Tafsir Surah al-Fath Ayat 16 – 18 (Pokok Bai’ah Ridwan ditebang)

Ayat 16: Ini pun satu lagi perkara yang akan berlaku di masa hadapan. Ini adalah jawapan kedua kepada golongan munafik yang minta nak ikut ke Khaibar. Ada lagi perjuangan yang lain, jadi tak perlu risau. Waktu itu apabila telah diajar, maka mereka kena buat keputusan untuk ikut.

Allah ingatkan, jangan nak dapatkan harta sahaja. Perjuangan jihad mesti kerana Allah, bukan kerana nak kumpul harta.

قُل لِلمُخَلَّفينَ مِنَ الأَعرابِ سَتُدعَونَ إِلىٰ قَومٍ أُولي بَأسٍ شَديدٍ تُقاتِلونَهُم أَو يُسلِمونَ ۖ فَإِن تُطيعوا يُؤتِكُمُ اللهُ أَجرًا حَسَنًا ۖ وَإِن تَتَوَلَّوا كَما تَوَلَّيتُم مِن قَبلُ يُعَذِّبكُم عَذابًا أَليمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Say to those who remained behind of the bedouins, “You will be called to [face] a people of great military might; you may fight them, or they will submit.¹ So if you obey, Allāh will give you a good reward; but if you turn away as you turned away before, He will punish you with a painful punishment.”

•To Allāh in Islām.

(MELAYU)

Katakanlah kepada orang-orang Badwi yang tertinggal: “Kamu akan diajak untuk (memerangi) kaum yang mempunyai kekuatan yang besar, kamu akan memerangi mereka atau mereka menyerah (masuk Islam). Maka jika kamu patuhi (ajakan itu) nescaya Allah akan memberikan kepadamu pahala yang baik dan jika kamu berpaling sebagaimana kamu telah berpaling sebelumnya, niscaya Dia akan mengazab kamu dengan azab yang pedih”.

 

قُل لِلمُخَلَّفينَ مِنَ الأَعرابِ

Katakanlah kepada orang-orang Badwi yang tertinggal:

Allah suruh Nabi Muhammad memberitahu kepada golongan munafik itu. Iaitu mereka yang tertinggal dari menyertai rombongan Umrah Nabi Muhammad ke Mekah pada tahun Perjanjian Hudaibiyah itu.

 

سَتُدعَونَ إِلىٰ قَومٍ أُولي بَأسٍ شَديدٍ

“Kamu akan diajak untuk (memerangi) kaum yang mempunyai kekuatan yang besar,

Ini adalah kejadian di masa hadapan. Mereka akan disuruh untuk menyerang satu kaum dan kali ini tidak disebut pun untuk mengambil harta rampasan perang (seperti di Khaibar itu). Ini adalah kerana mereka kena berperang dengan satu kaum yang kuat. Bukan untuk ambil harta sahaja.

Yang dimaksudkan adalah kaum yang kuat dan pandai berperang dan banyak kelengkapan. Yang dimaksudkan adalah tentera Rom. Dan ini akan berlaku dalam Perang Tabuk. Dan juga merujuk kepada tentera Parsi. Ini akan terjadi selepas Nabi wafat. Kerana selepas kalah Arab Mekah, tidak ada tentera yang kuat lagi selain dari Rom dan Parsi. Maka yang dimaksudkan bukanlah tentera bangsa Arab tapi a’jam.

Maknanya perang tetap kena dijalankan untuk tegakkan agama. Jihad tetap berjalan walaupun Nabi dah wafat.

Mereka tidak dibenarkan untuk menyertai serangan ke Khaibar tetapi mereka akan dijemput untuk menyertai perang Tabuk nanti. Ini memang tidak disebut tetapi ia adalah sebagai syarat kerana selepas perjanjian Hudaibiyah itu maka Rasulullah sudah mula menghantar surat-surat dakwah kerana baginda sudah boleh fokus kepada mengembangkan agama Islam ke serata tempat selain tanah Arab sahaja. Kerana baginda adalah Rasul kepada seluruh umat manusia, bukan Arab sahaja maka memanglah baginda kena menyampaikan dakwah kepada bangsa-bangsa lain juga. Dan antara mereka yang baginda kena dakwah dan sampaikan Islam adalah kepada Rom dan Parsi.

 

تُقاتِلونَهُم أَو يُسلِمونَ

kamu akan memerangi mereka atau mereka menyerah (masuk Islam).

Kena terus perangi mereka berterusan sampailah mereka masuk Islam atau menyerah. Maka arahan dari Allah boleh difahami dalam dua maksud:

  1. Perangi mereka sehinggalah mereka masuk Islam
  2. Atau perangi mereka sehingga mereka tunduk kepada negara Islam.

Dua-dua maksud ini boleh dipakai.

فَإِن تُطيعوا يُؤتِكُمُ اللهُ أَجرًا حَسَنًا

Maka jika kamu patuhi (ajakan itu) nescaya Allah akan memberikan kepadamu pahala yang baik

Waktu itu kalau mereka sanggup untuk ikut arahan berperang, maka mereka akan mendapat pahala yang besar.

Maka tidaklah perlu mereka sibuk mengejar kelebihan harta di Khaibar itu, kerana mereka ada lagi peluang lain untuk mendapatkan pahala dan harta semasa berperang dengan Rom (atau Parsi). Kerana ada juga pendapat yang mengatakan kerajaan yang akan diperangi adalah Kerajaan Parsi, tetapi bukanlah di zaman Rasulullah kerana ia akan berlaku semasa zaman Khalifah Umar dan seterusnya.

Di sini juga Allah memberi janji kepada umat Islam bahawa empayar itu akan kalah kepada umat Islam ataupun mereka akan masuk ke dalam Islam. Janji perangi sahaja mereka itu.

 

وَإِن تَتَوَلَّوا كَما تَوَلَّيتُم مِن قَبلُ يُعَذِّبكُم عَذابًا أَليمًا

dan jika kamu berpaling sebagaimana kamu telah berpaling sebelumnya, niscaya Dia akan mengazab kamu dengan azab yang pedih”.

Kalau mereka ikut arahan ini dan taat, maka mereka akan mendapat pahala dan harta yang banyak; tetapi Allah memberi ancaman: yang jikalau mereka berpaling lagi seperti yang mereka telah lakukan pada Badar, Uhud dan semasa Perang Ahzab dan juga tidak menyertai rombongan Umrah Rasulullah, maka mereka akan mendapat balasan yang buruk. Kalau mereka buat perangai lama mereka, maka mereka akan mendapat balasan yang buruk. Maka kenalah mereka tinggalkan perangai lama mereka. Maknanya, mereka masih ada peluang lagi untuk memperbetulkan kesilapan mereka yang dahulu.


 

Ayat 17: Allah hendak memberitahu bahawa panggilan untuk berjihad ini tidak dikenakan kepada mereka yang memang ada uzur syar’ie.

لَيسَ عَلَى الأَعمىٰ حَرَجٌ وَلا عَلَى الأَعرَجِ حَرَجٌ وَلا عَلَى المَريضِ حَرَجٌ ۗ وَمَن يُطِعِ اللهَ وَرَسولَهُ يُدخِلهُ جَنّاتٍ تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهارُ ۖ وَمَن يَتَوَلَّ يُعَذِّبهُ عَذابًا أَليمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

There is not upon the blind any guilt or upon the lame any guilt or upon the ill any guilt [for remaining behind]. And whoever obeys Allāh and His Messenger – He will admit him to gardens beneath which rivers flow; but whoever turns away – He will punish him with a painful punishment.

(MELAYU)

Tiada dosa atas orang-orang yang buta dan atas orang yang pincang dan atas orang yang sakit (apabila tidak ikut berperang). Dan barangsiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya; niscaya Allah akan memasukkannya ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai dan barang siapa yang berpaling niscaya akan diazab-Nya dengan azab yang pedih.

 

لَيسَ عَلَى الأَعمىٰ حَرَجٌ

Tiada dosa atas orang-orang yang buta

Apabila para sahabat yang mukmin mendengar ayat yang memberi isyarat bahawa mereka perlu berperang, maka sahabat yang mukmin sudah mula bersedia. Malah ada sahabat yang buta pun mula berfikir yang mereka itu juga perlu untuk menyertai peperangan. Sampaikan mereka mula rasa yang mereka kena berlatih untuk berperang maka Allah beritahu bahawa mereka yang buta tidak perlu berperang. Tidak ada dosa kalau mereka tidak berperang.  Mereka tidak dipersalahkan.

 

وَلا عَلَى الأَعرَجِ حَرَجٌ وَلا عَلَى المَريضِ حَرَجٌ

dan atas orang yang pincang dan atas orang yang sakit

Termasuk juga mereka yang dipersalahkan adalah mereka pincang (cacat) dan sakit. Mereka itu tidak perlu berperang kerana mereka diberikan pelepasan. Orang yang sihat yang kena bersedia untuk berperang. Jadi jangan cari alasan untuk tidak berperang.

Walaupun mereka tidak boleh menyertai peperangan dengan cara fizikal, tapi mereka kena juga ada hasrat. Mereka tetap kena bantu dengan beri semangat, infak dan doa.

 

وَمَن يُطِعِ اللهَ وَرَسولَهُ يُدخِلهُ جَنّاتٍ تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهارُ

Dan barangsiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya; nescaya Allah akan memasukkannya ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai

Allah mengingatkan bahawa sesiapa yang taat kepada Rasulullah dalam keadaan sihat ataupun sakit, maka mereka akan mendapat balasan syurga. Mereka yang taat kepada Rasulullah untuk berperang di jalan Allah, mereka akan dibalas dengan syurga. Dan Allah terangkan sifat syurga itu yang hebat, siap ada sungai yang mengalir di bawah rumah dan mahligai mereka.

 

وَمَن يَتَوَلَّ يُعَذِّبهُ عَذابًا أَليمًا

dan barang siapa yang berpaling niscaya akan diazab-Nya dengan azab yang pedih.

Tapi bagaimana pula kalau mereka menolak untuk taat? Allah beri ancaman yang kalau mereka berpaling dari taat kepada Rasulullah, mereka akan mendapat azab seksa yang teruk. Paling teruk sekali, mereka akan dimasukkan ke dalam neraka.


 

Ayat 18: Ini berkenaan mereka yang taat kepada Rasulullah, iaitu orang-orang mukmin yang ikut serta bersama Nabi Muhammad bermusafir untuk mengerjakan umrah pada tahun 6 Hijrah itu. Walaupun mereka tidak dapat mengerjakan umrah pada tahun itu, tetapi Allah beri mereka pahala yang lebih lagi daripada umrah. Kerana mereka mendapat pahala taat kepada Rasulullah tanpa berbelah bagi. Maka Allah beritahu di dalam ayat ini yang Allah redha kepada mereka dan redha Allah itu membawa ke syurga kerana semua mereka yang bai’ah dengan Rasulullah pada hari itu telah dijaminkan syurga. Ini adalah salah satu dari nikmat juga, iaitu nikmat redha dari Allah.

 

۞ لَقَد رَضِيَ اللهُ عَنِ المُؤمِنينَ إِذ يُبايِعونَكَ تَحتَ الشَّجَرَةِ فَعَلِمَ ما في قُلوبِهِم فَأَنزَلَ السَّكينَةَ عَلَيهِم وَأَثابَهُم فَتحًا قَريبًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Certainly was Allāh pleased with the believers when they pledged allegiance to you, [O Muḥammad], under the tree, and He knew what was in their hearts, so He sent down tranquility upon them and rewarded them with an imminent conquest¹

•That of Khaybar, which preceded the conquest of Makkah.

(MELAYU)

Sesungguhnya Allah telah redha terhadap orang-orang mukmin ketika mereka berjanji setia kepadamu di bawah pohon, maka Allah mengetahui apa yang ada dalam hati mereka lalu menurunkan ketenangan atas mereka dan memberi balasan kepada mereka dengan kemenangan yang dekat (waktunya).

 

لَقَد رَضِيَ اللهُ عَنِ المُؤمِنينَ إِذ يُبايِعونَكَ تَحتَ الشَّجَرَةِ

Sesungguhnya Allah telah redha terhadap orang-orang mukmin ketika mereka berjanji setia kepadamu di bawah pohon,

Allah redha dengan golongan mukminin itu. Inilah nikmat redha Allah. Kalau ibubapa kita redha dengan kita pun, kita sudah suka, tambahan pula kalau Allah yang redha!

Kerana redha itulah bai’ah yang mereka lakukan dengan Nabi itu juga dikenali sebagai baiaturidwaan (bai’ah yang diredhai). Iaitu ketika mereka melakukan perjanjian dengan Nabi di bawah sepohon pokok. Pokok itu adalah Pohon Samurah di Hudaibiyah. Pokok ini disebut di dalam Qur’an. Jadi ia mempunyai sejarah yang amat tinggi, bukan? Akan tetapi apabila ada umat Islam yang mencari-cari pokok ini untuk mengambil berkat darinya dengan melakukan solat padanya, Saidina Umar telah mengarahkan untuk ia dipotong. Ini kerana beliau takut ada manusia yang akan melakukan syirik kepada pokok itu. Maka beliau telah memotong pokok itu. Kerana bukanlah kesan sejarah yang perlu dijaga, tapi akidah manusia yang perlu dijaga.

Begitulah, ramai orang yang memarahi pemerintahan Kerajaan Arab Saudi yang telah menghancurkan tempat-tempat bersejarah. Mereka tidak faham bahawa tempat-tempat itu telah dijadikan sebagai tempat pemujaan, tempat solat, tempat ambil berkat dari orang-orang yang jahil tentang akidah. Maka tidak ada salahnya mereka memusnahkannya kerana itu tidak penting.

Maka di manakah asal kedudukan pohon itu pun tidak diketahui sampai sekarang. Kerana para sahabat yang mengadakan bai’ah di situ pun tidak ingat.

Dan memang pokok itu tidak penting pun dan tidak ada kelebihan pun. Para sahabat yang pergi dan berada dalam majlis baiah itu sendiri pun tidak tahu kedudukan pokok itu. Tapi zaman tabein sudah ada mula buat masjid di kawasan sekitar itu kerana mereka kata ada keberkatan di tempat itu. Kalau zaman tabein pun dah ada yang salah faham tentang

Allah memberitahu tentang pokok itu kerana hendak memberitahu bahawa majlis bai’ah itu bukanlah di dalam majlis yang hebat dan besar, tetapi di dalam suasana yang sederhana sahaja. Tetapi walaupun ia berbentuk ala kadar sahaja, ia tetap sampai boleh membawa mereka yang berbai’ah di bawahnya ke syurga. Kerana Allah lihat kepada hati bukan di tempat kejadian itu. Begitulah kita, bukannya kita lihat pada perawakan seseorang, tapi kita lihat kepada kebaikan hati seseorang itu.

Dalam ayat ini Allah beritahu dalam Qur’an yang Dia redha kepada para sahabat itu. Ini adalah salah satu ayat untuk menangkis fahaman agama Syiah yang mengutuk sahabat Nabi. Mereka kata semua sahabat Nabi itu semua jadi syirik setelah kewafatan Rasulullah kecuali beberapa orang sahaja. Ini tidak mungkin sedangkan Allah redha dengan mereka. Kerana ayat ini ditujukan kepada 1,400 sahabat yang bersama dengan baginda untuk menunaikan Umrah itu – sudah ramai. Syiah pula kata beberapa orang sahaja yang tidak murtad. Mereka memang mempunyai fahaman yang sesat dan kalau diberitahu kepada masyarakat kita, ramai yang akan jadi kafir macam Syiah itu juga.

 

فَعَلِمَ ما في قُلوبِهِم

maka Allah mengetahui apa yang ada dalam hati mereka

Kalimah ما (apa) dalam ayat ini adalah ‘ma mubham’ iaitu tidak jelas. Ulama mengatakan yang ia bermaksud janji mereka kepada Allah. Allah beritahu yang Dia tahu apa yang di dalam hati mereka. Allah tahu hati mereka ikhlas dan sanggup mati kerana agama. Kerana itu mereka mendapat berbagai-bagai kelebihan.

Ini juga menolak fahaman sesat Syiah yang mengatakan para sahabat semasa dengan Nabi semuanya munafik. Bagaimana mereka itu munafik sedangkan Allah tahu hati mereka yang ikhlas? Adakah Syiah nak kata yang Allah tidak tahu hati para sahabat itu? Bukanlah Allah segala yang dalam hati manusia? Kalaulah mereka munafik, tentu Allah tahu, bukan? Maka memanglah Syiah ini adalah golongan kufur yang sesat. Semoga anak-anak Islam kita diselamatkan dari fahaman Syiah ini. Semoga mereka mendapat ilmu yang benar sebelum dakyah Syiah sampai kepada mereka.

 

فَأَنزَلَ السَّكينَةَ عَلَيهِم

lalu menurunkan ketenangan atas mereka

Kerana hati mereka ikhlas, maka Allah curahkan ketenangan ke atas mereka. Dengan ketenangan itu, mereka dapat redha dengan apa yang terjadi, walaupun pada asalnya, mereka marah dengan apa yang telah berlaku. Mereka juga tidak bersetuju dengan Perjanjian Hudaibiyah itu yang mereka lihat berat sebelah. Ini kerana mereka tidak faham dan tidak dapat lihat di masa hadapan bagaimana perjanjian itu akan memenangkan agama Islam. Maka walaupun mereka tidak faham, tapi kerana Allah telah turunkan ketenangan ke dalam hati mereka, mereka dapat terima apa yang berlaku.

Sakinah di dalam hati mereka itu juga boleh bermaksud sifat berani yang Allah tanamkan dalam hati mereka. Mereka sanggup dan bersedia untuk berperang menentang musyrikin Mekah untuk membalas dendam terhadap perbuatan mereka terhadap Uthman. Walaupun waktu itu mereka tidak bersenjata. Memang kalau fikir logik, mereka tidak sanggup nak berperang. Tapi Allah tanamkan sifat berani dalam diri mereka, mereka sanggup buat apa-apa sahaja.

 

وَأَثابَهُم فَتحًا قَريبًا

dan memberi balasan kepada mereka dengan kemenangan yang dekat

Allah balas pengorbanan mereka itu dan iman mereka itu dengan kejayaan yang dekat. Yang dimaksudkan adalah harta ghanimah Khaibar, seperti yang kita telah sebutkan. Kerana apabila mereka balik sahaja ke Madinah mereka akan terus pergi ke Khaibar. Tempat itu dekat sahaja dengan mereka dari segi kedudukan dan tidak lama perkara itu berlaku setelah mereka kembali ke Madinah.

Juga boleh bermaksud kejayaan dalam Perjanjian Hudaibiyah itu juga, kerana itu pun sudah dikira sebagai kejayaan.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir ibn Kathir

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 048: al-Fath. Bookmark the permalink.

One Response to Tafsir Surah al-Fath Ayat 16 – 18 (Pokok Bai’ah Ridwan ditebang)

  1. Pingback: Tafsir Surah al-Fath Ayat 16 – 18 (Pokok Bai’ah Ridwan ditebang)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s