Tafsir Surah al-Fath Ayat 6 – 9 (Sakinah kepada orang mukmin)

Ayat 6: Ini pula adalah orang yang Allah tidak beri sakinah kepada mereka kerana dalam hati mereka tidak ada kepercayaan kepada Allah dan Rasulullah. Mereka ini jenis orang yang tidak mahu taat kepada wahyu.

وَيُعَذِّبَ المُنافِقينَ وَالمُنافِقاتِ وَالمُشرِكينَ وَالمُشرِكاتِ الظّانّينَ بِاللهِ ظَنَّ السَّوءِ ۚ عَلَيهِم دائِرَةُ السَّوءِ ۖ وَغَضِبَ اللهُ عَلَيهِم وَلَعَنَهُم وَأَعَدَّ لَهُم جَهَنَّمَ ۖ وَساءَت مَصيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [that] He may punish the hypocrite men and hypocrite women, and the polytheist men and polytheist women – those who assume about Allāh an assumption of evil nature. Upon them is a misfortune of evil nature; and Allāh has become angry with them and has cursed them and prepared for them Hell, and evil it is as a destination.

(MELAYU)

dan supaya Dia mengazab orang-orang munafik laki-laki dan perempuan dan orang-orang musyrik laki-laki dan perempuan yang mereka itu berprasangka buruk terhadap Allah. Mereka akan mendapat giliran (kebinasaan) yang amat buruk dan Allah memurkai dan mengutuk mereka serta menyediakan bagi mereka neraka Jahannam. Dan (neraka Jahannam) itulah sejahat-jahat tempat kembali.

 

وَيُعَذِّبَ المُنافِقينَ وَالمُنافِقاتِ وَالمُشرِكينَ وَالمُشرِكاتِ

dan supaya Dia mengazab orang-orang munafik laki-laki dan perempuan dan orang-orang musyrik laki-laki dan perempuan

Yang merasa azab dan susah hati dengan perjanjian Hudaibiyah ini adalah golongan munafik dan golongan musyrikin. Ini adalah kerana apabila perjanjian itu telah ditandatangani dan kesan baiknya mula kelihatan, waktu itu barulah mereka terasa bahawa mereka telah melakukan kesilapan dengan mengadakan perjanjian itu. Musyrikin Mekah sangka mereka telah berjaya untuk menghalau puak mukmin pada tahun itu dan terma perjanjian itu mereka telah susun supaya berpihak kepada mereka tetapi alangkah terkejutnya mereka nanti apabila umat Islam datang ke Mekah nanti dengan kekuatan yang lebih besar. Orang Munafik sangka yang apabila puak mukmin pergi mengerjakan Umrah pada tahun itu, mereka akan dibunuh oleh puak Mekah, tapi tidak. Malahan dengan termeterainya perjanjian itu, kekuatan Islam semakin kuat. Jadi, kedua-dua puak musyrikin dan munafik itu rasa tertekan jiwa mereka kerana Perjanjian Hudaibiyah itu.

Ini adalah azab dunia yang Allah berikan kepada mereka sebelum mereka diberikan dengan azab yang berkekalan di akhirat kelak.

Lihat bagaimana Allah masukkan golongan-golongan wanita (المُنافِقاتِ dan المُشرِكاتِ) juga kerana perkara itu juga dilakukan oleh mereka. Bukan golongan lelaki sahaja yang musyrik dan munafik, tapi golongan wanita juga ada yang berfikiran begitu.

 

الظّانّينَ بِاللهِ ظَنَّ السَّوءِ

yang mereka itu berprasangka buruk terhadap Allah.

Mereka mempunyai prasangka yang buruk terhadap Allah. Mereka telah mengatakan perkara-perkara yang tidak patut terhadap Allah. Dalam hati mereka ada sangkaan yang salah terhadap Allah. Sangkaan yang salah ini boleh jadi salah satu dari dua terjemahan:

  1. Kepercayaan yang Allah memerlukan pembantu, ada wakil dan sebagainya. Kerana fahaman beginilah yang menyebabkan golongan musyrikin menggunakan perantara (wasilah) dalam doa dan sembahan mereka.
  2. Allah tidak bantu orang-orang mukmin. Kerana itulah puak munafik itu sangka yang apabila orang mukmin itu sampai di Mekah, mereka akan dibunuh semuanya oleh puak musyrikin Mekah.

 

عَلَيهِم دائِرَةُ السَّوءِ

Mereka akan mendapat giliran (kebinasaan) yang amat buruk

Kalimah دائِرَةُ dari kalimah د و ر yang bermaksud pusingan, giliran. Maknanya mereka akan  mendapat giliran yang buruk. Kerana dulu mereka memang berkuasa, tapi ia akan berpusing.

Ia juga boleh digunakan sebagai daerah, ruang. Ruang lingkup mereka akan menjadi kecil dan menjadi berat kepada mereka sedangkan ruang lingkup dan kebebasan kepada orang-orang Islam semakin besar. Kerana nanti semakin ramai puak Arab sekitar akan mengadakan perjanjian dengan umat Islam selepas perjanjian Hudaibiyah itu. Maka mereka akan melihat daerah kekuasaan mereka akan berkurangan dan daerah kekuasaan puak Islam akan semakin berkembang. Itu akan menyakitkan hati mereka.

 

وَغَضِبَ اللهُ عَلَيهِم وَلَعَنَهُم

dan Allah memurkai dan mengutuk mereka

Dan mereka akan mendapat yang lebih teruk lagi, iaitu mereka akan mendapat kemurkaan dari Allah. Dan Allah akan laknat mereka. Ini amatlah membahayakan.

 

وَأَعَدَّ لَهُم جَهَنَّمَ

serta menyediakan bagi mereka neraka Jahannam.

Dan akhirnya mereka akan mendapat tempat kekal di dalam Neraka.

 

وَساءَت مَصيرًا

sejahat-jahat tempat kembali.

Dan tentunya neraka itu adalah tempat yang teruk sekali. Cuma mereka akan dikenakan kesesakan semenjak mereka di dunia lagi.

Lihatlah betapa banyaknya azab untuk mereka. Kenapa banyak sangat jenis azab yang akan dikenakan kepada golongan munafik dan musyrikin itu? Kerana Allah hendak memberitahu kepada orang mukmin, memang mereka (orang mukmin) dalam keadaan marah waktu itu kepada puak musyrikin itu, tetapi kemarahan mereka tidaklah sama dengan kemarahan Allah yang lebih lagi terhadap golongan munafik dan musyrik itu.

Ada elemen psikologi di dalam perkara ini kerana apabila ada orang yang lebih marah dari kita terhadap orang lain, maka kemarahan kita berkurang sedikit. Sebagai contoh, kalau kita sedang marah kepada anak kita dan kemudian isteri kita datang dan dia tunjuk kemarahan yang lebih besar lagi dari kemarahan kita, maka secara tidak langsung kemarahan kita akan berkurang. Begitulah cara Allah mengurangkan kemarahan orang orang mukmin itu dengan menunjukkan kemarahanNya yang lebih besar. Ini menenangkan hati mereka sedikit.


 

Ayat 7: I’adah jumlah mu’taridah sebagai taukid (penekanan).

وَِللهِ جُنودُ السَّماواتِ وَالأَرضِ ۚ وَكانَ اللهُ عَزيزًا حَكيمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And to Allāh belong the soldiers of the heavens and the earth. And ever is Allāh Exalted in Might and Wise.

(MELAYU)

Dan kepunyaan Allah-lah tentara langit dan bumi. Dan adalah Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

 

وَِللهِ جُنودُ السَّماواتِ وَالأَرضِ

Dan kepunyaan Allah-lah tentara langit dan bumi.

Dan tiba-tiba Allah ulang kembali kalimah yang pernah disebutNya sebelum ini dalam ayat 4. Allah hendak memberitahu bahawa Dia Maha Berkuasa dan kalau Dia sendiri mahu memusnahkan golongan-golongan musyrik itu, Dia memang boleh beri kemusnahan yang lebih besar lagi dari yang boleh dilakukan oleh golongan mukminin itu. Kerana golongan mukmin itu manusia biasa sahaja. Kuat macam mana pun mereka, kalau peperangan terjadi, tentulah ada juga kematian di pihak yang kuat pun.

 

وَكانَ اللهُ عَزيزًا حَكيمًا

Dan adalah Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

Tapi Allah berkuasa untuk menghancurkan mereka sehancur-hancurnya. Allah Maha Bijaksana, maka rancangan yang Allah buat ini adalah dari kebijaksanaanNya, maka hendaklah mereka percaya dengan apa yang Allah lakukan itu. Serahkan sahaja kepada Allah.


 

Ayat 8: Allah beritahu yang Nabi diutus untuk mengajar kepada manusia cara-cara untuk taat. Kadang-kadang mungkin Rasulullah suruh para sahabat untuk melakukan sesuatu yang nampak seperti bertentangan dengan logik akal, tetapi orang mukmin kena ingat yang jikalau arahan itu dikeluarkan oleh Rasulullah maka ia tentunya dari Allah. Maka jikalau Nabi telah keluarkan arahan, maka orang mukmin kena ikut dan taat walaupun bertentangan dengan kehendak dan logik akal mereka.

إِنّا أَرسَلناكَ شاهِدًا وَمُبَشِّرًا وَنَذيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, We have sent you as a witness and a bringer of good tidings and a warner

(MELAYU)

Sesungguhnya Kami mengutus kamu sebagai saksi, pembawa berita gembira dan pemberi peringatan,

 

إِنّا أَرسَلناكَ شاهِدًا

Sesungguhnya Kami mengutus engkau sebagai saksi,

Syahidan dalam ini bermaksud yang memberitahu kebenaran. Nabi Muhammad SAW telah ditugaskan oleh Allah untuk menyampaikan kebenaran kepada manusia.

Baginda juga akan menjadi saksi kepada umat baginda. Baginda menjadi saksi samada umatnya mengikut ajaran dan suruhan baginda atau tidak. Jadi segala suruhan itu adalah ujian kepada orang mukmin.

 

وَمُبَشِّرًا وَنَذيرًا

pembawa berita gembira dan pemberi ancaman,

Baginda ada dua tugas yang penting – beri berita gembira dan ancaman. Memberi berita gembira kepada mereka yang taat, dan memberi ancaman buruk kepada mereka yang degil dan engkar.

Surah ini adalah surah Madaniyyah, maka tentulah orang-orang Islam sudah tahu bahawa Nabi Muhammad itu adalah seorang saksi dan pembawa berita gembira dan pemberi peringatan. Tetapi Allah hendak mengingatkan mereka balik yang mereka itu adalah pengikut Rasulullah. Mereka adalah golongan manusia yang akan menjadi saksi juga atas manusia-manusia yang lain. Samada mereka ikut ajakan dakwah atau tidak.

Dan mereka yang akan mengingatkan kepada manusia berita baik dan memberi ancaman kepada manusia dan itulah misi mereka sebenarnya di dalam kehidupan ini. Kerana merekalah nanti yang akan meneruskan tugas Rasulullah untuk menyampaikan wahyu kepada manusia. Dan mereka nanti yang akan menjadi saksi di akhirat kelak tentang siapakah yang meneriman atau menolak dakwah tauhid itu.

Begitulah kita sebagai pendakwah ini, akan menjadi saksi atas manusia yang kita telah dakwahkan. Allah akan tanya adakah si polan dan si polan itu ikut dakwah atau tidak? Maka kita kena beri jawapan yang benar.


 

Ayat 9:

لِتُؤمِنوا بِاللهِ وَرَسولِهِ وَتُعَزِّروهُ وَتُوَقِّروهُ وَتُسَبِّحوهُ بُكرَةً وَأَصيلًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

That you [people] may believe in Allāh and His Messenger and honor him and respect him [i.e., the Prophet ()] and exalt Him [i.e., Allāh] morning and afternoon.

(MELAYU)

supaya kamu sekalian beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, menguatkan (agama)Nya, membesarkan-Nya. Dan bertasbih kepada-Nya di waktu pagi dan petang.

 

لِتُؤمِنوا بِاللهِ وَرَسولِهِ

supaya kamu sekalian beriman kepada Allah dan Rasul-Nya,

Kenapa Allah ulang sekali lagi di dalam ayat ini seperti yang sebelumnya? Kerana hendak mengingatkan mereka tentang iman dan menyegarkan kembali iman mereka.

 

وَتُوَقِّروهُ

menghormatinya

Ta’zir adalah membantu seorang yang lain kerana hormat kepadanya. Sebagai contoh kalau ada guru yang masuk kelas dengan banyak barang dia bawa, kita akan segera bantu dia kita kerana kita hormat kepada dia. Jadi kita disuruh hormat kepada Nabi. Ini adalah kalau dhomir ه dalam ayat ini nisbah kepada Rasulullah. Maka mukmin kena membantu baginda di dalam apa keadaan pun. Kerana itu para sahabat berkorban jiwa dan harta mereka untuk membantu baginda. Maka begitulah sekarang kita selawat kepada baginda dan kita bantu untuk menjalankan dan meneruskan dakwah yang baginda telah mulakan itu kerana kita hormat kepada baginda.

 

وَتُوَقِّروهُ

membesarkannya.

Tawqir adalah orang yang kita terpesona kepada mereka kerana personaliti mereka. Kadang-kadang apabila kita hormat kepada seseorang itu sampai kita jaga akhlak kita di hadapan mereka. Contohnya apabila ada guru yang kita hormat, maka kita tidak cakap kasar dan kita duduk dengan baik sahaja.  Begitu juga kalau atuk kita yang kita hormat ada di rumah, maka kita tak berkelahi dengan adik beradik kita. Begitulah para sahabat menjaga diri mereka di hadapan Nabi. Mereka tidak meninggikan suara dan bercakap dengan hormat kepada baginda.

 

وَتُسَبِّحوهُ بُكرَةً وَأَصيلًا

Dan bertasbih kepada-Nya di waktu pagi dan petang.

Sekarang dhomir ه kembali kepada Allah pula. Allah beritahu jikalau kita melakukan ta’zir dan tawqir itu kepada Rasullullah, maka itulah tasbih kepada Allah.

Walaupun begitu ada juga pendapat yang mengatakan ketiga-tiga dhomir di dalam ayat ini kembali kepada Allah. Oleh itu hendaklah kita memperbanyakkan tasbih kepada Allah. Juga hendaklah kita melakukan ta’zir dan tawqir kepada Allah taala.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 048: al-Fath. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s