Tafsir Surah Qaf Ayat 36 – 45 (Agama bukan paksaan)

Ayat 36: Ayat takhwif duniawi. Sebelum ini telah disebut tentang nikmat yang akan diperolehi oleh syurga. Sekarang ini adalah peringatan kepada manusia yang engkar.

وَكَم أَهلَكنا قَبلَهُم مِن قَرنٍ هُم أَشَدُّ مِنهُم بَطشًا فَنَقَّبوا فِي البِلادِ هَل مِن مَحيصٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And how many a generation before them did We destroy who were greater than them in [striking] power and had explored throughout the lands. Is there any place of escape?

(MELAYU)

Dan berapa banyaknya umat-umat yang telah Kami binasakan sebelum mereka yang mereka itu lebih besar kekuatannya daripada mereka ini, maka mereka (yang telah dibinasakan itu) telah pernah menjelajah di beberapa negeri. Adakah (mereka) mendapat tempat lari (dari kebinasaan)?

 

وَكَم أَهلَكنا قَبلَهُم مِن قَرنٍ

Dan berapa banyaknya umat-umat yang telah Kami binasakan sebelum mereka

Allah ingatkan kepada manusia yang Allah boleh kenakan azab semasa di dunia lagi, tak payah tunggu akhirat. Dan memang banyak sekali umat-umat penentang tauhid yang telah dibinasakan. Dan ada yang disebut dalam Qur’an. Maknanya bukan yang disebut dalam Qur’an itu sahaja yang dimusnahkan tapi banyak lagi.

 

هُم أَشَدُّ مِنهُم بَطشًا

yang mereka itu lebih besar kekuatannya daripada mereka ini,

Kaum-kaum yang dimusnahkan itu hebat-hebat belaka. Tapi kena hancur juga. Allah nak ingatkan kepada musyrikin Mekah itu yang ada lagi yang lebih kuat dari mereka yang telah dimusnahkan. Maka janganlah rasa yang mereka selamat. Kalau Allah dah buat keputusan nak hancurkan, Allah akan buat dan tidak hiraukan siapakah mereka.

Begitu jugalah dengan kita. Kena takut dengan azab Allah. Kerana Allah boleh sahaja nak kenakan azab kepada kita semasa kita di dunia ini lagi. Jangan rasa selamat sangat.

 

فَنَقَّبوا فِي البِلادِ

mereka (yang telah dibinasakan itu) telah pernah menjelajah di beberapa negeri.

Kaum yang dimusnahkan itu amat kuat sampaikan mereka telah pergi ke negara-negara lain dan telah menakluk negara-negara itu. Tak layak kalau nak dibandingkan dengan orang Mekah itu memang amat jauh sekali kerana orang Mekah itu tidak ada apa-apa. Jangan kata nak takluk negara lain, negara lain pun tidak teringin nak takluk Mekah kerana tidak ada apa-apa di situ. Kerajaan besar waktu itu adalah Rom dan Parsi tapi satu pun tidak buat usaha nak takluk Mekah.

Mereka yang telah dimusnahkan itu mahir menjelajah ke tempat-tempat lain dan bawa balik pengalaman dan pengetahuan ke tempat asal mereka. Dengan itu mereka dapat memajukan daerah masing-masing. Maka ini hendak menceritakan kemajuan yang didapati oleh mereka. Musyrikin Mekah itu memang bermusafir juga untuk berdagang, tapi tidaklah sebanyak kaum-kaum terdahulu itu.

Begitu hebat pun mereka, Allah boleh sahaja musnahkan. Maka jangan ada sesiapa yang sangka boleh selamat dengan kemajuan teknologi yang ada.

 

هَل مِن مَحيصٍ

Adakah (mereka) mendapat tempat lari?

Ada tempat larikah kalau Allah nak musnahkan? Adakah mereka dapat tempat perlindungan apabila Allah telah buat keputusan untuk menghancurkan mereka? Tentu tidak ada. Tidak ada peluang langsung walau betapa hebat pun mereka semasa di dunia.


 

Ayat 37:

إِنَّ في ذٰلِكَ لَذِكرىٰ لِمَن كانَ لَهُ قَلبٌ أَو أَلقَى السَّمعَ وَهُوَ شَهيدٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed in that is a reminder for whoever has a heart or who listens while he is present [in mind].

(MELAYU)

Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat peringatan bagi orang-orang yang mempunyai hati atau yang menggunakan pendengarannya, sedang dia menyaksikannya.

 

إِنَّ في ذٰلِكَ لَذِكرىٰ لِمَن كانَ لَهُ قَلبٌ

Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat peringatan bagi orang-orang yang mempunyai hati

Semua yang telah disebut sebelum ini adalah sebagai peringatan kepada mereka yang ada hati. Iaitu yang ada hati yang baik, yang apabila dia membaca ayat-ayat Qur’an ini akan menyentuh hati mereka. Ini adalah orang yang hatinya lembut dan senang untuk menerima kebenaran kerana hati mereka memang telah ke arah kerohanian. Mujahid mengatakan bahawa makna yang dimaksud ialah akal.

Itulah hati yang boleh faham dan kerana itu apabila mereka dengar wahyu, mereka boleh terus terima. Hati yang ada faheem (kefahaman). Begitulah kita boleh lihat ada orang yang apabila dengar sahaja tafsir beberapa ayat Qur’an, mereka terus berkeinginan untuk mempelajari tafsir keseluruhan Quran. Tapi ada yang telah berkali-kali dengar pengajian tafsir, tapi hati mereka masih tertutup.

 

أَو أَلقَى السَّمعَ

atau yang menggunakan pendengarannya,

Yang paling baik adalah hati yang lembut dan boleh terus terima ilmu wahyu. Tetapi ada juga tidak terus terima tapi sanggup mendengar dahulu apa yang disampaikan.  Ini juga ada manfaat kepada orang yang bersifat intelektual yang mahu mendengar dulu dan mahu luangkan masa untuk memikirkan.

Kesanggupan untuk mendengar amat penting untuk mendapat hidayah. Janganlah terus tolak, dengarlah dulu.

 

وَهُوَ شَهيدٌ

sedang dia menyaksikannya.

Dan kemudian setelah mendengar penjelasan dan dalil-dalil yang telah diberikan, mereka itu menjadi orang yang bersaksi dengan kebenaran. Kerana hujah yang diberikan adalah kuat dan boleh diterima akal. Iaitu dalam dia mendengar itu, hatinya pun juga hadhir bersama dan kerana itu dia dapat memahami. Ini penting kerana kalau setakat dengar sahaja tetapi hati tidak fokus, tidak dibuka, tentulah tidak dapat menerima dan faham.


 

Ayat 38: Ayat dalil aqli tentang tsabitnya akhirat.

وَلَقَد خَلَقنَا السَّماواتِ وَالأَرضَ وَما بَينَهُما في سِتَّةِ أَيّامٍ وَما مَسَّنا مِن لُّغوبٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We did certainly create the heavens and earth and what is between them in six days, and there touched Us no weariness.

(MELAYU)

Dan sesungguhnya telah Kami ciptakan langit dan bumi dan apa yang ada antara keduanya dalam enam masa, dan Kami sedikitpun tidak ditimpa keletihan.

 

وَلَقَد خَلَقنَا السَّماواتِ وَالأَرضَ وَما بَينَهُما في سِتَّةِ أَيّامٍ

Dan sesungguhnya telah Kami ciptakan langit dan bumi dan apa yang ada antara keduanya dalam enam masa,

Allah telah menjadikan langit dan bumi ini dalam enam masa. Berkali-kali keluar ayat sebegini dalam Qur’an. Kita tahu tahu apakah maksud ‘enam masa’ itu. Ini adalah rahsia Allah. Tapi Allah nak beritahu yang alam ini dialah yang menciptakan dari tidak ada kepada ada. Kalau Allah mampu menjadikan alam ini, tentulah Allah mampu untuk menghidupkan mereka kembali pada Hari Kiamat nanti.

{لَخَلْقُ السَّمَوَاتِ وَالأرْضِ أَكْبَرُ مِنْ خَلْقِ النَّاسِ}

Sesungguhnya penciptaan langit dan bumi lebih besar daripada penciptaan manusia. (Al-Mu’min: 57)

 

وَما مَسَّنا مِن لُّغوبٍ

dan Kami sedikitpun tidak ditimpa keletihan.

Dan Allah mengatakan yang Dia tidak rasa letih pun dalam menjadikan alam ini. Qudrat Allah amat kuat.

Allah sebut tentang perkara ini kerana menolak pemahaman Yahudi yang mengatakan setelah Allah mengambil masa enam hari untuk menjadikan alam ini, maka Allah penat dan kerana itu Allah berehat pada hari yang ketujuh iaitu hari Sabtu (hari kemuliaan mereka) dan ini adalah fahaman yang salah.

Maka kalau nak menjadikan alam ini pun sudah mudah untuk Allah, maka adakah susah untuk Allah membangkitkan semua makhluk yang telah mati? Tentu tidak. Nak jadikan dari tiada kepada ada tidak ada masalah, maka nak menghidupkan balik pun tiada masalah bagi Allah. Jadi jangan sangsilah kepada kebangkitan semula.


 

Ayat 39: Ayat tasliah kepada Nabi.

فَاصبِر عَلىٰ ما يَقولونَ وَسَبِّح بِحَمدِ رَبِّكَ قَبلَ طُلوعِ الشَّمسِ وَقَبلَ الغُروبِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So be patient, [O Muḥammad], over what they say and exalt [Allāh] with praise of your Lord before the rising of the sun and before its setting,

(MELAYU)

Maka bersabarlah kamu terhadap apa yang mereka katakan dan bertasbihlah sambil memuji Tuhanmu sebelum terbit matahari dan sebelum terbenam(nya).

 

فَاصبِر عَلىٰ ما يَقولونَ

Maka bersabarlah kamu terhadap apa yang mereka katakan

Allah beri pujukan kepada Nabi. Kerana apabila baginda berdakwah tauhid, ada sahaja yang menentang baginda. Mereka menggunakan berbagai-bagai cara dan kata-kata nista terhadap baginda. Maka tentulah baginda kesedihan. Tambahan pula yang menentang itu adalah kaum baginda, malah ada kerabat baginda yang paling dekat sekali iaitu bapa saudara baginda, Abu Lahab.

Allah pujuk baginda – Sabar sajalah dengan kata-kata penolakan mereka terhadap dakwah tauhid itu.

Begitu juga ayat ini ditujukan kepada para pendakwah tauhid dan sunnah sekarang pun. Kalau anda mula berdakwah dan mengajar, memang akan hadapi berbagai dugaan dari penentang. Mereka akan gunakan kata-kata yang tidak baik terhadap kita. Kerana mereka nak halang dakwah. Mereka nak lawan dengan hujah memang tidak boleh kerana mereka tidak ada hujah, maka mereka akan gunakan kata-kata kesat. Paling kurang mereka akan panggil kita ‘wahabi’.

Panggilan ‘wahabi’ itu adalah kata kutukan sahaja. Ianya seolah sudah sinonim dengan mereka yang hendak kepada sunnah. Tapi mereka yang menggunakan tuduhan ini pun selalunya tidak faham apakah wahabi itu sendiri. Mereka ikut sebut sahaja kerana ramai yang sebut begitu. Mereka itu memang jenis ikut sahaja kata orang sebelum periksa dan kerana itu mereka tidak ada ilmu.

Memang menyakitkan hati kalau kita yang hendak buat baik ini, hendak menyelamatkan umat dari kesalahan syirik dan bidaah, tapi kemudian dituduh macam-macam. Kadang-kadang ahli keluarga kita pun diganggu. Kalau ada salah sikit pun mereka akan kutuk. Mereka akan korek sana dan sini untuk tutup mulut pendakwah. Maka Allah nasihat dalam ayat ini – sabar sahajalah. Memang akan ada orang yang jahil dan busuk hati sebegitu.

 

وَسَبِّح بِحَمدِ رَبِّكَ قَبلَ طُلوعِ الشَّمسِ

dan bertasbihlah sambil memuji Tuhanmu sebelum terbit matahari

Ayat ini adalah sebelum diwajibkan solat tetapi Nabi Muhammad telah diberitahu ada waktu-waktu tertentu yang elok dilakukan Tasbih.

Sebelum ini Allah suruh bersabar. Dan untuk tenangkan diri, jangan fikirkan apa yang dikatakan oleh para penentang itu, tapi ubahlah fokus kepada perkara yang lebih penting – ibadah. Kerana kalau tidak diubah fokus kita, maka akan asyik teringat sahaja sampai tak boleh nak buat kerja lain. Maka lupakan tentang kata-kata mereka itu dan buat amal kebaikan.

 

وَقَبلَ الغُروبِ

dan sebelum terbenam

Allah ajar waktu-waktu penting untuk berzikir. Iaitu sebelum terbit matahari dan sebelum terbenam matahari.

Ada juga pendapat yang menggayakan tasbih yang dimaksudkan adalah Waktu Solat. Tersebutlah bahawa dahulu sebelum perjalanan Isra Mi’raj, solat yang difardukan hanya dua waktu, iaitu sebelum matahari terbit yang tepatnya jatuh pada waktu subuh sekarang, dan sebelum terbenamnya yang tepatnya jatuh pada waktu Solat Asar sekarang. Dan qiyamul lail atau solat malam pernah diwajibkan atas Nabi Saw. dan umatnya selama satu tahun, kemudian di-mansukh hukum wajibnya bagi umatnya (tidak bagi Nabi Saw.) Setelah itu semuanya itu di-mansukh oleh Allah Swt. di malam Isra Mi’raj dan diganti dengan solat lima waktu, yang di antaranya terdapat Solat Subuh dan Solat Asar, keduanya dilakukan sebelum matahari terbit dan sebelum tenggelamnya.

Pandangan yang mengatakan ‘tasbih’ yang dimaksudkan itu adalah Solat, dikuatkan dengan hadis Nabi:

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا وَكِيعٌ، حَدَّثَنَا إِسْمَاعِيلَ بْنِ أَبِي خَالِدٍ، عَنْ قَيْسِ بْنِ أَبِي حَازِمٍ، عَنْ جَرِيرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ: كُنَّا جُلُوسًا عِنْدَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَنَظَرَ إِلَى الْقَمَرِ لَيْلَةَ الْبَدْرِ فَقَالَ: “أَمَا إِنَّكُمْ سَتُعْرَضُونَ عَلَى رَبِّكُمْ فَتَرَوْنَهُ كَمَا تَرَوْنَ هَذَا الْقَمَرَ، لَا تُضَامُونَ فِيهِ، فَإِنِ اسْتَطَعْتُمْ أَلَّا تُغْلَبُوا عَلَى صَلَاةٍ قَبْلَ طُلُوعِ الشَّمْسِ وَقَبْلَ غُرُوبِهَا، فَافْعَلُوا” ثُمَّ قَرَأَ: {وَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ قَبْلَ طُلُوعِ الشَّمْسِ وَقَبْلَ الْغُرُوبِ}

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Waki’, telah menceritakan kepada kami Ismail ibnu Abu Khalid, dari Qais ibnu Hazim, dari Jarir ibnu Abdullah r.a. yang mengatakan bahawa ketika kami sedang duduk di sisi Nabi Saw., lalu baginda memandang ke arah bulan yang saat itu sedang purnama, kemudian baginda Saw. bersabda: Ingatlah, sesungguhnya kalian kelak akan dihadapkan kepada Tuhan kalian, maka kalian dapat melihat-Nya sebagaimana kalian melihat bulan ini, kalian tidak berdesak-desakan melihatNya. Maka jika kalian mampu untuk tidak meninggalkan solat sebelum matahari terbit dan sebelum tenggelamnya, hendaklah kalian mengerjakan(nya). Kemudian Nabi Saw. membaca firman Allah Swt.: dan bertasbihlah sambil memuji Tuhanmu sebelum terbit matahari dan sebelum terbenamnya. (Qaf: 39)

Imam Bukhari dan Imam Muslim serta jamaah lainnya telah meriwayatkan hadis ini melalui Ismail dengan sanad yang sama.


 

Ayat 40: Sambungan ayat sebelum ini.

وَمِنَ اللَّيلِ فَسَبِّحهُ وَأَدبارَ السُّجودِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [in part] of the night exalt Him and after prostration [i.e., prayer].

(MELAYU)

Dan bertasbihlah kamu kepada-Nya di malam hari dan setiap selesai sembahyang.

 

وَمِنَ اللَّيلِ فَسَبِّحهُ

Dan bertasbihlah kamu kepada-Nya di malam hari

Dan di waktu malam juga elok dilakukan tasbih.

Atau, kalau ia bermaksud solat, ia membawa maksud solat isyak.

 

وَأَدبارَ السُّجودِ

dan di belakang sujud.

Dan Allah mengajar doa di dalam solat. Kerana kalimat أَدبارَ السُّجودِ bermaksud  di hujung sujud. Waktu itu hendaklah membanyakkan tasbih dan kerana itu Nabi Muhammad mengajar tasbih kepada umatnya di dalam sujud. Waktu ini juga adalah waktu yang baik untuk berdoa kerana doa elok dilakukan di dalam solat sebelum salam. Kerana waktu itulah doa makbul. Bukannya di luar solat.

Ibnu Abu Nujaih telah meriwayatkan dari Mujahid, dari ibnu Abbas r.a., bahawa yang dimaksud adalah membaca tasbih sesudah solat. Hal ini diperkuat oleh hadis yang diriwayatkan di dalam kitab Sahihain,

dari Abu Hurairah r.a. yang telah menceritakan bahawa kaum fakir muhajirin datang kepada Rasulullah Saw.. lalu bertanya, “Wahai Rasulullah, orang-orang yang berharta telah pergi dengan memborong derajat yang tinggi dan kenikmatan yang abadi.” Maka Nabi Saw. balik bertanya, “Apa yang kalian maksudkan?” Mereka mengatakan, “Orang-orang yang hartawan itu solat seperti kami solat, mereka puasa seperti kami puasa; tetapi mereka dapat bersedekah, sedangkan kami tidak dapat bersedekah; dan mereka dapat memerdekakan budak, sedangkan kami tidak dapat memerdekakan budak.” Maka Rasulullah Saw. bersabda:

“أَفَلَا أُعَلِّمُكُمْ شَيْئًا إِذَا فَعَلْتُمُوهُ سَبَقْتُمْ مَنْ بَعْدَكُمْ، وَلَا يَكُونُ أَحَدٌ أَفْضَلَ مِنْكُمْ إِلَّا مَنْ فَعَلَ مِثْلَ مَا فَعَلْتُمْ؟ تُسَبِّحُونَ وَتُحَمِّدُونَ وَتُكَبِّرُونَ دُبُرَ كُلِّ صَلَاةٍ ثَلَاثًا وَثَلَاثِينَ”. قَالَ: فَقَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، سَمِعَ إِخْوَانُنَا أَهْلُ الْأَمْوَالِ بِمَا فَعَلْنَا، فَفَعَلُوا مِثْلَهُ. قَالَ: “ذَلِكَ فَضْلُ اللَّهِ يُؤْتِيهِ مَنْ يَشَاءُ”

Maukah kuajarkan kepada kalian suatu amalan yang apabila kalian mengerjakannya, niscaya kalian dapat mendahului orang-orang yang sesudah kalian, dan tiada seorang pun yang lebih utama dari kalian kecuali orang yang mengerjakan hal yang semisal dengan apa yang kalian kerjakan? Yaitu kalian bertasbih, bertahmid, dan bertakbir setiap selesai dari solat sebanyak tiga puluh tiga kali (masing-masingnya). Mereka berkata, “Wahai Rasulullah, saudara-saudara kami yang hartawan telah mendengar apa yang kami amalkan, maka mereka mengerjakan hal yang semisal dengan amal kami.” Maka Rasulullah Saw. menjawab: Itu adalah kurnia Allah, yang diberikan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.


 

Ayat 41:

وَاستَمِع يَومَ يُنادِ المُنادِ مِن مَّكانٍ قَريبٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And listen on the Day when the Caller¹ will call out from a place that is near –

  • An angel who will call out Allāh’s command for the Resurrection.

(MELAYU)

Dan dengarkanlah (seruan) pada hari penyeru (malaikat) menyeru dari tempat yang dekat.

 

Apabila Sangkakala tu dibunyikan, kita akan terasa seolah-olah dekat sangat pemanggil itu dengan kita. Dia akan rasa dekat kepada setiap orang. Panggilan itu akan menyebabkan seluruh makhluk yang telah mati bangkit semula.


 

Ayat 42:

يَومَ يَسمَعونَ الصَّيحَةَ بِالحَقِّ ۚ ذٰلِكَ يَومُ الخُروجِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

The Day they will hear the blast [of the Horn] in truth. That is the Day of Emergence [from the graves].

(MELAYU)

(Yaitu) pada hari mereka mendengar teriakan dengan sebenar-benarnya itulah hari keluar (dari kubur).

 

يَومَ يَسمَعونَ الصَّيحَةَ بِالحَقِّ

pada hari mereka mendengar teriakan dengan sebenar-benarnya

Manusia pasti akan mendengar petikan yang akan berlaku. Tempikan yang betul-betul berlaku. Ia adalah sesuatu yang amat menakutkan.

 

ذٰلِكَ يَومُ الخُروجِ

itulah hari keluar

Ini adalah sewaktu manusia dikeluarkan dari kubur masing-masing. Ianya adalah isyarat kepada hidup semula. Roh akan dimasukkan ke dalam tubuh makhluk yang telah mati dan kerana itu ia akan hidup kembali dari keluar dari kubur mereka. Bukanlah semua akan keluar dari kubur kerana ada orang yang mati tidak ada kubur seperti dimakan buaya dan sebagainya.


 

Ayat 43:

إِنّا نَحنُ نُحيي وَنُميتُ وَإِلَينَا المَصيرُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, it is We who give life and cause death, and to Us is the destination

(MELAYU)

Sesungguhnya Kami lah yang menghidupkan dan mematikan dan hanya kepada Kami-lah tempat kembali (semua makhluk).

 

إِنّا نَحنُ نُحيي وَنُميتُ

Sesungguhnya Kami lah yang menghidupkan dan mematikan

Allah mengingatkan manusia yang Dia lah sahaja yang menghidupkan manusia. Manusia itu dulu tidak ada tapi Allah yang menjadikannya.

Dan kemudian Allah akan mematikan makhluk. Semua makhluk yang pernah hidup akan dimatikan. Dan semua ini ditentukan dan dikawal oleh Allah sahaja. Tidak ada yang lain yang dapat melakukannya.

 

وَإِلَينَا المَصيرُ

dan hanya kepada Kami-lah tempat kembali

Kemudian kerana Allah sahaja yang menjadikan, maka Allah sahaja yang mampu untuk menghidupkan. Dan Allah pasti akan menghidupkan makhluk dan semua akan datang mengadapNya.

Kita semua akan hanya mengadap kepada Allah dan tidak kepada tuhan atau ilah yang lain. Maka kalau ada golongan yang sangka mereka akan bertemu dengan ilah mereka seperti Jesus, Buddha, malaikat yang mereka sembah, wali yang mereka puja dan sebagainya, itu adalah harapan palsu sahaja. Kerana mereka akan terus dihadapkan kepada Allah dan mereka kena jawap dengan Allah.

Ini menolak fahaman musyrikin yang rasa bahawa mereka akan dibawa kepada ilah-ilah sembahan mereka dan ilah-ilah mereka itu yang akan menjadi ‘peguam’ untuk mereka di hadapan Allah. Ini tidak akan berlaku.


 

Ayat 44:

يَومَ تَشَقَّقُ الأَرضُ عَنهُم سِراعًا ۚ ذٰلِكَ حَشرٌ عَلَينا يَسيرٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

On the Day the earth breaks away from them [and they emerge] rapidly; that is a gathering easy for Us.

(MELAYU)

(Yaitu) pada hari bumi terbelah-belah menampakkan mereka (lalu mereka ke luar) dengan cepat. Yang demikian itu adalah pengumpulan yang mudah bagi Kami.

 

يَومَ تَشَقَّقُ الأَرضُ عَنهُم سِراعًا

pada hari bumi terbelah-belah menampakkan mereka (lalu mereka ke luar) dengan cepat.

Apabila kiamat berlaku, bumi akan terpecah dan manusia akan keluar dari kubur masing-masing dalam keadaan kelam kabut.

 

ذٰلِكَ حَشرٌ عَلَينا يَسيرٌ

Yang demikian itu adalah pengumpulan yang mudah bagi Kami.

Kemudian manusia akan dikumpulkan di Mahsyar untuk dibicarakan. Senang sahaja bagi Allah untuk menjadikan hari itu: iaitu mengeluarkan seluruh manusia dari yang mula sekali hidup sampai yang akhir sekali mati sebelum kiamat. Senang sahaja Allah nak kumpulkan. Musyrikin Mekah dan mereka yang tidak percaya kepada kebangkitan semula dan Hari Kiamat gunakan logik akal mereka sahaja: macam manalah nak dikumpulkan semua makhluk itu? Mereka hendak memikirkan sesuatu yang di luar jangkauan akal mereka, memang lah tidak boleh. Kalau mereka yang kena kumpulkan makhluk, memanglah tidak boleh, nak kumpul anak-anak mereka pun susah. Tapi ianya mudah sahaja bagi Allah kerana Qudrat Allah itu amat luas. Ini seperti yang disebutkan di dalam firman-Nya:

{وَمَا أَمْرُنَا إِلا وَاحِدَةٌ كَلَمْحٍ بِالْبَصَرِ}

Dan perintah Kami hanyalah satu perkataan seperti kejapan mata. (Al-Qamar: 50)


 

Ayat 45: Ayat tasliah (pujukan).

نَحنُ أَعلَمُ بِما يَقولونَ ۖ وَما أَنتَ عَلَيهِم بِجَبّارٍ ۖ فَذَكِّر بِالقُرآنِ مَن يَخافُ وَعيدِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

We are most knowing of what they say, and you are not over them a tyrant.¹ But remind by the Qur’ān whoever fears My threat.

  • Forcing people to belief or submission.

(MELAYU)

Kami lebih mengetahui tentang apa yang mereka katakan, dan kamu sekali-kali bukanlah seorang pemaksa terhadap mereka. Maka beri peringatanlah dengan Al Quran orang yang takut dengan ancaman-Ku.

 

نَحنُ أَعلَمُ بِما يَقولونَ

Kami lebih mengetahui tentang apa yang mereka katakan,

Memang Nabi Muhammad dan para pendakwah semuanya menerima kutukan dan ejekan dari para penentang. Memang ianya amat menyakitkan hati. Bila difikir-fikirkan, sesak dada ini. Tambahan pula kalau yang mengutuk itu adalah saudara sendiri. Maka Allah nak beritahu dalam ayat ini yang Allah tahu apa yang mereka katakan itu. Inilah pujukan dari Allah. Bila kita tahu yang Allah sendiri tahu apa yang mereka katakan, apa yang kita alami dalam usaha dakwah ini, maka kuranglah sedikit perasaan sedih itu. Memang masih ada lagi, tapi Allah sendiri kata Dia tahu apa yang terjadi. Ayat ini semakna dengan apa yang disebutkan dalam firman-Nya:

{وَلَقَدْ نَعْلَمُ أَنَّكَ يَضِيقُ صَدْرُكَ بِمَا يَقُولُونَ فَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ وَكُنْ مِنَ السَّاجِدِينَ. وَاعْبُدْ رَبَّكَ حَتَّى يَأْتِيَكَ الْيَقِينُ}

Dan Kami sungguh-sungguh mengetahui bahawa dadamu menjadi sempit disebabkan apa yang mereka ucapkan, maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan jadilah kamu di antara orang-orang yang bersujud (solat) dan sembahlah Tuhanmu sampai datang kepadamu yang diyakini (ajal). (Al-Hijr: 97-99)

Macam kita mengadu dengan orang tentang masalah kita. Bila kita dah adu itu, bukankah ada rasa lega sikit? Sebab orang yang kita hormati tahu tentang masalah kita, kita rasa lega, bukan?

 

وَما أَنتَ عَلَيهِم بِجَبّارٍ

dan kamu sekali-kali bukanlah seorang pemaksa terhadap mereka.

Nabi Muhammad juga rasa bersalah kerana setelah baginda dakwah sekian lama dengna berbagai cara, masih ramai lagi yang tidak menerima malah menentang baginda. Jadi baginda risau, adakah salah cara dakwah baginda? Kenapa ramai yang menentang?

Maka Allah pujuk hati baginda dengan ayat ini. Bukan salah baginda dalam berdakwah. Memang baginda tidak dapat nak ubah hati manusia yang engkar. Allah memberi peringatan yang kita tidak ada kuasa untuk mengubah fikiran manusia. Kita memang tidak boleh memaksa orang untuk mengamalkan agama. Kerana kalau kita paksa dan mereka kena ikut, adakah mereka ikhlas dengan apa yang mereka lakukan itu? Maka ayat ini memberitahu yang apa yang kita boleh lakukan adalah sampaikan sahaja.

 

فَذَكِّر بِالقُرآنِ مَن يَخافُ وَعيدِ

Maka beri peringatanlah dengan Al Quran orang yang takut dengan ancaman-Ku.

Maka kita sampaikan sahaja, dengan membacakan ayat-ayat Qur’an dan tafsir ayat-ayat itu kepada manusia. Jangan bacakan sahaja kerana mereka tidak faham juga kalau kita tidak menjelaskan maknanya.

Ini mengajar kita yang dakwah kena dijalankan dengan menggunakan Qur’an. Allah tidak suruh pakai hadis, pakai syair, pakai lagu dan sebagainya, tapi Allah suruh ‘bacakan Qur’an’ kepada mereka. Malangnya dakwah menggunakan Qur’an ini jarang dilakukan. Manusia menggunakan berbagai-bagai cara untuk dakwah kepada manusia, tapi tidak gunakan pendekatan Qur’an. Ini amat malang. Sedangkan Allah suruh begitu dan Nabi Muhammad pun gunakan cara Qur’an ini.

Kita sampaikan sahaja kepada manusia kerana mungkin ada di antara mereka yang akan rasa takut setelah mendengar ayat-ayat Qur’an itu. Kerana Qur’an ini adalah mukjizat. Ia boleh membuka hati manusia kepada iman – kerana ia adalah Kalam Allah. Apabila kita bacakan kepada mereka ayat-ayat Qur’an dan kita jelaskan maknanya, kita tidak tahu mana satukah ayat yang akan menyentuh hati mereka. Ayat yang menyentuh hati kita mungkin lain dan kepada orang lain pun lain pula. Tapi yakinlah dengan mukjizat Qur’an ini. Bacakan sahaja kepada manusia dan terpulang kepada Allah nak bukakan hati mereka atau tidak. Kalau mereka ada inabah kepada kebenaran, maka tentu mereka akan dapat kebenaran itu.

Allahu a’lam. Sekian tafsir Surah Qaf ini.


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 050: Qaf. Bookmark the permalink.

One Response to Tafsir Surah Qaf Ayat 36 – 45 (Agama bukan paksaan)

  1. Pingback: Tafsir Surah Qaf Ayat 36 – 45 (Agama bukan paksaan)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s