Tafsir Surah al-Fath Ayat 26 – 28 (Kisah di Hudaibiyah)

Ayat 26:

إِذ جَعَلَ الَّذينَ كَفَروا في قُلوبِهِمُ الحَمِيَّةَ حَمِيَّةَ الجاهِلِيَّةِ فَأَنزَلَ اللهُ سَكينَتَهُ عَلىٰ رَسولِهِ وَعَلَى المُؤمِنينَ وَأَلزَمَهُم كَلِمَةَ التَّقوىٰ وَكانوا أَحَقَّ بِها وَأَهلَها ۚ وَكانَ اللهُ بِكُلِّ شَيءٍ عَليمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

When those who disbelieved had put into their hearts chauvinism – the chauvinism of the time of ignorance. But Allāh sent down His tranquility upon His Messenger and upon the believers and imposed upon them the word of righteousness, and they were more deserving of it and worthy of it. And ever is Allāh, of all things, Knowing.

(MELAYU)

Ketika orang-orang kafir menanamkan dalam hati mereka kesombongan (yaitu) kesombongan jahiliyah lalu Allah menurunkan ketenangan kepada Rasul-Nya, dan kepada orang-orang mukmin dan Allah mewajibkan kepada mereka kalimat-takwa dan adalah mereka berhak dengan kalimat takwa itu dan patut memilikinya. Dan adalah Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.

 

إِذ جَعَلَ الَّذينَ كَفَروا في قُلوبِهِمُ الحَمِيَّةَ حَمِيَّةَ الجاهِلِيَّةِ

Ketika orang-orang kafir menanamkan dalam hati mereka kesombongan (iaitu) kesombongan jahiliyah

Iaitu mereka tidak dapat terima ajaran tauhid yang dibawa oleh Rasulullah kerana mereka tidak dapat meninggalkan fahaman jahiliyah mereka itu.

الحَمِيَّةَ digunakan dalam bahasa Arab klasik untuk Raja. Kalau seorang raja ada kuda, maka kuda itu akan diletakkan di tempat yang khas dan tempat yang khas itu dinamakan sebagai الحَمِيَّةَ. Kerana tempat raja dengan tempat orang orang kebanyakan tidak sama. Jadi ia bermaksud sesuatu yang dipelihara. Kalau rakyat kebanyakan nak masuk saja-saja, memang tak dapat masuk kerana ada pengawal yang jaga.

Selepas datang agama Islam, maka perkataan ini mendapat definisi yang baru. Ia sekarang digunakan sebagai tempat makan dan tempat simpan kepada binatang-binatang yang telah disedekahkan untuk orang yang memerlukan. Kerana memang binatang-binatang itu menjadi hak raja iaitu Raja segala Raja, iaitu Allah.

Kalimah الحَمِيَّةَ ini digunakan di dalam ayat ini untuk menegur orang-orang musyrikin Mekah itu yang rasa mereka itu lebih besar dan mulia dari orang-orang lain. Ini adalah kerana mereka itu adalah Penjaga Kaabah. Iaitu mereka rasa diri mereka tinggi kerana kedudukan itu, tetapi perasaan itu berdasarkan kepada fahaman yang jahil. Dan kerana itu apabila orang-orang beriman itu datang ke Mekah, maka musyrikin Mekah itu meninggikan diri mereka dan menghina puak-puak mukmin itu. Ini adalah hamiyah jahiliyah.

Dan perbuatan itu bahaya kerana orang yang dihina itu boleh melawan balik kerana panas hati. Kerana orang yang dihina boleh terasa hati dan kalau tidak dikawal, mereka boleh melawan balik.

Ia juga mungkin bermaksud perbuatan mereka yang tidak menghormati Nabi Muhammad semasa mengadakan perjanjian Hudaibiyah itu. Mereka tidak benarkan Saidina Ali tulis Nabi Muhammad sebagai Rasulullah. Lafaz Basmillah pun mereka tidak terima untuk dimasukkan ke dalam Perjanjian Hudaibiyah itu. Sahabat tidak dapat terima perbuatan itu dan mereka tidak mahu memadam perkataan itu maka Nabi Muhammad sendiri yang memadamnya. Kisah ini boleh dibaca di dalam Sirah.

 

فَأَنزَلَ اللهُ سَكينَتَهُ عَلىٰ رَسولِهِ وَعَلَى المُؤمِنينَ

lalu Allah menurunkan ketenangan kepada Rasul-Nya, dan kepada orang-orang mukmin

Seperti yang telah disebut, perbuatan penghinaan dari musyrikin Mekah itu bahaya kerana puak mukmin boleh balas balik. Dan memang puak mukmin dah panas hati dengan apa yang berlaku itu. Ia boleh membawa kepada pertelingkahan malah peperangan. Maka Allah tidak mahu  membenarkan perkara itu berlaku dan kerana itu Allah menanamkan sakinah (ketenangan) ke dalam hati Rasulullah. Dan sakinah itu juga diberikan kepada para sahabat yang lain. Kalau tidak ada bantuan dari Allah ini, maka tentunya akan terjadi peperangan antara mereka pada waktu itu. Dan memang keadaan meruncing waktu itu. Lihatlah apa terjadi kepada Saidina Umar waktu itu.

Imam Bukhari mengatakan di dalam Kitab Tafsir, telah menceritakan kepada kami Ahmad ibnu Ishaq As-Sulami, telah menceritakan kepada kami Ya’la, telah menceritakan kepada kami Abdul Aziz ibnu Siyah, dari Habib ibnu Abu Sabit yang menceritakan bahwa ia pernah datang kepada Abu Wa’il untuk bertanya kepadanya. Maka Abu Wa’il bercerita, ‘Ketika kami berada di Siffin, ada seorang lelaki berkata, ‘Tidakkah engkau lihat orang-orang yang menyeru (kita) kepada Kitabullah? Maka Ali r.a. menjawab, ‘Ya.’ Sahl ibnu Hanif mengatakan, ‘Salahkanlah diri kalian sendiri, sesungguhnya ketika kami berada di hari Hudaibiyah —yakni Perjanjian Hudaibiyah yang dilakukan antara Nabi Saw. dengan kaum musyrik— seandainya kami memilih berperang, niscaya kami akan berperang.’ Maka datanglah Umar r.a., lalu bertanya, ‘Bukankah kita berada di pihak yang benar dan mereka berada di pihak yang batil? Bukankah orang-orang yang gugur dari kalangan kita dimasukkan ke dalam syurga dan orang-orang yang gugur dari kalangan mereka dimasukkan ke dalam neraka?’ Nabi Saw. menjawab, ‘Benar.’ Umar bertanya, ‘Lalu mengapa kita harus mengalah dalam membela agama kita, lalu kita kembali (ke Madinah), padahal Allah masih belum memutuskan (kemenangan) di antara kita?’ Rasulullah Saw. menjawab: Hai Ibnul Khattab, sesungguhnya aku adalah utusan Allah, Allah selamanya tidak akan menyia-nyiakan diriku. 

Maka Umar mundur dengan hati yang tidak puas, dan ia tidak tahan, lalu datanglah ia kepada Abu Bakar r.a. dan berkata kepadanya, ‘Hai Abu Bakar, bukankah kita berada di pihak yang benar dan mereka berada di pihak yang batil?’ Abu Bakar menjawab, ‘Hai Ibnul Khattab, sesungguhnya dia adalah utusan Allah, Allah tidak akan menyia-nyiakan selamanya,’ lalu turunlah surat Al-Fath.”

Maka keadaan yang tegang semasa menulis perjanjian Hudaibiyah itu menjadi tenang kerana Allah memasukkan sakinah ke dalam hati Rasulullah dan kepada orang-orang mukmin yang lain pun menjadi tenang, setelah mereka melihat Rasulullah pun boleh menerimanya. Kalaulah Rasulullah pun tidak selesa dengan perkara itu, tentu para sahabat tidak dapat menerimanya.

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Affan, telah menceritakan kepada kami Hammad, dari Sabit, dari Anas r.a. yang menceritakan bahawa sesungguhnya orang-orang Quraisy berdamai dengan Nabi Saw. dan di kalangan mereka terdapat Suhail ibnu Amr. Maka Nabi Saw. memerintahkan kepada Ali r.a.: Tulislah ‘Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang’.

Sahl memotong, “Kami tidak mengenal apakah Bismillahir Rahmanir Rahim itu, tetapi tulislah ‘Dengan nama Engkau ya Allah’.” Rasulullah Saw. bersabda lagi: Tulislah dari Muhammad utusan Allah. Suhail kembali berkata, “Seandainya kami meyakini bahawa engkau adalah utusan Allah, tentulah kami mengikutimu, tetapi tulislah namamu dan nama ayahmu.”

Maka Nabi Saw. memerintahkan (kepada Ali r.a.): Tulislah ‘Dari Muhammad putra Abdullah’. Lalu mereka (orang-orang musyrik) membebankan syarat-syarat kepada Nabi Saw yang isinya ialah bahawa orang yang datang dan kalangan kamu maka kami akan mengembalikannya kepadamu; dan orang yang datang kepadamu dari kami, kalian harus mengembalikannya kepada kami. Ali bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah kami harus menulisnya?” Nabi Saw. bersabda: Ya, sesungguhnya orang yang pergi kepada mereka dari kalangan kami, maka semoga Allah menjauhkannya.

 

وَأَلزَمَهُم كَلِمَةَ التَّقوىٰ

dan Allah mewajibkan kepada mereka kalimat-takwa

Dan Allah telah melekatkan kalimah takwa keatas mereka. Ini adalah kerana mereka telah menunjukkan ketaatan kepada Rasulullah.

Dan juga bermakna Allah telah mewajibkan kepada mereka untuk menegakkan kalimah taqwa, iaitu kalimah la ilaaha illallah.

 

وَكانوا أَحَقَّ بِها وَأَهلَها

dan adalah mereka berhak dengan kalimat takwa itu dan patut memilikinya.

Dan mereka lebih layak untuk mendapat takwa itu, terutama kalau dibandingkan dengan musyrikin Mekah itu. Dan mereka memang ahli-ahli taqwa yang haq.

Dan di akhirat nanti mereka akan menjadi ahli syurga dan kekal di dalamnya.

 

وَكانَ اللهُ بِكُلِّ شَيءٍ عَليمًا

Dan adalah Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.

Allah tahu apa dalam hati puak mukmin apabila mereka dihina. Allah tahu yang mereka terasa panas baran dan marah dengan keadaan itu. Allah juga tahu betapa taatnya mereka kepada Rasulullah. Allah tahu betapa ikhlasnya hati mereka. Maka kerana itu Allah berikan kebaikan yang banyak kepada mereka.


 

Ayat 27: Ayat ini adalah jawapan bagi kesamaran tentang mimpi Nabi tawaf di Masjidil Haram. Ada yang hairan kerana ianya tidak terjadi seperti yang baginda mimpikan. Sedangkan, bukankah mimpi Nabi adalah wahyu? Kenapa tidak terbukti? Maka Allah jawap dalam ayat ini.

لَقَد صَدَقَ اللهُ رَسولَهُ الرُّؤيا بِالحَقِّ ۖ لَتَدخُلُنَّ المَسجِدَ الحَرامَ إِن شاءَ اللهُ آمِنينَ مُحَلِّقينَ رُءوسَكُم وَمُقَصِّرينَ لا تَخافونَ ۖ فَعَلِمَ ما لَم تَعلَموا فَجَعَلَ مِن دونِ ذٰلِكَ فَتحًا قَريبًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Certainly has Allāh showed to His Messenger the vision [i.e., dream] in truth. You will surely enter al-Masjid al-Ḥarām, if Allāh wills, in safety, with your heads shaved and [hair] shortened,¹ not fearing [anyone]. He knew what you did not know and has arranged before that a conquest near [at hand].

•i.e., having completed the rites of ‘umrah.

(MELAYU)

Sesungguhnya Allah akan membuktikan kepada Rasul-Nya, tentang kebenaran mimpinya dengan sebenarnya (yaitu) bahawa sesungguhnya kamu pasti akan memasuki Masjidil Haram, insya Allah dalam keadaan aman, dengan mencukur rambut kepala dan mengguntingnya, sedang kamu tidak merasa takut. Maka Allah mengetahui apa yang tiada kamu ketahui dan Dia memberikan sebelum itu kemenangan yang dekat.

 

لَقَد صَدَقَ اللهُ رَسولَهُ الرُّؤيا بِالحَقِّ

Sesungguhnya Allah akan membuktikan kepada Rasul-Nya, tentang kebenaran mimpinya dengan sebenarnya

Allah membenarkan mimpi Rasulullah – memang mimpi baginda itu adalah wahyu. Seperti yang telah diberitahu sebelum ini, Nabi Muhammad memang nampak di dalam mimpi baginda yang mereka akan dapat masuk ke dalam Kota Mekah dan mengerjakan umrah. Dan mimpi Nabi sememangnya adalah wahyu. Maka kerana itu, ia pasti akan berlaku. Cuma tidak pasti bilakah kejadian itu.

Apabila baginda beritahu kepada para sahabat tentang mimpi itu, maka sahabat desak baginda untuk pergi pada tahun itu juga. Ini adalah kerana mereka telah lama tidak pergi ke Mekah dan mereka teringin sangat untuk ke sana. Kerana mereka amat rindu kepada kampung halaman mereka dan kepada Kaabah. Kita kena faham yang mereka sudah 8 tahun tak balik ke kampung halaman. Mereka memang dan rindu sangat nak balik kampung. Maka mereka tahu tentang mimpi baginda itu, mereka desak supaya mereka pergi tahun itu juga. Dan apabila mereka beri cadangan, baginda setuju ikut pendapat mereka. Dan ini adalah dari ijtihad Nabi, bukan wayu.

Kita kena sedar yang ijtihad baginda juga betul. Tidaklah baginda tersilap. Ini semua dalam rancangan Allah juga. Seperti kita telah panjang lebar jelaskan dengan ijtihad itu maka telah berlaku Perjanjian Hudaibiyah yang akhirnya membawa kepada kejayaan umat Islam. Maka memang ada faedah mereka pergi bergera untuk mengerjakan Umrah pada tahun itu juga.

Akhirnya seperti yang kita sudah tahu, apabila mereka pergi, mereka tidak dapat masuk ke Mekah. Tentulah mereka tidak puas hati. Tapi mereka tidak dapat masuk ke Mekah itupun adalah atas kehendak Allah juga kerana Allah hendak menjadikan terlaksananya Perjanjian Hudaibiyah.

Maka ada hikmah kenapa mereka tidak boleh masuk untuk mengerjakan umrah pada tahun itu. Kerana mereka dapat perkara yang lebih besar dari buat umrah itu iaitu Perjanjian Hudaibiyah dan dengan perjanjian Hudaibiyah manusia Mekah semuanya akan masuk Islam tidak lama lagi. Dan ada lagi kelebihan-kelebihan yang kita pun telah sebut sebelum ini.

Kembali kepada kisah mimpi tadi. Ada sahabat yang kehairan dan yang bertanya kepada Nabi semasa dalam perjalanan pulang itu: bagaimana dengan mimpi baginda itu. Bukankah mimpi baginda adalah wahyu dan benar? Jadi kenapa mereka tidak dapat masuk ke dalam Mekah dan mengerjakan umrah seperti yang telah dimimpikan oleh baginda? Maka Allah turunkan ayat ini.

 

لَتَدخُلُنَّ المَسجِدَ الحَرامَ إِن شاءَ اللهُ آمِنينَ

sesungguhnya kamu pasti akan memasuki Masjidil Haram, insya Allah, dalam keadaan aman,

Allah menekankan di dalam ayat ini dengan menggunakan bahasa yang kuat (kalimah لَتَدخُلُنَّ dalam wazan yang kuat) yang mereka ‘pasti dan pasti’ (penekanan) akan dapat masuk ke dalam Masjidilharam tetapi bukan pada tahun itu. Memang Nabi sudah mimpi, tapi dalam mimpi itu tidak dijelaskan bilakah kejadian itu akan berlaku. Tidak semestinya tahun itu.

Dapat masuk dengan aman juga penting kerana kalau masuk tahun 6 hijrah itu, maknanya mereka masuk dan mengerjakan Umrah dalam ketakutan. Mereka kena sentiasa berhati-hati, entah-entah musyrikin Mekah akan serang mereka apabila mereka sedang beribadat. Adan bila dah takut, tentu tak khusyuk kalau tawaf juga tahun itu. Maka kualiti ibadah pun tak bagus. Macam solat, tapi tahu yang makanan dah dihidangkan (dalam solat teringat makanan itu sahaja maka tidak khusyuk).

Dan dalam Perjanjian Hudaibiyah, umat Islam dibenarkan masuk untuk mengerjakan Umrah tahun hadapan. Dan mereka akan masuk dengan aman kerana sudah ada perjanjian yang musyrikin Mekah akan tinggalkan Mekah selama tiga hari. Maka tidaklah takut kalau nak buat Umrah dan tawaf kerana musuh ada di luar.

Kenapa Allah sebut kalimah insya Allah (sekiranya Allah berkehendak) di dalam ayat ini? Bukankah ianya sudah pasti? Allah sebut begitu kerana hendak memberitahu bahawa ianya adalah perkara yang akan berlaku di masa hadapan. Dan Allah hendak memberitahu bahawa perkara itu akan berlaku tapi dengan syarat. Syaratnya, orang-orang mukmin itu menjaga perangai mereka dan menjaga agama kerana Allah boleh untuk buat keputusan tidak jadikan perkara itu berlaku. Maka, ia tidak pasti lagi lagi sebenarnya. Kerana ia masih bergantung kepada mereka. Allah boleh tarik janjiNya itu kalau mereka tidak menjalankan tugas mereka. Maka, mereka pasti dan pasti akan dapat masuk, kalau mereka bertindak seperti yang sepatutnya.

Allah beritahu juga di dalam ayat ini yang mereka akan dapat masuk ke dalam Masjidilharam dengan aman dan tidak takut, kerana pada tahun Hudaibiyah itu walaupun mereka telah sampai berdekatan Mekah, tetapi Rasulullah telah mengarahkan mereka untuk Solat Khauf (Solat Takut) bukan? Itu tandanya memang mereka ada perasaan takut juga. Tapi bila mereka akan masuk nanti dengan sebenarnya ke Mekah, mereka tidak akan ada perasaan takut. Kerana keadaan waktu itu berlainan sekali dengan kali ini.

 

مُحَلِّقينَ رُءوسَكُم وَمُقَصِّرينَ

dengan mencukur rambut kepala dan mengguntingnya,

Bila mereka datang untuk kali kedua selepas itu, mereka akan dapat cukur rambut dan gunting rambut mereka (tahallul). Allah memberitahu tentang mencukur rambut dan memotong rambut seperti perbuatan Haji dan Umrah yang biasa dilakukan. Dan disebut ‘cukur’ dahulu kerana terdapat kelebihan kepada mereka yang mencukur terus rambut mereka.

Di dalam kitab Sahihain telah disebutkan bahwa Rasulullah Saw mendoakan orang-orang yang mencukur rambut kepalanya:

“رَحِمَ اللَّهُ الْمُحَلِّقِينَ”، قَالُوا: وَالْمُقَصِّرِينَ يَا رَسُولَ اللَّهِ؟ قَالَ: “رَحِمَ اللَّهُ الْمُحَلِّقِينَ”. قَالُوا: وَالْمُقَصِّرِينَ يَا رَسُولَ اللَّهِ؟ قَالَ: “رَحِمَ اللَّهُ الْمُحَلِّقِينَ”. قَالُوا: وَالْمُقَصِّرِينَ يَا رَسُولَ اللَّهِ؟ قَالَ: “وَالْمُقَصِّرِينَ” فِي الثَّالِثَةِ أَوِ الرَّابِعَةِ

Semoga Allah merahmati Orang-orang yang mencukur rambut. Para sahabat mengatakan, “Wahai Rasulullah, doakanlah pula bagi orang-orang yang mengguntingnya.” Maka Rasulullah Saw. berdoa lagi “Dan juga bagi, orang-orang yang mengguntingnya,” yang hal ini diucapkannya pada yang ketiga atau keempat kali.

 

لا تَخافونَ

sedang kamu tidak merasa takut.

Sekali lagi diulang yang mereka tidak akan rasa takut waktu itu. Segala perbuatan mereka adalah aman dan mereka dapat menyempurnakan kerja umrah mereka dengan aman.

Peristiwa ini terjadi di masa umrah qada, iaitu dalam bulan Zul Qa’dah, tahun tujuh Hijriah. Kerana sesungguhnya setelah Nabi Saw. kembali dari Hudaibiyah dalam bulan Zul Qa’dah dan pulang ke Madinah, lalu Nabi Saw. tinggal di Madinah dalam bulan Zul Hijjah dan bulan Muharam, kemudian dalam bulan Safar beliau Saw. keluar menuju Khaibar.

 

فَعَلِمَ ما لَم تَعلَموا

Allah mengetahui apa yang tiada kamu ketahui

Allah mempunyai pengetahuan yang tak dimiliki oleh manusia iaitu Allah tahu kebaikan mereka tidak mengerjakan umrah pada tahun itu. Dan kebaikan mereka pulang ke Madinah dan kebaikan mengadakan Perjanjian Hudaibiyah itu. Mereka mungkin tidak nampak tapi Allah tahu dan Allah lah yang atur segala kebaikan itu.

Allah kata para sahabat tidak tahu ada hasil baik dari Perjanjian Hudaibiyah itu. Dengan termeterainya perjanjian itu, ramai yang dapat peluang untuk kenal wahyu Allah. Agama Islam tersebar luas dan Allah masukkan kebenaran dalam hati mereka yang sebelum itu tidak terbuka lagi untuk terima Islam. Allah juga yang bukakan hati mereka. Apabila sudah ramai yang terima Islam, maka senang sahaja Rasulullah dan para sahabat masuk semasa Pembukaan Mekah itu nanti.

 

فَجَعَلَ مِن دونِ ذٰلِكَ فَتحًا قَريبًا

dan Dia memberikan sebelum itu kemenangan yang dekat.

Dan untuk memberi ketenangan hati kepada mereka lagi, Allah akan memberikan kemenangan yang dekat iaitu Khaibar.


 

Ayat 28: Targhib kepada taat kepada Allah dan Rasul. Tugas Nabi bukan nak ajar buat Umrah sahaja tapi tujuan besar baginda adalah untuk ajar agama secara keseluruhan. Maka kalau tak dapat buat Umrah tahun itu, tidak mengapa kerana dapat sebarkan wahyu dengan luas lagi. Mana yang lebih baik? Dapat buat Umrah atau dapat luaskan lagi agama Islam? Jangan terkilan kalau tidak dapat kerjakan Umrah tahun itu.

هُوَ الَّذي أَرسَلَ رَسولَهُ بِالهُدىٰ وَدينِ الحَقِّ لِيُظهِرَهُ عَلَى الدّينِ كُلِّهِ ۚ وَكَفىٰ بِاللهِ شَهيدًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

It is He who sent His Messenger with guidance and the religion of truth to manifest it over all religion. And sufficient is Allāh as Witness.

(MELAYU)

Dialah yang mengutus Rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan agama yang hak agar dimenangkan-Nya terhadap semua agama. Dan cukuplah Allah sebagai saksi.

 

هُوَ الَّذي أَرسَلَ رَسولَهُ بِالهُدىٰ وَدينِ الحَقِّ

Dialah yang mengutus Rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan agama yang hak

Allah mengutus Nabi Muhammad dengan diberikan wahyu kepada baginda. Dengan wahyu itulah agama dapat ditegakkan.

Dan wahyu itu sekiranya diamalkan, akan menjadi agama. Kerana kalau tidak diamalkan ia hanya menjadi tulisan atas kertas dan jadi idea sahaja. Oleh itu, aat-ayat Qur’an itu ada jenis yang duduk di dalam hati dan menjadi akidah; dan yang duduk di luar menjadi ibadah.

 

لِيُظهِرَهُ عَلَى الدّينِ كُلِّهِ

agar dimenangkan-Nya terhadap semua agama.

Agama itu bukanlah untuk duduk diam sahaja tetapi hendaklah dizahirkan. Manusia lah yang kena menjalankan dan menzahirkan agama itu.

Allah membangkitkan Rasul dan memberikan agama ini supaya dengannya akan menguasai dan mengatasi segala agama-agama lain yang sesat. Ayat ini memberitahu bahawa Mekah akan jatuh ke tangan umat Islam dan dengan itu agama syirik akan hancur. Kerana Mekah waktu itu adalah pusat syirik dan apabila pusat syirik dimusnahkan, maka agama Islam yang benar akan berkembang. Ini penting kerana agama Islam ini hendaklah dibawa ke seluruh dunia untuk menghapuskan agama-agama syirik yang lain. Agama-agama tidak boleh dibiarkan sahaja berleluasa.

Ayat yang sama juga ada di dalam Surah Tawbah dan juga di dalam Surah Saf dan menjadi perbincangan yang besar di kalangan ulama. Ini kerana ia membawa maksud yang amat besar dan boleh dibincangkan dengan panjang lebar lagi.

Jadi memang Rasul dibangkitkan dan Qur’an diturunkan untuk memenangkan agama Islam tetapi bagaimanakah caranya? Bagaimanakah kita boleh mencapai kejayaan ini dan apakah yang kita perlukan? Kenalah belajar tafsir dan kaji apa yang terkandung dalam Qur’an ini.

 

وَكَفىٰ بِاللهِ شَهيدًا

Dan cukuplah Allah sebagai saksi.

Cukuplah Allah sebagai saksi di atas kebenaran agama ini; cukuplah Allah sebagai saksi di atas kerja-kerja menegakkan agama yang dilakukan oleh para pendakwah.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 048: al-Fath. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s