermakna yang orang itu tidak melupakan apa yang telah dilakukan kepadanya kerana bukankah kadang-kadang kita memaafkan orang tetapi kita simpan di dalam hati kita perasaan marah itu? Kita simpan dalam hati sampaikan ia mengganggu perhubungan kita dengan orang itu dan tidak sama seperti dahulu lagi.

Maka Allah tambah di dalam ayat ini untuk وَليَصفَحوا (lupakanlah). Kalimah ini asalnya bermaksud ‘tukar muka surat’ iaitu apabila kita sedang membaca dan selak mukasurat lain (kerana itu buku juga dipanggil ‘mushaf’ kerana ia boleh diselak-selak); dan apabila kita tukar pindah muka surat itu kita tidak melihat lagi muka surat yang sebelumnya. Maksudnya dalam ayat ini, Allah suruh lupakan terus kesalahan yang telah dilakukan dan jangan diingat-ingat lagi. Buat seperti orang itu tidak pernah lakukan kesalahan itu

Allah memberi isyarat di dalam ayat ini bahawa memang orang-orang yang rapat dengan kita berkemampuan untuk menyakiti hati kita kerana mereka itu rapat dengan kita. Perbuatan orang yang rapat dengan kitalah yang selalunya lebih menyakitkan hati kita, bukan?

 

أَلا تُحِبّونَ أَن يَغفِرَ اللهُ لَكُم

Apakah kamu tidak ingin bahawa Allah mengampunimu? 

Memaafkan dan melupakan perbuatan salah dari kaum keluarga sendiri memang amat berat dan kerana itu Allah memberikan insentif di dalam ayat ini. Iaitu Allah memberitahu yang sesiapa yang sanggup untuk memaafkan dan melupakan, maka Allah akan memaafkan dia juga. Kamu tidak sukakah kalau Allah ampunkan dosa kamu? Maka kena bayangkan waktu itu: adakah kemarahan kita lebih besar daripada keinginan kita kepada pengampunan dari Allah? Fikirkan sendiri. Tentulah keampunan dari Allah itu lebih besar.

Maka selepas ayat ini dibacakan kepada Abu Bakar, beliau dengan rela hati memaafkan dan melupakan kesalahan yang dilakukan oleh sepupunya itu. Dan perkara ini hanya boleh dilakukan oleh orang yang mempunyai iman yang tinggi kerana memerlukan iman yang tinggi untuk percaya kepada janji Allah itu. Allah mengajar di dalam ayat ini bahawa jikalau seseorang itu sanggup untuk memaafkan orang lain, maka Allah pun akan sanggup untuk memaafkan dosanya.

 

وَاللهُ غَفورٌ رَّحيمٌ

Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang,

Dan Allah mengingatkan SifatNya yang Maha Pengampun di dalam ayat ini. Jangan pula kita sangka yang ayat ini hanya untuk Abu Bakr sahaja kerana bahasa yang digunakan bersifat umum, maka kita kena mengambil pengajaran dari ayat ini dan kita menggunakannya di dalam kehidupan kita. Cuma Asbabun Nuzul ayat ini adalah kisah Abu Bakr.

Maka eloklah kita memaafkan orang lain yang melakukan kesalahan kepada kita kerana jikalau kita tidak maafkan maka kita kena berurusan dengan orang itu di Mahsyar kelak dan ini akan menyebabkan kita lambat masuk syurga pula. Dah serabut di sana pula untuk dibicarakan, dilakukan pemindahan pahala dan sebagainya – kan susah? Maka maafkan sahaja dan balasannya Allah akan ampunkan dosa kita.


 

Ayat 23: Takhwif Ukhrawi dan Duniawi.

إِنَّ الَّذينَ يَرمونَ المُحصَنٰتِ الغٰفِلٰتِ المُؤمِنٰتِ لُعِنوا فِي الدُّنيا وَالآخِرَةِ وَلَهُم عَذابٌ عَظيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, those who [falsely] accuse chaste, unaware and believing women are cursed in this world and the Hereafter; and they will have a great punishment

(MELAYU)

Sesungguhnya orang-orang yang menuduh wanita yang baik-baik, yang lengah lagi beriman (berbuat zina), mereka kena laknat di dunia dan akhirat, dan bagi mereka azab yang besar,

 

إِنَّ الَّذينَ يَرمونَ المُحصَنٰتِ

Sesungguhnya orang-orang yang menuduh wanita yang baik-baik,

Allah mengingatkan kepada manusia lagi tentang bahayanya membuat tuduhan yang palsu terhadap wanita المُحصَناتِ iaitu yang bermaruah. Mereka ini adalah orang yang baik-baik dan tidak terfikir untuk berbuat dosa

 

الغٰفِلٰتِ

yang lengah

Mereka tidak tahu pun orang memperkatakan tentang hal mereka. Dalam kes Aisyah ini beliau tidak tahu pun yang beliau dituduh sehinggalah sebulan kemudian barulah beliau mendapat maklumat itu. Waktu itu orang dah bising dan kecoh dah. Tapi kerana dia tidak sihat selepas kejadian balik dari peperangan itu, beliau duduk di rumah sahaja dan tidak berjumpa dengan orang. Dan orang pun tidak sampai hati nak ceritakan kepadanya.

 

المُؤمِنٰتِ

dan beriman 

Jangan tuduh orang beriman melakukan perkara buruk. Melainkan ada bukti. Kita kena ada sangka baik kepada orang beriman. Dan Aisyah itu pula adalah Ummahatul Mu’minin (ibu kaum mukmin), maka tentulah dia berlebih-lebih lagi.

 

لُعِنوا فِي الدُّنيا وَالآخِرَةِ

mereka kena laknat di dunia dan akhirat, 

Hukuman yang dikenakan kepada mereka yang membuat tuduhan palsu itu adalah mendapat laknat Allah semasa di dunia lagi. ‘Laknat’ maksudnya tidak ada peluang dapat rahmat Allah.

 

وَلَهُم عَذابٌ عَظيمٌ

dan bagi mereka azab yang besar,

Dan di akhirat nanti mereka akan dikenakan dengan azab yang amat besar. Begitulah masalah dengan mulut kita ini. Senang sahaja nak kata apa-apa tentang orang lain. Tapi pepatah Melayu pun ada kata: “kerana pulut santan binasa… kerana mulut, badan binasa.”

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 024: an-Nur. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s