Tafsir Surah al-Fath Ayat 24 – 25 (Allah tidak bagi berperang)

Ayat 24:

وَهُوَ الَّذي كَفَّ أَيدِيَهُم عَنكُم وَأَيدِيَكُم عَنهُم بِبَطنِ مَكَّةَ مِن بَعدِ أَن أَظفَرَكُم عَلَيهِم ۚ وَكانَ اللهُ بِما تَعمَلونَ بَصيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And it is He who withheld their hands from you and your hands from them within [the area of] Makkah after He caused you to overcome them. And ever is Allāh, of what you do, Seeing.

(MELAYU)

Dan Dialah yang menahan tangan mereka dari (membinasakan) kamu dan (menahan) tangan kamu dari (membinasakan) mereka di tengah kota Mekah sesudah Allah memenangkan kamu atas mereka, dan adalah Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.

 

وَهُوَ الَّذي كَفَّ أَيدِيَهُم عَنكُم وَأَيدِيَكُم عَنهُم بِبَطنِ مَكَّةَ

Dan Dialah yang menahan tangan mereka dari (membinasakan) kamu dan (menahan) tangan kamu dari (membinasakan) mereka di tengah kota Mekah

Allah memberitahu bahawa Dialah yang menahan tangan musyrikin Mekah dari berperang dan menahan tangan orang-orang mukmin dari berperang di Mekah. Sama-sama kedua mereka ditahan dari tidak berperang pada tahun Umrah itu. Bahkan masing-masing dari kedua belah pihak menahan dirinya dan terikat dalam perjanjian gencatan senjata, yang dalam perjanjian ini terkandung banyak kebaikan bagi kaum mukmin dan kesudahan yang baik bagi kaum muslim dalam kehidupan dunia dan akhirat mereka. Ini kerana Allah nak jadikan juga Perjanjian Hudaibiyah itu. Kalau peperangan meletus waktu itu, tidaklah terjadi perjanjian itu.

 

مِن بَعدِ أَن أَظفَرَكُم عَلَيهِم

sesudah Allah memenangkan kamu atas mereka,

Kalimah أَظفَرَ asalnya adalah kuku dan ia bermaksud menangkap dan mememang dengan kuku yang kuat.

Allah memberitahu bahawa kekuatan waktu itu ada pada orang mukmin, tetapi Allah lah yang menahan mereka dari menyerang Quraish Mekah. Kerana Allah tidak mahu ada peperangan di situ pada waktu itu. Memang nampak seperti Nabi Muhammad yang menahan kerana baginda yang menyuruh mereka kembali, tetapi yang menahan sebenarnya adalah Allah. Kalau umat Islam menyerang waktu itu, mereka yang lebih kuat.

Dari segi sirah, semasa dalam perjalanan balik, ada Musyrikin Mekah yang cuba untuk menyerang puak Islam. Walaupun mereka tidak ada senjata, tapi umat Islam dapat tangkap golongan yang cuba menyerang itu. Dalam dalam 70 orang yang terlibat dan mereka telah ditangkap. Tapi kerana mengingatkan yang mereka telah ada perjanjian, maka umat Islam telah melepaskan golongan musyrik itu.

Di dalam hadis Salamah ibnul Akwa’ r.a. bahawa ketika kaum muslim menggiring tujuh puluh orang tawanan (kaum musyrik) dalam keadaan terikat ke hadapan Rasulullah Saw., lalu Rasulullah Saw. memandang kepada mereka dan bersabda:

“أَرْسِلُوهُمْ يَكُنْ لَهُمْ بَدْءُ الْفُجُورِ وثنَاه”

Lepaskanlah mereka, maka hal ini akan menjadi permulaan bagi kedurhakaan mereka dan akibatnya.

Allah beritahu dalam ayat ini yang Dialah yang menahan tangan puak musyrik itu daripada berjaya menyerang mereka. Dan Allah juga yang menahan tangan-tangan orang mukmin dari membunuh puak musyrik itu kerana menghormati perjanjian Hudaibiyah.

 

وَكانَ اللهُ بِما تَعمَلونَ بَصيرًا

dan adalah Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.

Allah maha melihat apa yang dilakukan oleh manusia. Pada bila-bila masa pun. Tidak terlepas dari pengawasan Allah. Maka kenalah kita jaga tindak tanduk kita. Walaupun mungkin manusia tidak dapat tahu, tapi Allah Maha Melihat.


 

Ayat 25: Allah memberitahu bahawa musyrikin Mekah itu layak diperangi kerana perangai buruk mereka. Akan tetapi Allah tidak izinkan peperangan itu kerana ada sebab.

هُمُ الَّذينَ كَفَروا وَصَدّوكُم عَنِ المَسجِدِ الحَرامِ وَالهَديَ مَعكوفًا أَن يَبلُغَ مَحِلَّهُ ۚ وَلَولا رِجالٌ مُؤمِنونَ وَنِساءٌ مُؤمِناتٌ لَم تَعلَموهُم أَن تَطَئوهُم فَتُصيبَكُم مِنهُم مَعَرَّةٌ بِغَيرِ عِلمٍ ۖ لِيُدخِلَ اللهُ في رَحمَتِهِ مَن يَشاءُ ۚ لَو تَزَيَّلوا لَعَذَّبنَا الَّذينَ كَفَروا مِنهُم عَذابًا أَليمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They are the ones who disbelieved and obstructed you from al-Masjid al-Ḥarām while the offering¹ was prevented from reaching its place of sacrifice. And if not for believing men and believing women whom you did not know – that you might trample [i.e., kill] them and there would befall you because of them dishonor without [your] knowledge – [you would have been permitted to enter Makkah]. [This was so] that Allāh might admit to His mercy whom He willed. If they had been apart [from them], We would have punished those who disbelieved among them with painful punishment

•i.e., seventy camels intended for sacrifice and feeding of the poor.

(MELAYU)

Merekalah orang-orang yang kafir yang menghalangi kamu dari (masuk) Masjidil Haram dan menghalangi haiwan korban sampai ke tempat (penyembelihan)nya. Dan kalau tidaklah kerana laki-laki yang mukmin dan perempuan-perempuan yang mukmin yang tiada kamu ketahui, takut kamu akan memijak-mijak mereka yang menyebabkan kamu ditimpa kesusahan tanpa pengetahuanmu (tentulah Allah tidak akan menahan tanganmu dari membinasakan mereka). Supaya Allah memasukkan siapa yang dikehendaki-Nya ke dalam rahmat-Nya. Sekiranya mereka terasing, tentulah Kami akan mengazab orang-orang yag kafir di antara mereka dengan azab yang pedih.

 

هُمُ الَّذينَ كَفَروا وَصَدّوكُم عَنِ المَسجِدِ الحَرامِ

Merekalah orang-orang yang kafir dan yang menghalangi kamu dari (masuk) Masjidil Haram 

Allah memberitahu bahawa bukan orang mukmin yang melakukan kesalahan tetapi musyrikin Mekah itu, kerana mereka itu telah kufur dengan Allah dan merekalah yang telah menahan orang mukmin dari melakukan ibadat. Sepatutnya mereka membenarkan umat Islam untuk mendatangi Masjidil Haram pada waktu itu. Ini adalah kerana mereka adalah penjaga Kaabah waktu itu dan etika penjaga Kaabah adalah untuk membenarkan sesiapa sahaja datang untuk beribadat di Kaabah. Tapi kerana benci kepada umat Islam, mereka sampai sanggup menghalang umat Islam untuk beribadat di Kaabah, dan telah bertindak berlawanan dengan tugas mereka.

Jadi, musyrikin Mekah itu memang layak untuk diperangi dan dikalahkan. Tapi Allah tidak benarkan ia berlaku kerana sebab-sebab tertentu yang akan diterangkan.

 

وَالهَديَ مَعكوفًا أَن يَبلُغَ مَحِلَّهُ

dan menghalangi haiwan korban sampai ke tempat (penyembelihan)nya.

الهَديَ adalah binatang yang telah ditanda sebagai binatang sembelihan semasa mengerjakan Umrah dan Haji. Puak musyrikin menahan binatang-binatang sembelihan itu untuk sampai ke tempat sembelihannya. Tentulah puak Mukmin yang telah datang dari jauh itu menjadi marah kerana bukan senang untuk mereka bawa binatang-binatang itu bersama mereka dalam perjalanan yang jauh. Sepanjang perjalanan itu mereka kena jaga dan beri makan kepada binatang-binatang itu bukan? Dan apabila tujuan mereka bawa binatang itu tidak dapat dilaksanakan, tentulah mereka amat marah.

 

وَلَولا رِجالٌ مُؤمِنونَ وَنِساءٌ مُؤمِناتٌ لَم تَعلَموهُم أَن تَطَئوهُم

Dan kalau tidaklah kerana laki-laki yang mukmin dan perempuan-perempuan yang mukmin yang tiada kamu ketahui, takut kamu akan memijak-mijak mereka

Ayat ini memberitahu kita bahawa ada orang orang lelaki dan orang perempuan yang tidak dikenali, tetapi mereka itu telah beriman tetapi beriman secara rahsia. Mereka tidak berani untuk memberitahu kepada kaum mereka yang mereka telah beriman kerana itu akan membahayakan mereka.

Oleh kerana mereka itu tidak dikenali sebagai orang Islam, maka jikalau puak mukmin dari Madinah itu masuk juga dan berperang dengan orang-orang Mekah itu, maka ada kemungkinan mereka itu akan terbunuh juga. Ada kemungkinan mereka akan dipijak-pijak juga. Seperti yang kita telah sebutkan sebelum ini, kalau peperangan berdekatan dengan kota tempat penempatan manusia, ada kemungkinan orang-orang yang tidak terlibat dengan peperangan pun boleh terbunuh – orang tua, wanita dan kanak-kanak. Juga orang-orang yang tidak mahu pun berperang, pun mungkin akan terbunuh juga. Allah tidak mahu orang-orang Islam itu terbunuh.

Oleh itu, kalaulah tidak kerana umat Islam yang beriman secara rahsia itu ada di dalam Kota Mekah, maka tentu Allah telah benarkan peperangan itu terjadi dan beri kemenangan kepada umat Islam.

 

فَتُصيبَكُم مِنهُم مَعَرَّةٌ بِغَيرِ عِلمٍ

yang menyebabkan kamu ditimpa kesusahan tanpa pengetahuanmu

Nanti akan menjadi isu pula kerana nanti ada orang akan kata: puak-puak Islam itu tidak kisah dalam membunuh, sampaikan membunuh orang Islam juga. Dan ini akan menjadi skandal dan akan menyebabkan orang-orang luar akan melihat orang-orang Islam ini dan agama Islam itu sendiri sebagai sesuatu yang buruk dan mereka tentunya tidak mahu masuk ke dalam agama Islam. Kalau itu terjadi, maka mereka telah menyebabkan terpalit nama baik Islam.

 

لِيُدخِلَ اللهُ في رَحمَتِهِ مَن يَشاءُ

Supaya Allah memasukkan siapa yang dikehendaki-Nya ke dalam rahmat-Nya.

Maka Allah tidak membenarkan peperangan terjadi, takut menyebabkan orang-orang orang Islam di Mekah itu juga terbunuh. Ini adalah kerana Allah hendak memasukkan mereka ke dalam rahmatNya. Kerana nanti apabila negara Islam mengambil alih Mekah, mereka yang sebelum itu merahsiakan keislaman mereka dapat menyatakan Syahadah mereka dengan aman dan dapat masuk Islam dengan mudah.

Lagi satu, Allah tidak mahu musyrikin Mekah terbunuh pada waktu itu kerana mereka itu bukanlah penentang kuat pun. Dan mereka tidak mahu masuk Islam pada waktu itu sahaja, tetapi dua tahun lagi mereka itu akan masuk Islam beramai-ramai. Ini kerana hati mereka akan berubah dan menjadi lembut untuk menerima Islam. Penentang-penentang Islam yang kuat sebenarnya telah terbunuh semasa Perang Badar dan Uhud. Jadi kalau peperangan terjadi dan mereka itu terbunuh, maka hilanglah harapan untuk mereka masuk Islam sedangkan Allah telah berkehendak supaya mereka masuk Islam.

 

ۚ لَو تَزَيَّلوا لَعَذَّبنَا الَّذينَ كَفَروا مِنهُم عَذابًا أَليمًا

Sekiranya mereka terasing, tentulah Kami akan mengazab orang-orang yag kafir di antara mereka dengan azab yang pedih.

Kalaulah orang-orang Islam yang merahsiakan keislaman mereka itu dapat lari keluar daripada Mekah semuanya, maka Allah pasti akan menghancurkan terus penduduk musyrikin Mekah itu. Mereka tidak dihancurkan terus oleh Allah kerana Allah tidak menghancurkan satu-satu tempat itu jikalau masih ada lagi orang yang melakukan istighfar kepada Allah. Jadi kerana ada orang Islam di Mekah, maka Allah tidak mengenakan azab kepada mereka.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir ibn Kathir

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 048: al-Fath. Bookmark the permalink.

One Response to Tafsir Surah al-Fath Ayat 24 – 25 (Allah tidak bagi berperang)

  1. Pingback: Tafsir Surah al-Fath Ayat 24 – 25 (Allah tidak bagi berperang)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s