Tafsir Surah Muhammad Ayat 30 – 34 (Sifat munafik)

Ayat 30: Masih lagi tentang golongan munafik.

وَلَو نَشاءُ لَأَرَيناكَهُم فَلَعَرَفتَهُم بِسيماهُم ۚ وَلَتَعرِفَنَّهُم في لَحنِ القَولِ ۚ وَاللهُ يَعلَمُ أَعمالَكُم

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And if We willed, We could show them to you, and you would know them by their mark; but you will surely know them by the tone of [their] speech. And Allāh knows your deeds.

(MELAYU)

Dan kalau Kami kehendaki, nescaya Kami tunjukkan mereka kepadamu sehingga kamu benar-benar dapat mengenal mereka dengan tanda-tandanya. Dan kamu benar-benar akan mengenal mereka dari kiasan-kiasan perkataan mereka dan Allah mengetahui perbuatan-perbuatan kamu.

 

وَلَو نَشاءُ لَأَرَيناكَهُم

Dan kalau Kami kehendaki, nescaya Kami tunjukkan mereka kepadamu

Allah beritahu dalam ayat ini yang kalau Allah mahu, Allah boleh saja beritahu kepada Nabi siapakah orang munafik itu. Allah boleh tunjuk mana satu yang munafik dan diberitahu satu persatu. Kerana Allah tahu dalam hati mereka.

Akan tetapi Allah tidak memberitahu kesemua mereka kepada Nabi. Ini adalah dalam kebijaksanaan dari-Nya dan agar semua urusan pada lahiriahnya nampak berjalan dengan lancar, sedangkan mengenai rahsianya dikembalikan kepada Tuhan yang mengetahuinya. Ada dari kalangan orang munafik itu yang diberitahu siapakah mereka itu kepada Nabi tetapi tidak semuanya. Allah hanya beritahu siapakah yang akan mati dalam  munafik. Ini adalah kerana tidak semua yang asal munafik itu akan kekal munafik, tapi ada yang memang telah pasti akan mati dalam munafik dan Allah beritahu siapakah mereka itu kepada Rasulullah.

Dan senarai mereka yang telah diberitahu kepada Nabi itulah yang diberitahu kepada seorang sahabat yang bernama Huzaifah. Dan baginda ingatkan kepada Huzaifah untuk tidak beritahu kepada orang lain, walau sesiapa pun. Jadi Huzaifah simpan rahsia itu sampai bila-bila. Para sahabat amat risau kalau-kalau nama mereka termasuk dalam senarai itu, sampaikan Saidina Umar sendiri takut kalau kalau nama baginda ada di dalam senarai itu. Beliau telah bertanya kepada Huzaifah tentang perkara itu. Huzaifah kata dia tidak boleh beritahu siapakah mereka tetapi Huzaifah beritahu yang nama Umar tidak ada di dalam senarai itu.

 

فَلَعَرَفتَهُم بِسيماهُم

sehingga kamu benar-benar dapat mengenal mereka dengan tanda-tandanya.

Dan kalau Allah beritahu kepada Nabi siapakah mereka, Allah akan tunjukkan tanda pada muka-muka mereka. Tetapi dari ayat ini kita dapat tahu bahawa Allah tidak menunjukkan kepada Nabi siapakah dari kalangan mereka yang munafik kerana mungkin mereka itu asalnya munafik tetapi kerana mereka tetap duduk dengan Nabi dan tetap dengar ajaran-ajaran dari Nabi, maka mereka mungkin berubah.

Jadi Allah tidak mahu malukan mereka sebagai golongan yang dulunya munafik dan sekarang baru masuk Islam. Kalau diberitahu, tentu mereka itu akan malu kerana mereka dulu bukan mukmin, bukan? Cuma segelintir sahaja yang diberitahu oleh Allah kepada baginda kerana mereka itu memang akan mati kafir.

 

وَلَتَعرِفَنَّهُم في لَحنِ القَولِ

Dan kamu benar-benar akan mengenal mereka dari kiasan-kiasan perkataan mereka

Tapi Allah beritahu kepada Nabi bahawa baginda boleh mengenali mereka daripada cara percakapan mereka. Begitulah kita kalau kita dengar betul-betul kata orang yang bercakap dengan kita, kita boleh kesan penipuan mereka. Kalau kita lihat dengan teliti, kita boleh perasan apakah maksud di sebalik kata-kata manusia, bukan?

Dan memang Allah telah beri kelebihan kecekapan akal fikiran kepada Rasul Allah sampaikan baginda boleh mengetahui perangai setiap orang yang bercakap dengan baginda.

Salah satu cara untuk mengetahui siapakah yang munafik adalah dengan ajak mereka berjihad atau infak, dan nanti boleh lihat apakah jawapan yang diberikan oleh mereka.

Apabila Allah sebut cara untuk mengenal mereka itu, maka kita pun boleh kenal mereka dengan cara percakapan mereka. Tapi kita tidak dapatlah nak pastikan kerana kita mungkin tersalah dengar atau tersalah sangka. Jadi kalau kita rasa seseorang itu bersifat munafik, maka simpanlah sahaja. Bolehlah berhati-hati dengan mereka, tapi janganlah kita kata kita terus pasti yang mereka itu munafik pula. Kerana kita tidak dapat baca hati manusia.

 

وَاللهُ يَعلَمُ أَعمالَكُم

dan Allah mengetahui perbuatan-perbuatan kamu.

Allah beritahu bahawa Dia tahu segala perbuatan manusia kerana munafik itu cakap lain dan apa yang mereka lakukan lain.


 

Ayat 31: Orang yang memang munafik tidak akan pergi ke mana-mana lagi kerana mereka akan dikenali juga. Kerana ada dalam syariat Islam ini perkara yang akan membezakan mereka dengan orang orang mukmin. Iaitu dengan adanya peperangan. Orang munafik tidak suka berkorban dan kerana itu mereka akan dapat dikenali. Cuma sekarang tidak ada jihad, jadi tidak dapat dijalankan proses itu sekarang.

Sifat munafik boleh hilang dengan ujian jihad dan infak. Perkara ini banyak disebut dalam Surah Tawbah. Oleh itu, Khalifah kena jalankan ujian itu untuk membersihkan sifat munafik itu dari kalangan umat.

 

وَلَنَبلُوَنَّكُم حَتّىٰ نَعلَمَ المُجاهِدينَ مِنكُم وَالصّابِرينَ وَنَبلُوَ أَخبارَكُم

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We will surely test you until We make evident those who strive among you [for the cause of Allāh] and the patient, and We will test your affairs.

(MELAYU)

Dan sesungguhnya Kami benar-benar akan menguji kamu agar Kami mengetahui orang-orang yang berjihad dan bersabar di antara kamu, dan agar Kami menguji (baik buruknya) hal ihwalmu.

 

وَلَنَبلُوَنَّكُم حَتّىٰ نَعلَمَ المُجاهِدينَ مِنكُم وَالصّابِرينَ

Dan sesungguhnya Kami benar-benar akan menguji kamu agar Kami mengetahui orang-orang yang berjihad dan bersabar di antara kamu,

Inilah proses penapisan dan pembersihan yang Allah lakukan. Iaitu dengan mengadakan jihad perang, kerana apabila perang ada, maka mereka yang betul-betul beriman akan sanggup untuk menghadapinya. Allah pasti akan adakan hukum jihad di mana orang Islam mesti memberikan diri mereka ataupun harta mereka untuk membantu jihad.

Apabila perang berlaku maka orang mukmin yang bersifat sabar akan terasing dari orang-orang munafik yang tidak mahu bersabar untuk berperang. Allah zahirkan itu bukan kerana Allah tidak tahu siapakah mereka kerana Allah tahu dalam hati mereka, tetapi Allah buat begitu supaya orang-orang mukmin boleh kenal siapakah orang-orang munafik itu.

Kedua, Allah beri ujian sabar dalam berjuang sampai ke akhir hayat, kerana tidak semestinya seorang yang sanggup berjuang pada awalnya akan berterusan sampai akhir hayatnya. Maka, dengan menyertai peperangan akan dapat menguatkan sifat sabar itu.

Juga, dengan menyertai peperangan jihad, akan menghilangkan sifat munafik yang mungkin sikit-sikit ada dalam diri seseorang.

Seorang khalifah Islam mesti peka tentang perkara ini, kerana dia kena pastikan supaya tidak ada golongan munafik di dalam tenteranya. Kerana kalau ada, mereka itu akan menyebabkan lemah tentera itu. Dan kalau ada orang munafik dalam kalangan masyarakat, akan menyebabkan masyarakat itu jadi rosak kerana mereka akan mempengaruhi hati orang lain. Oleh itu seorang khalifah kena anjurkan jihad secara sukarela tanpa gaji untuk melihat siapakah yang munafik dan siapakah Mujahidin sebenar.

Tetapi jangan terjemah untuk ‘jihad’ itu jihad qital sahaja. Ini adalah kerana kalimah jihad juga ada digunakan semasa Mekah lagi, tapi waktu itu perang tidak ada. Oleh itu kita kena luaskan maknanya. Ia juga bermaksud menjalankan jihad mulut iaitu dakwah. Kerana itulah jihad jenis ini dapat dilakukan dari mula sampai mati.

Oleh itu ujian yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah:
1. dengan wahyu
2. ujian untuk tabligh
3. ujian untuk menghayati wahyu dalam kehidupan seharian sampai mati.

 

وَنَبلُوَ أَخبارَكُم

dan agar Kami menguji (baik buruknya) hal ihwalmu.

Dan akan uji amal biasa yang bukan termasuk dalam hal jihad. Allah akan tetap ujian kita dalam kehidupan kita ini. Maka kalau tidak ada jihad pun sekarang, Allah masih tetap akan uji kita. Setiap detik dan keadaan Allah akan uji kita. Allah akan siapa yang ikut sunnah dalam kehidupan seharian atau tidak.

Ujian ini juga termasuklah dugaan takwini (keadaan). Sebagai contoh:
–   syariat: mesti mengerjakan solat
– takwini: dalam kesejukan cuaca, sampai menyusahkan untuk ambil wudhuk dan mengerjakan solat. Tapi mereka yang sabar dengan ujian itu akan tetap melakukannya juga.

Ini adalah kerana Allah nak uji seseorang samada di kekal beribadat atau tidak dalam apa sahaja suasana. Kerana ada orang yang solat kalau dia berada di kampung, tapi bila dah sibuk atau musafir, dia tak solat. Maknanya, dia ikut keadaan sahaja. Maka janganlah kita jadi begitu.


 

Ayat 32: Ini sifat orang musyrik pula yang dari awal lagi dan dengan zahirnya menentang.

إِنَّ الَّذينَ كَفَروا وَصَدّوا عَن سَبيلِ اللهِ وَشاقُّوا الرَّسولَ مِن بَعدِ ما تَبَيَّنَ لَهُمُ الهُدىٰ لَن يَضُرُّوا اللهَ شَيئًا وَسَيُحبِطُ أَعمالَهُم

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, those who disbelieved and averted [people] from the path of Allāh and opposed the Messenger after guidance had become clear to them – never will they harm Allāh at all, and He will render worthless their deeds.

(MELAYU)

Sesungguhnya orang-orang kafir dan (yang) menghalangi manusia dari jalan Allah serta memusuhi Rasul setelah petunjuk itu jelas bagi mereka, mereka tidak dapat memberi mudharat kepada Allah sedikitpun. Dan Allah akan menghapuskan (pahala) amal-amal mereka.

 

إِنَّ الَّذينَ كَفَروا وَصَدّوا عَن سَبيلِ اللهِ

Sesungguhnya orang-orang kafir dan (yang) menghalangi manusia dari jalan Allah

Iaitu mereka yang kufur menentang agama Islam. Mereka bukan sahaja tidak mahu beriman, tapi dalam masa yang sama mereka menentang agama Islam.

Dan mereka bukan sahaja tidak beriman sendiri, tapi mereka juga menghalang orang lain dari masuk ke dalam agama Islam dengan berbagai cara.

Surah ini bermula dengan kalimah yang sebegini juga tetapi ada dua penambahan di dalam ayat ini.

 

وَشاقُّوا الرَّسولَ

serta memusuhi Rasul

Penambahan yang pertama adalah, disebut mereka itu menentang Rasulullah. Allah tidak sebut pun menentangNya, tapi menentang Nabi. Dan siapakah yang menentang Rasul itu kalau bukan puak munafik? Kerana kita pun tahu bahawa puak munafik itu juga seorang yang kufur. Mereka bukan sahaja benci kepada agama Islam, mereka juga tidak suka kepada Nabi Muhammad.

Dalam zaman sekarang, ia dinisbahkan kepada para pemimpin yang menyebarkan agama Islam. Orang munafik pun tidak suka dengan pemimpin yang sebegitu.

 

مِن بَعدِ ما تَبَيَّنَ لَهُمُ الهُدىٰ

setelah petunjuk itu jelas bagi mereka,

Mereka itu menentang agama dan Rasul setelah maklumat telah diperjelaskan kepada mereka. Maknanya, bukanlah mereka tidak kenal Allah, tidak kenal dan kenal Rasul. Mereka memang tahu, tapi mereka tetap juga hendak menentang. Mereka itu dikira sebagai ‘kafir degil’.

 

لَن يَضُرُّوا اللهَ شَيئًا

mereka tidak dapat memberi mudharat kepada Allah sedikitpun.

Allah memberitahu bahawa perbuatan mereka itu langsung tidak memberi kesan kepada Allah (termasuk agama Allah). Iaitu ia tidak memberi kesan kepada agama Allah. Perbuatan mereka itu tidak membahayakan ugama Allah walaupun sedikit. Merekalah sebenarnya yang rugi. Yang mungkin tergugat adalah pejuang Islam yang tidak ikhlas.

Mereka nak halang agama Islam dari berkembang, tapi mereka tidak akan berjaya. Itu pun kalau orang Islam berjuang untuk mengembangkan agama, baru usaha orang kafir tidak akan berjaya. Tetapi kalau umat Islam sendiri tidak berusaha untuk menjalankan dan menegakkan jihad maka rancangan orang kafir akan berjaya.

Maka kita kenalah menjalankan usaha dakwah mengajak manusia kepada tauhid. Kerana kalau kita bantu agama Allah, barulah Allah akan bantu kita. Tetapi oleh kerana sekarang usaha dakwah tidak berjalan dengan lancar maka orang-orang kafir senang sahaja untuk masuk ke dalam negara kita dan ke dalam masyarakat Islam kita untuk merosakkan fahaman dan amalan agama Islam. Maka kita kena ingat bahawa bantuan Allah ini ada syaratnya: iaitu kita kena bantu agama Allah dahulu.

 

وَسَيُحبِطُ أَعمالَهُم

Dan Allah akan menghapuskan (pahala) amal-amal mereka.

Allah akan ambil segala amal-amal kebaikan mereka dan akan dihapuskan. Usaha mereka untuk menyekat agama Islam akan dihancurkan. Dan kalau ada amalan mereka yang baik pun ia tidak bernilai pada sisi Allah.


 

Ayat 33: 

۞ يا أَيُّهَا الَّذينَ آمَنوا أَطيعُوا اللهَ وَأَطيعُوا الرَّسولَ وَلا تُبطِلوا أَعمالَكُم

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O you who have believed, obey Allāh and obey the Messenger and do not invalidate your deeds.

(MELAYU)

Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul dan janganlah kamu merosakkan (pahala) amal-amalmu.

 

يا أَيُّهَا الَّذينَ آمَنوا أَطيعُوا اللهَ وَأَطيعُوا الرَّسولَ

Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul

Ini adalah arahan dari Allah setelah diterangkan bahayanya kalau tidak taat. Taat kepada Allah adalah dengan taat kepada Rasul. Bukanlah ayat ini bermaksud taat kepada Allah sudah taat kepada Rasul, tetapi ia bermaksud untuk taat kepada Allah kena taat kepada Rasul. Dalam jihad, kena ada taat kepada pemimpin perang. Maka kena ajar diri untuk taat kepada Allah dan ajaran Rasulullah.

Surah ini dan dua surah selepas ini adalah khusus dari Allah untuk mengajar bagaimana cara untuk taat dan menghormati Rasulullah.

 

وَلا تُبطِلوا أَعمالَكُم

dan janganlah kamu merosakkan (pahala) amal-amalmu.

Allah mengingatkan para muslim supaya tidak membatalkan amal-amal kebaikan yang telah mereka lakukan sebelum itu. Ini kerana ada antara mereka yang telah berhijrah dan ada antara mereka yang telah membantu orang-orang Muhajirin yang datang ke Madinah. Maka janganlah buat salah dalam taat kepada Nabi Muhammad SAW.

Kita dikira tidak taat kalau bercanggah dengan Rasul dan tidak taat kepada Rasul. Maka bagi kita sekarang, kenalah belajar apakah sunnah Nabi dan amalkan sunnah itu. Janganlah reka perkara baru dalam agama ini. Kerana agama ini telah lengkap, maka tidak memerlukan ajaran-ajaran dan amalan tambahan. Kena belajar apakah yang sunnah dan apakah yang bidaah. Masalahnya, ramai dari kalangan masyarakat kita yang tidak faham tentang perkara itu.


 

Ayat 34:

إِنَّ الَّذينَ كَفَروا وَصَدّوا عَن سَبيلِ اللهِ ثُمَّ ماتوا وَهُم كُفّارٌ فَلَن يَغفِرَ اللهُ لَهُم

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, those who disbelieved and averted [people] from the path of Allāh and then died while they were disbelievers – never will Allāh forgive them.

(MELAYU)

Sesungguhnya orang-orang kafir dan (yang) menghalangi manusia dari jalan Allah kemudian mereka mati dalam keadaan kafir, maka sekali-kali Allah tidak akan memberi ampun kepada mereka.

 

إِنَّ الَّذينَ كَفَروا وَصَدّوا عَن سَبيلِ اللهِ

Sesungguhnya orang-orang kafir dan (yang) menghalangi manusia dari jalan Allah

Allah telah sebut tentang mereka ini: bukan sahaja mereka menolak dan menentang agama, tapi mereka juga menghalang orang lain dari masuk ke dalam agama Islam. Mereka amat benci kepada agama Islam, sampaikan kalau orang lain masuk dalam agama Islam pun mereka tidak redha.

 

ثُمَّ ماتوا وَهُم كُفّارٌ

kemudian mereka mati dalam keadaan kafir,

Dan mereka tetap dalam keadaan mereka itu sampailah mereka mati. Mereka tidak sempat bertaubat. Ini amat bahaya sekali kerana maknanya mereka mati dalam kufur. Ramai orang yang asalnya membenci dan memerangi Islam tapi akhirnya mereka masuk dalam Islam dan menjadi penaung Islam yang kuat. Dari zaman Nabi Muhammad sendiri sampailah ke zaman sekarang. Kita selalu baca bagaimana orang yang asalnya mengatakan Islam ini adalah agama yang ganas, tapi kerana mereka terus kaji agama Islam, akhirnya mereka jumpa kebenaran dan akhirnya mereka mengubah pendirian mereka.

Tapi orang yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah mereka yang tidak mendapat kesempatan itu. Mereka langsung tidak buka hati mereka kepada kebenaran dan kerana itu mereka tetap kufur sampailah mereka mati.

 

فَلَن يَغفِرَ اللهُ لَهُم

maka sekali-kali Allah tidak akan memberi ampun kepada mereka.

Allah telah buat keputusan untuk tidak akan memaafkan kesalahan mereka itu. Maknanya mereka itu adalah orang yang amat malang sekali. Mereka akan kekal dalam neraka selama-lamanya.

Jarang Allah beritahu yang Dia di dalam Qur’an yang Dia tidak akan mengampunkan dosa manusia. Satu golongan adalah golongan musyrik dan satu lagi adalah golongan munafik seperti dalam ayat ini. Maka ada persamaan kedudukan antara golongan munafik dan musyrik. Maka ini adalah perkara yang amat malang sekali maka kenalah kita beri perhatian kepada sifat munafik ini semoga kita tidak termasuk di dalam kalangan mereka.

Allah sebut dengan firman-Nya:

{إِنَّ اللهَ لَا يَغْفِرُ أَنْ يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَلِكَ لِمَنْ يَشَاءُ} الْآيَةَ.

Sesungguhnya Allah tidak mengampuni dosa syirik dan Dia mengampuni segala dosa yang selain dari (syirik) itu bagi siapa yang dikehendaki-Nya. (An-Nisa: 48)

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 047: Muhammad. Bookmark the permalink.

One Response to Tafsir Surah Muhammad Ayat 30 – 34 (Sifat munafik)

  1. Pingback: Tafsir Surah Muhammad Ayat 30 – 34 (Sifat munafik)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s