Tafsir Surah Yaasin Ayat 35 – 40 (Berpasangan)

Ayat 35: Ayat sebelum ini tentang kebun dan tanaman yang dibiakkan.

لِيَأكُلوا مِن ثَمَرِهِ وَما عَمِلَتهُ أَيديهِم ۖ أَفَلا يَشكُرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

That they may eat of His fruit.1 And their hands have not produced it,2 so will they not be grateful?

  • i.e., that which Allāh has produced for them.
  • An alternative meaning is “And [eat from] what their hands have produced [i.e., planted and harvested].” Both are grammatically correct.

(MELAYU)

supaya mereka dapat makan dari buahnya, dan dari apa yang diusahakan oleh tangan mereka. Maka mengapakah mereka tidak bersyukur?

 

لِيَأْكُلُوا مِن ثَمَرِهِ

Supaya manusia dan binatang semua sekali dapat makan dari berbagai jenis buahnya,

Allah menceritakan rezeki yang diberikanNya dari berbagai jenis dalam ayat sebelum ini. Dan sekarang Allah beritahu yang ianya adalah untuk beri makan kepada manusia. Maka kenanglah jasa yang Allah telah berikan kepada kita ini.

وَمَا عَمِلَتْهُ أَيْدِيهِمْ

dan apa sahaja yang mereka usahakan dari tangan mereka;

Ayat ini merujuk kepada manusia yang menanam pokok. Dan mereka boleh ambil hasil dari usaha tangan mereka. Ada pokok yang kita tanam dan ada pokok yang bukan kita tanam tapi tumbuh sendiri. Itu jenis macam rumput dan sebagainya. Kita tak kisah pun rumput itu. Tapi rumput itulah yang dimakan oleh lembu, dan lembu itu pula kita makan.

Semuanya yang tumbuh itu dari air yang satu jenis sahaja Allah beri. Tapi darinya dapat tumbuh berbagai jenis tanaman. Itulah yang hebatnya air yang Allah jadikan. Kalau kita cipta minyak untuk kereta, bukan boleh satu jenis minyak dipakai untuk semua jenis kereta. Kena ada minyak untuk enjin, minyak lain untuk brek dan sebagainya. Tapi lihatlah, Allah cipta satu jenis air sahaja, semua tanaman pakai air yang sama. Keluar jadi pokok yang berjenis-jenis. Walaupun dari satu jenis air.

Juga bermaksud setelah kita petik buah-buahan itu, ada yang kita proses. Sebagai contoh, dari anggur itu, diperah dan dijadikan minuman yang sedap. Ataupun kurma direndam jadi nabiz.

Semua itu tidak akan terjadi tanpa rahmat dari Allah. Semua itu tidak terjadi hanya semata-mata dengan usaha kemampuan dan kekuatan manusia sahaja. Oleh itu, perkataan مَا عَمِلَتْهُ أَيْدِيهِمْ itu boleh juga bermakna, ‘yang bukan diusahakan oleh tangan-tangan mereka’. Kerana perkataan مَا itu juga bermakna ‘bukan’. Walaupun kita sangka bahawa kitalah yang menanam pokok-pokok itu, tapi kalau bukan Allah yang membenarkan ianya tumbuh, ianya tidak akan tumbuh.

 

أَفَلَا يَشْكُرُونَ

Kenapakah mereka tidak bersyukur?

Kenapakah mereka tidak bersyukur kepada Allah yang menurunkan hujan dan dengannya menumbuhkan berbagai-bagai jenis tanaman dan menjadikan kita boleh hidup? Dan dengannya kita buat minuman seperti air anggur dan air nabiz itu dan juga berbagai jenis makanan dan minuman lagi?

Kenapa mereka tidak taat kepada Allah? Kenapa mereka tidak mensyukuri segala nikmat yang Allah telah berikan? Ucapan ‘Alhamdulillah‘ yang kita ucapkan itu adalah lafaz yang akhir yang kita ucapkan. Awalnya kena taat setelah diberi kita segalanya maka hendaklah beribadah kepadaNya untuk menzahirkan kesyukuran kita, kemudian disempurnakan dengan lafaz alhamdulillah. Bukan hanya cukup dengan mengucapkan Alhamdulillah sahaja. Itu barulah dinamakan bersyukur yang sempurna. Maknanya, bukan hanya sebut Alhamdulillah sahaja tapi ditunjuk dengan perbuatan kita.


 

Ayat 36: Oleh sebab Allahlah yang menjadikan segalanya, maka hendaklah kita memujiNya.

سُبحٰنَ الَّذي خَلَقَ الأَزوٰجَ كُلَّها مِمّا تُنبِتُ الأَرضُ وَمِن أَنفُسِهِم وَمِمّا لا يَعلَمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Exalted is He who created all pairs1 – from what the earth grows and from themselves and from that which they do not know.

  • Or “all species.”

(MELAYU)

Maha Suci Tuhan yang telah menciptakan pasangan-pasangan semuanya, baik dari apa yang ditumbuhkan oleh bumi dan dari diri mereka maupun dari apa yang tidak mereka ketahui.

 

سُبْحَٰنَ الَّذِي خَلَقَ الْأَزْوَٰجَ كُلَّهَا

Maha suci Dzat yang menciptakan pasangan-pasangan semua sekali:

Kita telah bincangkan kata dasar سُبْحَانَ iaitu ‘berenang’. Ada kaitan antara kata dasar itu dengan kehidupan kita sekarang. Kalau kita berenang, bukankah kita kena berusaha untuk terus timbul? Kepala kita diatas air, tapi kaki kita terus menendang-nendang air untuk menimbulkan kita. Kalau kita berhenti, kita akan tenggelam dan lemas. Begitulah kita dalam dunia ini. Kita kena sentiasa berusaha untuk kekal dalam iman. Kerana amat banyak perkara-perkara yang hendak menjatuhkan kita sepertimana kalau kita tidak melakukan apa-apa di dalam air. Syaitan dan nafsu akan sentiasa memujuk kita untuk melupakan Allah. Maka kita hendaklah sentiasa mengingati Allah dengan zikr kepadaNya.

Zikr tidak semestinya menyebut kalimah-kalimah tertentu sahaja. Zikr itu bermaksud: ingat. Banyak perkara boleh mengingatkan kita tentang Allah. Kita hendaklah mencari peluang untuk mengingati Allah dalam segenap kehidupan kita. Gunakan kalimah-kalimah yang akan mengingatkan kita kepada Allah dalam segenap kehidupan kita. Malangnya, kadang-kadang kita malu untuk menyebut perkataan seperti ‘in sha Allah’, ‘alhamdulillah’, ‘ma sha Allah’ dan sebagainya dalam percakapan kita seharian. Tapi itulah perbuatan orang yang beriman dan sentiasa ingat kepada Allah. Zikr sentiasa basah di bibirnya.

Semua kehidupan dalam dunia ini ada pasangannya. Ada lelaki dan ada wanita; ada jantan dan ada betina; ada kiri dan ada kanan. Semuanya ada pasangan, samada manusia, binatang, tanaman atau benda sekali pun.

 

مِمَّا تُنبِتُ الْأَرْضُ

Daripada yang tumbuh dari bumi

Ada jenis tanaman yang tumbuh dari muka bumi. Tanaman itu ada pasangannya. Kalau tidak ada pasangan, ia tidak membiak.

وَمِنْ أَنفُسِهِمْ

dan dari diri mereka sendiri;

Manusia tidak dicipta melainkan dengan berpasangan. Begitu juga dengan binatang dan pokok-pokok.

Walaubagaimana pun, ada juga jenis pokok yang tumbuh dari dia sendiri. Apabila kita potong, dia akan jadi pokok lain. Seperti ubi kayu dan sebagainya. Ini adalah lain dari yang umum. Tuhan nak beritahu bahawa Dia boleh buat juga walaupun jenis yang tidak berpasangan.

 

وَمِمَّا لَا يَعْلَمُونَ

Dan daripada banyak lagi yang mereka tidak ketahui;

Telah disebut jenis tanaman dan diri kita yang berpasangan. Tapi ada banyak yang kita dah tahu, walaupun dengan kemajuan ilmu sains dan keduniaan, masih banyak lagi yang kita tidak ketahui. Kita tahu dalam dunia ini, semuanya ada pasangan masing-masing, walaupun sekecil-kecil atom. Tapi ada lagi bermacam-macam makhluk yang kita tidak tahu.


 

Ayat 37: Sebelum ini Allah sebut bahawa Allah telah menjadikan dalam dunia ini berpasangan. Sekarang Allah memberi satu contoh pasangan yang kita boleh lihat setiap hari: pasangan malam dan siang.

وَآيَةٌ لَّهُمُ اللَّيلُ نَسلَخُ مِنهُ النَّهارَ فَإِذا هُم مُّظلِمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And a sign for them is the night. We remove1 from it the [light of] day, so they are [left] in darkness.

  • Literally, “strip” or “peel.” Sunlight projected onto the earth is removed from it as the earth turns and night approaches.

(MELAYU)

Dan suatu tanda (kekuasaan Allah yang besar) bagi mereka adalah malam; Kami tanggalkan siang dari malam itu, maka dengan serta merta mereka berada dalam kegelapan.

 

وَآيَةٌ لَّهُمُ اللَّيْلُ

Dan diantara dalil kudrat Allah bagi mereka semua adalah malam;

Kita disuruh untuk memerhatikan kejadian malam.

 

نَسْلَخُ مِنْهُ النَّهَارَ

Kami tanggal siang daripadanya;

Siang tak bercampur dengan malam. Perkataan نَسْلَخُ berasal dari katadasar س ل خ yang bermaksud ‘mengupas’ seperti mengupas kulit haiwan. Apabila siang, hari adalah cerah. Tapi sedikit demi sedikit, siang itu dikupas sehingga akhirnya keadaan menjadi gelap. Ianya beransur-ansur menjadi gelap seperti pengupasan kulit bawang juga, selapis demi selapis.

 

فَإِذَا هُم مُّظْلِمُونَ

maka tiba-tiba mereka duduk dalam kegelapan;

Lama kelamaan, hari jadi gelap dan kita tidak boleh nak buat apa. Adakah boleh kita hendak menghalang malam dari terjadi? Tentu tidak kerana semuanya dalam kekuasaan Dia.

Allah jadikan malam dan siang ini di dunia sahaja. Nanti di akhirat tidak pertukaran malam dan siang. Di syurga hanya ada siang; di neraka hanya ada malam sahaja. Kerana malam dan siang itu adalah dijadikan oleh Allah – bukan terjadi sendiri. Maka kalau Allah tidak mahu jadikan di akhirat, boleh sahaja.


 

Ayat 38: Ini pula adalah contoh pasangan kedua: Matahari dan Bulan.

وَالشَّمسُ تَجري لِمُستَقَرٍّ لَّها ۚ ذٰلِكَ تَقديرُ العَزيزِ العَليمِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And the sun runs [on course] toward its stopping point. That is the determination of the Exalted in Might, the Knowing.

(MELAYU)

dan matahari berjalan ditempat peredarannya. Demikianlah ketetapan Yang Maha Perkasa lagi Maha Mengetahui.

 

وَالشَّمْسُ تَجْرِي لِمُسْتَقَرٍّ لَّهَا

Dan lihatlah bagaimana matahari bergerak pada tempat yang telah ditetapkan untuknya;

Perkataan مُسْتَقَرٍّ bermaksud sesuatu yang telah ditetapkan tempatnya. Kalau ia bergerak, ianya akan diletakkan balik ke tempat yang sepatutnya. Begitulah matahari, telah ada tempat yang Allah telah tetapkan baginya. Itu dinamakan orbit.

Matahari setiap hari pergi sujud kepada Allah dan tanya samada dia terus naik dari timur lagikah. Allah akan suruh naik dari timur sampai satu masa Allah akan suruh matahari naik dari barat. Sebab dalam hadis ada disebut bahawa matahari akan terbit dari barat dan kemudian turun balik ke tempat asal dan naik balik dari timur macam biasa. Seratus tahun dari kejadian itu akan terjadinya kiamat.

Imam Bukhari meriwayatkan hadis dari Nabi dari Abu Dzar: Aku bersama Nabi di dalam masjid ketika terbenamnya matahari. Lalu Rasulullah bersabda: “Wahai Abu Dzar, apakah engkau tahu di mana matahari itu terbit?” Aku menjawab: “Allah dan RasulNya lebih mengetahui.” Rasulullah bersabda: “Dia itu pergi, hingga sujud di bawah Arash. Itulah firman Allah – Dan matahari berjalan di tempat peredarannya. Demikianlah ketetapan yang Maha Perkasa lagi Maha Mengetahui.” Yaasin:38.

Ayat ini menunjukkan bahawa Allah lama dah beritahu tentang alam ini kepada manusia. Ayat ini jelas mengatakan bahawa matahari pun bergerak juga atas orbitnya. Tapi ingat tak bahawa ahli sains zaman dahulu kata matahari tak bergerak. Tapi apabila kajian semakin maju, barulah tahu bahawa memang matahari pun ada bergerak dalam orbit dia. Allah dah beritahu lama dah.

 

ذَٰلِكَ تَقْدِيرُ الْعَزِيزِ الْعَلِيمِ

demikianlah satu penentuan yang telah ditetapkan oleh Tuhan yang Maha Gagah Perkasa dan Maha Mengetahui selok belok makhlukNya.

Matahari yang besar itu pun mengikut arahan Tuhan, bagaimana pula dengan kita yang kerdil ini?

الْعَزِيزِ – Yang Maha Gagah Perkasa. Dia yang mengusai. Tidak ada yang dapat bergerak tanpa izinNya.

الْعَلِيمِ – Dia Maha Mengetahui segala sesuatu. Jikalau ada bergerak dari tempatnya, Dia akan tahu.


 

Ayat 39:

وَالقَمَرَ قَدَّرنٰهُ مَنازِلَ حَتّىٰ عادَ كَالعُرجونِ القَديمِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And the moon – We have determined for it phases, until it returns [appearing] like the old date stalk.

(MELAYU)

Dan telah Kami tetapkan bagi bulan manzilah-manzilah, sehingga (setelah dia sampai ke manzilah yang terakhir) kembalilah dia sebagai bentuk tandan yang tua.

 

وَالْقَمَرَ قَدَّرْنَٰهُ

Dan bulan, Kami telah tetapkan baginya,

Bulan juga ada orbitnya. Ia bergerak mengikut arahan Allah dan tidak pernah gagal lagi.

مَنَازِلَ

beberapa peringkat pergerakan;

Kita boleh lihat bulan itu ada peringkatnya. Ia mengambil 28 hari untuk menyempurnakan perjalannya untuk sebulan. Minima hari dalam sebulan dalam bulan Qamariah adalah 28 hari atau 29 hari. Dengan cara ini, kita dapat tentukan waktu dalam sebulan.

 

حَتَّىٰ عَادَ كَالْعُرْجُونِ الْقَدِيمِ

Sehingga kembali menjadi seperti tandan pohon kurma yang tua yang melengkung;

Kita boleh lihat perubahan bulan dalam sebulan dan bila sampai hujung bulan, bulan itu akan berbentuk melengkung (bulan sabit). Kemudian akan menjadi penuh semula dan akan kembali menjadi melengkung. Begitulah kitaran hidupnya.

Ini adalah isyarat kepada manusia bahawa kita akan melalui proses yang sama. Mula-mula kita kecil dan membesar sampai dewasa. Apabila kita tua, badan kita akan membongkok melengkung seperti tandan tua itu juga. Maka beringatlah untuk menggunakan masa yang telah diberikan kepada kita dengan baik. Jangan kita siakan masa kita semasa di dunia ini dengan berbuat maksiat.


 

Ayat 40:

لَا الشَّمسُ يَنبَغي لَها أَن تُدرِكَ القَمَرَ وَلَا اللَّيلُ سابِقُ النَّهارِ ۚ وَكُلٌّ في فَلَكٍ يَسبَحونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

It is not allowable [i.e., possible] for the sun to reach the moon, nor does the night overtake the day, but each, in an orbit, is swimming.

(MELAYU)

Tidaklah mungkin bagi matahari mendapatkan bulan dan malampun tidak dapat mendahului siang. Dan masing-masing beredar pada garis edarnya.

 

لَا الشَّمْسُ يَنْبَغِي لَهَا أَنْ تُدْرِكَ الْقَمَرَ

Tidak boleh matahari itu mengejar bulan;

Bulan dan matahari tidak akan dapat duduk di tempat yang sama. Matahari tidak boleh melepasi bulan. Ia tidak boleh mengejar sampai memotong bulan walaupun ia lebih besar. Matahari ada masanya dan bulan ada masanya. Tidak boleh mendahului antara satu sama lain. Walaupun matahari dari segi saiznya, ia lebih besar dari bulan; tapi masih tidak dapat mendahului bulan.

Lihatlah bagaimana matahari yang besar pun mengikut perintah dan hukum Allah. Tapi bagaimana pula dengan kita yang kerdil ini? Bagaimana kita berani hendak menolak hukum Allah yang Dia telah tetapkan untuk kita?

 

وَلَا اللَّيْلُ سَابِقُ النَّهَارِ

Dan tidak boleh malam itu boleh mendahului siang hari.

Siang dan malam ada turutannya masing-masing. Tidak boleh salah satu mendahului yang lain.

Itulah susunan yang Allah telah buat. Tapi Allah boleh sahaja menjadikan malam berterusan tanpa siang seperti Allah telah sebut dalam 28:71. Atau siang berterusan tanpa malam. Ini Allah telah sebut dalam 28:72.

 

وَكُلٌّ فِي فَلَكٍ يَسْبَحُونَ

Dan masing-masing beredar pada orbitnya.

Perkataan فَلَكٍ itu boleh ditafsirkan sebagai ‘orbit’. Iaitu bulan dan matahari berada dalam orbitnya sendiri. Apa yang mereka buat dalam orbit itu?

Kata يَسْبَحُونَ bermakna ‘mereka berenang’ dari segi bahasa. Bermakna mereka sentiasa bergerak dalam orbit mereka. Seperti juga kalau orang yang berenang, mereka kena sentiasa bergerak. Kalau tidak, mereka akan tenggelam. Pergerakan mereka itu adalah atas arahan Allah – mereka menurut arahan Allah – bermakna mereka ‘sujud’ kepada arahan Allah.

Semua ini adalah ketentuan Allah. Allah boleh buat apa sahaja. Dia boleh kalau hendak mengubah perjalanan matahari dan bulan itu. Tapi Allah tidak akan mengubahnya, kerana Allah telah sebut dalam 48:23 bahawa Allah tidak akan mengubah ‘sunnatullah’. Iaitu perjalanan alam ini. Kalau matahari keluar waktu siang, bulan akan keluar waktu malam dan sebagainya.

Allah telah beri beberapa contoh pasangan: malam/siang dan matahari/bulan. Maka, pasangan bagi kehidupan di dunia ini adalah kehidupan di akhirat. Manakah yang lebih penting? Tentunya kehidupan di akhirat kelak – 87:17. Maka, kita kenalah jadikan kehidupan di dunia ini sebagai tempat bercucuk tanam untuk kita menuainya di akhirat kelak.

Ingatlah bahawa sebagaimana kitaran tandan tamar dan juga bulan, kehidupan kita pun ada kitarannya. Akan datang masa apabila kita akan jadi tua dan tidak dapat hendak beribadat banyak dah. Dan akhirnya kita akan mati. Maka, ambillah peluang semasa kita hidup dan semasa kita masih berupaya untuk beribadat lagi, untuk menanam sebanyak mungkin amal-amal yang soleh.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.


Rujukan: 

Maulana Hadi

Ustaz Rosman

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 036: Yaasin. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s