Tafsir Surah Qaf Ayat 16 – 26 (Raqib Atid)

Ayat 16: Takhwif Ukhrawi. Dan Allah hendak memberitahu qudratNya.

وَلَقَد خَلَقنَا الإِنسانَ وَنَعلَمُ ما تُوَسوِسُ بِهِ نَفسُهُ ۖ وَنَحنُ أَقرَبُ إِلَيهِ مِن حَبلِ الوَريدِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We have already created man and know what his soul whispers to him, and We are closer¹ to him than [his] jugular vein

  • In absolute knowledge of everything about him. “We” has also been interpreted to mean the angels who are mentioned in the following verse.

(MELAYU)

Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya,

 

وَلَقَد خَلَقنَا الإِنسانَ

Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia

Allah yang telah menjadikan manusia dengan qudratNya. Semua insan berlainan rupa dan sifat. Tak pernah ada yang serupa. Paling hebat sekali, manusia yang mula dicipta dan terakhir dilahirkan, semua cap jari berlainan. Kalau yang kembar dan rupa serupa pun, cap jari mereka tak sama. Kita tidak tahu entah berapa banyaklah manusia yang telah dicipta dan yang akan dicipta. Memang hebat kuasa Allah dan tidak dapat dibayangkan.

 

وَنَعلَمُ ما تُوَسوِسُ بِهِ نَفسُهُ

dan Kami mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya,

Sudahlah Allah cipta insan itu, kemudian Allah tahu was-was yang ada dalam nafsu setiap manusia. Allah tahu apa yang dibisikkan oleh hati manusia.

Jadi ayat ini adalah tentang ilmu Allah. Amat Sempurna ilmu Allah. Kalau manusia boleh terima perkara ini, maka akan mudah untuk terima yang Allah boleh lakukan apa sahaja.

Mari kita bercakap tentang hati manusia pula. Dalam diri manusia ada hati, dan hati itu menjadi tempat perebutan antara ruh dan nafs. Qur’an mengajar kita yang kena ada sama rata antara ruh dan nafs itu. Kedua-dua nafsu dan ruh cuba untuk menarik perhatian hati supaya memberinya makan. Nafsu juga mahu makanan dan ada kehendaknya juga dan ia juga menarik perhatian hati.

Nafsu melakukan was-was dalam diri manusia dengan mengajak kepada benda-benda yang tidak baik. Kerana nafsu ada keinginan seperti keinginan untuk makan.

Makanan nafsu adalah dari dunia ini dan makanan ruh adalah dari wahyu. Diri yang seimbang akan memberikan keperluan nafsu dan ruh mengikut syariat. Kerana nafsu bukanlah untuk ditolak kehendaknya semua melainkan kena diberikan juga. Tapi kenalah sesuai dengan kehendak syariat. Tak semua boleh ikut.

Dan kehendak ruh juga perlu dipenuhi. Ruh mahukan pengisian dari wahyu. Maka kerana itu kita kena dapatkan dengan Qur’an kerana itulah makanan untuk ruh. Maka kena selalu baca Qur’an.

Jadi allah tahu apa yang dibisikkan dalam hati. Tapi lintasan dalam hati tidak dipersalahkan lagi. Di dalam hadis sahih disebutkan bahwa Rasulullah Saw. pernah bersabda:

“إِنَّ اللَّهَ تَجَاوَزَ لِأُمَّتِي مَا حَدَّثَتْ بِهِ أَنْفُسَهَا مَا لَمْ تَقُلْ أَوْ تَعْمَلْ”

Sesungguhnya Allah Swt. memaafkan terhadap umatku apa yang dibisikkan oleh hatinya selama dia tidak mengucapkannya atau mengerjakannya.

 

وَنَحنُ أَقرَبُ إِلَيهِ مِن حَبلِ الوَريدِ

dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya,

Dan Allah beritahu yang Dia lebih dekat dengan kita daripada urat leher kita sendiri. Disebut ‘urat leher’ kerana itulah benda yang paling rapat dengan manusia. Kalau putus urat leher maka akan matilah manusia.

Apakah maksudnya pada kita? Ini tentang  tingginya ilmu Allah. Allah tahu segala-galahnya tentang diri kita. Sebagaimana yang difirmankan oleh Allah Swt. dalam ayat lain sehubungan dengan orang yang sedang meregang nyawanya:

{وَنَحْنُ أَقْرَبُ إِلَيْهِ مِنْكُمْ وَلَكِنْ لَا تُبْصِرُونَ}

dan Kami lebih dekat kepadanya daripada kamu. Tetapi kamu tidak melihat. (Al-Waqi’ah: 85)

Tapi bukanlah ayat ini digunakan untuk membincangkan di manakah Allah: sama ada dalam diri kita ada Allah atau berada di mana-mana pula. Apabila Allah mengatakan yang Dia dekat dengan kita, bukanlah itu untuk memberitahu tentang keberadaan Allah kerana Allah tidak boleh dijelaskan dalam bentuk dimensi.

Satu pendapat mengatakan yang dekat itu adalah malaikat. Kerana walaupun Allah mengatakan ‘Kami’ tetapi yang dimaksudkan adalah para malaikat yang ditugaskan kepada manusia itu. Iaitu  sebagaimana pengertian yang terdapat di dalam firman-Nya:

{إِنَّا نَحْنُ نزلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ}

Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Qur’an dan sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya. (Al-Hijr: 9)

Para malaikatlah yang turun membawa wahyu Al-Qur’an dengan seizin Allah Swt. Demikian pula para malaikatlah yang lebih dekat kepada manusia daripada urat lehernya berkat kekuasaan Allah Swt. yang diberikan kepada mereka untuk hal tersebut. Maka malaikat itu mempunyai jalan masuk ke dalam manusia sebagaimana syaitan pun mempunyai jalan masuk ke dalam manusia melalui aliran darahnya, seperti yang telah diberitakan oleh Nabi Saw.

Kerana itulah maka disebutkan oleh firman-Nya dalam ayat seterusnya.


 

Ayat 17: Allah beritahu cara Dia rekod amalan manusia. Iaitu dengan mengarahkan malaikat seperti yang disebut dalam ayat sebelum ini.

إِذ يَتَلَقَّى المُتَلَقِّيانِ عَنِ اليَمينِ وَعَنِ الشِّمالِ قَعيدٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

When the two receivers [i.e., recording angels] receive,¹ seated on the right and on the left.

  • And record each word and deed.

(MELAYU)

(yaitu) ketika dua orang malaikat mencatat amal perbuatannya, seorang duduk di sebelah kanan dan yang lain duduk di sebelah kiri.

 

إِذ يَتَلَقَّى المُتَلَقِّيانِ

ketika dua orang malaikat mencatat amal perbuatannya,

Kalimah يَتَلَقَّى dari katadasar ل ق ي yang mempunyai 45 makna dalam bahasa Arab. Salah satunya bermaksud ‘menerima’. Diterjemahkan ayat ini bermaksud ‘yang menerima untuk menulis’. Yang dimaksudkan ada malaikat pencatit perbuatan kita. Ada dua malaikat yang ditugaskan untuk mencatit segala apa yang kita lakukan.

 

عَنِ اليَمينِ وَعَنِ الشِّمالِ قَعيدٌ

seorang duduk di sebelah kanan dan yang lain duduk di sebelah kiri.

Satu malaikat itu duduk di kanan kita dan satu lagi di kiri. Keduanya tidak akan pergi ke mana-mana lagi. Kalau amalan baik yang dilakukan, malaikat yang kanan akan tulis dan jika perbuatan itu buruk, ia akan direkod oleh malaikat yang di kiri. Setiap hari dan ketika, mereka akan tetap menulis. Tidak pernah tinggal satu pun dari perbuatan kita. Mereka tidak ada ambil cuti macam manusia.

Tujuan mereka tulis dan rekod adalah sebagai saksi.


 

Ayat 18:

ما يَلفِظُ مِن قَولٍ إِلّا لَدَيهِ رَقيبٌ عَتيدٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He [i.e., man] does not utter any word except that with him is an observer prepared [to record].

(MELAYU)

Tiada suatu ucapanpun yang diucapkannya melainkan ada di dekatnya malaikat pengawas yang selalu hadir.

 

Tidak ada apa-apa sahaja yang disebutkan oleh seorang manusia itu melainkan ada malaikat yang di sisinya yang sentiasa hadir untuk menuliskan apa yang disebut oleh manusia itu. Mereka sentiasa bersedia untuk menulis. Samada dosa atau pahala.

Allah nak beritahu yang sentiasa amalan kita diawasi dan direkod. Semoga kita jadikan segala perbuatan kita sebagai pahala untuk akhirat.

Bukanlah perkataan sahaja, tapi perbuatan pun akan ditulis juga. Dan sebenarnya dalam hati pun akan dikira juga. Tapi itu hanya Allah sahaja yang tahu. Malaikat penulis tidak tahu.

Ayat ini semakna dengan apa yang disebutkan oleh firman-Nya:

{وَإِنَّ عَلَيْكُمْ لَحَافِظِينَ كِرَامًا كَاتِبِينَ يَعْلَمُونَ مَا تَفْعَلُونَ}

Padahal sesungguhnya bagi kamu ada (malaikat-malaikat) yang mengawasi (pekerjaanmu), yang mulia (di sisi Allah) dan yang mencatat (pekerjaan-pekerjaanmu itu), mereka mengetahui apa yang kamu kerjakan. (Al-Infithar: 10-12)

Maka kenalah kita berhati-hati dengan perkataan yang kita keluarkan dan perbuatan yang kita lakukan. Semoga semua perbuatan kita membawa pahala dan bukannya dosa.

Nota: selalunya ramai yang sangka nama dua malaikat itu seorang Raqib dan seorang lagi Atid. Tapi kalau kita lihat dalam ayat ini dan pendapat yang lebih kuat, Raqib dan Atid bukanlah nama, tapi sifat. Allah hendak memberitahu sifat mereka. Pertama, kalimah رَقيبٌ dari katadasar ر ق ب yang bermaksud sentiasa memerhatikan. Dua malaikat ini melihat sahaja setiap kata, perbuatan yang kita lakukan.

Kedua, kalimah عَتيدٌ dari katadasar ع ت د yang bermaksud bersedia. Jadi عَتيدٌ adalah sifat dua malaikat itu yang sentiasa bersedia untuk menulis apa sahaja yang kita kata dan lakukan.


 

Ayat 19: Allah ceritakan tentang keadaan apabila sampai masa untuk mati. Jadi ayat ini mengingatkan kepada kematian. Ingatlah yang kita tetap akan mati. Ia pasti datang, cuma tidak tahu bila. Jadi banyak kali diingatkan kepada manusia tentang kematian. Pembaca Qur’an sentiasa akan diingatkan dengan nafi sampaikan tidak ada alasan untuk dia lupa.

وَجاءَت سَكرَةُ المَوتِ بِالحَقِّ ۖ ذٰلِكَ ما كُنتَ مِنهُ تَحيدُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And the intoxication of death will bring the truth; that is what you were trying to avoid.

(MELAYU)

Dan datanglah sakaratul maut dengan sebenar-benarnya. Itulah yang kamu selalu lari daripadanya.

 

وَجاءَت سَكرَةُ المَوتِ بِالحَقِّ

Dan datanglah sakaratul maut dengan sebenar-benarnya.

Maksudnya kesakitan mati. Kalimah سَكرَةُ dari katadasar س ك ر yang bermaksud ‘mabuk’. Ini adalah apabila datang sakitnya kematian itu, ketika roh hendak dikeluarkan dari tubuh kita, kita mengalami kesakitan yang amat sangat, sampaikan kita tidak sedar dengan keadaan sekeliling.

Nabi Muhammad pun mengalami sakaratul maut. Di dalam hadis sahih dari Nabi Saw. disebutkan bahawa ketika baginda Saw. mengalami sakaratul maut, maka baginda mengusap keringat dari wajahnya, kemudian bersabda:

“سُبْحَانَ اللَّهِ! إِنَّ لِلْمَوْتِ لَسَكَرَاتٍ”.

Mahasuci Allah, sesungguhnya kematian itu benar-benar mempunyai sakarat.

 

ذٰلِكَ ما كُنتَ مِنهُ تَحيدُ

Itulah yang kamu selalu lari daripadanya.

Inilah kalimat yang akan dikatakan kepada mereka pada waktu mereka sedang merasa sakaratul maut itu. Inilah yang kamu nak larikan diri darinya, tapi tidak boleh nak lari ke mana pun.

Biasalah semua orang takut mati. Kita elak dari kemalangan dan jaga kesihatan kita untuk panjangkan nyawa kita, bukan? Tapi mati itu tetap datang juga.

Malangnya ada yang mati dalam keadaan hati mereka sayang kepada dunia. Ini yang bahaya. Sebab kalau begitu mereka tidak buat persiapan untuk akhirat. Mereka itu ‘mati’ sebelum mati. Orang yang jenis sebegitu, tunggu mati sahaja untuk dimasukkan ke dalam neraka.


 

Ayat 20: Allah teruskan lagi tentang penceritaan hari akhirat. Allah nak beritahu yang apabila mati, tidak habis begitu sahaja.

وَنُفِخَ فِي الصّورِ ۚ ذٰلِكَ يَومُ الوَعيدِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And the Horn will be blown. That is the Day of [carrying out] the threat.

(MELAYU)

Dan ditiuplah sangkakala. Itulah hari terlaksananya ancaman.

 

وَنُفِخَ فِي الصّورِ

Dan ditiuplah sangkakala.

Dalam ayat sebelum ini Allah memberitahu tentang kematian individu dan sekarang Allah memberitahu tentang kematian seluruh kehidupan yang bernyawa. Iaitu apabila sangkakala ditiupkan. Sangkakala pertama menyebabkan keseluruhan makhluk dimatikan dan sangkakala kedua akan menghidupkan mereka kembali. Ayat ini adalah tentang tiupan sangkakala kedua iaitu apabila semua makhluk dihidupkan semula.

Di dalam sebuah hadis disebutkan bahawa Rasulullah Saw. pernah bersabda:

“كَيْفَ أَنْعَمُ وَصَاحِبُ الْقَرْنِ قَدِ الْتَقَمَ الْقَرْنَ وَحَنَى جَبْهَتَهُ، وَانْتَظَرَ أَنْ يُؤْذَنَ لَهُ”. قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ كَيْفَ نَقُولُ؟ قَالَ: “قُولُوا حَسْبُنَا اللَّهُ وَنِعْمَ الْوَكِيلُ”. فَقَالَ الْقَوْمُ: حَسْبُنَا اللَّهُ وَنِعْمَ الوكيل.

Bagaimana aku merasa senang, sedangkan pemegang sangkakala telah menempelkan sangkakalanya di mulutnya. Keningnya berkerut menunggu diperintahkan untuk meniupnya. Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah yang harus kami ucapkan?” Rasulullah Saw. menjawab: Ucapkanlah oleh kalian, “Hasbunallahu wani’mal wakil” (Cukuplah Allah Penolong kami, Dia adalah sebaik-baik pelindung). Maka para sahabat pun mengucapkan, “Hasbunallahu wani’mal wakil.”

 

ذٰلِكَ يَومُ الوَعيدِ

Itulah hari terlaksananya ancaman.

Itulah hari yang telah dijanjikan. Samada percaya atau tidak dengan kebangkitan semua semasa mereka hidup dulu, mereka kena terima juga. Walaupun tidak percaya, tapi ia tetap akan terjadi juga.

Maka akan terkejutlah dan takutlah mereka yang tidak percaya dulu. Kerana perkara yang mereka tidak percaya dulu benar-benar terjadi. Dan kerana mereka tidak percaya atau tidak yakin, mereka tidak buat persiapan untuk menghadapinya.


 

Ayat 21: Bagaimana keadaan waktu itu?

وَجاءَت كُلُّ نَفسٍ مَعَها سائِقٌ وَشَهيدٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And every soul will come, with it a driver and a witness.¹

  • i.e., one angel driving the soul to the Judgement and one to testify as to its deeds.

(MELAYU)

Dan datanglah tiap-tiap diri, bersama dengan dia seorang malaikat penggiring dan seorang malaikat penyaksi.

 

Setiap orang akan ada malaikat yang akan memandunya. Kalau orang itu adalah ahli  neraka, maka dia akan di tolak-tolak untuk cepat berjalan menuju ke Mahsyar dan kalau orang itu adalah ahli syurga, maka dia akan ada pengawal yang duduk bersama dengannya sebagai bodyguard dia.

Selain dari malaikat yang menjadi pemandu itu, malaikat yang menulis amal perbuatan manusia semasa dia hidup juga akan mengiringinya sebagai شَهيدٌ. Sebagai saksi.

Dan juga akan ditemani dengan amalannya yang disangkutkan ke lehernya.


 

Ayat 22: Nasib orang yang degil.

لَقَد كُنتَ في غَفلَةٍ مِّن هٰذا فَكَشَفنا عَنكَ غِطاءَكَ فَبَصَرُكَ اليَومَ حَديدٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[It will be said], “You were certainly in unmindfulness of this, and We have removed from you your cover,¹ so your sight, this Day, is sharp.”

  • Of heedlessness, or that which had sealed your hearing, your vision and your heart from guidance.

(MELAYU)

Sesungguhnya kamu berada dalam keadaan lalai dari (hal) ini, maka Kami singkapkan daripadamu tutup (yang menutupi) matamu, maka penglihatanmu pada hari itu amat tajam.

 

لَقَد كُنتَ في غَفلَةٍ مِّن هٰذا

Sesungguhnya kamu berada dalam keadaan lalai dari (hal) ini,

Ini adalah kata-kata penghinaan kepada mereka yang lalai dengan akhirat. Ini adalah sebagai azab emosi. Kerana mereka waktu itu sudah menyesal dah tapi ditambah penyesalan mereka itu dengan kata-kata malaikat itu. Mereka sengaja melupakan akhirat buat tidak tahu atau tidak ingin mengetahui.

Kerana tidak mementingkan akhirat maka mereka lalai leka dengan kehidupan dunia. Kalau mereka sedar, tentunya mereka akan belajar wahyu Allah dan membuat persediaan untuk akhirat dengan melakukan amal yang baik. Dan mereka akan belajar agama dengan benar, dimulai dengan belajar tafsir Qur’an. Kerana in sha Allah kalau mari belajar, itu adalah tanda orang itu akan selamat. Maka kena belajar dan sampaikan kepada orang lain. Barulah tidak ghaflah.

 

فَكَشَفنا عَنكَ غِطاءَكَ

maka Kami singkapkan daripadamu penutupmu

Penutup yang dimaksudkan adalah penutup mata. Dan sekarang Allah mengangkat penutup mata manusia dari melihat perkara ghaib. Kita sekarang tidak dapat melihat alam ghaib kerana ada penutup pada mata kita tetapi nanti apabila akhirat bermula, penutup itu akan diangkat. Sampaikan ada yang boleh melihat Allah.

Kepada mereka yang menolak wujudnya akhirat, waktu itu mereka akan terbungkam kerana apa yang mereka tolak dulu sekarang berada di depan mata mereka.

 

فَبَصَرُكَ اليَومَ حَديدٌ

maka penglihatanmu pada hari itu amat tajam.

Pandangan akan jadi jelas kerana sudah tidak ada penutup. Tak boleh nafikan  lagi akhirat itu kerana sudah ada di depan mata.

Dalam ayat lain disebutkan oleh firman-Nya:

{أَسْمِعْ بِهِمْ وَأَبْصِرْ يَوْمَ يَأْتُونَنَا}

Alangkah terangnya pendengaran mereka dan alangkah tajamnya penglihatan mereka pada hari mereka datang kepada Kami. (Maryam: 38)

Masa dunia memang kamu tolak tapi nanti di akhirat memang dah tak boleh nak tolak lagi dah kerana dah nampak depan mata. Tapi kalau di akhirat baru nampak, tidak ada gunanya dah. Lihatlah firman Allah Swt.:

{وَلَوْ تَرَى إِذِ الْمُجْرِمُونَ نَاكِسُو رُءُوسِهِمْ عِنْدَ رَبِّهِمْ رَبَّنَا أَبْصَرْنَا وَسَمِعْنَا فَارْجِعْنَا نَعْمَلْ صَالِحًا إِنَّا مُوقِنُونَ}

Dan (alangkah ngerinya), jika sekiranya kamu melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhannya, (mereka berkata), “Ya Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar, maka kembalikanlah kami (ke dunia), kami akan mengerjakan amal saleh, sesungguhnya kami adalah orang-orang yang yakin.” (As-Sajdah: 12)

Maka kita dapat lihat bagaimana banyak ayat tentang akhirat kerana nak ingatkan manusia. Tapi kalau tak baca Qur’an, macam mana nak ingat?


 

Ayat 23:

وَقالَ قَرينُهُ هٰذا ما لَدَيَّ عَتيدٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And his companion, [the angel], will say, “This [record] is what is with me, prepared.”

(MELAYU)

Dan yang menyertai dia berkata: “Inilah (catatan amalnya) yang tersedia pada sisiku”.

 

Semua manusia ada Qarin yang bersamanya. Ada Qarin dari kalangan malaikat dan ada Qarin dari kalangan jin.  Qarin makakah yang dimaksudkan di dalam ayat ini? Qarin yang dimaksudkan di dalam ayat ini adalah malaikat yang sentiasa duduk bersamanya yang mencatatkan segala amalannya. Maka pada hari akhirat nanti, Qarin itu akan mengeluarkan catatan amal orang itu.


 

Ayat 24:

أَلقِيا في جَهَنَّمَ كُلَّ كَفّارٍ عَنيدٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Allāh will say], “Throw into Hell every obstinate disbeliever,

(MELAYU)

Allah berfirman: “Lemparkanlah olehmu berdua ke dalam neraka semua orang yang sangat ingkar dan keras kepala,

 

Kita telah beritahu bahawa setiap manusia ada Qarin dari kalangan jin yang hidup bersamanya dari kecil lagi. Qarin itu akan membisikkan perkara-perkara yang tidak bai dan jauh dari agama. Kalau manusia itu ikut bisikan Qarin itu, maka manusia itu dan Qarinya sekali akan dihumban bersama-sama ke dalam neraka.

عَنيدٍ bermaksud lelaki degil dan menentang kebenaran. Apabila diajar kepada kebenaran, mereka akan tolak dan mereka menentang kebenaran itu. Kalau ada orang yang berdakwah, merekalah yang tolak dan mereka beri macam-macam perkataan buruk terhadap pendakwah itu.


 

Ayat 25:

مَنّاعٍ لِلخَيرِ مُعتَدٍ مُريبٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Preventer of good, aggressor, and doubter,

(MELAYU)

yang sangat menghalangi kebajikan, melanggar batas lagi ragu-ragu,

 

مَنّاعٍ لِلخَيرِ

yang sangat menghalangi kebajikan,

Qarin dari golongan jin itu akan sentiasa membisikkan perkara buruk kepada manusia itu untuk melalaikan dari melakukan ibadah dan kebaikan. Mereka akan bisikkan perkara-perkara yang berlanggaran dari agama.

Dan orang yang telah mendengar kata-kata Qarin, mereka pula kemudiannya menjadi orang yang menghalang orang lain dari melakukan kebaikan. Mereka juga menghalang orang lain dari belajar wahyu dan mengamalkan agama. Kita boleh lihat perkara ini kerana ada orang yang tidak suka kalau ahli keluarga mereka tutup aurat dan jika ada ahli keluarganya yang mahu belajar agama atau belajar tafsir Qur’an. Mereka akan perli, kutuk dan larang orang itu dari belajar.

 

مُعتَدٍ مُريبٍ

melanggar batas lagi ragu-ragu,

Mereka itu sentiasa dalam ragu-ragu dan menyebabkan orang lain pun ragu-ragu juga dengan kata-kata mereka. Jadi bukan sahaja mereka ragu-ragu dengan agama dan wahyu, tapi mereka penyebab kepada orang lain pun ragu-ragu dengan agama. Ini adalah kerana kata-kata mereka telah dimakan oleh orang lain.


 

Ayat 26:

الَّذي جَعَلَ مَعَ اللهِ إِلٰهًا آخَرَ فَأَلقِياهُ فِي العَذابِ الشَّديدِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Who made [as equal] with Allāh another deity; then throw him into the severe punishment.”

(MELAYU)

yang menyembah sembahan yang lain beserta Allah maka lemparkanlah dia ke dalam seksaan yang sangat”.

 

الَّذي جَعَلَ مَعَ اللهِ إِلٰهًا آخَرَ

yang menjadikan sembahan yang lain beserta Allah

Dan yang paling teruk sekali dia menjadikan ilah-lain yang dipuja bersama dengan Allah. Mereka seru dan puja Allah, tapi dalam masa yang sama mereka puja ilah-lah lain, mereka seru ilah lain dalam doa. Iaitu para Nabi, wali dan malaikat.

Ini paling teruk sekali kerana mereka telah melakukan syirik. Ini terjadi kerana mereka jauh dari ajaran wahyu. Kerana ajaran tauhid dan syirik ada dalam wahyu. Dan kalau jauh dari wahyu, memang syaitan akan hasut mereka untuk buat perkara syirik. Sebab itu kita katakan, sesiapa yang tidak ada ilmu wahyu Qur’an, tidak akan masuk syurga. Kerana syaitan akan ambil kesempatan atas kejahilan itu untuk hasut mereka buat syirik.

 

فَأَلقِياهُ فِي العَذابِ الشَّديدِ

maka lemparkanlah dia ke dalam seksaan yang sangat”.

Maka natijahnya mereka akan dicampakkan ke dalam api neraka yang sangat teruk. Azab seksa di dalamnya tidak dapat dibayangkan. Mereka tidak akan tahan untuk menerimanya. Semoga kita dijauhkan dari azab neraka itu. Aameen.

Satu tafsiran mengatakan yang mencampakkan itu adalah malaikat yang bersama dengan orang itu iaitu seorang akan pegang kepala dan seorang lagi akan pegang kakinya. Ini seperti isyarat yang ada di dalam Rahman:41

فَيُؤخَذُ بِالنَّواصي وَالأَقدامِ

lalu dipegang ubun-ubun dan kaki mereka.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 050: Qaf. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s