Tafsir Surah Anbiya’ Ayat 51 – 57 (Nabi Ibrahim berdakwah kepada kaumnya)

Ayat 51: Dalil naqli. Sekarang Allah menceritakan kisah Nabi Ibrahim a.s sebagai pengajaran untuk kita.

۞ وَلَقَد آتَينا إِبرٰهيمَ رُشدَهُ مِن قَبلُ وَكُنّا بِهِ عٰلِمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We had certainly given Abraham his sound judgement before,¹ and We were of him well-Knowing

•i.e., before Moses. Allāh had guided him from early youth.

(MELAYU)

Dan sesungguhnya telah Kami anugerahkan kepada Ibrahim hidayah kebenaran sebelum (Musa dan Harun), dan adalah Kami mengetahui (keadaan)nya.

 

وَلَقَد آتَينا إِبرٰهيمَ رُشدَهُ مِن قَبلُ

Dan sesungguhnya telah Kami anugerahkan kepada Ibrahim hidayah kebenaran sebelumnya

Iaitu sebelum mendapat wahyu lagi. Nabi Ibrahim telah dianugerahkan dengan akal yang hebat sebelum baginda diberikan dengan wahyu lagi. Ini diberikan kepada baginda sebelum ada Taurat dan sebelum ada Injil lagi. Waktu itu juga baginda belum dapat suhuf lagi. Maknanya ini adalah semasa baginda muda lagi. Juga bermaksud baginda diberikan dengan hujah dari Allah itu sebelum adanya Nabi Musa.

 

وَكُنّا بِهِ عٰلِمينَ

dan adalah Kami mengetahui (keadaan)nya.

Allah tahu apa sahaja yang baginda lakukan. Allah sebut tentang perkara ini kerana baginda ada buat perkara yang nampak macam salah, bukan? Sebagai contoh,
Baginda pernah cuba hendak menyembelih anaknya bukan?
Baginda juga pernah meninggalkan isteri dan anaknya di padang pasir yang tidak ada kehidupan yang kalau kita fikirkan balik seperti membiarkan mereka untuk mati.
Baginda pernah memusnahkan berhala-berhala di kuil, bukan? Dan kalau kononnya kita nak ikut sunah Nabi Ibrahim, kita kena pergi ke kuil Hindu dan pecahkan patung-patung mereka. Itu salah sekali dan memang ada orang bodoh yang buat begitu. Dikatakan pernah terjadi di Malaysia. Semoga kita terselamat dari jadi bodoh sampai begitu sekali. Bukan begitu caranya nak amalkan sunnah Nabi Ibrahim dan cara nak dakwah agama Islam ini.

Memang kalau nak ikut betul, kena buat macam bagindalah. Tapi itu bukanlah sunnah kerana itu hanya dugaan kepada baginda sahaja. Begitu juga dengan Nabi Muhammad ada amalan untuk baginda sahaja. Tahajjud contohnya, wajib untuk baginda sahaja. Baginda tidak suruh orang lain wajibkan atas diri mereka pun. Jadi kena pandai bezakan antara perkara-perkara itu.

Jadi, segala apa yang Nabi Ibrahim buat itu, semuanya itu adalah atas arahan spesifik dari Allah.

Ayat ini bermaksud Allah tahu apa yang difahami oleh Nabi Ibrahim iaitu faham dari segi akidah. Walaupun nampak macam salah sahaja perbuatan baginda itu, tapi Allah tahu apa yang baginda lakukan dan ianya tidak salah.


 

Ayat 52: Dalil kefahaman NabiIbrahim tentang akidah.

إِذ قالَ لِأَبيهِ وَقَومِهِ ما هٰذِهِ التَّماثيلُ الَّتي أَنتُم لَها عٰكِفونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

When he said to his father and his people, “What are these statues to which you are devoted?”

(MELAYU)

(Ingatlah), ketika Ibrahim berkata kepada bapanya dan kaumnya: “Patung-patung apakah ini yang kamu tekun beribadat kepadanya?”

 

إِذ قالَ لِأَبيهِ وَقَومِهِ

(Ingatlah), ketika Ibrahim berkata kepada bapanya dan kaumnya:

Ada kata yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah ayah Nabi Ibrahim sendiri dan ada juga yang kata itu adalah pakcik Nabi Ibrahim, kerana mereka tidak dapat terima yang ayah seorang Rasul melakukan syirik.

Baginda sanggup berdakwah kepada ayahnya sendiri dan kaumnya. Ini kerana dia telah cakap dengan ayahnya tetapi ayahnya tidak mahu menerima. Maka dia bertanya kepada kaumnya dan cuba untuk bercakap kepada mereka dengan menggunakan cara logik akal.

 

ما هٰذِهِ التَّماثيلُ الَّتي أَنتُم لَها عٰكِفونَ

“Patung-patung apakah ini yang kamu tekun beribadat kepadanya?”

Apa representasi yang kamu iktikaf padanya? Mereka menjadikan berhala-berhala itu sebagai misalan. Inilah soalan yang Nabi Ibrahim tanya kepada bapa dan kaumnya itu. Kerana mereka melakukan perkara yang salah.

Mereka yang sembah berhala itu tahu yang berhala itu bukan tuhan, tapi sebagai tawajuh (fokus) sahaja. Iaitu mewakili ilah-ilah mereka sahaja. Kalau hindu yang tinggi ilmunya pun tahu perkara ini. Tapi penganut Hindu yang awam tengok berhala itulah tuhan.

Begitulah kalau orang awam. Banyak yang tak faham perkara yang tinggi sikit kerana mereka faham perkara luaran sahaja. Kerana itu banyak puisi-puisi yang disalahfahami oleh manusia kerana orang yang menulisnya maksud lain dan orang yang membacanya memahami dengan maksud lain. Itulah sebabnya bahaya kalau mempopularkan kalimah-kalimah yang ditulis oleh manusia kerana ramai akan salah faham. Sebaiknya kita kena popularkan ayat-ayat Al-Qur’an kerana ayat-ayat itu senang untuk difahami.

Jadi jangan kita salah faham tentang patung-patung itu kerana mereka bukan memuja patung itu tetapi asalnya adalah memuja kepada wali, Nabi dan malaikat yang diwakili oleh patung-patung itu. Kerana kalau kita kata salah menyembah patung sahaja maka tidak salahlah orang orang kita yang menyeru Nabi, wali dan malaikat kerana tidak ada patung. Orang kita yang menyeru Nabi, wali dan malaikat itu juga salah walaupun tidak ada patung. Jadi kita kena luaskan pemahaman kita. Kerana kalau sembah patung pun salah, kalau menyembah Nabi, wali dan malaikat juga salah, walaupun tanpa patung.

Iktikaf pula bermaksud duduk-duduk sekeliling patung-patung itu. Mereka duduk memuja dah menyeru-nyeru patung-patung itu. Yang sebenarnya mereka memuja siapa yang diwakili oleh patung itu. Ini semua adalah amalan ibadat yang Allah telah tetapkan hanya kepada Dia sahaja. Kerana iktikaf hanya boleh dilakukan untuk Allah sahaja. Malangnya ada orang kita yang duduk iktikaf di kuburan para wali dan Nabi kerana tidak faham agama. Ada yang bertapa dengan menyebut lafaz-lafaz tertentu di kubur dan ada yang sembelih binatang di situ. Kadang-kadang ada yang tawaf kubur itu. Sedangkan tawaf hanya dilakukan di Kaabah dan Safa dan Marwah sahaja.

Nabi Ibrahim menegur perbuatan mereka yang beribadat kepada patung-patung itu. Ianya perbuatan yang salah dan syirik kerana bagaimanakah ia dapat menolong mereka? Bagaimana patung-patung itu boleh bantu mereka sedangkan mereka sendiri yang buat patung-patung itu, bukan?


 

Ayat 53: Ini adalah jawapan masyarakat Nabi Ibrahim apabila baginda menegur mereka.

قالوا وَجَدنا آباءَنا لَها عٰبِدينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They said, “We found our fathers worshippers of them.”

(MELAYU)

Mereka menjawab: “Kami mendapati bapa-bapa kami menyembahnya”.

 

Mereka yang menyembah berhala itu cuba menjelaskan fahaman mereka kepada Nabi Ibrahim tetapi baginda tidak memahaminya kerana memang hujah-hujah itu adalah hujah-hujah yang bodoh. Maka akhir sekali hujah mereka adalah mereka hanya mengikut amalan-amalan tok nenek mereka sahaja. Mereka juga marah kepada Nabi Ibrahim kerana mempersoalkan amalan yang telah lama diamalkan turun temurun. Begitulah juga alasan yang diberikan oleh golongan bidaah apabila kita memberitahu kesalahan amalan-amalan masyarakat kita yang salah. Mereka juga kata: amalan ini kita dah lama buat dah…. Mereka seolah-olah mengatakan kita menghina golongan-golongan yang terdahulu.

Jadi kalau masyarakat kita juga memberi jawapan yang sama tentang amalan-amalan mereka, ianya adalah amat bahaya kerana itu adalah jawapan golongan-golongan syirik pada zaman dahulu. Takkan mereka nak kata mereka sama dengan golongan itu pula, bukan? Tapi mereka jawap sama kerana memang mereka tak belajar tafsir dan tak perasan pun jawapan mereka sama sahaja dengan golongan musyrik.

Nabi Ibrahim waktu itu muda dan apabila baginda mempersoalkan amalan-amalan syirik itu, maka baginda dipandang serong kerana baginda muda. Begitulah juga apabila kita sebagai orang yang nampaknya biasa sahaja di dalam masyarakat, bukan ustaz dan bukanlah ulama tetapi apabila kita menegur mereka, maka mereka memandang kita atas dan bawah dan memperlecehkan kata-kata nasihat kita itu. Mereka akan kata orang-orang dulu sudah buat perkara itu maka kenapa kita sekarang yang pandai-pandai hendak mengatakan amalan itu salah? Sampai sekarang golongan yang hendak menegakkan sunnah masih dipanggil ‘Kaum Muda’. Seolah-olah kita golongan yang masih lagi tidak tahu tentang agama, tapi memandai nak ajar orang tua.


 

Ayat 54:

قالَ لَقَد كُنتُم أَنتُم وَآباؤُكُم في ضَلٰلٍ مُّبينٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He said, “You were certainly, you and your fathers, in manifest error.”

(MELAYU)

Ibrahim berkata: “Sesungguhnya kamu dan bapa-bapamu berada dalam kesesatan yang nyata”.

 

Nabi Ibrahim dengan beraninya memberitahu bahawa mereka dan bukan hanya mereka sahaja tetapi keturunan mereka termasuk tok nenek dulu, telah sesat dan sesat itu adalah sesat jenis yang nyata. Baginda amat berani berkata begitu. Baginda berani kerana benar. Jadi, tidaklah salah kalau kita kata seseorang itu beramal dengan amalan yang sesat, jikalau ianya telah jelas nyata.


 

Ayat 55: Apabila Nabi Ibrahim berkata begitu maka mereka amat terkejut.

قالوا أَجِئتَنا بِالحَقِّ أَم أَنتَ مِنَ اللّٰعِبينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They said, “Have you come to us with truth, or are you of those who jest?”

(MELAYU)

Mereka menjawab: “Apakah kamu datang kepada kami dengan sungguh-sungguh ataukah kamu termasuk orang-orang yang bermain-main?”

 

قالوا أَجِئتَنا بِالحَقِّ

Mereka menjawab: “Apakah kamu datang kepada kami dengan sungguh-sungguh

Dalam bahasa kita sekarang, beginilah kata mereka yang terkejut dengan dakwaan Nabi Ibrahim itu: “Biar biar benar kamu ini?” Ini kerana mereka tidak pernah dikatakan sebegitu. Amalan mereka itu tidak pernah dipersoalkan oleh sesiapa pun sebelum itu.

 

أَم أَنتَ مِنَ اللّٰعِبينَ

ataukah kamu termasuk orang-orang yang bermain-main?”

Mereka terkejut dengan dakwaan baginda dan kata: “Adakah kamu bercakap betul-betul ini atau kamu cakap main-main sahaja? Tentu kamu bercakap lepas sahaja kerana kamu sekarang sedang mempersoalkan keturunan kita yang dahulu. Takkanlah kau nak kata begitu, bukan?”

Mereka tanya kepada baginda adakah baginda ada bukti untuk mengatakan yang mereka itu sesat?


 

Ayat 56: Jawapan dari Nabi Ibrahim a.s.

قالَ بَل رَّبُّكُم رَبُّ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ الَّذي فَطَرَهُنَّ وَأَنا عَلىٰ ذٰلِكُم مِّنَ الشّٰهِدينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He said, “[No], rather, your Lord is the Lord of the heavens and the earth who created them, and I, to that, am of those who testify.

(MELAYU)

Ibrahim berkata: “Sebenarnya Tuhan kamu ialah Tuhan langit dan bumi yang telah menciptakannya: dan aku termasuk orang-orang yang bersaksi atas yang demikian itu”.

 

قالَ بَل رَّبُّكُم رَبُّ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ الَّذي فَطَرَهُنَّ

Ibrahim berkata: “Sebenarnya Tuhan kamu ialah Tuhan langit dan bumi yang telah menciptakannya:

Nabi Ibrahim menjawab soalan mereka, bukan baginda yang bawa hujah itu tetapi ianya adalah dari Allah, Tuhan langit dan bumi. Allah lah yang buat langit dan bumi itu. Itulah Tuhan dan Dialah Tuhan yang sebenar dan bukannya apa yang mereka sembah dan puja itu.

 

وَأَنا عَلىٰ ذٰلِكُم مِّنَ الشّٰهِدينَ

dan aku termasuk orang-orang yang bersaksi atas yang demikian itu”.

Dan aku bersaksi iaitu bermaksud aku akan menjadi saksi ke atas kesalahan kamu ini. Iaitu apabila di hadapan Allah Ta’ala nanti baginda akan beritahu kepada Allah dan menjadi saksi atas kesalahan syirik yang mereka semua sedang lakukan ini.

Juga bermaksud yang Nabi Ibrahim bersaksi dengan akidah tauhid baginda dan baginda yakin dengan apa yang baginda pegang itu. Kerana baginda ada dalil bukti.


 

Ayat 57: Rancangan Nabi Ibrahim a.s. terhadap berhala-berhala itu.

وَتَاللهِ لَأَكيدَنَّ أَصنٰمَكُم بَعدَ أَن تُوَلّوا مُدبِرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [I swear] by Allāh, I will surely plan against your idols after you have turned and gone away.”

(MELAYU)

Demi Allah, sesungguhnya aku akan melakukan rancangan terhadap berhala-berhalamu sesudah kamu pergi meninggalkannya.

 

وَتَاللهِ لَأَكيدَنَّ أَصنٰمَكُم

Demi Allah, sesungguhnya aku akan melakukan rancangan terhadap berhala-berhalamu 

Kalimah sumpah تَاللهِ ini digunakan apabila seseorang itu marah sampaikan kalimah Wallahi tidak cukup. Ini adalah kerana baginda amat marah sekali dengan perbuatan mereka dan kita kena ingat yang waktu ini baginda adalah seorang yang muda.

As-Saddi mengatakan bahawa ketika hari raya itu sudah dekat masanya, ayah Nabi Ibrahim berkata, “Hai anakku, seandainya kamu keluar bersama kami menuju ke tempat perayaan kami, niscaya kamu akan kagum kepada agama kami.” Maka Ibrahim keluar (berangkat) bersama mereka. Ketika di tengah jalan, Ibrahim menjatuhkan dirinya ke tanah dan berkata, “Sesungguhnya aku sakit.” Ketika kaumnya melaluinya, sedangkan dia dalam keadaan tergeletak, mereka bertanya, “Mengapa kamu?” Ibrahim menjawab, “Sesungguhnya saya sakit.”

 

بَعدَ أَن تُوَلّوا مُدبِرينَ

sesudah kamu pergi meninggalkannya.

Baginda merancang untuk melakukan sesuatu terhadap berhala-berhala mereka itu. Iaitu apabila mereka meninggalkan berhala mereka untuk ramai-ramai pergi ke tempat lain. Akan tetapi apabila baginda katakan begini kepada masyarakatnya, mereka tidak percaya.

Ada juga yang mengatakan Nabi Ibrahim bukan beritahu kepada kaum baginda tetapi baginda mengatakan di dalam hati sahaja. Ini adalah baru rancangan sahaja.

Baginda buat perancangan ini kerana baginda tahu yang tidak lama lagi masyarakat baginda akan buat pesta syirik di mana mereka akan menyembah berhala dan kemudian keluar berpesta meninggalkan kuil berhala mereka. Dan kemudian mereka akan kembali ke kuil itu untuk menyambung ibadat mereka. Orang kita pun ada juga yang melakukan pesta syirik sebegini seperti pesta air, pesta laut, semah padi dan sebagainya kerana orang kita pun ada fahaman syirik dan lebih teruk daripada golongan musyrik zaman dahulu.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 021: Anbiya'. Bookmark the permalink.

One Response to Tafsir Surah Anbiya’ Ayat 51 – 57 (Nabi Ibrahim berdakwah kepada kaumnya)

  1. Pingback: Tafsir Surah Anbiya’ Ayat 51 – 57 (Nabi Ibrahim berdakwah kepada kaumnya)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s