Tafsir Surah Yaasin Ayat 13 – 19 (Kisah Tiga Rasul)

Ayat 13: Takhwif Duniawi. Kena faham sejarah surah ini sedikit sebelum kita meneruskan tafsir ayat ini. Surah Yaasin ini diturunkan di Mekah, di hujung-hujung waktu Nabi Muhammad di sana sebelum baginda berhijrah ke Madinah. Maknanya, sudah lama baginda berdakwah kepada mereka, bertahun-tahun. Baginda telah melakukan berbagai-bagai cara dalam dakwah baginda kepada penduduk Mekah. Samada dengan cara individu, ceramah ramai-ramai, beri insentif dan sebagainya. Semuanya baginda telah cuba. Dan kita kena ingat bahawa Nabi adalah seorang yang bijak dalam berdakwah. Ramai yang tidak mahu menerima.

Dan baginda dan para sahabat telah ditindas dengan teruk oleh penduduk Mekah. Maka, dalam ayat ini, Allah hendak memberikan contoh tentang apakah yang terjadi kepada masyarakat yang pernah menolak rasul yang datang kepada mereka dahulu. Memberi ingatan kepada mereka, bahawa jikalau mereka tidak mahu menerima Islam, mereka mungkin akan jadi macam mereka juga. Ini adalah tentang cerita penduduk satu kota.

وَاضرِب لَهُم مَّثَلًا أَصحٰبَ القَريَةِ إِذ جاءَهَا المُرسَلونَ

Sahih International

And present to them an example: the people of the city, when the messengers came to it –

Malay

Dan ceritakanlah kepada mereka satu perbandingan mengenai kisah penduduk sebuah bandar (yang tertentu) iaitu ketika mereka didatangi Rasul-rasul (Kami),

 

وَاضْرِبْ لَهُم مَّثَلًا أَصْحَابَ الْقَرْيَةِ

Dan ceritakan kepada mereka kisah contoh bandingan penduduk suatu bandar.

Bandar yang dimaksudkan dalam ayat ini bernama Antioch. Ataupun dipanggil Antokiah. Salah satu bandar di bawah kerajaan Rom Purba. Ianya adalah satu bandar purba terletak di Damsyik. Berdekatan dengan Syria. Masih lagi boleh dilawat sekarang. Zaman itu adalah zaman Nabi Isa a.s. Bermakna, kejadian ini berlaku lebih kurang dua ribu tahun yang lalu. Di sini beberapa Nabi termasuk Nabi Yahya dibunuh semasa menyebarkan agama kepada penduduk bandar itu. Tapi ini pun belum pasti lagi kerana sejarah Antokiah ini ada, tapi tidak pula ada kisah yang tempat itu hancur. Sedangkan dalam Surah Yaasin ini, tempat itu hancur. Jadi jangan kata pasti lagi nama tempat ini adalah Antokiah. Kerana Qur’an tidak menyebut nama tempat ini, jadi tidak penting. Yang penting adalah pengajaran yang kita boleh ambil dari kisah ini.

Perkataan وَاضْرِبْ bermaksud ‘pukullah’. Kenapa pula ada pukulan dalam penceritaan contoh? Ia bermaksud, Nabi disuruh beri penegasan kepada mereka. Sebagai contoh, kalau kita hendak menekankan sesuatu perkara sedang bercakap, kadang-kadang kita sampai pukul meja. Kerana kita hendak menekankan sesuatu perkara itu.

Apabila perkataan وَاضْرِبْ لَهُم digunakan, ia bermaksud, menjadikan kisah itu releven dengan manusia semasa. Walaupun kisah itu telah lama berlalu, Nabi disuruh menjadikan kisah itu releven dengan penduduk Mekah di zaman baginda. Begitu juga kita, kena menjadikan kisah ini releven dengan zaman sekarang. Walaupun kisah itu tentang penduduk yang kafir yang menentang Rasul mereka, tapi kita kena bandingkan dengan keadaan kita. Kerana takut-takut jikalau sifat mereka yang disebut dalam kisah mereka itu ada dengan kita. Jangan kita sangka apabila kisah dalam Qur’an disebut, ianya hanya untuk cerita tentang orang lain sahaja yang telah berlalu. Kita kena bandingkan dengan diri kita. Kita disuruh lihat samada kisah mereka itu ada kena dengan kita atau tidak, bukan baca sebagai kisah menarik sahaja dan sebagai sejarah sahaja. Banyak orang tidak faham konsep ini. Mereka sangka kisah dalam Qur’an sebagai kisah sahaja. Tidak begitu. Semua kisah dalam Qur’an adalah peringatan untuk kita.

 

إِذْ جَاءَهَا الْمُرْسَلُونَ

Ketika datang kepada mereka utusan-utusan Kami; 

Iaitu Rasul-rasul yang dihantar untuk berdakwah kepada penduduk bandar itu.

Ada perbincangan mufassir tentang siapakah الْمُرْسَلُونَ itu. Ada yang kata, mereka adalah hawariyyin, pengikut-pengikut Nabi Isa dan oleh itu bukanlah Rasul. Tapi bukan tujuan kita untuk memastikan siapakah mereka. Yang penting adalah untuk kita mengambil pengajaran dari kisah ini.


 

Ayat 14:

إِذ أَرسَلنا إِلَيهِمُ اثنَينِ فَكَذَّبوهُما فَعَزَّزنا بِثالِثٍ فَقالوا إِنّا إِلَيكُم مُّرسَلونَ

Sahih International

When We sent to them two but they denied them, so We strengthened them with a third, and they said, “Indeed, we are messengers to you.”

Malay

Ketika Kami mengutus kepada mereka dua orang Rasul lalu mereka mendustakannya; kemudian Kami kuatkan (kedua Rasul itu) dengan Rasul yang ketiga, lalu Rasul-rasul itu berkata: ` Sesungguhnya kami ini diutuskan kepada kamu ‘.

 

إِذْ أَرْسَلْنَا إِلَيْهِمُ اثْنَيْنِ فَكَذَّبُوهُمَا

Iaitu ketika Kami menghantar dua orang rasul kepada mereka dan mereka dustakan kedua-duanya;

Mereka menolak dakwah kedua-dua Nabi itu.

Ada khilaf di kalangan penafsir tentang nama-nama rasul-rasul itu. Satu pendapat mengatakan bahawa rasul-rasul itu bernama: Yahya, Sodum dan Sam’un. Ketiga-tiganya Nabi, bukan pendakwah biasa. Mereka dikatakan telah dihantar oleh Nabi Isa a.s. Atau diutus oleh Tuhan sendiri di zaman Nabi Isa a.s. Seperti yang telah disebutkan sebelum ini, ada juga mufassir yang berpendapat bahawa mereka itu adalah manusia biasa, bukan Nabi.

Perkataan فَكَذَّبُوهُمَا bermaksud, penduduk negeri Antokiah itu telah mengatakan bahawa pembawa-pembawa risalah itu telah menipu, jadi mereka tidak mahu ikut. Itu adalah alasan sahaja.

 

فَعَزَّزْنَا بِثَالِثٍ

Kami perkuatkan dengan yang ketiga.

Dihantar Rasul yang ketiga untuk menguatkan semangat mereka yang dua orang yang mula-mula datang. Ataupun untuk menguatkan mesej dakwah yang mereka bawa. Sepatutnya, kalau dua orang pun sudah lebih dari cukup.

 

فَقَالُوا إِنَّا إِلَيْكُم مُّرْسَلُونَ

Rasul-rasul itu berkata: “sesungguhnya kami diutuskan kepada kamu”.

Rasul-rasul itu dihantar untuk penduduk Antioch itu. Mereka berdakwah dengan menggunakan syariat Nabi Isa. Tapi dari segi akidah, sama sahaja ajaran yang dibawa oleh setiap Nabi dan Rasul.

Mereka telah ingkar kepada para utusan itu. Maka apabila ingkar sahaja, bala telah diturunkan kepada mereka. Binatang sakit, tanaman hangus dan sebagainya. Itu adalah kesan jikalau menolak dakwah dari penyebar agama. Disebabkan bala itulah yang menyebabkan mereka menuduh para utusan itu yang menyebabkan bala itu datang. Padahal, bala itu adalah kerana mereka menolak dakwah para rasul itu. Bala diturunkan untuk mengingatkan mereka. Untuk merendah diri mereka. Kerana selalunya apabila sesuatu kaum itu sedang hidup dengan senang, sedang kaya, mereka akan sombong dan tidak mahu menerima ajakan dakwah. Maka, Allah akan berikan bala kepada mereka.


 

Ayat 15: Lihatlah hujah mereka untuk menolak dakwah para Rasul itu. Mereka tidak dapat terima Rasul dari kalangan manusia.

قالوا ما أَنتُم إِلّا بَشَرٌ مِّثلُنا وَما أَنزَلَ الرَّحمٰنُ مِن شَيءٍ إِن أَنتُم إِلّا تَكذِبونَ

Sahih International

They said, “You are not but human beings like us, and the Most Merciful has not revealed a thing. You are only telling lies.”

Malay

Penduduk bandar itu menjawab: “Kamu ini tidak lain hanyalah manusia seperti kami juga, dan Tuhan Yang Maha Pemurah tidak menurunkan sesuatupun (tentang ugama yang kamu dakwakan); Kamu ini tidak lain hanyalah berdusta”.

 

قَالُوا مَا أَنتُمْ إِلَّا بَشَرٌ مِّثْلُنَا

Mereka berkata: “tidaklah kamu bertiga melainkan manusia sahaja sama macam kami”. 

Hujah penduduk Antokiah itu, tidak perlu ikut kata-kata para pendakwah itu. Kerana mereka kata, kalau Allah nak turunkan utusan, mestilah Allah turunkan malaikat kepada mereka, bukannya hantar manusia biasa seperti para Rasul itu. Jadi kononnya mereka tak mahu terima dakwah dari manusia. Lihat betapa mereka sombong sekali.

Ini adalah dalihan yang banyak digunakan oleh umat-umat dahulu. Itu hujah nak tolak sahaja. Allah boleh sahaja nak turunkan malaikat, tapi Allah tahu kalau diturunkan malaikat pun kepada mereka, mereka tidak akan terima juga. Kalau malaikat yang diturunkan, mereka akan kata malaikat tak sama dengan manusia, jadi mereka tak dapat nak ikut malaikat pula. Jadi, itulah sebabnya Allah turunkan manusia, supaya mereka boleh lihat bahawa manusia pun boleh beriman, takkan manusia lain tidak dapat beriman. Kerana manusia ada persamaan, ada masalah yang sama. Contohnya, manusia perlu makan dan minum juga. Perkara ini banyak disentuh dalam Qur’an kerana ramai yang berhujah begitu, termasuk Musyrikin Mekah. Banyak disebut manusia menolak para Rasul kerana para Rasul itu manusia. Antaranya ayat ini:

{قَالُوا إِنْ أَنْتُمْ إِلا بَشَرٌ مِثْلُنَا تُرِيدُونَ أَنْ تَصُدُّونَا عَمَّا كَانَ يَعْبُدُ آبَاؤُنَا فَأْتُونَا بِسُلْطَانٍ مُبِينٍ}

Mereka berkata, “Kamu tidak lain hanyalah manusia seperti kami juga. Kamu menghendaki untuk menghalang-halangi (mem­belokkan) kami dari apa yang selalu disembah nenek moyang kami, kerana itu, datangkanlah kepada kami bukti yang nyata.” (Ibrahim: 10)

Masyarakat kita sekarang tidaklah minta diturunkan malaikat kepada mereka. Tapi mereka ramai yang mempersoalkan para pendakwah. Mereka kata pendakwah itu bukanlah bagus sangat, macam mereka sahaja. Mereka kata begitu kerana hendak memperlecehkan para pendakwah, seolah-olah tidak cukup baik bagi mereka. Tujuannya nak tolak sahaja, bukannya apa.

 

وَمَا أَنزَلَ الرَّحْمَٰنُ مِن شَيْءٍ

“Tidaklah Tuhan Rahman menurunkan sesiapa;”

Bukan sahaja mereka tak nak terima ajakan dakwah itu, tetapi mereka sampai menidakkan kedudukan para Rasul itu sebagai Nabi pula. Mereka mengatakan Tuhan tidak ada pun utus para Rasul. Dan lagi teruk, mereka kata Tuhan tidak ada turunkan wahyu pun!

 

إِنْ أَنتُمْ إِلَّا تَكْذِبُونَ

“Sesungguhnya kamu ini tidak lain adalah hanya berdusta sahaja.”

Mereka tuduh ketiga-tiga Rasul itu sebagai pendusta.

Ayat-ayat ini sebagai pujukan (tasliah) kepada Nabi Muhammad dan juga para pendakwah. Bukan Nabi dan pendakwah sahaja yang didustakan, pendakwah dan Rasul-rasul dahulu pun didustakan juga. Maka bersabarlah dan jangan hairan sangat kalau dikatakan sebagai pendusta.


 

Ayat 16: Jawapan dari para Rasul itu.

قالوا رَبُّنا يَعلَمُ إِنّا إِلَيكُم لَمُرسَلونَ

Sahih International

They said, “Our Lord knows that we are messengers to you,

Malay

Rasul-rasul berkata: Tuhan Kami mengetahui bahawa sesungguhnya Kami adalah Rasul-rasul yang diutus kepada kamu,

 

Para utusan itu menegaskan bahawa mereka dihantar oleh Allah. Cukuplah Allah menjadi saksi yang mereka itu adalah Rasul, seperti yang disebut dalam ayat lain:

{قُلْ كَفَى بِاللَّهِ بَيْنِي وَبَيْنَكُمْ شَهِيدًا يَعْلَمُ مَا فِي السَّمَوَاتِ وَالأرْضِ وَالَّذِينَ آمَنُوا بِالْبَاطِلِ وَكَفَرُوا بِاللَّهِ أُولَئِكَ هُمُ الْخَاسِرُونَ}

Katakanlah, “Cukuplah Allah menjadi saksi antaraku dan antaramu. Dia mengetahui apa yang di langit dan di bumi. Dan orang-orang yang percaya kepada yang batil dan engkar kepada Allah, mereka itulah orang-orang yang merugi.” (Al-‘Ankabut: 52)

Jika mereka berdusta atas nama Allah, niscaya Dia akan menghukum mereka dengan sekeras-kerasnya. Akan tetapi Allah akan memberi sokongan kepada mereka dan kelak penduduk itu akan tahu siapakah yang berada pada jalan yang benar.

Ada tambah ل pada perkataan لَمُرْسَلُونَ itu. Itu bermaksud penegasan bahawa mereka memang diutuskan khas kepada penduduk kota itu. Sebelum itu, dalam ayat sebelum itu, tidak dimasukkan huruf ل sebab itu adalah pertama kali mereka menyebut mereka adalah para penyampai risalah. Jadi tidak perlu ditegaskan disitu lagi. Tapi apabila penduduk kota itu menolak mereka, maka mereka perlu untuk menegaskan bahawa mereka memang adalah pembawa risalah.

Ada pengajaran dalam ayat ini. Apabila mereka ditentang, mereka tidak membalas dengan meminta dari Allah mukjizat atau karamah ke atas penduduk itu. Mereka hanya menggunakan kata-kata sahaja. Walaupun kita tahu bahawa nabi-nabi kadang-kadang diberi kelebihan mukjizat dan wali diberi kelebihan karamah. Tapi mereka tak doa kepada Allah supaya penduduk negeri itu dikenakan dengan bala, mereka hanya menggunakan ayat-ayat Allah sahaja.

Pernah kejadian, Nabi telah didebat oleh seorang lelaki bernama Utbah bin Walid. Dia adalah seorang yang pandai berkata-kata jadi puak Quraish telah suruh dia untuk berdebat dengan Nabi kerana mereka sangka dia boleh mengalahkan Nabi. Maka, dia telah kata macam-macam kepada Nabi. Nabi selepas mendengar apa kata-katanya, telah membaca ayat Qur’an (dari Surah Fussilat), sujud dan kemudian meninggalkannya. Perbuatan Nabi itu telah mendiamkan Utbah. Apabila Utbah pulang kepada pemuka Quraish, mereka perasan bahawa mukanya tidak seyakin semasa beliau pergi mula-mula berjumpa Nabi. Semasa mula nak pergi jumpa Nabi, dia pergi dengan yakin, tapi selepas dia bercakap dengan Nabi, muka dia dah jadi lain dah. Utbah kemudian berpesan kepada mereka untuk berjaga-jaga kerana mereka tidak akan dapat mengalahkan Nabi Muhammad. Kerana dia sendiri takut dengan janji-janji azab yang diberikan oleh baginda melalui ayat-ayat Qur’an itu.

Begitulah kita diajar untuk berdakwah dengan menggunakan ayat-ayat Allah. Berapa ramai orang bukan Islam telah masuk Islam kerana mendengar keindahan ayat-ayat Allah dalam Qur’an? Ini kerana terdapat mukjizat dalam ayat-ayat Allah yang dapat membuka hati manusia. Ingatlah bahawa dakwah Nabi Muhammad memang menggunakan Qur’an. Tapi kalau kita sendiri tidak belajar tafsir Qur’an, bagaimana kita boleh mengetahui kelebihannya? Bagaimana kita nak dakwah kepada manusia untuk mengenal dan masuk ke dalam agama Islam?


 

Ayat 17: Para Rasul itu tidak memaksa, hanya sampaikan sahaja.

وَما عَلَينا إِلَّا البَلٰغُ المُبينُ

Sahih International

And we are not responsible except for clear notification.”

Malay

“Dan tugas kami hanyalah menyampaikan perintah-perintahNya dengan cara yang jelas nyata”.

 

Tidaklah ada tugas kami kecuali tabligh (menyampaikan) yang nyata sahaja;

Yang dimaksudkan adalah menyampaikan ajaran tauhid. Kerana ajaran tauhid itu adalah ajaran yang jelas nyata. Senang sahaja untuk difahami kepada mereka yang membuka hatinya.

Tugas mereka adalah mengajar manusia supaya mereka jangan syirik kepada Allah. Semua Nabi akan beritahu perkara yang sama iaitu ajaran Tauhid. Perkara syariat mungkin tidak sama antara satu rasul dan rasul yang lain. Tapi perkara tauhid sentiasa sama dari dulu sampai sekarang.

Dan ajaran tauhid itu kena dijelaskan dengan jelas. Rasul-rasul diturunkan dari kalangan umatnya sendiri supaya mengajar dalam bahasa mereka sendiri. Dengan cara yang mudah untuk mereka fahami.

Dan mereka akan sampaikan semua sekali wahyu yang mereka terima. Tidak ada yang mereka simpan.

Cuma kelebihan para Rasul itu mereka diberikan dengan mukjizat. Contohnya mereka boleh sembuhkan penyakit kusta, sopak, buta, menghidupkan orang mati dan sebagainya. Mereka menunjukkan bukti kenabian mereka dengan mukjizat yang berbagai. Ini adalah kerana mereka menceritakan tentang perkara yang besar-besar dan kerana itu mereka dibekalkan dengan hujah yang kuat seperti mukjizat itu. Dan kepada Nabi Muhammad SAW, mukjizat yang terbesar sekali adalah keindahan Qur’an. Jadi walaupun kita tidak dapat lihat mukjizat-mukjizat para Rasul yang lain, kalau ada orang yang nak tengok mukjizat Nabi kita, kita boleh pergi ke almari rumah kita dan keluarkan dan tunjuk kepada orang yang bertanya. Hebat, bukan?

Apabila penduduk kota itu menolak mereka dan kurang ajar kepada mereka, maka mereka menegaskan bahawa tugas mereka hanya menyampaikan ajaran Allah sahaja. Dari segi bahasa, perkataan البلاغ bermaksud ‘menyampaikan dari satu tempat ke satu tempat yang lain’. Tugas mereka adalah menyampaikan ajaran Allah kepada umat mereka, dari Allah ke dalam hati manusia.

Sekarang, yang paling penting para pendakwah perlu lakukan adalah menyampaikan ajaran Qur’an kepada manusia. Itu adalah alat dakwah yang utama yang mesti digunakan oleh para pendakwah. Contohnya, sebelum kita menggunakan hadis sebagai hujah kita, perlulah kita gunakan Qur’an sebagai hujjah kita yang pertama. Tidak ada yang lebih menyentuh manusia daripada ayat-ayat Qur’an. Apabila mereka sudah terima Qur’an dan terima akidah, barulah dibawakan hadis untuk mengajar mereka dengan lebih mendalam lagi tentang agama.

Makna المبين adalah ‘jelas nyata’. Tujuan kita dalam menyampaikan dakwah adalah menyampaikan mesej yang jelas dan nyata. Bukan setakat menyampaikan sahaja. Untuk mencapainya, kita sudah ada ayat-ayat Qur’an yang memang sudah jelas dan nyata.

Ayat ini juga sebagai pujukan kepada Nabi. Walaupun puak-puak Quraish tidak mahu menerima, tapi Nabi Muhammad telah melakukan tugasnya dengan menyampaikan mesej dengan terang dan nyata. Bukan salah baginda mereka tidak dapat menerimanya. Baginda telah jalankan tugas baginda.


 

Ayat 18: Biasanya apabila penyebar tauhid datang dan ditolak oleh masyarakat, maka bala akan didatangkan kepada masyarakat itu. Kalau menolak, maka akan didatangkan bala umum, contohnya kemarau kepada penduduk tempat itu. Ini diberikan untuk merendahkan ego mereka yang terlalu tinggi. Kerana orang jadi sombong kerana hidup senang sangat.

Jadi, kerana penduduk Antokiah itu telah menolak tabligh dari Rasul-Rasul itu, mereka telah ditimpa dengan bala. Sepatutnya ia merendahkan ego mereka, tapi lihatlah apa yang mereka katakan kepada para Rasul itu.

قالوا إِنّا تَطَيَّرنا بِكُم ۖ لَئِن لَّم تَنتَهوا لَنَرجُمَنَّكُم وَلَيَمَسَّنَّكُم مِّنّا عَذابٌ أَليمٌ

Sahih International

They said, “Indeed, we consider you a bad omen. If you do not desist, we will surely stone you, and there will surely touch you, from us, a painful punishment.”

Malay

Penduduk bandar itu berkata pula: “Sesungguhnya kami ditimpa sial kerana kamu. Demi sesungguhnya, kalau kamu tidak berhenti, tentulah kami akan merejam kamu dan sudah tentu kamu akan merasai dari pihak kami azab seksa yang tidak terperi sakitnya”.

 

قَالُوا إِنَّا تَطَيَّرْنَا بِكُمْ

Mereka kata “kami ditimpa sial kerana kamu”.

Sial yang mereka maksudkan adalah tidak turun hujan dan sebagainya. Mereka kata para Rasul itulah yang membawa bala dan sial itu. Dulu tidak ada, tapi bila mereka datang, jadi pula kemarau itu. Memang ada kaum  yang sebegitu, menyalahkan para Rasul pula. Ayat ini semakna dengan apa yang disebutkan di dalam firman-Nya yang menceritakan perihal kaum Fir’aun:

{فَإِذَا جَاءَتْهُمُ الْحَسَنَةُ قَالُوا لَنَا هَذِهِ وَإِنْ تُصِبْهُمْ سَيِّئَةٌ يَطَّيَّرُوا بِمُوسَى وَمَنْ مَعَهُ أَلا إِنَّمَا طَائِرُهُمْ عِنْدَ اللَّهِ}

Kemudian apabila datang kepada mereka kemakmuran, mereka berkata, “Ini adalah kerana (usaha) kami.” Dan jika mereka ditimpa kesusahan, mereka lemparkan sebab kesialan itu kepada Musa dan orang-orang yang besertanya. Ketahuilah, sesungguhnya kesialan mereka itu adalah ketetapan dari Allah. (Al-A’raf: 131)

Perkataan تَطَيَّرْ diambil dari perkataan طَيَّرْ (tayr) yang bermaksud ‘burung’, ‘terbang’. Orang-orang jahiliyah selalu melepaskan burung untuk menilik nasib. Ia juga dikaitkan dengan kesialan. Ini adalah satu perkara khurafat. Tidak boleh dipegang langsung. Bagaimana boleh burung tahu tentang apa yang akan terjadi? Atau burung menyebabkan sial?

Jadi, apabila perkataan تَطَيَّرْنَا digunakan dalam ayat ini, ia menceritakan bagaimana penduduk kota itu merasakan bahawa pendakwah-pendakwah yang datang itu membawa sial kepada mereka. Memang sudah menjadi sunnatullah, jikalau umat menolak dakwah dari para Nabi, Allah akan menurunkan bala kepada mereka. Boleh jadi dalam bentuk kemarau, tanaman tidak tumbuh dan berbagai lagi kesusahan. Selalunya, orang yang tidak mahu menerima ajakan dakwah adalah kerana mereka sombong dengan kesenangan mereka. Maka, Allah akan menghilangkan kesenangan mereka itu untuk menurunkan ego mereka. Supaya mereka senang menerima dakwah, apabila ego mereka sudah tiada.

Dan ia juga sebagai penunjuk bahawa penyampai dakwah itu adalah benar dalam dakwah mereka. Sebagai contoh, kita boleh lihat dalam ayat dalam surah lain, bagaimana apabila Firaun menolak dakwah Nabi Musa, mereka telah dikenakan dengan berbagai-bagai bala. Maka, orang yang menggunakan akalnya, tentu berfikir yang mereka dikenakan bala kerana melawan utusan Allah.

Jadi, memang benar penduduk kota dalam ayat ini telah dikenakan dengan bala dari Allah. Itu tidak dinafikan. Tapi yang menjadi masalahnya, mereka meletakkan kesalahan itu salah tempat. Mereka menyalahkan pendakwah itu pula. Mereka kata pendakwah-pendakwah itulah yang membawa sial sampai mereka telah kena bala itu. Sepatutnya bala-bala itu mengingatkan mereka bahawa apa yang mereka lakukan itu salah dan mereka kena bertaubat dan menerima dakwah pendakwah-pendakwah itu. Tapi yang mereka lakukan adalah sebaliknya. Mereka bertambah menentang lagi.

Mereka ancam pula para Rasul itu.

لَئِن لَّمْ تَنتَهُوا

Jika kamu tidak berhenti;

Mereka suruh para Rasul itu berhenti dari menyeru mereka untuk mengesakan Allah dan menghina tuhan Rom; kerana mereka juga mempunyai agama yang sesat yang mereka amalkan. Mereka rasa, apabila tuhan mereka telah dihina, itulah sebabnya bala diturunkan kepada mereka. Mereka mahu pendakwah-pendakwah itu berhenti dari berdakwah.

 

لَنَرْجُمَنَّكُمْ

kami pasti akan rejam kamu.

Perkataan رجمَ bermaksud merejam dengan batu. Atau membuang sesuatu macam sampah. Dalam ayat itu, mereka ada letak huruf لَ bermaksud mereka pasti akan melakukannya.

 

وَلَيَمَسَّنَّكُم مِّنَّا عَذَابٌ أَلِيمٌ

Kami akan memberi kamu rasa azab yang pedih dari kami;

Mereka sudah beri ancaman bunuh kepada para Rasul itu. Dan mereka kata, sebelum mereka nak rejam sampai mati para Rasul itu, mereka nak kenakan siksa dulu iaitu nak pijak-pijak para Rasul itu ramai-ramai sampai patah tulang-tulang para Rasul itu.

Lihat juga apakah yang terjadi kepada Nabi Muhammad sendiri? Baginda telah pernah direjam dengan batu apabila baginda berdakwah ke Taif. Dan para-para sahabat baginda ada yang diseksa hingga ada yang dibunuh kerana mereka beriman dengan Nabi. Jadi Allah nak ingatkan kepada mereka yang ancaman dan dugaan seperti itu telah pernah terjadi zaman dulu lagi.


 

Ayat 19: Ini adalah jawapan para Rasul itu diatas dakwaan salah penduduk kota itu.

قالوا طٰئِرُكُم مَّعَكُم ۚ أَئِن ذُكِّرتُم ۚ بَل أَنتُم قَومٌ مُّسرِفونَ

Sahih International

They said, “Your omen is with yourselves. Is it because you were reminded? Rather, you are a transgressing people.”

Malay

Rasul-rasul itu menjawab: “Nahas dan malang kamu itu adalah disebabkan (kekufuran) yang ada pada kamu. Patutkah kerana kamu diberi peringatan (maka kamu mengancam kami dengan apa yang kamu katakan itu)? (Kamu bukanlah orang-orang yang mahu insaf) bahkan kamu adalah kaum pelampau”.

 

قَالُوا طَائِرُكُم مَّعَكُمْ

Rasul-rasul itu berkata: sial itu asalnya dari kamu;

Lihatlah bagaimana para Rasul itu tidak menidakkan bala yang diterima oleh penduduk bandar itu. Menunjukkan memang benar mereka kena bala. Tapi para Rasul itu mengingatkan bahawa sebab mereka ingkar tidak mahu terima tauhid itulah yang menyebabkan itulah Allah turunkan bala kepada mereka. Apabila para rasul itu berkata begini, maka mereka sepatutnya melihat apakah kesalahan mereka dan memperbetulkannya. Tapi tidak, mereka sebaliknya jadi lebih engkar lagi.

Nabi Muhammad pun ada kena macam ini juga. Mereka kata Nabi telah memecah-belahkan kaum Quraish kerana dakwah baginda. Maka mereka telah menyuruh Abu Talib untuk memujuk Nabi meninggalkan dakwahnya. Tapi Nabi menjawap: walaupun kalau mereka boleh meletakkan bulan di tangan kanan dan matahari di tangan kirinya, baginda tidak akan berhenti.

 

أَئِن ذُكِّرْتُم

(Adakah kamu sangka bala itu datang kerana kami) beri peringatan kepada kamu?

Para Rasul itu menegaskan yang bala musibah itu bukan sebab mereka beri tazkirah kepada penduduk bandar itu. Peringatan itu mengajak mereka buat perkara-perkara yang baik. Takkan sebab suruh buat perkara yang baik, boleh turun bala pula? Memang tidak patut betul tuduhan mereka itu.

Tapi sebab mereka engkar kepada peringatan itulah, yang menyebabkan bala itu turun kepada mereka. Ini adalah kerana mereka engkar kepada ajakan tauhid. Sepatutnya mereka mengambil peringatan yang diberikan oleh para Rasul itu dan mengamalkannya. Tapi mereka tidak buat begitu. Mereka sebaliknya menjadi semakin engkar.

 

بَلْ أَنتُمْ قَوْمٌ مُّسْرِفُونَ

Bahkan kamu adalah kaum yang melampau batas.

Kerana mereka buat syirik kepada Allah dengan sembah berhala. Selain daripada menyembah berhala, ada banyak lagi had yang mereka telah langgar. Tidak disebut dalam Qur’an apakah yang mereka telah lakukan. Kerana banyak kesalahan yang mereka lakukan. Dari ayat-ayat sebelum ini, kita tahu bahawa mereka tidak beriman dengan Allah, mereka telah menolak ajakan dakwah para Rasul itu. Mereka juga telah menyalahkan para Rasul itu apabila mereka telah ditimpa dengan bala. Itu adalah antara perbuatan-perbuatan مُسْرِفُ mereka yang kita boleh dapat dari ayat-ayat dalam surah Yaasin ini. Mungkin ada banyak lagi yang mereka telah buat.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.


Rujukan: 

Maulana Hadi

Ustaz Rosman

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 036: Yaasin. Bookmark the permalink.

One Response to Tafsir Surah Yaasin Ayat 13 – 19 (Kisah Tiga Rasul)

  1. Pingback: Tafsir Surah Yaasin Ayat 13 – 19

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s