Tafsir Surah Hajj Ayat 77 – 78 (Nama kamu adalah Muslim)

Ayat 77:

يا أَيُّهَا الَّذينَ آمَنُوا اركَعوا وَاسجُدوا وَاعبُدوا رَبَّكُم وَافعَلُوا الخَيرَ لَعَلَّكُم تُفلِحونَ ۩

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O you who have believed, bow and prostrate and worship your Lord and do good – that you may succeed.

(MELAYU)

Hai orang-orang yang beriman, ruku’lah kamu, sujudlah kamu, sembahlah Tuhanmu dan perbuatlah kebajikan, supaya kamu mendapat kemenangan.

 

يا أَيُّهَا الَّذينَ آمَنُوا

Hai orang-orang yang beriman,

Maka jikalau kebanyakan daripada manusia tidak menghargai Allah maka sekarang Allah bercakap kepada orang-orang yang beriman dan mengajar kepada mereka bagaimana cara caranya untuk menghargai Allah.

 

اركَعوا وَاسجُدوا

ruku’lah kamu, sujudlah kamu, 

Sekarang Allah mengajar manusia untuk rukuk dan sujud di dalam solat kerana dua perbuatan ini adalah untuk merendahkan diri kepada Allah. Dan juga untuk menunjukkan bahawa kita penat dan hanya kepada Allah sahaja kita bergantung. Kerana itu kita boleh lihat dalam rancangan sukan, apabila mereka penat mereka akan rukuk dan kalau penat lagi mereka akan sujud ke tanah.

 

وَاعبُدوا رَبَّكُم

sembahlah Tuhanmu

Dan kemudian Allah mengajar manusia untuk menghambakan diri kepadaNya dan ini bukan tentang ibadah – kerana rukuk dan sujud sudah berkenaan ibadah tetapi وَاعبُدوا ini berkenaan kita kena rasa yang kita ini adalah hamba kepada Allah dan kena terima kedudukan kita itu. Kerana jikalau kita terima yang kita ini adalah hamba Allah dan taat kepadaNya dalam segala hal, maka hidup kita akan jadi tenang.

Kerana jikalau kita tidak menghambakan diri kepada Allah, maka kita tentu menghambakan diri kepada benda lain selain Allah. Sebagai contoh kepada masyarakat, kepada kawan-kawan kita, kepada keluarga kita, kepada wang, kepada kerja dan sebagainya. Maka kena pilih kita nak kena jadi hamba kepada siapa sebenarnya ni?

 

وَافعَلُوا الخَيرَ

dan perbuatlah kebajikan, 

Dan selepas Allah menceritakan ibadat kepadaNya dan menghambakan diri kepadaNya, sekarang kita tahu yang salah satu daripada pernyataan penghambaan kepada Allah adalah dengan melakukan kebaikan kepada makhluk-makhluk yang lain. Orang yang benar-benar menghambakan diri kepada Allah akan mula prihatin kepada orang-orang lain yang disekelilingnya dan dia mula menolong orang-orang itu. Dia akan sentiasa melakukan kebaikan. Kerana dia tahu yang Allah suka kebaikan yang dilakukan oleh kita.

 

لَعَلَّكُم تُفلِحونَ

supaya kamu mendapat kemenangan.

Kalau kita lakukan semua perkara di atas, maka ada harapan yang kita akan beroleh kejayaan. Dan inilah kejayaan sebenarnya. Iaitu kejayaan setelah berusaha. Itulah muflih. Maknanya, kejayaan itu diperolehi bukan dengan goyang kaki tapi dengan hasil usaha.

Nota: ayat ini adalah Ayat Sajdah, maka disunatkan untuk sujud selepas baca ayat ini. Ada kelebihan pada Surah Hajj ini kerana ia ada dua Ayat Sajdah di dalamnya. Surah lain ada satu sahaja. Telah disebutkan hadis Uqbah ibnu Amir, dari Nabi Saw. yang telah bersabda:

“فُضلت سُورَةُ الْحَجِّ بِسَجْدَتَيْنِ، فَمَنْ لَمْ يَسْجُدْهُمَا فَلَا يَقْرَأْهُمَا”.

Surat Al-Hajj mempunyai kelebihan dengan dua sajdahnya. Maka barang siapa yang tidak melakukan sujud pada keduanya, janganlah membacanya.


 

Ayat 78:

وَجٰهِدوا فِي اللهِ حَقَّ جِهادِهِ ۚ هُوَ اجتَبٰكُم وَما جَعَلَ عَلَيكُم فِي الدّينِ مِن حَرَجٍ ۚ مِّلَّةَ أَبيكُم إِبرٰهيمَ ۚ هُوَ سَمّٰكُمُ المُسلِمينَ مِن قَبلُ وَفي هٰذا لِيَكونَ الرَّسولُ شَهيدًا عَلَيكُم وَتَكونوا شُهَداءَ عَلَى النّاسِ ۚ فَأَقيمُوا الصَّلوٰةَ وَآتُوا الزَّكوٰةَ وَاعتَصِموا بِاللهِ هُوَ مَولٰكُم ۖ فَنِعمَ المَولىٰ وَنِعمَ النَّصيرُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And strive for Allāh with the striving due to Him. He has chosen you and has not placed upon you in the religion any difficulty. [It is] the religion of your father, Abraham. He [i.e., Allāh] named you “Muslims” before [in former scriptures] and in this [revelation] that the Messenger may be a witness over you and you may be witnesses over the people. So establish prayer and give zakāh and hold fast to Allāh. He is your protector; and excellent is the protector, and excellent is the helper.

(MELAYU)

Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya. Dia telah memilih kamu dan Dia sekali-kali tidak menjadikan untuk kamu dalam agama suatu kesempitan. (Ikutilah) agama orang tuamu Ibrahim. Dia (Allah) telah menamai kamu sekalian orang-orang muslim dari dahulu, dan (begitu pula) dalam (Al Quran) ini, supaya Rasul itu menjadi saksi atas dirimu dan supaya kamu semua menjadi saksi atas segenap manusia, maka dirikanlah sembahyang, tunaikanlah zakat dan berpeganglah kamu pada Allah. Dia adalah Pelindungmu, maka Dialah sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Penolong.

 

وَجٰهِدوا فِي اللهِ حَقَّ جِهادِهِ

Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya.

Yakni dengan harta benda, lisan, dan jiwa kalian. Ayat ini adalah ayat penghujung dan ia juga adalah ayat klimaks. Dan memang surah ini ada menyebut tentang keizinan untuk berperang, maka ayat akhir ini tentang jihad.

Dalam ayat ini Allah tidak mengatakan jihad ‘di jalan Allah’ tapi disebut ‘untuk Allah’ kerana hendak menekankan hubungan yang rapat dengan Allah. Maka kenalah berjihad dengan sungguh-sungguh.

Adakah kita mampu untuk menghargai Allah seperti yang Allah layak dihargai? Jawapannya, tentu tidak kerana walaupun kita meluangkan setiap saat sepanjang hidup pun dengan mengerjakan ibadat, kita tidak akan mampu melakukannya. Maka maksud ayat ini adalah kita kena melakukan sebaik mungkin dan kita kena berusaha bersunguh-sungguh melakukan lebih dari keadaan biasa. Kena ada usaha lebih sikit.

 

هُوَ اجتَبٰكُم

Dia telah memilih kamu

Ingatlah yang kita semua ini telah dipilih oleh Allah. Kita dijadikan sebagai umat terakhir, diberikan dengan Nabi Muhammad sebagai penutup Nabi dan Rasul dan Nabi yang paling mulia. Walaupun kita ini makhluk yang lemah dan tidak mampu memenuhi keperluan untuk menghargai Allah seperti yang sepatutnya, tetapi Allah beritahu kita di dalam ayat ini yang Dia telah memilih kita.

Maka ingatlah yang Allah telah memilih kita dan meletakkan kita di atas jalan agama yang benar itu untuk menegakkan agama Islam di atas muka bumi ini. Maka apabila kita telah menjadi seorang Islam dan dilahirkan di dalam agama Islam dan diberi pemahaman agama Islam ini, maka kita kena ingat yang itu adalah satu pemilihan Allah terhadap diri kita. Ini bukan main-main. Pemilihan ini datang dengan tanggungjawab. Jadi nanti kita akan ditanya: tanggungjawab telah diberi, apa yang anda telah lakukan untuk memenuhi tanggungjawab itu?

Tetapi biasalah, kadangkala dalam kehidupan kita ini ada orang yang telah dilantik untuk melakukan sesuatu dan dia memang ada keupayaan untuk melakukan kerja itu ataupun tugas itu tetapi akhirnya dia tidak melakukannya. Maknanya dia tidak memenuhi tanggungjawabnya. Dan begitulah juga ada antara kita yang telah diletakkan di dalam agama Islam tetapi tidak menjalankan kerja dakwah dan ini amat membahayakan sekali.

Kerana sebagai seorang Muslim, dia kena jalankan apa yang dia boleh buat. Tidaklah dia kena mengajar kalau dia tidak mampu. Jadi setiap orang kena tengok apakah kelebihan dan kemampuan mereka dan mereka kena penuhi kemampuan mereka itu. Mungkin mereka boleh bantu dengan membina pusat pengajian, mungkin buat poster, mungkin memasak, mungkin bagi sumbangan kewangan dan macam-macam lagi cara.

Dan kalau mereka tidak jalankan, mereka akan ditanya nanti di akhirat. Itulah maksud kita apabila kita katakan merbahaya. Kerana akan ditanya dan kalau tidak dapat jawap, bagaimana?

 

وَما جَعَلَ عَلَيكُم فِي الدّينِ مِن حَرَجٍ

dan Dia sekali-kali tidak menjadikan untuk kamu dalam agama suatu kesempitan.

Dan mungkin ada orang yang rasa tugas yang telah diberikan kepada mereka itu amat berat dan mereka rasa mereka tidak mampu melakukannya; maka Allah memberitahu di dalam ayat ini bahawa tugas yang diberikan kepada kita itu bukanlah berat; dan bukanlah Allah beri tugas ini kerana Allah hendak menyusahkan kita. Syaitan sahaja yang bagi tanggungjawab itu nampak susah. Kerana syaitan tak suka kalau kita berkhidmat menyebarkan agama.

Yakni Allah tidak membebankan kepada kita apa-apa yang tidak mampu kita kerjakan; Dia pun tidak mengharuskan sesuatu yang sangat berat bagi kita, melainkan Allah menjadikan bagi kita jalan keluar yang memudahkan.

Allah beritahu yang Dia telah pilih kita (ijtiba’). Mari kita lihat apakah maksudnya.  Untuk lebih faham, kita kena tengok apakah kalimah yang digunakan. Ada lagi kalimah lain yang bermaksud ‘pilih’.

Istifa’ adalah pemilihan yang dilakukan oleh Allah kerana Allah hendak memilih begitu dan Allah tidak perlu menjelaskannya. Ini macam kita suka makan limau dan tidak suka oren – ikut kitalah kita nak suka apa-apa pun dan tidak suka apa-apa pun. Allah gunakan kalimah ini apabila Allah memilih para rasul. Kerana Allah yang hendak pilih begitu.

Ijtiba’ pula adalah jenis pemilihan yang dilakukan kerana orang yang dipilih itu layak dan ada kemampuan untuk melakukan kerja yang dipilih itu. Allah gunakan kalimah ini apabila memilih kita sebagai Muslim (seperti yang digunakan dalam ayat ini). Oleh itu jangan kita persoalkan pemilihan Allah yang menjadikan kita sebagai Muslim dan sebagai orang yang diberikan dengan tanggungjawab untuk menegakkan agamanya kerana ada sebab yang Allah pilih kita dan kita memang ada kualiti untuk melakukannya. Mungkin kita sahaja yang tidak tahu kemampuan kita. Tapi apabila Allah dah pilih, tentulah ia benar. Kerana ilmu Allah sempurna dan Allah tahu apa yang Allah lakukan. Allah tahu siapa yang Dia pilih, bukan?

Jadi mungkin ada yang merasakan agama ini susah; jadi kerana ada yang memikirkan begitu, maka Allah beritahu di dalam ayat ini bahawa agama ini tidak menyusahkan. Kalau ada perasaan sendiri dalam diri kita, maka kena buangkan jauh-jauh.

Dalam hal ibadat pun, banyak yang Allah telah mudahkan. Kalau tidak mampu solat berdiri, boleh solat duduk atau berbaring. Kalau dalam perjalanan, boleh solat ringkas, kalau dalam perang, boleh solat khauf; dan macam-macam lagi kesenangan yang Allah telah jadikan untuk kita. Kalau dibandingkan dengan syariat umat-umat terdahulu, syariat kita lebih mudah sebenarnya. Kerana itulah Nabi Saw. pernah bersabda:

“بُعِثْتُ بالحنِيفيَّة السَّمحة”

Aku diutus dengan membawa agama Islam yang hanif lagi penuh toleransi.

Rasulullah Saw. bersabda kepada Mu’az dan Abu Musa, ketika baginda mengutus keduanya menjadi amir di negeri Yaman:

“بَشِّرا ولا تُنَفِّرَا، ويَسِّرا وَلَا تُعسِّرَا”

Sampaikanlah berita gembira dan janganlah kamu berdua membuat mereka lari (darimu); dan bersikap mudahlah kamu berdua, janganlah kamu berdua bersikap mempersulit.

Oleh kerana itu kita amat hairan apabila ada ustaz-ustaz dan ‘pemuka agama’ di negara ini yang mengajar perkara yang menyusahkan umat. Diajar cara solat yang susah, cara wudhuk yang susah, cara thoharah yang susah (sampai kena korek lubang dubur bila nak istnja’) dan macam-macam lagi. Sedangkan perkara itu tidak ada dalam agama. Kita hairan mereka ambil di mana? Kesannya amat buruk sekali – manusia salah sangka yang agama ini kena bersusah-susah dan sampaikan ada yang susah hidup mereka. Sampai ada yang jadi penyakit was-was (dipanggil juga sebagai OCD). Wahai ustaz-ustaz, belajarlah sunnah, jangan pakai sahaja kitab yang kuning, kitab biru atau hijau. Ambillah agama dari wahyu – Qur’an dan hadis yang sahih. Jangan kamu susahkan masyarakat. Kalau kamu nak susahkan diri kamu sendiri, silakan; tapi jangan susahkan orang lain.

 

مِّلَّةَ أَبيكُم إِبرٰهيمَ

(Ikutilah) agama orang tuamu Ibrahim. 

Kita adalah sebahagian daripada millah Nabi Ibrahim. Tapi bukankah baginda terpaksa melalui berbagai-bagai ujian yang berat seperti kena dilempar dalam api, berdakwah kepada raja yang zalim, kena tinggal kampung halamannya dan ayahnya, kena tinggalkan anak dan isterinya di padang pasir yang tandus, dan kena sembelih anaknya sendiri? Bukankah sebentar tadi Allah berfirman yang agama ini tidak menyusahkan dan kemudian Allah terus bercakap tentang Nabi Ibrahim yang kita pun tahu baginda telah diuji dengan berbagai-bagai kesukaran yang amat sangat? Kenapa pula begini?

Maka kita kena baca ayat ini sebagai satu pengharapan kerana kita telah belajar bagaimana walaupun Nabi Ibrahim itu telah diberikan dengan berbagai ujian yang besar-besar, tetapi baginda dapat melakukannya dengan bantuan Allah; maka kita kena ingat dan kena sedar bahawa Allah akan bantu kita didalam menjalankan tugas kita untuk menegakkan agamaNya ini. Dan Allah telah beritahu kita di dalam ayat yang lain yang sesiapa yang membantu agamaNya maka Allah akan membantu orang itu. Maka jadikan ayat ini sebagai berita gembira, bukannya berita menakutkan.

 

هُوَ سَمّٰكُمُ المُسلِمينَ مِن قَبلُ وَفي هٰذا

Dia (Allah) telah menamai kamu sekalian orang-orang muslim dari dahulu, dan (begitu pula) dalam (Al Quran) ini,

Nabi Ibrahim telah menamakan pengikutnya sebagai Muslim; dan ada juga orang yang mengatakan bahawa yang menamakan kita sebagai Muslim adalah Allah sendiri dan kedua-dua pendapat ini boleh dipakai.

Oleh itu, kita tidak bersetuju apabila ada nama-nama kumpulan diberikan kepada puak-puak tertentu. Ada yang Salafi, Aswaja, Tabligh, Tarekat, Hizbut Tahrir dan macam-macam lagi. Bahayanya kerana puak-puak itu akan sangka yang merekalah yang terbaik. Ini adalah kebiasaan manusia – bila dah ada kumpulan, mulalah mereka rasa kumpulan mereka yang lebih baik dari kumpulan itu dan ini. Maka, kita kena kembali kepada ayat ini – ketahuilah yang nama kumpulan kita adalah ‘Muslim’. Kerana ini nama yang Allah telah berikan. Jadi kalau ada orang tanya: “Awak kumpulan mana?”, jawaplah “Saya Muslim” dan sebut ayat Hajj:78 ini.

Dan kita telah belajar bagaimana Nabi Ibrahim itu telah menyerahkan sepenuh dirinya kepada Allah. Itulah maksud ‘Muslim’, iaitu menyerahkan sepenuhnya diri kita kepada Allah dan agama. Kalau tidak faham maksud Muslim ini, maka amat malanglah mereka yang mengaku sahaja sebagai Muslim. Nama mereka sahaja nama Islam, tapi perangai mereka amat jauh dari kehendak agama Islam.

Mereka ini termasuklah mereka yang tidak hiraukan tentang agama. Mereka tak kisah pun mereka jahil tentang agama. Semua benda mereka tak tahu, tapi selamba sahaja mereka buat tidak tahu. Patutnya bila tak tahu, kenalah cari guru untuk belajar, bukan?

 

لِيَكونَ الرَّسولُ شَهيدًا عَلَيكُم

supaya Rasul itu menjadi saksi atas dirimu

Dan oleh kerana kita telah menjadi orang Islam dan ada tanggungjawab yang kita perlu lakukan, maka sekarang Allah memberitahu yang di hari akhirat nanti Allah akan angkat Nabi Muhammad sebagai saksi ke atas kita; dan Allah akan bertanya kepada Nabi Muhammad sama ada kita telah melakukan tugas itu ataupun tidak. Kerana itu kalimah عَلَيكُم (ke atas kamu) yang digunakan. Ia memberi isyarat tanggungjawab apabila kalimah على digunakan. Nabi Muhammad terpaksa memberitahu yang benar walaupun kita ini adalah umatnya kerana kalau kita tidak melakukan tugas kita, maka Nabi Muhammad tidak akan dapat membantu kita. Kerana Nabi Muhammad telah melakukan tugas baginda untuk menyampaikan agama ini dan sekarang tugas kita untuk melakukan perkara yang sama. Maka kena fikirkan bagaimana cara kita nak sampaikan agama ini kepada manusia.

 

وَتَكونوا شُهَداءَ عَلَى النّاسِ

dan supaya kamu semua menjadi saksi atas segenap manusia,

Dan kita pula menjadi saksi ke atas manusia-manusia yang lain iaitu mereka mereka yang kita telah beri dakwah kepada mereka. Dan kita kena lakukan ini supaya kita boleh berkata di hadapan Allah Ta’ala yang kita telah melakukan tugas kita cuma mereka sahaja yang tidak mahu menerimanya.

Atau kalimah syahid (jamak: syuhada’) dalam maksud ‘dakwah’. Nabi sampaikan kepada kita dan kita kena sampaikan kepada manusia lain. Maka memang tidak terlepas dari tanggungjawab menjalankan dakwah ini. Ramai yang sangka dakwah ini bukan tugas semua Muslim – mereka rasa orang tertentu sahaja yang kena menjalankan dakwah. Tapi kalau kita faham ayat ini dan banyak lagi ayat-ayat yang lain, kita akan jelas bahawa dakwah ini memang tugas semua orang.

 

فَأَقيمُوا الصَّلوٰةَ وَآتُوا الزَّكوٰةَ

maka dirikanlah sembahyang, tunaikanlah zakat

Dan sekarang kita telah sedar bagaimana susahnya tugas yang telah diletakkan di atas bahu kita ini dan mungkin sekarang kita tertanya-tanya: bagaimanakah kita akan dapat melakukannya? Di manakah kita dapat mencari kekuatan untuk menjalankan tugas yang Allah telah berikan ini?

Maka Allah beritahu di hujung surah ini bahawa kekuatan itu dapat dicari dengan mengerjakan solat dan mengeluarkan zakat. Ianya adalah wakil kepada ibadat dan adat. Maknanya kita kena cari kekuatan dengan mengerjakan ibadah. Apabila kita jaga ibadah kita, maka Allah akan beri kekuatan kepada kita.

Kerana itulah Nabi Muhammad disuruh untuk mengerjakan solat malam. Padahal siangnya baginda mengerjakan dakwah sehari suntuk. Malamnya pula Allah suruh solat malam pula lagi. Kenapa? Kerana dengan mengerjakan solat malam itu, baginda akan mendapat kekuatan rohani untuk meneruskan dakwah di siang hari.

 

وَاعتَصِموا بِاللهِ

dan berpeganglah kamu kepada Allah. 

Dalam ayat ini Allah suruh berpegang denganNya dan bukan dalam ayat yang kita biasa baca iaitu berpegang dengan tali Allah. Maksud tali Allah itu adalah Qur’an dan memang kita kena selalu baca Qur’an; tetapi berpegang dengan Allah adalah dengan merapatkan diri dengan Allah. Kita kena cari jalan untuk merapatkan diri dengan Allah.

 

هُوَ مَولٰكُم

Dia adalah Pelindungmu,

Kita kena merapatkan diri dengan Allah dan berhubungan denganNya kerana kita memerlukan perlindungan dariNya kerana kita amat lemah. Allah adalah sebaik baik pelindung dan tidak ada pelindung yang lebih baik dari Allah. Maka kenalah kita berharap kepada Allah sahaja. Jangan nak seru Nabi, wali dan malaikat pula seperti yang dilakukan oleh ramai orang.

 

فَنِعمَ المَولىٰ وَنِعمَ النَّصيرُ

maka Dialah sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Penolong.

Kalimah نصر adalah pemberian pertolongan yang besar. Dalam keadaan yang kita terdesak dan memerlukan bantuan, yang boleh membantu kita hanyalah Allah sahaja. Maka hendaklah kita belajar bagaimana berdoa kepada Allah dan berharap kepadaNya dalam segenap kehidupan kita.

Allahu a’lam. Sekian tamat tafsir Surah Hajj. Ini juga AKHIR JUZ 17. Sambung ke surah yang seterusnya, Surah al-Mukminoon.


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 022: Hajj. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s