Tafsir Surah an-Nur Ayat 1 – 4 (Menuduh orang berzina)

Pengenalan:

Surah ini adalah Madaniyyah. Sekarang kita berjumpa Surah Makkiyah setelah lama kita mengadap Surah Makkiyah. Surah ini ada kaitan rapat dengan Surah al-Ahzab.

Surah ini banyak menyebut tentang undang-undang yang perlu ditaati oleh manusia. Dan memang begitulah ciri Surah Madaniyyah. Surah Madaniyyah banyak mengajar manusia cara untuk menjalani kehidupan dengan hukum-hukum. Undang-undang memang kena ada untuk mengawal manusia. Kalau tidak akan porak perandalah manusia. Ramailah yang akan ambil kesempatan dan menjadi zalim.

Tapi manusia boleh berubah dengan adanya ilmu. Manusia yang ada ilmu, kesedaran sivik mereka akan tinggi dan tidak memerlukan undang-undang lagi untuk mengawal mereka. Mereka tahu yang memang molek buat perkara baik dan salah kali buat perkara zalim.

Maka kerana itu banyak diingatkan kepada manusia tentang hukum dalam Qur’an. Dingatkan berkali-kali supaya manusia faham. Kalau undang-undang ditetapkan kepada manusia tapi mereka tidak faham, mereka susah nak taat. Memang ada hukuman dunia tapi Allah lebih mengingatkan tentang hukuman akhirat. Ini supaya manusia taat kepada hukum itu kerana takut balasan di akhirat.

Kalau manusia tak faham dengan kepentingan hukum itu, maka jadi macam prohibition di Amerika. Mereka tidak nampak kenapa mereka tidak boleh minum arak. Maka mereka langgar undang-undang itu dan akhirnya ianya telah dimansuhkan.

Kerana itu penting iman manusia dipupuk dahulu. Kerana kalau iman tidak ada, manusia tidak kisah dengan hukuman. Buatlah ancaman apa pun, mereka tidak mahu ikut.

Surah ini amat penting sekali. Saidina Umar pernah memberi arahan kepada rakyatnya untuk setiap rumah mengajar anak isteri tiga surah iaitu Surah Nisa’, Surah Nur ini dan Surah Ahzab. Kerana apabila sudah faham ketiga-tiga surah ini maka akan menerbitkan satu sifat cinta kepada agama. Mereka yang faham dengan tiga surah ini tidak akan derhaka kepada Allah.

Surah ini memberi satu pengajaran kepada kita yang orang-orang kafir tidak ada dalil untuk melawan orang Islam tetapi apa yang mereka boleh lakukan adalah dengan menimbulkan propaganda untuk menyebabkan kucar kacir dalam fikiran orang Islam. Maka kita janganlah sampai termakan dengan propaganda mereka itu. Sebagai contoh, orang-orang kafir akan menimbulkan propaganda di dalam dunia media massa yang orang-orang yang beragama Islam ini adalah ganas dan kerana itu orang orang Islam yang jahil akan termakan propaganda itu sampaikan takut untuk bercerita tentang jihad.

Maka surah ini mengajar umat Islam supaya tidak termakan dengan propaganda yang mereka timbulkan di dalam media mereka seperti surat khabar mereka dan filem-filem mereka. Kita kena sedar yang musuh memang akan menimbulkan isu-isu untuk menjatuhkan nama baik agama Islam. Kita kenalah bijak untuk membezakan mana benar dan mana yang tidak benar.

Di dalam surah ini ada empat undang-undang kekeluargaan. Inilah hukum-hukum yang ahli keluarga memang kena jaga sungguh. Kerana masyarakat yang baik bermula dari keluarga yang tersusun agamanya dan akhlaknya.

Kemudian Allah tambah lagi dengan enam undang-undang untuk menjaga dari bahaya kepada keluarga. Kita kena elak perkara-perkara yang disebutkan di dalam enam undang-undang ini daripada berlaku. Ianya untuk kebaikan kita. Maka kena ambil perhatian.

Jadi ada 10 perkara tentang keluargaan dan yang paling penting di antara 10 perkara ini kita kena wujudkan suasana Iman di dalam keluarga kita. Kena ada penyebaran ilmu dalam keluarga. Kena ada suasana untuk suburkan iman dalam kehidupan seharian.


 

Ayat 1: Kepentingan surah ini.

سورَةٌ أَنزَلنٰها وَفَرَضنٰها وَأَنزَلنا فيها ءآيٰتٍ بَيِّنٰتٍ لَّعَلَّكُم تَذَكَّرونَ

 

(SAHEEH INTERNATIONAL

An-Nūr: Light.

[This is] a sūrah which We have sent down and made [that within it] obligatory and revealed therein verses of clear evidence that you might remember.

(MELAYU)

(Ini adalah) satu surah yang Kami turunkan dan Kami wajibkan (menjalankan hukum-hukum yang ada di dalam)nya, dan Kami turunkan di dalamnya ayat-ayat yang jelas, agar kamu selalu mengingatinya.

 

سورَةٌ أَنزَلنٰها وَفَرَضنٰها

(Ini adalah) satu surah yang Kami turunkan dan Kami wajibkannya

Surah ini lain sikit dari surah-surah yang lain. Ia menggelar dirinya sebagai سورَةٌ. Ini adalah kerana ramai menunggu surah ini. Ada isu yang akan disebutkan nanti. Ini adalah surah yang sedang mula diturunkan. Allah berikan muqaddimah sebelum meneruskannya.

Allah kemudian beritahu yang Dia fardhukan surah ini kepada kita. Maknanya surah ini ada banyak hukum hakam di dalamnya. Kalimah ف و ض asalnya bermaksud membuat lubang pada pokok. Kalau sudah buat lubang pada pokok, tentulah tak boleh nak ubah dah selepas itu. Maksudnya hukum hakam ini adalah sesuatu yang setiap muslim kena ikut. Kalau bahasa kita, kita katakan ‘wajib’.

 

وَأَنزَلنا فيها ءآيٰتٍ بَيِّنٰتٍ

dan Kami turunkan di dalamnya ayat ayat yang jelas, 

Hukum hakam yang diberikan dalam surah ini adalah jelas. Tidaklah ia samar-samar kepada mereka yang belajar. Kalau tidak belajar, memanglah tidak faham apakah yang disampaikan. Maka kenalah kita luangkan masa kita untuk mempelajarinya.

 

لَّعَلَّكُم تَذَكَّرونَ

agar kamu selalu mengingatinya.

Bila Allah suruh sesuatu, kita kena ikut sahaja. Tapi Allah beri maklumat tentang kelebihan surah ini. Tidaklah Allah suruh ikut sahaja. Ini macam kita larang anak kita panjat pokok. Bila kita larang, maka kenalah kita beritahu sebabnya (kerana ia bahaya wahai anakku… nanti kamu jatuh dan cedera nanti). Kalau manusia faham kenapa dia kena melakukan sesuatu, dia akan lebih bersemangat untuk taat untuk melakukannya.

Masa ayat ini diturunkan, negara Madinah sedang berkembang. Ia sudah menjadi satu komuniti yang sudah dewasa. Maka ia memerlukan undang-undang untuk mengawalnya. Ada banyak sekali kebaikan dalam hukum hakam yang disampaikan. Malangnya ramai tidak tahu pengajaran dalam surah ini. Ini adalah kerana mereka tidak belajar.


 

Ayat 2: Ini adalah hukum yang pertama. Tentang hukum perzinaan. Ini termasuk dalam salah satu dari hukum hudud.

الزّانِيَةُ وَالزّاني فَاجلِدوا كُلَّ وٰحِدٍ مِّنهُما مِائَةَ جَلدَةٍ ۖ وَلا تَأخُذكُم بِهِما رَأفَةٌ في دينِ اللهِ إِن كُنتُم تُؤمِنونَ بِاللهِ وَاليَومِ الآخِرِ ۖ وَليَشهَد عَذابَهُما طائِفَةٌ مِّنَ المُؤمِنينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

The [unmarried] woman or [unmarried] man found guilty of sexual intercourse¹ – lash each one of them with a hundred lashes,² and do not be taken by pity for them in the religion [i.e., law] of Allāh,³ if you should believe in Allāh and the Last Day. And let a group of the believers witness their punishment.

  • Either by voluntary confession of the offender or the testimony of four male witnesses to having actually seen the act take place. Otherwise, there can be no conviction.
  • The ruling in this verse is applicable to unmarried fornicators. Execution by stoning is confirmed in the sunnah for convicted adulterers.
  • i.e., Do not let sympathy for a guilty person move you to alter anything ordained by Allāh, for in His law is protection of society as a whole.

(MELAYU)

Perempuan yang berzina dan laki-laki yang berzina, maka rotanlah tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali rotan, dan janganlah belas kasihan kepada keduanya mencegah kamu untuk (menjalankan) agama Allah, jika kamu beriman kepada Allah, dan hari akhirat, dan hendaklah (pelaksanaan) hukuman mereka disaksikan oleh sekumpulan orang-orang yang beriman.

 

الزّانِيَةُ وَالزّاني فَاجلِدوا كُلَّ وٰحِدٍ مِّنهُما مِائَةَ جَلدَةٍ

Perempuan yang berzina dan laki-laki yang berzina, maka rotanlah tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali rotan,

Ini adalah hukum zina kepada mereka yang belum kahwin. Kalau dah kahwin, hukumnya sudah dalam sunnah, iaitu direjam sampai mati. Mereka dipanggil muhsan (yakni orang yang pernah melakukan persetubuhan dalam ikatan nikah yang sahih sedangkan dia telah akil baligh). Hukum ini sudah ada dalam Kitab Taurat dan tidak dimansukhkan dan diikuti oleh Rasulullah pada zaman baginda. Kalau dah tukar, tentu Nabi akan beritahu. Satu lagi hukum yang masih pakai dalam Taurat adalah hukuman mati kepada mereka yang murtad. Kerana ikut hukum Bani Israil yang sembah patung anak lembu dimana mereka juga dibunuh.

Hal yang sama telah dikatakan oleh Imam Malik. Ia mengatakan telah menceritakan kepadaku Ibnu Syihab, telah menceritakan kepada kami Ubaidillah ibnu Abdullah ibnu Atabah ibnu Mas’ud; Ibnu Abbas pernah mengatakan kepadanya bahawa Khalifah Umar pada suatu hari berdiri di atas mimbarnya, lalu mengucapkan puji dan sanjungan kepada Allah Swt., kemudian mengatakan:

أَمَّا بَعْدُ، أَيُّهَا النَّاسُ، فَإِنَّ اللَّهَ بَعَثَ مُحَمَّدًا بِالْحَقِّ، وَأَنْزَلَ عَلَيْهِ الْكِتَابَ، فَكَانَ فِيمَا أَنْزَلَ عَلَيْهِ آيَةُ الرَّجْمِ، فَقَرَأْنَاهَا وَوَعَيْناها، وَرَجمَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَرَجمْنا بَعْدَهُ، فَأَخْشَى أَنْ يُطَولَ بِالنَّاسِ زَمَانٌ أَنْ يَقُولَ قَائِلٌ: لَا نَجِدُ آيَةَ الرَّجْمِ فِي كِتَابِ اللَّهِ، فَيَضِلُّوا بِتَرْكِ فَرِيضَةٍ قَدْ أَنْزَلَهَا اللَّهُ، فَالرَّجْمُ فِي كِتَابِ اللَّهِ حَقٌّ عَلَى مَنْ زَنَى، إِذَا أُحْصِنَ، مِنَ الرِّجَالِ وَالنِّسَاءِ، إِذَا قَامَتِ الْبَيِّنَةُ، أَوِ الْحَبَلُ، أَوْ الِاعْتِرَافُ.

Amma Ba’du. Hai manusia, sesungguhnya Allah Swt. telah mengutus Muhammad Saw. dengan hak dan menurunkan kepadanya Al-Qur’an. Maka di antara yang diturunkan kepada­nya ialah ayat rejam, lalu kami membacanya dan menghafalnya. Rasulullah Saw. telah memberlakukan hukuman rejam dan kami pun melakukannya pula sesudah baginda tiada. Aku merasa khawatir dengan berlalunya masa pada manusia, lalu ada orang yang mengatakan bahawa kami tidak menemukan ayat rejam di dalam Kitabullah. Akhirnya mereka sesat kerana meninggalkan suatu perintah fardu yang telah diturunkan oleh Allah Swt. Hukum rejam benar ada di dalam Kitabullah ditujukan kepada orang yang berbuat zina bila ia telah muhsan, baik laki-laki maupun perempuan, sedangkan kesaksian telah ditegakkan terhadapnya atau terjadi kandungan atau pengakuan.

Baik, kembali kepada ayat ini. Didahulukan menyebut penzina dari kalangan perempuan kerana angkara merekalah yang lebih banyak menyebabkan perzinaan. Kalau lelaki hendak berzina dan mencari perempuan itu payah, tetapi jikalau perempuan hendak berzina dan dia hendak mencari lelaki mudah saja baginya. Jadi merekalah yang lebih banyak menyebabkan zina terjadi.

Kalimah فَاجلِدوا itu dari ج ل د yang bermaksud ‘pukul kulit manusia’. Tapi bukanlah macam rotan di penjara kita sekarang. Kalau hukuman rotan sekarang, ada caranya sampai boleh luka-luka kulit. Ini tidak boleh. Kalau kita baca cara para sahabat lakukan, mereka akan pukul dengan selipar, dengan kain sahaja.

Dan sebagai hukuman tambahannya ialah dibuang selama satu tahun jauh dari negerinya, menurut pendapat jumhur ulama. Lain halnya dengan pendapat Imam Abu Hanifah rahimahullah; ia berpendapat bahawa hukuman pengasingan ini sepenuhnya diserahkan kepada imam (khalifah). Dengan kata lain, jika imam melihat bahawa si pelaku zina harus diasingkan, maka ia boleh melakukannya; dan jika ia melihat bahawa pelaku zina tidak perlu diasingkan, maka ia boleh melakukannya.

 

وَلا تَأخُذكُم بِهِما رَأفَةٌ في دينِ اللهِ

dan janganlah belas kasihan kepada keduanya mencegah kamu untuk (menjalankan) agama Allah,

Kalimah dari katadasar ر ا ف yang bermaksud lembut, belas kasihan. Darinya datang kalimah untuk sifat Allah رَءوفٌ.

Memang sifat itu baik asalnya tapi dalam menjalankan hukum Allah, jangan berlembut. Jangan ada sifat kasihan belas didalam menjalankan hukum kerana hukum itu perlu dijalankan. Kita kena tegas dalam menegakkan agama Allah. Ada masa kena berlembut dan ada masa kena tegas.

Bukanlah ayat ini menidakkan perasaan belas kasihan terhadap manusia. Memang perasaan belas kasihan tetap ada, tapi kita lebih pentingkan hukuman yang telah ditetapkan oleh Allah. Kita akan mendapat pahala kalau kita lakukan. Di dalam kitab musnad telah disebutkan sebuah hadis dari salah seorang sahabat yang mengatakan,

“Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku benar-benar menyembelih kambing, sedangkan hatiku merasa kasihan kepadanya.” Maka Rasulullah Saw. bersabda:

“وَلَكَ فِي ذَلِكَ أَجْرٌ”

Engkau mendapat suatu pahala atas belas kasihanmu itu.

 

إِن كُنتُم تُؤمِنونَ بِاللهِ وَاليَومِ الآخِرِ

jika kamu beriman kepada Allah, dan hari akhirat,

Sekiranya kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhirat, kamu pasti akan tetap akan jalankan hukumNya. Dan tidak berlembut dalam hal ini termasuklah kepada ahli keluarga sendiri.

 

وَليَشهَد عَذابَهُما طائِفَةٌ مِّنَ المُؤمِنينَ

dan hendaklah (pelaksanaan) hukuman mereka disaksikan oleh sekumpulan orang-orang yang beriman.

Hukuman kepada mereka itu kena dihadiri oleh orang awam. Ini supaya ramai dapat lihat dan supaya masyarakat jadi takut untuk melakukannya. Ini adalah satu perkara yang amat penting. Beginilah cara hukuman dalam Islam. Kena jadikan hukuman itu sebagai sebab untuk menghalang manusia lain dari melakukannya. Maka ini bukan benda kecil.

Maknanya kena buat di tempat yang orang ramai boleh datang dan kerana itu tidak boleh dilakukan di dalam penjara secara rahsia kerana orang tidak dapat lihat. Kerana kita bukannya hendak menghukum mereka yang bersalah itu sahaja tetapi kita hendak memberi pengajaran kepada orang-orang lain juga.

Tidak wajib untuk manusia datang dan lihat tetapi kita kena buat di tempat yang orang ramai boleh datang kerana ada orang yang mahu melihat. Malangnya hukuman kita dilakukan secara rahsia pula di penjara maka tidaklah dapat mencapai kehendak Allah dalam hukuman itu, bukan?

Kita kena sedar yang dalam agama Islam, dalam menghukum itu ada pengajaran. Termasuk dalam perkara ini memalukan pelaku salah supaya orang tahu. Kalau telah tsabit kesalahannya, maka boleh diberitahu kepada orang awam. Memang mereka akan malu dan kita bukan memalukan mereka sangat. Tapi supaya manusia lain akan takut nak buat perkara yang sama kerana mereka pun tak mahu malu, bukan? Tapi apabila tidak faham, ramai yang kecoh kalau kes-kes tangkap khalwat disebarkan di dada akhbar. Memang tidak salah kalau menyebut tentang kesalahan mereka. Tapi kena pastikan yang kesalahan mereka itu telah tsabit.

Kita kena takutkan manusia dengan penghukuman di khalayak ramai. Supaya manusia yang ada akal boleh terfikir: Kalau beginilah teruknya hukuman di dunia, bagaimana pula di akhirat? Tentu teruk lagi. Jadi ini amat menakutkan mereka dan semoga mereka takut nak buat salah.

Satu lagi kelebihan menerima hukuman di dunia, kalau redha kena hukum di dunia, maka sudah selamat di akhirat. Kerana itu kalau kita baca hadis, kita akan lihat bagaimana para sahabat lebih rela mereka dihukum di dunia supaya mereka tidak dihukum di akhirat.

Satu lagi kelebihan apabila ramai orang datang lihat, mereka itu boleh berdoa kepada Allah semoga dosa kedua mereka yang dihukum itu diampunkan oleh Allah.


 

Ayat 3: Ini adalah hukum yang kedua. Orang yang baik-baik jangan bercampur gaul dengan orang yang buruk.

الزّاني لا يَنكِحُ إِلّا زانِيَةً أَو مُشرِكَةً وَالزّانِيَةُ لا يَنكِحُها إِلّا زانٍ أَو مُشرِكٌ ۚ وَحُرِّمَ ذٰلِكَ عَلَى المُؤمِنينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

The fornicator does not marry except a [female] fornicator or polytheist, and none marries her except a fornicator¹ or a polytheist, and that [i.e., marriage to such persons] has been made unlawful to the believers.

  • Included in this ruling is the adulterer as well. Such persons cannot be married to believers unless they have repented and reformed.

(MELAYU)

Laki-laki yang berzina tidak mengahwini melainkan perempuan yang berzina, atau perempuan yang musyrik; dan perempuan yang berzina tidak dikahwini melainkan oleh laki-laki yang berzina atau laki-laki musyrik, dan yang demikian itu diharamkan atas orang-orang yang mukmin.

 

الزّاني لا يَنكِحُ إِلّا زانِيَةً

Laki-laki yang berzina tidak mengahwini melainkan perempuan yang berzina,

Ini bukan ayat arahan. Bukanlah seseorang yang telah berzina hanya boleh berkahwin dengan orang yang berzina sahaja. Jangan salah faham pula. Jangan kalau ada penzina, kena cari penzina sahaja baru dia boleh kahwin pula.

Maksud ayat ini adalah: mereka yang bersifat kotor adalah untuk orang yang kotor juga. Dan kerana itu kebiasaanya, orang yang berzina dari kalangan lelaki akan berkahwin dengan perempuan yang melakukan zina juga. Begitulah yang Allah akan jadikan.

 

أَو مُشرِكَةً

atau perempuan yang musyrik;

Atau lelaki akan berkahwin dengan perempuan yang mengamalkan syirik. Ini adalah kerana seorang lelaki yang tidak menjaga agamanya dan tidak kisah kepada hukum-hakam agama, maka dia sudah tidak kisah dengan siapa yang dikahwininya lagi. Kalau kahwin dengan mereka yang amalkan amalan syirik pun mereka tak kisah dah. Kalau undang-undang perkahwinan pun dia sanggup langgar, maka tentu perkara lain pun dia sanggup langgar juga. Termasuk perkara yang dia sanggup langgar adalah tentang tauhid.

Satu lagi, dengan kata lain, tiada seorang wanita pun yang mahu melayani hawa nafsu zina lelaki penzina melainkan hanyalah wanita penzina lagi durhaka atau wanita musyrik yang tidak menganggap perbuatan zina itu haram. Maksud ini diambil dari Sufyan As-Sauri yang mengatakan dari Habib ibnu Abu Amrah, dari Sa’id ibnu Jubair, dari Ibnu Abbas r.a. sehubungan dengan makna firman-Nya: Laki-laki yang berzina tidak mengawini melainkan perempuan yang berzina atau perempuan yang musyrik. (An-Nur: 3) Bahawa yang dimaksudkan dengan ‘nikah’ dalam ayat ini bukanlah ‘kahwin’, melainkan ‘bersetubuh’. Dengan kata lain, dapat disebutkan bahawa tiada seorang pun yang berzina dengan perempuan penzina melainkan hanyalah lelaki penzina atau lelaki musyrik sahaja. Sanad riwayat ini sahih sampai kepada Ibnu Abbas. Telah diriwayatkan pula dari Ibnu Abbas melalui berbagai jalur sehubungan dengan masalah ini. Hal yang semisal telah diriwayatkan dari Mujahid, Ikrimah, Sa’id ibnu Jubair, Urwah ibnuz Zubair, Ad-Dahhak, Makhul, Muqatil ibnu Hayyan, dan lain-lainnya yang bukan hanya seorang.

Allah beri ancaman ini kerana institusi perkahwinan adalah satu institusi yang amat besar dan penting di dalam Islam. Maka kenalah dijaga institusi ini. Takkan kita nak kahwin dengan orang penzina atau musyrik pula, bukan? Kalau tak mahu, maka kamu sendiri janganlah jadi penzina.

Disebut orang musyrik di dalam ayat ini kerana orang yang bersifat musyrik itu tidak cukup dengan satu Tuhan sahaja tetapi mereka hendak ilah yang lain. Maka begitu juga dengan orang yang berzina iaitu mereka tidak cukup dengan satu pasangan sahaja tetapi mereka hendak kepada pasangan yang lain. Jadi ada persamaan antara mereka.

 

وَالزّانِيَةُ لا يَنكِحُها إِلّا زانٍ أَو مُشرِكٌ

dan perempuan yang berzina tidak dikahwini melainkan oleh laki-laki yang berzina atau laki-laki musyrik, 

Dan begitu juga kepada wanita yang melakukan zina. Mereka juga akan dikahwinkan dengan penzina juga. Atau mereka juga akan bertemu dengan lelaki yang mengamalkan amalan musyrik juga.

 

وَحُرِّمَ ذٰلِكَ عَلَى المُؤمِنينَ

dan yang demikian itu diharamkan atas oran-orang yang mukmin.

Dan perkara ini dilarang di dalam Islam. Tak boleh berkahwin dengan penzina dan musyrik. Maksudnya, diharamkan atas mereka melakukan perbuatan tersebut dan mengahwini pelacur-pelacur, atau mengahwinkan wanita-wanita yang terpelihara kehormatannya dengan laki-laki yang lacur.

Berangkat dari pengertian ini, Imam Ahmad ibnu Hambal rahimahullah berpendapat bahawa tidak sah akad nikah seorang lelaki yang memelihara diri dari perbuatan zina terhadap wanita pelacur, selagi wanita yang bersangkutan masih tetap sebagai pelacur, terkecuali bila ia telah bertaubat. Jika wanita yang bersangkutan telah bertaubat, maka akad nikah terhadapnya dari laki-laki yang memelihara diri hukumnya sah; dan jika masih belum bertaubat, akad nikahnya tetap tidak sah. Demikian pula halnya kebalikannya, yaitu mengahwinkan wanita yang terpelihara kehormatan dirinya dengan seorang lelaki yang suka melacur, sebelum lelaki itu bertaubat dengan taubat yang sebenar-benarnya, kerana berdasarkan firman Allah Swt. yang mengatakan: dan yang demikian itu diharamkan atas orang-orang yang mukmin. (An-Nur: 3)

Maka jikalau kita telah tahu bahawa seseorang lelaki ataupun wanita itu memang kaki zina maka kita tidak dibenarkan untuk berkahwin dengan mereka. Tetapi kenalah ada bukti yang kukuh untuk mengatakan mereka itu penzina.

Maknanya orang yang mukmin ditegah untuk berkahwin dengan orang yang suka berzina.

Satu lagi maksud, ianya adalah larangan berzina. Ini kerana,

Abu Daud At-Tayalisi mengatakan, telah menceritakan kepada kami Qais, dari Abu Husain, dari Sa’id ibnu Jubair, dari Ibnu Abbas sehubungan dengan makna firman-Nya: dan yang demikian itu diharamkan atas orang-orang yang mukmin. (An-Nur: 3) Yakni Allah mengharamkan perbuatan zina atas orang-orang mukmin.


 

Ayat 4: Ini adalah hukum yang ketiga. Hukum Qozaf. Orang yang baik jangan dituduh dengan sewenang-wenangnya. Ini adalah ayat yang penting dalam surah ini. Akan disebut dengan panjang lebar dalam ayat-ayat seterusnya nanti.

وَالَّذينَ يَرمونَ المُحصَنٰتِ ثُمَّ لَم يَأتوا بِأَربَعَةِ شُهَداءَ فَاجلِدوهُم ثَمٰنينَ جَلدَةً وَلا تَقبَلوا لَهُم شَهٰدَةً أَبَدًا ۚ وَأُولٰئِكَ هُمُ الفٰسِقونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And those who accuse chaste women and then do not produce four witnesses – lash them with eighty lashes and do not accept from them testimony ever after. And those are the defiantly disobedient,

(MELAYU)

Dan orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang baik-baik (berbuat zina) dan mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka rotanlah mereka (yang menuduh itu) delapan puluh kali rotan, dan janganlah kamu terima kesaksian mereka buat selama-lamanya. Dan mereka itulah orang-orang yang fasik.

 

وَالَّذينَ يَرمونَ المُحصَنٰتِ

Dan orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang baik-baik

Kalimah المُحصَنٰتِ dari kalimah kalimah ح ص ن yang bermaksud sesuatu yang diletakkan di dalam kubu. Maksudnya terpelihara sungguhlah kalau begitu. Ia digunakan sebagai istilah untuk perempuan yang baik-baik kerana mereka itu terpelihara di dalam rumah mereka yang diibaratkan sebagai kubu. Mereka menjaga maruah dan kemaluan mereka. Mereka ini ialah wanita merdeka yang sudah baligh dan memelihara kehormatan dirinya.

Kalimah يَرمونَ pula diambil dari kalimah ر م ي yang bermaksud membaling kepada sesuatu seperti baling batu kepada seseorang. Digunakan dalam ayat ini sebagai menuduh seseorang.

Dan tuduhan yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah menuduh perempuan yang baik-baik telah melakukan zina. Ini dilarang dan perbuatan yang amat teruk. Jadi perbuatan menuduh perempuan yang baik telah melakukan zina adalah perbuatan yang besar seolah-olah berperang. Allah menegur dengan keras dalam ayat ini.

 

ثُمَّ لَم يَأتوا بِأَربَعَةِ شُهَداءَ

dan mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, 

Menuduh sahaja bukanlah dilarang tapi kenalah bawa saksi dan bukti. Manusia dilarang untuk menuduh perempuan yang nampak baik dengan tuduhan berzina melainkan jikalau mereka dapat membawa empat orang saksi yang nampak perkara itu berlaku.

Dan tentulah ini adalah perkara yang amat luarbiasa yang kalau terjadi, maka ia sudah menunjukkan yang masyarakat itu sudah teruk sampaikan empat orang boleh melihat kejadian zina itu pada satu masa. Maka perkara ini seolah-olah tidak sepatutnya berlaku. Maka jikalau ada orang yang nampak seseorang berzina tetapi tidak ada saksi yang dapat mengukuhkan dakwaan itu, maka biarkan sahaja kerana mereka akan menerima nasib mereka di akhirat kelak.

Allah susahkan penghukuman zina ini supaya tidaklah manusia senang-senang sahaja nak tuduh orang lain. Bayangkan kalau mudah sahaja nak tuduh orang, maka ada manusia yang jahat yang boleh ambil kesempatan.

Mungkin ada yang berhujah: kalau macam itu, susahlah nak tuduh orang berzina sebab susah sangat… nanti ramailah orang yang senang sahaja nak berzina.
Jawap: Itu adalah kata-kata guna akal sahaja dan bukan ikut kehendak Allah. Allah telah tetapkan hukumnya maka kenalah kita ikut begitu. Kalau hukuman hudud sebegini dijalankan, tentu manusia tidak berani nak buat dosa zina lagi; dan kita kena ingat yang tujuan kita bukanlah nak menghukum manusia sahaja, tapi nak menghalang manusia dari melakukan zina; dan hukuman yang ada dalam Islam amatlah ketat supaya tidaklah disalahgunakan oleh manusia.

 

فَاجلِدوهُم ثَمٰنينَ جَلدَةً

maka rotanlah mereka (yang menuduh itu) delapan puluh kali rotan,

Kalau ada yang menuduh perempuan baik telah berzina, dan mereka tidak dapat mendatang saksi, maka hukuman kepada mereka adalah sebatan sebanyak 80 kali. Mereka yang menuduh pula yang kena hukum! Maka kalau tidak ada saksi, maka senyaplah sahaja.

Jika yang dituduh melakukan zina itu adalah seorang lelaki yang terpelihara kehormatan dirinya, maka begitu pula ketentuan hukumnya, yakni si penuduh dikenai hukuman dera. Tiada seorang pun dari kalangan ulama yang memperselisihkan masalah hukum ini.

Dalam sejarah pemerintahan Saidina Umar, pernah ada orang yang menuduh seorang sahabat berzina. Maka itu adalah perkara berat. Tapi kemudian ditanya adakah saksi yang lain? Mereka bawa saksi yang lain, dimana saksi kedua dan ketiga kata memang ada perzinaan terjadi. Tapi orang yang keempat tidak pasti samada kejadian zina itu berlaku atau tidak, kerana dia nampak lelaki itu dengan seorang wanita sahaja.

Maka ayat ini membuka satu perbincangan yang besar di kalangan umat, tentang apakah yang kita perlu lakukan jikalau ada perbuatan buruk di kalangan masyarakat kita? Takkan nak diamkan sahaja?

Jawap: Kebanyakan yang dilakukan oleh manusia hanyalah bercakap cakap tentang perkara itu sahaja tetapi tidak melakukan apa-apa dan ini bukanlah yang diajar oleh Islam. Islam mengajar kita untuk menangani perkara ini dengan memberi nasihat kepada mereka yang melakukan kesalahan zina itu dan menghalang mereka dari melakukan perbuatan salah itu. Bukankah kita kena jalankan tugas kita untuk memberi nasihat? Memang kita tidak boleh hukum mereka, tapi kita masih boleh beri nasihat lagi, bukan?

Dan bayangkan apa yang akan terjadi jikalau kita bercakap-cakap sahaja tentang perkara ini kerana ramai orang akan tahu tentang perkara itu dan ia akan menjadikan perbuatan salah itu seolah-olah popular dan sudah biasa sahaja. Maknanya, kalau perbuatan zina itu banyak diperkatakan, sampai masyarakat sudah lali dan biasa dengannya, maka mereka tidak rasa bersalah pun untuk melakukannya (kerana mereka akan kata: orang lain pun ramai buat, apa salahnya?)

Maka kita kena berhati-hati dengan perkara yang kita cakap terutama kepada anak-anak kecil kerana kita tidak mahu mereka rasa yang perkara itu normal sahaja di dalam masyarakat. Jangan kita jadikan kesalahan manusia sebagai perkara biasa sahaja. Lihatlah sekarang ini bagaimana perhubungan lelaki dan perempuan yang bergaul mesra biasa sahaja, sampaikan tidak rasa bersalah pun tentang perkara itu.

 

وَلا تَقبَلوا لَهُم شَهٰدَةً أَبَدًا

dan janganlah kamu terima kesaksian mereka buat selama-lamanya. 

Kembali kepada hukum ini. Apabila mereka telah dikenakan sebatan sebanyak 80 kali rotan, satu lagi hukuman kepada mereka adalah tidak boleh diterima persaksian daripada mereka sampai bila-bila. Mereka sudah tidak dipercayai lagi sampai bila-bila di mahkamah. Mereka tidak boleh jadi saksi. Maka amat bahaya sekali kalau menuduh orang berzina tanpa bawa saksi.

 

وَأُولٰئِكَ هُمُ الفٰسِقونَ

Dan mereka itulah orang-orang yang fasik.

Dan Allah kata mereka itu adalah orang-orang yang ‘fasik’ iaitu orang-orang yang dalaman mereka sudah busuk.

Jadi, ada tiga macam hukuman yang ditimpakan kepada orang yang menuduh orang lain berbuat zina tanpa bukti yang membenarkan kesaksiannya, yaitu:

  • Pertama, dikenai hukuman dera sebanyak lapan puluh kali.
  • Kedua, kesaksiannya tidak dapat diterima buat selama-lamanya.
  • Ketiga, dicap sebagai orang fasik dan bukan orang adil, baik menurut Allah maupun menurut manusia.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 024: an-Nur. Bookmark the permalink.

One Response to Tafsir Surah an-Nur Ayat 1 – 4 (Menuduh orang berzina)

  1. Pingback: Tafsir Surah an-Nur Ayat 1 – 4 (Menuduh orang berzina)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s