Tafsir Surah al-Hujurat Ayat 1 – 4 (Suara jangan tinggi)

Pengenalan:

Selepas menyentuh tentang keutamaan untuk taat kepada Rasulullah di dalam Surah Fath sebelum ini, sekarang Surah Hujurat ini meneruskan pengajaran kepada kita tentang cara kita berurusan dengan Rasulullah SAW.

Surah ini penting kerana ia mengajar umat Islam tentang tatacara yang sepatutnya ada di dalam masyarakat Islam. Bukan hanya pada zaman Nabi dan semasa baginda hidup sahaja. Surah ini mengajar cara bermasyarakat yang sepatutnya. Mengajar kita bagaimana untuk menghormati orang lain. Terutama sekali dengan orang-orang yang sama-sama sayang kepada Rasul. Kita semua Muslim dan sayang kepada baginda, bukan? Maka kita telah ada satu persamaan yang mendekatkan pertalian antara kita. Maka kalau begitu, kena amalkan apa yang diajar dalam surah ini.

Kalau sudah bermasyarakat dan sudah ada negara Islam maka rakyat di dalam negara Islam itu kena patuhi undang-undang kerana jika tidak negara akan pecah belah dan hancur.

Surah ini terbahagi kepada dua bahagian:

Bahagian pertama adalah ayat satu hingga 13 di mana ia mengandungi tujuh undang-undang dalam sebuah negara Islam atau tujuh adab di antara rakyat dengan khalifah dan rakyat sesama rakyat.

Bahagian kedua adalah dari ayat 14 hingga akhir yang mengandungi teguran Allah kepada kumpulan kafir dan munafik.


 

Ayat 1: Ini larangan menyalahi Quran dan Sunnah.

يا أَيُّهَا الَّذينَ آمَنوا لا تُقَدِّموا بَينَ يَدَيِ اللهِ وَرَسولِهِ ۖ وَاتَّقُوا اللهَ ۚ إِنَّ اللهَ سَميعٌ عَليمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Al-Ḥujurāt: The Chambers, referring to the rooms in which the wives of the Prophet (ṣ) lived.

O you who have believed, do not put [yourselves] before Allāh and His Messenger¹ but fear Allāh. Indeed, Allāh is Hearing and Knowing.

•Rather, wait for instruction and follow the way of the Prophet ().

(MELAYU)

Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mendahului Allah dan RasulNya dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

 

يا أَيُّهَا الَّذينَ آمَنوا

Hai orang-orang yang beriman,

Ini adalah arahan kepada orang yang rasa mereka telah beriman. Kalau rasa beriman tu, kenalah dengar dan sedar tentang ayat ini.

 

لا تُقَدِّموا بَينَ يَدَيِ اللهِ وَرَسولِهِ

janganlah kamu mendahului Allah dan RasulNya

Jangan jadikan diri kamu prioriti yang lebih dari Allah dan Rasul. Kita sebagai manusia memang ada kehendak, itu tidak dinafikan. Akan tetapi kehendak kita itu hendaklah datang nombor dua selepas kehendak Allah dan Rasul. Kita kena lebih cinta kepada Allah dan Rasul sebelum diri kita. Ada masanya dalam kehidupan kita, akan ada konflik di antara kehendak kita dan kehendak agama maka kita kena dulukan agama.

Maknanya di dalam setiap urusan kehidupan kita sebelum kita lakukan sesuatu hendaklah kita tanya: apakah kata Qur’an dan kata hadis berkenaan perkara itu. Jangan kata tidak ada di dalam Quran dan hadis sedangkan tak tanya dan tidak cari lagi.

Maksudnya lagi, janganlah tergesa-gesa dalam segala sesuatu di hadapannya, yakni janganlah melakukan sesuatu sebelum baginda, bahkan hendaknyalah m mengikuti baginda dalam segala urusan.

Apabila telah duduk di dalam negara Islam,  kenalah tanya apakah kehendak agama di dalam sesuatu perkara. Dalam bab aqidah kena tanya Qur’an dan dalam bab amalan kena tanya hadis. Untuk mendapatkan ini, kenalah belajar. Atau sekurangnya kena rapat dengan golongan alim. Supaya senang nak tanya apa-apa soalan.

Dan termasuk ke dalam pengertian umum etika yang diperintahkan Allah ini adalah hadis Mu’az r.a. ketika ia diutus oleh Nabi Saw. ke negeri Yaman.

“بِمَ تَحْكُمُ؟ ” قَالَ: بِكِتَابِ اللَّهِ. قَالَ: “فَإِنْ لَمْ تَجِدْ؟ ” قَالَ: بِسُنَّةِ رَسُولِ اللَّهِ. قَالَ: “فَإِنْ لَمْ تَجِدْ؟ ” قَالَ: أَجْتَهِدُ رَأْيِي، فَضَرَبَ فِي صَدْرِهِ وَقَالَ: “الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي وَفَّقَ رسولَ رسولِ اللَّهِ، لِمَا يَرْضَى رَسُولُ اللَّهِ”.

Nabi Saw. bertanya kepadanya, “Dengan apa engkau putuskan hukum?” Mu’az menjawab, “Dengan Kitabullah” Rasul Saw. bertanya, “Kalau tidak kamu temukan?” Mu’az menjawab, “Dengan sunnah Rasul.” Rasul Saw. bertanya, “Jika tidak kamu temukan?” Mu’az menjawab, “Aku akan berijtihad sendiri.” Maka Rasul Saw. mengusap dadanya seraya bersabda: Segala puji bagi Allah yang telah membimbing utusan Rasulullah kepada apa yang diredhai oleh Rasulullah.

Kaitannya dengan pembahasan ini ialah Mu’az menangguhkan pendapat dan ijtihadnya sendiri sesudah Kitabullah dan sunnah Rasul-Nya. Sekiranya dia mendahulukan ijtihadnya sebelum mencari sumber dalil dari keduanya, tentulah dia termasuk orang yang mendahului Allah dan Rasul-Nya.

 

وَاتَّقُوا اللهَ

dan bertakwalah kepada Allah.

Jadi dalam undang-undang pertama ini, pemimpin atau Khalifah pun kena tengok syariat agama di dalam memerintah negara. Jangan buat sesuatu keputusan yang menyalahi Qur’an dan Sunnah. Kalau pemimpin itu sendiri jahil agama, maka dia kena ada penasihat dari kalangan orang alim.

 

إِنَّ اللهَ سَميعٌ عَليمٌ

Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

Kena jaga kerana Allah sentiasa memerhatikan. Allah sentiasa nampak dan mendengar perbuatan manusia.


 

Ayat 2: Ayat ini tentang hormat. Ianya tentang adab dengan Nabi. Nabi itu tidak sama dengan manusia biasa. Maka cara layanan pun kenalah lain.

يا أَيُّهَا الَّذينَ آمَنوا لا تَرفَعوا أَصواتَكُم فَوقَ صَوتِ النَّبِيِّ وَلا تَجهَروا لَهُ بِالقَولِ كَجَهرِ بَعضِكُم لِبَعضٍ أَن تَحبَطَ أَعمالُكُم وَأَنتُم لا تَشعُرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O you who have believed, do not raise your voices above the voice of the Prophet or be loud to him in speech like the loudness of some of you to others, lest your deeds become worthless while you perceive not.

(MELAYU)

Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu meninggikan suaramu melebihi suara Nabi, dan janganlah kamu berkata kepadanya dengan suara yang keras, sebagaimana kerasnya suara sebahagian kamu terhadap sebahagian yang lain, supaya tidak hapus (pahala) amalanmu, sedangkan kamu tidak menyedari.

 

يا أَيُّهَا الَّذينَ آمَنوا

Hai orang-orang yang beriman,

Sekali lagi nasihat diberikan kepada mereka yang telah sanggup menerima iman. Apabila menerima iman, maka ada syarat-syarat yang kena dijaga.

 

لا تَرفَعوا أَصواتَكُم فَوقَ صَوتِ النَّبِيِّ

janganlah kamu meninggikan suaramu melebihi suara Nabi,

Apabila bercakap dengan Rasulullah, kena pastikan bahawa suara tidak lebih kuat dari suara baginda. Kadang-kadang ada manusia yang jenis suara mereka memang kuat dan cara bercakap mereka memang kasar. Contohnya orang Badwi memang cara cakap mereka kuat dan kasar, tetapi walaupun begitu mereka tidak boleh melakukannya di hadapan Rasulullah. Mereka kena kawal diri mereka. Kena ubah sikit kebiasaan mereka. Perkara baik memang elok diamalkan.

Mereka tidak boleh guna alasan: “macam inilah cara aku cakap”. Ini penting kerana kita tidak boleh menyakiti hati Nabi kerana kalau menyakiti hati Nabi, maka iman kita sudah rosak. Dalam setiap hati kita, kena ada kasih dan sayang kepada Nabi. Sampai sanggup bercakap dengan lembut kepada baginda.

Tapi bagaimana pengamalan ayat ini kepada kita yang tidak berjumpa dengan Rasulullah? Kita kena ingat yang suara Nabi sampai kepada kita melalui ayat-ayat Qur’an yang dibaca oleh baginda dan hadis-hadis yang disampaikan oleh baginda. Maka jikalau ada orang yang menegur kita dengan menyebut dalil-dalil daripada ayat Qur’an dan juga dari hadis, maka hendaklah kita menghormati apa yang disampaikan itu kerana seolah-olah ianya adalah suara Nabi.

Mungkin kita tidak bersetuju dengan apa yang disampaikan ataupun mungkin orang yang menyampaikannya itu salah faham tentang ayat ataupun hadis itu tetapi perkara ini bukanlah untuk didebatkan. Pertama sekali kita kena hormat dengan apa yang disampaikan jikalau yang dibawa adalah kata-kata Rasulullah SAW. Selepas itu jikalau kita ada maklumat yang lebih tepat maka bolehlah kita memberi tahu kepada orang yang menegur kita. Yang pentingnya, pertama sekali kena hormat.

 

وَلا تَجهَروا لَهُ بِالقَولِ كَجَهرِ بَعضِكُم لِبَعضٍ

dan janganlah kamu berkata kepadanya dengan suara yang keras, sebagaimana kerasnya suara sebahagian kamu terhadap sebahagian yang lain,

Jangan kita panggil baginda dengan suara nyaring seperti kita panggil orang lain. Jangan layan Nabi seperti kita layan manusia yang lain.

Kisahnya, ada dari kalangan orang-orang Badwi yang memanggil Nabi Muhammad dari luar rumah baginda kerana mereka ada soalan yang hendak ditanya. Mereka datang dari luar bandar dan masuk ke Kota Madinah dan mereka hendak bercakap dengan Rasulullah dan waktu itu baginda telah masuk ke dalam bilik rumah (hujurat) baginda kerana urusan baginda. Baginda pun manusia juga dan tentulah ada urusan yang hendak baginda selesaikan di dalam rumah. Ini adalah hal peribadi baginda. Sahabat-sahabat yang tinggal di Madinah dan sudah lama dengan baginda tidak akan memanggil baginda apabila baginda telah masuk ke dalam rumah sehinggalah baginda keluar sendiri.

Sudahlah orang-orang Badwi itu memanggil baginda dengan suara kuat apabila baginda sudah di dalam rumah, mereka cuma panggil baginda dengan nama baginda sahaja. “Ya Muhammad!”,  mereka panggil begitu sahaja.

Allah tidak suka dengan apa yang mereka lakukan itu maka Allah tegur mereka di dalam ayat ini. Allah turunkan ayat mengajar manusia dengan adab kepada pemimpin kerana jikalau dengan pemimpin pun rakyat tidak boleh beradab, lalu bagaimanakah mereka akan menjadi contoh kepada manusia yang lain?

Dan ini penting, kerana Nabi Muhammad bukanlah seperti orang-orang lain dan sekarang mereka sedang hidup di dalam masyarakat yang baru tumbuh, maka ada undang-undang yang perlu mereka jaga. Masyarakat Islam adalah masyarakat yang baru, maka ada peraturan-peraturan yang perlu ditetapkan dan perlu dijaga oleh mereka. Masyarakat Islam adalah seperti keluarga yang besar dan ketua keluarga yang perlu dihormati adalah Rasulullah SAW sendiri.

Dan inilah yang difahami oleh para sahabat di sekeliling baginda. Walaupun mereka itu kenal Rasulullah sebelum baginda menjadi Rasul lagi, tetapi mereka tetap panggil baginda dengan gelaran ‘Rasulullah’. Sebagai contoh, Abu Bakar telah kenal dan berkawan rapat dengan Nabi semasa mereka kecil lagi tetapi beliau juga memanggil Nabi Muhammad dengan gelaran ‘Rasulullah’. Beliau tidak cakap: “sahabat aku Muhammad cakap begini dan begini….” Isteri-isteri baginda juga rapat dengan baginda dan tinggal serumah tetapi mereka juga panggil baginda dengan gelaran ‘Rasulullah’. Mereka tidaklah kata: “suami aku telah bersabda…”.

Kalau mereka memang telah kenal baginda semasa baginda belum lagi menjadi Nabi, mereka menukar cara panggilan mereka kepada baginda kepada ‘Rasulullah’ kerana mereka sedar kedudukan baginda yang perlu dihormati. Kita tidak alami perkara ini kerana kita lahir-lahir sahaja kita telah kenal Rasulullah sebagai manusia yang mulia.

Dan cara penghormatan kepada Rasulullah SAW adalah biasa sahaja dan bukanlah yang pelik-pelik pun. Ianya masih diterima akal sihat lagi. Baginda pun tidak suka apabila orang bangkit apabila baginda sampai, sehinggakan baginda menegur para sahabat yang melakukan demikian. Memang Nabi larang perkara ini maka jikalau kita menyambut orang pun janganlah kita bangkit. Tapi memang banyak yang buat perkara ini dan tanpa mereka sedari, mereka telah menyalahi larangan dari Nabi sendiri.

Maknanya menghormati Nabi ini adalah perkara biasa sahaja sampaikan baginda boleh ditegur di tengah perjalanan dan sahabat boleh bercakap dengan cara biasa sahaja dengan baginda. Maknanya tidak ada protokol khas apabila berurusan dengan Nabi, cuma janganlah tidak beradab dengan baginda. Janganlah sampai apabila baginda sudah masuk ke dalam rumah baginda, dipanggil-panggil baginda untuk keluar waktu itu juga. Inilah yang dikira tidak beradab.

Dan bagaimana dengan kita sekarang, iaitu bagaimanakah kita hendak menghormati Nabi? Maksudnya kita tidak boleh bercakap berkenaan Nabi Muhammad SAW seperti kita bercakap tentang orang-orang yang lain. Kita kena cakap tentang baginda sebagai seorang yang mulia dan seorang yang amat dihormati. Jangan kita memperlekehkan baginda.

 

أَن تَحبَطَ أَعمالُكُم وَأَنتُم لا تَشعُرونَ

supaya tidak hapus (pahala) amalanmu, sedangkan kamu tidak menyedari.

Dan perkara ini amat penting sampaikan Allah memberitahu kita, jikalau kita tidak menghormati Nabi seperti mana yang sepatutnya, segala amalan-amalan baik yang kita telah lakukan akan hancur begitu sahaja. Maka kalau mereka telah hijrah dengan Nabi, berperang dengan Nabi, solat bersama Nabi, apa-apa sahaja amalan baik yang telah mereka lakukan, semua itu akan dihilangkan pahalanya. Maka rugilah sahaja. Kerana tidak beradab dengan Nabi itu boleh menyebabkan gugur segala amalan.


 

Ayat 3: Allah memberitahu kelebihan orang yang merendah-rendahkan suara di hadapan Rasulullah SAW.

إِنَّ الَّذينَ يَغُضّونَ أَصواتَهُم عِندَ رَسولِ اللهِ أُولٰئِكَ الَّذينَ امتَحَنَ اللهُ قُلوبَهُم لِلتَّقوىٰ ۚ لَهُم مَغفِرَةٌ وَأَجرٌ عَظيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, those who lower their voices before the Messenger of Allāh – they are the ones whose hearts Allāh has tested for righteousness. For them is forgiveness and great reward.

(MELAYU)

Sesungguhnya orang yang merendahkan suaranya di sisi Rasulullah mereka itulah orang-orang yang telah diuji hati mereka oleh Allah untuk bertakwa. Bagi mereka ampunan dan pahala yang besar.

 

إِنَّ الَّذينَ يَغُضّونَ أَصواتَهُم عِندَ رَسولِ اللهِ

Sesungguhnya orang yang merendahkan suaranya di sisi Rasulullah

Allah memuji mereka yang merendahkan suara mereka di hadapan Rasulullah. Iaitu mereka yang hormat sungguh-sungguh di hadapan Nabi.

 

أُولٰئِكَ الَّذينَ امتَحَنَ اللهُ قُلوبَهُم لِلتَّقوىٰ

mereka itulah orang-orang yang telah diuji hati mereka oleh Allah untuk bertakwa.

Allah kata yang mereka itu telah diuji untuk taqwa. Maksudnya Allah telah bersihkan hati mereka untuk menerima sifat takwa. Allah telah uji hati mereka sehingga mereka layak untuk terima takwa dan alamat mereka sudah sampai ke tahap itu adalah boleh bercakap lembut dengan Nabi.

Taqwa itu bermaksud taat kepada Allah, tetapi di dalam ayat ini ia bermaksud hormat Rasulullah. Nak taat kepada Allah, kena juga hormat dan beradab di hadapan Rasulullah.

 

لَهُم مَغفِرَةٌ وَأَجرٌ عَظيمٌ

Bagi mereka keampunan dan pahala yang besar.

Mereka mendapat pengampunan dan pahala yang besar dari Allah. Ini adalah nikmat yang amat besar. Kerana masalah yang kita takut adalah dosa-dosa kita. Kerana dosa boleh memasukkan seseorang itu ke dalam neraka. Kalau Allah kata yang Dia akan ampunkan, maksudnya sudah pasti akan masuk ke dalam syurga.

Dan kemudian dijanjikan pula dengan pahala yang besar. Pahala yang banyak akan meninggikan kedudukan dalam syurga. Kerana syurga itu ada banyak tingkatan. Kalau dah diampunkan semua dosa, maka sudah pasti masuk syurga. Tapi kedudukan belum pasti lagi. Dan sekarang Allah kata Dia akan berikan pahala yang besar, maka itu bermakna akan dinaikkan ke kedudukan yang tinggi sekali. Maka alangkah hebatnya tawaran ini!


 

Ayat 4: Ayat Zajrun diberikan kepada mereka yang tidak faham lagi agama Islam.

إِنَّ الَّذينَ يُنادونَكَ مِن وَراءِ الحُجُراتِ أَكثَرُهُم لا يَعقِلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, those who call you, [O Muḥammad], from behind the chambers – most of them do not use reason.

(MELAYU)

Sesungguhnya orang-orang yang memanggil kamu dari luar kamar(mu) kebanyakan mereka tidak mengerti.

 

إِنَّ الَّذينَ يُنادونَكَ مِن وَراءِ الحُجُراتِ

Sesungguhnya orang-orang yang memanggil kamu dari luar kamar

Allah menegur mereka yang memanggil Rasulullah dari luar bilik baginda. Ini adalah tentang orang-orang Badwi yang telah melaung memanggil Nabi semasa baginda sedang melakukan urusan peribadi di dalam bilik rumah baginda. Sudah melaung panggil baginda, panggil baginda dengan nama sahaja.

 

أَكثَرُهُم لا يَعقِلونَ

kebanyakan mereka tidak mengerti.

Allah kata mereka itu jenis orang yang tidak mengerti. Ini adalah teguran yang menggunakan bahasa yang lembut. Kerana ada dua cara untuk kita kata orang ‘tidak tahu’. Satu cara, kita kata mereka tidak tahu dan satu lagi cara, kita kata mereka bodoh. Tetapi lihatlah bagaimana Allah kata mereka itu hanya ‘tidak tahu’ sahaja dan tidaklah Allah kata mereka itu bodoh. Maka walaupun ini adalah teguran, tapi masih teguran yang lembut lagi.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir ibn Kathir

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 049: al-Hujurat. Bookmark the permalink.

One Response to Tafsir Surah al-Hujurat Ayat 1 – 4 (Suara jangan tinggi)

  1. Pingback: Tafsir Surah al-Hujurat Ayat 1 – 4 (Suara jangan tinggi)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s