Tafsir Surah Mukminoon Ayat 60 – 67 (Agama Islam tidak susah)

Ayat 60: Sambungan sifat-sifat mukminoon itu.

وَالَّذينَ يُؤتونَ ما آتَوا وَّقُلوبُهُم وَجِلَةٌ أَنَّهُم إِلىٰ رَبِّهِم رٰجِعونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And they who give what they give while their hearts are fearful¹ because they will be returning to their Lord –

  • Lest their deeds not be acceptable.

(MELAYU)

Dan orang-orang yang memberikan apa yang telah mereka berikan, dengan hati yang takut, (kerana mereka tahu bahwa) sesungguhnya mereka akan kembali kepada Tuhan mereka,

 

وَالَّذينَ يُؤتونَ ما آتَوا

Dan orang-orang yang memberikan apa yang telah mereka berikan, 

Mereka beri apa-apa yang mereka boleh beri dari segi harta ataupun ilmu agama.

Atau mereka sentiasa melakukan perkara yang mereka patut lakukan. Maksudnya mereka menjalankan kewajipan mereka. Mereka belajar apa yang perlu mereka lakukan dan mereka jalankan kewajipan  itu.

 

وَّقُلوبُهُم وَجِلَةٌ

dengan hati yang takut,

Dan hati mereka sentiasa takut dengan Allah, takut untuk melakukan kesalahan. Maka mereka akan sentiasa menjaga amalan-amalan mereka dan perbuatan mereka supaya sama dengan landasan agama.

Kalimah وَجِلَةٌ adalah perasaan takut yang meresap sampai ke dalam hati. Iaitu rasa takut sampai bulu roma kita boleh naik.

Tapi bukankah mereka telah melakukan kewajipan mereka? Kenapa pula mereka rasa takut pula? Kita kena faham yang mereka takut kerana mereka risau kalau-kalau ada kesalahan atau kesilapan dalam amalan mereka. Atau mereka takut mereka tidak melakukan secukupnya sebagaimana yang sepatutnya (sebagaimana yang Allah kehendaki). Atau mereka takut mereka tidak mencapai kapasiti penuh mereka. Atau mereka takut yang amal yang mereka lakukan itu tidak diterima oleh Allah. Kerana tidak semestinya amal ibadah kita diterima oleh Allah, bukan?

Mereka itu prihatin kerana mereka orang baik. Jadi kayu aras mereka memang tinggi. Bandingkan dengan orang yang tidak kisah tentang agama. Sebagai contoh, kalau orang yang tidak prihatin, dapat sekali solat berjemaah pun mereka dah rasa hebat; sedangkan kalau orang yang mukmin, tertinggal satu waktu solat berjemaah pun mereka dah risau dan rasa bersalah; ada yang biasa solat berjemaah dan datang sebelum azan – maka apabila dia terlambat datang iaitu selepas azan, pun dia sudah rasa terlambat. Padahal dia masih lagi dapat takbiratul ihram dengan imam. Begitulah bezanya antara orang mukmin dan tidak.

Hal seperti ini termasuk ke dalam Bab “Bersikap Hati-hati dan Merasa Takut kepada Allah.” Seperti yang dikatakan oleh Imam Ahmad:

حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ آدَمَ، حَدَّثَنَا مَالِكُ بْنُ مِغْوَل، حَدَّثَنَا عَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ سَعِيدِ بْنِ وَهْبٍ، عَنْ عَائِشَةَ؛ أَنَّهَا قَالَتْ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، {وَالَّذِينَ يُؤْتُونَ مَا آتَوْا وَقُلُوبُهُمْ وَجِلَةٌ} ، هُوَ الَّذِي يَسْرِقُ وَيَزْنِي وَيَشْرَبُ الْخَمْرَ، وَهُوَ يَخَافُ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ؟ قَالَ: “لَا يَا بِنْتَ أَبِي بَكْرٍ، يَا بِنْتَ الصِّدِّيقِ، وَلَكِنَّهُ الَّذِي يُصَلِّي وَيَصُومُ وَيَتَصَدَّقُ، وَهُوَ يَخَافُ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ”.

telah menceritakan kepada kami Yahya ibnu Adam, telah menceritakan kepada kami Malik ibnu Magul, telah menceritakan kepada kami Abdur Rahman ibnu Sa’id ibnu Wahb, dari Aisyah yang mengatakan bahawa dia pernah bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah yang dimaksud dengan “orang-orang yang mengerjakan perbuatan mereka, sedangkan hati mereka takut” itu adakah orang yang mencuri, berzina, dan minum khamr dalam keadaan takut kepada Allah?” Rasulullah Saw. menjawab: Tidak, hai anak perempuan As-Siddiq. Tetapi dia adalah orang yang solat, puasa, dan bersedekah, sedangkan ia takut kepada Allah Swt.

Hal yang sama telah diriwayatkan oleh Imam Turmuzi dan Ibnu Abu Hatim melalui hadis Malik ibnu Magul, dengan sanad yang sama dan lafaz yang semisal. Disebutkan bahawa Rasulullah Saw. bersabda:

“لَا يَا بِنْتَ الصِّدِّيقِ، وَلَكِنَّهُمُ الَّذِينَ يُصَلُّونَ وَيَصُومُونَ وَيَتَصَدَّقُونَ، وَهُمْ يَخَافُونَ أَلَّا يُقْبَلَ مِنْهُمْ، {أُولَئِكَ يُسَارِعُونَ فِي الْخَيْرَاتِ}

Tidak, hai anak perempuan As-Siddiq. Tetapi mereka adalah orang-orang yang solat, puasa, dan bersedekah, sedangkan hati mereka merasa takut tidak diterima amalnya. Mereka itu bersegera mendapat kebaikan-kebaikan.

Jadi sifat takut adalah sifat yang kena ada dalam hati kita. Jangan berani nak langgar semua hukum yang Allah telah gariskan.

Dan untuk jadi takut kepada Allah, kena kenal Allah seperti yang disampaikanNya dalam Qur’an. Dan untuk tahu manakah perkara yang tidak boleh dilanggar, kena belajar wahyu Qur’an dan wahyu hadis. Maknanya, ilmu kena ada. Maka kerana itu kita menekankan kepentingan belajar agama. Memang banyak masalah akan timbul dan menyusahkan kita kalau fahaman agama kita kurang.

 

أَنَّهُم إِلىٰ رَبِّهِم رٰجِعونَ

sesungguhnya mereka akan kembali kepada Tuhan mereka,

Kenapa mereka takut dan mereka takut apa? Kerana mereka sedar dan yakin yang mereka akan bertemu dengan Tuhan. Mereka takut kalau mereka bertemu dengan Allah dengan bawa banyak dosa. Mereka takut Allah akan murka kepada mereka. Maka kerana mereka takut, maka mereka amat berhati-hati.


 

Ayat 61: 

أُولٰئِكَ يُسٰرِعونَ فِي الخَيرٰتِ وَهُم لَها سٰبِقونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

It is those who hasten to good deeds, and they outstrip [others] therein.

(MELAYU)

mereka itu bersegera untuk mendapat kebaikan-kebaikan, dan merekalah orang-orang yang segera memperolehnya.

 

أُولٰئِكَ يُسٰرِعونَ فِي الخَيرٰتِ

mereka itu bersegera untuk mendapat kebaikan-kebaikan,

Mereka adalah jenis orang yang berlumba-lumba untuk membuat kebaikan. Kalau ada peluang sahaja untuk beramal dan buat kebaikan, mereka akan buat.

Begitulah golongan salaf. Ulama ada mengatakan:

‎ولو كان خيرا لسبقونا إليه

Sekiranya hal itu merupakan suatu hal yang baik, niscaya mereka akan mendahului kita semua dalam mengamalkannya.

Maka bagaimana ada golongan yang sanggup reka amalan bidaah yang baru? Apakah mereka lebih baik dari golongan terdahulu? Sebagai contoh, amalan Majlis Tahlil. Kalau ianya perkara yang baik, memang golongan salaf dah lama buat dah. Kerana mereka takka tinggalkan perkara yang baik. Dan mereka pun ada kalangan mereka yang mati, bukan? Jadi kenapa mereka tidak buat Majlis Tahlil untuk tolong ahli keluarga mereka?

Maka kerana itu kita pelik apabila ada golongan yang inovatif dalam reka amalan-amalan baru. Seolah-olah mereka lebih baik dari golongan salaf dan para sahabat. Seolah-olah golongan salaf itu malas nak buat amalan yang baik, kita pula yang rajin nak buat.

 

وَهُم لَها سٰبِقونَ

dan merekalah orang-orang yang segera memperolehnya.

Oleh kerana mereka berlumba-lumba untuk melakukan kebaikan, maka Allah beritahu yang mereka akan berjaya sampai ke tahap itu. Bukanlah mereka yang dapat capai kebaikan itu dari kalangan mereka yang banyak dapat harta dan nikmat dunia, bukan. Tapi yang mencapai kedudukan itu adalah golongan yang banyak amalnya.

Tapi, kena pastikanlah yang amal itu adalah amal soleh, bukan amal bidaah.


 

Ayat 62: Ini adalah ayat jumlah mu’taridah (berpisah dari rentetan ayat-ayat sebelum ini) kerana ada perkara yang Allah nak jelaskan.

Ada manusia tak cuba pun buat amalan semampu mereka. Allah ingatkan yang amalan mereka akan dipertanggungjawabkan nanti.

وَلا نُكَلِّفُ نَفسًا إِلّا وُسعَها ۖ وَلَدَينا كِتٰبٌ يَنطِقُ بِالحَقِّ ۚ وَهُم لا يُظلَمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We charge no soul except [with that within] its capacity, and with Us is a record which speaks with truth; and they will not be wronged.

(MELAYU)

Kami tiada membebani seseorang melainkan menurut kesanggupannya, dan pada sisi Kami ada suatu kitab yang membicarakan kebenaran, dan mereka tidak dianiaya.

 

وَلا نُكَلِّفُ نَفسًا إِلّا وُسعَها

Kami tiada membebani seseorang melainkan menurut kesanggupannya,

Manusia disuruh untuk beramal ikut kemampuan mereka sahaja. Maka kita hanya disuruh berlumba ikut kemampuan iman masing-masing. Maka tentulah tidak sama antara satu orang dan seorang yang lain. Kalau seseorang itu imannya setakat 50% sahaja, maka dia mampu buat amalan setakat 50% sahajalah.

Ayat ini juga memberitahu kita yang Allah tidak memberati kita dengan suruhan yang tidak patut. Memang arahan yang diberikan kepada kita adalah yang sesuai untuk kita sebagai manusia yang hidup pada zaman ini. Maka janganlah kita rasa yang agama Islam ini dan syariat yang kita kena ikut itu terlalu berat sampai kita tidak mampu nak buat. Kalau ada pemahaman yang sebegitu, maknanya itu adalah fahaman yang salah dan dikeluarkan oleh mereka yang kurang faham tentang agama.

Memang ada manusia yang ghuluw yang menjadikan agama ini sebagai sesuatu yang menyusahkan. Mereka sangka kalau nak dapat pahala banyak, kenalah susah sikit. Dan mereka sangka, memang kena bersusah untuk jadi taat kepada Allah.

Kerana salah faham beginilah, ada ustaz yang mengajar kalau istinjak, kena korek dubur untuk bersihkan najis dalam usus! Tak tahu datang dari mana ajaran salah ini. Tapi ajaran sebegini menular dalam masyarakat dan ramai yang mengamalkannya.

Satu lagi maksud ayat ini: kita disuruh ikut kemampuan kita sahaja. Pelajar yang baru berjinak dengan agama tentulah iman dan amalan mereka kurang. Allah suruh kita buat amal ikut kemampuan kita sahaja. Jangan paksa diri lebih dari kemampuan kerana ia hanya memakan diri sahaja.

Hanya kita sahaja yang tahu kemampuan diri kita. Maka ingatlah yang kita yang kena jawap di hadapan Allah nanti di akhirat. Dalam ayat sebelum ini telah diberitahu yang orang mukmin ‘takut’. Salah satu ketakutan mereka adalah mereka tak penuhi kemampuan mereka. Sebagai contoh, mereka mampu buat sampai 70% tapi mereka takut mereka hanya buat setakat 50% sahaja.

Maka kenalah nilai kemampuan diri kita dan buatlah ke tahap yang kita mampu. Jangan bandingkan sangat dengan orang lain.

 

وَلَدَينا كِتٰبٌ يَنطِقُ بِالحَقِّ

dan pada sisi Kami ada suatu kitab yang membicarakan kebenaran,

Ingatlah yang Allah tahu kemampuan diri kita. Dan Allah tahu apa yang kita lakukan semasa di dunia dan samada kita buat semampu kita.

Semua amalan kita ditulis dalam kitab amalan setiap orang. Buku di dunia tidak berkata-kata tetapi buku kitab amalan kita akan berkata-kata di akhirat kelak. Banyak mana kita buat, ada dalam kitab amalan. Sudah ada pencatat dari kalangan malaikat.

 

وَهُم لا يُظلَمونَ

dan mereka tidak dianiaya.

Allah tidak pernah zalim. Kalau kita buat banyak, semua akan ditulis, tidak ada yang tertinggal. Allah akan balas segala kebaikan yang kita lakukan.


 

Ayat 63: Ayat Syikayah. Setelah diberi peringatan, ramai manusia tak terima juga. Allah jelaskan kenapa mereka tak terima.

بَل قُلوبُهُم في غَمرَةٍ مِّن هٰذا وَلَهُم أَعمٰلٌ مِّن دونِ ذٰلِكَ هُم لَها عٰمِلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But their hearts are covered with confusion over this, and they have [evil] deeds besides that [i.e., disbelief] which they are doing,

(MELAYU)

Tetapi hati orang-orang kafir itu dalam kesesatan dari (memahami kenyataan) ini, dan mereka banyak mengerjakan perbuatan-perbuatan (buruk) selain daripada itu, mereka tetap mengerjakannya.

 

بَل قُلوبُهُم في غَمرَةٍ مِّن هٰذا

Tetapi hati orang-orang kafir itu dalam kesesatan dari perkara ini,

Hati-hati manusia yang engkar tidak sedar tentang perkara yang telah disampaikan sebelum ini. Ini adalah kerana mereka mabuk dalam kejahilan. Bila jahil dengan wahyu Qur’an, maka panduan hidup mereka adalah hawa nafsu mereka sahaja.

Akhirnya mereka sibuk dengan dunia mereka dan mengejar-ngejar dunia. Dan mereka tidak sedar dan tidak hiraukan wahyu dari Allah.

 

وَلَهُم أَعمٰلٌ مِّن دونِ ذٰلِكَ

dan mereka banyak mengerjakan perbuatan-perbuatan (buruk) selain daripada itu,

Maka kerana mereka jahil dengan wahyu dari Al-Quran dan juga sunnah, maka mereka akan beramal dengan amalan yang salah dan bida’ah dan mereka tidak berhenti daripada melakukannya.

Begitu juga dengan perbuatan mereka dalam kehidupan mereka dan dalam perhubungan mereka dengan manusia lain adalah silap belaka dan mereka hanya menambah-nambah dosa mereka sahaja.

Itu sebab kita telah katakan bahawa jikalau seseorang itu jahil dengan Qur’an dan tidak memahami tafsir Qur’an, mereka akan masuk ke dalam neraka kerana syaitan senang menipu mereka supaya mereka melakukan amalan yang akan memasukkan mereka ke dalam neraka.

Maka biarlah kita jahil dengan ilmu dunia tetapi janganlah kita jahil dengan ilmu Qur’an ini kerana sengsaranya berkekalan.

Jadi untuk faham Qur’an ini dengan cara ringkas bukannya lama hanya memerlukan 40 hari sahaja (jangkamasa kelas Daurah Tafsir) dan itu sudah cukup sebagai langkah pertama untuk memahami kehendak Allah dan hendaklah ditambah dengan tadabbur Qur’an itu. Kerana dengan belajar peringkat pertama ini maka seseorang itu akan betul akidahnya dan ini akan menyelamatkannya dari masuk ke dalam neraka.

 

هُم لَها عٰمِلونَ

mereka tetap mengerjakannya.

Mereka tetap akan mengerjakannya, yang akan menyebabkan mereka menerima azab yang lagi teruk. Allah telah tetapkan yang mereka tetap akan melakukannya. Kerana Allah nak azab mereka dengan lebih teruk lagi.

Kalau manusia tidak tahu mana amalan yang benar, mereka akan pasti melakukan amalan yang salah kerana manusia ini tetap akan beramal juga samada yang benar atau yang salah. Kalau tidak buat amalan yang benar, maka amalan yang salahlah yang akan dilakukan. Maka orang itu hanya akan meninggalkan amalan yang salah itu jikalau dia telah tahu tentang wahyu.

Apabila jahil wahyu, maka manusia akan sibuk dengan amal-amal lain yang tidak berfaedah yang mereka lakukan seperti bermain-main berjalan-jalan keliling dunia, membeli belah, bermain Games dan sebagainya. Mereka sibuk dengan perkara-perkara dunia yang melalaikan sampai mereka tidak ada masa untuk Qur’an. Mereka bekerja untuk dapat duit supaya dengan duit itu mereka boleh bermain-main lagi dan kemudian mereka bekerja lagi berterusan tanpa menghiraukan Qur’an. Itulah sahaja kitaran hidup mereka.

Ayat Qur’an yang pendek ini menceritakan tentang kehidupan majoriti dari kalangan manusia. Sebagai contoh, ada dari mereka yang bekerja susah payah untuk simpan duit untuk pergi bercuti dan habiskan waktu bercuti dan kemudian mereka sambung kerja balik dah simpan duit balik untuk bercuti lagi – berpusing pusing.

Bukanlah nak kata bercuti itu salah. Memang tidak salah, tapi kalau fikirkan nak bercuti sahaja itulah yang salah.


 

Ayat 64: Sampai bila mereka jadi begitu?

حَتّىٰ إِذا أَخَذنا مُترَفيهِم بِالعَذابِ إِذا هُم يَجئرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Until when We seize their affluent ones with punishment,¹ at once they are crying [to Allāh] for help.

  • In worldly life, before the punishment of the Hereafter. Although general, the description includes specifically the punishment of the Quraysh by famine.

(MELAYU)

Hingga apabila Kami timpakan azab, kepada orang-orang yang hidup mewah di antara mereka, dengan serta merta mereka memekik minta tolong.

 

حَتّىٰ إِذا أَخَذنا مُترَفيهِم بِالعَذابِ

Hingga apabila Kami timpakan azab, kepada orang-orang yang hidup mewah di antara mereka,

Ini adalah masalah kalau hidup dengan mewah. Apabila seseorang itu mewah dan tidak menghiraukan tentang akhirat, maka mereka akan semakin jauh dari agama.

Apabila mereka bersusah payah untuk bekerja maka memang Allah akan berikan kekayaan kepada mereka dan waktu itulah Allah akan tiba-tiba kenakan azab kepada mereka.

 

إِذا هُم يَجئرونَ

dengan serta merta mereka memekik minta tolong.

Dan waktu itulah kamu akan melihat mereka يَجئرونَ menjerit-jerit macam binatang. Mereka akan menjerit meminta tolong. Tapi malangnya tidak ada sesiapa pun yang boleh menolong.


 

Ayat 65: Apa kata Allah kepada mereka?

لا تَجئَرُوا اليَومَ ۖ إِنَّكُم مِّنّا لا تُنصَرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Do not cry out today. Indeed, by Us you will not be helped.

(MELAYU)

Janganlah kamu memekik minta tolong pada hari ini. Sesungguhnya kamu tiada akan mendapat pertolongan dari Kami.

 

لا تَجئَرُوا اليَومَ

Janganlah kamu memekik minta tolong pada hari ini.

Tak payahlah kamu hendak menjadi seperti binatang pada hari ini. Tak payah lagi nak menjerit-jerit. Buang masa sahaja kalau sekarang baru nak menyesal.

 

إِنَّكُم مِّنّا لا تُنصَرونَ

Sesungguhnya kamu tiada akan mendapat pertolongan dari Kami.

Tak payah nak jerit kerana kamu tidak akan mendapat bantuan daripada Allah langsung. Kerana yang boleh tolong waktu itu hanyalah Allah sahaja dan Allah tidak mahu menolong. Maka siapakah lagi yang akan menolong mereka? Maka tak perlulah mereka menjerit minta tolong lagi. Dalam ayat yang lain Allah berfirman:

{كَمْ أَهْلَكْنَا مِنْ قَبْلِهِمْ مِنْ قَرْنٍ فَنَادَوْا وَلاتَ حِينَ مَنَاصٍ}

Berapa banyaknya umat sebelum mereka yang telah Kami binasakan, lalu mereka meminta tolong, padahal (waktu itu) bukanlah saat lari untuk melepaskan diri. (Shad: 3)


 

Ayat 66: Kenapa teruk sangat mereka kena azab?

قَد كانَت ءآيٰتي تُتلىٰ عَلَيكُم فَكُنتُم عَلىٰ أَعقٰبِكُم تَنكِصونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

My verses had already been recited to you, but you were turning back on your heels

(MELAYU)

Sesungguhnya ayat-ayat-Ku (Al Qur’an) selalu dibacakan kepada kamu sekalian, maka kamu selalu berpaling ke belakang,

 

قَد كانَت ءآيٰتي تُتلىٰ عَلَيكُم

Sesungguhnya ayat-ayat-Ku (Al Quran) selalu dibacakan kepada kamu sekalian,

Ayat-ayat dari wahyu telah dibacakan kepada mereka semasa mereka duduk di dunia dahulu, tetapi mereka sahaja yang tidak mahu mendengar. Mereka berpaling tak mahu dengar. Macam sekarang kalau kita tafsirkan ayat Qur’an kepada kebanyakan manusia, mereka malas nak dengar.

Jadi janganlah menjerit seperti binatang pada hari ini seolah-olah kamu itu mangsa keadaan, kerana kamu bukan mangsa tetapi kamulah yang bersalah.

 

فَكُنتُم عَلىٰ أَعقٰبِكُم تَنكِصونَ

maka kamu selalu berpaling ke belakang,

Kamulah dulu semasa dunia berpusing dari mendengar perbicaraan tentang Qur’an. Apabila ada yang ajak kamu belajar tafsir Qur’an, kamu buat tak tahu sahaja. Kamu tak pandang pun dengan ilmu wahyu ini kerana kamu rasa ianya tidak penting.


 

Ayat 67: Allah jelaskan lagi kenapa mereka berpaling.

مُستَكبِرينَ بِهِ سٰمِرًا تَهجُرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

In arrogance regarding it,¹ conversing by night, speaking evil.

  • The revelation. Or “him,” i.e., the Prophet ().

(MELAYU)

dengan menyombongkan diri terhadap Al Quran itu dan mengucapkan perkataan-perkataan keji terhadapnya di waktu kamu bercakap-cakap di malam hari.

 

مُستَكبِرينَ بِهِ

dengan menyombongkan diri terhadap Al Qur’an itu

Mereka berasa sombong: iaitu mereka rasa mereka tidak perlu kepada wahyu itu dan mereka lebih baik daripada wahyu itu atau lebih baik dari orang-orang yang membacakan wahyu itu kepada mereka.

Istikbaar tidak sama dengan takabbur. Takabbur adalah orang yang memang ada ciri-ciri kebesaran dan mereka menunjuk-nunjuknya. Tetapi istikbaar adalah orang orang yang memang tidak apa-apa tetapi cuba meninggi-ninggikan diri mereka. mereka rasa mereka lebih besar dari Qur’an ini. Padahal mereka memerlukan Qur’an. Kerana tidak ada sesiapa yang lebih tinggi dan tidak memerlukan Qur’an ini.

Atau ia bermaksud musyrikin Mekah yang berbangga dan berlagak dengan kedudukan mereka sebagai penjaga Kaabah sampaikan mereka rasa mereka lebih tinggi dari Nabi Muhammad dan tidak layak untuk menerima atau mendengar Qur’an itu. Mereka dah rasa selamat kerana mereka jadi penjaga Kaabah.

Dalam Tafsir Ibn Kathir ada disebut yang kalimah به (dengannya) itu mungkin dhomir kepada salah satu dari tiga perkara:

  1. Dengan Kaabah. Maksudnya mereka telah duduk-duduk di Tanah Suci tapi tidak berkata perkara yang baik. Mereka sepatutnya beribadah tauhid di Kaabah itu tapi sebaliknya mereka melakukan kesyirikan.
  2. Merujuk kepada Qur’an. Iaitu mereka membicarakan tentang Qur’an tapi dalam mengutuk Qur’an itu.
  3. Merujuk Nabi Muhammad SAW. Mereka berbincangan tentang Nabi Muhammad dalam mengutuk baginda. Mereka kata baginda ahli sihir lah, penyair lah dan sebagainya.

 

سٰمِرًا تَهجُرونَ

dan mengucapkan perkataan-perkataan keji terhadapnya di waktu kamu bercakap-cakap di malam hari.

Mereka meluangkan masa di malam hari untuk bercerita. Begitulah orang-orang musyrikin Mekah itu yang duduk di sekeliling Kaabah dan bercerita sesama mereka dan mungkin dalam keadaan mabuk.

Kalimah تَهجُرونَ dari kata dasar ه ج ر dan darinya datanglah kalimah Hijrah. Maksudnya mereka ‘hijrah’ atau berpindah dari melakukan perkara-perkara baik yang patut dikatakan oleh lidah mereka.

Begitulah yang banyak terjadi dikalangan manusia apabila bersembang malam-malam hari. Ianya memang tidak baik kerana lama kelamaan percakapan itu menjadi percakapan yang tidak membawa kebaikan dan ia menjadi perkara yang buang masa dan akhirnya boleh bercakap benda-benda yang salah.

سامِرًا تَهجُرونَ juga boleh bermaksud mereka meninggalkan orang-orang yang membacakan Qur’an kepada mereka. Kalau mereka nak baca Qur’an sendiri memang tidak ada, tetapi apabila ada orang yang hendak membacakan kepada mereka,  mereka melarikan diri dari orang itu. Kerana mereka tak mahu nak dengar. Mereka rasa tak penting, mereka rasa mereka dah selamat atau mereka rasa mereka lagi baik dari orang yang membacakan ayat-ayat Qur’an itu kepada mereka.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 023: Mukminoon. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s