Tafsir Surah al-Fath Ayat 1 – 5 (Perjanjian Hudaibiyah)

Pengenalan: 

Dalam Surah Muhammad sebelum ini, telah disebut tentang jihad qital. Apabila umat Islam sanggup untuk berjuang mempertahankan agamanya dan mengikuti cara-cara yang telah ditetapkan oleh agama, maka Allah akan beri kejayaan (fath) kepada mereka. Dan kejayaan itu adalah dua jenis: iaitu kejayaan rohani di mana orang mukmin mendapat redha Allah dan dimasukkan ke dalam syurga; dan satu lagi adalah kejayaan jasmani di mana mereka dapat menang peperangan dan menegakkan agama di tempat-tempat yang baru. Dan mereka boleh dapat harga ghanimah yang banyak.

Dan apabila para mujahideen yang berperang pada jalan Allah dapat membuka negara Islam yang baru dan entah berapa ramai orang-orang yang tidak kenal Islam dan kemudian masuk Islam, maka mereka akan mendapat balasan pahala yang banyak mengikut bilangan setiap orang yang masuk agama Islam. Kemudian pahala keturunan orang-orang itu yang kemudian masuk Islam dan mengamalkan Islam. Dan ini juga termasuk kemenangan rohani kerana mereka mendapat pahala yang banyak dan kemenangan rohani ini lebih ditekankan oleh Allah kerana ia membawa seseorang itu ke syurga.

Ada ulama yang mengatakan Fatah yang dimaksudkan di dalam surah ini adalah kejayaan Pembukaan Mekah apabila semua orang musyrik Mekah itu masuk ke dalam agama Islam. Ini berlaku pada tahun lapan Hijrah.

Tetapi sesetengah ulama yang lain mengatakan Fatah yang dimaksudkan di dalam surah ini adalah Perjanjian Hudaibiyah yang berlaku pada tahun enam Hijrah dan pendapat ini adalah pendapat yang lebih kuat. Umat Islam pada waktu itu langsung tidak berperang tetapi Allah sudah kira itu sebagai satu kemenangan. Kerana pembukaan Kota Mekah itu sebenarnya berhasil dari ekoran Perjanjian Hudaibiyah ini.

Imam Bukhari mengatakan, telah menceritakan kepada kami Ubaidillah ibnu Musa, dari Israil, dari Abu Ishaq, dari Al-Barra r.a. yang mengatakan, “Kalian menganggap kemenangan itu adalah kemenangan atas kota Mekah, padahal kemenangan atas kota Mekah adalah suatu kemenangan, dan kami beranggapan bahawa kemenangan yang sesungguhnya adalah pada baiat Ridwan di hari Perjanjian Hudaibiyah. Saat itu kami bersama Rasulullah Saw. berjumlah seribu empat ratus orang, dan Hudaibiyah adalah nama sebuah sumur, lalu kami buat sumur itu kering hingga tiada setitis air pun yang tersisa (habis diminum oleh kami). Berita mengenai habisnya sumur Hudaibiyah sampai kepada Rasulullah Saw., lalu baginda mendatanginya dan duduk di pinggirnya. Kemudian meminta sewadah air, lalu baginda berwudu dengannya dan berkumur. Setelah itu baginda berdoa, lalu menuangkan air bekas wudunya itu ke dalam sumur tersebut. Kemudian kami tinggalkan sumur itu tidak jauh dari kami, dan tidak lama kemudian ternyata sumur itu mengeluarkan lagi airnya dengan deras sehingga dapat mencukupi keperluan air kami sesuka kami, juga keperluan unta-unta kami.”

Asalnya perjanjian ini untuk 10 tahun tetapi tidak sampai dua tahun ianya telah dirosakkan oleh musyrikin Mekah. Kepentingan perjanjian ini adalah gencatan senjata yang menyebabkan Rasulullah boleh berdakwah ke tempat-tempat yang lain. Sebelum ini banyak puak-puak Arab yang lain dari Quraish Mekah itu takut untuk mendekati Madinah dan umat Islam kerana takut tidak dipersetujui oleh Quraisy Mekah. Ini kerana Quraisy Mekah itu dihormati dari zaman dahulu lagi kerana mereka yang menjaga Kaabah. Tetapi dengan adanya Perjanjian Hudaibiyah itu, puak-puak Arab yang lain rasa mereka sudah terbuka untuk pergi ke Madinah untuk lebih mengenali agama Islam. Dan apabila mereka dengar saja wahyu Allah itu walaupun sedikit, ia telah membuka hati mereka untuk terus menerima Islam dan kerana itu pengaruh Islam semakin besar. Itu adalah satu kejayaan dan kemenangan yang besar.

Salah satu terma perjanjian di dalam Hudaibiyah itu adalah: jikalau orang Mekah pergi ke Madinah untuk masuk Islam, maka mereka itu hendaklah dikembalikan ke Mekah. Maka adalah satu kisah dimana ada orang Mekah yang pergi ke Madinah untuk bertemu dengan Rasulullah dan masuk Islam dan mereka minta supaya mereka tidak dikembalikan. Akan tetapi kerana menghormati perjanjian itu maka Rasulullah terpaksa membenarkan mereka diambil kembali oleh puak Mekah. Memang ada puak Musyrikin Mekah yang datang untuk menuntutnya. Maka di dalam perjalanan balik itu, lelaki yang telah masuk Islam itu telah mendapat ilham bagaimana untuk melepaskan dirinya. Dia buat helah untuk melihat pedang lelaki musyrik itu yang cantik dan selepas dia dapat memegang pedang itu, dia telah menggunakan pedang itu untuk membunuh lelaki musyrik itu. Dia telah terbebas dan dia terus kembali semula ke Madinah untuk bertemu dengan Rasulullah SAW.

Maka Rasulullah memberitahu yang mereka tetap tidak dapat duduk di Madinah. Baginda suruh mereka duduk di mana-mana tempat yang lain kalau mereka tetap tidak mahu pulang ke Mekah. Maka lelaki itu duduk di satu perkampungan di luar daerah Mekah dan dia dengan kawan-kawan yang lain yang juga dihantar untuk duduk di situ (setelah masuk Islam dan tidak dapat duduk di Madinah) telah merompak dan menyamun rombongan perdagangan musyrikin Mekah. Sampaikan puak musyrikin Mekah jadi resah dengan keadaan itu. Sampaikan musyrikin Mekah minta Rasulullah panggil mereka balik ke Madinah. Daripada mereka menyekat kafilah mereka, baiklah mereka duduk di Madinah sahaja.

Latarbelakang surah ini: Ianya diturunkan berkenaan Perjanjian Hudaibiyah. Dan surah ini diturunkan dalam perjalanan pulang para sahabat dari Mekah ke Madinah selepas termaktubnya perjanjian itu. Perjanjian itu terjadi pada tahun kelima Hijrah selepas Peperangan Ahzab yang hampir-hampir menyebabkan kemusnahan umat Islam. Kerana yang menyerang Madinah waktu itu bukanlah tentera dari Mekah sahaja tapi gabungan dengan puak-puak yang lain. Jadi ianya adalah peristiwa yang amat besar dan amat memberi kesan kepada umat Islam.

Selepas Perang Ahzab, iaitu pada tahun enam Hijrah, Nabi telah memberitahu yang umat Islam akan mengerjakan umrah di Mekah. Waktu itu lebih kurang 2,000 umat Islam pergi bermusafir ke Mekah bersama Rasulullah. Mereka pergi mengerjakan umrah itu tanpa membawa senjata perang. Memang mereka bawa pedang, tetapi pedang itu di dalam sarungnya dan ini adalah biasa sahaja bagi orang Arab. Kerana setiap lelaki memang sentiasa membawa pedang, kerana tanpa penang dia bukanlah seorang lelaki. Kerana itulah apabila ada golongan yang murtad dan mereka kembali masuk Islam pada zaman Saidina Abu Bakar, hukuman kepada mereka adalah mereka tidak boleh bawa pedang. Itu adalah satu penghinaan kepada mereka.

Apabila puak Mekah mendengar tentang kedatangan Rasulullah dan orang mukmin ke Mekah, mereka sudah risau kerana tradisi mereka tidak menghalang sesiapa pun untuk datang melawat Kaabah. Tapi apabila umat Islam Madinah yang datang, mereka ada dilemma. Sudahlah nama baik mereka sudah menurun selepas peperangan Ahzab dan sekarang kalaulah mereka halang juga umat Islam untuk datang melawat Kaabah, mereka tentulah terus hilang hormat yang diberikan masyarakat Arab kepada mereka. Ini penting kerana waktu itu mereka masih lagi dihormati kerana mereka dikira sebagai ‘Penjaga Kaabah’ dan sebagai Penjaga Kaabah, mereka kenalah mengalu-ngalukan kedatangan sesiapa pun yang mahu datang beribadah di Kaabah. Tapi takkan mereka nak benarkan musuh mereka untuk datang ke kawasan rumah mereka pula? Mereka baru sahaja berperang tidak lama sebelum itu. Jadi apabila mereka dengar kedatangan puak Islam ke Kaabah maka mereka sudah susah hati kerana mereka di dalam dilemma.

Khalid Al Waleed yang waktu itu belum masuk Islam lagi, telah pergi bersama-sama dengan 200 tentera untuk menangkap mereka yang datang itu, tetapi mereka kena pastikan penangkapan itu dibuat sebelum mereka masuk ke dalam kawasan Mekah lagi. Ini adalah helah supaya mereka boleh kata yang mereka tidak serang pendatang ke Kaabah itu di Tanah Haram, tetapi di luar. Nabi Muhammad mendapat maklumat tentang rancangan itu dan baginda telah mengarahkan umat Islam untuk tidak melalui Badar tetapi terus menuju ke Hudaibiyah dan pasang khemah di sana. Dan baginda telah memulakan proses umrah di mana mereka sudah sembelih binatang dan sebagainya maka sudah terlambat bagi puak musyrikin Mekah untuk menangkap mereka lagi kerana mereka sudah mulakan proses Umrah. Kalau mereka tangkap juga, maka nama mereka akan jadi malu.

Baginda mengarahkan umat Islam untuk berhenti di Hudaibiyah kerana unta baginda tidak mahu bergerak lagi. Para sahabat mengatakan unta baginda itu berhenti kerana dia kepanasan dan sebagainya, tetapi baginda kata apa yang berlaku itu seperti kejadian tentera Abrahah menyerang Mekah. Waktu itu gajah yang terbesar sekali tidak mahu bergerak lagi, maka mereka kena berhenti di situ. Maknanya, unta baginda itu dipandu oleh Allah. Maka mereka telah berhenti di Hudaibiyah dan mereka telah memasang khemah dan baginda telah mengerjakan solat khauf di situ yang memberi isyarat bahawa mereka memang dalam keadaan berjaga-jaga. Kerana mereka tidak pasti apakah yang akan dilakukan oleh puak Musyrikin Mekah.

Saidina Uthman sebagai seorang yang dihormati di Mekah telah dihantar oleh Nabi sebagai duta ke Mekah untuk berjumpa dengan pemimpin di Mekah dan berbincang. Beliau disuruh untuk menyampaikan mesej bahawa mereka datang itu bukan untuk berperang dan buat untuk buat kacau tetapi mereka seperti orang-orang Arab yang lain yang datang ke Kaabah kerana mahu mengerjakan ibadat di situ.

Puak musyrikin Mekah tidak tahu nak buat apa dalam keadaan itu, jadi apabila Uthman sampai kepada mereka maka mereka telah menahan beliau. Kerana mereka memang dalam kebingungan sampaikan mereka buat tindakan yang tidak sepatutnya dilakukan. Dan apabila Uthman tidak kembali sekian lama, dan telah ada ura-ura tersebut yang beliau telah dibunuh, maka baginda telah membuat keputusan yang penting.

Kita kena ingat bahawa Madinah waktu itu sudah menjadi sebuah negara berdaulat dan apabila Saidina Uthman dihantar, beliau pergi sebagai seorang duta negara dan membunuh seorang duta adalah penyebab boleh jadi perang. Maka baginda meminta bai’ah dari umat Islam yang berada di situ yang mereka akan berperang dan bai’ah ini diadakan di bawah satu pokok.

Ada kisah menarik juga tentang pokok itu. Kerana akhirnya ia  telah dipotong oleh Saidina Umar. Ini adalah kerana ramai orang yang pergi mencari cari pokok itu dan solat di situ untuk mengambil berkat di pokok itu. Maka Saidina Umar tidak mahu ianya berleluasa kerana boleh menyebabkan syirik maka ianya dipotong.

Kembali kepada kisah Hudaibiyah. Maka baginda mengambil bai’ah dari umat Islam yang mereka akan bersama baginda untuk berperang dengan musyrikin Mekah kerana mereka tidak boleh membiarkan perkara itu dilakukan kerana membunuh duta adalah perkara yang amat besar.

Mengetahui tentang bai’ah para sahabat itu, musyrikin Mekah kembali risau. Kita kena sedar bahawa tidak sama kalau berperang di luar dan berperang di bandar. Kerana kalau berperang di luar, hanya tentera sahaja yang akan terbunuh tetapi jikalau berperang di bandar akan menyebabkan kanak-kanak dan wanita juga boleh terbunuh. Maka musyrikin Mekah jadi serba salah kerana kalau peperangan ini dibenarkan berlaku, maka ia akan membahayakan anak isteri mereka juga.

Maka kerana takut, mereka telah melepaskan Uthman dan mereka menghantar wakil untuk berbincang dengan Rasulullah. Akhirnya, dipendekkan cerita, mereka telah mengadakan perjanjian yang dinamakan Perjanjian Hudaibiyah dengan baginda. Ini sebenarnya adalah satu kesilapan besar mereka. Ini adalah kerana syarat-syarat yang diletakkan di dalam perjanjian itu sebenarnya berpihak kepada umat Islam walaupun nampak pada zahirnya yang ianya berpihak kepada musyrikin Mekah pada awalnya. Sebagai contoh, mereka mengatakan bahawa mereka mahu gencatan senjata selama 10 tahun.

Yang keduanya, jikalau ada penduduk Mekah yang masuk Islam dan pergi ke Madinah, maka mereka itu hendaklah dikembalikan ke Mekah. Sedangkan jikalau ada golongan munafik yang pergi berlindung ke Mekah, orang ini tidak boleh dikembalikan ke Madinah.

Ketiganya mereka tidak boleh mengerjakan Umrah pada tahun itu dan mereka kena kembali ke Madinah. Bayangkan kesusahan yang telah dilalui oleh puak Islam itu yang berjalan sekian jauh tetapi hajat mereka tidak tercapai dan mereka kena berjalan balik. Mereka bukan macam kita yang pergi mengerjakan Umrah dengan naik kapalterbang dan naik bas atau kereta. Mereka kena jalan kaki!

Jadi bayangkan perasaan umat Islam waktu itu yang memang telah bersedia untuk berperang dan ditambah lagi dengan syarat perjanjian itu yang nampak berat sebelah dan mereka rasa ini memalukan mereka. Maka ramai antara mereka yang tidak puashati dengan apa yang berlaku. Sampaikan apabila Rasulullah suruh mereka membuka ihram sebagai tanda tamat umrah mereka, tidak ada seorang pun yang melakukannya. Kerana mereka tidak faham apa yang berlaku dan mereka tidak dapat menerima keputusan yang telah dibuat oleh baginda di dalam Perjanjian Hudaibiyah itu. Dan mereka tidak faham bagaimana mereka boleh nak pecat ihram mereka sedangkan mereka tidak menjalankan pun ibadat Umrah lagi. Baginda marah dengan para sahabat waktu itu dan masuk ke dalam khemah baginda. Akhirnya apabila salah seorang isteri baginda memberitahu baginda untuk mula membuka ihram baginda dan tahallul, barulah sahabat-sahabat yang lain ikut.

Bayangkan mereka baru sahaja memenangi Perang Ahzab dan sekarang mereka terpaksa tunduk kepada musyrikin Mekah? Begitulah perasaan mereka apabila mereka disuruh untuk berundur.

Tambahan pula apabila perjanjian itu dibuat, Musyrikin Mekah tidak mahu menulis pada perjanjian itu yang Nabi Muhammad adalah Rasul Allah dan mereka suruh memadamnya. Kisah in panjang dan kisah yang lengkap boleh dibaca di dalam sirah.

Surah ini diturunkan semasa Nabi dan para sahabat dalam perjalanan pulang dari Hudaibiyah. Seperti disebut dalam satu hadis:

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Ishaq ibnu Isa, telah menceritakan kepada kami Majma’ ibnu Ya’qub yang mengatakan bahwa ia pernah mendengar ayahnya menceritakan hadis berikut dari pamannya (yaitu Abdur Rahman ibnu Zaid Al-Ansari), dari pamannya Majma’ ibnu Harisah Al-Ansari r.a. (salah seorang ahli qurra yang mengajarkan bacaan Al-Qur’an). Ia mengatakan bahawa kami ikut dalam Perjanjian Hudaibiyah; dan ketika kami pulang darinya, tiba-tiba kami melihat orang-orang memacu unta kenderaannya. Maka sebagian orang-orang bertanya kepada sebagian yang lain, “Ada apakah dengan orang-orang itu?” Sebagian yang lain menjawab, “Telah diturunkan suatu wahyu kepada Rasulullah Saw.” Maka kami berangkat dan memacu kenderaan kami, tiba-tiba kami jumpai Rasulullah Saw. berada di atas unta kenderaannya di Kura’ul Gaim. Lalu kami berkumpul dengannya, dan baginda Saw. membacakan firman-Nya: Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu kemenangan yang nyata. (Al-Fath: 1) Maka seseorang dari sahabat Rasulullah bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah itu pertanda kemenangan?” Rasulullah Saw. menjawab: Ya, demi Tuhan yang jiwa Muhammad berada di dalam genggaman kekuasaan-Nya, sesungguhnya wahyu ini benar-benar (pertanda) kemenangan.


 

Ayat 1:

إِنّا فَتَحنا لَكَ فَتحًا مُبينًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Al-Fatḥ: The Conquest.

Indeed, We have given you, [O Muḥammad], a clear conquest¹

•Ibn Mas‘ūd said, “You [people] consider the conquest to be that of Makkah, but we consider it to be the Treaty of al-Ḥudaybiyyah.” Al-Bukhārī reported a similar quotation from al-Barā’ bin ‘Āzib. Although initially regarded by the companions as a setback, the treaty, in effect, served to promote the spread of Islām, which led to the conquest of Makkah two years later.

(MELAYU)

Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu kemenangan yang nyata,

 

Lihatlah bagaimana surah ini dimulakan di mana Allah mengatakan yang Dia telah memberikan kemenangan yang nyata kepada buat Muslim. Tapi awalnya mereka tidak nampak kejayaan itu. Allah kata kejayaan itu bukan sahaja besar tetapi kejayaan yang jelas nyata. Kenapa Allah katakan yang kejayaan itu nyata sedangkan para sahabat tidak nampak yang mereka telah menang?

Jadi kerana kekeliruan ini kita perlu melihat dan membincangkan perkara ini supaya kita boleh faham. Mari kita lihat dari sudut musyrikin Mekah pula yang memandang kepada kumpulan Muslim yang sedang datang ke Mekah untuk mengerjakan umrah itu. Kita kena ingat bahawa beberapa tahun sebelum itu puak Islam ini adalah mereka yang miskin dan dizalimi oleh mereka. Pada musyrikin Mekah, golongan Muslim itu adalah golongan sesat yang perlu dimusnahkan. Dan akhirnya beberapa kerat ‘golongan sesat’ ini telah melarikan diri ke Madinah dan sekarang mereka datang dengan kekuatan yang hebat setelah berkali-kali mengalahkan musyrikin Mekah di medan peperangan. Mereka itu dulunya golongan hamba yang lembah, golongan minoriti dan tidak dipandang hebat oleh pemuka-pemuka Mekah itu.

Walaupun ‘golongan sesat’ itu telah menjadi satu negara tetapi mereka masih lagi menganggap golongan Muslim itu sebagai golongan terroris dan dari dulu lagi negara yang berdaulat tidak akan mengadakan perjanjian dengan terroris. Tapi sekarang nampaknya mereka terpaksa untuk melakukan perjanjian dengan puak Muslim itu. Ini menunjukkan bahawa pada waktu itu, mereka telah terpaksa menerima puak Muslim sebagai satu negara yang berdaulat yang boleh diadakan perjanjian dengan mereka. Ini adalah satu pengiktirafan kepada negara Islam di Madinah itu.

Dan kita kena ingat perjanjian gencatan senjata ini selalunya dilakukan kerana satu pihak takut untuk berperang dengan pihak yang lain. Ini amat memalukan bagi mereka kerana baru tahun lepas mereka telah datang ke Madinah untuk memusnahkan umat Islam. Waktu itu, kerana mereka kata senang sahaja untuk memusnahkan umat Islam itu tetapi lihatlah sekarang bagaimana mereka terpaksa mengadakan perjanjian gencatan senjata dengan mereka pula. Dulu mereka tidak berjaya menghapuskan negara Islam dan sekarang mereka itu sedang berada di pintu rumah mereka dan orang-orang luar akan melihat bagaimana ini semua menjadi satu tanda bahawa musyrikin Mekah itu sedang di dalam keadaan yang lemah.

Sekarang semua puak Arab dapat lihat bagaimana Quraisy yang dipandang tinggi dan disegani dahulu telah menjadi lemah. Oleh kerana itu puak-puak Arab yang di berada di sekitar Mekah itu sudah nampak kedaulatan negara Islam yang sedang naik dan mereka juga selepas itu telah mengadakan perjanjian yang sama juga dengan negara Islam Madinah.

Jadi memang kalau dilihat kepada teks perjanjian itu nampak seperti perjanjian itu berat sebelah kepada puak Quraisy, tetapi di sebaliknya ia mengandungi kejayaan yang besar. Kena dijelaskan baru nampak manakah kejayaan itu.

Dengan adanya perjanjian gencatan senjata dengan Quraisy Mekah itu, ia telah memberi peluang kepada Rasulullah dan orang mukmin untuk melakukan dakwah yang sebelum ini mereka tidak dapat lakukan dengan baik. Kerana sebelum ini mereka terpaksa bersiap siaga dan selalu berhati-hati kerana takut jikalau mereka akan diserang oleh musyrikin Mekah. Tentulah usaha dakwah tertahan-tahan kerana keadaan tidak tenang. Tetapi dengan adanya gencatan senjata itu, maka perkara itu tidak perlu dibimbangkan lagi dan mereka sudah boleh untuk menjalankan kerja-kerja dakwah dengan lebih teratur.

Oleh itu, baginda sudah boleh pergi menghubungi semua puak-puak Arab yang lain dan boleh mengadakan perjanjian dengan mereka. Kerana waktu itu adalah untuk mengadakan perjanjian dan mengambil pihak masing-masing. Quraisy juga mengekalkan kedudukan mereka dan dalam masa yang sama, pihak Islam cuba mempengaruhi puak-puak yang lain. Maka, ada puak-puak Arab yang melihat kejayaan puak Islam maka mereka berpihak kepada Muslim dan ada yang masih berpihak kepada Quraisy dan ada yang tidak mahu ada kena mengena dengan salah satu di antaranya. Kalau dulu umat Islam ini adalah seperti negara serpihan yang tidak ada penyokong langsung, tetapi dengan adanya Perjanjian Hudaibiyah ini pengaruh mereka semakin membesar.  Yang jelas penyokong-penyokong Quraisy Mekah semakin berkurangan.

Selain dari itu, akan ada satu kemenangan yang mereka akan dapat. Ada puak Yahudi yang telah memecahkan Perjanjian Madinah dengan Nabi Muhammad SAW. Sebelum itu, Bani Quraizah (salah satu dari puak Yahudi di Madinah) telah dimusnahkan. Tapi ada golongan Yahudi yang bersekongkol dengan musyrikin Mekah untuk menyerang Madinah. Mereka telah bertahan di Khaibar selepas Peperangan Ahzab. Nabi Muhammad tidak dapat menyerang mereka kerana mereka berbaik dengan Mekah sebelum itu dan kalau baginda serang mereka, maka Mekah akan menghantar bantuan. Akan tetapi sekarang selepas Perjanjian Hudaibiyah ini, maka baginda boleh menumpukan usaha untuk memusnahkan mereka kerana pihak Mekah tidak boleh membantu mereka itu lagi. Oleh itu selepas pulang dari Hudaibiyah, umat Islam telah menguruskan Yahudi di Khaibar dan kisah itu ada di dalam surah ini juga nanti.

Tanah Khaibar dibahagikan kepada orang-orang yang ikut dalam Perjanjian Hudaibiyah, dan tiada seorang pun dari mereka yang diberi kecuali mereka yang ikut dalam Perjanjian Hudaibiyah. Maka Rasulullah Saw. membahaginya menjadi lapan belas saham. Saat itu jumlah pasukan kaum muslim (yang ikut dalam Hudaibiyah) ada seribu lima ratus orang, di antara mereka terdapat tiga ratus pasukan berkuda. Maka baginda memberi kepada pasukan yang berkuda dua bahagian dan bagi pasukan berjalan kaki satu bahagian. Imam Abu Daud meriwayatkan hadis ini di dalam Al-Jihad, dari Muhammad ibnu Isa, dari Majma’ ibnu Ya’qub dengan sanad yang sama.

Jadi secara ringkasnya, kemenangan yang jelas nyata ini bukan hanya merujuk kepada kejayaan di dunia sahaja tetapi juga kepada kejayaan di akhirat kerana dengan perjanjian ini ramai yang dapat masuk Islam. Kerana perjanjian dapat dijalankan dengan puak-puak Arab yang lain. Maka mereka telah nampak kebenaran Islam itu dan mereka telah masuk Islam beramai-ramai.


 

Ayat 2: Ekoran dari perjanjian Hudaibiyah itu.

لِيَغفِرَ لَكَ اللهُ ما تَقَدَّمَ مِن ذَنبِكَ وَما تَأَخَّرَ وَيُتِمَّ نِعمَتَهُ عَلَيكَ وَيَهدِيَكَ صِراطًا مُستَقيمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

That Allāh may forgive for you what preceded of your sin [i.e., errors] and what will follow and complete His favor upon you and guide you to a straight path

(MELAYU)

supaya Allah memberi ampunan kepadamu terhadap kesilapanmu yang telah lalu dan yang akan datang serta menyempurnakan nikmat-Nya atasmu dan memimpin kamu kepada jalan yang lurus,

 

لِيَغفِرَ لَكَ اللهُ ما تَقَدَّمَ مِن ذَنبِكَ وَما تَأَخَّرَ

supaya Allah memberi ampunan kepadamu terhadap kesilapanmu yang telah lalu dan yang akan datang

Sekali lagi Allah menggunakan perkataan ذنب seperti yang digunakan sebelum ini di dalam Surah Muhammad. Kita telah sebut sebelum ini bahawa kesalahan ذنب pada Nabi ini adalah kesalahan strategik sahaja dan hanya Allah sahaja yang boleh menegur Rasulullah. Maka ada ulama yang memberi terma ‘dosa soori’ sahaja kerana yang sebenarnya bukan dosa pun.

Bukti yang baginda tidak melakukan dosa dan kesalahan, kalaulah ada, tentulah Musyrikin Mekah telah menggunakan perkara itu sebagai hujah untuk mereka menolak baginda. Tapi seperti kita tahu, tidak ada satu pun hujah mereka terhadap akhlak baginda.

Allah memberi kelegaan kepada Rasulullah di mana baginda tidak perlu risau lagi tentang kesilapan strategik yang baginda mungkin lakukan dulu kerana mulai dari hari itu Allah akan memandu baginda ke arah jalan yang lurus. Kerana sebelum itu umat Islam tidak tahu bagaimanakah cara bagi mereka untuk menawan Mekah dan membersihkan Ka’bah dari berhala dan sekarang Allah memberitahu yang Dia akan memandu mereka. Sebelum itu mereka hanya dapat berharap sahaja.

 

وَيُتِمَّ نِعمَتَهُ عَلَيكَ

serta menyempurnakan nikmat-Nya atasmu

Allah akan memenuhkan nikmatNya ke atas mereka yang membawa isyarat bahawa Allah akan membersihkan Ka’bah dengan tangan mereka. Bagaimana agama Islam boleh menjadi lengkap jikalau Kaabah yang menjadi kiblat mereka masih lagi dipenuhi dengan berhala? Maka proses pembersihan Kaabah pasti kena dijalankan untuk menyempurnakan nikmat itu.

Juga bermaksud dengan tangan Nabi akan menyelamatkan ramai manusia yang masuk Islam dan berakhir ke syurga. Dan syari’at yang dibawa oleh baginda akan sampai ke serata pelusuk dunia.

Juga bermaksud baginda akan diberikan dengan ramai pengikut. Kerana ramai Rasul yang tidak ramai pengikut, jadi nikmat kepada mereka tidak sempurna.

 

وَيَهدِيَكَ صِراطًا مُستَقيمًا

dan memimpin kamu kepada jalan yang lurus,

Dan supaya Allah memandu baginda ke jalan yang lurus. Akan tetapi bukankah Rasulullah telah menjadi Rasul selama 13 tahun? Oleh itu ayat ini bukan bermaksud jalan lurus dalam agama tetapi jalan lurus kepada kejayaan. Dengan kejayaan itu akan menegakkan agama Islam dengan lebih kukuh dan membuka jalan untuk menyampaikan agama Islam ke seluruh pelosok alam.

Juga ia boleh bermaksud yang Allah akan ajar jalan syariat kepada baginda.


 

Ayat 3:

وَيَنصُرَكَ اللهُ نَصرًا عَزيزًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [that] Allāh may aid you with a mighty victory.

(MELAYU)

dan supaya Allah menolongmu dengan pertolongan yang kuat (banyak).

 

Allah jadikan Perjanjian Hudaibiyah itu supaya Allah boleh memberi bantuan yang ada kuasa (bukan bantuan biasa). Selepas perjanjian itu, Nabi menunggu sahaja puak Quraisy memecahkan perjanjian itu kerana ia akan memberi peluang kepada baginda untuk menyebarkan lagi Islam. Dan memang tidak lama selepas itu ada puak-puak yang bersekongkol dengan Quraisy yang menyerang puak Islam. Maka Abu Jahal dengan segera telah bergegas ke Madinah untuk meminta maaf kepada Rasulullah (kerana takut baginda menyerang balas). Beliau merayu-rayu kepada Rasulullah untuk memaafkan kejadian itu dan meneruskan perjanjian itu tetapi tidak diterima oleh Rasulullah.

Jadi Allah beri jalan kepada Rasulullah dan umat Islam untuk menjayakan rancangan untuk mengambilalih Kaabah dari musyrikin Mekah. Dan selepas itu kejayaan demi kejayaan dalam peperangan yang dijalankan oleh pihak Islam. Ini adalah kerana baginda dan para sahabat tetap taat dengan arahan dari Allah. Waktu itu, ada juga sahabat tak puas hati dengan keputusan itu, kerana mereka tidak nampak kebaikan pada Islam, tapi mereka tetap taat dan ikut walaupun mereka tidak faham. Kerana ketaatan mereka itu, mereka dapat kejayaan.

Ayat ini juga bermaksud Allah memberi pertolongan kepada umat Islam yang tak dapat dikalahkan dan kerana itulah zaman berzaman manusia kafir cuba untuk memusnahkan Islam tetapi mereka tidak akan berjaya. Allah akan sentiasa memberi bantuan supaya agama Islam ini sentiasa akan hidup.

Juga bermaksud yang Allah akan beri pertolongan kepada umat Islam untuk mengerjakan Haji. Oleh itu pada tahun hadapannya baginda dengan bilangan umat Islam yang lebih ramai telah menuju ke Mekah untuk mengerjakan Haji. Inilah bantuan dari Allah yang mempunyai kuasa kerana sekarang umat Islam dapat masuk ke dalam Mekah dengan aman. Tidaklah takut-takut seperti pertama kali pergi untuk mengerjakan Umrah dulu.


 

Ayat 4:

هُوَ الَّذي أَنزَلَ السَّكينَةَ في قُلوبِ المُؤمِنينَ لِيَزدادوا إيمانًا مَعَ إيمانِهِم ۗ وَِللهِ جُنودُ السَّماواتِ وَالأَرضِ ۚ وَكانَ اللهُ عَليمًا حَكيمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

It is He who sent down tranquility into the hearts of the believers that they would increase in faith along with their [present] faith. And to Allāh belong the soldiers of the heavens and the earth, and ever is Allāh Knowing and Wise.

(MELAYU)

Dialah yang telah menurunkan ketenangan ke dalam hati orang-orang mukmin supaya keimanan mereka bertambah di samping keimanan mereka (yang telah ada). Dan kepunyaan Allah-lah tentera langit dan bumi dan adalah Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana,

 

هُوَ الَّذي أَنزَلَ السَّكينَةَ في قُلوبِ المُؤمِنينَ

Dialah yang telah menurunkan ketenangan ke dalam hati orang-orang mukmin

Allahlah yang memasukkan ‘sakinah’ ke dalam perasaan orang-orang mukmin yang rasa tidak puashati kerana mereka tidak dapat mengerjakan Umrah pada tahun enam Hijrah itu. Seperti yang telah disebut sebelum ini, mereka memang rasa terkilan sangat kerana tidak dapat menunaikan Umrah setelah jauh perjalanan ke Mekah. Tambahan pula mereka nampak terma Perjanjian Hudaibiyah itu berat sebelah, maka itu telah menambah sakit hati mereka. Tapi Allah beri ketenangan ke dalam hati mereka.

Sakinah itu diberikan kepada mereka kerana mereka taat dan patuh kepada Rasulullah. Sehingga mereka boleh menerima sahaja apa dugaan dan cubaan. Mereka mungkin tidak dapat terima dalam akal dan hati mereka dengan keputusan yang telah dibuat, tapi kerana arahan itu dari Rasulullah, maka mereka terima juga. Kerana mereka taat itu, maka perasaan tidak puas hati dalam diri mereka itu Allah hilangkan dengan Allah isikan dengan sakinah dariNya.

Jadi ini adalah berita gembira kepada para sahabat yang lain. Mereka akhirnya mengalah dengan apa yang Nabi arahkan walaupun mereka tak nampak lagi kenapa.

Sakinah ini juga diberikan kepada manusia yang sanggup ikut syariat dan sunnah. Sakinah bukan sebarang ketenangan. Ianya adalah anugerah dari Allah kepada hamba yang sanggup ikut syariat. Ketenangan biasa macam kenyang itu, orang kafir pun dapat.
Tapi sakinah ini lain kerana ianya adalah bentuk ketenangan hasil dari ketaatan. Ia juga adalah alamat orang itu ahli syurga. Mereka itu tenang sahaja dalam kehidupan mereka. Mereka telah mendapat bayangan ahli syurga.

Allah memberi isyarat bahawa ketidakpuasan hati mereka itu amat dalam sampaikan Allah menggunakan perkataan في (ke dalam) di dalam ayat ini sedangkan selalunya digunakan perkataan على (ke atas). Maksudnya, sakinah itu dimasukkan terus ke dalam hati mereka. Tidak sama kalau gunakan kalimah في dan على. Ia memberi kesan yang berbeza. Ini seolah-olah ada penyakit kulit yang boleh di sapu di atas kulit sahaja, tetapi ada ubat yang perlu dicucuk ke dalam tubuh badan kerana ianya sudah teruk sangat.

Tetapi, yang dapat sakinah ini adalah orang mukmin sahaja. Orang munafik tidak dapat. Dan yang pergi dalam Umrah itu adalah mereka yang mukmin sahaja, yang munafik memang tidak ikut. Tapi dalam kisah peperangan, ada ayat yang menyebut orang mukmin dapat sakinah dan orang munafik tidak dapat.

 

لِيَزدادوا إيمانًا مَعَ إيمانِهِم

supaya keimanan mereka bertambah di samping keimanan mereka (yang telah ada).

Supaya iman mereka akan ditambah di atas iman mereka yang memang sudah ada. Mereka memang sudah mempunyai iman yang tinggi kerana mereka telah sanggup untuk pergi ke Mekah pada tahun enam Hijrah itu, walaupun mereka tahu yang ianya bahaya. Bayangkan mereka baru sahaja berperang dengan puak Quraisy itu dan pada tahun berikutnya mereka pergi ke tempat musuh itu pula. Tetapi kerana mereka percaya dengan Nabi Muhammad maka mereka dengan rela hati telah pergi juga untuk mengerjakan Umrah pada tahun itu. Dan kali ini mereka perlu dengar kata Nabi Muhammad lagi sekali untuk pulang ke Madinah dengan aman. Jadi kerana mereka percaya lagi kepada Nabi Muhammad SAW, maka Allah tambah lagi iman kepada iman mereka yang telah ada.

Kita telah pernah sebutkan bahawa tiga surah yang berangkai ini (Surah Muhammad, Fath dan Hujurat) adalah khusus bagaimana seorang Muslim bertindak terhadap Nabi Muhammad SAW. Iaitu kepercayaan yang penuh dengan Nabi Muhammad dan redha dengan keputusan yang telah diberikan oleh baginda.

Maka Allah telah isikan ‘Sakinah’ ke dalam hati mereka kerana berat bagi mereka untuk pulang ke Madinah begitu saja.

Ayat ini dijadikan dalil oleh Imam Bukhari dan para imam lainnya yang menunjukkan bahawa iman itu ada tingkatan-tingkatannya.

 

وَِللهِ جُنودُ السَّماواتِ وَالأَرضِ

Dan kepunyaan Allah-lah tentera langit dan bumi

Ini adalah Jumlah Mu’taridah. Iaitu ada penambahan Allah yang tidak berkenaan dengan rentetan ayat. Ini kerana Allah nak beritahu sesuatu: Allah boleh gunakan apa sahaja untuk mengalahkan musuh. Senang sahaja bagi Allah nak kalahkan musuh Islam. Oleh itu kita ikut sahaja kehendak Allah, akan beres segala urusan kerana Allah miliki semua tentera langit dan bumi.

Allah juga hendak memberitahu yang hanya Dia sahaja yang memiliki tentera yang di langit dan di bumi. Tentera yang di langit adalah para malaikat dan tentera di bumi adalah para sahabat dan orang mukmin. Allah hendak memberitahu bahawa mereka adalah salah satu dari tentera-tenteraNya dan oleh kerana itu, apabila Allah suruh mereka berundur maka mereka kena berundur.

 

وَكانَ اللهُ عَليمًا حَكيمًا

dan adalah Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana,

Semua keputusan yang Allah telah tetapkan itu adalah dari kebijaksanaan Allah maka ianya bukan untuk dipersoalkan. Sebagai seorang hamba, kena taat kepada perintah Allah. Dan selain dari itu, kita kena yakin yang apa sahaja yang Allah tetapkan, itu adalah untuk kebaikan. Kerana Allah Maha Tahu perkara yang kita tidak tahu. Sebagai contoh, para sahabat tidak tahu yang Perjanjian Hudaibiyah itu sebenarnya mempunyai kebaikan yang besar.

Dan kita sebagai hamba kena yakin yang Allah Maha Bijaksana dalam mengatur segala perancanganNya. Maka kita serahkan sahaja kepada Allah. Kerana kita tidak sentiasa nampak kebaikan pada rancangan Allah itu, tapi kita kena percaya sahaja.

Allah boleh beri taufik kepada umat Islam samada dengan perang atau tidak. Tidak semestinya kena perang baru dapat kejayaan. Dalam Perjanjian Hudaibiyah, tidak terjadi peperangan, tapi kejayaan masih didapati.


 

Ayat 5:

لِيُدخِلَ المُؤمِنينَ وَالمُؤمِناتِ جَنّاتٍ تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهارُ خالِدينَ فيها وَيُكَفِّرَ عَنهُم سَيِّئَاتِهِم ۚ وَكانَ ذٰلِكَ عِندَ اللهِ فَوزًا عَظيمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[And] that He may admit the believing men and the believing women to gardens beneath which rivers flow to abide therein eternally and remove from them their misdeeds – and ever is that, in the sight of Allāh, a great attainment –

(MELAYU)

supaya Dia memasukkan orang-orang mukmin laki-laki dan perempuan ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya dan supaya Dia menutupi kesalahan-kesalahan mereka. Dan yang demikian itu adalah keberuntungan yang besar di sisi Allah,

 

لِيُدخِلَ المُؤمِنينَ وَالمُؤمِناتِ جَنّاتٍ

supaya Dia memasukkan orang-orang mukmin laki-laki dan perempuan ke dalam syurga

Allah lakukan semua itu adalah untuk memasukkan orang-orang mukmin ke dalam syurga.

Lihat sekali lagi Allah masukkan golongan Mukmin wanita di dalam surah yang berkenaan dengan perang, walaupun selalunya perang itu dikaitkan dengan lelaki sahaja. Walaupun wanita selalunya tidak pergi ke medan perang, tetapi tidaklah mereka tidak terlibat langsung dengan peperangan itu. Kerana apabila lelaki terlibat dengan perang, maka kesannya pun ada kepada wanita juga. Kerana yang berperang itu adalah ayah, abang dan anak-anak mereka juga.

 

تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهارُ

yang mengalir di bawahnya sungai-sungai,

Kemudian Allah beri motivasi lagi dengan menceritakan tentang syurga itu. Pertama, maksud jannah itu sendiri sudah bermaksud ‘taman’. Kalau taman, tentulah indah, bukan? Kemudian Allah beritahu yang ada sungai pula di bawah taman syurga itu. Ini amat hebat sekali, tambahan pula kepada orang yang jarang dapat air yang banyak seperti bangsa Arab itu. Dan kalau kita yang hidup zaman moden ini pun, kalau tempat tinggal ada air, seperti air laut, air kolam, tasik, sungai, air terjun dan sebagainya, itu adalah tempat tinggal yang hebat, bukan?

 

خالِدينَ فيها

mereka kekal di dalamnya

Ini satu lagi kelebihan dalam syurga. Mereka bukan duduk sekejap sahaja, tapi akan kekal selama-lamanya di dalam syurga itu. Kerana kalau duduk sekejap sahaja, tentulah kurang nikmatnya. Sebagai contoh, kalau kita duduk dalam hotel yang paling mahal dalam dunia pun, ia kurang nikmat kerana kita tahu yang kita akan kena tinggalkan hotel itu juga selepas bebarapa hari. Tapi kalau kita tahu yang kita akan kekal dalam kenikmatan selama-lamanya, tentu menambah nikmat itu lagi. Kerana tidak ada kerisauan untuk kita lagi. Kerana kita sudah ada tempat tinggal yang tetap.

Bukankah sifat manusia memang mahukan tempat tinggal yang tetap? Kerana itulah manusia akan berusaha bersungguh-sungguh untuk beli rumah sendiri – tak cukup kalau menyewa sahaja. Kerana kalau rumah sendiri, ia memberi keselesaan yang mereka akan kekal di situ (padahal bukan kekal pun kerana nanti akan mati juga). Maka Allah gunakan sifat manusia yang sukakan kekekalan ini dengan memberitahu yang rumah mereka di dalam syurga itu adalah kekal selama-lamanya.

 

وَيُكَفِّرَ عَنهُم سَيِّئَاتِهِم

dan supaya Dia menutupi kesalahan-kesalahan mereka.

Lihat bagaimana Allah gunakan kalimah lain untuk kesilapan baginda iaitu ذنب dan kalimah yang lain digunakan untuk orang mukmin iaitu سَيِّئَاتِ. Jadi memang ada beza antara ذنب dan سوء. Memang kalau kesilapan yang Nabi buat bukanlah dosa, tapi kalau kesalahan yang dilakukan oleh manusia lain, ianya memang dosa.

Jadi Allah jadikan ujian kepada manusia untuk taat kepada Nabi itu dan kalau mereka lepasi ujian itu, mereka akan dimasukkan ke dalam syurga dan akan dihapuskan dosa-dosa mereka.

 

وَكانَ ذٰلِكَ عِندَ اللهِ فَوزًا عَظيمًا

Dan yang demikian itu adalah keberuntungan yang besar di sisi Allah,

Itulah kelebihan yang sepatutnya dikejar oleh manusia, bukannya kejayaan di dunia. Oleh itu Allah mengingatkan orang mukmin, jangan kamu kejar sangat kejayaan di dunia ini sedangkan fath (kejayaan) sebenarnya yang kamu hendak cari adalah kejayaan di akhirat kelak. Digunakan kalimah فَوز dalam ayat ini iaitu bermaksud kejayaan dapat melepasi bahaya. Kerana mereka dapat lepas dari dimasukkan ke dalam neraka kerana dosa-dosa mereka semuanya telah diampunkan. Kalau dosa diampunkan, buat apa lagi nak masuk neraka?

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 048: al-Fath. Bookmark the permalink.

One Response to Tafsir Surah al-Fath Ayat 1 – 5 (Perjanjian Hudaibiyah)

  1. Pingback: Tafsir Surah al-Fath Ayat 1 – 5 (Perjanjian Hudaibiyah)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s