Tafsir Surah al-Fath Ayat 29 (Kelebihan Sahabat)

Ayat 29: Ayat Tabshir. Awal surah ini dimulai dengan tabshir dan akhir ini juga tabshir. Allah hendak memberitahu hebatnya Rasulullah itu kerana hebatnya pengikut baginda (para sahabat). Begitulah, Islam menjadi agama yang unggul kerana para sahabat yang dipilih oleh Allah itu juga unggul. Kerana itulah kumpulan yang hebat itu menjadi hebat kerana ahli-ahli di dalam sesuatu kumpulan itu. Maka jangan kita lupa kepentingan diri kita di dalam satu-satu kumpulan. Mungkin kita dalam kumpulan dakwah, maka kita kena jalankan tugas kita dan jadi orang yang hebat di dalam kumpulan kita itu. Iaitu buat perkara yang kita boleh buat. Kerana lain orang, lain kelebihan mereka.

مُحَمَّدٌ رَسولُ اللهِ ۚ وَالَّذينَ مَعَهُ أَشِدّاءُ عَلَى الكُفّارِ رُحَماءُ بَينَهُم ۖ تَراهُم رُكَّعًا سُجَّدًا يَبتَغونَ فَضلًا مِنَ اللهِ وَرِضوانًا ۖ سيماهُم في وُجوهِهِم مِن أَثَرِ السُّجودِ ۚ ذٰلِكَ مَثَلُهُم فِي التَّوراةِ ۚ وَمَثَلُهُم فِي الإِنجيلِ كَزَرعٍ أَخرَجَ شَطأَهُ فَآزَرَهُ فَاستَغلَظَ فَاستَوىٰ عَلىٰ سوقِهِ يُعجِبُ الزُّرّاعَ لِيَغيظَ بِهِمُ الكُفّارَ ۗ وَعَدَ اللهُ الَّذينَ آمَنوا وَعَمِلُوا الصّالِحاتِ مِنهُم مَغفِرَةً وَأَجرًا عَظيمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Muḥammad is the Messenger of Allāh; and those with him are forceful against the disbelievers, merciful among themselves. You see them bowing and prostrating [in prayer], seeking bounty from Allāh and [His] pleasure. Their mark [i.e., sign] is on their faces [i.e., foreheads] from the trace of prostration. That is their description in the Torah. And their description in the Gospel is as a plant which produces its offshoots and strengthens them so they grow firm and stand upon their stalks, delighting the sowers – so that He [i.e., Allāh] may enrage by them¹ the disbelievers. Allāh has promised those who believe and do righteous deeds among them forgiveness and a great reward.

•The given examples depict the Prophet () and his companions.

(MELAYU)

Muhammad itu adalah utusan Allah dan orang-orang yang bersama dengan dia adalah keras terhadap orang-orang kafir, tetapi berkasih sayang sesama mereka. Kamu lihat mereka ruku’ dan sujud mencari kurnia Allah dan keredhaan-Nya, tanda-tanda mereka tampak pada muka mereka dari bekas sujud. Demikianlah sifat-sifat mereka dalam Taurat dan sifat-sifat mereka dalam Injil, iaitu seperti tanaman yang mengeluarkan tunasnya maka tunas itu menjadikan tanaman itu kuat lalu menjadi besarlah dia dan tegak lurus di atas pokoknya; tanaman itu menyenangkan hati penanam-penanamnya kerana Allah hendak menjengkelkan hati orang-orang kafir (dengan kekuatan orang-orang mukmin). Allah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang saleh di antara mereka ampunan dan pahala yang besar.

 

مُحَمَّدٌ رَسولُ اللهِ

Muhammad itu adalah utusan Allah

Allah memberi penegasan bahawa Nabi Muhammad SAW itu adalah Rasulullah. Baginda bukanlah manusia biasa. Maka kenalah taat kepada baginda. Bagindalah Rasul yang paling unggul yang telah dipilih oleh Allah. Maka janganlah lepaskan peluang itu.

Para sahabat diberi kelebihan untuk berkhidmat terus kepada Nabi. Kita tidak ada peluang itu. Tapi kita jangan lupa yang kita juga kena taat kepada baginda. Iaitu kena ikut ajaran baginda. Kena ikut sifat dan akhlak baginda. Kerana bagindalah ikutan kita. Maka janganlah kita tidak hiraukan kisah hidup baginda dan sunnah baginda. Ada kewajiban bagi diri kita untuk mempelajarinya dan mengamalkannya. Janganlah kita jadi seperti kebanyakan orang yang amat jahil tentang Rasulullah SAW. Ramai yang tafsir Qur’an tak belajar, Sunnah Nabi pun tidak belajar. Amatlah malang dan rugi sekali.

 

وَالَّذينَ مَعَهُ أَشِدّاءُ عَلَى الكُفّارِ

dan orang-orang yang bersama dengan baginda adalah keras terhadap orang-orang kafir,

Dan Allah memuji para sahabat yang bersama dengan baginda. Allah menggunakan kalimah ‘bersama’ ini kerana ini penting. Ini adalah satu penekanan kerana walaupun seseorang itu telah beriman dengan baginda, tidak semestinya mereka ‘bersama’ dengan baginda. Apakah maksudnya?

Kita kena ingat yang Baginda ada misi dakwah dan sesiapa yang bersama dengan baginda, maksudnya mereka telah menjadikan misi baginda itu sebagai misi mereka juga. Inilah maksudnya ‘bersama’ dengan baginda. Mereka akan rapat dan sensitif dengan apa yang baginda lalui dan lakukan. Begitulah yang akan terjadi apabila ada hubungan yang rapat seperti ahli keluarga – apabila seorang dari mereka bersedih maka yang lain pun akan bersedih juga.

Kita kena faham bahawa ada tanggungjawab di dalam agama ini. Ada amalan-amalan agama yang kita lakukan (seperti solat dan puasa) dan ada ‘misi’ yang kita kena jalankan (dakwah). Ianya adalah dua perkara berbeza. Kalau kita buat ibadat puasa dan solat, itu adalah untuk diri kita sahaja. Tapi dakwah membawa kebaikan untuk lebih ramai orang lagi.

Dan begitulah yang terjadi kepada para sahabat kerana mereka menjadikan usaha dakwah ini sebagai misi hidup mereka dan di dalam ayat ini Allah memberitahu bahawa mereka ada kualiti yang tinggi yang membantu baginda. Bayangkan Allah sendiri yang memuji mereka!

Tapi malangnya ramai dari kalangan manusia yang beragama Islam melihat agama ini sebagai perkara-perkara ibadah badan sahaja dan mereka tidak menjadikan agama ini sebagai misi hidup mereka. Mereka tidak sampaikan kepada orang lain tentang keindahan agama Islam ini. Hanya segelintir sahaja yang sanggup melakukannya. Dan perkara ini hanya dapat difahami oleh mereka yang mempelajari tafsir Qur’an, kerana baru mereka tahu bahawa Qur’an ini bukan semata-mata bercakap tentang wudhuk dan solat sahaja. Mereka akan nampak bahawa agama ini memerlukan usaha dakwah yang berterusan dan mereka akan rasa suka dan rasa terpanggil untuk menyampaikan dakwah ini kepada manusia. Kerana mereka sudah nampak kepentingan tauhid, kepentingan agama secara keseluruhan dan kerana itu mereka mahu orang lain pun dapat juga kelebihan itu. Dia tidak simpan seorang diri sahaja. Dia mahu untuk kongsikan kebaikan itu dengan orang lain juga. Bayangkan kalau kita tahu ubat yang dapat menyembuhkan penyakit, takkan kita nak simpan sahaja, bukan? Maka bukankah agama ini dapat menyembuhkan penyakit hati dan penyakit akidah yang sesat? Takkan tak mahu sampaikan kepada orang lain?

Maka beruntunglah mereka yang ada keinginan untuk sampaikan ajaran agama ini kepada manusia yang lain. Usaha dakwah ini berterusan sentiasa, tanpa hentinya. Akan tetapi para sahabat mempunyai kelebihan yang lebih tinggi lagi dari kita kerana mereka orang yang awal. Dan kerana mereka berjuang bersama Rasulullah dan kena menanggung segala macam kesusahan. Maka tentulah balasan bagi mereka itu tidak sama dengan kita. Kita memang tidak akan mampu mencapai kelebihan yang mereka dapat itu. Itu adalah rezeki mereka.

Allah akan sebut dua sifat sahabat. Satu telah disebut dalam Taurat dan satu lagi dalam Injil. Maknanya Bani Israil pun dah tahu sifat para sahabat ini. Maka kita kena bandingkan sifat kita dengan sifat para sahabat itu. Kalau tak sama, takut kita perasan sahaja yang kita ini orang mukmin tapi sebenarnya tidak.

Maka bagaimanakah sifat para sahabat itu? Ayat ini memberitahu kita, apabila perlu, mereka akan keras kepada orang-orang kafir. Mereka tidak lemah di hadapan orang kafir. Mereka sanggup menentang orang-orang kafir itu. Kerana itulah mereka menyahut seruan jihad tanpa berbelah bahagi.

Tetapi siapakah ‘orang kafir’ itu? Adakah tepat kalau kita katakan orang kafir itu sebagai sesiapa sahaja yang bukan Islam? Ini tidak tepat. Kita kena sedar yang orang-orang kafir dalam Qur’an itu adalah mereka yang menentang Islam dan bukan sahaja tidak beragama Islam. Kerana ramai saja yang tidak beragama Islam tetapi mereka tidak menentang. Jadi, dari segi istilah, ada Non-Muslim dan ada Anti-Muslim dan kedua jenis golongan ini tidak sama. Maka kita kena pandai bezakan antara keduanya. Kerana kalau tidak, kita menentang mereka yang tidak menentang Islam pun. Ini akan melemahkan lagi kedudukan Islam di mata manusia. Kerana kalau orang yang tidak menentang Islam pun kita lawan, tentulah orang bukan Islam itu melihat agama Islam ini adalah agama yang ganas.

Sedangkan kita perlu dakwah kepada non-muslim itu, bukannya menentang mereka. Maka kenalah berlembut dengan mereka kerana kita hendak ‘beli’ jiwa mereka. Dan kepada orang-orang yang memang menentang Islam, kita memang tidak perlu berlembut dengan mereka pun.

 

رُحَماءُ بَينَهُم

tetapi berkasih sayang sesama mereka.

Dan mereka amat berlembut kepada sesama mukmin. Mereka sanggup mati kerana sahabat mereka. Mereka berkasih sayang dan tolong menolong dalam perkara kebaikan. Kepada orang yang menentang, mereka keras; tapi kepada sesama mukmin, mereka berbaik dan tolong menolong. Barulah ada kekuatan dalam kalangan umat Islam. Tidaklah cari pasal sahaja.

Nabi Saw. telah bersabda:

“مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِي تَوَادِّهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ كَمَثَلِ الْجَسَدِ الواحد، إذا اشتكى مِنْهُ عُضْوٌ تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الْجَسَدِ بالحمَّى والسَّهر”

Perumpamaan orang-orang mukmin dalam kasih sayang dan kecintaan mereka adalah seperti satu tubuh; apabila ada salah satu anggotanya merasa sakit, maka rasa sakitnya itu menjalar ke seluruh tubuh hingga terasa demam dan tidak dapat tidur.

Malangnya, kalau dilihat sekarang, antara sesama muslimlah yang dicari pasal. Ada sahaja yang salah dengan kawan sendiri. Padahal sesama Islam. Patutnya tolong menolonglah. Kalau ada kekurangan dengan orang Islam lain, maka kita nasihatlah; bukannya kita maki dan mengutuk mereka samada berdepan atau di belakang.

 

تَراهُم رُكَّعًا سُجَّدًا يَبتَغونَ فَضلًا مِنَ اللهِ وَرِضوانًا

Kamu lihat mereka ruku’ dan sujud mencari kurnia Allah dan keredhaan-Nya,

Dan dari segi luaran mereka, kamu boleh melihat yang mereka itu sentiasa melakukan sujud dan rukuk. Maksudnya mereka amat menjaga solat mereka. Dan memang para sahabat sentiasa menjaga solat mereka. Bukannya macam kita yang solat sambil lewa sahaja dan buat yang wajib-wajib sahaja. Sudahlah mereka itu jaga solat mereka, berjemaah pula, dan mereka tambah dengan solat-solat sunat pula. Maka memang berlainanlah antara solat mereka dan solat kita.

Dan ibadat mereka itu bukan untuk sesiapa tetapi mereka lakukan untuk mencari kurnia dan redha Allah. Mereka mencari sebanyak mungkin kurnia atau kebaikan pahala yang Allah janjikan kepada pengamal ibadah soleh. Dan dalam masa yang sama, mereka ikhlas di dalam solat mereka. Mereka lakukan amal ibadat kerana mencari redha Allah, bukannya kerana sebab lain seperti hendak menunjuk-nunjuk atau kerana upah dari manusia. Maka mereka itu menjaga keikhlasan hati mereka dalam mengerjakan amal ibadat. Kerana amal ibadat yang tidak ikhlas, tidak diterima pun.

 

سيماهُم في وُجوهِهِم مِن أَثَرِ السُّجودِ

tanda-tanda mereka tampak pada muka mereka dari bekas sujud.

Bagaimana hendak mengenal mereka lagi? Memang ada alamat yang ada pada muka mereka. Kalimah سيما bermaksud tanda. Iaitu tanda kecantikan kepada Allah. Kalimat yang digunakan adalah في وُجوهِهِم (pada wajah mereka) jadi tanda ini pada wajah mereka dan bukanlah pada dahi. Jadi tidak perlu tenyeh-tenyeh dahi pada sejadah apabila solat atau solat di tempat yang panas supaya ada tanda hitam. Kerana ada yang buat begitu kerana mereka hendak menunjuk-nunjuk yang mereka itu orang yang kuat ibadah.

Jadi apakah yang dimaksudkan dengan tanda pada wajah mereka itu? Alamat yang dimaksudkan adalah sifat mereka yang sentiasa ikut hukum Allah. Fikiran, akal, mulut dan kata-kata mereka itu sentiasa taat kepada Allah dan itu adalah tanda orang yang taat kepada Allah. Jadi tanda itu bukannya tanda fizikal tapi pada perawakan mereka.

Mereka mempunyai sifat jujur dan rendah diri. Maknanya mereka mempunyai akhlak yang baik. Dan ini bertentangan dengan sifat musyrikin Mekah. Cara cakap mereka pun baik-baik sahaja dan mereka sentiasa membantu manusia yang lain.

 

ذٰلِكَ مَثَلُهُم فِي التَّوراةِ

Demikianlah sifat-sifat mereka dalam Taurat

Begitulah Allah sebut perumpamaan mereka dan penerangan seperti ini sudah terdapat di dalam Taurat.

 

وَمَثَلُهُم فِي الإِنجيلِ كَزَرعٍ أَخرَجَ شَطأَهُ

dan sifat-sifat mereka dalam Injil, iaitu seperti tanaman yang mengeluarkan tunasnya

Dan sekarang diberitahu tentang perumpamaan mereka dalam Injil pula. Dalam Injil, sifat mereka itu diumpamakan seperti tumbuhan yang pada mulanya hanya keluar hujungnya sahaja dari tanah. Memang tumbuhan pada mulanya hanyalah pucuk sahaja.

Ini adalah ibarat kepada para sahabat semasa mereka di Mekah. Asalnya mereka lemah sahaja tapi pokok itu kemudian menjadi kuat apabila ia bersatu dengan pokok-pokok yang lain.

 

فَآزَرَهُ فَاستَغلَظَ فَاستَوىٰ عَلىٰ سوقِهِ

maka tunas itu menjadikan tanaman itu kuat lalu menjadi besarlah dia dan tegak lurus di atas pokoknya;

Kemudian lama kelamaan pokok itu apabila tetap dibaja dan disiram, akhirnya ia menjadi pokok yang kukuh. Selalunya siapa yang menjaga pokok tanaman kalau bukan petani? Mesti ada orang menjaganya dan kalau ia pokok, maka petanilah yang menjaganya.

Tapi siapakah yang menjaga para sahabat dan yang membina mereka dari keadaan yang lemah menjadi satu kumpulan yang kuat kalau bukan Rasulullah? Tetapi sepertimana juga pokok membesar mengambil masa, maka Allah memberi pengajaran di dalam ayat ini yang pemahaman agama seseorang Muslim itu mengambil masa untuk menjadi kukuh. Dan kita sebagai pendakwah dan mungkin ada yang menjadi guru juga, perlu ingat bahawa mendidik orang itu memerlukan masa yang lama dan kesabaran yang tinggi.

Ada juga ulama yang membahagikan ayat ini kepada peringkat-peringkat khusus:
فَآزَرَهُ – zaman selepas Hijrah
فَاستَغلَظَ – zaman setelah Rasulullah wafat
فَاستَوىٰ عَلىٰ سوقِهِ – zaman pemerintahan Abu Bakr dan Umar r.a.

 

يُعجِبُ الزُّرّاعَ

tanaman itu menyenangkan hati penanam-penanamnya

Apabila petani itu melihat tanamannya sudah membesar, maka dia berbangga dan suka. Begitulah juga kesenangan hati Rasulullah apabila baginda melihat umat baginda sudah menjadi umat yang kukuh dan baginda senang hati untuk meninggalkan mereka. Ada riwayat bagaimana Nabi melihat para sahabat baginda bercakap-cakap dari kejauhan dan baginda tersenyum kegembiraan.

Ada ulama mengatakan ini adalah para zaman pemerintah Uthman dan Ali r.a.

 

لِيَغيظَ بِهِمُ الكُفّارَ

kerana Allah hendak menjengkelkan hati orang-orang kafir

Dan perkembangan dan kesuburan yang dialami oleh orang Islam itu amat dibenci oleh orang-orang kafir. Kalimah ك ف ر bermaksud ‘menutup’. Oleh itu, kalimah ‘aaafir’ itu dari segi bahasa bermaksud seseorang yang menanam benih dan menutup tanah. Dan orang kafir adalah orang yang menutup hatinya dari menerima wahyu dan menutup fitrah dirinya yang mahu kepada kebenaran dalam agama. Jadi penggunaan kalimah ini amat cantik dari segi bahasa kerana ada persamaan antara keduanya.

Jadi bayangkan seorang petani yang telah bertungkus lumus menjaga tanamannya dan kemudian dia dapat melihat tumbuhannya tumbur subur dan jadi kuat. Tentu dia suka, bukan? Tapi bayangkan kalau seorang yang menanam benihnya tetapi dia tidak melihat pokoknya tumbuh, tetapi orang yang di sebelahnya subur pula tanamannya, tentu dia dengki juga sedikit sebanyak, bukan? Maka begitulah perasaan orang-orang kafir itu. Mereka hendak menjatuhkan Islam, tapi mereka lihat umat Islam semakin berkembang biak dan semakin kuat pula. Tentulah mereka geram betul.

Berdasarkan ayat ini Imam Malik rahimahullah menurut riwayat yang bersumber darinya menyebutkan bahawa kafirlah orang-orang Rafidah (Syiah) itu kerana mereka membenci para sahabat, dan pendapatnya ini disetujui oleh sebahagian ulama.

 

وَعَدَ اللهُ الَّذينَ آمَنوا وَعَمِلُوا الصّالِحاتِ مِنهُم مَغفِرَةً وَأَجرًا عَظيمًا

Allah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang saleh di antara mereka ampunan dan pahala yang besar.

Allah memberi perjanjian kepada orang yang beriman dan beramal soleh. Iaitu beriman sempurna dengan tidak mengamalkan syirik. Dan amalan soleh pula adalah amalan yang ada contoh dari Nabi dan para sahabat. Mereka dijanjikan dengan keampunan dan pahala yang besar, iaitu di syurga.

Allah telah beri janji kepada mereka, tapi disebut dalam ayat ini ‘dari kalangan mereka’ (مِنهُم). Seolah-olah bukan semua akan dapat, melainkan ‘sebahagian’ sahaja. Digunakan kalimah ini supaya mereka meneruskan usaha mereka dan jangan berasa selamat lagi. Kena teruskan usaha, sebab belum tentu selamat lagi. Maka kena ada istiqamah, jangan tekan brek lagi.

Atau, huruf من dalam ayat ini adalah kata keterangan ‘jenis’, yakni mencakup mereka semua (dan bukan tab’id atau sebahagian dari mereka).

Atau potongan ayat yang di hujung ini bermaksud mereka yang datang selepas para sahabat.

Begitulah kelebihan para sahabat yang kita tidak akan dapat capai. Kita hanya boleh cuba untuk meniru apa yang mereka lakukan sahaja. Kerana Rasulullah SAW telah bersabda:

قَالَ مُسْلِمٌ فِي صَحِيحِهِ: حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ يَحْيَى، حَدَّثَنَا أَبُو مُعَاوِيَةَ، عَنِ الْأَعْمَشِ، عَنْ أَبِي صَالِحٍ، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “لَا تَسُبُّوا أَصْحَابِي، فَوَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَوْ أَنَّ أَحَدَكُمْ أَنْفَقَ مِثْلَ أحدٍ ذَهَبًا مَا أَدْرَكَ مُدَّ أَحَدِهِمْ وَلَا نَصِيفَهُ”

Imam Muslim di dalam kitab sahihnya mengatakan, telah menceritakan kepada kami Yahya ibnu Yahya, telah menceritakan kepada kami Abu Mu’awiyah. dari Al-A’masy, dari Abu Saleh, dari Abu Hurairah r.a. yang mengatakan bahawa Rasulullah Saw. pernah bersabda: Janganlah kalian mencaci sahabat-sahabatku, demi Tuhan yang jiwaku berada di dalam genggaman kekuasaan-Nya, seandainya seseorang dari kalian menginfakkan emas sebesar Bukit Uhud, tidaklah hal itu dapat menyamai satu mud seseorang dari mereka dan tidak pula separuhnya.

Allahu a’lam. Tamat tafsir Surah al-Fath ini. Sambung ke surah yang seterusnya, Surah al-Hujurat.


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 048: al-Fath. Bookmark the permalink.

One Response to Tafsir Surah al-Fath Ayat 29 (Kelebihan Sahabat)

  1. Pingback: Tafsir Surah al-Fath Ayat 29 (Kelebihan Sahabat)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s