Tafsir Surah al-Hujurat Ayat 12 – 14 (Paling mulia adalah yang paling bertaqwa)

Ayat 12: Ini adalah undang-undang ke-enam. Ia berkenaan ‘Sangka Buruk’. Ayat sebelum ini tentang perkara yang dilihat dengan mata. Sekarang Allah beritahu punca manusia rosak adalah sangkaan dia yang salah.

يا أَيُّهَا الَّذينَ آمَنُوا اجتَنِبوا كَثيرًا مِنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعضَ الظَّنِّ إِثمٌ ۖ وَلا تَجَسَّسوا وَلا يَغتَب بَعضُكُم بَعضًا ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُم أَن يَأكُلَ لَحمَ أَخيهِ مَيتًا فَكَرِهتُموهُ ۚ وَاتَّقُوا اللهَ ۚ إِنَّ اللهَ تَوّابٌ رَحيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O you who have believed, avoid much [negative] assumption. Indeed, some assumption is sin. And do not spy or backbite each other. Would one of you like to eat the flesh of his brother when dead? You would detest it. And fear Allāh; indeed, Allāh is Accepting of repentance and Merciful.

(MELAYU)

Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan sangkaan, kerana sebagian dari sangkaan itu dosa. Dan janganlah kamu mengintip dan janganlah mengumpat satu sama lain. Adakah seorang diantara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.

 

يا أَيُّهَا الَّذينَ آمَنُوا

Hai orang-orang yang beriman,

Wahai orang-orang beriman yang sudah ada negara Islam di Madinah, hendaklah lihat perkara ini baik-baik. Begitu juga kepada kita yang hidup di zaman sekarang, dan mengaku telah beriman, kenalah jaga tentang perkara ini. Dengar baik-baik.

 

اجتَنِبوا كَثيرًا مِنَ الظَّنِّ

jauhilah kebanyakan dari sangkaan,

Jangan buat sangkaan. Kalimah الظَّنِّ adalah sangkaan yang kuat. Ada sangkaan yang benar tapi kebanyakan dari sangkaan adalah salah. Sangkaan yang buruk itu adalah dari bisikan syaitan. Syaitan hendak mengapi-apikan permusuhan antara sesama orang Islam. Maka jangan layan apa yang dibisikkan oleh syaitan itu.

Tapi jangan kita sangka yang semua bisikan adalah dari syaitan kerana ada bisikan yang datangnya dari malaikat. Akan dapat bisikan dari malaikat kalau ikut kaedah yang benar. Kerana bisikan dari malaikatlah yang para ulama dapat mengeluarkan hukum-hukum dalam agama kerana ijtihad pun memang adalah salah satu jenis sangkaan juga. Dari ilham dan sangkaan itu, baru terjadinya hukum feqah yang kita gunakan dalam kehidupan kita.

 

إِنَّ بَعضَ الظَّنِّ إِثمٌ

kerana sebahagian dari sangkaan itu dosa.

Tapi, kebanyakaan dari sangkaan adalah buruk. Contohnya, kalau kita tengok lelaki dan perempuan berjalan sama, tentu kita ada syak wasangka tentang mereka berdua, bukan?Tapi entah mereka memang suami isteri, siapa tahu? Maka jangan bersangka buruk dan jangan buat sangkaan. Kerana ini bahaya dalam masyarakat. Kerana kalau kita sudah ada sangkaan buruk, kemudian kita cakap pula kepada orang lain, dan ia akan dipanjangkan lagi. Akhirnya, dalam kes suami isteri di atas, mereka telah ditohmah pula.

Maka, kita kena jauhi sangkaan buruk. Kalau sangkaan baik, bolehlah, tidak ada masalah. Tapi selalu sangkaan buruklah yang banyak. Kalimah الظَّنِّ adalah perasaan dalam hati yang tidak pasti. Maka apabila tidak pasti, maka kena jauhkan. Kerana kalau tersilap, akan menyebabkan bahaya kepada diri orang lain dan diri kita sendiri. Buat apa nak layan perkara yang tidak pasti, bukan?

Selepas dari الظَّنِّ, ia boleh menjadi dosa. Sebahagian dari sangkaan itu memang dosa betul kerana telah melakukan sangka buruk. Maka kena jauhi dari melakukan sangkaan buruk. Kecualilah kalau ia memang dah jelas perkara yang buruk. Sebagai contoh, kalau nampak orang sedang mencuri, memang sedang nak pecahkan kereta di tengah malam, itu memang dah sah perbuatan yang buruk. Maka tak salah kalau ada sangkaan yang jenis begitu.

Tapi ramai yang tengok sesuatu dan buat sangkaan lebih dari yang dia nampak. Dia nampak sikit sahaja tapi dia tambah lebih lagi dalam hati dia. Kerana sangkaan itu hanya dalam hati. Maka kalau sudah ada sangkaan buruk dalam hati pun sudah berdosa dah. Kalau cakap pula kepada orang lain, lagilah teruk. Dah jadi dosa lidahlah pula.

Telah diriwayatkan kepada kami dari Amirul Mu’minin Umar ibnul Khattab r.a., bahawa ia pernah berkata, “Jangan sekali-kali kamu mempunyai prasangka terhadap suatu kalimat yang keluar dari lisan saudaramu yang mukmin melainkan hanya kebaikan belaka, sedangkan kamu masih mempunyai jalan untuk memahaminya dengan pemahaman yang baik.”

 

وَلا تَجَسَّسوا

dan janganlah mengintip 

Bila dah sangka buruk dan perasaan itu tidak dimatikan dari awal lagi, maka mulailah nak intip. Sebab istilah ada orang suka tengok apa orang lain buat. Samada mereka curi lihat atau mereka curi-curi dengar.

Mungkin ada yang hantar spy dan sebagainya. Kita selalu dengar tentang perkara ini atau kita sendiri pun pernah buat, kan? Mula nampak lelaki dan wanita berjalan bersama, kemudian mulalah cari maklumat lagi.

Maka jangan cari maklumat untuk kuatkan sangkaan kita dengan cara dekat. Inilah yang dinamakan tajassus. Asalnya dah ada sangkaan, tapi sekarang sudah cari kesalahan itu guna mata, telinga dan mulut. Asal dari perasaan sangka buruk sahaja pada mulanya. Mulalah bertanya sana sini dan cari maklumat untuk menguatkan lagi sangkaan mereka. Sudah guna pancaindera untuk cari keburukan orang lain. Nak menguatkan dosa yang sudah ada dalam hati. Dari yang buruk sudah bertambah buruk.

Tapi selalunya ramai dari kalangan kita yang sibuk nak curi pandang dan curi dengar. Pasang telinga dan mata melilau sahaja nak tengok apa yang dilakukan oleh orang lain. Sampai ada yang tengok-tengok dalam rumah orang lain. Ini sudah jadi teruk. Ini jenis orang yang tak tahu tentang adab dalam Islam.

Kadang-kadang kita memang ada peluang untuk nampak perkara yang kita tidak patut nampak, maka dalam keadaan begitu kita kena tutup mata. Mungkin kita lalu sahaja di hadapan rumah yang terbuka pintunya, maka kena cepat-cepat lalu dan larikan pandangan mata kita. Kerana kalau kita tengok juga, maka ia akan tambah dosa kita sahaja.

Kadang-kadang kita mungkin dapat tahu sesuatu perkara tanpa kita cari pun. Mungkin ada orang beritahu kepada kita tanpa kita tanya pun. Mungkin kita dah tahu keburukan seseorang. Kalau ada kelemahan sesiapa yang kita tahu, bukan untuk kita sampaikan kepada orang lain, tapi kita kena tutup keburukan itu. Mereka macam cermin kita. Kalau mereka buruk, ia memburukkan diri kita juga sebenarnya.

 

وَلا يَغتَب بَعضُكُم بَعضًا

dan janganlah mengumpat satu sama lain.

Kalau kita dah mula cari kesalahan orang lain, maka selalunya akan jumpa.

Sekarang Allah ingatkan, kalau dah tahu, Allah larang umpat (ghibah) pula. Jangan umpat orang lain di belakang mereka. Ghibah adalah bercerita pasal orang lain. Ini bukan namimah (selalu orang kata ‘fitnah’ tapi itu adalah terma yang salah) kerana ia memang benda benar pun (namimah mengata tentang seseorang yang tidak benar). Tapi ia adalah benda yang dia tidak suka dengar. Sedangkan namimah memang menipu.

Hal ini ditafsirkan oleh Nabi Saw. melalui sabdanya yang mengatakan bahwa ghibah ialah:

“ذِكْرُكَ أَخَاكَ بِمَا يَكْرَهُ”. قِيلَ: أَفَرَأَيْتَ إِنْ كَانَ فِي أَخِي مَا أَقُولُ؟ قَالَ: “إِنْ كَانَ فِيهِ مَا تَقُولُ فَقَدِ اغْتَبْتَهُ، وَإِنْ لَمْ يَكُنْ فِيهِ مَا تَقُولُ فَقَدْ بَهَتَّهُ”.

Kamu memperkatakan tentang saudaramu dengan hal-hal yang tidak disukainya. Lalu ditanyakan, “Bagaimanakah jika apa yang diperkatakan itu itu ada padanya?” Rasulullah Saw. menjawab: Jika apa yang kamu perkatakan itu ada padanya, bererti kamu telah mengumpatnya; dan jika apa yang kamu perkatakan itu tidak ada padanya, bererti kamu telah menghasutnya.

Maka kalau tahu rahsia orang lain, jangan cakap pada orang lain pula – itu sudah ghibah namanya. Yang sepatutnya kita lakukan adalah nasihat orang itu, baiki dia bukannya menjatuhkan namanya. Kalau kita cerita dan umpat pada orang lain, apa kebaikannya? Tidak ada.

Ghibah ini sudah dosa lain pula. Umpat atau ghibah ini adalah cerita tentang seseorang dan bukan dilakukan didepannya. Dan apa yang diceritakan itu dia tak suka kalau dia dengar. Walaupun ia berita benar pun.

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا عَبْدُ الصَّمَدِ، حَدَّثَنِي أَبِي، حَدَّثَنَا وَاصِلٌ -مَوْلَى ابْنِ عُيَيْنَةَ-حَدَّثَنِي خَالِدُ بْنُ عُرْفُطَة، عَنْ طَلْحَةَ بْنِ نَافِعٍ، عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ: كُنَّا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَارْتَفَعَتْ رِيحُ جِيفَةٍ مُنْتِنَةٍ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “أَتَدْرُونَ مَا هَذِهِ الرِّيحُ؟ هَذِهِ رِيحُ الَّذِينَ يَغْتَابُونَ الْمُؤْمِنِينَ”

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Abdus Samad, telah menceritakan kepadaku Wasil maula Ibnu Uyaynah, telah menceritakan kepadaku Khalid ibnu Urfutah, dari Talhah ibnu Nafi’, dari Jabir ibnu Abdullah r.a. yang menceritakan bahawa ketika kami bersama Nabi Saw., lalu terciumlah oleh kami bau bangkai yang sangat busuk. Maka Rasulullah Saw. bersabda: Tahukah kalian, bau apakah ini? Ini adalah bau orang-orang yang suka mengumpat orang lain.

Maka jangan kita lakukan. Ini adalah perbuatan berdosa dan memberi pahala kepada orang lain (kerana mereka yang diumpat akan dapat pahala yang diambil dari pahala orang yang mengumpat itu). Maka buat apa nak buat pahala? Sebaliknya kita kena sibuk dengan belajar dan amal supaya pahala bertambah, bukannya nak buang pahala bagi orang lain pula (ini kerja bodoh dan merugikan). Maka sibukkan dengan amal supaya tidak sibuk dengan urusan orang lain. Kalau kita tidak sibukkan diri kita dengan melakukan benda baik (seperti belajar dan setelah belajar, amalkan benda yang kita belajar itu), maka itulah yang menyebabkan seseorang itu sibuk dengan urusan orang lain.

Ini juga adalah perkara yang amat penting dan sebab itu Allah larang dalam ayat ini. Kerana ia boleh memecahbelahkan umat manusia dan masyarakat Islam. Ini memang kerja cari dosa dan bukan cari pahala. Padahal kita kena cari pahala semasa kita ada kesempatan hidup di dunia. Ingatlah yang kita kena cari peluang untuk buat amalan untuk tambah pahala, bukan tambah dosa.

 

أَيُحِبُّ أَحَدُكُم أَن يَأكُلَ لَحمَ أَخيهِ مَيتًا

Adakah seorang diantara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati?

Allah buat bandingan supaya kita faham betapa teruknya ghibah ini. Ia seumpama macam makan daging saudara kita yang telah mati. Maka ingatlah yang semasa kita mengumpat itu, ia sedang memakan bangkai busuk.

Mereka yang diumpat itu dikira sebagai orang yang mati kerana orang yang tidak berada depan macam orang dah mati kerana mereka tidak dapat bela diri. Kerana bukankah orang yang mati tidak dapat mempertahankan diri mereka lagi? Kalau dia depan kita, tentu dia boleh berhujah balik dan lawan balik kata-kata kita, bukan? Jadi, perbuatan mengumpat itu adalah perbuatan yang pengecut juga kerana tentu mereka yang mengumpat itu tak berani nak cakap berdepan dengan orang yang dia umpat itu.

Tapi janganlah pula kata: “Ini aku cakap depan kau ni yer, bukan umpat, tau!”. Ini kerana kalau kata depan dia, itu sudah jadi mencela dan tidak boleh juga. Maka kalau ada orang yang buat benda yang salah, sebenarnya kita kena ajak dia belajar supaya dia boleh baiki diri dia.

 

فَكَرِهتُموهُ

Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya.

Allah beritahu tadi yang kalau umpat itu seperti memakan bangkai saudara sendiri. Kamu pun tak suka, bukan? Kamu pun tidak sanggup nak makan bangkai, bukan? Maka begitulah kita kena rasa kalau teringin nak umpat orang lain.

Maka kena ingat tentang perkara ini kerana ghibah ini tidak boleh ada dalam masyarakat Islam. Patutnya kita jadikan saudara Islam kita sebagai sasaran untuk dapatkan pahala. Ajak mereka belajar agama, nasihat dia, tolong dia, sama-sama buat amal. Begitulah baru ada kebaikan, sama-sama dapat pahala. Kalau memang dia ada salah, maka kena tolong baiki dia kerana dia cermin kita. Bukannya jadikan dia sebagai tempat kita buang pahala dan kumpul dosa kita pula. Kena jadi bijaklah dalam perkara ini.

 

وَاتَّقُوا اللهَ

Dan bertakwalah kepada Allah.

Semua ini hanya boleh dilakukan oleh orang yang ada taqwa. Iaitu mereka yang takut kepada Allah dan hendak jaga hukum Allah dan taat kepada Allah. Mereka yang bertaqwa akan sedar yang Allah sedang memerhatikan dirinya dalam setiap keadaan, jadi dia tidak berani nak buat salah, tak berani nak umpat dan cela orang lain.

Mereka yang bertaqwa juga sentiasa peka dengan hukum yang Allah telah berikan dalam wahyu. Apabila mereka nak buat sesuatu, mereka akan berhenti dan fikirkan: apakah kehendak Allah dalam perkara ini? Barulah dikira taqwa. Kalau seseorang itu pakai cakap sahaja apa yang ada fikiran dia, maka dia bukanlah orang bertaqwa.

 

إِنَّ اللهَ تَوّابٌ رَحيمٌ

Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.

Allah masih boleh terima taubat hambaNya. Maka kalau sebelum ini pernah lakukan perkara ini, maka bertaubatlah. Kalau ada kawan yang telah diumpat, maka minta maaflah kepadanya. Tentu malu nak minta maaf kepada seseorang yang telah diumpat, bukan? [Minta maaf yer, aku dulu ada umpat kau…]. Maka janganlah umpat orang dari awal lagi. Jaga mulut kita dari berkata-kata tentang orang lain.

Ada juga ulama yang berpendapat bahawa tidak perlu menceritakan kepada orang yang diumpat itu yang kita pernah umpat dia. Ini adalah kerana kalau dia tahu, lagi sakit hati dia, bukan? Maka cukuplah kita menyesal dengan perbuatan kita dan kita bersihkan nama orang yang telah diumpat itu. Kalau kita cerita kepada A tentang B, maka pergilah kepada A dan perbetulkan balik maklumat itu. Bersihkan kembali nama B. Dan hendaklah dia bela nama baik B selepas itu.


 

Ayat 13: Ini adalah undang-undang  ke-tujuh. Tidak boleh berbangga dengan kelebihan yang sebenarnya bukan kelebihan kita pun.

يا أَيُّهَا النّاسُ إِنّا خَلَقناكُم مِن ذَكَرٍ وَأُنثىٰ وَجَعَلناكُم شُعوبًا وَقَبائِلَ لِتَعارَفوا ۚ إِنَّ أَكرَمَكُم عِندَ اللهِ أَتقاكُم ۚ إِنَّ اللهَ عَليمٌ خَبيرٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O mankind, indeed We have created you from male and female and made you peoples and tribes that you may know one another. Indeed, the most noble of you in the sight of Allāh is the most righteous¹ of you. Indeed, Allāh is Knowing and Acquainted.

•Literally, “he who has the most taqwā,” i.e., consciousness and fear of Allāh, piety and righteousness.

(MELAYU)

Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling takwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.

 

يا أَيُّهَا النّاسُ

Hai manusia,

Sekarang Allah khitab kepada keseluruhan manusia. Ini adalah kerana maklumat ini adalah maklumat sejagat yang perlu dilihat dan diterima oleh seluruh manusia.

 

إِنّا خَلَقناكُم مِن ذَكَرٍ وَأُنثىٰ

sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan

Maksudnya kita semua dijadikan dari keturunan Adam dan Hawa. Itulah asal kejadian kita dan bukannya dari makhluk lain, kerana ada yang kata kita ini berasal dari monyet. Ini memang satu teori yang karut dan lemah sekali. Maka janganlah kita percaya pula. Semoga teori ini tidak diajar di sekolah dan meracun fahaman anak-anak kita. Sebaliknya kena diajar asal kita dari mana – memang kita semua dijadikan dari keluarga yang satu.

Terjemahan kedua: kita ini dijadikan dari jenis lelaki dan perempuan. Kita ada ayah dan ibu yang dari keturunan manusia. Semua kita jadi macam itu. Dari pasangan ibu dan bapa kita, ada yang jadi lelaki dan ada yang jadi perempuan.

 

وَجَعَلناكُم شُعوبًا وَقَبائِلَ

dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku

Allah yang menjadikan kita berlainan bangsa. Ada yang jadi Melayu, Cina, Eropah dan sebagainya.

Dan dari satu bangsa itu, ia bercambah menjadi bersuku suku. Dalam bahasa Arab, digelar qabilah. Maknanya, dalam bangsa ada Qabilah. Sebagai contoh, dalam bangsa Melayu ada qabilah Jawa, Banjar dan sebagainya. Bangsa lain pun ada suku-suku mereka juga. Bangsa Arab ada Quraish dan jenis-jenis suka yang amat banyak sekali.

 

لِتَعارَفوا

supaya kamu saling kenal-mengenal.

Allah jadikan berlainan bangsa dan suku itu supaya لِتَعارَفوا saling kenal mengenal. Kalimah ‘urf’ diambil dari kalimah inilah. Ia amat menarik sekali, kalau kita tengok jenis muka macam itu, kita tahu dia bangsa mana. Kita boleh tahu apa yang mereka makan, pakaian mereka macam mana dan sebagainya.

Jadi memang ada banyak persamaan dan juga perbezaan sesama kita. Tapi bukanlah kita nak tengok perbezaan itu untuk nak berbangga. Jangan berbangga sebab aku bangsa Arab, aku bangsa Eropah, aku bangsa itu dan ini. Sebab kemuliaan atas dasar bangsa, warna kulit, asal dari mana, itu dari kejadian, bukan dari ikhtiar, maka nak bangga apanya? Kerana kamu memang dilahirkan sebegitu kerana Allah takdirkan kamu lahir sebagai bangsa itu dan ini. Tidak ada ikhtiar kamu pun yang menyebabkan kamu jadi Melayu, jadi Cina, jadi India, bukan? Bahasa pun bukan ikhtiar kita tapi mak ayah kita yang ajar. Tidak ada usaha kita pun, kerana kita memang kena bercakap pun.

Lain latarbelakang dan cara kehidupan menjadikan manusia berlainan jenis dan cara hidup. Maka kita boleh mengenal mereka yang lain dari kita dan memang menarik untuk melihat budaya lain. Kenangkan hebatnya Allah jadikan macam-macam jenis. Ada berbilion-bilion manusia dalam dunia ini dan betapa hebatnya Allah boleh menjadikan semua itu. Maknanya, Allah yang hebat dan mulia, bukannya kita kerana dilahirkan dalam sesuatu bangsa dan suku itu.

Bukan kerana bangsa itu yang menjadikan seseorang itu mulia. Kerana kemuliaan dilihat berdasarkan pada tahap ketaqwaan. Inilah kemuliaan yang sebenarnya di sisi Allah. Iaitu taqwa.

Dan untuk mendapatkan taqwa ini kena ada usaha dan kena cari. Dan semua orang boleh berusaha untuk cari taqwa. Semua ada peluang. Tidaklah macam bangsa – tidak ada sesiapa boleh berusaha untuk tukar bangsanya. Kalau dah lahir sebagai Melayu, maka akan kekal sebagai Melayu sampai bila-bila.

Dan kalau dua orang sama-sama bertaqwa, mereka boleh berlumba untuk tinggikan lagi taqwa. Ini baru bagus kerana berlumba dalam perkara yang menyatukan. Bukan yang memecahkan seperti membanggakan bangsa. Kerana kalau hendak memuliakan bangsa sendiri, kesannya membawa kepada perpecahan.

Begitu juga kalau mencari kemuliaan dalam masyarakat. Kalau mencari mulia kerana kedudukan dalam masyarakat, kena jatuhkan yang di atas, bukan? Itu sudah memecahkan masyarakat. Sedangkan kalau kejar siapa yang lebih taqwa, takkan nak dengki pula, bukan? Takkan nak jatuhkan orang itu pula? Kalau sama-sama berlumba untuk jadi lebih taqwa, tentu mereka berdua akan lebih rapat kerana salah satu sifat taqwa adalah menjaga keharmonian sesama Muslim.

Oleh itu undang undang ke-tujuh ini mengajar bagaimana mentadbir dunia supaya jadi harmoni. Jangan merendahkan kaum dan suku yang lain. Kalau rendahkan orang lain, ia akan menjadi perbalahan. Ini adalah kerana setiap pihak nak cerita kelebihan sendiri sedangkan ianya bukanlah kelebihan pun seperti yang telah diberitahu.

Kita sebenarnya patut melihat semua bangsa dan suku sama sahaja. Ini macam keadaan ihram di Mekah semasa Umrah dan Haji. Kalau kita lihat sekeliling, semua sama rata sahaja. Waktu itu semua pakai pakaian yang sama, kalimah yang disebut pun sama dan tolong menolong sesama manusia. Inilah baru bagus.

Hebat sekali ayat ini. Dengan satu ayat sahaja dah boleh satu satukan umat manusia dan elakkan pecah belah. Sebab itu kaitan ayat ini kepada manusia semua sekali. Maka pemimpin kena tahu perkara ini. Pemimpin jangan lebihkan satu bangsa dan suku atas bangsa dan suku yang lain.

Dalam satu hadis, Nabi pernah berkata yang bangsa Quraisy yang kena jadi Khalifah satu dunia. Baginda sudah tetapkan supaya tidak ada manusia yang akan jatuhkan bangsa yang lain kerana nak jadikan bangsanya sebagai khalifah. Yang lain pun tak perlu nak jatuhkan sesama sendiri. Kalau Quraisy sama Quraisy berebut untuk jadi khalifah, ini baru bahaya kerana tidak boleh ada dua Khalifah dalam satu zaman. Maka kena bunuh salah satu. Boleh rujuk kitab feqah tentang pemerintahan untuk mendalami lagi perkara ini.

Begitulah cara yang diajar dalam agama kita. Senang sahaja cara yang diajar oleh agama Islam kerana nak menjaga keharmonian. Dalam susunan kerajaan Islam,  cuma perlu lantik yang di atas sahaja (Khalifah) dan Khalifah sendiri yang akan lantik siapakah yang akan berkhidmat di bawahnya. Kalau ikut cara Yahudi (demokrasi) lah yang akan menyebabkan pecah belah kerana paling kurang kena ada dua parti. Bila dah ada dua parti atau lebih, sudah pasti mereka akan jatuh menjatuhkan. Habis duit banyak nak buat pilihanraya sahaja. Asyik nak jatuhkan pihak lawan, sampai tak tahu bilakah mereka memimpin negara. Sampai negara kucar kacir jadinya. Ini kita dapat lihat sendiri dan semua boleh nampak perkara ini, bukan?

 

إِنَّ أَكرَمَكُم عِندَ اللهِ أَتقاكُم

Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling takwa diantara kamu.

Jadi kalau kemuliaan itu bukan berdasarkan bangsa keturunan dan suku, maka apakah kriteria untuk menentukan siapa yang mulia? Allah beritahu yang paling mulia adalah mereka yang paling bertaqwa. Iaitu siapa yang lebih baik dalam menjaga hukum dan siapa yang paling tinggi iman mereka. Dalaman takut kepada Allah, dan luaran mereka jaga hukum. Kita hanya boleh tengok luaran sahaja kerana dalam hati kita tidak nampak. Jadi kita tidak dapat pastikan siapakah yang paling bertaqwa. Jadi ini akan menjadi rahsia antara orang itu dan Allah. Jadi kita tidak boleh kata: A lebih bertaqwa dari B, jadi A lebih mulia dari B….

قَالَ مُسْلِمٌ، رَحِمَهُ اللَّهُ: حَدَّثَنَا عَمْرٌو النَّاقِدُ، حَدَّثَنَا كَثِير بْنُ هِشَامٍ، حَدَّثَنَا جَعْفَرِ بْنِ بُرْقَانَ، عَنْ يَزِيدَ بْنِ الْأَصَمِّ، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “إِنَّ اللَّهَ لَا يَنْظُرُ إِلَى صُوَرِكُمْ وَأَمْوَالِكُمْ، وَلَكِنْ يَنْظُرُ إِلَى قُلُوبِكُمْ وَأَعْمَالِكُمْ”.

Imam Muslim mengatakan, telah menceritakan kepada kami Amr An-Naqid, telah menceritakan kepada kami Kasir ibnu Hisyam, telah menceritakan kepada kami Ja’far ibnu Barqan, dari Yazid ibnul Asam, dari Abu Hurairah r.a. yang mengatakan bahawa Rasulullah Saw. pernah bersabda: Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada rupa kalian dan harta kalian, tetapi Dia memandang kepada hati dan amal perbuatan kalian.

Oleh itu, ketaqwaan yang penting, bukan kerana bangsa mereka. Dan benda dalam hati maka tak boleh nak kata orang lain tidak taqwa. Taqwa mesti dapat pengiktirafan dari Allah. Maka tidak bolehlah seseorang nak mengaku dia lebih taqwa. Maka Allah kata dalam potongan ayat seterusnya, yang Dia yang lebih tahu.

 

إِنَّ اللهَ عَليمٌ خَبيرٌ

Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.

Hanya Allah sahaja yang tahu tahap ketaqwaan seseorang. Kalau nak kata lebih dari segi kuantiti amal ibadat, itu hanya dari segi luaran sahaja. Tapi kalau hal dalaman, Allah sahaja yang tahu. Jadi kita serah kepada Allah sahaja dan kita teruskan amal kita. Nanti di akhirat nanti baru boleh tahu siapa yang lebih bertaqwa.

Allah memberitahu dua SifatNya dalam ayat ini: عَليمٌ dan خَبيرٌ. Dari segi terjemahan biasa, kita boleh terjemahkan sebagai ‘maha mengetahui’. Tapi apabila Allah letak bersebelahan, itu maksudnya ada perbezaan antara keduanya. Oleh itu, عَليمٌ adalah tentang pengetahuan Allah tentang luaran seserorang dan خَبيرٌ adalah pengetahuan Allah tentang dalaman seseorang. Maka Allah tahu luaran dan dalam sekali. Tidak seperti kita yang hanya tahu luaran sahaja (itu pun tidak lengkap).


 

Ayat 14: Kita sudah masuk ke Bahagian Kedua surah ini.

Ayat ini syikayah tentang manusia yang mengaku Muslim tapi tidak ada iman. Sedikit pengenalan tentang latar belakang ayat ini:

Pada tahun 9 H, negara Islam Madinah telah kukuh. Sampaikan kerajaan Parsi pun tak berani nak lawan Islam. Rombongan dari puak-puak Arab sudah mula ramai datang ke Madinah untuk bertemu dengan Rasulullah sebagai ketua negara. Salah satu rombongan itu datang dari Bani Asad ibn Khuzaimah dan mereka telah masuk Islam. Mereka sebenarnya telah ditimpa kemarau dan mereka memang susah waktu itu. Maka pemimpin masyarakat itu telah buat keputusan untuk datang ke Madinah.

Apabila mereka sampai, mereka terus mengaku yang mereka telah beriman. Mereka kata mereka masuk dengan aman, tak susah nak Islamkan mereka. Mereka bandingkan dengan puak-puak lain yang kena diperangi baru nak masuk Islam.

Maka mereka sebenarnya masuk Islam kerana nak dapatkan zakat kerana mereka telah dilanda kemarau. Maknanya mereka masuk Islam kerana keduniaan. Maka Khalifah Islam kena jaga-jaga dengan keadaan sebegini. Kerana apabila Islam dah kuat, akan ada orang luar yang masuk Islam dan minta sedikit kesenangan.

Apabila mereka masuk Islam dan mengadap Rasulullah, mereka mendakwa  dengan lidah mereka mengaku yang telah berjasa kepada agama islam. Ini adalah kerana mereka fahami Islam itu dengan cara mereka sahaja. Mereka pakai otak mereka sahaja. Padahal nak faham Islam, kenalah mengaji dari wahyu supaya dapat fahaman yang sebenar. Tapi ramai yang ngaku dah faham agama, tapi faham yang salah macam Arab Badwi dalam ayat ini. Begitulah kita kena tahu perkara ini kerana akan ada jenis manusia yang tidak belajar tapi rasa mereka sudah faham. Sedangkan agama ini ada kitab wahyunya. Maka kenalah tahu agama dari wahyu.

۞ قالَتِ الأَعرابُ آمَنّا ۖ قُل لَم تُؤمِنوا وَلٰكِن قولوا أَسلَمنا وَلَمّا يَدخُلِ الإيمانُ في قُلوبِكُم ۖ وَإِن تُطيعُوا اللهَ وَرَسولَهُ لا يَلِتكُم مِن أَعمالِكُم شَيئًا ۚ إِنَّ اللهَ غَفورٌ رَحيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

The bedouins say, “We have believed.” Say, “You have not [yet] believed; but say [instead], ‘We have submitted,’ for faith has not yet entered your hearts. And if you obey Allāh and His Messenger, He will not deprive you from your deeds¹ of anything. Indeed, Allāh is Forgiving and Merciful.”

•i.e., the reward thereof.

(MELAYU)

Orang-orang Arab Badwi itu berkata: “Kami telah beriman”. Katakanlah: “Kamu belum beriman, tapi katakanlah ‘kami telah tunduk’, kerana iman itu belum masuk ke dalam hatimu; dan jika kamu taat kepada Allah dan Rasul-Nya, Dia tidak akan mengurangi sedikitpun pahala amalanmu; sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”.

 

قالَتِ الأَعرابُ آمَنّا

Orang-orang Arab Badwi itu berkata: “Kami telah beriman”.

Dari asbabun nuzul, Arab Badwi yang dimaksudkan dalam ayat ini Bani Asad. Tapi itu adalah golongan yang dan ayat ini secara umum berkenaan golongan yang baru masuk Islam. Jadi, ada golongan ‘Badwi Moden’. Mereka ini adalah orang yang jauh dari wahyu. Jadi hakikat agama tidak sampai kepada mereka.

Jadi mereka telah mengaku beriman di  hadapan Nabi. Mereka sangka mereka telah beriman kerana mereka telah solat, puasa dan lain-lain amalan yang mereka rasa sudah cukup menjadikan mereka ‘mukmin’. Mereka sangka senang sahaja nak beriman.

Mereka mengaku beriman sedangkan hal dalaman tidak payah cakap dan mengakulah. Kerana ia tidak boleh dibuktikan kerana ia perkara dalam hati. Tapi itulah jenis orang Badwi yang jauh dari wahyu.

Maka Allah tegur mereka dalam ayat ini. Allah memang sebut golongan ‘Badwi’ dalam ayat ini tapi takut kita pun ada juga perangai yang sebegini, maka kenalah kita ambil iktibar. Kerana kalau jauh dari wahyu, maka memang banyak kesalahan yang mungkin dilakukan. Sesiapa sahaja yang ada perangai seperti yang disebut di dalam ayat ini maka kenalah berhati-hati. Kena baiki amalan dan fahaman kita.

 

قُل لَم تُؤمِنوا وَلٰكِن قولوا أَسلَمنا

Katakanlah: “Kamu belum beriman, tapi katakanlah ‘kami telah tunduk’,

Katakanlah kepada mereka yang merwka sebenarnya belum beriman. Mereka cuma baru ‘terima’ Islam sahaja. Mereka baru sahaja belajar dan belum faham lagi agama ini maka janganlah mengaku sudah alim. Memang boleh jadi alim, tapi tidaklah awal sangat.

Maka kena betulkan fahaman mereka. Jangan biarkan masyarakat jahil mendakwa macam-macam. Kena fahamkan mereka apakah maksud iman Islam dan apakah maksud iman. Bukannya kena ikut fahaman mereka. Kalau ikut kepala kita sahaja, macam-macam boleh jadi kerana akal fikiran kita semua berlainan. Iman bukan mudah untuk diperolehi. Ia memerlukan pemahaman dan amalan. Ini macam orang yang baru masuk Islam, takkan dia terus faham agama ini dalam setahun dua, bukan?

Begitulah juga kalau orang yang baru kenal sunnah, ambil masa juga nak ambil pemahaman. Maka di awalnya, janganlah cepat sangat nak beri komen kerana takut kalau-kalau salah cakap – nanti menyesal kerana tercakap benda yang salah.

 

وَلَمّا يَدخُلِ الإيمانُ في قُلوبِكُم

kerana iman itu belum masuk ke dalam hatimu;

Iman yang sebenar belum masuk ke dalam hati mereka. Oleh itu cukuplah kata mereka baru sahaja masuk Islam. Ini baru betul. Jadi jangan sebut kata dah beriman lagi. Macam mana nak kata beriman kalau sifat-sifat iman belum ada lagi. Entah-entah apakah sifat orang beriman pun belum tahu lagi.

Kalimah لمّا bermaksud dahulu tidak ada iman dan sekarang pun belum ada lagi. Maka kena dalami lagi ayat-ayat sebelum ini. Supaya kita tahu apakah yang dituntut dalam iman. Maksudnya, kena belajar lagilah dan mula beramal.

 

وَإِن تُطيعُوا اللهَ وَرَسولَهُ لا يَلِتكُم مِن أَعمالِكُم شَيئًا

dan jika kamu taat kepada Allah dan Rasul-Nya, Dia tidak akan mengurangi sedikitpun pahala amalanmu;

Kalau beriman kepada Allah dan Rasulullah, Allah takkan siakan amalan mereka. Syarat sah amal adalah Islam. Dan syarat jadi muslim adalah taat kepada kepada Allah dan Rasul. Barulah amal ibadat dikira, ada markah. Sebagai contoh, kalau orang bukan Islam cuba-cuba ‘puasa’ tak makan dari pagi sampai malam, mereka takkan dapat pahala. Kerana walaupun amal mereka itu benar, tapi mereka bukan muslim, tidak beriman kepada Allah dan Rasul.

Seorang itu sudah masuk ke dalam Islam apabila dia sudah melafazkan syahadah. Tapi waktu itu baru sahaja masuk Islam, jadi banyak perkara tentang agama lagi yang orang itu tidak tahu, bukan? Tapi apabila dah lafaz syahadah dan telah terima secara pukal (iman mujmal) maka amalan sudah dikira sebagai sah. Memang semua hal agama belum tahu lagi kerana tidak belajar lagi. Tapi dia sudan mengaku muslim dan telah menyatakan kesanggupan untuk terima segala hukum dari Allah dan Rasul. Maka teruskan buat amalan dan samada diterima atau tidak, terpulang kepada Allah. Kita tidak boleh kata terus diterima lagi, kerana kena tengok samada amalan itu ikhlas atau tidak. Seperti yang kita tahu, amalan yang dilakukan kenalah ikhlas.

Maka taatlah kepada Allah dan Rasul, dan buatlah amalan baik dan jagalah agama setakat yang kita mampu. Maka Allah tidak akan sia-siakan segala amalan kita itu.

Kadang-kadang kita dengar orang sebut ‘iman’ dan kadangkala orang sebut ‘Islam’. Maka, apakah beza antara Islam dan iman? Pengetahuan tentang beza antara kedua perkara ini juga amat penting. Kerana ia melibatkan masalah sosial. Untuk kita cuba memahaminya, mari kita buat perbandingan seorang imam masjid yang ada dua anak; seorangnya yang hebat dalam agama dan seorang lagi yang buat perangai yang tidak elok.

Jadi dua anaknya itu beza macam antara langit dan bumi, tapi jikalau imam itu meninggal dunia, adakah kita akan beri harta yang lebih banyak kepada anak yang baik dan menidakkan hak anak yang tidak baik itu? Tentu tidak boleh, kerana kita menilai seseorang itu pada luaran sahaja iaitu kita hanya boleh menilai ‘Islam’ seseorang dan bukan ‘iman’ seseorang. Tapi bagaimana kita tahu yang seseorang itu seorang Muslim? Dengan dakwaan dia sahaja sudah cukup. Tidak perlu nak korek dalam-dalam lagi. Tapi malangnya kebanyakan dari kita ini jenis orang yang suka hendak menilai seseorang dan kita cuba untuk membuat keputusan jikalau orang itu ada iman ataupun tidak, sedangkan kita telah sebut yang perkara itu tidak dapat dinilai kerana ianya adalah perkara ghaib pada kita. Maka, selepas ini tak payahlah kita nak sibuk-sibuk nilai seseorang itu ‘beriman’ atau ‘tidak beriman’. Itu antara dia dengan Allah taala.

Allah telah beritahu kita di dalam surah yang lain, yang kita tidak boleh menilai seseorang sama ada beriman atau tidak dan cukup jikalau mereka telah beri salam kepada kita sahaja maka kita kena terima yang mereka itu adalah orang Islam. Kerana masalah yang buruk akan timbul di dalam masyarakat kita jikalau kita suka menilai orang dan melabel ribuan orang itu beriman atau tidak, Muslim atau tidak, munafik dan sebagainya. Sedangkan berkali-kali Allah sebut di dalam Qur’an yang hanya Dia sahaja yang mengetahui isi hati manusia.

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا عَبْدُ الرَّزَّاقِ، أَخْبَرَنَا مَعْمَر، عَنِ الزُّهْرِيِّ، عَنْ عَامِرُ بْنُ سَعْدِ بْنِ أَبِي وَقَّاصٍ، عَنْ أَبِيهِ قَالَ: أَعْطَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رِجَالًا وَلَمْ يُعْطِ رَجُلًا مِنْهُمْ شَيْئًا، فَقَالَ سَعْدٌ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَعْطَيْتَ فُلَانًا وَفُلَانًا وَلَمْ تُعط فُلَانًا شَيْئًا، وَهُوَ مُؤْمِنٌ؟ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “أَوْ مُسْلِمٌ” حَتَّى أَعَادَهَا سَعْدٌ ثَلَاثًا، وَالنَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: “أَوْ مُسْلِمٌ” ثُمَّ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “إِنِّي لَأُعْطِي رِجَالًا وَأَدَعُ من هو أحب إليّ منهم فلم أعطيه شَيْئًا؛ مَخَافَةَ أَنْ يُكَبُّوا فِي النَّارِ عَلَى وُجُوهِهِمْ”.

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Abdur Razzaq, telah menceritakan kepada kami Ma’mar, dari Az-Zuhri, dari Amir ibnu Sa’d ibnu Waqqas, dari ayahnya yang mengatakan bahwa Rasulullah Saw. memberi bagian kepada banyak laki-laki, tetapi tidak memberi seseorang dari mereka barang sedikit pun. Maka Sa’d ibnu Abu Waqqas r.a. bertanya, “Wahai Rasulullah, engkau telah memberi Fulan dan Fulan, tetapi engkau tidak memberi si Fulan barang sedikit pun, padahal dia seorang mukmin?” Maka Rasulullah Saw. balik bertanya, “Bukankah dia seorang muslim?” Sa’d mengulangi pertanyaannya sebanyak tiga kali, dan selalu dijawab oleh Nabi Saw. dengan pertanyaan, “Bukankah dia seorang muslim?” Kemudian Nabi Saw. bersabda: Sesungguhnya aku benar-benar memberi bagian kepada banyak laki-laki dan aku tinggalkan seseorang yang lebih aku sukai daripada mereka (yang kuberi bagian) tanpa memberinya sesuatu pun, karena aku merasa khawatir bila kelak Allah akan menyeret mereka ke dalam neraka dengan muka di bawah. Imam Bukhari dan Imam Muslim mengetengahkan hadis ini melalui Az-Zuhri dengan sanad yang sama.

Nota: Maksud hadis ini, Allah hendak mengingatkan para sahabat yang mereka tidak tahu hati manusia – maka tidak tahu samada orang itu ‘mukmin’ atau tidak. Jadi Nabi sarankan – hanya kata dia seorang ‘muslim’ sudahlah.

Malangnya ada orang yang kononnya sudah kenal agama tetapi senang sahaja mengatakan orang lain sebagai ‘munafik’. Ini masalah yang amat besar kerana jikalau kita boleh menilai seseorang itu munafik atau tidak, maka bolehlah kita menyerang mereka kerana orang-orang munafik ini boleh diperangi. Kerana bukankah munafik itu orang-orang kafir sebenarnya? Dan ini amat bahaya sekali kalau terjadi. Maka jangan kita ada berurusan lagi dengan orang-orang yang mulut mereka senang sahaja mengatakan orang lain munafik. Kerana kalau kita bersama dengan mereka lagi, takut kita pun akan terikut dengan perangai mereka yang buruk. Orang yang melakukan perkara itu ada masalah hati dan perbuatan mereka itu boleh memecahbelahkan masyarakat dan jemaah.

 

إِنَّ اللهَ غَفورٌ رَحيمٌ

sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”.

Allah Maha Pengampun. Oleh itu, kalau seseorang itu sudah sanggup terima agama Islam, maka Allah akan terima taubatnya. Segala kesalahan dan amalan salah sebelum dia masuk Islam itu akan dihapuskan. Dan mungkin selepas dia masuk Islam, semasa sedang belarj agama, tentu ada salah silap kerana tidak tahu lagi agama. Dan selepas dia dah belajar pun, tentu ada juga kesilapan dan kesalahan yang dilakukannya. Maka semua itu Allah sanggup untuk ampunkan kerana Dia Maha Pengampun.

Ada ulama kata, amal dia semasa dia baru masuk Islam itu akan disimpan dahulu oleh Allah. Dan apabila imannya sudah lengkap, maka amalnya yang awal dulu, akan diluluskan dan diberikan dengan markah penuh. Maka ini bermakna yang Allah tak buang amalan awal mereka dulu semasa mereka masih jahil lagi.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 049: al-Hujurat. Bookmark the permalink.

One Response to Tafsir Surah al-Hujurat Ayat 12 – 14 (Paling mulia adalah yang paling bertaqwa)

  1. Pingback: Tafsir Surah al-Hujurat Ayat 12 – 14 (Paling mulia adalah yang paling bertaqwa)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s