Tafsir Surah Yaasin Ayat 41 – 47 (Nikmat kenderaan)

Ayat 41: Dalil aqli yang seterusnya.

وَآيَةٌ لَّهُم أَنّا حَمَلنا ذُرِّيَّتَهُم فِي الفُلكِ المَشحونِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And a sign for them is that We carried their forefathers1 in a laden ship.

  • Usually meaning “descendants” or “offspring,” the word “dhurriyyah” is used here to denote forefathers (their being the offspring of Noah), who were saved from the flood.

(MELAYU)

Dan suatu tanda (kebesaran Allah yang besar) bagi mereka adalah bahwa Kami angkut keturunan mereka dalam bahtera yang penuh muatan.

 

وَآيَةٌ لَهُمْ

Dan diantara dalil lagi bagi manusia adalah, 

Allah beri lagi dalil untuk menyokong pemberitahuan yang Allah itu maha berkuasa. Allah boleh melakukan apa sahaja.

أَنَّا حَمَلْنَا ذُرِّيَّتَهُمْ فِي الْفُلْكِ الْمَشْحُونِ

Kami angkat zuriat-zuriat mereka dalam kapal (Nabi Nuh) yang penuh sarat.

Sebelum ini, Allah sudah suruh kita melihat kepada bumi. Dengan tanaman dan binatang yang melata. Kemudian Allah suruh kita melihat kepada langit pula – matahari dan bulan.

Sekarang Allah suruh kita lihat kepada lautan pula. Allah telah memberi kita kemudahan untuk bermusafir di alam ini. Musafir yang paling susah adalah di lautan. Tapi Allah tundukkan laut untuk manusia menggunanya. Walaupun susah, tapi Allah telah beri nikmat kepada kita untuk bermusafir menggunakan pengangkutan lautan. Allah memberi contoh pengangkutan laut, kerana ianya adalah jenis pengangkutan yang sukar.

Pendapat yang kuat mengatakan bahawa الْفُلْكِ (kapal) yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah bahtera Nabi Nuh. Kerana dalam 26:119 telah digunakan perkataan yang sama – الْفُلْكِ الْمَشْحُونِ – di dalam menceritakan tentang bahtera Nabi Nuh. Tapi dalam masa yang sama, ianya juga boleh juga digunakan untuk menceritakan tentang pengangkutan laut yang digunakan sekarang pun. Tidak semestinya hanya merujuk kepada bahtera Nabi Nuh sahaja.

Binatang yang dibawa di dalam kapal Nabi Nuh itu berpasang-pasangan termasuk juga pokok-pokok. Lebar kapal itu dikatakan sepanjang 300 kaki. Kapal itu dibuat mengikut perintah Allah. Tuhan ajar Nabi Nuh melalui Jibrail yang mengajar kepada Nabi Nuh bagaimana cara membuat kapal itu. Atau Nabi Nuh suruh orang lain buat kapal itu berdasarkan apa yang telah disampaikan oleh Jibrail. Hanya mereka yang ada dalam kapal itu sahaja yang selamat. Kalaulah manusia dalam kapal itu tenggelam masa itu, kita ni takkan ada. Kita ini adalah keturunan kedua Islam. Keturunan pertama adalah dari Adam, kemudian mereka telah mula kafir. Mereka telah melakukan syirik dengan memuja guru-guru agama mereka. Kaum Nabi Nuh telah puja lima guru sebagai wakil Tuhan. Bermakna, mereka juga telah buat amalan tawassul. Ditenggelamkan mereka semua sekali.

Untuk bayangkan kejadian itu, bayangkan gunung yang paling tinggi, bahagian bawah kapal tak kena gunung itu apabila belayar diatasnya. Apabila Tuhan kata “wahai langit, berhenti!”, barulah air hujan berhenti turun dan air mataair berhenti naik dari bumi. Berapa banyak air yang berada di langit sekarang ini? Bayangkan, bila hujan beberapa jam sahaja, dah berlaku banjir kilat. Boleh tenggelam KL kalau hujan berterusan. Sebenarnya air banyak lagi ada di awan. Dan banyak lagi yang berada dalam bumi. Dan kemudian Allah berkata “Wahai bumi, telan air kamu”. Maka surutlah air. Kapal Nabi Nuh mendarat atas Bukit Judi di Turki. Dalam surah Hud diceritakan perkara ini. Turun dari kapal itu seramai 83 orang Islam. Bukan ramai pun.

Selalunya umat akan melakukan bidaah dahulu sebelum mereka menjadi kafir. Mula-mula mereka akan bidaah dahulu, kemudian lama-lama mereka akan sembah berhala. Banjir itu berlaku kerana Nabi Nuh telah berdoa kepada Allah supaya membantunya. Sudah 950 tahun baginda tabligh (menyampaikan dakwah) kepada kaumnya tapi mereka ingkar. Lama sangat dah baginda tabligh. Dalam dia berdakwah itu, tak pernah dia minta upah sikit pun. “Upahku hanya dari Allah” katanya. Maka kalau kita tak ajar Islam yang sebenar dari sekarang, anak cucu kita akan jadi kafir balik seperti juga umat Nabi Nuh itu.

Antaranya, kita kena ajar mereka supaya jangan buat amalan bidaah. Banyak dah ahli bidaah sekarang. Kalaulah kita dibangkitkan kembali setelah kita meninggal nanti, anak cucu tak tahu akan jadi apa. Kita minta jauh dari perkara ini terjadi. Kerana itulah, kita kena menentang amalan bidaah dari dilakukan dari amalan yang kecil lagi. Kerana kalau tidak ditentang semasa ianya masih kecil, ianya akan menjadi besar dan lama-lama akan jadi amalan syirik. Kadang-kadang kita ingat amalan itu tidak ada masalah sangat, tapi ketahuilah, daripada ianya kecil, ianya akan jadi besar. Apabila dah jadi amalan masyarakat, dah jadi besar, sudah susah nak lawan lagi dah.

Yang jadi masalah, amalan-amalan bidaah ini dibawa dan diajar oleh guru-guru agama dan ustaz-ustaz juga yang tidak mengamalkan sunnah. Masyarakat sangka, kalau sesuatu amalan itu diajar oleh mereka, tentulah amalan itu betul. Tapi tidak sebenarnya.


 

Ayat 42:

وَخَلَقنا لَهُم مِّن مِّثلِهِ ما يَركَبونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We created for them from the likes of it that which they ride.

(MELAYU)

dan Kami ciptakan untuk mereka yang akan mereka kendarai seperti bahtera itu.

 

وَخَلَقنا لَهُم مِّن مِّثلِهِ

Dan Kami ciptakan bagi mereka, kenderaan seperti kapal itu juga

Kalau ayat 41 tadi berkenaan kapal Nabi Nuh, jadi ayat ini bermaksud kenderaan pengangkutan laut seperti sampan, bot, feri dan sebagainya.

Ibnu Jarir mengatakan, telah menceritakan kepada kami Al-Fadl ibnus Sabbah telah menceritakan kepada kami Muhammad ibnu Fuda’il, dan Ata, dari Sa’id ibnu Jubair, dari Ibnu Abbas r.a. yang telah mengatakan sehubungan dengan makna firman-Nya: dan Kami ciptakan untuk mereka yang akan mereka kendarai semisal dengan bahtera itu. (Yasin: 42) Ia mengatakan, ‘Tahukah kalian, apakah yang dimaksud oleh firman tadi?” Kami (murid-muridnya) menjawab, “Tidak tahu.” Ibnu Abbas berkata bahwa yang dimaksud adalah perahu-perahu yang dibuat sesudah perahu Nabi Nuh a.s.

Dan ianya juga boleh merujuk kepada pengangkutan apa sahaja, jadi ia boleh jadi kereta, bas, keretapi dan sebagainya. Semua sekali boleh pakai.

 

مَا يَرْكَبُونَ

yang mereka boleh menungganginya;

Allah mencipta binatang seperti kapal, iaitu unta untuk digunakan di atas daratan. Di laut guna kapal dan di daratan ada tunggangan lain. Dan Allah juga beri ilham untuk manusia cipta kenderaan zaman moden seperti kereta, bas dan lain-lain. Lihatlah bagaimana Allah telah memudahkan kita untuk bermusafir di muka bumi ini. Maka, oleh itu, hendaklah kita mengucapkan syukur kepada Allah. Allah telah ajar kita bagaimana untuk berdoa apabila kita naik kenderaan. Ini ada dalam ayat 43:13 dan 43:14.


 

Ayat 43:

وَإِن نَّشَأ نُغرِقهُم فَلا صَريخَ لَهُم وَلا هُم يُنقَذونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And if We should will, We could drown them; then no one responding to a cry would there be for them, nor would they be saved

(MELAYU)

Dan jika Kami menghendaki niscaya Kami tenggelamkan mereka, maka tiadalah bagi mereka penolong dan tidak pula mereka diselamatkan.

 

وَإِنْ نَشَأْ نُغْرِقْهُمْ

Sekiranya Kami kehendaki, Kami boleh tenggelamkan mereka;

Kalau Allah mahu, Allah boleh tenggelamkan manusia yang di atas kapal, atau atas kenderaan berjenis-jenis itu. Banyak sangat kejadian begini terjadi dalam sejarah. Yang paling terkenal adalah kapal Titanic. Mereka yang menciptanya dengan sombong berkata yang kapal itu tidak akan tenggelam. Mereka sampai kata, Tuhan pun tidak boleh tenggelamkan Titanic itu. Maka, Allah telah tunjukkan bagaimana ianya tenggelam juga akhirnya. Tak sempat nak habiskan perjalanan pertamanya pun.

Begitu juga dengan kenderaan lain, seperti kereta, bas dan sebagainya. Berapa banyak yang telah kemalangan? Tidak terkira banyaknya. Itu semua adalah atas kehendak Allah belaka. Kita tidak ada kuasa. Maka ingatlah yang semasa kita naik kenderaan itu, Allah boleh bagi kita kemalangan dan sebagainya. Maka kena berdoa kepada Allah dan ingat kepada Allah semasa atas kenderaan itu.

 

فَلَا صَرِيخَ لَهُمْ

Maka tiada siapa boleh beri pertolongan.

Perkataan صَرِيخَ asalnya bermaksud ‘menjerit meminta pertolongan’. Kemudian, ianya menjadi makna ‘yang mendengar jeritan meminta pertolongan’. Maknanya, tidak ada yang mendengar pun mereka menjerit meminta pertolongan kalau Allah dah takdirkan mereka akan ditenggelamkan. Apabila tidak ada orang yang mendengar, maknanya, tidak ada yang akan datang menolong mereka.

 

وَلَا هُمْ يُنْقَذُونَ

Dan mereka tidak dapat diselamatkan.

Perkataan نقذُ bermaksud seseorang yang menyelamatkan seseorang yang hampir kemalangan. Contohnya, orang itu hampir nak jatuh gaung, jadi kita pun berusaha untuk menyelamatkan dia dari jatuh ke dalam gaung. Maksud ayat ini, tidak ada yang akan datang menolong mereka yang Allah telah takdirkan akan menemui kemalangan.


 

Ayat 44:

إِلّا رَحمَةً مِّنّا وَمَتاعًا إِلىٰ حينٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Except as a mercy from Us and provision for a time.

(MELAYU)

Tetapi (Kami selamatkan mereka) kerana rahmat yang besar dari Kami dan untuk memberikan kesenangan hidup sampai kepada suatu ketika.

 

إِلَّا رَحْمَةً مِنَّا

Melainkan semua itu adalah rahmat daripada Kami;

Iaitu diselamatkan baka manusia yang berada dalam kapal Nabi Nuh itu. Yang turun dari kapal itu semuanya Islam. Tapi, lama kelamaan, keturunan itu pun sebahagiannya jadi sesat juga. Dari merekalah keturunan kita sekarang. Ada antara kita yang mukmin, dan ada antara kita yang sesat.

Begitu juga, kemudahan menggunakan pengangkutan tanpa berlaku kemalangan adalah atas rahmat Allah jua. Oleh itu, apabila kita telah menggunakan kenderaan dan kita telah selamat dalam musafir dan perjalanan kita, maka bersyukurlah kepada Allah atas rahmatNya. Kerana, ingatlah berapa banyak manusia yang menggunakan kenderaan tapi Allah tidak selamatkan mereka.

Allah menggunakan perkataan رَحْمَةً مِنَّا (rahmat dari Kami) dalam bentuk yang biasa sahaja. Kerana ini adalah rahmat biasa yang Allah berikan kepada semua makhlukNya. Tapi apabila Allah memberikan rahmat yang khas, Allah akan menggunakan perkataan رحمة من عندنا (rahmat dari ‘sisi’ Kami), contohnya seperti yang Allah telah berikan kepada Nabi Khidr dalam ayat 18:65. Oleh itu, apabila Allah menceritakan rahmat yang khas yang diberikan kepada para Nabi atau orang-orang yang mulia dan baik-baik, Allah akan menggunakan perkataan رحمة من عندنا.

 

وَمَتَاعًا إِلَىٰ حِينٍ

Dan kesenangan hidup kepada mereka hingga ke suatu masa yang telah ditetapkan.

Allah beri selamat dalam perjalanan itu, tapi tidak selamanya manusia akan selamat. Sampai masanya, manusia akan mati juga. Salah satunya dengan cara kemalangan.

Maknanya kita kena ingat yang keselamatan itu datangnya dari Allah. Maka kita kena berharap dan doa kepada Allah. Tapi kita ada juga minta doa kepada Nabi. Sepatutnya kita berdoa minta tolong kepada Allah, tapi entah macam mana, setelah diajar oleh guru yang sesat, ada antara umat Islam yang minta tolong kepada Nabi Muhammad pula.

Kalau golongan Syiah yang sesat, mereka minta tolong kepada Saidina Hussein. Kalau kita buat begitu, kita akan jadi kafir. Memang dalam banyak keadaan manusia akan berdoa kepada Allah, tapi ada juga mereka yang berdoa kepada Nabi. Contohnya, orang bersilat akan menyeru nama Nabi sekian-sekian untuk memberi keselamatan kepada mereka. Mereka akan kata itu adalah ajaran dari tok nenek kita.

Ketahuilah yang itu semua adalah hasil dari ajaran syaitan yang hendak menyesatkan kita. Mereka telah ajar kepada manusia yang tidak berilmu, bahawa Nabi-nabi itu akan menyampaikan doa itu kepada Allah. Padahal, sepatutnya kita terus minta kepada Allah sahaja, tidak perlu melalui perantaraan.

Ingatlah bahawa niat yang murni bukan dalil untuk menghalalkan sesuatu perkara. Kalau nak dikirakan niat murni tu, Kristian pun ada niat murni juga. Tapi kita kena sertai amalan yang kita buat dengan dalil dari Qur’an dan sunnah.

Ingatlah bahawa kita semua akan kembali kepada Allah. Jangan kita terlalu suka menggunakan segala kemudahan yang Allah telah berikan kepada kita dalam dunia ini, tapi kita lupa bahawa akhirnya kita akan kembali bertemuNya. Dan kita akan disoal tentang perbuatan kita di dunia ini.

Ingatlah bahawa kita dibenarkan menggunakan kemudahan yang Allah telah berikan kepada kita, tapi hanya untuk masa yang singkat sahaja. Tidak lama pun kehidupan dan kemudahan kita di dunia ini. Kita sahaja yang sangka ianya lama, tapi hakikatnya, ia tidak lama. Kita tidak tahu bilakah masa kita akan pergi meninggalkan dunia ini. Oleh itu, gunalah masa yang ada ini untuk melakukan kebaikan. Jangan kita sia-siakan masa yang ada ini dengan buat benda-benda yang maksiat dan perkara yang membuang masa sahaja.


 

Ayat 45: Setelah diberikan contoh-contoh dalam alam ini sebagai menunjukkan kepada tauhid kepada Allah, maka manusia disuruh untuk memikirkan tentangNya. Sepatutnya setelah diberikan dengan dalil-dalil itu, maka sepatutnya mereka terimalah.

وَإِذا قيلَ لَهُمُ اتَّقوا ما بَينَ أَيديكُم وَما خَلفَكُم لَعَلَّكُم تُرحَمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But when it is said to them, “Beware of what is before you and what is behind you;1 perhaps you will receive mercy…”2

  • Of sins or of life in this world and the Hereafter.
  • The conclusion of this sentence is understood to be “…they ignored the warning.”

(MELAYU)

Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Takutlah kamu akan siksa yang dihadapanmu dan siksa yang akan datang supaya kamu mendapat rahmat”, (niscaya mereka berpaling).

 

وَإِذَا قِيلَ لَهُمُ

Dan apabila dikatakan kepada mereka;

Kalimah ‘mereka’ di sini adalah orang-orang musyrikin.

‘Apabila dikatakan kepada mereka’ – ini adalah ayat dalam bentuk pasif. Bentuk aktif adalah begini – Apabila A berkata kepada B. Allah gunakan ayat ini dalam bentuk pasif kerana Allah hendak menekankan tujuan ayat ini adalah untuk memperkatakan tentang mereka, bukan tentang siapakah yang berkata itu.

Juga ayat ini tidak menyatakan siapakah yang mengatakan kepada mereka, kerana banyak yang telah ‘berkata-kata’ kepada mereka – Allah, Nabi, alam ini, Kitab-kitab, orang-orang mukmin dan lain-lain. Mereka diberitahu dalam berbagai-bagai cara, dalam berbagai-bagai keadaan.

 

اتَّقُوا مَا بَيْنَ أَيْدِيكُمْ

berjaga-jagalah kamu akan apa yang ada di depan kamu;

Perkataan اتَّقُوا (bertaqwalah kamu) bukan hanya bermaksud ‘takut’ seperti yang selalu diterjemahkan. Maksud ‘taqwa’ adalah luas. Antaranya ianya bermaksud berjaga-jaga, dan berhati-hati. Bertaqwa tentang apa? Iaitu hendaklah menerima segala akidah tauhid yang Allah telah sampaikan.

Ada banyak penafsiran tentang ayat ini:

1. Yang dimaksudkan dengan di hadapan kita adalah perbuatan kita dan kesannya.

2. Di hadapan adalah akhirat. Kerana ianya ada di hadapan kita dan kita akan bertemu dengannya. Maka kenalah bersedia untuk melaluinya.

3. Di hadapan kita adalah zaman kita sekarang ini.

4. Yang di hadapan adalah surah-surah selepas Surah Yaasin ini. Iaitu surah Sad dan Saffat. Ada kesinambungan antara surah-surah itu dengan surah Yaasin ini.

 

وَمَا خَلْفَكُمْ

dan belakang kamu;

Begitu juga seperti maksud di hadapan kita, perkataan ‘di belakang’ kita pun ada banyak makna:

1. Kalau di hadapan kita adalah perbuatan kita sekarang dan kesannya, ‘di belakang’ pula bermaksud: perbuatan-perbuatan kita yang telah lalu.

2. Kalau di hadapan adalah akhirat, di belakang adalah tentang dunia dan kesan perbuatan kita di dunia ini. Segala perbuatan kita di dunia ini akan ada kesannya. Semuanya direkod.

3. Kalau di hadapan adalah bermaksud zaman kita sekarang, maka di belakang bermaksud kaum-kaum yang terdahulu. Kita kena mengambil pengajaran dari apakah yang telah terjadi kepada mereka. Surah Yaasin ini awalnya dibaca kepada Musyrikin Mekah. Mereka kenal kaum-kaum terdahulu dari mereka seperti kaum Aad dan Tsamud. Dan kita yang berada pada zaman ini pun, telah diberitahu dengan kisah-kisah mereka. Maka kita kena ambil pengajaran dari mereka.

4. Yang di belakang adalah surah-surah sebelum surah Yaasin ini. Iaitu surah Fatir dan Saba’. Ada kesinambungan antara surah-surah itu dengan surah Yaasin ini.

Ayat-ayat Qur’an mempunyai beberapa lapis makna. Jadi tafsir-tafsir diatas semuanya boleh dipakai. Itulah kehebatan Qur’an. Tidak akan habis kalau kita mentadabbur ayat-ayat Qur’an ini.

 

لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ

mudah-mudahan kamu akan mendapat rahmat;

Bila Tuhan kata ‘mudah-mudahan’, maka pasti kamu akan dapat rahmat kalau kamu buat seperti apa yang disuruh. Kalau kamu mentauhidkan Allah, kamu akan diberi rahmat.

Kita semua mengharapkan rahmat dari Allah. Ingatlah bahawa kita tidak akan dapat masuk syurga dengan amalan kita. Tapi kita hanya dapat masuk syurga dengan rahmat dari Allah. Jadi, kita memang mengharapkan sangat rahmat dari Allah.


 

Ayat 46:

وَما تَأتيهِم مِّن آيَةٍ مِّن آيٰتِ رَبِّهِم إِلّا كانوا عَنها مُعرِضينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And no sign comes to them from the signs of their Lord except that they are from it turning away.

(MELAYU)

Dan sekali-kali tiada datang kepada mereka suatu tanda dari tanda tanda kekuasaan Tuhan mereka, melainkan mereka selalu berpaling daripadanya.

 

وَمَا تَأْتِيهِمْ

Tidaklah datang kepada mereka;

Apakah yang telah ‘datang’ kepada mereka?

مِنْ آيَةٍ مِنْ آيَاتِ رَبِّهِمْ

dari ayat-ayat dari ayat-ayat Tuhan mereka;

Perkataan آيَةٍ bukan sahaja bermakna ayat-ayat Qur’an, tapi ia juga bermaksud ‘tanda’. Allah telah memberikan banyak tanda-tanda dalam alam ini tentang kewujudanNya. Begitu juga Allah telah memberikan kepada kita berbagai-bagai perumpamaan dalam ayat-ayat Qur’an. Berkali-kali dan dalam berbagai-bagai cara.

 

إِلَّا كَانُوا عَنْهَا مُعْرِضِينَ

melainkan mereka berpaling daripadanya;

Kalimah ‘berpaling’ itu bermaksud mereka menolak, tidak mahu terima. Bila tidak mahu terima, bermakna mereka kufur dengan ayat-ayat itu. Dan apabila kufur dengan ayat-ayat Allah, bermakna mereka kufur dengan Allah. Maka ini adalah perkara yang besar, bukan perkara main-main. Padahal, ramai yang tahu bahawa Qur’an itu diturunkan oleh Allah untuk kita. Mereka tahu bahawa Qur’an itu adalah panduan hidup untuk kita di dunia ini.

Tapi, apabila diajak untuk belajar tafsir Qur’an, mereka tidak mahu nak ikut. Paling teruk adalah mereka yang apabila dibacakan dalil-dalil dari ayat-ayat Qur’an, mereka tidak mahu terima. Mereka tidak mahu terima itu adalah kerana mereka tidak belajar tafsir. Bila tak belajar tafsir, maka mereka tidak nampak kepentingan ayat-ayat Qur’an itu. Oleh kerana tidak belajar, mereka tidak faham Qur’an. Apabila kita membacakan dalil kepada mereka, mereka kata kita pandai-pandai sahaja tafsir sendiri. Padahal, mereka sendiri yang tidak belajar. Kita tidak berani nak tafsir sendiri, cuma kita sampaikan apa yang ditafsirkan oleh para ulama.

Ada yang dah faham dah pun kepentingan belajar tafsir tapi masih tak mahu belajar juga. Kerana mereka kata keadaan tidak mengizinkan. Ini dipanggil dugaan dalam bentuk keadaan atau dipanggil ‘takwiniah’. Apabila diuji dengan keadaan, maka mereka kalah dengan keadaan itu. Seperti sibuk dengan kerja, dengan keluarga dan sebagainya.

Begitulah, sepatutnya dalam keadaan apa pun, kita kena buat ibadah. Tapi banyak antara kita kalah dengan keadaan. Contohnya berapa banyak orang kalau sakit, tak solat dah. Mereka macam dah dapat lesen untuk tak buat ibadah. Yang datang melawat pun macam dah terima yang orang sakit itu tak payah solat. Padahal, solat tidak boleh ditinggalkan dalam keadaan apa pun. Mungkin salah satu sebabnya adalah mereka tidak tahu yang mereka boleh menggunakan tayammum apabila mereka sakit dan tidak boleh ambil wudhuk macam biasa. Tapi yang diajar kepada mereka adalah cara-cara mengambil tayammum yang salah. Mereka diajar kena tayammum dan kena ambil wudu sekali. Padahal, kalau orang sihat pun disuruh ambil wudu sahaja, tapi kenapa pula kalau orang yang sakit, yang lebih memerlukan kemudahan dalam beragama, disuruh buat dua-dua? Ini adalah kerana mereka tidak belajar bahagian fekah yang memudahkan manusia.


 

Ayat 47: Syikayah. Ayat-ayat selepas ini, ada cerita pasal rezeki sedikit dan seterusnya tentang kiamat. Allah menceritakan perangai orang yang tidak beriman, iaitu orang musyrik.

وَإِذا قيلَ لَهُم أَنفِقوا مِمّا رَزَقَكُمُ اللهُ قالَ الَّذينَ كَفَروا لِلَّذينَ آمَنوا أَنُطعِمُ مَن لَّو يَشاءُ اللهُ أَطعَمَهُ إِن أَنتُم إِلّا في ضَلٰلٍ مُبينٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when it is said to them, “Spend from that which Allāh has provided for you,” those who disbelieve say to those who believe, “Should we feed one whom, if Allāh had willed, He would have fed? You are not but in clear error.”

(MELAYU)

Dan apabila dikatakakan kepada mereka: “Nafkahkanlah sebahagian dari reski yang diberikan Allah kepadamu”, maka orang-orang yang kafir itu berkata kepada orang-orang yang beriman: “Apakah kami akan memberi makan kepada orang-orang yang jika Allah menghendaki tentulah Dia akan memberinya makan, tiadalah kamu melainkan dalam kesesatan yang nyata”.

 

وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ

Dan bila dikatakan kepada mereka

Yang dimaksudkan adalah orang-orang munafik. Salah satu sifat orang-orang Munafik itu adalah mereka amat susah untuk sedekah kepada agama. Kalau nak tahu kita ini orang munafik atau tidak, apabila datang orang meminta sedekah kepada kita, dan kita payah nak bagi sedekah, bermaksud ada ciri-ciri munafik dalam diri kita. Kerana kita tidak yakin penuh dengan janji Allah yang Dia akan balas infak kita itu. Memang Bangsa Melayu ini berat sedikit nak beri sedekah kalau dibandingkan dengan orang Arab. Kalau kita lihat orang Arab, mereka beri sedekah macam mereka tak takut mereka akan jatuh miskin.

 

أَنْفِقُوا مِمَّا رَزَقَكُمُ اللهُ

infaklah daripada rezki yang Allah telah beri kepada kamu;

Allah nasihatkan kita infak kepada fakir miskin. Allah ingatkan yang Dialah yang sebenarnya beri rezeki kepada kita. Asalnya kita tidak ada rezeki. Tapi Allah telah berikan rezeki yang banyak kepada kita. Tapi, ramai yang berat tangan untuk bersedekah atau infak kepada orang lain. Macamlah harta itu memang dia yang punya, padahal Allah yang beri. Padahal, yang Allah suruh beri itu pun dari rezeki yang Dia beri. Bukan kita yang dapat sendiri rezeki itu sendiri. Kalau Allah tak beri rezeki kepada kita, kita pun tidak ada apa-apa.

Apabila telah ada iman dalam diri kita, secara otomatik kita akan senang untuk berbuat amal kebaikan. Iman bukan hanya dalam perkara ibadah sahaja, solat, puasa, haji dan sebagainya. Tapi iman juga menyuruh kita untuk berbuat kebaikan untuk manusia lain. Islam tidak memisahkan amal ibadat untuk diri kita dan juga menolong orang lain juga. Konsep kebajikan dalam Islam diterangkan dengan jelas dalam ayat 2:177.

Ini adalah kata-kata nasihat yang diberikan kepada mereka. Tapi bagaimana pula balasan mereka?

 

قَالَ الَّذِينَ كَفَرُوا

berkata orang-orang kafir itu;

Mereka dipanggil ‘kafir’ kerana walaupun mereka mengucap syahadah depan Nabi, tapi sebenarnya hati mereka dalam kekafiran. Mereka nanti akan masuk neraka kekal di dalamnya.

 

لِلَّذِينَ آمَنُوا

kepada orang-orang yang beriman,

Mereka katakan hujah yang akan disebut ini kepada orang beriman setelah orang beriman itu mengajak mereka infak kepada yang memerlukan.

أَنُطْعِمُ مَنْ لَوْ يَشَاءُ اللهُ أَطْعَمَهُ

adakah kami akan beri makan kepada orang yang kalau Allah ingin, Allah sendirilah yang beri makan kepadanya?;

Mereka kata mereka pun dapat rezeki dari Allah juga, patutnya Allah juga yang beri rezeki kepada orang itu. Jadi mereka akan kata kepada orang yang meminta itu untuk minta sendiri kepada Tuhan, bukan kepada mereka. Jadi ayat ini bukan hanya ditujukan kepada orang dulu sahaja, tapi kepada orang zaman sekarang sekali.

Lihatlah hujjah mereka. Mereka menggunakan logik akal. Mereka kata, kalau Allah telah memberi rezeki kepada mereka, tentulah Allah pun boleh juga untuk memberi rezeki kepada orang yang susah itu. Mereka lupa yang Allah suruh beri infak itu untuk kebaikan mereka juga kerana mereka akan dapat pahala yang kekal.

Begitulah tanda orang-orang munafik. Mereka akan memberikan hujah akal untuk menolak dari melakukan kebaikan. Mereka sangka otak mereka pandai, tapi sebenarnya iman mereka yang kurang. Kita akan berjumpa dengan ramai orang yang bersifat macam ini. Mereka pandai berhujah sahaja, tapi hujah mereka itu adalah hujah-hujah akal yang mengikut hawa nafsu mereka sahaja. Kepada orang-orang sebegini, kita kena berikan hujah-hujah Qur’an kepada mereka. Kalau mereka tidak mahu terima, ingatkan mereka tentang bala yang mereka akan terima seperti apa yang telah disebut dalam surah ini. Kalau mereka tidak mahu terima, bermakna Allah masih tidak memberi hidayah kepada mereka. Memang dari zaman dahulu sampai sekarang, akan ada manusia yang bersifat sebegini.

Jikalau kita tidak dapat beri sumbangan kepada peminta sedekah, hendaklah kita minta maaf kepada mereka, jangan hina dan halau dia. Walaupun mungkin kita tahu dia jenis orang yang ambil kesempatan. Kita dilarang untuk berkata hina kepada orang yang meminta. Maka kena jaga mulut kita. Memanglah orang-orang yang meminta sedekah itu memang ada masalah pada diri mereka sendiri. Dalam hadis dikatakan bahawa di Mahsyar nanti, akan luruh muka mereka kerana mereka semasa di dunia meminta sedekah. Tapi walaupun begitu, kita tetap kena bercakap kepada mereka dengan lembut. Mungkin ada penyakit putus asa pada diri mereka. Ataupun mereka itu mungkin kaki judi dan sebagainya. Tak payah kita nak buka rahsia mereka. Tak payah kita nak cari apa salah mereka. Itu bukan tugas kita. Kita sebagai orang yang dah belajar, janganlah kita buat macam tu.

Allahlah yang menentukan rezeki kepada kita. Ada yang hanya usaha sedikit, tapi dikurniakan rezeki yang banyak. Ada yang susah bekerja, berhempas pulas setiap hari, tapi sikit sahaja mereka dapat. Itu semua adalah anugerah dari Tuhan. Ikut kepada Allah nak beri berapa banyak kepada seseorang itu. Kita tidak boleh nak persoalkan. Memang sudah begitu lumrahnya. Tidak boleh kita nak hina orang yang miskin, tidak boleh kita nak berbangga kalau kita orang yang berharta. Ada yang memang Allah beri rezeki yang sedikit kepada mereka. Mungkin ada sebab kenapa Allah buat macam tu. Mungkin kita orang yang tidak berharta kerana Allah tahu jikalau diberikan harta yang banyak kepada kita, kita akan menjadi orang yang tidak baik. Maka bersyukurlah dengan apa sahaja yang kita ada.

Bukan banyak pun yang Allah suruh kita infakkan. Kalau kita lihat zakat harta atau zakat perniagaan, kita hanya disuruh memberi 2.5% dari harta atau hasil perniagaan kita sahaja.

 

إِنْ أَنْتُمْ إِلَّا فِي ضَلَالٍ مُبِينٍ

Sesungguhnya kamu tidak lain dan tidak bukan, termasuk orang yang sesat yang nyata;

Siapakah yang berkata dalam ayat ini? Ada dua penafsiran. Samada yang berkata itu adalah orang-orang munafik itu sebagai menguatkan hujah mereka, atau ianya adalah jawapan Allah kepada orang-orang yang bersifat munafik seperti mereka itu:

Tafsiran 1. Ayat ini dulu dikatakan oleh orang Munafik kepada Nabi Muhammad dan pengikutnya. Sekarang kata-kata ini dikatakan kepada orang-orang yang mengikut sunnah. Antara yang mereka katakan sekarang kepada orang yang bawa Sunnah ini adalah panggilan ‘Wahhabi’. Padahal ini adalah gelaran rekaan sahaja. Wahhabi ini, pengikut tidak diketahui, ketua pun tidak diketahui. Hanya gelaran rekaan sahaja yang digunakan untuk mengejek golongan yang hendak ikut sunnah sahaja. Kita kena lihat siapakah yang mula-mula menggunakan istilah ini.

Hendaklah kita infakkan harta kepada orang yang memerlukan. Berilah infak kepada masjid, fakir miskin, anak yatim, pelajar agama dan orang yang mengajar agama. Pahala yang paling besar adalah kepada mereka yang mengajar dan menyebar agama kerana tanpa mereka, tidak ada orang akan datang ke masjid, tidak ada pelajar agama dan merekalah yang menganjurkan bersedekah kepada fakir miskin dan anak yatim.

Tafsiran 2: Mereka yang bersifat seperti yang disebut dalam ayat ini adalah orang yang dalam kesesatan yang nyata. Allah menggunakan perkataan فِي untuk menunjukkan bahawa mereka bergelumang di dalam kesesatan mereka itu. Bukan hanya dalam perkara ini sahaja mereka tapi dalam perkara lain pun mereka sesat juga.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.


Rujukan: 

Maulana Hadi

Ustaz Rosman

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 036: Yaasin. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s