Tafsir Surah Qaf Ayat 7 – 15 (Allah tidak letih)

Ayat 7: Dan ini pula adalah kajian yang boleh dijalankan oleh golongan geologist. Mereka boleh buat kajian tanah dan gunung ganang.

وَالأَرضَ مَدَدنٰها وَأَلقَينا فيها رَوٰسِيَ وَأَنبَتنا فيها مِن كُلِّ زَوجٍ بَهيجٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And the earth – We spread it out and cast therein firmly set mountains and made grow therein [something] of every beautiful kind,

(MELAYU)

Dan Kami hamparkan bumi itu dan Kami letakkan padanya gunung-gunung yang kukuh dan Kami tumbuhkan padanya segala macam tanaman yang indah dipandang mata,

 

وَالأَرضَ مَدَدنٰها

Dan Kami hamparkan bumi itu

Allah jadikan bumi ini luas mendatar. Tapi ini tidaklah bermakna yang bumi ini datar; bumi ini tetap bulat tapi kerana ianya amat luas, sampaikan pada pandangan mata kita, ianya nampak seperti datar sahaja.

Allah jadikan bumi ini datar bagi kita supaya senang kita hidup di atas muka bumi ini. Kalau melengkuk-lengkuk di sana sini, susah kita nak hidup. Walaupun ada banyak kawasan susah nak hidup, seperti lautan dan kawasan berbukit, tapi banyak kawasan yang boleh didiami oleh manusia. Allah jadikan mudah untuk kita hidup di atas muka bumi ini.

 

وَأَلقَينا فيها رَوٰسِيَ

dan Kami letakkan padanya gunung-gunung yang kukuh

Kita boleh lihat ada banyak gunung ganang di bumi ini. Kepada orang Arab yang mula-mula mendengar ayat ini dibacakan pun, mereka pun suka melihat kepada gunung ganang itu. Kerana mereka terpesona dengan keindahan dan kekukuhan gunung ganang itu.

Allah nak beritahu yang gunung ganang itu tidak terjadi sendiri tetapi Allahlah yang menjadikannya sebagai paku/pasak bagi bumi. Ini adalah kerana bumi kita ini di atas plat yang bergerak. Kalau tidak ada pasak, ia akan lagi laju bergerak dan susah untuk kita hidup. Maka Allah jadikan gunung sebagai pasak yang meneguhkan plat tempat kita tinggal ini.

 

وَأَنبَتنا فيها مِن كُلِّ زَوجٍ بَهيجٍ

dan Kami tumbuhkan padanya segala macam tanaman yang indah dipandang mata,

“Bahij” ertinya indah dipandang mata. Dan ini pula adalah bidang untuk botanist. Allah telah tumbuhkan segala jenis tumbuhan. Begitu banyak sekali spesis tumbuhan di alam ini, dan ada sahaja spesis baru yang timbul kerana perkahwinan antara spesis-spesis yang lain. Maka ianya amat menarik sekali kerana tumbuhan yang berbagai-bagai itu ada kelebihan-kelebihan tertentu dan keindahan bersangatan dengan warna-warna yang menarik.


 

Ayat 8:

تَبصِرَةً وَذِكرىٰ لِكُلِّ عَبدٍ مُّنيبٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Giving insight and a reminder for every servant who turns [to Allāh].

(MELAYU)

untuk menjadi pandangan dan peringatan bagi tiap-tiap hamba yang kembali (mengingat Allah).

 

Semua yang telah disebut itu adalah sebagai tanda-tanda untuk kita lihat. Iaitu kebenaran kepada berita akhirat dan azab di akhirat itu adalah benar. Kerana Allah boleh buat semua ini, bermakna Allah pasti mampu nak buat hari akhirat itu nanti.

Bukan sia-sia Allah jadikan alam ini tetapi ianya menjadi pengajaran yang boleh dilihat sendiri oleh manusia. Maka kita kena lihat alam ini untuk kita mengenal Tuhan. Tapi alam ini memang sentiasa kita nampak, bukan? Tapi kenapa ramai lagi yang masih tidak ambil pengajaran? Ini adalah kerana ‘pandangan’ yang dimaksudkan bukanlah pandangan mata fizikal, tapi dengan pandangan mata hati. Kalau buta mata hati, memang tidak nampak.

Dan sebagai peringatan kepada mereka yang mahu kembali kepada Allah. Orang yang hendak mengenal Tuhan itu, apabila mereka melihat alam ini ia akan memberi faedah kepada mereka. Iaitu mereka yang hendak kepada kebenaran dan hendak menjadi dekat dengan Tuhan. Kalau ada keinginan ini dalam hati manusia, maka manusia itu akan ditarik oleh Allah kepada kebenaran.

Kebenaran itu diberikan kepada semua orang tapi yang ada sifat inabah sahaja yang mahu terima. Dan majoriti dari manusia tidak mahu terima. Sebab itulah majoriti dari manusia bukan muslim. Ini kerana kebanyakan manusia tidak مُنيبٍ. Qur’an memang sudah sebut dah dari dulu lagi.

Jadi مُنيبٍ ini tidak semestinya bermaksud orang itu asalnya muslim. Kerana ramai dari agama lain yang masuk ke dalam Islam kerana mereka ada sifat inaabah ini. Walaupun mereka lahir agama lain, tapi ada keinginan dalam hati mereka kepada kebenaran, maka Allah akan tarik mereka kepada Islam.


 

Ayat 9:

وَنَزَّلنا مِنَ السَّماءِ ماءً مُّبٰرَكًا فَأَنبَتنا بِهِ جَنّٰتٍ وَحَبَّ الحَصيدِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We have sent down blessed rain from the sky and made grow thereby gardens and grain from the harvest

(MELAYU)

Dan Kami turunkan dari langit air yang banyak barakahnya lalu Kami tumbuhkan dengan air itu pohon-pohon dan biji-biji tanaman yang dituai,

 

وَنَزَّلنا مِنَ السَّماءِ ماءً مُّبٰرَكًا

Dan Kami turunkan dari langit air yang banyak barakahnya

Air hujan yang diturunkan oleh Allah itu mempunyai barakah kerana dengannya dapat mengeluarkan potensi daripada tanah itu. Kerana tanah memang telah ada potensi, tetapi ia tidak dapat mengeluarkan tumbuhan dengan sendiri. Maka Allah turunkan air hujan kerana dengannya dapat menjalankan proses fotosintesis untuk menjadikan tumbuh-tumbuhan. Lihatlah bagaimana air yang sama boleh menumbuhkan rumput yang rendah dan pokok cengal yang tinggi. Air yang sama melahirkan pokok yang berlainan rupa dan rasa juga berlainan. Inilah mubarakah. Ianya hanya datang dari Allah.

Memang kehidupan memerlukan air dan kerana itu kalau ada eksplorasi ke planet lain, saintis akan cari samada ada kesan air atau tidak di planet itu. Kerana kalau ada kesan air, maka itu menunjukkan ada kehidupan di planet itu.

 

فَأَنبَتنا بِهِ جَنّٰتٍ وَحَبَّ الحَصيدِ

lalu Kami tumbuhkan dengan air itu kebun-kebun dan biji-biji tanaman yang dituai,

Hebat tidak hebat air yang Allah turunkan itu, dengan satu jenis saja boleh menumbuhkan berbagai-bagai jenis tanaman. Ada tumbuhan yang mudah mati seperti gandum, dan ada yang boleh hidup beratus tahun.

Ada tanaman yang jenis biji-bijian yang kemudiannya dituai. Memang selalu dituai dan kena dituai apabila cukup tempohnya, ia akan mati. Selalunya dijadikan makanan ruji pada sesuatu tempat itu seperti beras kalau di Malaysia ini. Memang tumbuhan lain ada juga, tapi Allah sebut yang dituai kerana itulah yang banyak manusia makan. Tanaman macam epal ada juga, tapi tak semua orang makan epal. Tapi semua orang makan nasi dan gandum.


 

Ayat 10:

وَالنَّخلَ باسِقٰتٍ لَّها طَلعٌ نَّضيدٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And lofty palm trees having fruit arranged in layers –

(MELAYU)

dan pohon kurma yang tinggi-tinggi yang mempunyai mayang yang bersusun-susun,

 

Dan ada jenis tanaman seperti pohon kurma yang jenis naik tinggi. Dan ia bermayang-mayang, berpelepah-pelepah. Buahnya pula bergugus-gugus, setandan-setandan. Kalau di Malaysia, ini adalah seperti pokok kelapa.


 

Ayat 11:

رِزقًا لِّلعِبادِ ۖ وَأَحيَينا بِهِ بَلدَةً مَّيتًا ۚ كَذٰلِكَ الخُروجُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

As provision for the servants, and We have given life thereby to a dead land. Thus is the emergence [i.e., resurrection].

(MELAYU)

untuk menjadi rezeki bagi hamba-hamba (Kami), dan Kami hidupkan dengan air itu tanah yang mati (kering). Seperti itulah terjadinya kebangkitan.

 

رِزقًا لِّلعِبادِ

untuk menjadi rezeki bagi hamba-hamba

Segala yang telah disebut sebelum ini – air, tumbuhan, pokok – adalah rezeki yang Allah berikan kepada hamba-hambaNya. Ia adalah kurniaan dari Allah. Allah sahaja pemberi rezeki kepada makhluk.

 

وَأَحيَينا بِهِ بَلدَةً مَّيتًا

dan Kami hidupkan dengan air itu tanah yang mati

Kalau satu kawasan itu telah lama tidak dapat air, maka ia akan jadi gersang  – dan ini diibaratkan sebagai ‘tanah yang mati’. Tapi apabila Allah takdirkan hujan turun di kawasan itu, kehidupan kembali tumbuh. Maka dengan cara itu Allah dan menghidupkan tanah dan tumbuhan yang mati.

 

كَذٰلِكَ الخُروجُ

Seperti itulah terjadinya kebangkitan.

Allah beri penerangan tentang bagaimana tanah yang mati boleh dihidupkan kembali dengan air. Dan begitulah juga manusia akan dihidupkan apabila telah sampai hari kiamat. Bukanlah dengan air, tapi Allah hendak menunjukkan mudah sahaja Allah nak hidupkan kembali manusia ini – semudah Allah hidupkan tanah yang gersang itu kembali kepada kehidupan. Allah suruh lihatlah bagaimana Dia boleh jadikan benda yang telah mati boleh hidup kembali. Semua itu mudah sahaja bagi Allah untuk jadikan kerana Qudrat Allah Taala.

Ayat ini adalah Maksud Surah ini. Allah hendak beritahu yang senang sahaja Allah jadikan makhluk dan senang sahaja Allah nak hidupkan kembali dari kematian. Senang sahaja Allah nak keluarkan manusia dari kubur masing-masing. Tak perlulah fikirkan macam mana kerana akal kita tidak dapat nak mendalaminya. Tapi kalau Allah boleh jadikan makhluk dari tidak ada kepada ada, dan kemudian Allah boleh hidupkan tanah yang mati dengan air sahaja, maka kalau Allah nak hidupkan kita kembali pun senang sahaja – kerana dari kuasa yang sama. Maka kenapa tak boleh nak terima hakikat ini?


 

Ayat 12: Setelah diberikan dengan berbagai hujah dan dalil, tapi memang ramai manusia yang menentang wahyu. Ini adalah ayat takhwif duniawi. Sepatutnya manusia terima ajaran wahyu ini.

Tapi kalau mereka tidak terima, maka mereka kena ingat yang mereka bukan makhluk istimewa. Mereka tetap akan kena azab seperti kaum-kaum yang mereka sendiri pun tahu mereka telah kena azab.

كَذَّبَت قَبلَهُم قَومُ نوحٍ وَأَصحٰبُ الرَّسِّ وَثَمودُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

The people of Noah denied before them,¹ and the companions of the well² and Thamūd

  • i.e., before the disbelievers of Makkah.
  • See footnote to 25:38.

(MELAYU)

Sebelum mereka telah mendustakan (pula) kaum Nuh dan penduduk Rass dan Tsamud,

 

كَذَّبَت قَبلَهُم قَومُ نوحٍ

Sebelum mereka, telah mendustakan (pula) kaum Nuh

Bukan musyrikin Mekah sahaja yang menolak Rasul mereka, tetapi sebelum mereka itu pun telah ada kaum-kaum lain yang menolak Rasul-rasul mereka. Yang terkenal seperti kaum Nabi Nuh a.s. Jadi kamu orang Mekah bukanlah yang mula-mula sekali menolak.

 

وَأَصحٰبُ الرَّسِّ وَثَمودُ

dan penduduk Rass dan Tsamud,

Kalimah الرَّسِّ dari kata dasar ر س س yang bermaksud telaga dan selalu digunakan untuk telaga lama. Mereka adalah kaum yang menolak dakwah Rasul mereka dan mereka telah membunuh Rasul mereka dengan membuangnya ke dalam telaga. Dan kerana itu mereka digelar sebagai أَصحابُ الرَّسِّ (sahabat telaga). Ada pendapat yang mengatakan mereka itu adalah kaum Nabi Syuaib a.s.

Kaum Tsamud selalu disebut dalam Qur’an. Tempat tinggal mereka tidak jauh dari Arab Mekah iaitu di Syam dan kerana itu Arab Mekah kenal kaum Tsamud itu. Mereka pun tahu yang Kaum Tsamud itu dihancurkan kerana kesalahan mereka. Jadi Allah ingatkan balik kepada mereka supaya jangan jadi seperti Kaum Tsamud itu.


 

Ayat 13:

وَعادٌ وَفِرعَونُ وَإِخوٰنُ لوطٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And ‘Aad and Pharaoh and the brothers [i.e., people] of Lot

(MELAYU)

dan kaum Aad, kaum Fir’aun dan saudara Luth,

 

وَعادٌ وَفِرعَونُ

dan kaum Aad, kaum Fir’aun

Selepas Kaum Tsamud, kaum yang seterusnya adalah Kaum Aad dan Rasul mereka akan Nabi Hud a.s. Arab Mekah pun kenal mereka kawasan penempatan mereka tidak jauh dari Mekah iaitu di Yaman dan mereka melalui kawasan penempatan lama itu di dalam musafir mereka. Maka Allah cuma ingatkan balik sahaja.

Dan mereka juga kenal Firaun dan apa yang terjadi kepada Firaun dan kaumnya yang menentang Nabi Musa. Cuma kerana mereka hanya dengar-dengar sahaja kisah lama itu, maka maklumat tentang kisah Firaun itu tidak lengkap. Kerana itu banyak kisah Nabi Musa dan Firaun dalam Qur’an kerana hendak memberi maklumat sebenar tentang mereka.

 

وَإِخوٰنُ لوطٍ

dan saudara Luth,

Nabi Luth a.s. adalah anak saudara kepada Nabi Ibrahim a.s. Nabi Luth telah dihantar kepada Kaum Sadum/Sodom dan Al-Gur (Gomorah), iaitu mereka yang mengamalkan homoseksual (sodomi). Kerana Nabi Luth bukanlah dari kaum mereka, maka mereka hanya dikatakan sebagai ‘saudara Luth’ sahaja, bukan ‘Kaum Luth’.


 

Ayat 14: Ayat takhwif duniawi.

وَأَصحٰبُ الأَيكَةِ وَقَومُ تُبَّعٍ ۚ كُلٌّ كَذَّبَ الرُّسُلَ فَحَقَّ وَعيدِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And the companions of the thicket and the people of Tubba‘. All denied the messengers, so My threat was justly fulfilled.

(MELAYU)

dan penduduk Aikah serta kaum Tubba’ semuanya telah mendustakan rasul-rasul maka sudah semestinyalah mereka mendapat hukuman yang sudah diancamkan.

 

وَأَصحٰبُ الأَيكَةِ

dan penduduk Aikah

Yang dimaksudkan adalah penduduk Madyan. Rasul yang dihantar kepada mereka adalah Nabi Syu’aib a.s. Aikah maksudnya ‘Pokok besar’ sebab di kawasan itu ada pokok besar yang tumbuh.

 

وَقَومُ تُبَّعٍ

serta kaum Tubba’

Kaum Tubba’ ini berasal dari Yaman. Kisah mereka telah ada dalam Surah Dukhan jadi tidak perlu diulang di sini.

 

كُلٌّ كَذَّبَ الرُّسُلَ

semuanya telah mendustakan rasul-rasul

Mereka semuanya mengatakan rasul-rasul mereka sebagai pendusta jadi mereka tak terima dakwah dari para Rasul itu. Dan barang siapa yang mendustakan seorang rasul, maka seakan-akan sama saja dengan mendustakan semua rasul, seperti yang disebutkan dalam firman-Nya:

{كَذَّبَتْ قَوْمُ نُوحٍ الْمُرْسَلِينَ}

Kaum Nuh telah mendustakan para rasul. (Asy-Syu’ara: 105)

Padahal sesungguhnya yang datang kepada mereka hanyalah seorang rasul. Tetapi seandainya datang semua rasul kepada mereka, maka mereka akan bersikap sama, iaitu mendustakan semuanya. Oleh itu, mereka dikatakan telah mendustakan semua rasul-rasul.

 

فَحَقَّ وَعيدِ

sudah semestinyalah mereka mendapat hukuman yang sudah diancamkan.

Maka layaklah mereka dikenakan dengan azab yang Allah pernah janjikan kepada mereka. وَعيدِ adalah janji yang menakutkan dan kerana itu ia bukan janji yang biasa. Oleh kerana mereka itu telah menolak Rasul-rasul mereka yang mengatakan Rasul itu pendusta, maka layaklah mereka dikenakan dengan azab semasa di dunia lagi. Dan di akhirat mereka akan dikenakan dengan azab yang lebih teruk.

Jadi Allah nak ingatkan manusia, kalau mereka pun seperti kaum-kaum yang telah dimusnah itu, mereka pun boleh dikenakan dengan azab seperti kaum-kaum itu juga.


 

Ayat 15: Ayat Zajrun. Boleh jadi terlintas pada fikiran musyrikin Mekah itu yang Allah itu lemah. Mereka tak sangka Allah boleh buat kebangkitan semula kerana mereka kiaskan Allah dengan makhluk pula. Kerana kalau makhluk memanglah kalau dulu kuat, tapi bila dah tua, sudah tak buat apa. Tapi adakah Allah begitu? Takkan Allah nak disamakan dengna makhluk, maka Allah adakan ayat ini.

أَفَعَيِينا بِالخَلقِ الأَوَّلِ ۚ بَل هُم في لَبسٍ مِّن خَلقٍ جَديدٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Did We fail in the first creation? But they are in confusion over a new creation.

(MELAYU)

Maka apakah Kami letih dengan penciptaan yang pertama? Sebenarnya mereka dalam keadaan ragu-ragu tentang penciptaan yang baru.

 

أَفَعَيِينا بِالخَلقِ الأَوَّلِ

Maka apakah Kami letih dengan penciptaan yang pertama?

Adakah Allah rasa penat mencipta makhluk-makhluk yang awal seperti langit, bumi dan makhluk-makhluk yang dahulu? Adakah Allah dah lemah sebab dah kerahkan segala tenagaNya dulu kerana cipta manusia pada penciptaan yang pertama? Tentunya tidak kerana Allah berkuasa dan tidak letih dalam penciptaan. Kalau manusia memanglah ada penat. Tapi Allah bukan manusia.

Ini menolak akidah Bani Israil yang kata Allah penat dalam mencipta alam dan kerana itu pada hari ke tujuh (Sabtu), Allah berehat. Ini menghina Allah. Maka kalau Allah nak menjadikan makhluk pada mulanya tidak meletihkan Allah, maka kalau Allah nak mengembalikan semuanya kembali, itu lebih mudahlah sebenarnya bagi Allah, bukan? Seperti yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya:

{وَهُوَ الَّذِي يَبْدَأُ الْخَلْقَ ثُمَّ يُعِيدُهُ وَهُوَ أَهْوَنُ عَلَيْهِ}

Dan Dialah yang menciptakan (manusia) dari permulaan, kemudian mengembalikan (menghidupkan) nya kembali, dan menghidupkan kembali itu adalah lebih mudah. (Ar-Rum: 27)

 

بَل هُم في لَبسٍ مِّن خَلقٍ جَديدٍ

Sebenarnya mereka dalam keadaan ragu-ragu tentang penciptaan yang baru.

Mereka celaru sebenarnya. Digunakan kalimah لَبسٍ yang membawa maksud ‘misteri’. Asalnya ia bermakna ‘baju’. Tapi ada yang keliru kerana tak tahu mana tubuh dan mana baju. Juga bermaksud ada yang sembunyi apa yang ada di dalam baju itu.

Mereka hairan dan di dalam ragu-ragu bagaimana mereka akan menjadi kejadian yang baru. Ini adalah kerana mereka tidak ada kitab. Kerana itu ilmu tentang akhirat dan kebangkitan semula adalah benda asing bagi mereka.

Keraguan itulah yang menyebabkan keengkaran. Kerana itu apabila ada ragu-ragu, kena pelajari dan dekati perkara yang boleh hilangkan keraguan. Iaitu dengan dengar dan tadabbur wahyu ilahi berkali-kali. Maka kenalah belajar tafsir Qur’an supaya mampu nak tadabbur Qur’an ini.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 2 November 2017


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 050: Qaf. Bookmark the permalink.

One Response to Tafsir Surah Qaf Ayat 7 – 15 (Allah tidak letih)

  1. Pingback: Tafsir Surah Qaf Ayat 7 – 11 (Allah tidak letih)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s