Tafsir Surah Hajj Ayat 1 – 4 (Kiamat yang dahsyat)

Pengenalan:

Surah al-Hajj ini menyambung perbincangan di dalam Surah Anbiya’ sebelumnya iaitu tentang hari kiamat.

Dalam surah ini selain daripada menyentuh tentang tauhid, ia juga mengandungi perbandingan-perbandingan yang tidak ada dalam surah-surah yang lain.

Dalam Surah Anbiya’ sebelum ini, telah disebut bagaimana seruan para Nabi adalah kepada Allah taala sahaja (tauhid fid dua’) untuk menghilangkan kesusahan mereka. Dalam Surah Hajj ini pula, menekankan bahawa sebagaimana Allah diseru dalam kesusahan, maka segala ibadah seperti korban, nazar dan sumpah hendaklah dilakukan hanya untuk Allah taala sahaja. Sebagaimana jika seseorang yang menyeru untuk mendapat pertolongan kepada selain Allah semasa kesusahan membawa kepada syirik, begitu juga membuat korban dan penyembelihan kepada selainNya juga menyebabkan syirik.

Surah ini terbahagi kepada dua bahagian:

Ayat 1 – 25: bahagian pertama surah ini. Ia memperkatakan tentang Syirik Iktiqaadi. Syirik  yang disentuh di dalamnya adalah syirik fi tasarruf (pengurusan).

Ayat 26 sehingga ke akhir surah: bahagian kedua surah ini dan dari segi akidahnya ia menolak Syirik Amali.


 

Ayat 1: Takhwif Ukhrawi.

يا أَيُّهَا النّاسُ اتَّقوا رَبَّكُم ۚ إِنَّ زَلزَلَةَ السّاعَةِ شَيءٌ عَظيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Al-Ḥajj: The Pilgrimage.

O mankind, fear your Lord. Indeed, the convulsion of the [final] Hour is a terrible thing.

(MELAYU)

Hai manusia, bertakwalah kepada Tuhanmu; sesungguhnya kegoncangan hari kiamat itu adalah suatu kejadian yang sangat besar (dahsyat).

 

يا أَيُّهَا النّاسُ اتَّقوا رَبَّكُم

Hai manusia, bertakwalah kepada Tuhanmu;

Surah ini bermula dengan menujukan syarahnya kepada seluruh manusia dan ini dijadikan dalil yang ianya adalah Surah Makkiyah kerana selalunya surah-surah Madaniyyah dimulai dengan syarah kepada orang-orang yang beriman. Ulama berbeza pendapat samada surah ini adalah surah Makkiyyah atau surah Madanniyyah.

 

إِنَّ زَلزَلَةَ السّاعَةِ شَيءٌ عَظيمٌ

sesungguhnya kegoncangan hari kiamat itu adalah suatu kejadian yang sangat besar (dahsyat).

Bertakwalah kepada Allah kerana hari goncangan pada hari Kiamat itu amatlah teruk sampaikan manusia tidak dapat berdiri tegak. Dan goncangan itu akan berterusan tidak berhenti. Ini tidak sama seperti gempa bumi kerana gempa bumi hanya berlaku sekejap sahaja (beberapa saat) tetapi pada hari Kiamat nanti gempa bumi itu akan berterusan sampailah bumi ini hancur. Bayangkan beberapa saat sahaja bumi ini dilanda dengan gempa bumi berapa banyak kerosakan yang dilakukannya? Tetapi kalau goncangan itu tidak berhenti, bagaimana? Tentu akan hancur sahaja bumi ini dan memang itulah yang akan terjadi.

Cara untuk bertaqwa adalah dengan melakukan taat kepada segala arahan Allah. Maka kenalah belajar apa yang perlu ditaati. Dan untuk tahu itu adalah dengan belajar tafsir Qur’an dan juga Sunnah.

Allah menekankan yang hari itu amat besar dan dahsyat kerana dalam surah sebelum ini telah disebut bagaimana orang-orang kafir itu memperlekehkan kedatangan hari Kiamat itu. Maka sekarang Allah beri penerangan tentang apakah yang akan terjadi pada hari itu. Janganlah memperkecil-kecilkan hari itu. Mereka tidak takut kepada Kiamat itu adakah mereka sangka yang mereka akan selamat? Jangan begitu, nanti menyesal tak sudah.


 

Ayat 2: Ini adalah huraian kepada kalimah ‘goncangan’ yang telah disebut dalam ayat sebelum ini. Allah jelaskan lagi supaya kita dapat bayangkan. Supaya tambah takut lagi dengan hari itu.

يَومَ تَرَونَها تَذهَلُ كُلُّ مُرضِعَةٍ عَمّا أَرضَعَت وَتَضَعُ كُلُّ ذاتِ حَملٍ حَملَها وَتَرَى النّاسَ سُكٰرىٰ وَما هُم بِسُكٰرىٰ وَلٰكِنَّ عَذابَ اللهِ شَديدٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

On the Day you see it every nursing mother will be distracted from that [child] she was nursing, and every pregnant woman will abort her pregnancy, and you will see the people [appearing] intoxicated while they are not intoxicated; but the punishment of Allāh is severe.

(MELAYU)

(Ingatlah) pada hari (ketika) kamu melihat kegoncangan itu, lalailah semua wanita yang menyusui anaknya dari anak yang disusuinya dan gugurlah kandungan segala wanita yang hamil, dan kamu lihat manusia dalam keadaan mabuk, padahal sebenarnya mereka tidak mabuk, akan tetapi azab Allah itu sangat kerasnya.

 

يَومَ تَرَونَها تَذهَلُ كُلُّ مُرضِعَةٍ عَمّا أَرضَعَت

Pada hari (ketika) kamu melihat kegoncangan itu, lalailah semua wanita yang menyusui anaknya dari anak yang disusuinya

Pada hari itu ibu-ibu yang sedang menyusukan anaknya, tidak kira sama ada manusia ataupun binatang, akan melepaskan anaknya itu. Kalimah تَذهَلُ bermaksud melupakan sesuatu kerana terkejut sangat. Mereka sudah tak hiraukan anaknya lagi. Maknanya ibu-ibu itu sudah tidak sedar tentang anak-anak mereka lagi.

Allah beri isyarat betapa teruknya hari itu kerana seorang ibu tentunya amat menjaga anak-anaknya terutama anak-anak yang masih lagi menyusu. Kerana kalau anak sedang menyusu itu memang dijaga bersungguh-sungguh, selalu didukung sahaja. Tetapi kerana dahsyat sangat hari Kiamat itu, mereka akan lepaskan anaknya itu dan sudah tidak menghiraukannya lagi.

 

وَتَضَعُ كُلُّ ذاتِ حَملٍ حَملَها

dan gugurlah kandungan segala wanita yang hamil, 

Dan semua makhluk sama ada manusia atau binatang yang sedang hamil akan mengalami keguguran kerana teruknya gegaran bumi pada hari itu.

 

وَتَرَى النّاسَ سُكٰرىٰ وَما هُم بِسُكٰرىٰ

dan kamu lihat manusia dalam keadaan mabuk, padahal sebenarnya mereka tidak mabuk,

Dan kita boleh cuba bayangkan bagaimana semua orang dalam keadaan seolah-olahnya mabuk. Allah beri dalam bentuk imagery supaya kita boleh bayangkan. Dan Allah beritahu yang itu mereka itu nampak macam mabuk teruk tetapi bukanlah mereka itu mabuk arak kerana mereka tak minum arak pun. Cuba bayangkan bagaimana orang yang sedang mabuk laut di atas kapal yang sedang terumbang ambing.

 

وَلٰكِنَّ عَذابَ اللهِ شَديدٌ

akan tetapi azab Allah itu sangat kerasnya.

Walaupun kita mungkin diselamatkan daripada mengalami keadaan yang amat teruk ini (kerana orang mukmin akan dimatikan sebelum terjadinya kiamat) tetapi kita boleh mengambil pengajaran darinya: bahawa dunia ini tidak akan kekal maka tidaklah perlu untuk kita terlalu berlebihan di dalam dunia ini dan terlalu berpegang dengannya. Ianya akan hancur juga akhirnya.


 

Ayat 3: Ayat zajrun.

وَمِنَ النّاسِ مَن يُجٰدِلُ فِي اللهِ بِغَيرِ عِلمٍ وَيَتَّبِعُ كُلَّ شَيطٰنٍ مَّريدٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And of the people is he who disputes about Allāh without knowledge and follows every rebellious devil.

(MELAYU)

Di antara manusia ada orang yang membantah tentang Allah tanpa ilmu pengetahuan dan mengikuti setiap syaitan yang jahat,

 

وَمِنَ النّاسِ مَن يُجٰدِلُ فِي اللهِ بِغَيرِ عِلمٍ

Di antara manusia ada orang yang membantah tentang Allah tanpa ilmu pengetahuan

Walaupun telah diberikan dengan berbagai hujah dan dalil, tetapi ada sahaja manusia yang suka untuk membantah dan berdebat berkenaan Allah seolah-olah ianya adalah perkara yang ringan.

Mereka membantah ayat-ayat tentang tauhid itu بِغَيرِ عِلمٍ iaitu tanpa memberikan sebarang dalil. Kita bukanlah larang untuk sesiapa membantah tetapi kalau hendak membantah pun kenalah ada ilmu dan ilmu itu bermaksud dalil yang sahih.

 

وَيَتَّبِعُ كُلَّ شَيطٰنٍ مَّريدٍ

dan mengikuti setiap syaitan yang jahat,

Mereka itu telah mengikut syaitan yang jahat مَّريدٍ yang terkehadapan atau yang berlebih-lebihan kejahatannya. Iaitu teruk sangat, ganas sangat.

Dan ini amat bahaya terutama sekali pada zaman sekarang kerana maklumat senang sangat untuk didapati oleh manusia dan ianya bercampur baur antara yang benar dan yang palsu. Dan kalau seseorang itu tidak mempunyai asas yang kuat dalam agama, dan mereka membaca di internet tentang perbincangan orang-orang kafir dan orang-orang yang tidak beriman atau mempunyai akidah yang sesat, maka kadang-kadang boleh termakan dengan hujah-hujah mereka yang teruk. Kerana kadang-kadang apabila kita baca sesuatu pendapat itu walaupun waktu itu kita tidak percaya terus, tetapi ada sesuatu yang tertinggal di dalam benak kita.

Oleh itu mereka yang membaca penulisan yang sebegitu mungkin rasa mereka bertambah ilmu tetapi sebenarnya mereka telah melemahkan iman mereka kerana penulisan seperti itu akan mula menjauhkan mereka dari kebenaran. Kepala mereka sudah berfikir macam macam… entah-entah ada yang cakap dalam hati: “eh, betul juga dia kata tu..” dan kata-kata ini adalah dari orang yang jahil wahyu. Kerana mereka tidak ada asas dari Qur’an untuk menolak fahaman-fahaman yang jauh dari wahyu. Kalau dah mantap fahaman wahyu, tidaklah seseorang itu termakan dengan diayah-diayah yang mengarut itu.

Oleh kerana sudah mula membaca tentang persoalan-persoalan bodoh dan cetek ilmu wahyu yang diutarakan oleh manusia, maka kadang-kadang kita akan berjumpa dengan soalan-soalan yang pelik seperti ada yang bertanya: kenapa Allah menghukum manusia di neraka, sedangkan Dia bersifat Rahman? Dan apabila kita jawab berdasarkan penerangan yang ada di dalam Qur’an, mereka tidak dapat menerimanya kerana pada mereka ianya tidak sampai kepada logik akal mereka. Ini adalah kerana hati mereka sudah jauh dari wahyu. Sampaikan apa yang telah disampaikan oleh wahyu mereka rasa boleh tolak pula kalau tidak kena dengan tekak mereka. Kerana pada mereka sifat ketuhanan itu mesti kena ikut logik akal mereka pula, padahal kita sepatutnya tertakluk kepada apa yang Allah telah beritahu di dalam wahyuNya. Kerana kita kena ingat yang kita ini semua adalah hamba dan sebagai seorang hamba mestilah taat dan menerima apa sahaja yang disampaikan oleh Allah.

Ketahuilah yang ini semua datangnya daripada bisikan-bisikan syaitan yang menyebabkan mereka memikirkan perkara-perkara yang tidak perlu difikirkan dan bahaya untuk difikirkan. Maka kita kena berhati-hati dengan apa yang kita baca di media massa dan internet. Sepatutnya terus belajar agama dengan baik supaya kita tidak tertipu dengan diayah-diayah yang pelik yang datang dari luar ini.


 

Ayat 4: Kalau ikut syaitan, memang tidak akan selamat.

كُتِبَ عَلَيهِ أَنَّهُ مَن تَوَلّاهُ فَأَنَّهُ يُضِلُّهُ وَيَهديهِ إِلىٰ عَذابِ السَّعيرِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

It has been decreed for him [i.e., every devil] that whoever turns to him – he will misguide him and will lead him to the punishment of the Blaze.

(MELAYU)

yang telah ditetapkan terhadap syaitan itu, bahawa barangsiapa yang berkawan dengan dia, tentu dia akan menyesatkannya, dan membawanya ke azab neraka.

 

كُتِبَ عَلَيهِ أَنَّهُ مَن تَوَلّاهُ فَأَنَّهُ يُضِلُّهُ

yang telah ditetapkan terhadap syaitan itu, bahawa barangsiapa yang berkawan dengan dia, tentu dia akan menyesatkannya,

Allah telah tetapkan yang sesiapa sahaja yang berkawan dengan syaitan itu, maka syaitan itu akan menyesatkannya. Di dunia lagi syaitan sudah akan menyesatkannya. Tidak pernah syaitan akan bawa kebaikan kepada manusia.

 

وَيَهديهِ إِلىٰ عَذابِ السَّعيرِ

dan membawanya ke azab neraka.

Dan ke mana syaitan itu akan bawa orang itu kalau tidak ke neraka yang apinya panas membakar. Di dunia lagi syaitan sudah menyesatkannya dan di akhirat nanti syaitan akan membawanya ke neraka.

Maka untuk menyelamatkan diri kita daripada terjerumus ke dalam bisikan dan panduan syaitan ini maka hendaklah kita rapat dengan wahyu kerana jikalau sesuatu hujah itu tidak diberikan dengan wahyu, maka itu ada kemungkinan itu adalah hujah daripada syaitan.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 022: Hajj. Bookmark the permalink.

One Response to Tafsir Surah Hajj Ayat 1 – 4 (Kiamat yang dahsyat)

  1. Pingback: Tafsir Surah Hajj Ayat 1 – 4 (Kiamat yang dahsyat)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s