Tafsir Surah Anbiya Ayat 31 – 35 (Bintang ada orbit)

Ayat 31: Apabila bumi sudah ada, Allah tambah aksesori pada bumi itu.

وَجَعَلنا فِي الأَرضِ رَوٰسِيَ أَن تَميدَ بِهِم وَجَعَلنا فيها فِجاجًا سُبُلًا لَّعَلَّهُم يَهتَدونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We placed within the earth firmly set mountains, lest it should shift with them, and We made therein [mountain] passes [as] roads that they might be guided.

(MELAYU)

Dan telah Kami jadikan di bumi ini gunung-gunung yang kukuh supaya bumi itu (tidak) goncang bersama mereka dan telah Kami jadikan (pula) di bumi itu jalan-jalan yang luas, agar mereka mendapat petunjuk.

 

وَجَعَلنا فِي الأَرضِ رَوٰسِيَ

Dan telah Kami jadikan di bumi ini gunung-gunung yang kukuh

Allah memberitahu bahawa gunung ganang dijadikan olehNya sebagai pasak. Kerana apabila ada gunung, maksudnya ada bahagian dalam tanah yang lebih kuat lagi sebagai pasak bumi.

Atau kalimah رَواسِيَ itu dari kalimah ر س و  yang bermaksud ‘sauh’ di mana apabila kapal hendak berlabuh ia akan menurunkan sauh supaya kapal itu tetap dan stabil pada satu tempat. Kerana jikalau kapal itu tiada sauh, ia akan bergerak dan begitulah alam ini apabila Allah beritahu yang gunung ganang dihancurkan maka alam akan bergerak sana sini dan bercampur baur antara satu sama lain, yang bermaksud sauh yang memberi ketetapan kepada bumi telah diangkat.

 

أَن تَميدَ بِهِم

supaya bumi itu (tidak) goncang bersama mereka

Gunung-ganang itu dipasang teguh atas bumi sebagai pasak dan kerana itu ia tidak bergerak. Ia memberi keteguhan kepada bumi. Kalau tidak, bumi akan sentiasa bergoncang.

 

وَجَعَلنا فيها فِجاجًا سُبُلًا

dan telah Kami jadikan (pula) di bumi itu jalan-jalan yang luas, 

Walaupun ada banyak gunung ganang di bumi ini, tetapi Allah jadikan kawasan yang luas diantara gunung ganang itu  ada lembah (Valley) untuk buat jalan. Kita boleh gunakan kawasan itu untuk buat jalan dan dengan jalan itu kita dapat bergerak ke sana sini

 

لَّعَلَّهُم يَهتَدونَ

agar mereka mendapat petunjuk.

Dengan adanya jalan itu kita boleh bergerak menuju ke tempat-tempat yang jauh dan supaya kita boleh bina tamadun dan bina penempatan.

Petunjuk yang dimaksudkan dalam ayat ini bukan dalam agama tapi adalah berkenaan dengan kehidupan. Allah bukan sahaja beri petunjuk agama tapi Allah juga beri petunjuk dalam kehidupan.


 

Ayat 32:

وَجَعَلنَا السَّماءَ سَقفًا مَّحفوظًا ۖ وَهُم عَن ءآيٰتِها مُعرِضونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We made the sky a protected ceiling, but they, from its signs,¹ are turning away.

•The signs present in the heavens.

(MELAYU)

Dan Kami menjadikan langit itu sebagai atap yang terpelihara, sedang mereka berpaling dari segala tanda-tanda (kekuasaan Allah) yang terdapat padanya.

 

وَجَعَلنَا السَّماءَ سَقفًا مَّحفوظًا

Dan Kami menjadikan langit itu sebagai atap yang terpelihara,

Kalimah سقف adalah siling bahagian dalam yang dilihat daripada dalam rumah. Oleh itu apa sahaja yang kita lihat pada langit itu dengan menggunakan teleskop adalah bahagian dalam langit sahaja. Kita tidak dapat nak tengok dari bahagian luar.

Dan مَّحفوظًا bermaksud langit itu terpelihara.  Allah memang buat cara untuk memelihara langit dan dengan itu memelihara bumi sekali. Kerana itu kalau ada meteor yang besar menuju kepada bumi, maka langit akan menghancurkannya dahulu dan kerana itu apabila sampai ke bumi ianya sudah berbentuk batu-batu kecil sahaja. Sebab telah hancur dan selamat untuk bumi.

Juga dari segi ilmu ghaib, ia bermaksud langit itu terpelihara dari dijelajahi oleh jin untuk mencuri-curi maklumat dari langit. Ini kerana Allah hendak memastikan yang berita dari langit itu hanya boleh diterima oleh Nabi Muhammad sahaja.

 

وَهُم عَن ءآيٰتِها مُعرِضونَ

sedang mereka berpaling dari segala tanda-tanda (kekuasaan Allah) yang terdapat padanya.

Allah telah beri segala bukti tentang kekuasaanNya dan juga Dia telah menceritakan segala jasaNya kepada kita. Tapi masih lagi ramai manusia yang degil yang tidak mahu mengakui keesaan Allah dan tidak mahu taat kepada segala arahanNya.


 

Ayat 33: Allah beri lagi dalil.

وَهُوَ الَّذي خَلَقَ اللَّيلَ وَالنَّهارَ وَالشَّمسَ وَالقَمَرَ ۖ كُلٌّ في فَلَكٍ يَسبَحونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And it is He who created the night and the day and the sun and the moon; all [heavenly bodies] in an orbit are swimming.

(MELAYU)

Dan Dialah yang telah menciptakan malam dan siang, matahari dan bulan. Masing-masing dari keduanya itu beredar di dalam garis edarnya.

 

وَهُوَ الَّذي خَلَقَ اللَّيلَ وَالنَّهارَ

Dan Dialah yang telah menciptakan malam dan siang,

Allah jadikan malam dan siang. Kemudian Allah memberitahu yang Dia juga menjadikan matahari dan bulan.

 

وَالشَّمسَ وَالقَمَرَ

dan matahari dan bulan.

Matahari dan bulan, siang dan malam adalah kejadian alam yang dapat dilihat sepanjang masa. Maka Allah gunakan makhluk-makhluk itu sebagai contoh.

Akan tetapi yang menghairankan sedikit, Allah sebut malam dahulu tetapi kemudian Allah sebut matahari dulu sedangkan sepatutnya dari segi susunan, bukankah patutnya disebutkan bulan dahulu (sebab malam berkait dengan bulan)? Kita sentuh perkara ini walaupun nampak kecil sahaja, kerana susunan dalam Qur’an memang ada maknanya dan bukanlah kosong sahaja. Begitu hebat sekali susunan kalimah dalam Qur’an yang memberi pengajaran juga kepada juga.

Ini adalah cubaan untuk menjelaskan perkara ini. Keadaan asal adalah malam (siang hanya ada dengan adanya matahari). Jadi kegelapan itu diubah dengan adanya cahaya. Maka kerana itu Allah sebut malam dahulu sebelum disebut siang kerana Allah nak sebut yang utama.

Dan antara matahari dan bulan, manakah cahaya yang utama. Bukankah matahari? Maka kerana itu Allah sebut matahari sebelum bulan kerana ianya adalah sumber cahaya yang utama dahulu.

 

كُلٌّ في فَلَكٍ يَسبَحونَ

Masing-masing dalam orbitnya berenang.

فَلَكٍ bermaksud berpusing dan bergerak di dalam bulatan dan kita terjemahkan sebagai ‘orbit’. Maknanya bumi, bulan dan juga matahari semuanya ada orbit masing-masing. Semuanya يَسبَحونَ (berenang) dalam orbit. Mereka kena bergerak dalam orbitnya dan jika tidak, maka akan bertebaranlah bintang-bintang itu. Sebagaimana benang tenunan kena bergerak dalam lubang penenun, begitulah juga bintang-bintang kena bergerak dalam orbitnya.

Maknanya langit dan bumi, bulan dan matahari itu semuanya mengikut arahan Tuhan. Maka kenapa kalau makhluk yang lebih besar dari kita boleh taat kepada Allah tetapi kita yang kerdil tidak mahu taat kepada Allah dan menyombongkan diri pula? Jadi Allah nak perli manusia dalam ayat ini.


 

Ayat 34:

وَما جَعَلنا لِبَشَرٍ مِّن قَبلِكَ الخُلدَ ۖ أَفَإِين مِتَّ فَهُمُ الخٰلِدونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We did not grant to any man before you eternity [on earth]; so if you die – would they be eternal?

(MELAYU)

Kami tidak menjadikan hidup abadi bagi seorang manusiapun sebelum kamu (Muhammad); maka jikalau kamu mati, apakah mereka akan kekal?

 

وَما جَعَلنا لِبَشَرٍ مِّن قَبلِكَ الخُلدَ

Kami tidak menjadikan bagi seorang manusiapun sebelum kamu hidup abadi 

Pemuka Musyrikin Mekah itu kata sesama mereka, jangan risaukan tentang Nabi Muhammad kerana nanti baginda akan mati juga dan ajaran baginda itu akan mati bersamanya. Maka Allah memberitahu bahawa memang manusia pasti akan mati. Termasuk rasul rasul yang dahulu pun mati juga dan Nabi Muhammad pun memang akan mati. Jadi tidak perlu nak diperdebatkan.

Maka ini memberi isyarat kepada kita yang Nabi Muhammad memang telah mati. Maka kalau ada fahaman yang kata baginda tidak mati, maka itu adalah ajaran sesat.

Dan ini juga menjadi dalil yang Nabi Khidr juga telah wafat. Malangnya ramai dari kalangan orang Islam yang berpegangan yang Nabi Khidr tidak mati-mati lagi. Ini adalah fahaman yang lemah dan tidak patut dilayan. Hujah yang diberikan adalah lemah dan boleh baca di sini.

 

أَفَإِين مِتَّ فَهُمُ الخٰلِدونَ

maka jikalau kamu mati, apakah mereka akan kekal?

Tapi kalaupun Nabi Muhammad itu mati, adakah mereka sangka yang mereka akan hidup selamanya? Mereka rasa mereka akan selamatkan apabila mereka mati nanti?

Adakah mereka juga sangka yang agama Allah ini akan mati sekali dengan wafat ya Nabi Muhammad? Lihatlah sekarang bagaimana Nabi Muhammad sudah lama wafat, tapi agama Islam ini tetap berkembang sahaja. Kerana Allah masih ada dan Allah akan jaga agamaNya ini. Maka hujah mereka ditolak dalam ayat ini.

Maka kita juga jangan rasa agama ini memerlukan kita sangat. Kalau Nabi Muhammad wafat pun agama masih berkembang, apatah lagi kalau kita tiada.


 

Ayat 35:

كُلُّ نَفسٍ ذائِقَةُ المَوتِ ۗ وَنَبلوكُم بِالشَّرِّ وَالخَيرِ فِتنَةً ۖ وَإِلَينا تُرجَعونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Every soul will taste death. And We test you with evil and with good as trial; and to Us you will be returned.

(MELAYU)

Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan.

 

كُلُّ نَفسٍ ذائِقَةُ المَوتِ

Tiap-tiap yang berjiwa pasti akan merasakan mati.

Memang semua yang hidup pasti akan merasai mati. Tidak akan ada yang akan terkecuali. Maka tidak boleh kita katakan yang ada makhluk yang kekal abadi.

 

وَنَبلوكُم بِالشَّرِّ وَالخَيرِ فِتنَةً

Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan

فتن dari segi bahasa asalnya adalah perbuatan membersihkan emas dimana emas itu akan dibakar dengan api untuk membuang bahan-bahan lain yang bukan emas. Ini memberi makna yang mereka akan diuji dengan kuat. Allah menguji manusia untuk melihat siapakah yang sabar dengan ujian dan siapakah yang berputus ada.

Dan ujian itu pula adalah dengan kesusahan dan kesenangan. Kalau ujian dalam bentuk kesusahan kita fahamlah, tapi bagaimana pula ujian dalam bentuk kesenangan? Bukankah kalau kesenangan itu adalah nikmat? Ini yang ramai salah faham. Kita kena faham yang susah adalah ujian dan kesenangan juga adalah ujian.

Kadang-kadang kerana kesenangan yang berlebihan akan menyebabkan manusia leka dengan kesenangan dan melupakan dirinya dan agama. Kerana mereka rasa senang dan cukup sampaikan mereka tidak rasa memerlukan orang lain termasuk Allah pun.

Dan mungkin kesenangan adalah ujian yang lebih berat dari kesusahan. Kerana selalunya bila orang susah, dia akan ingat Tuhan selalu kerana dia banyak berdoa dan berharap kepada Allah. Tapi tengoklah bila dia tiba-tiba jadi senang…bagaimana perubahan mendadak pada dirinya akan terjadi. Selalu kita lihat, bukan?

Maka kenalah kita ingat bahawa kesusahan dan kesenangan yang diberikan kepada kita adalah ujian dan bukan balasan. Maka jangan kita sangka orang yang kaya itu kerana mereka itu insan-insan yang terpilih melainkan kita kena sedar bahawa kesenangan yang mereka rasa itu adalah ujian bagi mereka. Kita kena ingat yang balasan sepenuhnya adalah di akhirat kelak. Itulah balasan yang sebenarnya.

 

وَإِلَينا تُرجَعونَ

Dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan.

Dan balasan sempurna hanya akan didapati di akhirat apabila kita bertemu dengan Allah. Waktu itu pengadilan akan dilakukan dan Allah akan balas sesuai dengan amalan manusia.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 021: Anbiya'. Bookmark the permalink.

One Response to Tafsir Surah Anbiya Ayat 31 – 35 (Bintang ada orbit)

  1. Pingback: Tafsir Surah Anbiya Ayat 31 – 35 (Bintang ada orbit)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s