Tafsir Surah Mukminoon Ayat 50 – 59 (Perpecahan umat kepada kumpulan)

Ayat 50: Dalil Naqli ke-lima. Selepas Nabi Musa dan sebelum Nabi Muhammad, telah diutus Nabi Isa a.s kepada Bani Israil. Kalau sebelum ini telah disebut Nabi golongan Yahudi maka sekarang disentuh tentang Nabi golongan Nasrani pula.

وَجَعَلنَا ابنَ مَريَمَ وَأُمَّهُ آيَةً وَآوَينٰهُما إِلىٰ رَبوَةٍ ذاتِ قَرارٍ وَمَعينٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We made the son of Mary and his mother a sign and sheltered them within a high ground having level [areas] and flowing water.

(MELAYU)

Dan telah Kami jadikan (Isa) putera Maryam beserta ibunya suatu bukti yang nyata bagi (kekuasaan Kami), dan Kami melindungi mereka di suatu tanah tinggi yang datar yang banyak terdapat padang-padang rumput dan sumber-sumber air bersih yang mengalir.

 

وَجَعَلنَا ابنَ مَريَمَ وَأُمَّهُ آيَةً

Dan telah Kami jadikan (Isa) putera Maryam beserta ibunya suatu bukti yang nyata

Kisah Nabi Isa dan ibunya telah banyak ada di dalam Qur’an. Dalam ayat ini disentuh secara ringkas sahaja. Kisah mereka banyak ada dalam Surah Maryam.

Apakah ‘tanda’ yang dimaksudkan? Ianya adalah bukti yang Allah Maha Berkuasa. Allah menghamilkan Maryam tanpa benih seorang lelaki. Hanya Allah sahaja yang boleh lakukan perkata ini.

Kisah utama Maryam adalah bagaimana beliau telah dimasukkan dengan Roh nabi Isa a.s. Maka keadaan itu menjadi berat bagi Maryam kerana beliau tidak berkahwin dan beliau adalah seorang yang suci. Maka beliau telah disuruh untuk meninggalkan mihrabnya dan pergi ke tempat yang jauh.

 

وَآوَينٰهُما إِلىٰ رَبوَةٍ

dan Kami melindungi mereka di suatu tanah tinggi yang datar

Ad-Dahhak, telah meriwayatkan dari Ibnu Abbas, bahawa kalimah رَبوَةٍ ertinya tanah tinggi, yang biasanya memiliki tumbuh-tumbuhan yang terbaik. Mereka ditempatkan di tempat yang baik dan selamat.

Oleh kerana Allah yang mengatur perjalanan Maryam itu maka Allah telah selamatkan Maryam dari bahaya. Kalimah وَآوَينٰهُما bermaksud Allah telah memberi tempat perlindungan kepada Maryam yang waktu itu sedang mengandung Nabi Isa a.s. Jadi kedua mereka yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah Maryam dan Nabi Isa a.s.

Jadi pendapat ini mengatakan perlindungan yang diberikan kepada Maryam dan Nabi Isa itu adalah semasa Maryam mengandungkan Nabi Isa dan mereka diselamatkan daripada kata-kata nista masyarakat mereka yang tidak faham.

Ada pula yang mengatakan mereka berdua diselamatkan dari kerajaan waktu itu. Kerana Raja Yahudi yang bernaung di bawah kerajaan Rom sebagai kerajaan boneka, telah nampak dalam mimpinya yang akan lahir seorang yang akan menjatuhkan kerajaan. Maka dia keluarkan arahan untuk bunuh budak (lebih kurang seperti yang dilakukan oleh Firaun). Maka Maryam telah bawa lari Nabi Isa waktu kecil itu ke Mesir. Bila baginda sudah besar sikit barulah dibawa balik.

 

قَرارٍ وَمَعينٍ

yang banyak terdapat padang-padang rumput dan sumber-sumber air bersih yang mengalir.

Menurut Mujahid, makna قَرارٍ ialah tanah yang datar.

Allah tempatkan mereka di tempat selamat yang tanahnya tinggi. Jadi ada yang kata tempat tinggi yang dimaksudkan adalah Mesir. Atau satu kawasan yang tidak berapa jauh di kawasan semasa beliau melahirkan Nabi Isa. Hal yang sama telah dikatakan oleh Ad-Dahhak dan Qatadah: di suatu tanah tinggi yang datar yang memiliki banyak padang rumput dan sumber-sumber air bersih yang mengalir. (Al Mu’minun: 50) Yakni Baitul Maqdis.

Ibnu Abu Hatim telah meriwayatkan melalui Sa’id ibnu Musayyab sehubungan dengan makna firman-Nya: dan Kami melindungi mereka di suatu tanah tinggi yang datar yang memiliki banyak padang rumput dan sumber-sumber air bersih yang mengalir. (Al Mu’minun: 50) bahwa tanah tersebut terletak di Damsyiq (Damaskus).

Yang pasti Allah menyelamatkan mereka berdua dan menempatkan mereka di tempat yang selamat dan ada sumber air yang mengalir.


 

Ayat 51: Arahan kepada para Rasul dan orang mukmin. Ini adalah Dalil Naqli Ijmali kerana perintah itu keluarkan kepada semua Rasul tanpa disebut nama.

يا أَيُّهَا الرُّسُلُ كُلوا مِنَ الطَّيِّبٰتِ وَاعمَلوا صٰلِحًا ۖ إِنّي بِما تَعمَلونَ عَليمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Allāh said], “O messengers, eat from the good foods and work righteousness. Indeed I, of what you do, am Knowing.

(MELAYU)

Hai rasul-rasul, makanlah dari makanan yang baik-baik, dan kerjakanlah amal yang saleh. Sesungguhnya Aku Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.

 

يا أَيُّهَا الرُّسُلُ

Hai rasul-rasul,

Sekarang Allah keluarkan arahan kepada semua Rasul. Maksudnya ini juga adalah arahan kepada orang-orang mukmin kerana arahan yang diberikan kepada orang mukmin sama saja dengan arahan yang diberikan kepada para Rasul. Jangan pula kita sangka yang ianya hanya untuk Rasul sahaja. Rasulullah pernah bersabda:

“يَا أَيُّهَا النَّاسُ، إنَّ اللَّهَ طَيِّبٌ لَا يَقْبَلُ إِلَّا طَيَّبًا، وَإِنَّ اللَّهَ أَمَرَ الْمُؤْمِنِينَ بِمَا أَمَرَ بِهِ الْمُرْسَلِينَ، فَقَالَ: {يَا أَيُّهَا الرُّسُلُ كُلُوا مِنَ الطَّيِّبَاتِ وَاعْمَلُوا صَالِحًا إِنِّي بِمَا تَعْمَلُونَ عَلِيمٌ} . وَقَالَ: {يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُلُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ}

Hai manusia, sesungguhnya Allah itu Maha baik, Dia tidak mahu menerima kecuali yang baik-baik (halal). Dan sesungguhnya Allah telah memerintahkan kepada orang-orang yang beriman seperti apa yang Dia perintahkan kepada para rasul-(Nya). Kemudian Rasulullah Saw. membaca firman-Nya: Hai rasul-rasul, makanlah dari makanan yang baik-baik, dan kerjakanlah amal yang saleh. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kalian kerjakan. (Al Mu’minun: 51) Dan firman Allah Swt.: Hai orang-orang yang beriman, makanlah di antara rezeki yang baik-baik yang Kami berikan kepada kalian. (Al-Baqarah: 172)

 

كُلوا مِنَ الطَّيِّبٰتِ

makanlah dari makanan yang baik-baik, 

Makanlah dari makanan yang baik-baik iaitu yang halal. Itulah maksud makanan yang baik. Iaitu makanan yang dibenarkan dalam syarak.

 

وَاعمَلوا صٰلِحًا

dan kerjakanlah amal yang saleh. 

Dari makan makanan yang halal maka amalan pun akan jadi amalan yang soleh. Itulah sebabnya kita disuruh untuk jaga makanan kita kerana ianya boleh mengganggu amalan kita. Apabila masuk makanan yang haram ke dalam diri kita, maka ianya akan menyebabkan kita terdorong untuk melakukan dosa.

 

إِنّي بِما تَعمَلونَ عَليمٌ

Sesungguhnya Aku Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.

Allah maha tahu dari mana hasil makanan kita dan Allah tahu sama ada amalan yang kita lakukan itu soleh atau tidak.

Makanan yang halal bukan sahaja bermaksud daging yang halal, tetapi ia juga bermaksud makanan yang diambil dari sumber yang halal – bukan hasil curi dan dibeli dari sumber yang haram seperti rasuah, contohnya.


 

Ayat 52: Agama kita hanya ada satu sahaja. Tentang tauhid.

وَإِنَّ هٰذِهِ أُمَّتُكُم أُمَّةً وٰحِدَةً وَأَناْ رَبُّكُم فَاتَّقونِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And indeed this, your religion, is one religion,¹ and I am your Lord, so fear Me.”

(MELAYU)

Sesungguhnya (agama tauhid) ini, adalah agama kamu semua, agama yang satu, dan Aku adalah Tuhanmu, maka bertakwalah kepada-Ku.

 

وَإِنَّ هٰذِهِ أُمَّتُكُم أُمَّةً وٰحِدَةً

Sesungguhnya (agama tauhid) ini, adalah agama kamu semua, agama yang satu,

Kita ini sebenarnya di atas satu umat iaitu umat tauhid. Tiada lagi agama lain, kerana tiada Tuhan atau ilah lagi. Sesungguhnya syari’at yang diberikan kepada manusia keseluruhannya adalah syariat yang satu. Itulah agama tauhid.

Tidak ada agama lain lagi untuk manusia dan jin melainkan agama Islam. Dan tidak ada Tuhan lain yang boleh disembah dan dipuja dalam doa melainkan Allah sahaja.

Oleh itu, kita tidak boleh redha kalau ada agama lain. Kita tidak boleh iktiraf mereka. Kita kena sampaikan agama Islam ini kepada mereka yang beragama lain. Jangan mereka nampak kita iktiraf agama mereka.

Antara cara tidak iktiraf agama mereka adalah: jangan raikan hari perayaan agama mereka. Ucap selamat Hari Natal pun jangan.

 

وَأَناْ رَبُّكُم فَاتَّقونِ

dan Aku adalah Tuhanmu, maka bertakwalah kepada-Ku.

Allah memberitahu yang Dia sahaja Tuhan yang pencipta dan pemelihara alam ini. Maka kerana Dia sahaja Rabb, maka bertaqwalah kepada Dia sahaja.

Dan takwa itu pula bermaksud takut kepada Allah. Ia juga bermaksud apabila kita takut kepada Allah, maka kita akan taat kepada segala hukumNya. Maka kerana itu kita akan sentiasa sedar apa yang kita lakukan itu tertakluk kepada hukum Allah sama ada dibolehkan atau tidak.

Oleh kerana itu orang yang bertakwa akan sentiasa menilai sama ada sesuatu perkara itu halal ataupun haram untuk dilakukan. Mereka tidaklah terus buat sahaja.


 

Ayat 53: Agama tauhid itu satu sahaja tapi pengikut Nabi-Nabi yang datang kemudian telah menukar dan memecahkan agama ini.

فَتَقَطَّعوا أَمرَهُم بَينَهُم زُبُرًا ۖ كُلُّ حِزبٍ بِما لَدَيهِم فَرِحونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But they [i.e., the people] divided their religion among them into portions [i.e., sects] – each faction, in what it has,¹ rejoicing.

  • Of beliefs, opinions, customs, etc.

(MELAYU)

Kemudian mereka (pengikut-pengikut rasul itu) menjadikan agama mereka terpecah belah menjadi beberapa pecahan. Tiap-tiap golongan merasa bangga dengan apa yang ada pada sisi mereka (masing-masing).

 

فَتَقَطَّعوا أَمرَهُم بَينَهُم زُبُرًا

Kemudian mereka (pengikut-pengikut rasul itu) menjadikan agama mereka terpecah belah menjadi beberapa pecahan.

Seperti yang disebut tadi, agama ini patutnya satu sahaja. Tapi dari dulu lagi memang manusia dah pecahkan agama ini. Ada yang reka agama lain pula. Mereka reka agama Yahudi, agama Kristian, Syiah dan sebagainya.

Orang Islam pun ramai yang pecahkan agama kepada bahagian-bahagian dan setiap  mereka akan ambil bahagian yang mereka suka. Mereka katakan itu sahaja agama. Mereka reka hal-hal lain. Contohnya, ada puak yang suka berzikir maka zikir lah sahaja yang mereka banyak amalkan, tapi Qur’an ditinggalkan. Ada pula yang ambil Qur’an tapi hadis ditinggalkan. Dan banyak lagi contoh-contoh yang ada. Kita jangan begitu, kerana kita kena ambil agama ini secara keseluruhan.

Kalimah زُبُرًا maksudnya ‘berpuak-puak’. Sepatutnya akidah tauhid itu satu sahaja tetapi manusia berpecah belah dalam hal agama sampai menjadi berbagai-bagai kumpulan berkenaan tauhid ini.

 

كُلُّ حِزبٍ بِما لَدَيهِم فَرِحونَ

Tiap-tiap golongan merasa bangga dengan apa yang ada pada sisi mereka

Dan ada yang suka buat kumpulan-kumpulan tertentu. Ada tabligh, ada salafi, ada aswaja, tarekat sufi dan lain-lain lagi. Setiap kumpulan rasa suka dengan apa yg mereka ada. Memang mereka gembira dengan apa yang mereka ada. Mereka rasa kumpulan mereka sahaja yang benar.

Mereka rasa yang mereka itu betul dan puak lain salah sedangkan mereka tidak merujuk kepada dalil yang ada. Kerana itu bahaya kalau ada berpuak-puak kerana itu menandakan ada puak yang tidak selamat dan ingatlah yang berpuak-puak ini adalah perangai jahiliah sedangkan kita disuruh bersatu. Puak jahiliah berbangga dengan puak mereka dan pandang rendah puak lain. Sedangkan apabila Islam datang, kita semuanya adalah ‘muslim’.


Ayat 54: Apa sepatutnya sikap kita terhadap mereka yang suka berpuak-puak ini?

فَذَرهُم في غَمرَتِهِم حَتّىٰ حينٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So leave them in their confusion for a time.

(MELAYU)

Maka biarkanlah mereka dalam kesesatannya sampai suatu waktu.

 

Berkenaan mereka yang telah berpecah-pecah ikut puak itu dan ini, Allah suruh kita biarkan saja mereka. Jangan campur dengan mereka dan jangan masuk golongan mereka. Bermaksud mereka itu telah lama tenggelam. Kalimah غَمرَتِهِم bermaksud mereka mabuk dalam kejahilan. Mereka ini tidak ada wahyu dalam jiwa mereka. Teruskan jalankan tugas dalam dakwah.

Kita pun tahu bagaimana Nabi Muhammad telah memberitahu yang umat Islam ini juga akan berpecah kepada 73 golongan. Jadi bilangan golongan itu ramai dan mungkin akan bertambah lagi. Maka jikalau kita nak tahu dan senaraikan siapakah golongan-golongan itu dan kita jatuhkan mereka ataupun kita cerita kepada orang lain tentang kesesatan mereka, maka itu akan mengambil masa yang terlalu lama dan buang masa kerana akan timbul saja kumpulan-kumpulan yang baru. Dan kalau kita tumpukan perhatian nak cari mereka maka kita tidak dapat melakukan perkara yang lebih penting lagi iaitu mengajar manusia agama yang sebenarnya.

Maka teruskan kita dakwah dan mengajak kepada amalan agama yang benar dan orang-orang yang berada di dalam puak puak yang sesat itu akan lihat bagaimana ajaran agama yang benar ini lebih bagus daripada amalan agama mereka yang sesat. Maka semoga mereka dapat meninggalkan kumpulan sesat mereka itu. Maksudnya kita kena tunjukkan manakah amalan agama yang benar. Tak perlu tunjukkan mana salah mereka tapi tunjukkan mana yang benar. Nanti mereka sendiri akan nampak manakah kesalahan mereka.

Satu lagi pengajaran yang kita boleh ambil adalah, jangan kita sangka yang semua puak-puak yang tidak sama dengan kita itu sesat semuanya, kerana mereka itu mungkin berpegang kepada pendapat yang masih lagi di dalam lingkungan ahli sunah wal jamaah, maka kita biarkan sahaja mereka dengan apa yang mereka lakukan.

Tapi kita kenalah jalankan dakwah kepada wahyu. Kalau mereka itu tidak dikembalikan kepada wahyu, maka mereka itu akan terus mabuk di dalam kejahilan mereka sampailah mereka mati. Tidakkah kita kasihan kepada mereka?

Maka biarkan mereka حَتّىٰ حينٍ sampai ke suatu waktu yang mereka akan dibinasakan. Sama pengertiannya dengan apa yang disebutkan oleh firman-Nya:

{فَمَهِّلِ الْكَافِرِينَ أَمْهِلْهُمْ رُوَيْدًا}

Kerana itu, beri tangguhlah orang-orang kafir itu, yaitu beri tangguhlah mereka itu barang sebentar. (Ath-Thariq: 17)

Dan firman Allah Swt.:

{ذَرْهُمْ يَأْكُلُوا وَيَتَمَتَّعُوا وَيُلْهِهِمُ الأمَلُ فَسَوْفَ يَعْلَمُونَ}

Biarkanlah mereka (di dunia ini) makan dan bersenang-senang dan dilalaikan oleh angan-angan (kosong), maka kelak mereka akan mengetahui (akibat perbuatan mereka). (Al-Hijr: 3)


 

Ayat 55: Sindiran kepada kumpulan-kumpulan itu. Allah sebut salah sangkaan mereka.

أَيَحسَبونَ أَنَّما نُمِدُّهُم بِهِ مِن مّالٍ وَبَنينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Do they think that what We extend to them of wealth and children

(MELAYU)

Apakah mereka mengira bahwa harta dan anak-anak yang Kami berikan kepada mereka itu (bererti bahawa),

 

Kadangkala golongan yang sesat itu mendapat kelebihan keduniaan. Allah sindir mereka: Adakah mereka sangka yang mereka dibiarkan begitu sahaja dan diberi dengan segala nikmat itu bermaksud mereka itu telah dapat rahmat?

Ya memang mereka diberikan dengan nikmat-nikmat keduniaan kerana ajaran-ajaran sesat itu selalunya hanya mementingkan dunia sahaja di mana kita boleh lihat bagaimana guru-guru mereka itu hidup kaya raya sedangkan yang mengikutnya itu miskin kerana kena menampung guru-guru mereka.


 

Ayat 56:

نُسارِعُ لَهُم فِي الخَيرٰتِ ۚ بَل لّا يَشعُرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Is [because] We hasten for them good things? Rather, they do not perceive.¹

  • That the good things given to them in this world are but a trial for them.

(MELAYU)

Kami bersegera memberikan kebaikan-kebaikan kepada mereka? Tidak, sebenarnya mereka tidak sedar.

 

نُسارِعُ لَهُم فِي الخَيرٰتِ

Kami bersegera memberikan kebaikan-kebaikan kepada mereka?

Adakah mereka sangka yang mereka dibiarkan tanpa dikenakan dengan azab musibah itu tanda yang mereka golongan yang benar? Tentu tidak.

Mereka dibiarkan kerana nak beri peluang kepada mereka untuk bertaubat dan baiki diri mereka. Allah beritahu yang Dia telah banyak memberi peluang untuk mereka kembali kepada jalan yang benar tetapi mereka tidak sedar.

 

بَل لّا يَشعُرونَ

Tidak, sebenarnya mereka tidak sedar.

Mereka sebenarnya tidak sedar yang mereka itu sebenarnya sesat.

Mereka tidak sedar yang Allah sebenarnya sedang beri peluang kepada mereka.

Mereka tidak sedar bahawa segala kesenangan dan anak pihak yang diberikan kepada mereka itu sebagai istidraj sahaja – menjauhkan mereka dari agama. Sama halnya dengan apa yang disebutkan oleh firman-Nya:

{فَلا تُعْجِبْكَ أَمْوَالُهُمْ وَلا أَوْلادُهُمْ إِنَّمَا يُرِيدُ اللَّهُ لِيُعَذِّبَهُمْ بِهَا فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا}

Maka janganlah harta benda dan anak-anak mereka menarik hatimu. Sesungguhnya Allah menghendaki dengan (memberi) harta benda dan anak-anak itu untuk menyeksa mereka dalam kehidupan di dunia. (At-Taubah: 55), hingga akhir ayat.


 

Ayat 57: Maka, bagaimana cara untuk selamat? Allah sebut sifat mereka yang berpegang teguh dengan ajaran agama.

إِنَّ الَّذينَ هُم مِّن خَشيَةِ رَبِّهِم مُّشفِقونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, they who are apprehensive from fear of their Lord

(MELAYU)

Sesungguhnya orang-orang yang berhati-hati kerana takut akan Tuhan mereka,

 

Ini pula kita kembali kepada penjelasan tentang sifat-sifat orang orang mukmin. Mereka amat takut dengan Allah dan kerana itu mereka menjaga amalan-amalan dan perbuatan mereka. Mereka akan jaga hukum. Kerana mereka amat takut dengan Allah dan azab Allah.

Mereka gerun kerana mereka kenal sifat Tuhan. Dan mereka kenal kerana mereka belajar wahyu. Kerana itu dalam ayat yang lain ada disebut bahawa yang takut kepada Allah adalah ‘ulama’. Kerana mereka itu takut setelah tahu. Yang tidak tahu sahaja yang tidak takut. Mereka rasa selamat sahaja dalam lalai leka.

Lagi satu ia bermaksud mereka takut dengan tipu daya Allah. Kerana Allah ada meletakkan perangkap-perangkap untuk menguji hambaNya dengan kehidupan di dunia. Maka orang-orang yang beriman akan berhati-hati dengan apa yang diberikan kepada mereka.

 


Ayat 58: Apa lagi sifat muttaqeen itu?

وَالَّذينَ هُم بِئايٰتِ رَبِّهِم يُؤمِنونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And they who believe in the signs of their Lord

(MELAYU)

Dan orang-orang yang beriman dengan ayat-ayat Tuhan mereka,

 

Mereka juga beriman sungguh-sungguh dengan wahyu Qur’an yang Allah telah berikan kepada mereka dan mereka mempelajarinya dan memahami tafsirnya.  Setelah memahaminya, mereka mengamalkan apa yang mereka belajar itu. Mereka tidak akan melakukan syirik kerana mereka apakah tauhid dan apakah syirik. Orang jahil sahaja yang amalkan syirik kerana mereka tidak sedar yang amalan mereka itu ada elemen syirik.

Dalam ayat ini ada jalan penyelesaian kepada masalah berpuak yang dihadapi oleh manusia. Perpecahan yang ada itu boleh disambung dengan kembali kepada Qur’an  kerana Qur’an ini adalah penyatu kepada semua manusia. Apabila semua berpegang kepada satu sumber, maka mudah nak bersatu.

Tetapi untuk mencapai tahap ini, Qur’an itu kenalah selalu dibincangkan di khalayak ramai dan bukan macam sekarang di mana kebanyakan masyarakat Islam negara ini pun tidak tahu menahu langsung tentang tafsir Qur’an. Kalau mereka pun tidak tahu tentang Qur’an sedangkan mereka itu orang Islam bagaimana nak sampaikan Qur’an ini kepada orang-orang yang bukan Islam? Masalahnya tafsir Qur’an ini dipelajari oleh golongan tertentu sahaja. Sedarkan masyarakat awam rasa mereka tak layak untuk memahami tafsir Qur’an.

Maka kerana itu pelajaran tafsir Qur’an ini hendaklah diperbanyakkan lagi dan janganlah pula kita termasuk dalam golongan orang-orang yang menghalang pembelajaran dan pengajaran tafsir Qur’an ini. Kita sebutkan perkara ini kerana ada orang yang benci dan sakit hati kalau ada orang-orang yang mereka rasa tidak layak mengajar dan mereka membuat tohmahan yang berbagai-bagai untuk menghalang orang yang mengajar itu. Sepatutnya kalau ada orang yang mahu belajar dan mengajar, maka kenalah sokong – bukannya halang dan kutuk.

Lagi satu yang kita kena ingat, tanda dari Allah itu bukan sahaja dalam bentuk wahyu Qur’an sahaja tetapi juga dalam bentuk makhluk yang ada pada alam ini. Orang mukmin akan melihat makhluk Allah pada alam ini dan mereka ingat kepada Allah. Sebagai contoh mereka akan melihat langit, gunung dan laut dan mereka akan terkenang kepada Allah. Dengan melihat pada tanda alam itu mereka akan sedar tentang kehebatan dan keagungan Allah Taala.


 

Ayat 59: Apakah yang paling penting sekali?

وَالَّذينَ هُم بِرَبِّهِم لا يُشرِكونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And they who do not associate anything with their Lord

(MELAYU)

Dan orang-orang yang tidak mempersekutukan dengan Tuhan mereka (sesuatu apapun),

 

Mereka tidak pernah buat syirik ataupun jika pernah buat syirik, mereka telah tinggalkan dan minta ampun dari syirik mereka itu.

Dan untuk tahu manakah amalan dan fahaman yang syirik, kena belajar tafsir Qur’an kerana tauhid dan syirik diajar dalam Qur’an.

Kerana jahil tentang ajaran Qur’an lah yang menyebabkan banyak Muslim yang mengamalkan syirik tanpa mereka sedar.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 023: Mukminoon. Bookmark the permalink.

2 Responses to Tafsir Surah Mukminoon Ayat 50 – 59 (Perpecahan umat kepada kumpulan)

  1. Pingback: Tafsir Surah Mukminoon Ayat 50 – 59

  2. Pingback: Tafsir Surah Mukminoon Ayat 50 – 59 (Perpecahan umat kepada kumpulan)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s