Tafsir Surah al-Hujurat Ayat 9 – 11 (Berhati-hati dengan nickname)

Ayat 9: Ini adalah undang-undang ke empat. Ini adalah apabila umat Islam berbalah sesama sendiri. Dalam ayat ini, digunakan kalimah ‘perang’ kerana kalau beri salah maklumat dan sampaikan maklumat salah kepada orang lain (rujuk ayat tentang tabayyun dalam ayat 6), ia boleh sampai boleh menyebabkan terjadi perang. Itulah bahayanya kalau kalau beri salah maklumat dan tidak berhati-hati dengan maklumat yang diterima. Asalnya kata mengata sahaja, tapi lama kelamaan kalau teruk sangat, boleh jadi perang.

Dalam golongan mukmin pun boleh terjadi perkara ini kerana mereka juga manusia. Jadi Allah ajar cara untuk mendamaikan.

وَإِن طائِفَتانِ مِنَ المُؤمِنينَ اقتَتَلوا فَأَصلِحوا بَينَهُما ۖ فَإِن بَغَت إِحداهُما عَلَى الأُخرىٰ فَقاتِلُوا الَّتي تَبغي حَتّىٰ تَفيءَ إِلىٰ أَمرِ اللهِ ۚ فَإِن فاءَت فَأَصلِحوا بَينَهُما بِالعَدلِ وَأَقسِطوا ۖ إِنَّ اللهَ يُحِبُّ المُقسِطينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And if two factions among the believers should fight, then make settlement between the two. But if one of them oppresses the other, then fight against the one that oppresses until it returns to the ordinance of Allāh. And if it returns, then make settlement between them in justice and act justly. Indeed, Allāh loves those who act justly.

(MELAYU)

Dan kalau ada dua golongan dari mereka yang beriman itu berperang hendaklah kamu damaikan antara keduanya! Tapi kalau yang satu melanggar perjanjian terhadap yang lain, hendaklah yang melanggar perjanjian itu kamu perangi sampai surut kembali pada perintah Allah. Kalau dia telah surut, damaikanlah antara keduanya menurut keadilan, dan hendaklah kamu berlaku adil; sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berlaku adil.

 

وَإِن طائِفَتانِ مِنَ المُؤمِنينَ اقتَتَلوا

Dan kalau ada dua golongan dari mereka yang beriman itu berperang

Dua kumpulan yang Allah kata dua-duanya beriman. Ini bukan antara golongan mukmin dan munafik kerana kalau peperangan antara mukmin dan tidak, memang biasa. Ini mengajar kita yang kalau golongan mukminin pun boleh jadi berperang sesama mereka. Entah dimana silapnya, sampai mereka boleh berbunuhan sesama mereka. Allah tak suka kalau sesama muslim berperang kerana ia seperti melawan diri sendiri kerana muslim lain adalah cermin diri kita. Kita ini seumpama satu badan. Tapi kalau terjadi juga, Allah ajar bagaimana untuk menanganinya.

Memang tidak mustahil kalau orang mukmin berperang sesama sendiri. Di dalam kitab Sahih Bukhari melalui hadis Al-Hasan, dari Abu Bakrah r.a. ada mengatakan:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَطَبَ يَوْمًا وَمَعَهُ عَلَى الْمِنْبَرِ الْحَسَنُ بْنُ عَلِيٍّ، فَجَعَلَ يَنْظُرُ إِلَيْهِ مَرَّةً وَإِلَى النَّاسِ أُخْرَى وَيَقُولُ: “إِنَّ ابْنِي هَذَا سَيِّدٌ وَلَعَلَّ اللَّهَ أَنْ يُصْلِحَ بِهِ بَيْنَ فِئَتَيْنِ عَظِيمَتَيْنِ مِنَ الْمُسْلِمِينَ”

pada suatu hari Rasulullah Saw. berkhutbah di atas mimbarnya, sedangkan baginda membawa Al-Hasan ibnu Ali r.a. Lalu baginda sesekali dan memandang ke arah cucunya itu, dan pada kesempatan lain memandang ke arah orang-orang, lalu baginda bersabda: Sesungguhnya anak (cucu)ku ini adalah seorang pemimpin, mudah-mudahan dengan melaluinya Allah mendamaikan di antara dua golongan besar kaum muslim (yang berperang).

Ternyata kejadiannya memang terjadi seperti apa yang dikatakan oleh Nabi Saw. iaitu sesudah baginda tiada. Allah Swt. melalui Al-Hasan telah mendamaikan antara penduduk Syam dan penduduk Irak sesudah kedua belah pihak terlibat dalam peperangan yang panjang lagi sangat mengerikan.

 

فَأَصلِحوا بَينَهُما

hendaklah kamu damaikan antara keduanya!

Maka kena ada pihak ketiga yang jadi orang tengah untuk damaikan antara mereka. Iaitu pihak ketiga yang tidak terlibat. Pihak ketiga itu mestilah jangan berat sebelah tapi kena duduk atas pagar. Pihak ketiga ini kena ajak kepada dua puak mukmin yang berperang itu untuk mengadakan gencatan senjata. Kena bawa mereka duduk berbincang.

Kalau sudah berperang, mesti ada yang betul dan salah, atau sekurang-kurangnya ada pihak yang lebih benar. Maka kena lihat kesemua fakta sekali dan kena kaji manakah kedudukan yang benar. Bantulah kedua-dua pihak kerana Rasulullah Saw. pernah bersabda:

“انْصُرْ أَخَاكَ ظَالِمًا أَوْ مَظْلُومًا”. قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، هَذَا نَصَرْتُهُ مَظْلُومًا فَكَيْفَ أَنْصُرُهُ ظَالِمًا؟ قَالَ: “تَمْنَعُهُ مِنَ الظُّلْمَ، فَذَاكَ نَصْرُكَ إِيَّاهُ”

Tolonglah saudaramu, baik dalam keadaan aniaya atau teraniaya. Aku bertanya, “Wahai Rasulullah, kalau dia teraniaya, aku pasti menolongnya. Tetapi bagaimana aku menolongnya jika dia aniaya?” Rasulullah Saw. menjawab: Engkau cegah dia dari perbuatan aniaya, itulah cara engkau menolongnya.

 

فَإِن بَغَت إِحداهُما عَلَى الأُخرىٰ

Tapi kalau yang satu melanggar perjanjian terhadap yang lain,

Tapi kalau ada yang pihak yang melakukan kesalahan yang terlebih, maka itu tidak patut. Tadi telah disebut yang mereka berdua kena ada gencatan senjata. Dan apabila sudah berdamai, mungkin ada pihak yang nak berperang balik. Bila ini terjadi, semua yang asalnya tidak terlibat, kena lawan pihak yang terlebih itu.

 

فَقاتِلُوا الَّتي تَبغي

hendaklah yang melanggar perjanjian itu kamu perangi

Mereka kena diperangi kerana mereka dah pecahkan perdamaian yang telah diadakan. Semua pihak kena perangi mereka termasuk pendamai yang asal pun kena terlibat. Asalnya dia tidak terlibat kerana dia pihak yang ada di tengah.

Atau, ayat ini boleh bermaksud, selepas pihak ketiga melihat kedudukan sebenar kenapa terjadi peperangan itu, maka akan nampak mana yang benar dan mana telah melakukan kezaliman. Maka boleh perangi pihak yang zalim itu sampai dia berhenti melakukan kezaliman.

 

حَتّىٰ تَفيءَ إِلىٰ أَمرِ اللهِ

sampai kembali pada perintah Allah.

Maka umat Islam yang lain kena perangi mereka sehingga mereka kembali kepada arahan Allah. Iaitu arahan Allah untuk berdamai. Kerana orang mukmin sebenarnya tidak boleh berperang sesama mukmin. Kerana perdamaian sesama muslim adalah arahan Allah dan sesiapa yang melanggar perdamaian telah langgar perintah Allah.

 

فَإِن فاءَت فَأَصلِحوا بَينَهُما بِالعَدلِ وَأَقسِطوا

Kalau dia telah surut, damaikanlah antara keduanya menurut keadilan, dan hendaklah kamu berlaku adil;

Kemudian, apabila sudah diperangi dan pihak yang melampau itu telah bersetuju untuk ikut cakap, sudah mahu kembali berdamai, maka damaikanlah antara mereka.

Semua perkara ini kena dibuat dengan adil. ‘Adil’ itu maksudnya, kena ikut syariat. Maka kena cari maklumat mana yang sahih. Semua pihak kena ikut syariat, jadi kena tahulah ilmu wahyu, baru tahu apa yang kena dilakukan. Ada penekanan tentang adil dalam ayat ini kerana tentu ada pihak yang sudah marah dengan pihak yang telah pecahkan perdamaian asal. Maka Allah ingatkan, mereka itu telah mahu berdamai kembali, maka kenalah layan mereka. Jangan panjang-panjangkan lagi. Jangan berat berat pula.

Allah sebut عَدلِ dan قسط dalam satu ayat ini. Selalunya, maksud keduanya lebih kurang sama sahaja. Tapi bila dah diletakkan sekali dalam satu ayat, maka tentu maknanya ada beza antara keduanya. Maka kita kena cari apakah perbezaan itu.

Kalimah عَدلِ bermaksud keadilan secara terbuka. Kerana ia dilakukan secara formal, iaitu rakyat yang ramai sudah nampak. Ini kerana perdamaian kali kedua kena dilakukan di khalayak ramai kerana mereka yang melampau itu sudah tidak boleh dipercayai kalau buat perdamaian secara tertutup. Kali pertama dulu bolehlah buat secara rahsia kerana kita nak jaga nama mereka. Tapi bila dah pecahkan perdamaian yang kali pertama, maka mereka tidak boleh diberikan muka lagi.

قسط pula boleh bermaksud keadilan dalam bentuk umum dan peribadi. Iaitu adil dalam segala hal kehidupan. Hal-hal keluarga pun termasuk juga. Ini penting kerana kadangkala adik beradik dan anak beranak pun berkelahi juga. Dalam perkara peribadi begini pun kena ada keadilan juga.

Oleh itu, Allah tekankan mesti kena ada keadilan. Jangan ikut hawa nafsu dalam buat keputusan. Jangan nak bela kawan sendiri, atau keluarga sendiri atau sebab-sebab lain. Untuk jadi adil, maka kena tengok bukti yang ada. Begiulah kalau negara Islam hendak selamat, kena ada keadilan. Kalau tidak ada keadilan, maka masyarakat akan rosak. Kita telah sebutkan bahawa Surah Hujurat ini tentang pengurusan negara Islam. Maka para pemimpin dan umat kena perhatikan perkara ini.

 

إِنَّ اللهَ يُحِبُّ المُقسِطينَ

sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berlaku adil.

Allah beri motivasi kepada umat Islam untuk melakukan keadilan. Kerana Allah amat suka kepada mereka yang melakukan keadilan. Mungkin kalau kita berat sebelah, ada imbuhan kita boleh dapat. Tapi ada lagikah imbuhan dari cinta Allah kepada kita? Tentu tidak ada lagi.


 

Ayat 10: Kenapa kena buat seperti yang diajar dalam ayat di atas? Kenapa kena damaikan antara mukmin yang berperang?

إِنَّمَا المُؤمِنونَ إِخوَةٌ فَأَصلِحوا بَينَ أَخَوَيكُم ۚ وَاتَّقُوا اللهَ لَعَلَّكُم تُرحَمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

The believers are but brothers, so make settlement between your brothers. And fear Allāh that you may receive mercy.

(MELAYU)

Orang-orang beriman itu sesungguhnya adik beradik. Sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara keduanya itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat.

 

إِنَّمَا المُؤمِنونَ إِخوَةٌ

Orang-orang beriman itu sesungguhnya adik beradik.

Allah kata saya orang mukmin adalah ‘adik beradik’. Kalau persaudaraan sahaja, kalimah yang digunakan adalah ‘ikhwan’ tapi dalam ayat ini digunakan kalimah ‘ikhwah’. Tapi dari segi bahasa, kalimah ikhwah adalah untuk adik beradik sedarah. Tapi begitulah tautan yang Allah sebut antara orang mukmin. Dan memang kadang-kadang adik beradik pun boleh berkelahi, bukan? Maka jangan terkejut sangat kalau itu berlaku, tapi kena berdamai balik.

 

فَأَصلِحوا بَينَ أَخَوَيكُم

Sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara keduanya itu

Maka kalau ada perkelahian, maka adik beradik lain kena damaikan. Ini arahan dari Allah, maka kena ikut. Jangan tengok sahaja. Lebih buruk lagi, kalau ada yang ambil bahagian dengan pilih siapa yang hendak disokong. Itu memang orang yang tidak tahu hal agama, ikut nafsu sahaja.

Di dalam hadis sahih disebutkan:

“وَاللَّهُ فِي عَوْنِ الْعَبْدِ مَا كَانَ الْعَبْدُ فِي عَوْنِ أَخِيهِ”

Allah senantiasa menolong hamba-Nya selama si hamba selalu menolong saudaranya.

Di dalam kitab shahih pula disebutkan:

“إِذَا دَعَا الْمُسْلِمُ لِأَخِيهِ بِظَهْرِ الْغَيْبِ قَالَ الْمَلَكُ: آمِينَ، وَلَكَ بِمِثْلِهِ”

Apabila seorang muslim berdoa untuk kebaikan saudaranya tanpa sepengetahuan yang bersangkutan, maka malaikat mengamininya dan mendoakan, “Semoga engkau mendapat hal yang serupa.”

 

وَاتَّقُوا اللهَ لَعَلَّكُم تُرحَمونَ

dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat.

Allah kaitkan tentang perdamaian ini dengan taqwa. Kita semua mahu dapat taqwa, bukan? Dan Allah beritahu dalam ayat ini, taqwa diperlukan untuk dapat rahmat. Maka, yang penting kena takut kepada Allah. Kerana kalau tak takut itulah yang menyebabkan manusia berani buat dosa, berani nak jadi zalim, tak jaga perdamaian. Ingatlah yang Allah tidak suka orang zalim.


 

Ayat 11: Ini adalah undang-undang ke-lima. Kena ada sifat dalaman yang baik – tidak boleh merendahkan orang lain. Kalau sesuatu umat itu ada perangai suka merendahkan orang lain, maka umat itu akan pecah belah. Maka kerana itu Allah tidak suka dan melarang seorang hamba merendahkan hamba yang lain.

يا أَيُّهَا الَّذينَ آمَنوا لا يَسخَر قَومٌ مِن قَومٍ عَسىٰ أَن يَكونوا خَيرًا مِنهُم وَلا نِساءٌ مِن نِساءٍ عَسىٰ أَن يَكُنَّ خَيرًا مِنهُنَّ ۖ وَلا تَلمِزوا أَنفُسَكُم وَلا تَنابَزوا بِالأَلقابِ ۖ بِئسَ الِاسمُ الفُسوقُ بَعدَ الإيمانِ ۚ وَمَن لَم يَتُب فَأُولٰئِكَ هُمُ الظّالِمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O you who have believed, let not a people ridicule [another] people; perhaps they may be better than them; nor let women ridicule [other] women; perhaps they may be better than them. And do not insult one another and do not call each other by [offensive] nicknames. Wretched is the name [i.e., mention] of disobedience after [one’s] faith. And whoever does not repent – then it is those who are the wrongdoers.

(MELAYU)

Hai orang-orang yang beriman, janganlah sekumpulan orang laki-laki merendahkan kumpulan yang lain, boleh jadi yang ditertawakan itu lebih baik dari mereka. Dan jangan pula sekumpulan perempuan merendahkan kumpulan lainnya, boleh jadi yang direndahkan itu lebih baik. Dan janganlah mencela dirimu sendiri dan jangan memanggil dengan gelaran yang mengandung ejekan. Seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang buruk sesudah iman dan barangsiapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.

 

يا أَيُّهَا الَّذينَ آمَنوا

Hai orang-orang yang beriman,

Ini adalah nasihat dan arahan dari Allah kepada mereka yang mengaku mereka telah beriman. Kenalah ikut nasihat ini. Kena dengar dengan baik kerana ianya amat penting.

 

لا يَسخَر قَومٌ مِن قَومٍ

janganlah sekumpulan orang laki-laki merendahkan kumpulan yang lain,

Allah gunakan ‘kumpulan’ dan tidak individu. Kerana selalunya manusia merendahkan kumpulan lain apabila mereka ramai. Selalunya apabila manusia sudah ramai, mereka ada kemungkinan jadi berani dan bodoh. Dalam istilah psikologi, ini dipanggil ‘crowd mentality’. Kadang-kadang apabila seseorang itu sedang duduk beramai-ramai dengan kawan yang jenis begitu, dia jadi orang lain.

‘Taskhir’ bermaksud merendahkan orang lain dalam macam-macam cara. Samada dalam bentuk fizikal dia, pandai atau tidak, kerja mereka, kereta yang mereka pakai dan apa-apa sahaja. Mereka akan lakukan apa-apa sahaja, dengan alasan untuk merendahkan orang lain. Termasuk dalam perkara ini dengan mengatakan yang pandangan seseorang itu adalah fahaman ‘Wahabi’. Ini pun adalah kata-kata untuk merendahkan satu-satu golongan. Allah larang kita mempersendakan orang lain untuk mengatakan kita lebih baik dari mereka. Kadang-kadang mereka tidak lawan pun masa itu, kerana mereka kumpulan yang lemah atau mereka tidak ada suara. Tapi di akhirat kelak, macam mana? Mereka boleh mengadu di hadapan Allah dan boleh ambil pahala orang yang mengata itu nanti.

Selalunya, mereka yang merendahkan orang lain itu kerana mereka hendak bagi nampak yang mereka lebih tinggi dari orang yang direndahkan. Maka ini adalah cara yang salah. Nak jadi lebih baik ada cara dia dan bukan dengan jatuhkan orang lain.

 

عَسىٰ أَن يَكونوا خَيرًا مِنهُم

boleh jadi yang ditertawakan itu lebih baik dari mereka.

Mungkin mereka yang direndahkan itu lebih baik di mata Allah dari orang yang merendahkan orang itu. Pernah Ibn Mas’ud yang digelakkan oleh sahabat yang lain kerana kaki beliau kecil. Nabi dengar kata-kata mereka itu dan baginda marah kepada mereka. Baginda kata kaki Ibn Mau’ud yang kecil itu akan jadi berat di akhirat kelak. Begitu juga ada sahabat yang tidak ada janggut dan ditertawakan oleh sahabat-sahabat lain, pun mereka kena tegur.

Kita kena ingatlah perkara ini. Jangan sangka kita ini lebih baik dari orang. Cubalah rendahkan diri kita, jangan nak berlagak sangat. Kita tidak tahu kelebihan orang lain. Mungkin kita tidak nampak kelebihan seseorang itu, maka kenalah kita simpan sahaja perasaan dalam hati kita.

 

وَلا نِساءٌ مِن نِساءٍ

Dan jangan pula sekumpulan perempuan merendahkan kumpulan lainnya,

Dan Allah sebut khusus untuk golongan wanita pula. Padahal tadi sudah disebut dalam bentuk umum dan sepatutnya sudah termasuk dengan golongan wanita lah sekali. Tapi Allah berfirman khusus untuk mereka. Ini kerana wanita banyak melakukan perkara ini.  Dan kerana cara wanita jatuhkan orang lain pun tak sama. Mereka ada cara mereka sendiri. Cara mereka tengok orang lain pun dah lain macam. Mereka pandai untuk merendahkan orang lain. Sebagai contoh, kalau tengok orang lain pakai baju murah atau tidak cantik, mereka tengok atas bawah dan komen: “cantik yer baju awak….?”. Tapi orang tahu yang itu bukan pujian tapi sebenarnya adalah cemuhan. Jangan marah pula kalau ada yang kata takkan nak salah orang perempuan pula – ingatlah yang ini Allah yang sebut, bukannya kita.

Allah larang buat benda ini. Jangan rendahkan orang lain, jangan buli orang lain. Ini adalah satu perkara yang amat malang sekali dalam masyarakat kita. Kita pun tak tahu apa yang terjadi di kalangan anak-anak kita di sekolah. Mereka menghadapi berbagai-bagai dugaan antara sesama rakan sekolah mereka. Ada yang jadi buli dan ada yang buat kumpulan-kumpulan kecil yang merendahkan orang lain. Dan perkara ini bukan perkara kecil kerana ada sampai dalam berita bagaimana ada pelajar yang sampai bunuh diri kerana tidak tahan.

 

عَسىٰ أَن يَكُنَّ خَيرًا مِنهُنَّ

boleh jadi yang direndahkan itu lebih baik.

Allah ingatkan kepada kumpulan wanita jangan rendahkan golongan perempuan yang lain kerana mungkin wanita itu lebih baik di sisi Allah. Kita hanya tengok sudut zahir sahaja, tapi Allah lihat dari segi keimanan. Dan kalau seseorang itu merendahkan orang lain, sudah tentunya ia berkenaan perkara perkara keduniaan sahaja, bukan? Maka kita sebagai pelajar Qur’an ini janganlah jadi begitu. Kena ingatlah ayat ini sentiasa. Jangan sedap sahaja mulut nak kutuk atau rendahkan orang lain.

 

وَلا تَلمِزوا أَنفُسَكُم

Dan janganlah mencela dirimu sendiri

Jangan cari kelemahan diri sendiri. Atau jangan cela ‘diri sendiri’. Allah tak kata: kepada ‘orang lain’ tapi kepada ‘diri sendiri’. Kenapa agaknya?

Sebelum ini, kalimah لمز bermakdu mencari kelemahan seseorang dan luahkan atau hebahkan kelemahan itu. Dengan cara ini, ia boleh menghilangkan semangat mereka. Allah telah larang perkara ini dalam ayat yang lain:

{وَيْلٌ لِكُلِّ هُمَزَةٍ لُمَزَةٍ}

Kecelakaanlah bagi setiap pengumpat lagi pencela. (Al-Humazah: 1)

Allah larang cela ‘diri sendiri’ kerana orang lain pun adalah cermin diri kita. Kalau kita cela dan rendahkan orang lain, itu juga termasuk dalam mengutuk diri sendiri.

 

وَلا تَنابَزوا بِالأَلقابِ

dan jangan memanggil dengan gelaran yang mengandung ejekan.

Dan jangan bagi nama ejekan. Iaitu beri panggilan atau gelaran yang menyakitkan hati. Jangan panggil memanggil sesama sendiri dengan gelaran yang buruk (kalimah تنابز dalam wazan ke 6 – timbal balik). Kalimah ن ب ز digunakan untuk gelaran yang bersifat buruk. Tapi kalimah  ل ق ب selalunya adalah nama yang baik. Kerana Nabi Muhammad juga ada memberikan ‘laqab’ kepada para sahabat. Sebagai contoh, Rasulullah beri gelaran (laqab) ‘Abu Thurab’ (bapa tanah) kepada Saidina Ali.

Allah gabungkan keduanya kerana ada laqab yang pada zahirnya nampak baik, tapi diberikan dengan niat yang buruk. Sebagai contoh, kadang-kadang ada orang panggil orang lain: “Woi budak bijak, mari ke sini kejap..”. Nampak dia panggil ‘budak bijak’, bukan? Tapi kita yang dengar pun boleh tahu yang dia sebenarnya memanggil dengan ejekan. Dari cara panggilan pun kita dah tahu. Kalau kita tegur dia, dia boleh jawap: “eh, aku panggil dia budak bijak, apa? Takkan salah kot?”. Tapi Allah tahu apa yang dalam hatinya.

Kalau menggunakan laqab, tidaklah salah kalau yang diberi gelaran itu suka. Saidina Ali amat suka dengan laqab Abu Thurab itu kerana ianya diberi oleh Rasulullah. Maka kita kena tanya kepada orang itu sendiri samada dia suka atau tidak dengan gelaran laqab/nickname itu.

Kalau kita tidak suka, cakaplah kita tidak suka. Tak salah kalau cakap kita tidak suka dengan gelaran yang diberi oleh orang. Kerana kita semua ada hak. Tidak kira siapa kita, setiap manusia ada hak untuk dihormati. Dalam satu hadis:

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Ismail, telah menceritakan kepada kami Daud ibnu Abu Hindun, dari Asy-Sya’bi yang mengatakan bahawa telah menceritakan kepadaku Abu Jubairah ibnu Ad-Dahhak yang mengatakan bahawa berkenaan dengan kami Bani Salamah ayat berikut diturunkan, yaitu firman-Nya: dan janganlah kamu panggil-memanggil dengan gelar-gelar yang buruk. (Al-Hujurat: 11) Ketika Rasulullah Saw. tiba di Madinah, tiada seorang pun dari kami melainkan mempunyai dua nama atau tiga nama. Tersebutlah pula apabila baginda memanggil seseorang dari mereka dengan salah satu namanya, mereka mengatakan, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya dia tidak menyukai nama panggilan itu.” Maka turunlah firman-Nya: dan janganlah kamu panggil-memanggil dengan gelar-gelar yang buruk. (Al-Hujurat: 11)

Dan kalaulah dia tidak suka dengan panggilan itu dan dia laknat orang yang memanggilnya begitu, ketahuilah yang Allah akan terima doanya itu. Maka jangan bagi orang laknat kita, samada dari panggilan kita atau perbuatan kita. Sebagai contohnya jangan kita kencing tempat orang lalu lalang kerana kalau kita buat begitu, tentu ada yang marah dan laknat pelakunya. Ketahuilah yang laknat mereka laku pada Allah. Allah akan makbulkan. Maka, jangan jadi pasal.

Begitulah sampai perkara begini pun ada dalam Qur’an. Nampak macam mudah sahaja, bukan? Tapi kalau tak jaga perkara ini, akan menyebabkan masalah tak puas hati dalam masyarakat. Perhubungan akan jadi tidak baik dan ada benci membenci sesama sendiri. Masyarakat yang baik hanya akan pakai nama gelaran baik sahaja.

 

بِئسَ الِاسمُ الفُسوقُ بَعدَ الإيمانِ

Seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang buruk sesudah iman

Memberi gelaran yang buruk kepada orang lain itu akan menjadikan pelakunya orang fasik selepas dia dah beriman. Maka ini amat bahaya. Allah kata orang yang menggelar-gelar orang lain dengan gelaran yang buruk ini ada sifat orang fasik. Itu adalah perbuatan manusia zaman Jahiliyah dulu. Maka kalau selama ini kita gunakan gelaran yang buruk kepada orang lain, maka kena berhenti.

Maka kita kena lihat penggunaan perkataan yang kita gunakan. Pastikan bahasa yang digunakan adalah bahasa baik. Kalau orang baik, maka kata-kata yang baiklah yang akan keluar dari mulutnya. Kalau bahasa buruk digunakan, maknanya orang itu ada masalah iman. Maka gunakan bahasa yang baik-baik sahaja. Kerana kalau tak jaga bahasa, maka akan ada masalah dalam masyarakat. Lama kelamaan masyarakat akan rosak. Malangnya, kalau kita lihat penggunaan bahasa masyarakat kita, memang memalukan. Lebih memalukan apabila bahasa kesat yang digunakan itu keluar dari mulut orang yang dikatakan sebagai ‘ustaz’.

 

وَمَن لَم يَتُب فَأُولٰئِكَ هُمُ الظّالِمونَ

dan barangsiapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.

Kalau tak taubat, mereka zalim di sisi Allah. Zalim kepada orang lain, zalim di sisi Allah. Maka ini bukanlah perkara kecil. Jangan kita kata: “alah… aku panggil jer macam itu, tapi aku sayang dia…. alahhh… dia tak marah lah… dia OK… “.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir ibn Kathir

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 049: al-Hujurat. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s