Tafsir Surah al-Hujurat Ayat 5 – 8 (Tabayyun)

Ayat 5:

وَلَو أَنَّهُم صَبَروا حَتّىٰ تَخرُجَ إِلَيهِم لَكانَ خَيرًا لَهُم ۚ وَاللهُ غَفورٌ رَحيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And if they had been patient until you [could] come out to them, it would have been better for them. But Allāh is Forgiving and Merciful.

(MELAYU)

Dan kalau sekiranya mereka bersabar sampai kamu keluar menemui mereka sesungguhnya itu lebih baik bagi mereka, dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

 

وَلَو أَنَّهُم صَبَروا حَتّىٰ تَخرُجَ إِلَيهِم لَكانَ خَيرًا لَهُم

Dan kalau sekiranya mereka bersabar sampai kamu keluar menemui mereka sesungguhnya itu lebih baik bagi mereka,

Kalaulah mereka sabar dan tunggu Nabi, itu lebih baik. Tak payahlah panggil-panggil. Biarkanlah Nabi menyelesaikan urusan baginda di dalam rumah baginda dan tunggulah baginda keluar kalau ada apa-apa urusan yang hendak ditanya kepada Rasulullah. Mudah sahaja nak jumpa Nabi kerana baginda bukan ada protokol pun. Bukan nak kena buat temujanji. Malahan Nabi akan cuba ikut cara-cara mereka dimana yang boleh supaya mereka jinak dengan baginda. Maksudnya baginda cuba ikut cara masyarakat yang berurusan dengan baginda.

 

وَاللهُ غَفورٌ رَحيمٌ

dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Allah maafkan kali ini kerana mereka tidak tahu lagi. Memang puak Badwi itu adalah ‘orang darat’ ataupun orang kampung yang tidak biasa masuk ke dalam bandar. Jadi cara percakapan mereka di kampung tentulah ada cara mereka sendiri tetapi mereka kenalah tahu yang cara-cara begitu tidak boleh dipakai di dalam bandar. Terutama sekali apabila bersama dengan golongan mukmin yang telah mendapat didikan akhlak dan tatacara dari Rasulullah sendiri.

Akan tetapi para sahabat memang suka kalau datang orang Badwi dan apabila mereka bertanya soalan yang pelik-pelik dan perbuatan mereka yang pelik-pelik kerana disebabkan oleh merekalah yang turunnya ayat-ayat Qur’an untuk memperbaiki kesilapan mereka itu. Maka para sahabat yang lain dapat ilmu baru. Mereka sendiri tidak banyak bertanya kepada Nabi kerana mereka tahu menjaga adab depan Nabi.

Kita kena faham bahawa agama Islam dan masyarakat Islam menjadi contoh kepada umat manusia. Jadi apa-apa sahaja amalan hidup kita mestilah yang terbaik. Kerana itulah Saidina Umar amat menjaga ketamadunan di Madinah. Kerana itu beliau tidak suka dan akan menghalang orang-orang yang tidak tahu hukum perniagaan untuk berniaga di Madinah. Kerana beliau tidak mahu orang-orang itu buat salah kerana jahil dan akan menjadi ikutan kepada umat-umat yang lain kerana mereka itu menjadi contoh kepada umat Islam. Nanti orang buat kesalahan dan kata “orang Madinah pun buat macam itu…”. Ini bahaya kerana ramai yang datang ke Madinah untuk ambil ilmu.  Jadi jangan tunjuk cara bukan Islam kalau berada di Madinah dan kena belajar dahulu ilmu yang benar.


 

Ayat 6: Undang-undang yang ketiga adalah tentang berita. Orang fasik suka nak sebar berita tak benar maka kena hati-hati. Kena tabayyun.

يا أَيُّهَا الَّذينَ آمَنوا إِن جاءَكُم فاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنوا أَن تُصيبوا قَومًا بِجَهالَةٍ فَتُصبِحوا عَلىٰ ما فَعَلتُم نادِمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O you who have believed, if there comes to you a disobedient one with information, investigate, lest you harm a people out of ignorance and become, over what you have done, regretful.

(MELAYU)

Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum kerana kejahilan yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.

 

يا أَيُّهَا الَّذينَ آمَنوا إِن جاءَكُم فاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنوا

Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti

Ini adalah apabila ada orang yang fasik  datang bawa maklumat. Iaitu jenis yang dengar sahaja dan dia sampaikan tanpa memastikan berita itu benar atau tidak..

Ini adalah sifat munafik. Dan ia berlawanan dengan syariat agama. Kerana tidak boleh sampaikan berita kecuali benda itu benar. Telah disebut tentang perkara ini  di dalam Qur’an dan sunnah. Sila rujuk ayat Isra:36.

وَلا تَقفُ ما لَيسَ لَكَ بِهِ عِلمٌ ۚ إِنَّ السَّمعَ وَالبَصَرَ وَالفُؤادَ كُلُّ أُولٰئِكَ كانَ عَنهُ مَسئولًا

Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungan jawabnya.

Maknanya, jangan kita memperkatakan sesuatu tanpa kita ada ilmu – iaitu tanpa kita tahu yang ianya benar atau tidak. Kita kena pastikan ianya benar sebelum kita sampaikan kepada orang lain. Ada satu hadis yang jelas berkenaan perkara ini juga. Hadits ini diriwayatkan oleh Al-Imam Muslim bin Al-Hajjaaj rahimahullah dalam kitab Shahiih-nya dengan sanad dan matan lengkapnya :

حَدَّثَنَا أَبُو بَكْرِ بْنُ أَبِي شَيْبَةَ، حَدَّثَنَا عَلِيُّ بْنُ حَفْصٍ، حَدَّثَنَا شُعْبَةُ، عَنْ خُبَيْبِ بْنِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ، عَنْ حَفْصِ بْنِ عَاصِمٍ، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم، قال : كَفَى بِالْمَرْءِ كَذِبًا، أَنْ يُحَدِّثَ بِكُلِّ مَا سَمِعَ

Telah menceritakan kepada kami Abu Bakr bin Abi Syaibah, telah menceritakan kepada kami ‘Aliy bin Hafsh, telah menceritakan kepada kami Syu’bah, dari Khubaib bin ‘Abdirrahman, dari Hafsh bin ‘Aashim, dari Abu Hurairah radhiyallaahu ‘anhu, dari Nabi Shallallaahu ‘alaihi wasallam, beliau bersabda, “Cukuplah seseorang (dianggap) berdusta jika ia menceritakan semua yang ia dengar.”
[Shahiih Muslim]

Jadi sudah ada dua dalil yang kuat. Dan kalau dua dalil ini tidak dipakai, maka orang itu dikira sebagai orang yang fasik kerana tolak hukum. Maka jangan kita jadi seperti mereka. Kalau tak pasti lagi kesahihan sesuatu perkara, jangan sebarkan.

Kalau tidak, ia boleh menjadi masalah besar kerana maklumat boleh salah didengari dan kerana itu boleh salah penyampaian kepada orang lain. Kalau tidak percaya, boleh buat eksperimen satu permainan yang dipanggil ‘Chinese Whisper’. Beri satu maklumat kepada seorang dan suruh dia sampaikan kepada orang lain. Katakanlah ada 10 orang bermain. Kalau kita lihat balik apakah maklumat yang disampaikan oleh orang yang kesepuluh itu, ia sudah tentu lain dari maklumat yang kita sampaikan kepada orang yang pertama. Ini terjadi kerana kebiasaan manusia yang akan tambah maklumat mereka sendiri. Mereka tambah itu sedikit sahaja tapi ia akan menjadi banyak lama kelamaan. Kerana kita selalunya faham sesuatu perkara itu dan kita simpan maklumat itu menggunakan pemahaman kita sendiri. Dan kemudian kita keluarkan juga ikut pemahaman kita. Dan pemahaman kita tidak semestinya sama dengan orang lain. Orang lain pula, bila dia terima, dia pun akan terima ikut pemahaman dia pula. Jadi boleh nampak bagaimana perkara ini boleh menyebabkan kekeliruan?

Jadi, apabila kita dapat maklumat dari orang-orang yang tidak endahkan tentang hukum penyebaran maklumat, kena pastikan kebenarannya. Mereka kena jelaskan dari mana mereka dapat maklumat itu. Dan kita kena minta bukti dari mereka. Dan kalau mereka tidak ada bukti, jangan dengar. Dan jangan cerita pula kepada orang lain (jangan panjangkan lagi). Ini penting kerana orang beriman kena pastikan maklumat yang dibawa.

 

أَن تُصيبوا قَومًا بِجَهالَةٍ

agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum kerana kejahilan

Maklumat yang salah ada kesannya. Bukan setakat bercakap sahaja, bukan setakat cerita sahaja. Maksud yang salah akan menyebabkan kesusahan kepada orang lain. Dan ini akan terjadi kerana kejahilan kita yang tidak memastikan maklumat itu benar atau tidak. Kerana mungkin maklumat yang salah itu menyebabkan jatuhnya nama seseorang, menyebabkan perkelahian, menyebabkan jatuh bisness seseorang dan sebagainya.

Kesan yang terkait boleh jadi besar, sedangkan kita cakap senang sahaja masa minum-minum di kedai kopi sahaja. Tapi pada orang lain melihat ianya masalah yang besar pada mereka. Kita sendiri pun mungkin pernah kena dengan perkara ini bukan? Kadang-kadang bila dikaji balik, baru nampak bagaimana ianya adalah salah faham sahaja. Dan permasalahan itu boleh dielak jikalau pihak yang mendapat maklumat itu periksa dahulu samada berita itu benar atau tidak.

Dan jangan kita lupa bagaimana masalah yang kecil boleh jadi besar. Ia boleh jadi terlalu besar sampai tidak boleh nak diselamatkan. Mungkin kerana berita palsu, orang akan habiskan duit mereka dan tidak dapat diambil kembali. Maka kena selidiklah dahulu apa yang disampaikan kepada kita. Ini dinamakan ‘tabayyun’.

 

فَتُصبِحوا عَلىٰ ما فَعَلتُم نادِمينَ

yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.

Kalau kita tidak berhati-hati dengan maklumat yang diterima dari orang fasik, kemudian kita sampaikan kepada orang lain, dan ada masalah atau kerugian yang timbul, kita sendiri yang akan menyesal nanti. Jadi Allah telah beri nasihat awal-awal supaya jangan lakukan perkara itu.


 

Ayat 7: Ayat ini ada hubungan dengan undang-undang pertama (jangan mendahului Allah dan Rasul). Jadi ini adalah tanwir (tambahan).

وَاعلَموا أَنَّ فيكُم رَسولَ اللهِ ۚ لَو يُطيعُكُم في كَثيرٍ مِنَ الأَمرِ لَعَنِتُّم وَلٰكِنَّ اللهَ حَبَّبَ إِلَيكُمُ الإيمانَ وَزَيَّنَهُ في قُلوبِكُم وَكَرَّهَ إِلَيكُمُ الكُفرَ وَالفُسوقَ وَالعِصيانَ ۚ أُولٰئِكَ هُمُ الرّاشِدونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And know that among you is the Messenger of Allāh. If he were to obey you in much of the matter, you would be in difficulty, but Allāh has endeared to you the faith and has made it pleasing in your hearts and has made hateful to you disbelief, defiance and disobedience. Those are the [rightly] guided.

(MELAYU)

Dan ketahuilah olehmu bahawa di kalanganmu ada Rasulullah. Kalau ia menuruti kemauanmu dalam beberapa urusan benar-benarlah kamu mendapat kesusahan, tetapi Allah menjadikan kamu “cinta” kepada keimanan dan menjadikan keimanan itu indah di dalam hatimu serta menjadikan kamu benci kepada kekafiran, kefasikan, dan kedurhakaan. Mereka itulah orang-orang yang mengikuti jalan yang lurus,

 

وَاعلَموا أَنَّ فيكُم رَسولَ اللهِ

Dan ketahuilah olehmu bahawa di kalanganmu ada Rasulullah.

Masyarakat Islam waktu itu diingatkan yang mereka kenalah tahu yang di kalangan mereka ada Rasulullah SAW. Baginda yang sampaikan wahyu dan cara-cara kehidupan yang berteraskan agama Islam. Maka hormatilah baginda, muliakanlah baginda, bersopan santunlah kamu dalam menghadapinya, dan turutilah perintahnya. Kerana sesungguhnya baginda lebih mengetahui kemaslahatan kalian dan lebih sayang kepada kalian daripada diri kalian sendiri. Dan pendapatnya untuk kalian lebih sempurna daripada pendapat kalian untuk diri kalian sendiri. Hal yang senada disebutkan oleh Allah Swt. melalui firman-Nya:

{النَّبِيُّ أَوْلَى بِالْمُؤْمِنِينَ مِنْ أَنْفُسِهِمْ}

Nabi itu (hendaknya) lebih utama bagi orang-orang mukmin dari diri mereka sendiri. (Al-Ahzab: 6)

Maka mereka ada tempat rujukan dalam segala hal.  Maka jangan buat pandai-pandailah, kenalah rujuk baginda.

Walaupun kita tidak ada di kalangan Rasulullah, tapi kita kena sedar yang hadis dan sunnah-sunnah baginda masih sampai kepada kita. Maka kita kena perhatikan.

 

لَو يُطيعُكُم في كَثيرٍ مِنَ الأَمرِ لَعَنِتُّم

Kalau ia menuruti kemauanmu dalam beberapa urusan benar-benarlah kamu mendapat kesusahan,

Kalau baginda ikut kehendak mereka, mereka akan ada masalah. Kalau Nabi ambil semua cadangan para sahabat, mungkin ada masalah. Ini semakna dengan apa yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman Allah Swt.:

{وَلَوِ اتَّبَعَ الْحَقُّ أَهْوَاءَهُمْ لَفَسَدَتِ السَّمَوَاتُ وَالأرْضُ وَمَنْ فِيهِنَّ بَلْ أَتَيْنَاهُمْ بِذِكْرِهِمْ فَهُمْ عَنْ ذِكْرِهِمْ مُعْرِضُونَ}

Andaikata kebenaran itu menuruti hawa nafsu mereka, pasti binasalah langit dan bumi ini, dan semua yang ada di dalamnya. Sebenarnya Kami telah mendatangkan kepada mereka kebanggaan mereka, tetapi mereka berpaling dari kebanggaan. (Al-Mu’minun: 71)

Kadang-kadang memang baginda tanya pendapat sahabat. Sebagai contoh, semasa Perang Uhud, baginda ikut keinginan para sahabat untuk berperang di luar Kota Madinah. Tapi lihatlah apa terjadi. Maka mereka dinasihatkan kena ikut Nabi dan bukan baginda yang kena ikut mereka.

Begitu juga dengan kita, dalam hal kehidupan kita, kita kena cari apakah nasihat dan sunnah Nabi dalam perkara itu. Kena cari dulu sebelum kata ‘tidak ada’. Kerana kadang-kadang yang bagi pendapat sendiri itu kerana mreka tidak cari lagi samada ada hadis berkenaan sesuatu hal itu (atau mereka tidak bertanya kepada mereka yang tahu).

 

وَلٰكِنَّ اللهَ حَبَّبَ إِلَيكُمُ الإيمانَ وَزَيَّنَهُ في قُلوبِكُم

tetapi Allah menjadikan kamu “cinta” kepada keimanan dan menjadikan keimanan itu indah di dalam hatimu

Tapi Allah telah cantikkan iman dalam hati mereka. Iman yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah iman kepada Rasulullah. Maksudnya Allah hiasi iman dalam hati mereka. Tapi dari mulanya kena ada kasih dulu dan kemudian Allah akan beri tambahan iman. Maka kena cari dulu dan cari. Bila kita sudah mencari, Allah akan beri.

 

وَكَرَّهَ إِلَيكُمُ الكُفرَ وَالفُسوقَ وَالعِصيانَ

serta menjadikan kamu benci kepada kekafiran, kefasikan, dan kedurhakaan.

Allah jadikan dalam hati mereka ada kebencian kepada perkara yang tidak elok. Iaitu perkara-perkara kufur dan syirik. Sementara الفُسوقَ bermaksud ‘dosa-dosa besar’.

العِصيانَ adalah dosa-dosa kecil. Bila ada iman maka akan nampak buruknya dosa. Orang yang ada iman tidak suka melakukan dosa. Mereka akan lebih prihatin terhadap dosa-dosa yang dilakukan oleh manusia. Mereka tidak mahu melakukan dosa dan akan cuba untuk tidak melakukannya.

 

أُولٰئِكَ هُمُ الرّاشِدونَ

Mereka itulah orang-orang yang mengikuti jalan yang lurus,

Mereka itulah orang terpimpin semasa atas dunia lagi. Mereka hidup atas hidayah yang Allah berikan. Inilah sifat-sifat para sahabat. Allah suruh kita ikut mereka dan kerana itu kita kena belajar apakah fahaman salafussoleh. Kerana itu kita ambil agama dari mereka.


 

Ayat 8:

فَضلًا مِنَ اللهِ وَنِعمَةً ۚ وَاللهُ عَليمٌ حَكيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[It is] as bounty from Allāh and favor. And Allāh is Knowing and Wise.

(MELAYU)

sebagai kurnia dan nikmat dari Allah. Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

 

فَضلًا مِنَ اللهِ وَنِعمَةً

sebagai kurnia dan nikmat dari Allah.

Jadi Allah telah beri berbagai-bagai nikmat kepada para sahabat. Itu adalah nikmat Allah atas mereka. Maka Allah ingatkan mereka tentang apa yang mereka perlu lakukan.

 

وَاللهُ عَليمٌ حَكيمٌ

Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

Allah tahu apa yang mereka lakukan. Begitu juga Allah tahu apa yang kita lakukan.

Segala pemberian Allah itu adalah berdasarkan kebijaksanaanNya.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 049: al-Hujurat. Bookmark the permalink.

One Response to Tafsir Surah al-Hujurat Ayat 5 – 8 (Tabayyun)

  1. Pingback: Tafsir Surah al-Hujurat Ayat 5 – 8 (Tabayyun)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s