Tafsir Surah Anbiya’ Ayat 87 – 90 (Cara Nabi berdoa)

Ayat 87: Ayat dalil naqli kelapan.

وَذَا النّونِ إِذ ذَّهَبَ مُغٰضِبًا فَظَنَّ أَن لَّن نَّقدِرَ عَلَيهِ فَنادىٰ فِي الظُّلُمٰتِ أَن لّا إِلٰهَ إِلّا أَنتَ سُبحٰنَكَ إِنّي كُنتُ مِنَ الظّٰلِمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [mention] the man of the fish [i.e., Jonah], when he went off in anger¹ and thought that We would not decree [anything] upon him.² And he called out within the darknesses,³ “There is no deity except You; exalted are You. Indeed, I have been of the wrongdoers.”

•At the disbelief of his people.

•Or “would not restrict him” in the belly of the fish.

•That of the night, of the sea, and of the fish’s interior.

(MELAYU)

Dan (ingatlah kisah) Dzun Nun (Yunus), ketika ia pergi dalam keadaan marah, lalu ia menyangka bahawa Kami tidak akan mempersempitnya (menyulitkannya), maka ia menyeru dalam keadaan yang sangat gelap: “Bahawa tidak ada Tuhan selain Engkau. Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim”.

 

وَذَا النّونِ

Dan (ingatlah kisah) Dzun Nun (yang memiliki ikan),

Yang dimaksukan adalah Nabi Yunus a.s. kerana baginda telah duduk di dalam perut ikan selama beberapa hari. النّونِ bermaksud ikan yang besar. Mungkin kita boleh bayangkan ikan paus.

Yunus ibnu Mata  a.s. diutus oleh Allah kepada penduduk kota Nainawi, iaitu suatu kota besar yang terletak di negeri Mausul. Yunus menyeru mereka untuk menyembah Allah Swt., tetapi mereka menolak dan tetap tenggelam di dalam kekafiran. Maka Yunus pergi meninggalkan mereka dalam keadaan marah seraya mengancam mereka bahawa dalam waktu tiga hari lagi akan datang azab dari Allah.

 

إِذ ذَّهَبَ مُغٰضِبًا

ketika dia pergi dalam keadaan marah,

Latarbelakang kisah ini. Nabi Yunus telah lama berdakwah kepada kaum baginda tapi mereka menolak. Akhirnya baginda telah tidak tahan lagi dan telah pergi meninggalkan kaum baginda itu dengan marah kerana merajuk kepada kaum baginda. Dan mereka pun marah kepada baginda kerana kalimah مُغاضِبًا digunakan, dan ianya dalam bentuk wazan yang timbal-balik. Maka mereka sama-sama marah.

 

فَظَنَّ أَن لَّن نَّقدِرَ عَلَيهِ

lalu dia menyangka bahawa Kami tidak akan mempersempitnya

Baginda tidak sangka (ijtihad) yang Allah tidak menguasai baginda. Maksudnya baginda tidak rasa yang baginda akan dihukum kerana baginda tidak rasa yang baginda ada buat salah. Kerana baginda lihat kaumnya itu sangat tebal kedegilan mereka dan kerana itu baginda rasa yang baginda sudah boleh meninggalkan mereka. Itulah maksudnya yang baginda telah melakukan ijtihad.

Tetapi baginda telah membuat salah perkiraan/ijtihad, kerana baginda belum diarahkan untuk meninggalkan kaumnya lagi. Akan tetapi baginda seorang Nabi yang maksum jadi kesilapan yang baginda lakukan itu bukanlah kesilapan yang besar yang sampai membawa kepada dosa. Maka kita kena berhati-hati di dalam mentafsir ayat-ayat sebegini. Jangan sesekali kita menuduh para Nabi melakukan dosa. Kena beradab dalam hal mereka.

Oleh kerana Nabi Yunus meninggalkan mereka sebelum mendapat arahan dari Allah, maka akhirnya Allah tidak jadi menurunkan azab kepada mereka. Kisah ini disebutkan oleh Allah Swt. melalui firman-Nya:

{فَلَوْلا كَانَتْ قَرْيَةٌ آمَنَتْ فَنَفَعَهَا إِيمَانُهَا إِلا قَوْمَ يُونُسَ لَمَّا آمَنُوا كَشَفْنَا عَنْهُمْ عَذَابَ الْخِزْيِ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَمَتَّعْنَاهُمْ إِلَى حِينٍ}

Dan mengapa tidak ada (penduduk) suatu kota yang beriman, lalu imannya itu bermanfaat kepadanya selain kaum Yunus? Tatkala mereka (kaum Yunus itu) beriman, Kami hilangkan dari mereka azab yang menghinakan dalam kehidupan dunia, dan Kami beri kesenangan kepada mereka sampai kepada waktu yang tertentu. (Yunus: 98)

Jadi baginda telah lari meninggalkan kaumnya dan telah menaiki satu kapal dan ditakdirkan oleh Allah yang laut telah bergelora dan nakhoda kapal itu mengatakan kalau terjadi begini, selalu kerana ada yang tidak kena dengan penumpang di mana ada penumpang yang telah lari dari tuannya. Dan untuk menyelamatkan keadaan, hamba yang melarikan diri dari tuannya itu mestilah terjun ke dalam laut dan balik ke pantai kerana jika tidak laut itu akan terus bergelora. Akan tetapi tidak ada sesiapa pun yang mengaku. Tidak ada sesiapa pun yang mahu mengaku kerana tidak ada yang rasa bersalah termasuklah Nabi Yunus sendiri. Maka nakhoda kapal telah membuat keputusan untuk membuat undian. Di dalam undian itu, ia telah kena kepada Nabi Yunus dan telah dilakukan sekali lagi kerana mereka sangka takkan baginda yang bersalah kerana baginda adalah seorang nabi. Akan tetapi apabila sudah tiga kali kena begitu, maka sedarlah Nabi Yunus bahawa hamba yang melarikan diri dari tuannya itu adalah baginda sendiri kerana baginda telah pergi meninggalkan kaumnya sebelum diperintahkan/dibenarkan oleh Allah. Hal ini disebutkan oleh Allah Swt. melalui firman-Nya:

{فَسَاهَمَ فَكَانَ مِنَ الْمُدْحَضِينَ}

kemudian ia ikut berundi, lalu dia termasuk orang-orang yang kalah dalam undian. (Ash-Shaffat: 141)

Dan baginda telah terjun ke dalam laut dan waktu itulah ikan paus telah menelan baginda. Waktu itu Allah telah memerintahkan kepada ikan paus dari Laut Hijau —menurut apa yang diceritakan oleh Ibnu Mas’ud— membelah lautan dan sampai di tempat Nabi Yunus, lalu menelannya ketika Yunus melompat ke laut. Allah telah memerintah­kan kepada ikan paus itu, “Janganlah kamu memakan sedikit pun dari dagingnya, jangan pula mematahkan tulangnya, kerana sesungguhnya Yunus itu bukanlah rezeki makananmu, melainkan perutmu Aku jadikan sebagai penjara buatnya.”

 

فَنادىٰ فِي الظُّلُمٰتِ أَن لّا إِلٰهَ إِلّا أَنتَ

maka ia menyeru dalam keadaan yang sangat gelap: “Bahawa tidak ada Tuhan selain Engkau. 

Waktu itu baginda berada di dalam tiga kegelapan: iaitu kegelapan perut ikan, kegelapan laut, dan kegelapan malam. Begitulah Ibnu Mas’ud r.a. mengatakan bahawa kalimah الظُّلُمٰتِ itu dalam bentuk jamak, maksudnya gelapnya perut ikan paus, gelapnya lautan, dan gelapnya malam hari.

Dan ini adalah doa baginda semasa di dalam perut ikan paus itu. Sa’id ibnu Abul Hasan Al-Basri mengatakan bahwa Yunus tinggal di dalam perut ikan besar selama empat puluh hari.

Pertamanya baginda menyatakan kalimah tauhid – tidak ada ilah selain Allah.

 

سُبحٰنَكَ إِنّي كُنتُ مِنَ الظّٰلِمينَ

Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim”.

Selepas menyebut kalimah tauhid, baginda telah memuji Allah dengan bertasbih.

Dan akhirnya baginda mengaku yang baginda telah bersalah. Maksud Nabi Yunus yang baginda telah melakukan ‘kezaliman’ adalah kesalahan membuat keputusan di dalam ijtihad baginda. Baginda tidak bersalah kerana buat ijtihad itu, tapi hanya Allah sahaja yang boleh beritahu samada ia salah atau tidak.

Maka ini adalah doa orang yang duduk dalam penjara. Dan ini adalah lafaz istighfar yang boleh kita amalkan kerana ada riwayat dari Nabi yang mengatakan jikalau sesiapa yang dikenakan dengan musibah yang besar, maka boleh berdoa dengan lafaz ini dan ada riwayat daripada sahabat yang telah ditangkap dan mereka telah berzikir dengan ayat ini dan mereka telah diselamatkan.


 

Ayat 88:

فَاستَجَبنا لَهُ وَنَجَّينٰهُ مِنَ الغَمِّ ۚ وَكَذٰلِكَ نُنجِي المُؤمِنينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So We responded to him and saved him from the distress. And thus do We save the believers.

(MELAYU)

Maka Kami telah memperkenankan doanya dan menyelamatkannya dari pada kedukaan. Dan demikianlah Kami selamatkan orang-orang yang beriman.

 

فَاستَجَبنا لَهُ

Maka Kami telah memperkenankan doanya

Allah mendengar doa baginda di dalam perut ikan itu dan Allah telah memperkenankan.

 

وَنَجَّينٰهُ مِنَ الغَمِّ

dan menyelamatkannya daripada kedukaan. 

Maka Allah telah selamatkan baginda daripada kegelapan dan kesedihan yang dialami oleh baginda.

 

وَكَذٰلِكَ نُنجِي المُؤمِنينَ

Dan demikianlah Kami selamatkan orang-orang yang beriman.

Begitulah Allah menyelamatkan orang mukmin. Maknanya bukan saja Nabi Yunus yang diselamatkan tetapi Allah juga akan menyelamatkan mukminin yang lain. Kerana itu  apabila ditimpa musibah, hendaklah kita kembali kepada tauhid dan istighfar kepada Allah.


 

Ayat 89: Dalil Naqli ke-lapan. Sekarang masuk ke dalam kisah Nabi Zakariya a.s. pula.

وَزَكَرِيّا إِذ نادىٰ رَبَّهُ رَبِّ لا تَذَرني فَردًا وَأَنتَ خَيرُ الوٰرِثينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [mention] Zechariah, when he called to his Lord, “My Lord, do not leave me alone [with no heir], while You are the best of inheritors.”

(MELAYU)

Dan (ingatlah kisah) Zakaria, tatkala ia menyeru Tuhannya: “Ya Tuhanku janganlah Engkau membiarkan aku hidup seorang diri dan Engkaulah Waris Yang Paling Baik.

 

وَزَكَرِيّا إِذ نادىٰ رَبَّهُ

Dan (ingatlah kisah) Zakaria, ketika ia menyeru Tuhannya:

Nabi Zakariya a.s. juga telah menyeru dalam doa kepada Allah. Maka ini adalah satu persamaan dalam ayat-ayat penceritaan para Nabi dalam surah ini: mereka sentiasa menyeru Allah dalam doa. Ini adalah kerana doa adalah senjata orang saleh dan mereka menggunakan doa ini sebagai pengharapan kepada Allah. Maka kita pun kenalah banyak berdoa dan berharap kepada Allah kerana Allah suka kalau kita berharap dan menyerah diri kepadaNya.

 

رَبِّ لا تَذَرني فَردًا

“Ya Tuhanku janganlah Engkau membiarkan aku hidup seorang diri

Nabi Zakaria berdoa kepada Allah supaya baginda diberikan waris. Kerana baginda seolah-olah hidup bersendirian tanpa waris. Walaupun baginda ada isteri dan pengikut-pengikut baginda. Tapi baginda rasa baginda tidak ada orang yang layak untuk meneruskan kerja dakwah baginda. Jadi baginda minta supaya baginda diberikan dengan anak supaya baginda dapat melatih dan mengajar anak itu untuk meneruskan kerja dakwah dan mengajar umat.

 

وَأَنتَ خَيرُ الوٰرِثينَ

dan Engkaulah Waris Yang Paling Baik.

Dan Nabi Zakariya memuji Allah yang menjadi pewaris segala yang ada di dunia ini kerana apabila semua manusia telah tiada lagi, maka Allah lah yang akan mewarisi alam ini. Memang Allah yang akhirnya akan mewarisi segala yang ada di dunia ini dan Allah lah sebaik-baik pewaris yang ada, tapi Nabi Zakariya mahu juga diberikan kepada dirinya seorang pewaris.


 

Ayat 90:

فَاستَجَبنا لَهُ وَوَهَبنا لَهُ يَحيىٰ وَأَصلَحنا لَهُ زَوجَهُ ۚ إِنَّهُم كانوا يُسٰرِعونَ فِي الخَيرٰتِ وَيَدعونَنا رَغَبًا وَرَهَبًا ۖ وَكانوا لَنا خٰشِعينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So We responded to him, and We gave to him John, and amended for him his wife. Indeed, they used to hasten to good deeds and supplicate Us in hope and fear, and they were to Us humbly submissive.

(MELAYU)

Maka Kami memperkenankan doanya, dan Kami anugerahkan kepadanya Yahya dan Kami baiki isterinya untuk baginda. Sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang selalu bersegera dalam (mengerjakan) perbuatan-perbuatan yang baik dan mereka berdoa kepada Kami dengan harap dan cemas. Dan mereka adalah orang-orang yang khusyu’ kepada Kami.

 

فَاستَجَبنا لَهُ

Maka Kami memperkenankan doanya,

Allah telah memakbulkan doa Nabi Zakaria itu. Doa para Nabi memang makbul, tambahan pula cara doa mereka adalah yang terbaik, kerana mendapat ilham dari Allah. Maka kita kena tengok cara-cara para Nabi itu berdoa. Dan dalam banyak-banyak doa Nabi yang diajar dalam Qur’an ini, adakah mereka bertawasul walaupun sekali? Tentu tidak ada sekali.

 

وَوَهَبنا لَهُ يَحيىٰ

dan Kami anugerahkan kepadanya Yahya

Allah makbulkan doa baginda dengan memberi pemberian yang besar iaitu anaknya yang bernama Yahya. Anak adalah satu pemberian yang besar dan kerana itu Allah gunakan kalimah و ه ب yang bermaksud ‘anugerah’, ‘hadiah’.

Begitu juga, anak-anak kita adalah anugerah dari Allah juga, maka kenalah kita hargai mereka dan jaga mereka. Kita kena didik mereka dengan ajaran agama Islam yang sebenar dan latih diri mereka untuk menjadi pendakwah.

 

وَأَصلَحنا لَهُ زَوجَهُ

dan Kami baiki isterinya untuk baginda. 

Allah memberitahu yang Allah telah membaiki keadaan isterinya yang sebelum itu tidak boleh melahirkan anak. Ini kerana isterinya itu sudah tua dan tentulah ada kekurangan dari segi fizikalnya. Kalau orang kita sudah tua pun tak dapat melahirkan anak, bukan?

Dan penggunaan bahasa juga amat menarik; kerana apabila menyebut tentang isteri baginda yang tidak dapat melahirkan anak, kalimah imra’ah digunakan. Kalimah ini bermaksud isteri juga, tetapi digunakan jikalau ada kekurangan pada isteri itu. Satu lagi kalimah yang digunakan adalah زَوجَهُ apabila ada kesempurnaan. Oleh itu apabila isteri Nabi Zakariya telah dibaiki dan dia sudah boleh melahirkan anak, maka kalimah زَوجَهُ digunakan untuk dirinya. Sementara di dalama ayat-ayat lain semasa beliau tidak dapat melahirkan anak, kalimah imra’ah yang digunakan. Qur’an memang akan menggunakan bahasa yang tepat.

 

إِنَّهُم كانوا يُسٰرِعونَ فِي الخَيرٰتِ

Sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang selalu bersegera dalam (mengerjakan) perbuatan-perbuatan yang baik

Mereka yang telah tersebut itu (semua para Nabi yang telah disebut sebelum ini) selalu bersegera dan berlumba-lumba di dalam melakukan kebaikan. Mereka beriman dan mereka buktikan iman itu dengan amal kebaikan.

Dan apabila mereka berdoa, mereka mempunyai dua sifat iaitu ‘berharap’ dan dalam masa yang sama ‘takut’ kepada Allah.

 

وَيَدعونَنا رَغَبًا وَرَهَبًا

dan mereka berdoa kepada Kami dengan harap dan cemas.

Apakah yang dimaksudkan dengan harap dan cemas itu?

  1. Mereka sentiasa berdoa kepada Allah dengan harapan yang tinggi supaya doa mereka dimakbulkan. Kerana mereka tahu Allah sahaja yang boleh makbulkan doa mereka. Kalau Allah tak makbulkan, tidak ada tempat lain lagi untuk mereka.
  2. dan mereka takut jikalau doa mereka tidak dimakbulkan. Kerana doa kepada Allah adalah wajib, tapi harus sahaja untuk Allah makbulkan atau tidak. Tidak wajib Allah makbulkan doa kita. Dan kalau Allah tidak makbulkan, memang tidak ada harapan perkara itu terjadi. Kerana itu mereka takut kalau Allah tidak makbulkan doa.

As-Sauri pula mengatakan, maksudnya berharap atas pahala yang ada di sisi Allah dan cemas (takut) terhadap siksa yang ada di sisiNya.

Maka, kita pun kenalah sematkan dua perasaan ini dalam doa kita. Kerana kita belajar cara doa kepada Allah dan tentunya cara paling baik adalah dengan meniru cara yang dilakukan oleh para Nabi.

 

وَكانوا لَنا خٰشِعينَ

Dan mereka adalah orang-orang yang khusyu’ kepada Kami.

Dan mereka tawajuh (fokus) dalam khusyuk kepada Allah iaitu mereka hanya takut kepada Allah sahaja. Mereka tidak takut kepada selain dari Allah. Kerana itu kalimah لَنا (kepada Kami) dalam bentuk taqdim. Itu menunjukkan elemen eksklusif.

Jadi di atas adalah syarat-syarat diperkenankan doa. Maka amalkanlah syarat-syarat itu. Kita kenalah belajar cara doa yang betul – jadi tidak perlu nak minta ustaz, tok imam dan orang lain untuk doakan hajat kita tapi kita sendiri yang doa. Kerana doa kita lebih makbul kerana kita lebih ikhlas dalam doa kita. Tidak perlu nak wakilkan hal doa kepada orang lain. Cuma masalahnya, orang kita tidak tahu cara doa kerana amat jahil dalam agama – maka telah disebutkan banyak kali cara-cara doa dalam Qur’an ini. Apabila kita sudah faham, maka kita akan senang sahaja untuk doa.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 021: Anbiya'. Bookmark the permalink.

One Response to Tafsir Surah Anbiya’ Ayat 87 – 90 (Cara Nabi berdoa)

  1. Pingback: Tafsir Surah Anbiya’ Ayat 87 – 90 (Cara Nabi berdoa)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s