Tafsir Surah an-Nur Ayat 11 – 14 (Peristiwa ifk Aisyah)

Ayat 11: Sekarang kita masuk kepada kisah yang amat penting dalam surah ini  iaitu kisah Saidatina Aisyah dan tohmahan terhadapnya. Ayat ini hingga sembilan ayat berikutnya yang jumlah seluruhnya adalah sepuluh ayat diturunkan berkenaan dengan Siti Aisyah Ummul Mukminin r.a. ketika ia dituduh berbuat serong oleh sejumlah orang yang menyiarkan berita bohong dari kalangan orang-orang munafik, padahal berita yang mereka siarkan itu bohong dan dusta belaka serta buat-buatan mereka sendiri.

إِنَّ الَّذينَ جاءو بِالإِفكِ عُصبَةٌ مِّنكُم ۚ لا تَحسَبوهُ شَرًّا لَّكُم ۖ بَل هُوَ خَيرٌ لَّكُم ۚ لِكُلِّ امرِئٍ مِّنهُم مَّا اكتَسَبَ مِنَ الإِثمِ ۚ وَالَّذي تَوَلّىٰ كِبرَهُ مِنهُم لَهُ عَذابٌ عَظيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, those who came with falsehood¹ are a group among you. Do not think it bad for you; rather, it is good for you. For every person among them is what [punishment] he has earned from the sin, and he who took upon himself the greater portion thereof² – for him is a great punishment [i.e., Hellfire].

  • Referring to the incident when the Prophet’s wife ‘.’ishah was falsely accused by the hypocrites.
  • i.e., ‘Abdullāh bin ‘Ubayy, leader of the hypocrites.

(MELAYU)

Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita bohong itu adalah dari golongan kamu juga. Janganlah kamu kira bahاwa berita bohong itu buruk bagi kamu bahkan ia adalah baik bagi kamu. Tiap-tiap seseorang dari mereka mendapat balasan dari dosa yang dikerjakannya. Dan siapa di antara mereka yang mengambil bahagian yang terbesar dalam penyiaran berita bohong itu baginya azab yang besar.

 

إِنَّ الَّذينَ جاءو بِالإِفكِ عُصبَةٌ مِّنكُم

Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita bohong itu adalah dari golongan kamu juga.

Ini tentang kisah tuduhan zina terhadap Saidatina Aisyah. Kita kena tahu latarbelakang kisah ini untuk memahami apakah yang hendak disampaikan.

Ada satu peperangan yang terjadi di antara Perang Ahzab dan Perjanjian Hudaibiyah di mana Aisyah ikut serta dengan rombongan Nabi dalam peperangan itu. Rasulullah Saw. apabila hendak bepergian terlebih dahulu melakukan undian di antara para isterinya. Maka siapa pun di antara mereka yang keluar namanya dalam undian itu, Rasulullah Saw. mem­bawanya pergi.

Saidatina Aisyah duduk di dalam tandu yang diletakkan di atas unta. Ini adalah kerana waktu itu telah diturunkan ayat hijab (isteri Rasulullah kena duduk di balik tabir) dan kerana itu beliau kena duduk dalam tandu. Semasa rombongan itu berhenti rehat, Aisyah telah pergi meninggalkan tandu itu untuk membuang hajat.  Tetapi semasa hendak pulang kembali ke tempat perhentian itu semula setelah selesai menunaikan hajat, beliau perasan yang kalungnya telah hilang, maka dia telah pergi kembali untuk mencarinya.

Apabila telah sekian lama, telah tiba masa untuk meninggalkan tempat dan sahabat-sahabat yang ditugaskan untuk mengangkat tandu Aisyah itu tidak perasan yang Aisyah tidak ada di dalamnya kerana Aisyah itu seorang yang ringan sahaja. Maka apabila mereka angkat tandu naik ke atas unta semula, mereka tidak dapat bezakan berat tandu itu samada Aisyah ada ataupun tidak. Mereka sangka tentulah beliau sudah masuk kerana sudah lama masa berlalu. Aisyah mengatakan, bahawa kaum wanita pada waktu itu bertubuh kurus-kurus, tidak berat dan tidak gemuk, kerana mereka hanya makan sedikit. Dan umur beliau pun muda waktu itu

Dan apabila Aisyah kembali ke tempat perhentian mereka, dia dapati yang rombongan telah berlalu pergi meninggalkan dia keseorangan. Aisyah telah melakukan perkara yang bijak iaitu tunggu di tempat itu dengan tidak pergi ke mana-mana sehinggalah dia tertidur. Kerana kalau dia pergi mencari di tempat lain maka ada kemungkinan yang dia akan sesat dan lagi susah untuk dicari. Dia tahu yang kalau rombongan perasan yang dia tidak ada, tentu mereka akan berpatah balik dan tempat yang cari tentulah tempat perhentian terakhir.

Waktu itu ada seorang sahabat yang ditugaskan untuk menjadi mata-mata untuk melihat kawasan sekeliling. Mungkin ada barang tertinggal dan sebagainya. Namanya Safwan ibnul Mu’attal Az-Zakwani. Dan apabila dia sampai ke tempat itu dia kenal bahawa yang tertidur itu adalah Aisyah. Kerana dia pernah lihat Aisyah sebelum ayat Hijab turun. Waktu itu Aisyah sedang tidur dan Safwan melafazkan istirja’ dengan kuat untuk menyedarkan Aisyah.

Dia telah meletakkan Aisyah di atas unta dan mereka bergerak segera untuk mengejar rombongan Nabi. Safwan tidak bercakap sepatah pun kepada Aisyah  sepanjang perjalanan itu

Mereka akhirnya dapat mengejar rombongan Nabi dan mereka kembali bergabung. Ketua munafik iaitu Abdullah bin Ubai telah melihat perkara ini dan dia nampak ini adalah satu peluang untuk menjatuhkan nama baik Rasulullah kerana dia memang benci kepada baginda dan ahli keluarga baginda.

Dia telah berkata sesuatu yang memberi isyarat tuduhan yang Aisyah telah berzina dengan lelaki itu. Dan perkara ini telah tersebar luas dan menjadi kecoh kerana maruah Rasulullah telah terpalit kerana isterinya sendiri telah dikatakan melakukan perkara terkutuk itu. Dan perkara ini bukan perkara ringan kerana maruah Rasulullah terikat dengan maruah agama Islam juga. Dan Rasulullah amat terkesan dengan perkara ini kerana isterinya yang tercinta telah dituduh begitu.

Aisyah tidak perasan tentang kekecohan itu kerana dia sakit selama sebulan  tapi dia perasan yang Rasulullah tidak melayannya seperti biasa dan hanya datang untuk bertanya khabar sahaja.

Rasulullah sendiri tidak tahu perkara ghaib dan kerana itu baginda tidak tahu sama ada Aisyah memang telah melakukan zina ataupun tidak. Rasulullah Saw. memanggil Ali ibnu Abu Talib dan Usamah ibnu Zaid ketika wahyu datang terlambat dengan maksud meminta pendapat keduanya tentang menceraikan isterinya. Usamah ibnu Zaid hanya mengisyaratkan kepada Rasulullah Saw. menurut apa yang diketahuinya, bahawa isteri baginda adalah wanita yang bersih dari apa yang dituduhkan oleh mereka. Dia adalah orang yang menyukai keluarga Rasulullah Saw. Usamah mengatakan, ‘Wahai Rasulullah, mengenai isterimu, sepanjang pengetahuanku baik-baik saja’ Sedangkan Ali mengatakan ‘Wahai Rasulullah, Allah tidak mempersempit dirimu, wanita selain dia banyak. Dan jika engkau tanyakan kepada si pelayan wanita itu, tentulah dia akan membenarkan berita itu.’ Maka bertambah gelisahlah hati baginda kerana tidak ada kata putus dalam hal ini.

Bayangkan siapakah Aisyah ini? Beliau adalah seorang wanita yang dari kecil dididik oleh Abu Bakar dan telah ditaqdirkan menikah dengan Rasulullah, maka tentulah dia seorang wanita yang bermaruah. Tidak mungkin dia akan melakukan perkara yang sebegini.

Dalam keadaan begini dimana kisah palsu itu telah merebak maka Aisyah di dalam keadaan yang serba salah dan tidak dapat mempertahankan dirinya kerana kalau dia kata dia tidak bersalah, orang tidak percaya. Pada beliau hanya Allah sahaja yang dapat membersihkan namanya. Maka dia telah duduk bersama dengan ibunya buat sementara waktu dan ayat ini turun semasa beliau di rumah ibunya.

Kalimah بِالإِفكِ dari أ ف ك yang  bermaksud melencong daripada jalan yang betul walaupun mereka sudah tahu jalan itu. Iaitu sengaja mencari jalan yang lain daripada jalan yang betul. Macam sedang bermusafir atas highway, tiba-tiba sengaja keluar masuk jalan yang memang tidak dikenali. Dalam konteks ayat ini, ia merujuk kepada tuduhan palsu yang dikenakan kepada Saidatina Aisyah. Mereka tahu yang ianya tidak benar, tapi disebut juga

Allah beritahu yang mereka itu adalah sekumpulan manusia yang bergabung dalam kalangan kamu dan mereka sama-sama mempunyai niat yang sama. Maknanya duduk dalam kelompok yang sama. Kamu pun kenal mereka.

Ia juga bermaksud mereka yang bercakap berita palsu tentang Aisyah itu ada juga dari golongan orang mukmin. Memang yang memulakan berita palsu itu adalah orang munafik tetapi ada tiga orang daripada golongan mukmin yang termakan dengan berita palsu itu.

 

لا تَحسَبوهُ شَرًّا لَّكُم

Janganlah kamu kira bahawa berita bohong itu buruk bagi kamu bahkan ia adalah baik bagi kamu.

Ini ditujukan kepada keluarga Abu Bakr khususnya. Allah beri pujukan – Jangan sangka yang perkara ini buruk bagi kamu kerana sebenarnya ia adalah baik. Ada kebaikan padanya yang mungkin tidak nampak pada awalnya.

Keadaan ini berlanjut sampai hampir satu bulan lamanya. Akhirnya turunlah ayat-ayat Al-Qur’an yang menjelaskan duduk perkara yang sebenarnya. Keterangan mengenai kisah ini secara terperinci ada di dalam hadis-hadis sahih.

Ayat ini juga menunjukkan kelebihan keluarga Abu Bakr. Kerana itulah ketika Siti Aisyah sedang menjelang ajalnya, kemudian Ibnu Abbas masuk menjenguknya, maka Ibnu Abbas berkata menghibur hatinya, “Bergembiralah kamu, sesungguhnya kamu adalah isteri Rasulullah Saw. dan baginda sangat mencintaimu. Baginda belum pernah kahwin dengan seorang perawan selain engkau, dan pembersihan namamu diturunkan dari langit.”

 

بَل هُوَ خَيرٌ لَّكُم

bahkan ia adalah baik bagi kamu. 

Bagaimana pula ia boleh jadi sesuatu yang positif pula? Ini adalah kerana dengan kejadian ini, Allah menurunkan ayat hukum dan ini memberi kebaikan kepada semua manusia. Allah membenarkan perkara itu berlaku kerana Allah hendak menurunkan ayat tentang perkara itu dan menjadi pengajaran sehingga hari kiamat.

Dan walaupun Saidatina Aisyah terseksa jiwanya kerana kejadian ini, tapi kerana dia terlibat dia mendapat pahala berpanjangan.

Oleh kerana Aisyah mengalami dugaan dan kesedihan dengan perkara ini maka setiap kali manusia mengambil pengajaran dari ayat ini dan manusia belajar tentang ayat ini, maka beliau mendapat pahala darinya. Semua yang mengalami kesusahan ini termasuk Abu Bakar dan Rasulullah sendiri mendapat pahala setiap kali ayat ini diajar kepada manusia.

 

لِكُلِّ امرِئٍ مِّنهُم مَّا اكتَسَبَ مِنَ الإِثمِ

Tiap-tiap seseorang dari mereka mendapat balasan dari dosa yang dikerjakannya. 

Setiap mereka yang terlibat dalam menyampaikan tohmahan ini akan mendapat dari bahagian dosa itu. Ini kerana ada juga para sahabat seperti penyair baginda yang bernama Hassan bin Tsabit pun telah terpengaruh dengan perkara ini. Dalam teks hadis yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud disebutkan nama mereka yang dihukum dera, yaitu Hassan ibnu Sabit, Mistah ibnu Asasah, dan Hamnah binti Jahsy. Mereka telah dikenakan dengan hukum hadd kerana kesalahan mereka.

Al-A’masy telah meriwayatkan dari Abud Duha, dari Masruq yang mengatakan bahawa ketika ia sedang berada di rumah Siti Aisyah r.a., tiba-tiba masuklah Hassan ibnu Sabit. Lalu Siti Aisyah memerintahkan agar disediakan bantal duduk untuknya. Setelah Hassan keluar, aku berkata kepada Aisyah, “Mengapa engkau bersikap demikian?” Yakni membiar­kan dia masuk menemuimu. Menurut riwayat lain dikatakan kepada Aisyah, “Apakah engkau mengizinkan orang ini (Hassan) masuk menemuimu? Padahal Allah Swt. telah berfirman: ‘Dan siapa di antara mereka yang mengambil bahagian yang terbesar dalam penyiaran berita bohong itu, baginya azab yang besar.’ (An-Nur: 11)

Siti Aisyah menjawab, “Azab apa lagi yang lebih berat daripada kebutaan?” Sedangkan saat itu kedua mata Hassan ibnu Sabit telah buta, barangkali hal itulah yang dijadikan azab yang hebat baginya oleh Allah Swt. Kemudian Siti Aisyah berkata,” Sesungguhnya dia pernah membela Rasulullah Saw. melalui syairnya.”

Dan kepada Aisyah juga ada bahagian pengajaran untuk beliau. Allah memperbetulkan fahamannya yang terlalu kasih kepada Nabi melebihi yang sepatutnya. Sedangkan manusia hendaklah hanya ada kasih yang khas kepada Allah sahaja. Apabila terjadi peristiwa ini maka sedarlah Aisyah bahawa Nabi Muhammad juga adalah manusia dan beliau tidak boleh berharap kepada baginda sepenuhnya melainkan Aisyah kena berharap sepenuhnya kepada Allah SWT.

Jadi ini adalah pelajaran yang besar kepada umat Islam juga kerana kita tidak boleh mengagungkan Rasulullah sampai ke tahap ketuhanan. Dan memang ada manusia yang jauh daripada wahyu, tetapi terlalu ghuluw dalam sayang kepada baginda sampaikan mereka berdoa kepada baginda dan terlalu mengagungkan baginda melebihi seorang manusia. Mereka puja Nabi melambung tinggi dan ini adalah salah kerana kita hanya boleh memuji baginda sebagaimana yang diajar oleh Allah dan baginda sendiri telah menegur perkara ini dengan tegas dalam hadis-hadis baginda. Tidak boleh memuji lebih dari itu kerana jikalau lebih dari yang sepatutnya, maka ia akan menyebabkan kufur di pihak kita.

Sebagai contoh, pada zaman sekarang pun kita boleh lihat bagaimana umat Islam ada yang bersalawat kepada baginda beramai-ramai dengan suara yang kuat sedangkan perkara ini tidak diajar oleh baginda dan tidak dilakukan oleh para sahabat dan golongan salaf. Sampai berkumpul di stadium dan terkinja-kinja. Kita bukan mengatakan selawat itu salah tetapi cara mereka bersalawat itu yang salah. Sepatutnya kita ucapkan selawat itu dengan nada suara yang lembut sahaja dan buat bersendirian sahaja dan bukan bukan satu suara ramai-ramai.

 

وَالَّذي تَوَلّىٰ كِبرَهُ مِنهُم لَهُ عَذابٌ عَظيمٌ

Dan siapa di antara mereka yang mengambil bahagian yang terbesar dalam penyiaran berita bohong itu baginya azab yang besar.

Dan orang yang paling bertanggungjawab dalam menyebarkan berita palsu ini, iaitu Abdullah bin Ubai akan mendapat balasan azab yang paling besar. Juga termasuk dengan golongan munafik yang memang ada niat jahat terhadap Rasulullah dan keluarga baginda.

Mereka itu adalah golongan munafik yang menunggu sahaja peluang untuk mencemarkan nama Nabi Muhammad dan apabila mereka melihat Aisyah bersama dengan Safwan di dalam perjalanan pulang selepas beliau tertinggal itu, mereka nampak itu adalah peluang keemasan dan mereka tidak tinggalkan.

Ini berbeza dengan golongan yang tidak ada niat jahat, tapi mereka termakan dan tertipu sahaja dengan keadaan. Mereka ini pun berdosa juga tapi tidaklah sebanyak dosa puak yang jahat.


 

Ayat 12: Apakah yang sepatutnya mereka lakukan dulu? Allah tegur mereka.

لَّولا إِذ سَمِعتُموهُ ظَنَّ المُؤمِنونَ وَالمُؤمِنٰتُ بِأَنفُسِهِم خَيرًا وَقالوا هٰذا إِفكٌ مُّبينٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Why, when you heard it, did not the believing men and believing women think good of themselves [i.e., one another] and say, “This is an obvious falsehood”?

(MELAYU)

Mengapa di waktu kamu mendengar berita bohong itu orang-orang mukminin dan mukminat tidak bersangka baik terhadap diri mereka sendiri, dan (mengapa tidak) berkata: “Ini adalah suatu berita bohong yang nyata”.

 

لَّولا إِذ سَمِعتُموهُ

Mengapa di waktu kamu mendengar berita bohong itu

Allah menegur orang-orang mukminin dan mukminat dalam ayat ini: kenapa apabila pertama kali mereka mendengar tentang perkara ini mereka tidak memikirkan kepada kebaikan dengan mengatakan yang ini adalah tohmahan sahaja dan jangan dipanjangkan? Maknanya memang mereka telah melakukan kesalahan

 

ظَنَّ المُؤمِنونَ وَالمُؤمِنٰتُ بِأَنفُسِهِم خَيرًا

orang-orang mukminin dan mukminat tidak bersangka baik terhadap diri mereka sendiri,

Kenapa kamu tidak tutup saja mulut orang-orang yang berkata akan tuduhan yang tidak baik terhadap perempuan yang bermaruah seperti Aisyah itu?

Mukminin dan mukminat yang dimaksudkan di dalam ayat ini adalah tiga orang mukmin: dua lelaki dan seorang perempuan. Nama mereka dalam riwayat adalah Mistah, Hassan dan Hamnah bt Jahshy (adik beradik kepada isteri Nabi iaitu Zainab bt Jahshy). Dia hendak membantu menaikkan saudaranya itu dengan menjatuhkan isteri Rasullullah yang lain.

Allah tegur mereka kenapakah mereka tidak ada sangka baik kepada Aisyah sedangkan tidak ada bukti untuk menghinanya. Kalau nak sangka buruk kepada seseorang pun hendaklah ada bukti dahulu tetapi dalam kes Aisyah ini langsung tidak ada bukti untuk menuduhnya. Sedangkan mereka sama-sama mukmin. Kerana itu digunakan kalimah بِأَنفُسِهِم kerana sama-sama Muslim.

Atau, mengapa pada diri mereka sendiri, seandainya tuduhan seperti itu dilontarkan terhadap diri mereka. Jika tuduhan tersebut tidak layak dilontarkan terhadap diri mereka, maka terlebih lagi tidak layaknya jika dilontarkan kepada Ummul Mu’minin; ia lebih bersih dari pada diri mereka.

Kalau tidak ada bukti sepatutnya kita senyap sahaja dan jangan ada fikiran yang buruk terhadap orang lain. Tambahan pula kalau sesama Muslim. Kerana ikatan Muslim sepatutnya ketat.

Ada iltifad dalam ayat ini. Pada permulaan ayat ia di dalam kata ganti kedua dan kemudian bertukar kepada kata ganti ketiga. Ini memberi isyarat bahawa sepatutnya orang-orang mukmin mempunyai fikiran yang baik dan mereka yang menyampaikan dan memperbesarkan perkara ini bukanlah orang-orang mukmin. Maksudnya: mula-mula Allah bercakap kepada mereka yang membawa tuduhan itu, dan kemudian Allah bercakap ‘tentang’ orang-orang mukmin. Maknanya mereka dah terkeluar  dari lingkungan mukmin.

Oleh itu pengajaran kepada kita dalam ayat ini, jikalau pada bila-bila masa pun ada orang yang berkata tentang keburukan orang lain yang bermaruah maka kita kenalah mempertahankan orang itu. Kalau kita tidak bercakap tentang orang lain pun tetapi jika kita dengar orang lain yang merendahkan martabat mana-mana orang yang bermaruah maka hendaklah kita bercakap sesuatu untuk mempertahankan mereka. Jadilah orang yang berani untuk mempertahankan kebenaran.

Seperti yang disebutkan di dalam riwayat Imam Muhammad ibnu Ishaq ibnu Yasar, dari ayahnya, dari sebagian orang yang terkemuka dari kalangan Bani Najjar, bahwa Abu Ayub Khalid ibnu Zaid Al-Ansari ditanya oleh isterinya (yaitu Ummu Ayub), “Hai Abu Ayub, tidakkah engkau mendengar apa yang dikatakan oleh orang-orang tentang Aisyah r.a.” Abu Ayub menjawab, “Ya, berita tersebut adalah dusta. Apakah engkau berani melakukan hal tersebut (seperti yang dituduhkan oleh mereka), hai Ummu Ayub?” Ummu Ayub menjawab, “Tidak, demi Allah, aku benar-benar tidak akan melakukan hal tersebut.” Maka Abu Ayub menjawab, “Aisyah, demi Allah, lebih baik daripada kamu.”

Maknanya, kita bukan sahaja dilarang dari bawa mulut, malu kita disuruh untuk mempertahankan. Kerana kalau bukan kita, siapa pula?

 

وَقالوا هٰذا إِفكٌ مُّبينٌ

dan (mengapa tidak) berkata: “Ini adalah suatu berita bohong yang nyata”.

Katakan kepada mereka yang berbuat dosa tuduhan meluku itu yang apa yang mereka sedang katakan itu adalah pelencongan yang besar dan mereka tidak ada bukti pun. Orang yang mukmin pasti akan memperkatakan begitu jadi kenapa kamu tidak kata begitu juga?

Tidakkah mereka memikirkan bahawa berita tersebut adalah dusta dan bohong belaka yang mereka lontarkan terhadap pribadi Siti Aisyah Ummul Mu’minin? Kerana sesungguhnya kejadian yang sebenarnya sama sekali tidak mengandung hal yang mencurigakan, sebab Siti Aisyah Ummul Mu’minin datang dengan mengendarai unta Safwan ibnul Mu’attal di waktu tengah hari, sedangkan semua pasukan menyaksikan kedatangan tersebut dan Rasulullah Saw. ada di antara mereka. Seandainya hal tersebut mengandung kecurigaan, tentulah kedatangan tersebut tidak dilakukan secara terang-terangan, tentu pula kedatangan keduanya tidak mahu disaksikan oleh semua orang yang ada dalam pasukan itu. Kalau ianya mengandung hal yang mencurigakan, tentu kedatangan mereka dilakukan dengan sembunyi-sembunyi agar tidak diketahui oleh orang lain.

Berdasarkan kenyataan ini dapat disimpulkan bahawa apa yang mereka lontarkan terhadap diri Siti Aisyah berupa tuduhan tidak baik hanyalah bohong belaka dan buat-buatan, serta tuduhan keji dan merupakan perbuatan yang merugikan pelakunya.


 

Ayat 13: Kembali kepada hukum yang telah pernah disebut di awal surah ini.

لَّولا جاءو عَلَيهِ بِأَربَعَةِ شُهَداءَ ۚ فَإِذ لَم يَأتوا بِالشُّهَداءِ فَأُولٰئِكَ عِندَ اللهِ هُمُ الكٰذِبونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Why did they [who slandered] not produce for it four witnesses? And when they do not produce the witnesses, then it is they, in the sight of Allāh, who are the liars.

(MELAYU)

Mengapa mereka (yang menuduh itu) tidak mendatangkan empat orang saksi atas berita bohong itu? Oleh kerana mereka tidak mendatangkan saksi-saksi maka mereka itulah pada sisi Allah orang-orang yang dusta.

 

لَّولا جاءو عَلَيهِ بِأَربَعَةِ شُهَداءَ

Mengapa mereka (yang menuduh itu) tidak mendatangkan empat orang saksi atas berita bohong itu?

Kenapakah mereka tidak bawa empat orang saksi? Kalau nak tuduh sesiapa berzina, kenalah bawa 4 saksi yang nampak kejadian itu, bukan? Kita baru sahaja belajar tadi.

Tetapi bukankah ayat tentang empat orang saksi ini baru sahaja diturunkan di awal surah tadi? Memang di dalam ayat ini dia baru diturunkan tetapi ada juga disebut di dalam Surah an-Nisa iaitu surah Madaniyyah yang awal. Maka mereka sepatutnya sudah tahu.

Jadi sebenarnya Allah telah memberikan undang-undang itu beberapa tahun yang lepas tetapi puak munafik itu tidak belajar dan menghayati Qur’an maka kerana itu mereka jadi begitu dan sekarang Allah ulang kesalahan yang mereka lakukan.

 

فَإِذ لَم يَأتوا بِالشُّهَداءِ

Oleh kerana mereka tidak mendatangkan saksi-saksi

Mereka memang tidak dapat mendatangkan saksi pun atas tuduhan mereka itu.

 

فَأُولٰئِكَ عِندَ اللهِ هُمُ الكٰذِبونَ

maka mereka itulah pada sisi Allah orang-orang yang dusta.

Jadi Allah dengan tegas mengatakan bahawa mereka itu penipu. Dan tidak kiralah jikalau ada orang yang sangka mereka itu berkata benar ataupun tidak, tetapi Allah telah buat keputusan yang jikalau mereka sendiri tidak dapat membawa empat orang saksi maka mereka itu sudah dikira sebagai penipu.


 

Ayat 14:

وَلَولا فَضلُ اللهِ عَلَيكُم وَرَحمَتُهُ فِي الدُّنيا وَالآخِرَةِ لَمَسَّكُم في ما أَفَضتُم فيهِ عَذابٌ عَظيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And if it had not been for the favor of Allāh upon you and His mercy in this world and the Hereafter, you would have been touched for that [lie] in which you were involved by a great punishment

(MELAYU)

Sekiranya tidak ada kurnia Allah dan rahmat-Nya kepada kamu semua di dunia dan di akhirat, nescaya kamu ditimpa azab yang besar, kerana pembicaraan kamu tentang berita bohong itu.

 

وَلَولا فَضلُ اللهِ عَلَيكُم وَرَحمَتُهُ فِي الدُّنيا وَالآخِرَةِ

Sekiranya tidak kerana kurnia Allah dan rahmat-Nya kepada kamu semua di dunia dan di akhirat,

Maknanya Allah memberitahu bahawa Allah memberi peluang kepada mereka untuk meminta ampun semasa mereka hidup ini di atas kesalahan mereka yang sangsi kepada kesucian Aisyah. Kalau mereka bertaubat, itu akan menyelamatkan mereka di akhirat kelak.

Antara kurniaan Allah adalah diberikan pengajaran kepada kita bagaimana untuk menghadapi perkara ini.

Rahmat Allah juga adalah dengan memberi peluang kepada kita untuk bertaubat selagi kita belum mati. Allah tak terus beri hukuman tapi Allah beri peluang kepada kita. Kerana kita mungkin tidak sedar dulu, sekarang baru tahu.

Dan kurnia dan rahmat Allah di akhirat kelak adalah apabila Allah menerima taubat mereka dan tidak menghukum dan memberi azab kepada mereka di akhirat kelak. Kalau kita ikhlas dalam taubat, maka Allah akan terima dan tidaklah kena azab.

 

لَمَسَّكُم في ما أَفَضتُم فيهِ عَذابٌ عَظيمٌ

nescaya kamu ditimpa azab yang besar, kerana pembicaraan kamu tentang berita bohong itu.

Kalimah أَفَضتُم dari ف ي ض yang bermaksud melimpah keluar macam air menggelegak akan melimpahkan air, bukan? Ini kerana mereka telah biarkan kata-kata yang tidak patut itu meleleh atau melimpah keluar.

Ayat ini berkenaan dengan orang yang memiliki iman. Berkat keimanannya itu Allah menerima taubat mereka, seperti Mistah, Hassan ibnu Sabit, dan Hamnah binti Jahsy (saudara perempuan Zainab binti Jahsy). Adapun orang-orang yang membawa mulut berita ini dari kalangan orang-orang munafik, seperti Abdullah ibnu Ubay ibnu Salul dan teman-temannya, mereka bukanlah termasuk orang-orang yang dimaksudkan dalam ayat ini kerana mereka tidak memiliki iman dan amal saleh yang dapat mengimbangi kesalahan mereka dan tidak pula sesuatu yang dapat menghapusnya.

Maka tiga orang mukmin yang menuduh Aisyah itu telah bertaubat dan Allah memberi isyarat dalam ayat ini yang taubat mereka telah diterima oleh Allah.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 024: an-Nur. Bookmark the permalink.

One Response to Tafsir Surah an-Nur Ayat 11 – 14 (Peristiwa ifk Aisyah)

  1. Pingback: Tafsir Surah an-Nur Ayat 11 – 14 (Peristiwa ifk Aisyah)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s