Tafsir Surah Mukminoon Ayat 1 – 11 (Sifat-sifat orang mukmin)

Pengenalan:

Dalam surah al-Hajj sebelum ini, di hujungnya telah disebut tentang orang mukmin dan sifatNya; dan sekarang surah ini menyambung topik itu dengan menceritakan lagi sifat-sifat orang mukmin.

Dalam Surah al-Hajj, telah dijelaskan beberapa kesesatan kafir adalah kerana syirik tasarruf dan syirik amalan. Dalam Surah Mukminoon ini akan dinyatakan banyak kerosakan akidah.

Dalam Surah al-Hajj telah diterangkan keadaan di akhirat, manakala pada awal Surah Mukminoon ini akan diterangkan bagaimana hendak menyelamatkan diri dari azab itu. Dan cara itu melibatkan Amalan Tiga Serangkai – Beramal baik – Jauhi syirik – tidak zalim.

Allah hendak memberitahu yang kedudukan hamba dengan Allah bergantung kepada ilmunya tentang wahyu. Kalau tak tahu wahyu, maka hamba itu akan rosak. Maka janganlah abaikan ilmu wahyu ini.

Dakwa Surah ini terdapat pada ayat 63.

 Surah ini terbahagi kepada dua bahagian:

Bahagian Pertama: Ayat 1-77. Ia mengandung Dakwa Surah iaitu ayat 63. Amalan manusia rosak kerana jauh dari ilmu wahyu. Kalau rapat dengan wahyu maka berkuranglah rosaknya. Kerana itu sahabat Nabi tadabbur Qur’an habis seminggu sekali. Mereka baca satu persatu dan fahami apa yang mereka baca. Mereka tidak baca dengan laju kerana nak khatam. Mereka baca kerana nak ambil pengajaran. Sebab itulah kita mementingkan pengajaran tafsir Qur’an ini. Para sahabat tidak ajar anak-anak mereka dengan hadis atau ilmu lain tanpa habis belajar tafsir Qur’an. Ini penting kerana manusia perlu kemaskan tauhid dulu.

Maka kita kena pulihkan masyarakat yang rosak akidah dengan cara yang sama. Memang masyarakat kita ada masalah dengan akidah maka memang kena belajarlah. Qur’an itu hebat kerana ianya adalah mukjizat yang berkekalan. Dalam bahasa Arab ia dipanggil Mukjizah Khoolidah. Hati manusia akan mudah tersentuh kalau mereka faham apa yang mereka baca dalam Qur’an ini.

Allah sudah mudahkan Qur’an untuk dipelajari tapi syaitan akan bisikkan yang orang awam tidak boleh belajar tafsir Qur’an ini. Jadi ada yang kata nak belajar ilmu tafsir kena ada 15 Ilmu Alat, kena tahu bahasa Arab, kena tahu baca Qur’an dulu dan macam-macam lagi. Kalau semua ini kena ada, bilalah pula nak belajar tafsir? Maka akhirnya tak belajarlah. Bila tak belajar, maka sukalah syaitan kerana senang nak tipu mereka yang jahil kerana  tak tahu. Senanglah syaitan nak sesatkan manusia kerana ramai manusia yang jahil.

Bahagian kedua: Ayat 78 – akhir. Mengandungi perbincangan tentang larangan kepada Syirik Amali.

Ada ‘amalan tiga serangkai’ yang disebut dalam bahagian ini. Sila rujuk pengisian tentang Istilah untuk memahami apakah ‘amalan tiga serangkai’ itu.

  1. Beramal baik. Iaitu disebut tentang khusyuk dalam solat. Ini terdapat dalam ayat 2.
  2. Menjauhi syirik. Ini disebut dalam ayat 3-4.
  3. Menjauhi kezaliman. Iaitu dengan meninggalkan perzinaan kerana itu adalah amalan zalim. Ini disebut dalam ayat 5-8.

Kaitan dengan surah-surah yang berdekatan:

Dalam Surah Anbiya telah disebut yang orang kafir tidak peduli Qur’an kerana mereka sibuk dengan dunia.

Dalam Surah Mukminoon nanti akan disebut yang orang mukmin berpaling dari dunia kerana khusyuk dengan Qur’an. Bukan mereka tidak tahu dan tidak kisah tentang dunia tapi dunia tidak dilebihkan. Mereka cuma guna  dunia untuk keperluan sahaja. Mereka juga guna dunia ini sebagaimana cara yang Allah ajar. Mereka tidak salah gunakan dunia dan mereka ikut hukum Allah dalam memakai dunia.

Mereka faham bahawa dunia ini digunakan sebagai batu loncatan supaya mendapat kebaikan di akhirat kelak. Mereka jadikan dunia tempat buat kebaikan dan tempat kumpul pahala.

Kelebihan surah ini: 

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا عَبْدُ الرَّزَّاقِ، أَخْبَرَنِي يُونُسُ بْنُ سُلَيْم قَالَ: أَمْلَى عليَّ يُونُسُ بْنُ يَزِيدَ الْأَيْلِيُّ، عَنِ ابْنِ شِهَابٍ، عَنْ عُرْوَة بْنِ الزُّبَيْرِ، عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ عَبْدٍ الْقَارِيِّ قَالَ: سَمِعْتُ عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ يَقُولُ: كَانَ إِذَا نَزَلَ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وسلم الوحيُ، يُسْمَعُ عِنْدَ وَجْهِهِ كدَوِيّ النَّحْلِ فَمَكثنا سَاعَةً، فَاسْتَقْبَلَ الْقِبْلَةَ وَرَفَعَ يَدَيْهِ، فَقَالَ:”اللَّهُمَّ، زِدْنَا وَلَا تَنْقُصْنا، وَأَكْرِمْنَا وَلَا تُهِنَّا، وَأَعْطِنَا وَلَا تَحْرِمْنَا، وآثِرْنا وَلَا تُؤْثِرْ [عَلَيْنَا، وَارْضَ عَنَّا] وأرضِنا”، ثُمَّ قَالَ: “لَقَدْ أُنْزِلَتْ عَلِيَّ عَشْرُ آيَاتٍ، مَنْ أَقَامَهُنَّ دَخَلَ الْجَنَّةَ”، ثُمَّ قَرَأَ: {قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ} حَتَّى خَتَمَ العَشْر.

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Abdur Razzaq, telah menceritakan kepadaku Yunus ibnu Sulaim yang mengatakan bahawa ia telah mencatat apa yang dikatakan oleh Yunus ibnu Yazid Al-Aili, dari Ibnu Syihab, dari Urwah ibnuz Zubair, dari Abdur Rahman ibnu Abdul Qari yang mengatakan bahawa ia pernah mendengar Khalifah Umar ibnul Khattab mengatakan, “Rasulullah Saw. apabila diturunkan wahyu kepadanya terdengar suara seperti suara lebah dekat wajahnya. Maka kami diam sesaat, dan baginda Saw. menghadap ke arah kiblat, lalu mengangkat kedua tangannya dan berdoa, ‘Ya Allah, berilah kami tambahan dan janganlah Engkau kurangi kami, berilah kami kemuliaan dan janganlah Engkau hinakan kami, berilah kami dan janganlah Engkau menghalangi kami dari pemberian-Mu, pilihlah kami dan janganlah Engkau kesampingkan kami, dan redhailah kami dan jadikanlah kami puas (dengan keputusan-Mu)‘.” Kemudian Rasulullah Saw. bersabda: Sesungguhnya telah diturunkan kepadaku sepuluh ayat; barang siapa yang mengamalkannya, nescaya ia masuk syurga. Kemudian Rasulullah Saw. membaca firman-Nya: Sesungguhnya telah beruntunglah orang-orang yang beriman. (Al Mu’minun: 1) hingga akhir ayat kesepuluh.


 

Ayat 1:

قَد أَفلَحَ المُؤمِنونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Al-Mu’minūn: The Believers.

Certainly will the believers have succeeded:

(MELAYU)

Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman,

 

Allah memberitahu dalam ayat ini bahawa orang-orang mukmin itu telah berjaya walaupun mereka belum lagi dimasukkan ke dalam syurga kerana mungkin kita rasa orang-orang akan berjaya hanya apabila sudah masuk syurga. Inilah keberuntungan yang amat tinggi.

Kalimah aflaha digunakan juga untuk para petani apabila mereka menuai hasil tuaian mereka; yang memberi maksud bahawa orang-orang mukmin ini berjaya setelah mereka berusaha. Sebagaimana para petani itu telah berusaha sepanjang tahun dan sampai masa untuk mereka menuai hasil tanaman mereka.

Para petani susah kerja mereka kerana mereka kena bekerja sepanjang tahun dan mereka hanya dapat mengambil hasil mereka sekali sahaja setahun; dan begitu juga perumpamaan kepada orang Mukmin, iaitu mereka kena bersungguh-sungguh menjaga diri mereka, beramal dan mereka akan mendapat keuntungan hanya di hujung.

Kalimah aflaha itu juga digunakan untuk memberi gambaran bahawa mereka itu bahagia di dunia dan juga bahagia di akhirat. Mereka tidak pernah kecewa dan putus asa semasa mereka hidup di dunia sampailah mereka bertemu dengan Allah di akhirat.

Dalam ayat ini, digunakan kalimah المُؤمِنونَ sedangkan banyak dalam ayat-ayat lain, digunakan kalimat الَّذِينَ آمَنُواْ. Kalau kita lihat dari terjemahan, kedua-duanya diterjemahkan sebagai ‘orang-orang beriman’. Tapi tentu ada bezanya, bukan?

Dari segi bahasa, kalimah المُؤمِنونَ adalah dalam bentuk isim fa’il (katanama pembuat). Sedangkan maksud الَّذِينَ آمَنُواْ (orang-orang yang beriman) itu di dalam bentuk kata kerja dan ia tidak sekuat jikalau dalam bentuk katanama. Ini  beza dengan ‘orang yang sedang memasak’ dan ‘tukang masak’ – tak sama kan? Oleh itu dalam ayat ini, apabila digunakan kata orang beriman itu dalam bentuk katanama, ia bermaksud yang iman mereka itu telah stabil dan mantap. Oleh itu apabila Allah memuji orang-orang beriman seperti yang digunakan di dalam surah ini Allah, menggunakan format katanama المُؤمِنونَ.

Sedangkan kepada الَّذِينَ آمَنُواْ (orang-orang beriman) digunakan di dalam bentuk kata kerja, bermaksud mereka itu kadang imannya naik dan kadang jatuh kerana masih lagi di dalam keadaan begitu. Bayangkan orang-orang itu seperti di dalam laut yang bergelora yang kadang-kadang mereka duduk dalam laut dan kadang-kadang mereka dapat mencungap ke atas. Tetapi orang orang mukmin itu mereka telah stabil seolah-olah mereka berada di atas kapal yang walaupun laut bergelora, mereka telah selamat.

Dalam surah ini nanti akan diberitahu ciri-ciri orang mukmin. Akan tetapi senarai itu bukanlah untuk kita menilai samada seseorang itu munafik, Muslim ataupun mukmin, kerana itu bukan tugas kita; tetapi dengan mengetahui ciri-ciri mereka itu kita boleh menilai diri kita sendiri sebenarnya, bukanlah untuk menilai orang lain. Kita nak bandingkan ciri-ciri itu dengan kita, sebenarnya.


 

Ayat 2: Ini adalah ciri yang pertama. Allah memberitahu sifat-sifat orang mukmin itu. Kita kena dapatkan kriteria ini dari Allah sendiri kerana perkara ini bukan boleh dicakap sahaja tetapi kena ikut kriteria yang Allah telah letakkan. Kriteria ini bukan kita buat sendiri, tapi dari Allah. Yang pertama sekali adalah tentang solat. Kena khusyuk dalam solat.

الَّذينَ هُم في صَلاتِهِم خٰشِعونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They who are during their prayer humbly submissive

(MELAYU)

(yaitu) orang-orang yang khusyu’ dalam sembahyangnya,

 

Yang pertama sekali sifat yang kena ada pada orang mukmin adalah khusyuk dalam solat mereka. Maksudnya tawajjuh (fokus) hati dalam solat kepada Allah kerana takut dan kerana mereka agungkan Allah. Ini kerana mereka kenal sifat Jalaliah dan Jamaliah (sifat keras dan lembut). Kita takut Allah kerana sifat jalaliahNya dan kita agungkan Allah kerana sifat jamaliahNya. Kena ada kefahaman kepada dua-dua jenis sifat ini. Jadi apabila ada dua-dua perasaan ini dalam hati seorang hamba di dalam solat, maka solatnya itu akan menjadi khusyuk.

Khusyuk dalam solat itu tiada lain hanya dapat dilakukan oleh orang yang memusatkan hati kepada solatnya, menyibukkan dirinya dengan solat, dan melupakan hal yang lainnya serta lebih mementingkan solat daripada hal lainnya. Dalam keadaan seperti ini barulah seseorang dapat merasakan ketenangan dan kenikmatan dalam solatnya, seperti yang dikatakan oleh Nabi Saw. dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Imam Nasai melalui sahabat Anas dari Nabi Saw. yang telah bersabda:

“حُبِّبَ إليَّ الطِّيب وَالنِّسَاءُ، وَجُعِلَتْ قُرَّةُ عَيْنِي فِي الصَّلَاةِ”

Aku dijadikan senang kepada wangian, wanita, dan dijadikan kesenangan hatiku bila dalam solat.

Oleh itu, ciri-ciri pertama mereka ialah mereka itu sentiasa khusyuk di dalam solat mereka kerana kalimah خاشِعونَ yang digunakan adalah dalam bentuk katanama yang memberi maksud tetap. Bukan sekali sekala sahaja mereka dapat khusyuk dalam solat. Mereka telah faham apakah solat itu dan kehendak dalam solat itu jadi mereka sentiasa dapat khusyuk.

Jadi solat adalah perkara yang amat penting dan kerana itu Allah letakkan kriteria ini sebagai ciri yang pertama sifat sifat orang mukmin. Dan diberitahu bahawa sifat mereka adalah kusyuk di dalam solat mereka – maka banyaklah perbincangan tentang bagaimana hendak mendapatkan kusyuk di dalam solat ini dan kita kena rujuk dan cari maklumat-maklumat itu supaya kita boleh mencapai hujung di dalam solat. Yang pertama, kenalah ada rasa cinta dengan solat. Begitulah sifat Rasulullah dan para sahabat.

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا وَكِيع، حَدَّثَنَا مِسْعَر، عَنْ عَمْرِو بْنِ مُرَّة، عَنْ سَالِمِ بْنِ أبي الجَعْد، عَنْ رَجُلٍ مِنْ أسلَم، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: “يَا بِلَالُ، أَرِحْنَا بِالصَّلَاةِ”

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Waki’, telah menceritakan kepada kami Mis’ar dari Amr ibnu Murrah, dari Salim ibnu Abul Ja’d, dari seorang lelaki dari Bani Aslam, bahawa Rasulullah Saw. pernah bersabda: Hai Bilal, hiburlah kami dengan solat.

Apabila sudah dapat rasa kepentingan solat itu, maka akan terasalah kemanisan solat itu dan dari itu akan dapat kekhusyukan dalam solat.

Jadi apakah maksud ‘khusyuk’ itu? Ia bermaksud ketakutan yang sampai menyebabkan tubuh badan menjadi kaku tidak bergerak. Bukankah kadang-kadang kita rasa takut sangat sampai kita tidak dapat bergerak? Sebagai contoh kita terkejut dengan kedatangan lori yang tiba-tiba hendak melanggar kita. Sepatutnya kita lari, bukan? Tapi kerana takut sangat, kita kaku, bukan? Ini biasa terjadi. Kerana perasaan dalam hati boleh membawa kepada fizikal kita.

Solat adalah waktu dimana kita sedang mengadap Allah dan kita mengadu nasib kita dan apa yang kita hadapi; dan waktu itu juga Allah sedang memberi nasihat kepada kita dan nasihat itu adalah nasihat yang amat besar sampaikan kadang-kadang apabila ia menyentuh hati kita, maka boleh menyebabkan kita menangis. Kalau dapat perasaan yang begini, maka amatlah indah sekali, bukan? Itu bermaksud kita telah mendapat kesan dari solat kita.

Dan kesan solat itu sepatutnya dibawa sampai keluar solat kerana kita baru mendapat nasihat daripada Allah dah hendaklah kita simpan nasihat itu dan amalkan. Tapi kadang-kadang setelah beberapa jam, mungkin kita terlupa, bukan? Maka kerana itu kita kena solat lagi untuk mengingatkan kita, dan seterusnya dan seterusnya berulang sepanjang hari dan setiap hari. Semua itu adalah peringatan dari Allah kepada kita.


 

Ayat 3: Jadi ciri pertama adalah khusyuk di dalam solat. Tapi bagaimana hendak mendapat khusyuk itu? Allah ajar di dalam ayat yang seterusnya.

وَالَّذينَ هُم عَنِ اللَّغوِ مُعرِضونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And they who turn away from ill speech

(MELAYU)

dan orang-orang yang menjauhkan diri dari (perbuatan dan perkataan) yang tiada berguna,

 

Ciri yang seterusnya, orang mukmin itu berpaling dengan tidak campur tangan di dalam perkara-perkara yang melalaikan. Dalam ayat sebelum ini, telah disebut tentang solat. Tetapi, kita pun tahu yang apabila di dalam solat dan selepas takbir sabaja, akan datang sahaja ingatan tentang perkara-perkara dunia yang masuk ke dalam akal kita. Maka orang orang yang khusyuk di dalam solat akan عرض berpaling dan tidak menghiraukan fikiran-fikiran yang mengganggu itu.

اللَّغوِ adalah aktiviti yang tidak memberi manfaat sama ada dalam hal keduniaan dan juga hal akhirat. Ini biasa dilakukan oleh orang kita di mana selalunya kita akan bersembang dan melepak tanpa ada tujuan apa-apa dan membuang masa sahaja sampai tidak sedar masa telah berlalu. Tambah pula sekarang ini dengan banyak aplikasi media sosial yang menyebabkan orang meluangkan masa yang terlalu lama sampaikan buat benda-benda yang tidak berfaedah. Kerana kalau buat perkara yang lagha, memang akan tertinggal untuk melakukan perkara yang berfaedah.

Jadi orang-orang yang mukmin itu mereka bukan sahaja tidak melakukan perkara yang اللَّغوِ tetapi mereka akan meninggalkan orang-orang yang mereka rasa boleh menyebabkan mereka jadi lagha supaya mereka tidak tertarik kepada perbuatan itu. Kerana kalau bergaul dengan mereka yang tidak ada tujuan, lama-lama akan terpengaruh dengan mereka akhirnya. Ini seperti yang disebutkan oleh firman-Nya:

{وَإِذَا مَرُّوا بِاللَّغْوِ مَرُّوا كِرَامًا}

dan apabila mereka bersua dengan (orang-orang) yang mengerja­kan perbuatan-perbuatan yang tidak berguna, mereka lalui (saja) dengan menjaga kehormatan dirinya. (Al-Furqan: 72)

Orang-orang yang tidak bersifat mukmin akan mengisi masa lapang mereka dengan permainan, bercakap kosong dan sebagainya sedangkan orang-orang mukmin itu akan menggunakan masa lapang mereka untuk berzikir dan membaca dan tadabbur Qur’an contohnya. Tapi zaman sekarang, sangat senang untuk buat perkara yang lagha. Entertainment sangat banyak dalam dunia sekarang, ada di hujung jari sahaja, termasuk dalam telefon bimbit. Telefon sekarang boleh install macam-macam. Maka orang yang bijak akan kurangkan aplikasi-aplikasi yang boleh membuang masa dan tidak memberi faedah; dan mereka juga akan buang lagu-lagu yang ada di dalam telefon mereka kerana kalau kita mendengar lagu-lagu itu, ia bermaksud kita akan tumpukan perhatian kepada lagu itu dan hanya menumpukan perhatian kepada lagu itu dan fikiran kita akan hilang dalam lagu itu.

Sifat yang kedua ini bermula dari menjaga khusyuk di dalam solat kerana apabila kita sudah mendapat kesan dari solat itu kita sudah tidak mahu untuk terlibat dengan perkara-perkara yang buang buang masa lagi. Dan bila kita bebaskan diri kita dari perkara lagha, maka kita akan senang nak tumpukan perhatian dalam solat. Jadi ianya amat berkaitan.


 

Ayat 4: Kriteria ketiga orang mukmin. Mereka melakukan ‘zakat’.

وَالَّذينَ هُم لِلزَّكوٰةِ فٰعِلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And they who are observant of zakāh

(MELAYU)

dan orang-orang yang menunaikan zakat,

 

Zakat itu bermaksud ‘tazkiyatun nafs’. Iaitu mereka membersihkan hati mereka daripada sifat-sifat dalaman yang buruk termasuk membersihkan diri dari sifat-sifat syirik. Ayat ini bukan bermaksud mengeluarkan zakat seperti yang kita faham itu, tetapi ia bermaksud membersihkan diri dalaman. Yang dimaksudkan adalah orang mukmin itu menyibukkan diri mereka di dalam membersihkan diri mereka. Sama pengertiannya dengan apa yang terdapat dalam firman-Nya:

{قَدْ أَفْلَحَ مَنْ زَكَّاهَا. وَقَدْ خَابَ مَنْ دَسَّاهَا}

sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwa itu, dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya. (Asy-Syams: 9-10)

Maksudnya, mereka berusaha untuk memperbaiki diri mereka dari semasa ke semasa kerana mungkin mereka ada masalah, seperti senang marah atau masalah kuat makan, tidak suka kepada seseorang dan sebagainya. Mungkin juga dia seorang yang mulutnya lepas cakap sahaja tanpa berfikir, atau dia tidak dapat melupakan perkara-perkara yang tidak penting atau asyik memikirkan benda yang buang masa sahaja (yang lagha tadi). Mungkin juga dia seorang yang tidak menghormati orang tua atau tidak menghargai perbuatan orang-orang lain terhadap dirinya. Mungkin dia seorang yang hanya memikirkan dan mementingkan dirinya sendiri atau dia seorang yang suka melihat filem-filem yang tidak patut. Ada banyak perkara-perkara buruk yang selalu menghantui manusia.

Maka orang mukmin ini berfikir tentang perkara-perkara ini dengan melihat ke dalam dirinya dan menyenaraikan benda-benda yang dia rasa tidak patut ada dalam dirinya, dan dia rasa Allah tidak suka sifat itu ada pada dirinya dan dia meneruskan usahanya dengan memperbaikinya satu persatu. Mungkin ada banyak perkara yang buruk maka dia akan hapuskan satu persatu. Dan perkara ini memang akan mengambil masa terutama kalau kita ada banyak masalah.

Akan tetapi kriteria ketiga ini tidak akan berlaku jikalau kriteria pertama dan kedua tadi masih ada; ini kerana seseorang itu perlu membersihkan fikirannya semasa berhubungan dengan Allah. Apabila dia sudah bersihkan fikirannya dari perkara yang lagha, maka dia sudah ada kaitan yang rapat dengan Allah dan kemudian dia kena membersihkan akalnya dari melakukan perkara-perkara yang buang masa kerana kalau dia buat juga, maka dia tidak akan memikirkan benda-benda yang buruk tentang dirinya. Jadi kita boleh lihat bagaimana ketiga-tiga kriteria yang telah disebut ini amat berkait rapat. Mari kita senaraikan balik:

  1. Bersihkan diri dari perkara-perkara yang buruk.
  2. Apabila itu sudah berjaya, maka dia akan jauhkan diri dari perkara yang lagha
  3. Apabila sudah bersihkan diri dari perkara yang lagha, maka senang untuk dia khusyuk dalam solat.

Jadi seorang yang mukmin akan mula ada sifat warak di dalam dirinya. Dia sentiasa memperbaiki dirinya dan dia akan lebih sensitif dengan persekitarannya – contohnya dia mula tidak melihat filem-filem yang ada pembukaan aurat di dalamnya dan lama kelamaan, semakin dia memperbaiki dirinya dia terus meninggalkan filem-filem itu terus kerana dia tahu bahawa itu semua adalah perkara lagha sahaja. Dia sedar yang tidak ada faedah kalau dia melihat filem-filem itu.

Dan apabila dia berjalan, dia mula menundukkan pandangannya dan tidak melihat sekelilingnya pula. Jadi dia sudah jadi orang yang lain dari orang biasa. Yang kita hendak beritahu adalah ini: kayu ukur seseorang itu berubah dari semasa ke semasa. Kerana ada perkara-perkara yang kita sebut tadi, pada sesetengah orang tidak ada masalah pun (seperti melihat filem) tetapi kepada orang lain yang mempunyai kayu ukur yang lebih sensitif, perkara itu pun menjadi masalah untuk mereka dan mereka akan tinggalkan. Sebagai contoh, ada orang yang tidak kisah pun menonton wayang, tapi pada sesetengah orang lain, tengok wayang pun mereka tidak lakukan. Kenapa begitu? Kerana kayu ukur sudah berlainan. Orang yang warak akan menginggalkan perkara-perkara sebegitu.

Dan kalimah فٰعِلونَ yang digunakan juga dalam bentuk katanama yang menunjukkan mereka itu sentiasa dalam proses memperbaiki diri mereka. Tidaklah mereka sudah rasa yang mereka sudah selamat, tapi mereka akan terus baiki dan baiki lagi diri mereka. Selagi mereka hidup, mereka akan sentiasa memperbaiki diri mereka sehingga mencapai tahap yang menuju kesempurnaan. Tentulah ini sukar untuk dicapai, tapi mereka akan terus melakukannya.

Dan tidak ada orang yang boleh melakukan perkara ini untuk diri kita melainkan diri kita sendiri yang kena berusaha bersunguh-sungguh sendiri – kerana kalau orang lain cuba nak baiki kita pun tidak boleh. Kita tidak boleh harapkan orang lain yang baiki kita tapi kita yang kena baiki sendiri.

Kita katakan tadi yang ‘zakat’ dalam ayat ini bukanlah zakat harta. Kerana ayat ini turunnya di Mekah dan kewajipan zakat belum ada lagi di Mekah. Walaupun begitu ada juga pendapat yang mengatakan memang zakat sudah pada pada zaman Mekah lagi, iaitu memberi pertolongan dan harta kepada orang yang memerlukan. Cuma waktu itu tidak ada nasab lagi. Oleh itu zakat yang dimaksudkan adalah apa sahaja yang lebih dari keperluan hari itu perlu diberikan kepada orang lain. Hanya apabila di Madinah sahaja, barulah zakat telah ditetapkan ada nasabnya. Maksud nasab adalah ukuran tertentu. Sebagai contoh, apabila wang sudah lebih dari RM11,000, barulah kena keluarkan zakat harta.

Oleh itu zakat juga boleh bermaksud memberi isyarat memberi pertolongan kepada orang lain dalam setiap keadaan. Sebanyak mana yang mereka boleh bantu orang lain, orang mukmin itu akan bantu dan begitulah amalan para sahabat semasa mereka di Mekah. Kalau ada harta yang lebih dari keperluan, mereka akan bantu.

Maka dengan itu kita menggunakan orang lain untuk mendapatkan pahala kepada kita. Kerana apabila kita tolong orang lain bukan sahaja merapatkan hubungan dengan mereka tetapi juga menambah pahala kepada kita.


 

Ayat 5: Seterusnya kriteria orang mukmin yang keempat adalah tidak ada sikap zalim.

وَالَّذينَ هُم لِفُروجِهِم حٰفِظونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And they who guard their private parts

(MELAYU)

dan orang-orang yang menjaga kemaluannya,

 

Kenapa kita kata sifat ini adalah tidak berlaku zalim? Kerana liwat dan zina adalah satu kezaliman. Apabila manusia berzina, itu adalah satu kezaliman kerana hasil daripada penzinaan itu akan menyebabkan berbagai-bagai masalah dalam masyarakat. Sebagai contoh, jika keluar anak-anak dari hasil zina itu maka anak-anak itu akan terbiar dan tidak terjaga kerana masing-masing tidak mengaku anak sendiri. Maka anak-anak itu telah dizalimi. Jadi mungkin sebelum ini kita tidak nampak bagaimana perbuatan zina itu boleh membawa kepada kezaliman kepada orang lain, bukan? Tapi sekarang kita sudah faham.

Kriteria kali ini menyentuh dosa bersifat kemaluan. Ada banyak sekali dosa di dalam dunia ini yang manusia lakukan tetapi Allah sentiasa menyebut dengan khusus dosa-dosa yang berkenaan dengan kemaluan. Ini disebut dalam kalimah faahishah. Kenapa ada disebut khusus tentang perkara ini?

Allah sebut cara khusus kerana masalah ini memang berterusan dari dulu lagi sehinggalah sampai bila-bila dan kerana ia susah untuk dijaga dan perlu diberi perhatian lebih. Kerana itu menyebabkan Allah sebut dengan khusus. Dia adalah perkara yang amat senang berlaku dan perkara yang susah untuk ditahan kerana setiap manusia ada nafsu syahwat dan ada orang yang tidak dapat menahan nafsu mereka terutama orang-orang muda yang hormon mereka sedang naik. Kita mungkin tidak bunuh orang dan tidak mencuri harta orang, tapi kalau bab nafsu syahwat, memang susah nak jaga.

Sudahlah masalah menjaga kemaluan ini susah dari dulu lagi, malangnya sekarang masalah itu dibesarkan lagi kerana kita hidup pada zaman yang semuanya mudah untuk didapati. Sampaikan kanak-kanak kecil pun sudah didedahkan dengan perkara ini. Lihatlah apa yang ada dalam media massa sekarang ini. Perlakukan artis yang tidak senonoh terpampang dalam dada akhbar dan televisyen. Senang sangat anak-anak kita terpengaruh dengan mereka. Apabila ianya sudah banyak dalam media massa, sampaikan masyarakat akan rasa lali dengan perkara ini. Mereka sudah rasa tak salah kalau melakukannya.

Maka mereka yang mahu menjadi orang mukmin kena menjaga perkara ini betul-betul kerana ianya memang sesuatu yang amat membahayakan. Kita kena cuba mengadakan suasana masyarakat yang menjaga perkara-perkara ini dari berleluasa. Kita kena beritahu mereka bahawa perkara ini bahaya. Sebenarnya kita tidak boleh biarkan lelaki dan perempuan bemesraan duduk bersama-sama tanpa ada kawalan kerana itu akan menyebabkan kita sudah tidak rasa sensitif lagi apabila ada perempuan ataupun lelaki ajnabi sekeliling kita. Apabila sudah lali, maka senanglah syaitan memasukkan jarum ke dalam hati lelaki dan wanita itu untuk bermaksiat. Akhirnya mereka berzina dan keluar anak zina. Apabila keluar anak zina, maka anak itu akan dizalimi kerana pasangan lelaki dan wanita itu malu untuk menjaga anak itu.


 

Ayat 6: Kita disuruh menjaga kemaluan kita tapi bukanlah Islam melarang melepas nafsu seks kita. Kerana ini adalah fitrah manusia dan ianya perlu dilepaskan. Tapi kenalah pada tempat yang halal.

إِلّا عَلىٰ أَزوٰجِهِم أَو ما مَلَكَت أَيمٰنُهُم فَإِنَّهُم غَيرُ مَلومينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Except from their wives or those their right hands possess,¹ for indeed, they will not be blamed –

  • Female slaves or captives under their ownership.

(MELAYU)

kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau hamba yang mereka miliki; maka sesungguhnya mereka dalam hal ini tiada tercela.

 

إِلّا عَلىٰ أَزوٰجِهِم

kecuali terhadap isteri-isteri mereka

Kita boleh melampiaskan nafsu kita kepada isteri-isteri kita. Iaitu perkahwinan yang sah. Apabila ia sah, maka anak yang lahir dari perkahwinan itu akan diiktiraf dan mereka akan dijaga.

Islam adalah agama yang praktikal. Memang setiap insan ada kehendak kepada hubungan lelaki dan wanita. Kita bukanlah seperti agama sesat yang menghalang ahli agama dari berkahwin seperti agama Kristian, Buddha dan Hindu itu. Agama-agama itu telah menolak fitrah semulajadi manusia. Apabila itu berlaku, maka memang ada masalah. Kerana itu kita selalu dengar kes paderi meliwat budak lelaki di gereja dan sebagainya. Begitulah yang terjadi kalau kehendak normal ditahan.

Dan Islam juga tidaklah seperti agama Syiah (kerana mereka bukan Islam pun) yang membenarkan nikah mut’ah. Ini pun bahaya juga kerana ianya adalah perzinaan dan pelacuran sebenarnya. Jadi Syiah adalah satu-satunya agama dalam dunia yang membenarkan, malah menggalakkan perzinaan. Maka kenalah kita jelaskan kepada masyarakat tentang Syiah ini. Kena faham agama dan betapa sesatnya mereka itu. Kerana kalau jahil agama, kemudian diberitahu pula yang Syiah benarkan Nikah Mut’ah, maka ramailah yang tertarik.

 

أَو ما مَلَكَت أَيمٰنُهُم

atau hamba yang mereka miliki;

Selain dari isteri, halal untuk kita mengadakan seks dengan hamba perempuan. Memang di dalam Islam membenarkan hubungan seks dengan hamba dan mungkin ini menyebabkan ada golongan yang sengaja mencari masalah dengan Islam untuk mereka kritik Islam. Ini kerana mereka tidak faham.

Kita kena ingat yang surah ini diturunkan semasa zaman perhambaan masa lagi berleluasa di mana wanita-wanita hamba itu dikira sebagai harta benda dan boleh diperlakukan mengikut kehendak tuannya. Maka dalam keadaan itu, memang menjadi kebiasaan seorang tuan untuk menggunakan hambanya sebagaimana isteri juga. Kerana hamba perempuan itu menjadi hak tuanya dan menjadi tanggungjawab tuannya juga. Ada persamaan juga dalam perkahwinan kerana dalam perkahwinan, apabila seorang lelaki itu menikahi seorang wanita maka terjadilah proses pertukaran tanggungjawab dari wali wanita itu kepada suaminya.

Tapi dalam Islam perhambaan ini tidak berterusan kerana memang Islam hendak menghapuskan institusi perhambaan ini. Kerana itulah digalakkan untuk pemilik-pemilik hamba untuk membebaskan hamba-hamba mereka sampailah sekarang ini tidak ada lagi perhambaan di dalam Islam. Kita kena ingat yang bukanlah Islam yang memulakan sistem hamba tapi agama Islam menguruskan hamba itu dengan baik. Ada hak-hak hamba yang diberikan kepada mereka. Dan diberikan ganjaran yang amat besar kepada mereka yang membebaskan hamba. Dan banyak kesalahan yang mewajibkan pembebasan hamba seperti kalau terbunuh seseorang, melakukan hubungan seks di dalam Ramadhan dan lain-lain lagi – kesannya semakin banyak hamba yang dibebaskan.

Dan memang kalau kita lihat dari kalimah yang digunakan juga menunjukkan yang perhambaan itu tidak kekal kerana kalimah isteri itu أَزوٰجِهِم dalam bentuk kata-nama sedangkan kalimah ما مَلَكَت أَيمٰنُهُم itu dalam bentuk kata-kerja yang memberi isyarat yang ianya tidak kekal.

 

فَإِنَّهُم غَيرُ مَلومينَ

maka sesungguhnya mereka dalam hal ini tiada tercela.

Mendatangi isteri yang telah dinikahi secara sah bukan satu kezaliman dan bukan satu perkara yang tercela, malahan ia boleh merapatkan hubungan antara suami dan isteri itu. Allah akan memberi keberkatan kepada suami isteri itu kerana mereka melakukan perbuatan yang diredhai oleh Allah.

Imam Syafii dan orang-orang yang mendukungnya telah mengambil ayat ini sebagai dalil dari pendapatnya yang mengatakan bahawa mastrubasi (onani) itu haram. Kerana perbuatan mastrubasi itu di luar kedua perkara tersebut.


 

Ayat 7: Kutukan kepada mereka yang melampau dari yang sepatutnya.

فَمَنِ ابتَغىٰ وَراءَ ذٰلِكَ فَأُولٰئِكَ هُمُ العادونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But whoever seeks beyond that, then those are the transgressors –

(MELAYU)

Barangsiapa mencari yang di balik itu maka mereka itulah orang-orang yang melampaui batas.

 

ابتَغىٰ bermaksud ‘melampau’. Iaitu melawan hukum Allah dalam hal perhubungan suami isteri. Mereka memang berusaha untuk mencari lelaki dan wanita yang lain walaupun mereka sudah ada isteri dan suami. Kenapa mereka sampai sanggup mencari luar sedangkan mereka sudah ada pasangan masing-masing adalah kerana mereka tidak menilai keindahan perkahwinannya sendiri dan telah terpersona dengan gambar-gambar dan video di media. Dan ada suami atau isteri pun, tapi masih terliur dengan penampilan orang lain.

Ini memang masalah yang besar dan kita tidak boleh kecilkan kerana ramai yang melakukannya dan kita boleh lihat bagaimana berita-berita ini sudah tersebar ni dalam suratkhabar dan di internet juga bagaimana ramai yang menjadi habuan di luar. Gambar-gambar dan video yang mengandungi elemen pornografi ini terlalu banyak di internet dan mudah sahaja untuk dicapai oleh manusia walaupun budak-budak. Jadi mereka lihat standard yang ada dalam media itu amat tinggi sampaikan apa yang ada dalam pasangan mereka itu tidak cukup – padahal sama sahaja. Apa yang pasangan mereka ada, sama sahaja dengan apa yang ada pada pelakon filem atau artis itu (cuma artis lebih pandai pakai mekap sahaja).

Mereka itu telah melampau batas. Mereka telah melampau dari batas syariat apabila mereka melakukan perkara terkutuk seperti contoh pernikahan mut’ah, liwat, hubungan dengan pelacur dan sebagainya.

Oleh itu, kriteria ke-empat orang mukmin ini mereka menjaga kemaluan mereka dari melakukan perkara yang salah. Lihat bagaimana ciri-ciri lain mengandungi satu ayat sahaja tetapi tentang menjaga kemaluan ini Allah sebutkan sampai tiga ayat sekaligus; ini menunjukkan betapa pentingnya ia dan kerana itu kita kena memberi perhatian  lebih kepadanya.


 

Ayat 8: Kriteria kelima orang mukmin. Ini pula zalim dalam bentuk muamalah.

وَالَّذينَ هُم لِأَمٰنٰتِهِم وَعَهدِهِم راعونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And they who are to their trusts and their promises attentive

(MELAYU)

Dan orang-orang yang memelihara amanat-amanat (yang dipikulnya) dan janjinya.

 

Dalam ayat sebelum ini berkenaan hal peribadi dan sekarang ini sudah melibatkan berhubungan dengan orang lain. Orang-orang mukmin itu akan menjaga amanah yang telah diberikan kepada mereka dan mereka memenuhi janji yang telah mereka lakukan.  Dan sikap mereka adalah seperti pengembala terhadap amanah dan janji itu. Maknanya mereka menjaga betul sebagaimana pengembala kambing akan menjaga kambing jagaan mereka itu.

Ada kaitan antara ciri ini dengan ciri yang sebelumnya kerana apabila seseorang itu boleh menjaga hubungan dan janjiNya kepada pasangannya (dengan tidak melakukan zina) maka barulah dia boleh menjaga amanah dan janjinya kepada orang lain. Kerana kalau mereka sudah tidak ada malu untuk melakukan perkara-perkara yang memalukan, maka itu bermakna mereka sudah tidak ada maruah lagi dan mereka tidak akan ada masalah untuk memecahkan amanah dan janji yang mereka telah mereka meterai.

Amanah diambil daripada perkataan ‘aman’ kerana seseorang rasa aman untuk meninggalkan barangnya dengan orang yang lain yang dipercayainya. Kerana itulah Rasulullah dikenali sebagai al-amin kerana mereka percaya kepada baginda walaupun baginda belum menjadi Nabi lagi kerana mereka boleh lihat bagaimana baginda boleh dipercayai dan amat menjaga amanah.

Banyak perkara yang boleh termasuk di dalam ayat ini sebagai contoh, apabila ibu bapa telah menghantar kita belajar di universiti maka kita kena penuhi janji untuk belajar itu; kalau ada kerja yang diberikan kepada kita, maka kenalah kita kerja dengan baik; kalau ada orang yang serahkan barang kepada kita untuk jaga, maka hendaklah kita jaga baik-baik; kalau ada orang yang beritahu rahsia kepada kita, maka hendaklah kita simpan rahsia itu; kalau kita telah dilantik menjadi pemimpin masyarakat, maka kenalah kita jalankan amanah itu dengan semampu kita; dan banyak lagi.

Yakni apabila mereka dipercaya, tidak berkhianat; bahkan menunaikan amanat itu kepada pemiliknya. Apabila mereka berjanji atau mengadakan transaksi, maka mereka menunaikannya dengan benar, tidak seperti sikap orang-orang munafik yang dikatakan oleh Rasulullah Saw. mempunyai ciri khas berikut, melalui, sabdanya:

“آيَةُ الْمُنَافِقِ ثَلَاثٌ: إِذَا حَدَّث كَذَبَ، وَإِذَا وَعَدَ أَخْلَفَ، وإذا اؤتمن خَانَ”.

Pertanda orang munafik ada tiga, yaitu: Apabila berbicara, dusta; apabila berjanji, engkar; dan apabila dipercaya, khianat.


 

Ayat 9: Sekarang kita masuk ke dalam perbincangan kriteria ke-enam. Sekarang Allah kembali mengatakan tentang solat. Ia mengajar kita amalan untuk mendapat khusyuk dalam solat.

وَالَّذينَ هُم عَلىٰ صَلَوٰتِهِم يُحافِظونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And they who carefully maintain their prayers –

(MELAYU)

dan orang-orang yang memelihara sembahyangnya.

 

Semua kita berharap supaya mendapat khusyuk dalam solat. Dan khusyuk sembahyang itu boleh didapati dengan banyak melakukan sembahyang. Sebagaimana kita nak dapatkan kemahiran dalam sesuatu perkara, maka kenalah kita selalu melakukan perkara itu. Sebagai contoh, ahli sukan akan sentiasa berlatih, bukan?

Jadi orang yang hendak mahir dalam solat kenalah selalu solat – iaitu mereka bukan sahaja mengerjakan Solat Fardhu tetapi mereka jaga solat itu dengan tambah dengan solat-solat sunat. Ini mengajar kita yang Solat Fardu tidak akan sempurna tanpa adanya solat sunat. Kerana tentu kita ada melakukan kesilapan dan kekurangan dalam solat kita, bukan? Maka kekurangan dalam Solat Fardhu itu ditampung dengan melakukan solat-solat sunat.

Bagi lelaki, maksud menjaga Solat Fardhu itu adalah dengan mengerjakan solat berjemaah. Kalau tidak solat berjemaah maka lelaki itu tidak dikira sebagai menjaga solat Fardhu. Dan solat berjemaah ini perlu dilakukan di masjid, bukannya di rumah dengan keluarga atau di pejabat dengan rakan-rakan sepejabat.

Solat sunat yang perlu dijaga ada empat:

  1. Solat Witr (Solat Ganjil). Ini adalah solat sunat yang utama. Ia dilakukan di malam hari dan pahalanya melebihi solat tahajud.
  2. Solat Tahajjud adalah solat yang dilakukan setelah tidur. Selalunya dilakukan di hujung sepertiga malam.
  3. Solat Dhuha
  4. Solat-solat Rawatib. Iaitu solat yang mengiringi Solat-solat Fardhu.

Dan ada juga solat-solat sunat yang tidak tetap tetapi dilakukan apabila ada keperluan. Sebagai contoh, antara solat sunat yang utama:

  1. Solat Istikharah. Dilakukan apabila kita memerlukan bantuan Allah di dalam membuat keputusan.
  2. Solat Hajat. Solat yang dilakukan jikalau kita ada keperluan dan kehendak kepada Allah. Maka eloklah kita solat sunat dua rakaat dan selepas solat, kita nyatakan keinginan kita.
  3. Solat Taubat. Solat yang dilakukan jikalau kita telah melakukan banyak kesalahan dan kita nak bertaubat bersungguh-sungguh kepada Allah.

Nota: Solat-solat ini adalah sebagai muqaddimah (permulaan) kepada niat kita untuk sesuatu. Kita melakukannya sebagai tambahan sahaja kerana niat-niat itu boleh dilakukan tanpa solat sebenarnya. Sebagai contoh, kalau ada hajat, kita boleh terus berdoa kepada Allah; kalau ada dosa, boleh terus bertaubat kepada Allah; tetapi ianya lebih baik jika dapat dilakukan selepas solat sunat. Kerana doa itu lebih makbul setelah melakukan amal kebaikan dan amal kebaikan yang paling baik adalah solat. Dan kita boleh amalkan doa-doa yang diajar oleh Nabi Muhammad untuk tiga perkara ini.

Nama-nama itu tidak diberikan oleh Nabi, tapi ianya diberikan oleh para ulamak sahaja sebagai pengenalan. Jadi solat-solat ini sebenarnya adalah solat sunat biasa sahaja. Tidak ada kaifiat tertentu. Tapi biasalah, selalunya ahli agama akan ambil peluang untuk menambah perkara-perkara yang tidak patut. Mereka mulalah reka kaifiat sendiri (niat macam mana, rakaat pertama baca apa dan rakaat kedua baca apa, kemudian ditambah dengan amalan-amalan bidaah yang lain). Jadi kalau tidak belajar tentang solat melalui sunnah, memang akan kena tipu dengan ustaz-ustaz yang ahli bidaah. Maka kenalah berhati-hati.

Dan kemudian ada solat-solat sunat yang jarang dilakukan, seperti Solat Hari Raya, Solat Gerhana, Solat Jenazah dan sebagainya. Bukanlah ruang di sini untuk mengajar dengan terperinci tentang solat-solat ini. Maka kenalah ada usaha sendiri untuk belajar dan bertanya kepada yang tahu dan mengamalkan sunnah. Jangan tanya kepada ustaz yang bukan sunnah kerana mereka akan ajar perkara yang salah dan ada banyak pertambahan sampaikan menyusahkan kita sendiri.

Maka orang mukmin adalah mereka yang dapat menjaga solat-solat sunat ini dan kerana itu mereka dapat menghasilkan khusyuk di dalam solat mereka. Kerana mereka banyak latihan dan kerana Allah akan beri keberkatan dan taufik kepada mereka kerana mereka mengerjakan amalan-amalan sunat.

Solat di dalam ayat ini sudah menjadi bentuk jamak (صَلَوٰتِ) kerana ia merangkumi bukan saja Solat Fardhu tetapi solat-solat sunat yang lain juga. Kerana ada solat-solat sunat yang statusnya solat sunat muakkad yang kita perlu jaga. Mereka menjaga Solat Fardhu yang diwajibkan ke atas manusia itu dan menambah lagi dengan solat-solat sunat kerana Solat-solat Fardhu itu mungkin ada kekurangan, maka kekurangan itu ditampung oleh solat-solat sunat itu.

Kalimah يُحافِظونَ ini bukan didalam bentuk kata-nama pula kerana solat-solat sunat ini susah untuk dijaga dengan sempurna kerana mungkin kadangkala ada yang tertinggal. Akan tetapi orang mukmin akan sentiasa cuba untuk memenuhinya.

Satu lagi tafsir ayat ini bermaksud mengerjakan solat secara rutin tepat pada waktunya masing-masing. Seperti yang dikatakan oleh sahabat Ibnu Mas’ud r.a. ketika ia bertanya kepada Rasulullah Saw.:

سَأَلْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَيُّ الْعَمَلِ أَحَبُّ إِلَى اللَّهِ؟ قَالَ: “الصَّلَاةُ عَلَى وَقْتِهَا”. قُلْتُ: ثُمَّ أَيٌّ؟ قَالَ: “بِرُّ الْوَالِدَيْنِ”. قُلْتُ: ثُمَّ أَيٌّ؟ قَالَ: “الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ”.

Aku pernah bertanya; “Wahai Rasulullah amal apakah yang paling disukai oleh Allah?” Rasulullah Saw. menjawab, “Mengerjakan solat di dalam waktunya.” Saya bertanya lagi, “Kemudian apa lagi?” Baginda jawab, “Berbakti kepada kedua orang tua.” Saya bertanya lagi, “Kemudian apa lagi?” Baginda jawab, “Berjihad pada jalan Allah.”

Hadis diketengahkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim di dalam kitab sahihnya masing-masing.

Maka itulah sifat dan kriteria orang mukmin dan hendaklah kita cuba untuk mengamalkannya. Ianya amat mulia dan begitulah juga sifat Rasulullah SAW dan bukankah kita disuruh untuk mengikut cara baginda?

قَالَ النَّسَائِيُّ فِي تَفْسِيرِهِ: أَنْبَأَنَا قُتَيْبَةَ بْنُ سَعِيدٍ، حَدَّثَنَا جَعْفَرٌ، عَنْ أَبِي عِمْرَانَ عَنْ يَزِيدَ بْنِ بابَنُوس قَالَ: قُلْنَا لِعَائِشَةَ: يَا أُمِّ الْمُؤْمِنِينَ، كَيْفَ كَانَ خُلُق رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ؟ قَالَتِ: كَانَ خُلُقِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْقُرْآنَ، فَقَرَأَتْ: {قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ} حَتَّى انتَهَتْ إِلَى: {وَالَّذِينَ هُمْ عَلَى صَلَوَاتِهِمْ يُحَافِظُونَ} ، قَالَتْ: هَكَذَا كَانَ خُلُق رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

Imam Nasai mengatakan di dalam kitab tafsirnya, telah menceritakan kepada kami Qutaibah ibnu Sa’id, telah menceritakan kepada kami Ja’far, dari Abu Imran, dari Yazid ibnu Babanus yang mengatakan, “Kami pernah bertanya kepada Siti Aisyah Ummul Mu’minin, ‘Bagaimanakah akhlak Rasulullah Saw.’?” Aisyah r.a. menjawab: Akhlak Rasulullah Saw. adalah Al-Qur’an. Kemudian Aisyah r.a. membaca firman-Nya: Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman. (Al Mu’minun: 1) sampai kepada firman-Nya: dan orang-orang yang memelihara solatnya. (Al Mu’minun: 9) Kemudian Aisyah r.a. berkata, “Demikianlah akhlak Rasulullah Saw.”


 

Ayat 10: Ini adalah natijah kepada mereka yang dapat menjaga semua perkara-perkara di atas.

أُولٰئِكَ هُمُ الوٰرِثونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Those are the inheritors

(MELAYU)

Mereka itulah orang-orang yang akan mewarisi,

 

Mereka yang mempunyai ciri-ciri yang telah disebut itulah yang layak digelar sebagai mukminoon. Dan merekalah yang akan mewarisi; tapi mewarisi apa? Allah tidak sebut di dalam ayat ini dan menjadikan ianya sebagai satu persoalan. Mereka yang membaca setakat ini akan tertanya-tanya dalam fikirannya, warisi apa?

Apabila dikatakan ‘mewarisi’, maknanya ia akan menjadi hak mereka. Akan kekal dapat macam kalau kita dapat warisi dari peninggalan ayah kita – ia akan jadi hak kita. Kalau diberi perumpamaan tanah, ia adalah bermaksud orang itu dapat geran, dan bukan setakat menyewa sahaja.


 

Ayat 11: Setelah Allah timbulkan persoalan untuk menarik minat pembaca Qur’an, maka Allah jawap dalam ayat ini. Allah beritahu yang mereka sudah cukup syarat untuk dimasukkan ke dalam Syurga tingkatan Firdaus.

الَّذينَ يَرِثونَ الفِردَوسَ هُم فيها خٰلِدونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Who will inherit al-Firdaus.¹ They will abide therein eternally.

  • The highest part of Paradise.

(MELAYU)

(yakni) yang akan mewarisi syurga Firdaus. Mereka kekal di dalamnya.

 

الَّذينَ يَرِثونَ الفِردَوسَ

(yakni) yang akan mewarisi syurga Firdaus.

Persoalan yang ditimbulkan di dalam ayat sebelum ini dijawab di dalam ayat ini: iaitu yang diwarisi adalah Syurga Firdaus. Kalimah ‘Firdaus’ ini berasal dari Parsi yang bermaksud taman yang hijau dan dari ini juga telah dijadikan Bahasa Inggeris iaitu ‘paradise’.

Firdaus adalah tingkatan tertinggi dalam syurga. Syurga itu sebenarnya ada satu sahaja, tapi ada banyak tingkatan – dan tingkatan yang paling tinggi adalah Tingkatan Firdaus.

Maka hendaklah kita berharap kepada Tingkatan Firdaus ini. Di dalam kitab Sahihain telah disebutkan bahawa Rasulullah Saw. pernah bersabda:

“إِذَا سَأَلْتُمُ اللَّهَ الْجَنَّةَ فَاسْأَلُوهُ الْفِرْدَوْسَ، فَإِنَّهُ أَعْلَى الْجَنَّةِ وَأَوْسَطُ الْجَنَّةِ، وَمِنْهُ تَفَجَّرُ أَنْهَارُ الْجَنَّةِ، وَفَوْقَهُ عَرْشُ الرَّحْمَنِ”

Apabila kalian meminta syurga kepada Allah, maka mintalah kepada-Nya syurga Firdaus, kerana sesungguhnya Firdaus itu adalah syurga yang tertinggi dan paling pertengahan, darinya bersumberkan semua sungai syurga, dan di atasnya terdapat ‘Arasy (singgasana) Tuhan Yang Maha Pemurah.

 

هُم فيها خٰلِدونَ

Mereka kekal di dalamnya.

Sesiapa yang dapat masuk ke dalam syurga akan kekal di dalamnya selama-lamanya.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 023: Mukminoon. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s