Tafsir Surah Hajj Ayat 5 (Proses kejadian manusia)

Ayat 5: Ayat dalil aqli yang pertama dalam surah ini.

يا أَيُّهَا النّاسُ إِن كُنتُم في رَيبٍ مِّنَ البَعثِ فَإِنّا خَلَقنٰكُم مِّن تُرابٍ ثُمَّ مِن نُّطفَةٍ ثُمَّ مِن عَلَقَةٍ ثُمَّ مِن مُّضغَةٍ مُّخَلَّقَةٍ وَغَيرِ مُخَلَّقَةٍ لِّنُبَيِّنَ لَكُم ۚ وَنُقِرُّ فِي الأَرحامِ ما نَشاءُ إِلىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى ثُمَّ نُخرِجُكُم طِفلًا ثُمَّ لِتَبلُغوا أَشُدَّكُم ۖ وَمِنكُم مَّن يُتَوَفّىٰ وَمِنكُم مَّن يُرَدُّ إِلىٰ أَرذَلِ العُمُرِ لِكَيلا يَعلَمَ مِن بَعدِ عِلمٍ شَيئًا ۚ وَتَرَى الأَرضَ هامِدَةً فَإِذا أَنزَلنا عَلَيهَا الماءَ اهتَزَّت وَرَبَت وَأَنبَتَت مِن كُلِّ زَوجٍ بَهيجٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O people, if you should be in doubt about the Resurrection, then [consider that] indeed, We created you from dust, then from a sperm-drop, then from a clinging clot, and then from a lump of flesh, formed and unformed¹ – that We may show you.² And We settle in the wombs whom We will for a specified term, then We bring you out as a child, and then [We develop you] that you may reach your [time of] maturity. And among you is he who is taken in [early] death, and among you is he who is returned to the most decrepit [old] age so that he knows, after [once having] knowledge, nothing. And you see the earth barren, but when We send down upon it rain, it quivers and swells and grows [something] of every beautiful kind.

  • That which is incomplete. This may include what is aborted at that stage.
  • Our power and creative ability.

(MELAYU)

Hai manusia, jika kamu dalam keraguan tentang kebangkitan (dari kubur), maka (ketahuilah) sesungguhnya Kami telah menjadikan kamu dari tanah, kemudian dari setitis mani, kemudian dari segumpal darah, kemudian dari segumpal daging yang sempurna kejadiannya dan yang tidak sempurna, agar Kami jelaskan kepada kamu dan Kami tetapkan dalam rahim, apa yang Kami kehendaki sampai waktu yang sudah ditentukan, kemudian Kami keluarkan kamu sebagai bayi, kemudian (dengan beransur-ansur) kamu sampailah kepada kedewasaan, dan di antara kamu ada yang diwafatkan dan (ada pula) di antara kamu yang dipanjangkan umurnya sampai nyanyuk, supaya dia tidak mengetahui lagi sesuatupun yang dahulunya telah diketahuinya. Dan kamu lihat bumi ini kering, kemudian apabila telah Kami turunkan air di atasnya, hiduplah bumi itu dan suburlah dan menumbuhkan berbagai macam tumbuh-tumbuhan yang indah.

 

يا أَيُّهَا النّاسُ إِن كُنتُم في رَيبٍ مِّنَ البَعثِ

Hai manusia, jika kamu dalam keraguan tentang kebangkitan

Allah hendak memberitahu kepada mereka yang ragu-ragu tentang hari kebangkitan itu yang sebenarnya mereka itu ragu dengan Qudrat Allah. Mereka seolah-olah ragu Allah boleh melakukannya, maka dalam ayat ini Allah menceritakan tentang QudratNya yang hebat.

 

فَإِنّا خَلَقنٰكُم مِّن تُرابٍ

maka (ketahuilah) sesungguhnya Kami telah menjadikan kamu dari tanah,

Allah mengingatkan manusia bahawa mereka sendiri dijadikan olehNya. Dan manusia dijadikan pula dari tanah. Iaitu merujuk kepada Nabi Adam a.s. Kalau kita tengok tanah itu, tak dapat kita nak bayangkan bagaimana boleh jadi manusia macam kita. Tapi Allah boleh jadikan Nabi Adam itu dari tanah itu.

 

ثُمَّ مِن نُّطفَةٍ

kemudian dari setitis mani,

Keturunan Nabi Adam tidaklah dijadikan dari tanah tapi asalnya dari air mani. Dan bukan kesemua air mani itu tapi sperma yang ada dalam air mani itu.

 

مِن عَلَقَةٍ

kemudian dari segumpal darah,

Setelah air mani lelaki bertemu dengan ovum wanita, maka terjadilah persenyawaan. Dalam ayat ini digunakan kalimah عَلَقَةٍ. Al-Alaq adalah sesuatu yang melekat dan yang dimaksudkan adalah ketulan darah yang melekat pada rahim ibu yang boleh dilihat apabila scan. Dalam bahasa saintifik, ia dipanggil zigot.

 

ثُمَّ مِن مُّضغَةٍ مُّخَلَّقَةٍ وَغَيرِ مُخَلَّقَةٍ لِّنُبَيِّنَ لَكُم

kemudian dari segumpal daging yang sempurna kejadiannya dan yang tidak sempurna, agar Kami jelaskan kepada kamu

Kalimah مُّضغَةٍ bermaksud seketul daging dan rupanya seperti dikunyah-kunyah. Ini adalah kerana bentuk janin itu tidaklah kemas sangat.

Kalimah مُّخَلَّقَةٍ bermaksud ‘yang terbentuk dengan sempurna’, atau akan menjadi sempurna. Ia membawa maksud, dari janin itu ia akan terus terbentuk menjadi manusia akhirnya. Dari asalnya berbentuk seperti daging dikunyah sahaja, lama-kelamaan ia akan menjadi bentuk yang boleh dikenali seperti tangan, kepala dan kaki. Seperti kita ini termasuk dalam kategori ini.

Ada janin yang di dalam perut ibu itu cukup sifat dan ada yang tidak cukup sifat. Kalimat غَيرِ مُخَلَّقَةٍ bermaksud janin yang tidak akan jadi sempurna. Kerana ada janin yang gugur tidak menjadi bayi.

Allah hendak menjelaskan kepada kita kebenaran tentang QudratNya. Semua proses proses ini adalah proses yang terjadi di dalam perut ibu dan tentunya zaman Nabi Muhammad tidak dapat dilihat perkara ini. Akan tetapi ianya tepat dan sudah dibuktikan dengan kajian sains. Dan ini menambah iman kita apabila kita lihat bagaimana tepatnya pemberitahuan Allah tentang proses kejadian manusia satu persatu ini.

 

وَنُقِرُّ فِي الأَرحامِ ما نَشاءُ إِلىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى

dan Kami tetapkan dalam rahim, apa yang Kami kehendaki sampai waktu yang sudah ditentukan, 

Yang mana akan menjadi bayi, janin itu akan ditetapkan dalam rahim itu sampai masa yang telah ditetapkan. Allah yang tetapkan bila akan keluar; dan Allah yang tetapkan jikalau janin itu digugurkan.

Apabila kita baca ayat-ayat sebegini, maka ingatlah bahawa Allah lah yang telah membesarkan kita dalam rahim ibu. Memang ibu itu menjaga sungguh kandungan di dalam perutnya, tapi sebenarnya Allah lah yang menjaga janin dan bayi itu.

 

ثُمَّ نُخرِجُكُم طِفلًا

kemudian Kami keluarkan kamu sebagai bayi, 

Apabila sampai masanya, Allah yang mengeluarkan kita sebagai bayi sewaktu kita keluar dari perut ibu kita.

Allah boleh menceritakan satu persatu proses kejadian manusia ini kerana dia yang menjadikan manusia itu. Kalau tidak percaya maka tanyalah kepada doktor yang telah melihat dan belajar bagaimana proses kejadian manusia itu bagaimana segala proses yang disebutkan sini memang sebiji terjadi seperti yang disebut.

 

ثُمَّ لِتَبلُغوا أَشُدَّكُم

kemudian (dengan beransur-ansur) kamu sampailah kepada kedewasaan,

Dari kecil, kemudian boleh berjalan, boleh berlari dan membesar menjadi dewasa. Allah juga yang menentukan perkara ini kerana ada yang mati semasa kecil dan ada yang mati semasa dewasa dan ada yang mati setelah tua.

 

وَمِنكُم مَّن يُتَوَفّىٰ وَمِنكُم مَّن يُرَدُّ إِلىٰ أَرذَلِ العُمُرِ

dan di antara kamu ada yang diwafatkan dan (ada pula) di antara kamu yang dipanjangkan umurnya sampai nyanyuk,

Ada yang diwafatkan semasa muda dan yang mati semasa sudah tua. Yang pasti, semua akan mati. Malah, setiap pagi kita akan dikembalikan kepada kehidupan kita kerana setiap malam kita mati sebenarnya dalam tidur.

Mereka kembali kepada kehidupan yang permulaan kerana mereka sudah lemah dan tidak boleh berbuat apa-apa dan ada banyak masalah kepada mereka kerana mereka sudah tua. Mereka sudah tidak dapat nak jaga diri mereka sendiri.

 

لِكَيلا يَعلَمَ مِن بَعدِ عِلمٍ شَيئًا

supaya dia tidak mengetahui lagi sesuatupun yang dahulunya telah diketahuinya.

Apabila mereka sudah tua sangat mereka sudah tidak tahu perkara-perkara yang dulunya mereka tahu. Dia berasal daripada tidak tahu iaitu selepas lahir tidak tahu apa-apa dan kemudian dia belajar satu persatu perkara tentang dunia dan agama dan akhirnya apabila dia sudah tua sangat dia langsung lupa segala perkara yang diketahuinya dulu. Maknanya orang itu akan menjadi nyanyuk dan dari ini kita tahu bahawa nyanyuk itu pun adalah kudrat dari Allah juga, iaitu Allah yang menjadikan orang itu nyanyuk kerana ada orang yang sampai ke hari kematiannya dia tidak nyanyuk.

Mereka akan ada masalah kerana banyak benda yang mereka tidak boleh buat lagi. Mereka berharap bantuan dari orang lain seperti seorang bayi memerlukan bantuan dari orang dewasa.

Tapi, merekalah juga yang menjaga kita dulu semasa kita kecil. Bayangkan masalah sosial yang berlaku sekarang di mana anak-anak tidak mengenang jasa ibu bapa mereka yang menjaga mereka sewaktu kecil dulu. Ibubapa menjaga anak itu tanpa keluh kesah tetapi sekarang apabila anak-anak itu yang kena jaga ayah mereka, waktu itulah mereka jadi resah. Bayangkan betapa sedihnya orang tua apabila mereka melihat anak-anak mereka seperti tidak suka menjaga mereka. Mereka masih ada perasaan dan mereka dapat rasa apa yang dibuat oleh kata-kata dan memek muka anak-anak mereka itu. Maka kenalah jaga percakapan kita di hadapan mereka dan jaga muka kita. Ingatlah bahawa peluang besar sungguh kerana dapat jaga emak dan ayah di masa tua mereka.

 

وَتَرَى الأَرضَ هامِدَةً

Dan kamu lihat bumi ini kering, 

Dan sekarang Allah memberi perbandingan dengan tanah yang gersang. Kering kerana tidak ada air diturunkan kepadanya. Bila kering, maka tumbuhan tidak dapat hidup.

 

فَإِذا أَنزَلنا عَلَيهَا الماءَ اهتَزَّت وَرَبَت

kemudian apabila telah Kami turunkan air di atasnya, hiduplah bumi itu dan suburlah

Mudah sahaja bagi Allah untuk menghidupkan kembali tanah itu. Iaitu dengan diberikan air hujan kepadanya. Dengan adanya air, maka tumbuhan dari hidup kerana tumbuhan memerlukan air.

 

وَأَنبَتَت مِن كُلِّ زَوجٍ بَهيجٍ

dan menumbuhkan berbagai macam tumbuh-tumbuhan yang indah. 

Kalimah بَهيجٍ digunakan untuk tanah yang ada banyak tanaman yang indah-indah. Banyak pokok dan bunga yang indah.

Allah memberi isyarat tanah yang gersang ini kepada manusia yang akan dihidupkan kembali. Oleh itu setiap kali kita melihat air hujan maka sepatutnya kita ingat bahawa kita ini akan dihidupkan kembali seperti tanah yang gersang itu dihidupkan dengan siraman air sahaja. Mudah sahaja bagi Allah untuk menghidupkan kita kembali sebagaimana mudahnya Dia nak menghidupkan tanah yang gersang. Tadi telah disebut dengan panjang lebar tentang kejadian manusia – itu pun Allah yang hidupkan kita. Maka kalau kita mati, maka tentulah boleh Allah nak hidupkan kita kerana dari asal, Dia juga yang menjadikan kita, bukan?

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 022: Hajj. Bookmark the permalink.

One Response to Tafsir Surah Hajj Ayat 5 (Proses kejadian manusia)

  1. Pingback: Tafsir Surah Hajj Ayat 5 (Proses kejadian manusia)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s